42 Jurnal Penyelidikan Teknokrat II, Jld. XXII, (Dis)
ISSN 1511 5828
E-ISSN-2637-1065 Full Paper
TAHAP PENGETAHUAN DAN KESEDIAAN PEMBELAJARAN ABAD KE-21 DALAM KALANGAN GURU KAFA DI DAERAH SEREMBAN
TEACHER’S KNOWLEDGE AND READINESS TOWARD 21ST CENTURY LEARNING AMONG KAFA TEACHERS’ IN SEREMBAN
Article history Received:
24 February 2020 Received in revised form:
25 August 2020 Accepted:
31 November 2020 Published online:
31 December 2020 SH NABILATUL HUDA SYED ABDULLAH 1, SAROYA YAHYA2 &
MASRIYAH MISNI 3
IPG Kampus Pendidikan Teknik, Kompleks Pendidikan Nilai, 71760 Bandar Enstek, Negeri Sembilan
*Corresponding author:
masriyah.misni@yahoo.
com
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti tahap pengetahuan dan kesediaan pembelajaran abad ke-21 dalam kalangan guru KAFA. Kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran komunikatif, kemahiran kolaboratif, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif merupakan kemahiran pembelajaran yang penting dan sangat diperlukan oleh guru-guru untuk berdaya saing pada abad ini. Kajian tinjauan ini menggunakan soal selidik berskala Likert lima mata sebagai instrumen kajian. Seramai 24 orang guru-guru KAFA dari beberapa buah sekolah rendah dan menengah di daerah Seremban dipilih sebagai sampel kajian. Data dianalisis menggunakan analisis deskriptif, iaitu min dan sisihan piawai untuk melihat tahap pengetahuan dan kesediaan pembelajaran abad ke-21 guru-guru KAFA. Min keseluruhan dapatan kajian menunjukkan tahap interpretasi yang tinggi dalam kalangan guru KAFA mengenai pembelajaran abad ke-21 iaitu 4.07 bagi tahap pengetahuan dan 4.38 bagi tahap kesediaan guru. Dapatan kajian mencadangkan supaya pengetahuan pembelajaran abad ke-21 diperluaskan dalam kalangan guru KAFA di Malaysia bagi memastikan mereka relevan.
Kata Kunci : Pengetahuan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), Kesediaan terhadap PAK21, Guru- guru KAFA
43 ABSTRACT
This study aims to identify the level of KAFA teachers’ knowledge on 21st Century learning. The 21st Century learning knowledge is essential in helping teachers to stay competitively relevant in this era.
Thus, teachers need to be equipped with communicative skill, collaborative skill, critical dan creative thinking skill, and study skills. This survey study uses a five-point Likert questionnaire as the instrument. Respondents were 24 KAFA teachers from several primary and secondary schools in the district of Seremban. Descriptive analysis of data in terms of mean and standard deviation is used to identify the level of the teachers’ knowledge and readiness towards 21st Century learning. The overall mean of this research shows that the mean for knowledge toward 21st Century learning is 4.07 and the mean of teachers’ readiness is 4.38. The finding suggests that the 21st Century learning should be disseminated to all KAFA teachers in Malaysia to help them become competitively relevant.
Keywords: Knowledge on 21st Century Learning, Readiness towards 21st Century Learning, KAFA teachers
PENGENALAN
Keperluan menyediakan pendidikan yang setaraf berdasarkan keperluan generasi murid dan pelajar pada abad ke-21 seringkali diperkatakan oleh ahli akademik dan pakar-pakar pendidikan. Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dipraktikkan mestilah sejajar dengan perkembangan teknologi maya dan akses kepada jalur lebar yang semakin pantas.
Perkembangan pendidikan telah menerima pelbagai revolusi dan inovasi seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan yang meliputi sains dan teknologi. Menurut Ahmad Zulfiqar Shah Abdul Hadi et. al. (2018), perkembangan dan program komputer telah mengubah senario pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas pengajaran guru. Justeru itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil inisiatif PdP abad ke-21 pada tahun 2014 serta pelaksanaan pada peringkat nasional pada tahun 2015 (Buletin Anjakan, 2015).
Bagi mendepani cabaran abad ke-21, agenda melahirkan modal insan minda kelas pertama berdasarkan apa yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 (Kementerian Pelajaran, 2006), dan berkualiti tinggi sebagaimana gagasan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2015 (Kementerian Pelajaran, 2013), murid seharusnya disediakan dengan kemahiran dan kompetensi kurikulum yang bakal melahirkan murid yang seimbang, berdaya tahan, bersemangat ingin tahu, berprinsip, mempunyai kemahiran berfikir dan berkomunikasi dengan berkesan. Hal ini sudah tentunya memerlukan gerak daya seorang guru yang kompeten bagi mewujudkan PdP yang berkesan.
Pendidikan Islam merupakan aspek penting dalam membina keperibadian seseorang individu. Untuk mencapai hasrat tersebut, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) merupakan salah satu kaedah penyampaian pendidikan Islam yang telah diterapkan secara formal.
