• Tidak ada hasil yang ditemukan

Implementasi konsep Al-Falah dalam aspek keusahawanan Islam menurut perspektif Al-Qurtubi: satu analisis - UMS INSTITUTIONAL REPOSITORY

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Implementasi konsep Al-Falah dalam aspek keusahawanan Islam menurut perspektif Al-Qurtubi: satu analisis - UMS INSTITUTIONAL REPOSITORY"

Copied!
13
0
0

Teks penuh

(1)

IMPLEMENTASI KONSEP AL-FALAH DALAM ASPEK KEUSAHAWANAN ISLAM MENURUT PERSPEKTIF

AL-QURTUBI: SATU ANALISIS

IMPLEMENTATION OF THE CONCEPT OF AL-FALAH IN THE ASPECT OF ISLAMIC ENTREPRENEURSHIP ACCORDING TO THE PERSPECTIVE OF AL-

QURTUBI: AN ANALYSIS

Saifulazry Mokhtar1 Irma Wani Othman2*

Kasoma Thia3*

1 Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Malaysia Email: [email protected]

2 Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, Malaysia Email: [email protected]

3 Sekolah Menengah Tebobon, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia Email: [email protected]

* Corresponding Author

Article history To cite this document:

Received date : 01-08-2021 Mokhtar, S., Othman, I. W., & Thia, K. (2021).

Implementasi Konsep Al-Falah Dalam Aspek Keusahawanan Islam Menurut Perspektif Al- Qurtubi: Satu Analisis. International Journal of Accounting, Finance and Business (IJAFB), 6 (37), 144 - 156.

Revised date : 23-08-2021 Accepted date : 25-10-2021 Published date : 30-11-2021

___________________________________________________________________________

Abstrak: Aspek keusahawanan merupakan satu elemen yang menjadi rebutan dalam pekerjaan dewasa ini. Dalam mengejar kemewahan dunia, manusia seringkali terlepas pandang dengan ketentuan dan tuntutan Ilahi. Mereka harus sedar bahawa matlamat utama dalam keusahawanan bukanlah kekayaan dan kemewahan, sebaliknya rahmat dan keberkatan dari Allah SWT. Kajian ini bertujuan untuk melihat saranan dan pandangan al-Qurtubi dalam konsep al-Falah menerusi aspek keusahawanan serta mengaitkan pandangan tersebut dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini. Kajian ini dijalankan menggunakan metodologi analisis dokumen berdasarkan kepada kajian-kajian terdahulu yang berkaitan dengan konsep al-Falah dalam bidang keusahawanan. Dapatan kajian menemui lima konsep yang telah disarankan oleh al-Qurtubi bagi merealisasikan konsep al-Falah dalam keusahawanan menurut Islam.

Konsep al-Falah tersebut termasuklah al-Rizqun al-Halal, qanāᶜah, taufik, saᶜādah dan Jannah. Bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam keusahawanan ini maka kita perlu mengaplikasikan konsep al-Falah dalam setiap transaksi perniagaan yang kita jalankan sama ada dari aspek perkataan, perbuatan dan sebagainya. Pelaksanaan konsep al-Falah tersebut perlulah dilunaskan selari dan sejajar dengan kelima-lima aspek tersebut kerana tanpa adanya salah satu unsur tersebut dalam bidang keusahawanan, maka konsep al-Falah tidak akan tercapai.

Kata Kunci: Implementasi, Konsep al-Falah, Keusahawanan Islam, al-Qurtubi.

(2)

Abstract: The entrepreneurial aspect is an element of the work today. In the pursuit of world luxuries, humans are often overlooked by Divine provisions and requirements. They should be aware that the main goal in entrepreneurship is not wealth and luxury, but rather mercy and blessings from Allah SWT. This study aims to look at the recommendations and opinions of al- Qurtubi in the concept of al-Falah through the aspect of entrepreneurship as well as to link that view to the reality of today's society. This study was carried out using document analysis methodology based on previous studies related to the concept of al-Falah in entrepreneurship.

The findings found five concepts that have been suggested by al-Qurtubi to realize the concept of al-Falah in entrepreneurship according to Islam. The concept of al-Falah includes al-Rizqun al-Halal, qanācah, taufik, sacādah and Jannah. To achieve success and excellence in this entrepreneurship, we need to apply the concept of al-Falah in every business transaction that we conduct either in terms of words, deeds and so on. The implementation of the concept of al- Falah should be in line with all five aspects because without one of these elements in the field of entrepreneurship, the concept of al-Falah would not be achieved.

Keywords: Implementation, Concept of al-Falah, Islamic Entrepreneurship, al-Qurtubi.

Pengenalan

Setiap manusia mengharapkan kejayaan dan kesempurnaan dalam setiap perkara yang mereka tempuhi dalam kehidupan sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, pertanian, pensyarikatan dan sebagainya. Matlamat ini merupakan impian dan cita-cita tinggi yang pasti menjadi tonggak utama seseorang itu menceburi bidang tersebut. Dalam artikel ini, penulis akan mengetengahkan satu konsep berkaitan dengan keusahawanan Islam menurut pandangan al-Qurtubi menerusi konsep al-Falah. Sebelum mengupas lanjut berkaitan pandangan al- Qurtubi dalam konsep al-Falah, terlebih dahulu penulis membicarakan sedikit latar belakang al-Qurtubi sebagai permulaan perbincangan. Menurut al-Dahabiy (2005), nama penuh al- Qurtubi ialah al-Imam Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakar bin Farh al- Anshoriy al-Khazrajiy al-Andalusiy al-Qurtubi al-Mufassir. Panggilan al-Qurtubi tersebut adalah sempena dengan tempat kelahiran beliau iaitu Cordoba yang berada di daerah Andalusia.

Imam al-Qurtubi telah menghasilkan banyak karya termasuklah pengarang kepada kitab tafsir al-Jami’ Li Ahkam al-Quran. Pandangan dan pengetahuan al-Qurtubi terhadapi Islam amat mendalam sehinggakan beliau dijadikan pakar rujuk dalam selok belok keagamaan. Dalam menelusuri aspek ekonomi, khususnya berkaitan dengan keusahawanan Islam, al-Qurtubi telah memperkenalkan konsep al-Falah sebagai indikator kepada tahap pencapaian dan kecemerlangan seseorang usahawan tersebut.