Tumpuan program KAFA ini adalah murid-murid Islam di sekolah rendah yang memberi pengukuhan dan memperkayakan asas-asas Pendidikan Islam. Menurut Ruzaimah Zainol
44 Abidin, Azman Md Zain & Mohd Hilmi Hamzah (2017), matlamat Pendidikan Islam KAFA adalah untuk melahirkan murid yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, seterusnya akan dapat melahirkan insan yang bertakwa.
Bagi membina dan mempraktikkan model PdP yang berkesan, guru seharusnya disediakan dan mempunyai kemahiran abad ke-21 meliputi pembelajaran dan kemahiran inovasi, kemahiran maklumat, media dan teknologi, kemahiran hidup dan kerjaya, yang terkandung dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kemahiran-kemahiran ini boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas melalui konsep 4C iaitu kreativiti (creativity), pemikiran kritis (critical thinking), kolaborasi (collaborative) dan komunikasi (communication) (Buletin Anjakan, 2015).
Oleh itu, bagi memastikan segala hasrat dan matlamat Pendidikan Islam KAFA tercapai, hal ini memerlukan satu proses pembelajaran yang berkesan. Menurut Nidzamuddin (2004), keberkesanan pengajian kelas Pendidikan Islam KAFA masih pada tahap minimum sama ada kelas di bawah kelolaan JAKIM atau KPM. Pelbagai kajian menunjukkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) KAFA masih boleh dipersoalkan terutama melibatkan strategi dan kaedah pengajaran, bahan bantu mengajar dan profesionalisme keguruan. Pendekatan, strategi, dan kaedah pengajaran guru KAFA haruslah dijalankan dengan bercirikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan berpusatkan pelajar. Persediaan guru dalam mengaplikasi konsep pembelajaran abad ke-21 (PAK21) bakal melahirkan generasi yang kompeten dan memenuhi cabaran pendidikan semasa pada masa akan datang.
Penerimaan ciri-ciri PAK21 dalam kalangan guru Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri sembilan (JAINS) masih pada tahap sederhana dan kurang. Hal ini menggambarkan kemahiran yang dimiliki oleh guru untuk menerapkan pedagogi abad ke-21 masih perlu ditingkatkan. Aspek komunikasi berkesan merupakan elemen utama dan penting dalam mewujudkan sikap saling membantu antara murid, memupuk nilai akhlak mulia dan menjalinkan hubungan silaturrahim bagi melahirkan komuniti yang baik. Keadaan ini mempunyai hubungan secara langsung dengan tugas guru Pendidikan Islam sebagai mua’lim, mudarris, mursyid dan murabbi yang bertanggungjawab mendidik dan melahirkan generasi Ulul Albab demi kelangsungan ummah. Aziz Omar (2011) berpendapat, sekiranya guru masih mengamalkan teknik pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang konvensional berterusan tanpa memikirkan ciri-ciri PdP yang boleh memupuk pelbagai kemahiran abad ke- 21 kepada murid, persepsi masyarakat dan warga pendidikan terhadap keberkesanan guru yang kompeten akan kekal kurang berkesan.
Pembelajaran abad ke-21 membolehkan murid berkeperibadian dan berintegriti tinggi, mampu bekerja dengan orang lain dan fleksibel. Seterusnya, ciri murid yang ingin dilahirkan melalui pembelajaran abad ke-21 adalah murid mempunyai identiti nasional iaitu sentiasa merasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Untuk mencapai hasrat tersebut, guru yang merupakan pemangkin utama kepada kejayaan pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 mestilah mempunyai ciri-ciri yang sesuai seperti menguasai subjek pembelajaran, mahir dan berketerampilan dalam pedagogi, memahami perkembangan murid, memahami psikologi pembelajaran, memiliki kemahiran kaunseling dan mahir menggunakan teknologi terkini.
45 Pembangunan profesionalisme pula merujuk kepada pembelajaran guru secara kolaboratif meliputi aktiviti seperti dialog reflektif, perkongsian amalan, fokus secara kolektif terhadap pembelajaran murid, kolaboratif, norma dan nilai yang dikongsi bersama.
Pada era globalisasi ini, guru bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan dan menghasilkan perubahan tingkah laku ke atas diri pelajar menerusi pengamalan PdP yang bersifat interaktif dan meletakkan daya berfikir sebagai keutamaan. Guru harus memahami idea perubahan dengan sempurna, dan menyusun strategi yang rapi untuk memastikan perubahan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Menurut Rahimin Affandi (2004), guru perlu menguasai teknologi yang sentiasa berubah di samping meningkatkan lagi ilmu pengetahuan serta mutu pengajaran bagi menangani perubahan dalam inovasi PdP. Guru perlu inovatif untuk membuat peningkatan dalam PdP dan mempertingkatkan amalan pedagogi dalam bilik darjah. Peningkatan dalam ilmu pengetahuan dan teknologi sewajarnya dilakukan guru kerana keupayaan guru menyelesaikan masalah bergantung kepada keupayaan guru sebagai fasilitator, penyelesai masalah, pemangkin dan pendorong pembelajaran (Ab Halim Tamuri et. al., 2011).