Secara umumnya, konsep al-Falah ini melibatkan dua aspek utama yang perlu difahami oleh setiap manusia iaitu hubungan antara manusia dengan pencipta (vertikal) dan hubungan antara manusia dengan manusia lain (horizontal). Bagi menjaga dan memastikan hubungan vertikal ini terlaksana, seseorang itu perlu melaksanakan ibadah, menjaga akhlak, akidah, syariat serta segala suruhan dan perintah Allah SWT. Oleh itu, seseorang usahawan perlulah mengutamakan dahulu tanggungjawabnya sebagai khalifah berbanding dengan tanggungjawabnya sesama manusia. Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) beserta dengan para nabi, siddiqin dan syuhada” (Hadis riwayat Tirmizi). Berdasarkan kepada hadis tersebut jelas menggambarkan bahawa melaksanakan sifat jujur dan amanah dalam proses jual beli itu adalah satu perintah Allah SWT dan peniaga yang mengamalkan sifat tersebut akan bahagia selamanya di syurga kelak bersama

(3)

golongan kekasih Allah iaitu para nabi, siddiqin dan syuhada. Menurut Muhammad Baqir al- Sadr, seorang individu usahawan yang bertakwa akan melihat kegiatan keusahawanan sebagai satu sumbangan kepada ummah dan mereka berkerja didorong oleh keyakinan kepada ajaran agama (Haneef, M.A., 1995) serta mengidamkan rahmat dan keberkatan Allah SWT semata- mata.

Dalam hubungan horizontal pula, seseorang usahawan itu juga perlu mempamerkan hubungan yang baik sesama peniaga ataupun kepada pelanggannya. Mereka perlu bersangka baik, saling bantu membantu, berkerjasama dalam setiap perkara. Menurut Hamed, A.B. (1995), membentuk jaringan antara usahawan dengan masyarakat adalah amat perlu khususnya jaringan peribadi usahawan. Dengan implementasi sikap yang baik, sudah tentu niat dan matlamat dalam perniagaan yang dijalankan akan mendapat keberkatan dari Allah SWT. Para peniaga juga perlu meninggalkan perbuatan-perbuatan yang jauh menyimpang dari kehendak Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW dalam aktiviti keusahawanan. Dewasa ini, kita dapat lihat bahawa aspek perniagaan dan keusahawanan menjadi fokus utama masyarakat dalam menjana sumber kewangan. Mereka seringkali keliru dengan niat dan matlamat utama yang hendak mereka capai sehinggakan mereka melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dalam aktiviti perniagaan yang mereka jalankan tersebut. Niat dan matlamat utama mereka seolah-olah inginkan keuntungan semata-mata tanpa melihat kepada saranan Islam terhadapnya. Pelbagai penipuan, pembohongan dan pengubahsuaian berlaku semasa mereka melakukan transaksi jual beli. Justeru, satu kajian rinci berkaitan dengan matlamat utama dalam keusahawanan atau al-Falah perlu diketengahkan kepada masyarakat agar bidang keusahawanan ini menjurus kepada kehendak Islam sepenuhnya.

Kajian Literatur

Sebagaimana yang kita maklum bahawa konsep keusahawanan Islam adalah sebahagian daripada sistem dan perniagaan ekonomi Islam. Aspek ekonomi sangat dekat dengan kehidupan manusia. Ia merupakan penentu kepada landskap kehidupan seseorang sama ada berada dalam golongan mewah, sederhana ataupun miskin. Dengan kepentingan tersebut sudah pasti terdapat banyak kajian yang telah dijalankan berkaitan dengan ekonomi, keusahawanan dan yang berkaitan dengannya. Sebelum penulis menjalankan kajian ini, satu analisis sorotan kajian perlu dijalankan bagi memastikan kerelevanan kajian yang akan disajikan. Kajian Usop, R. et. al.

(2019) bertujuan mengkaji pengamalan perniagaan etika Islam dalam kalangan usahawan Islam khususnya di negeri Terengganu. Kajian mereka tertumpu kepada Syarikat Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd. Hasil kajian mereka mendapati Syarikat Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd mempunyai sistem etika yang merupakan gabungan pelbagai elemen termasuk iman dan ketuhanan.

Pematuhan dan amalan nilai-nilai ini menjadikan mereka berbeza daripada usahawan lain.

Kajian berkaitan dengan pembudayaan usahawan dalam Islam turut dijalankan oleh Hamid, S.A., & Ahmad, K. (2016) bagi melihat teori dan aplikasi yang diamalkan oleh usahawan Islam.

Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk memfokuskan pembudayaan keusahawanan dalam Islam. Hasil kajian tersebut mendapati huraian pembudayaan usahawan dalam Islam adalah berasaskan piawaian yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Hadith serta pandangan intelektual Islam. Selain itu, pembudayaan falsafah keusahawanan Islam turut diadaptasi dalam diri usahawan berlandaskan kepada Rabbani kerana perlaksanaan aktiviti juga merupakan sebahagian daripada syariat Islam. Dengan pembudayaan tersebut, personaliti usahawan Islam sangat menyerlah dalam diri mereka dengan mengandungi ciri-ciri yang dinamik dan

(4)

berkompitensi serta menekankan kesepaduannya dengan elemen-elemen spiritual sepertimana yang dicorakkan oleh Rasulullah SAW.

Dalam merealisasikan ciri-ciri akhlak seseorang usahawan yang berjaya, seseorang itu perlu memiliki akhlak sepertimana yang di citrakan oleh al-Quran dan al-Sunah. Menurut Nadzri, S.

& Yaacob, S. E. (2019) dalam kajiannya bertajuk ‘Ciri-Ciri Akhlak Usahawan Muslim Berjaya dan Hubungannya dengan Cara Pengembangan Harta serta Matlamat Hidup Menurut Perspektif al-Quran’ bertujuan mengkaji ciri-ciri orang yang berjaya menurut al-Quran dan menghubungkaitkannya dengan akhlak usahawan Muslim serta menerangkan konsep matlamat hidup dan cara berkembangnya harta menurut al-Quran. Hasil kajian beliau mendapati matlamat utaman kehidupan orang-orang Muslim menurut al-Quran adalah untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat secara seimbang. Oleh itu, seorang usahawan yang berjaya perlu mempunyai akhlak-akhlak orang yang mulia seperti taat dan patuh kepada perintah Allah SWT, menunaikan solat, mengeluarkan zakat, amanah, menjauhi riba, banyakkan sedekah, tidak melakukan kezaliman, jihad melalui harta benda, pemurah dan sentiasa bertaubat.

Kajian berkaitan Islam dalam budaya keusahawanan turut dijalankan oleh Hamid, S. A., et. al.

(2018). Kajian tersebut bertujuan mengkaji pengaruh Islam dalam kalangan usahawan Melayu MARA negeri Kedah yang diklasifikasikan sebagai telah berjaya. Hasil kajian beliau mendapati, elemen ajaran Islam merupakan pengaruh yang sangat besar dalam aktiviti keusahawanan dan landskap kehidupan mereka. Pelaksanaan nilai Islam yang bersifat syumul dan holistik dalam keusahawanan, pengaplikasian model motivasi yang berteraskan Islam, serta tahap keyakinan yang tinggi terhadap agama Islam telah merubah wajah hasil usaha perniagaan mereka. Penerapan nilai spiritual yang mantap dalam diri usahawan juga mampu menjadi motif asas dalam menggerakkan jiwa dan psikologi usahawan bagi mencerminkan ciri-ciri keusahawanan sebenar menurut Islam.

Aqbar, K., et.al. (2020) turut menjalankan kajian berkaitan dengan Konsep al-Falah dalam Islam dan Implementasinya dalam Ekonomi. Kajian tersebut bertujuan untuk mengetahui epistemologi dan konsep al-Falah dalam Islam serta implementasi konsep al-Falah dalam mikro dan makro ekonomi. Hasil kajian beliau mendapati menurut epistemologi Islam, konsep al-Falah dalam ekonomi adalah satu bentuk kebahagiaan, keberuntungan, kegembiraan dan kesejahteraan yang dirasakan oleh seseorang usahawan, sama ada dari sudut zahir dan batin.

Namun, matlamat utama dalam konsep al-Falah tersebut adalah kebahagiaan di akhirat dengan menerapkan nilai-nilai ibadah dalam transaksi keusahawanan yang dijalankan.

Dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia hari ini, transaksi perniagaan juga telah berubah wajah dengan berpaksikan kepada e-dagang. Kajian Potensi dan Cabaran Perniagaan e-Dagang Pasca Covid-19 turut dijalankan oleh Baharun, M. T., & Balwi, (2021) di mana mereka cuba mengetengahkan e-dagang sebagai alternatif yang terbaik dalam usaha mencari mata pencarian pasca Covid-19, khususnya kepada usahawan Muslim. Hasil kajian beliau mendapati, potensi perniagaan secara e-dagang dalam era pandemik ini adalah satu rahmat bagi usahawan bagi meluaskan lagi pasaran perniagaannya serta mampu memaksimumkan pencapaian matlamat keusahawanan dalam Islam. Walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam menjalankan perniagaan secara e-dagang seperti cabaran persaingan antara peniaga, ilmu pengetahuan, masalah disiplin, serta komitmen usahawan, namun ia bukanlah satu faktor yang dapat mematahkan semangat usahawan Muslim dalam mengejar matlamat utama dalam keusahawanan.

(5)

Metodologi Kajian

Kajian ini dijalan berdasarkan analisis dokumen dimana penulis merujuk kepada artikel-artikel jurnal berkaitan dengan bidang keusahawanan dan khususnya dalam aspek al-Falah. Data-data diambil menerusi pendapat dan pandangan al-Qurtubi terhadap konsep al-Falah dalam keusahawanan Islam. Pandangan tersebut juga diperkukuhkan lagi dengan dalil dari al-Quran dan hadis sebagai penguat kepada pandangan beliau serta melihat konsep tersebut menurut pandangan Islam.

Dapatan Kajian

Keusahawanan merupakan satu inovasi untuk mencipta sesuatu yang baharu secara kreatif. Ia bertujuan untuk mencipta sebuah kejayaan iaitu kekayaan terhadap seseorang individu serta memberikan nilai tambah kepada masyarakat. Menurut Abdullah, S & Ariffin, K.H.K. (2010) pula melihat keusahawanan adalah sebahagian aktiviti yang berkaitan dengan perkembangan ekonomi dan perdagangan. Ia juga mempunyai objektif untuk kesejahteraan ummah yang dituntut oleh agama melalui penggemblengan sepenuh daya dan tenaga, bertemakan kebajikan dan kebaikan bagi memenuhi fitrah keperluan kehidupan.

Manakala seorang usahawan Muslim pula dapat ditakrifkan sebagai individu yang bersedia untuk menyumbang modal, kepakaran dan kemahiran melalui pembangunan kreativiti dan inovasi dengan memastikan tindakan dan keputusan yang diambil adalah selari dengan ketetapan Allah SWT (Salleh, M.S., (1999). Dari perspektif seorang tokoh ekonomi Islam kontemporari dalam ‘Economic Enterprise in Islam’ iaitu Siddiqi (1979), mendefinisikan usahawan sebagai “seseorang yang mempunyai kemahiran dan keupayaan dalam menggabungkan pelbagai faktor pengeluaran yang diperlukan bagi menghasilkan keperluan.

Usahawan juga menanggung risiko terhadap kegagalan dalam memenuhi sesuatu yang diharapkan disebabkan oleh kehendak pasaran. Mereka berusaha mencari pendapatan bagi kehidupan yang baik melalui perusahaan perniagaan dan dengan usaha ini juga mereka menyumbang kepada masyarakat”. Pengertian usahawan oleh Siddiqi ini jelas mengaitkan usahawan dengan aspek pengeluaran, risiko dan juga pasaran bersesuaian dengan matlamat sebagai seorang ahli ekonomi.

Menurut Lambing, P.A., & Kuehl, C.R. (2007), usahawan berjaya disifatkan memiliki daya saing yang tinggi, bijak memanfaatkan peluang yang ada, bertindak dan merangka strategi berdasarkan keperluan dan realiti semasa, berkebolehan, mempunyai sifat berani, keteguhan hati dan mempunyai kreativiti yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa, seseorang usahawan itu perlu memiliki ilmu pengetahuan berkaitan perniagaan yang baik bagi menjamin kejayaan dalam bidang ini, selaras dengan kehendak Islam. Budaya keusahawanan Islam adalah selari dengan nilai-nilai Islam dan harus diterap serta diamalkan untuk mengubah persepsi terhadap amalan dalam bidang perniagaan serta perlu menghayati nilai-nilai yang wujud dalam keusahawanan itu sendiri (Ghani, A.M. A & Sarif, S., 2005). Keusahawanan Islam yang gitu pasti dapat membawa pengamalnya supaya lebih peka kepada peranan mereka untuk memakmurkan dunia dengan cara yang halal dan diredai oleh penciptanya (Alias, A. & Ibrahim, M. D., 2002) serta melaksanakan kerja dengan penuh amanah dan memberikan hak kepada orang yang berhak (Bakar, I. A., 1997).

Menerusi keusahawanan juga, seseorang itu perlu mencari seseorang yang dapat dijadikan sebagai contoh untuk diikuti dan menjadikan dia sebagai idola, contoh, ikutan dalam berinteraksi dan berurusan dengan orang lain (Muda, N., et.al., 2021). Oleh itu, sebagai seorang

(6)

Muslim, kita perlu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh yang tepat untuk diteladani. Sebagai seorang pendakwah yang sentiasa membenarkan seruan Ilahi, kita perlu untuk bersaing dengan mereka yang bukan beragama Islam dengan menggunakan medium yang terbaik dalam bidang keusahawanan sehingga mereka tidak dapat memperlekehkan pelaksanaan usahawan Muslim (Mokhtar, S., et.al., 2021e). Konsep persaingan dalam perniagaan Islam harus dilakukan secara sihat, saling bekerjasama dalam menuju kecemerlangan. Perlumbaan dan persaingan dalam perniagaan harus ditujukan ke arah mencapai setinggi-tinggi kebaikan (Ali, M., 2004), bukan sekadar mendapat keuntungan lahiriah semata-mata.

Menurut al-Qurtubī (1967), konsep al-Falaḥ merangkumi lima prinsip iaitu rezeki yang halal, qanāᶜah (bersyukur atau reda dengan apa yang diperolehi), taufik (petunjuk), saᶜādah (kebahagian) dan Jannah (syurga).

1. Rezeki yang halal

Menurut al-Qurtubi, aspek utama dan penentu kepada kejayaan seseorang dalam aspek keusahawanan Islam adalah memperoleh rezeki yang halal. Dewasa ini, ramai dalam kalangan masyarakat di Malaysia khasnya menjadikan perniagaan sebagai salah satu pekerjaan untuk mendapatkan rezeki dan mata pencarian harian. Tidak kiralah perniagaan yang mereka jalankan tersebut sama ada secara kecil-kecilan atau secara besar-besaran. Dengan kecanggihan teknologi masa kini serta penularan wabak Covid-19, konsep perniagaan juga telah berubah wajah dari bentuk fizikal kepada bentuk maya. Pada dasarnya, Islam tidak menyekat dan melarang aktiviti perniagaan tetapi hendaklah bersesuaian dan bertepatan dengan kehendak Allah SWT. Ini kerana, dengan kecanggihan teknologi juga telah tercetusnya pelbagai jenayah dan perkara-perkara yang tidak baik dalam kalangan masyarakat hari ini. Penipuan dan pembohongan menerusi aktiviti perniagaan juga berlaku sehinggakan hilangnya keberkatan dalam mencapai matlamat utama keusahawanan.

Allah SWT telah mengutuskan nabi Muhammad SAW sebagai seorang rasul dan nabi ikutan kepada umat akhir zaman. Apabila dilihat dalam sirah nabi Muhammad SAW, baginda sendiri terkenal dengan seorang saudagar dan tokoh usahawan yang berjaya. Baginda telah mengaplikasikan seluruh adab, konsep dan kaedah berniaga yang dikehendaki oleh Allah SWT sebagai ikutan kepada umatnya. Mendapatkan rezeki yang baik dari usaha perniagaan adalah sangat dititik beratkan oleh Islam dalam melahirkan seorang usahawan Islam yang berjaya.

Penerapan rezeki yang halal ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan termaktub dalam hadis nabi SAW sebagai asas dalam mencapai konsep al-Falah. Di antara firman Allah SWT dalam menyeru keutamaan mencari rezeki yang halal adalah menerusi surah al-Mukminun ayat 51 yang bermaksud: “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh”.

Rasulullah SAW turut menegaskan kepada umatnya agar sentiasa memastikan rezeki yang diperolehi tersebut melalui jalan yang halal dan baik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian baginda membaca firman Allah, “Wahai Rasul- rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh”. Dan firman Allah SWT lagi, “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah kami anugerahkan kepadamu”. Kemudian baginda menceritakan seorang

(7)

lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan memohon doa, “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku”. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan dia diberi makan dengan yang haram, maka bagaimana mungkin doanya dimakbulkan?” (Riwayat Muslim, 1015).

Apabila dilihat dalam konsep sumber rezeki pula, terdapat pelbagai bentuk sumber rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-hambanya. Sumber rezeki tidak hanya terbatas kepada wang ringgit semata-mata bahkan ia juga dapat dizahirkan dalam bentuk material, harta, kesihatan, kebahagiaan, kelapangan waktu, ketenangan hati dan kecerdasan fikiran. Bayangan sumber rezeki ini adalah anugerah Allah SWT kepada hambanya sama ada ia sebagai satu ujian dalam kehidupan ataupun satu rahmat dalam menuju kebahagiaan di akhirat. Hakikat kekayaan seseorang itu bukan diukur dengan banyaknya rezeki yang mereka perolehi, tetapi ia dilihat ke mana rezeki tersebut disalurkan dan dimanfaatkan. Rezeki yang baik adalah rezeki yang dipenuhi dengan keberkatan, diperolehi dengan jalan yang baik serta dimanfaatkan sesuai pada tempatnya. Nilai keberkatan rezeki juga tidak bergantung kepada kandungan kuantiti rezeki yang diperoleh tetapi ia berdasarkan kepada rezeki tersebut diambil. Islam mengajar umatnya agar menitikberatkan sumber rezeki dalam proses mencari rezeki untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Penghasilan rezeki yang sedikit dan halal serta dibaluti dengan keberkatan dari Allah SWT adalah jauh lebih baik dari memperoleh rezeki yang banyak tetapi hasil dari cara yang haram dan jauh dari rahmat Allah SWT. Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menerapkan nilai iltizam yang padu dalam hati untuk mencari rezeki yang bersih lagi halal sejajar dengan perintah Allah SWT.

Selain itu, bagi memperoleh rezeki yang halal juga, al-Qurtubi menyarankan seseorang Muslim untuk mengutamakan adab dalam setiap pekerjaan yang mereka lakukan termasuklah menerusi keusahawanan. Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh mereka sebelum menjalankan aktiviti keusahawanan adalah memperbetulkan niat tujuan mereka bekerja iaitu sebagai ibadah dan bekerja kerana Allah SWT. Rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada seseorang manusia itu terdapat pelbagai bentuk seperti mendapat pendapatan yang lumayan, kenaikan pangkat dan ada juga yang diberikan kesihatan yang baik walaupun gaji yang diperolehinya tidak seberapa. Dalam konteks keusahawanan, kita dapat lihat rezeki yang halal apabila seseorang itu bersifat jujur dan amanah dalam perniagaan yang dijalankan selaras dengan kaedah jual beli yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.

Menurut perspektif Islam, rezeki yang halal tersebut adalah rezeki yang diperolehi dengan cara yang baik, dijalankan dengan proses muamalat yang dibenarkan serta digunakan pada jalan yang tepat dan dikehendaki oleh Islam. Islam melarang keras umatnya untuk mendapatkan rezeki dari hasil kejahatan, kemaksiatan, kekerasan, perjudian, pemalsuan dan perbuatan- perbuatan yang jelas melanggar hak-hak seorang Muslim. Ini kerana, seseorang yang mendapatkan rezeki secara haram akan memberi kesan kepada diri dan keluarganya serta mereka akan mendapat kemurkaan dari Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka neraka lebih layak baginya” (Riwayat Thabrani).

Selain mendapatkan sumber rezeki yang halal, seseorang usahawan itu juga perlu menjual barang dagangan yang halal serta jauh dari perkara-perkara yang diragui (syubhah). Menurut asy-Syarkani, M. (2012), perniagaan yang dibenarkan oleh syarak mestilah memenuhi syarat- syarat tersebut iaitu memenuhi syarat dan rukun jual beli, tiada unsur penipuan dan spekulasi,

(8)

barang dagangan yang halal, tiada unsur riba serta tidak menimbulkan kemudaratan kepada orang ramai. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh kebanyakkan orang. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan

(Riwayat Bukhari dan Muslim). Hal ini juga telah ditegaskan oleh al-Qardawi (1994) kerana kehidupan manusia pada hari ini seringkali bercampur aduk antara persoalan halal haram sehinggakan mereka mengamalkan kedua-duanya sekali dalam kehidupan. Oleh itu, seorang usahawan itu perlulah meletakkan nilai halal sebagai indikator utama dalam aktiviti keusahawanan yang dijalankan serta menjauhi seluruh perkara-perkara yang haram.

2. Qanāᶜah (bersyukur atau reda dengan apa yang diperolehi)

Elemen kedua dalam konsep al-Falah menurut al-Qurtubi adalah bersyukur atau reda dengan apa yang diperoleh. Sifat syukur adalah satu sifat yang tinggi nilainya serta amat sukar untuk dilaksanakan oleh semua insan. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan ingatlah juga, tatkala Tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku), maka sesungguhnya azabku sangat pedih” (Surah Ibrahim:7). Jika diselami secara mendalam, konsep syukur ini sangat luas pengertiannya. Bersyukur bukan hanya kerana mendapat hasil jualan yang lumayan semata-mata tetapi ia berlaku dalam pelbagai keadaan.

Bersyukur dengan nikmat kesihatan yang Allah SWT berikan termasuk dalam perbincangan ini kerana dengan kesihatan yang baik, seseorang itu dapat menjalankan aktiviti perniagaan mereka seharian. Nikmat kesihatan juga merupakan salah satu dari kayu ukur dalam memastikan kejayaan dalam perniagaan yang dijalankan.

Sebagai seorang Muslim, kita disarankan agar sentiasa menerapkan nilai syukur dalam segenap ruang kehidupan. Dalam perniagaan misalnya, keuntungan dan kerugian itu adalah perkara biasa yang pasti akan ditempuhi oleh setiap usahawan. Nilai keuntungan dan kerugian itu adalah ujian dari Allah SWT kepada setiap hambanya. Bagi mereka yang merasakan bahawa nilai keuntungan itu satu nikmat yang kekal, dan nilai kerugian itu adalah bencana kehidupan, maka itu adalah satu tanggapan yang salah. Allah SWT mampu merubah suatu keadaan itu dengan sekelip mata sahaja bersandarkan kepada nilai syukur yang mereka ada. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan mereka dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan” (Surah al-Nahl:97).

Berdasarkan kepada ayat surah al-Naḥl di atas, Allah SWT menjanjikan bahawa sesiapa yang beramal soleh, maka Allah SWT akan memberi ganjaran kepada mereka dengan kehidupan yang baik, yang merangkumi ketenangan jiwa, rezeki yang halal, qanāah dan kebahagiaan (Ibn Kathīr, 2006 & Hamka, 1983). Manakala menurut Hamka (1987), sesiapa yang bermodalkan iman dan amal soleh pasti mendapat ganjaran berlipat kali ganda dan jika sebaliknya akan menyesal dan mendapat kerugian yang besar. Oleh hal yang demikian, seseorang usahawan itu perlulah menjadikan sifat qanāah (bersyukur) ini sebagai salah satu daripada sifat utama dalam diri agar ketelusan hati dalam melaksanakan aktiviti perniagaan tepat mengikut kehendak agama.

(9)

3. Taufik (petunjuk)

Elemen ketiga dalam konsep al-Falah menurut al-Qurtubi adalah taufik (petunjuk). Untuk mencapai petunjuk ini seseorang usahawan itu perlulah sentiasa merapatkan diri dengan Allah SWT dalam setiap masa dan keadaan. Dalam mengecapi kebahagiaan dan kesenangan dalam aktiviti keusahawanan, seseorang itu perlu memohon kepada Allah SWT agar diberikan petunjuk dan inayah serta jalan yang terbaik dalam membuat sebarang urusan. Dengan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah SWT, hidayah dan petunjuk itu akan dapat dikecapi. Hidayah ialah petunjuk dan bimbingan daripada Allah SWT dimana tidak ada seorang pun yang akan memperolehi hidayah melainkan hanya dari Allah SWT sahaja. Allah SWT menyarankan kepada setiap hambanya agar sentiasa memohon hidayah dan petunjuk kepadanya bagi mengukuhkan tahap keimanannya, meningkatkan amal soleh, memperbaiki tutur bicara serta memperoleh akhlak yang baik dalam menghadapi pelbagai masalah dunia dan akhirat.

Begitu jugalah dengan seorang usahawan yang menginginkan agar dirinya berjaya dan diberi hidayah untuk menjadi seorang Muslim yang baik, bertakwa, dapat menjalani kehidupan ini dengan baik, selamat, hati yang tenang serta terhindar daripada perbuatan yang buruk, maka mintalah hanya kepada Allah SWT menerusi doa dan bukan bergantung harap kepada yang lain darinya. Sebagai seorang Muslim juga, kita digalakkan untuk melakukan amalan-amalan sunat dalam kehidupan seharian bagi memperoleh petunjuk dan keberkatan hidup. Melaksanakan solat-solat sunat seperti tahajjud, hajat, istikharah dan dhuha dapat menguatkan lagi hubungan dengan Allah SWT serta memudahkan seseorang itu mendapat petunjuk darinya.

4. Saᶜādah (kebahagiaan)

Elemen keempat dalam konsep al-Falah menurut al-Qurtubi adalah Saᶜādah (kebahagiaan).

Kebahagiaan yang dimaksudkan oleh al-Qurtubi ini bukanlah kebahagiaan di dunia semata- mata bahkan kebahagiaan ini meliputi kebahagiaan di akhirat kelak. Setiap manusia pasti mengejar kebahagiaan hidup sewaktu masih bernafas di dunia walaupun ia hanya seketika.

Dalam mencapai nilai kebahagiaan hidup, seseorang itu perlu kepada konsep muhasabah diri kerana kehidupan ini hanya sementara dan tidak kekal selamanya (Mokhtar, S. et.al., 2021a).

Dalam konsep muhasabah diri ini, seseorang itu perlulah memeriksa dan mengenal pasti keaiban atau kelemahan yang ada pada dirinya (Suhid, A., 2009). Tujuan utama Islam menyarankan umatnya untuk sentiasa melakukan muhasabah diri adalah kerana mereka dapat mengenal pasti amalan yang baik dan buruk yang telah mereka lakukan, seterusnya memperbaiki segala amalan buruk tersebut mengikut akhlak yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Nilai kepercayaan kepada agama merupakan suatu pegangan dan pedoman yang mempunyai peranan besar dalam mencorakkan kehidupan manusia terutamanya ajaran agama Islam (Mokhtar, S., et.al., 2021d). Bagi mencapai kesenangan dan kebahagian di dunia serta mendapat keberkatan dari Allah SWT, seseorang usahawan itu perlulah sentiasa mengutamakan tatacara perniagaan yang tepat serta tidak terlalu mengikut kemahuan dunia. Firman Allah SWT yang bermaksud; “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak, (semua itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan

(10)

tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning, akhirnya ia menjadi hancur bersepai, dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah al-Hadid:20).

Menurut al-Ṭabari (2001), ayat di atas menggambarkan kehidupan di dunia di mana kesenangannya adalah sedikit dan tidak kekal berbanding kesenangan di akhirat yang bersifat kekal bagi mereka yang bertakwa dengan menunaikan perintah dan menjauhi larangan Allah SWT. Selain itu, Allah SWT juga menjanjikan bahawa orang yang beriman dan yakin dengan kekuasaan-Nya akan diselamatkan daripada kepayahan dan kesempitan yang dialaminya di dunia dan di akhirat (al-Ṭabarī, 2001 & Ibnu Kathīr, 2006). Walaupun ia dilihat mudah serta mampu dilalui oleh mereka yang percaya terhadap ganjaran yang lebih besar dalam kehidupan akhirat berbanding dengan ganjaran duniawi, namun hakikatnya ia adalah satu tugas yang sukar untuk dilaksanakan. Begitu juga sekiranya seseorang peniaga yang sedang menghadapi saat- saat kesukaran dan kesusahan, maka kerohanian Islam lah yang dapat membantu mereka untuk mewarnai kebahagiaan dalam kehidupan.

5. Jannah (syurga)

Syurga (Jannah) adalah destinasi terakhir setiap umat Islam dan ia juga adalam matlamat terakhir dalam konsep al-falah menurut al-Qurtubi. Setiap manusia yang hidup di dunia ini pasti menginginkan kehidupan yang bahagia di akhirat kelak. Sebagai seorang Muslim, sudah pasti mereka akan mengharapkan syurga yang kekal abadi setelah berada di sana nanti. Menurut Muis, A.M.R.A, et.al. (2021), setiap Muslim, tanpa mengira pangkat dan darjat, yang dapat menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah SWT, manusia dan makhluk-makhluk lain, berpeluang untuk masuk ke syurga. Tiket utama untuk menjejaki kaki ke syurga Allah SWT adalah taat dan patuh pada setiap syariatNya serta meninggalkan seluruh laranganNya.

Walaupun ia kelihatan mudah, namun sebenarnya ia sangat sukar untuk dilaksanakan bagi mereka yang tidak mampu mengawal hawa nafsunya. Setiap sesuatu yang dilakukan oleh seseorang itu mempunyai niat atau tujuan sama ada ianya baik mahu pun tidak. Namun, hanya tujuan yang baik sahaja yang akan diterima oleh Allah SWT (Mokhtar, S. et.al., 2021b).

Al-Jannah juga merujuk kepada suatu tempat yang telah disediakan oleh Allah SWT bagi hamba-hambaNya yang bertakwa sebagai ganjaran kepada mereka di atas keimanan dan amalan soleh yang mereka lakukan (Sabiq, S., t.th) sewaktu menjadi khalifah di atas muka bumi. Istilah al-Jannah merupakan istilah yang popular dalam perbahasan mengenai syurga dan seisinya.

Selain sinonim dengan salah satu dari nama syurga, al-Jannah juga merupakan istilah yang paling banyak diungkap dalam al-Quran yang dikaitkan dengan syurga serta menjadi istilah utama yang dikenali oleh ulama kalam dalam membicarakan berkaitan syurga Allah SWT.

Dalam menetapkan nama syurga ini, ulama kalam berbeza pandangan dari sudut jumlah syurga tersebut. Menurut al-Laqqani (t.th), ada sesetengah ulama kalam mengatakan jumlah nama- nama syurga ada empat, tujuh dan ada yang mengatakan jumlah nama-nama syurga ada lapan.

Menurut al-Jaizi (1986) dalam kitabnya cAqidah al-Mu’min, senarai nama-nama syurga yang dinyatakan oleh ulama kalam adalah seperti al-Firdaus, cAdn, al-Khuld, al-Nacim, al-Ma’wa,

cAliyah, dar al-Salam, dar al-Jalal, cIlliyyin, dar al-Mazid, dar al-Muttaqin, dar alMuqamah dan dar al-Qarar. Di dalam syurga tersebut terdapat pelbagai kenikmatan yang tidak pernah

(11)

dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati dan fikiran manusia Ayub, H. (1994).

Dalam konteks keusahawanan pula, seseorang yang mahu menikmati syurga abadi perlulah melaksanakan seluruh adab dan etika dalam urusan jual beli seperti yang termaktub dalam al- Quran serta yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW. Para usahawan juga hendaklah sentiasa memperbaharui niat ketika menjalankan urusan jual beli dengan ikhlas kerana Allah SWT dan bukan dengan menginginkan keuntungan yang besar. Mereka juga perlu menjauhkan diri dari perbuatan menipu dan berbohong kepada pelanggan dengan barang dagangan yang mereka jual.

Dengan mengaplikasikan seluruh saranan Allah SWT dan mencontohi keusahawanan Rasulullah SAW, seseorang usahawan Islam itu pasti dapat menempa kejayaan dengan menghuni salah satu dari syurga Allah SWT kelak.

Penutup

Dalam mencapai sebuah kehidupan yang penuh dengan rahmat dan diberkati, kita seharusnya memiliki matlamat dan cita-cita yang diidamkan. Kejayaan atau al-Falah dalam konteks keusahawanan menurut al-Qurtubi dapat dilihat menerusi lima aspek tersebut yang menjadi indikator kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Kelima-lima aspek tersebut perlulah digembleng selari tanpa meninggalkan salah satu daripadanya kerana ia pasti akan pincang.

Dengan pelaksanaan konsep al-Falah tersebut dalam keusahawanan, sudah pasti seluruh kehidupan kita akan diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Meninggalkan konsep al-Falah ini adalah merupakan satu kerugian yang sangat besar bagi seseorang usahawan. Ruang dan peluang yang Allah SWT berikan kepada seseorang itu tidak akan diberikan berulang kali.

Sebagai seorang usahawan, mereka seharusnya bijak dalam mengimbangi tuntutan dunia dan tuntutan akhirat agar matlamat akhir seorang insan bahagia di syurga idaman. Semoga dengan mengaplikasikan konsep al-Falah menurut al-Qurtubi ini dalam konsep keusahawanan dapat melahirkan satu generasi usahawan Muslim yang meneruskan legasi Rasulullah SAW dalam kehidupan.

Penghargaan

Manuskrip ini dihasilkan berasaskan dana Geran Penyelidikan Penerbitan sumbangan Global Academic Excellence (GAE).

Rujukan Al-Quran.

Abdullah, S., & Ariffin, K.H.K. (2010). Keusahawanan Islam. Kangar: Penerbitan Universiti Malaysia Perlis.

al-Dahabiy, M.H. (2005). Al-Tafsir Wal Mufassirun. Jilid 2. Kairo: Darul Hadis.

Alias, A., & Ibrahim, M.D. (2002). Keusahawanan Islam. Selangor. Prentice Hall.

al-Jaizi, A.B.J. (1986), cAqidah al-Mu’min. Jeddah: Dar al-Syuruq li al-Nashr wa al-Tauzi wa al-Tibacah.

al-Laqqani, I. (t.th.) Jawharah al-Tawhid ma‘a Hashiatuha Tuhfah al-Murid. Qaherah:

Matbacah al-Istiqamah.

al-Qardawi, Y. (1994). al-Halal wa al-Haram fi al-Islam. Cet. 15. Beirut: al-Maktab al-Islami.

al-Qurtubi. (1967). Tafsir al-Qurṭubi: al-Jamic li-ahkam al-Quran. Volumes 19-20. al-Jamic li- ahkam al-Quran.

(12)

Aqbar, K., Iskandar, A., & Yunta, A.H.D. (2020). Konsep al-Falah dalam Islam dan Implementasinya dalam Ekonomi. Bustanul Fuqaha: Jurnal Bidang Hukum Islam. Vol. 1, No. 3 (2020). 516-531.

Asy-Syarkani, M. (2012). Sepuluh Amalan Murah Rezeki. Batu Caves: Al-Hidayah Publications

Ayub, H. (1994), Tabsit al-cAqa’id al-Islamiyyah. ed.6. T.tp.: Dar al-Tauzi wa al-Nashr wa al- Islamiyyah.

Baharun, M.T., & Balwi, M.A.W.F.M. (2021). Potensi dan Cabaran Perniagaan E-Dagang Pasca Covid-19: Suatu Cadangan Penyelesaian. Journal of Islamic Management and Finance. Vol 1 No. 1 (2021). 1-12.

Bakar, A.I. (1997). Ciri-ciri Usahawan Islam. Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Ghani, A.M.A., & Sarif, S. (2005). Penerapan Budaya Keusahawanan dalam Masyarakat Islam. Prosiding Seminar Keusahawanan Islam Peringkat Kebangsaan. Kuala Lumpur.

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Hamed, A.B. (1995). The Personal Network of Small Firm Entrepreneurs in Malaysia: An Exploratory Study. Unpublished Ph.D. Thesis. University of Glasgow.

Hamid, S.A., & Ahmad, K. (2016). Pembudayaan Usahawan dalam Islam: Teori dan Aplikasi.

International Journal of Islamic Business (IJIB). VOL 1 Issue 1. 1-12.

Hamid, S.A., Sa’ari, C.Z., Rahman, M.N.A., & Ishak, M.S. (2018). Islam dalam Budaya Keusahawanan: Kajian Terhadap Usahawan Melayu Berjaya di Negeri Kedah. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Special Issue (2018). 496-505.

Hamka. (1983). Tafsir al-Azhar. Juzuk 30. Jakarta: Penerbit Pustaka Panjimas.

Hamka. (1987). Tafsir al-Azhar. Juzuk 28. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.

Haneef, M. A. (1995). Contemporary Islamic Economic Thought: A Selected Comparative Analysis. UK: Alhoda.

Hashim, M.A.H. (2004). Bisnes: Satu Cabang Jihad. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Ibnu Kathīr. (2006). Tafsīr Ibnu Kathīr. Bayrūt. Dār al-Kutub al-Ilmiyyah.

Lambing, P.A., & Kuehl, C.R. (2007). Entrepreneurship. 4th Edition. University of Missouri:

Pearson.

Mokhtar, S., Hajimin, M. N. H., Muis. A. M. R. A., Othman, I. W., Esa, M. S., Ationg, R. &

Lukin, S. A. (2021b). Analisis Prinsip-Prinsip Komunikasi Islam dalam Kitab al-Quran.

International Journal of Law, Government and Communication (IJLGC). Volume 6 Issue 23 (April 2021). 140-156.

Mokhtar, S., Muda, N., Othman, I. W., & Esa, M. S. (2021a). Nilai Moral dalam Sajak ‘Ke Makam Bonda’ oleh Usman Awang: Satu Analisis Bahasa, Nilai dan Struktur Serta Kaitannya dengan Konsep Dakwah. International Journal of Education, Psychology and Counseling, 6 (41), 76-91.

Mokhtar, S., Othman, I. W., Ationg, R., & Esa, M.S. (2021d). Implementasi Dakwah Terhadap Etnik Sungai di Sabah: Satu Analisis Awal. Journal of Islamic, Social, Economics and Development (JISED), 6(40). 164 – 178.

Mokhtar, S., Shah, M. K. M., Ramlie, H., Othman, I. W., Ationg, R., Esa, M. S., & Marinsah, S. A. (2021c). Rekayasa Dakwah KBAT dalam Kalangan Mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah Menerusi Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban. International Journal of Education, Psychology and Counselling (IJEPC). Volume 6 Issue 39 (May 2021). 178- 193.

(13)

Mokhtar, S., Thia, K., Othman, I. W., & Moharam, M.M.H. (2021e). Prospek dan Cabaran Implementasi Dakwah dalam Media Kontemporari: Satu Analisis. Proceedings 5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021. 408-418.

03 - 05 August 2021.

Muda, N., Mokhtar, S., Othman, I. W., Zulhaimi, N. A., Ationg, R., Esa, M. S., & Majumah, A. S. A. R. (2021c). Qudwah dan Uswah Acuan al-Quran dalam Kepimpinan Pendidikan.

Journal of Islamic, Social, Economics and Development (JISED), 6(38), 135-146.

Muis, A.M.R.A., Esa, M. S., Ibrahim, M.A., Othman, I.W., Mokhtar, S., Ationg, R., & Shah, M. K. M. (2021). Elemen Sepunya Kepemimpinan dan Kepengikutan dalam Pembangunan Insan Berteraskan Islam. Journal of Islamic, Social, Economics and Development (JISED), 6(38). 119-134.

Nadzri, S., & Yaacob, S.E. (2019). Ciri-Ciri Akhlak Usahawan Muslim Berjaya dan Hubungannya dengan Cara Pengembangan Harta serta Matlamat Hidup Menurut Perspektif al-Quran. Journal of Contemporary Islamic Law. Vol. 4(1): 8-17.

Sabiq, S. (t.th). al-Aqa’id al-Islamiyyah. Beirut: Dar al-Fikr.

Salleh, M.S. (1999). Usahawan Islam: Erti dan Strategi. Seminar Usahawan Islam. Anjuran Muslim Students Association, Universiti Sains Malaysia, Kedah. 5 Oktober.

Siddiqi, M.N. (1979). The Economics Enterprise in Islam. New Delhi: Markazi Maktaba Islami.

Suhid, A. (2009). Pendidkan Akhlak dan Adab Islam, Konsep dan Amalan. Kuala Lumpur:

Utusan Publications & Distributors. Sdn. Bhd.

Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada pengertian al-Quran 30 juzu’. (2000). Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Kuala Lumpur: Dar al-Fikr.

Usop, R., Zainol, F.A., Nordin, N., Wahab, N.A., & Masud, W.H. (2019). Amalan Etika Perniagaan Islam dalam kalangan Usahawan Islam: Kajian Kes di Syarikat Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd. Journal of Management and Operation Research. (JoMOR). 2019, Vol 1, Issue 2. 1-4.

Referensi

Dokumen terkait