Justeru, kajian ini akan meneliti sejauh mana pengetahuan dan kesediaan guru Pendidikan Islam JAINS tentang konsep, pemahaman dan masalah yang dihadapi dalam melaksanakan PdP abad ke-21.
PENYATAAN MASALAH
Guru-guru KAFA merupakan guru agama yang berkhidmat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Guru-guru KAFA adalah guru-guru yang mengajar Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). KAFA adalah program berkonsepkan pengukuhan asas Pendidikan Islam dengan memberi penekanan kepada kemahiran membaca Al-Quran serta asas-asas Fardu Ain. Guru-guru ini masih dalam proses untuk didedahkan dengan perkembangan terkini dan masih belum mendapat pendedahan sepenuhnya berkaitan dengan PAK21. Sehubungan dengan itu kerjasama di antara JAKIM dan IPGM dalam mengadakan Latihan Profesionalisme Guru KAFA untuk membentuk keperibadian guru dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersesuaian dengan aspirasi negara dalam memperkasakan modal insan adalah penting dan diberi keutamaan.
Dalam konteks guru Pendidikan Islam, berdasarkan temubual dengan guru-guru KAFA yang berkursus pada Jun 2018 di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi mendapati kebanyakan guru KAFA masih cenderung menggunakan kaedah pengajaran berpusatkan guru iaitu chalk and talk.
Beberapa kajian telah dijalankan bagi melihat keupayaan guru dari aspek pengetahuan, kemahiran dan amalan pengajaran terhadap penerapan kemahiran PAK21 namun keseluruhan daripada dapatan kajian menunjukkan kesediaan dan amalan pengajaran dalam kalangan guru Pendidikan Islam masih kurang memuaskan (W. A. Wan Ismail, M.I. Hamzah
& M.A. Lubis, 2016). Kebanyakan guru KAFA masih mengamalkan kaedah pengajaran secara tradisional yang disifatkan sebagai pengajaran berpusatkan guru seperti syarahan, hafalan, soal-jawab, dan perbincangan (Md Yusoff et. al. 2006). Siti Fatimah & Ab. Halim (2010) menyatakan faktor kekurangan penggunaan BBM dalam PdP menyebabkan guru KAFA masih mengamalkan kaedah pengajaran secara tradisional.
46 Antara masalah yang timbul dalam pembelajaran KAFA ialah pandangan masyarakat yang menganggap pendidikan di kelas KAFA tidak penting dan dianggap pilihan sahaja iaitu bukan wajib untuk diikuti (Azizi Umar, Shaharuddin Pangilun, Ikmal Zaidi hashim, Imran Kamal Basah, Mohd Kamal Andul Fattah Pardon, 2016). Oleh itu, terdapat ibu, bapa dan penjaga yang bersikap sambil lewa akan kehadiran anak ke sekolah serta merasakan keputusan peperiksaan tahunan yang dilaksanakan di KAFA adalah tidak penting. Situasi ini menyebabkan guru-guru KAFA kurang bermotivasi untuk meningkatkan kualiti kaedah PdP dan seterusnya kurang berminat untuk menghasilkan PdP yang interaktif seperti yang disarankan dalam PAK21 (Kamarul Azmi & Ab. Halim, 2007).
OBJEKTIF KAJIAN
Secara khusus, objektif kajian rintis ini adalah untuk mengenal pasti tahap pengetahuan dan kesediaan pembelajaran PAK21 dalam kalangan guru-guru KAFA Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan di daerah Seremban.
SOALAN KAJIAN
Kajian ini merupakan kajian rintis untuk mengenal pasti tahap pengetahuan dan kesediaan guru-guru KAFA di daerah Seremban mengenai pembelajaran Abad ke-21. Soalan kajian adalah seperti berikut:
1. Apakah tahap pengetahuan PAK21 dalam kalangan guru-guru KAFA?
2. Sejauh manakah pengetahuan dapat membantu kesediaan guru-guru KAFA dalam PAK21?
GURU KAFA
Guru KAFA dalam kajian ini merujuk kepada guru yang dilantik oleh agensi bertanggungjawab yang mengajar KAFA menggunakan kurikulum Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sepenuhnya serta mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh JAKIM dan tidak termasuk guru yang mengajar Al-Quran sahaja atau Fardu Ain sahaja. Terdapat 93 orang guru KAFA di Negeri Sembilan. Kerajaan juga sedang mengkaji untuk menaikkan taraf status guru KAFA termasuk dilantik ke jawatan tetap dalam usaha untuk membela kebajikan golongan ini (Berita Harian, 2019).
SOROTAN LITERATUR
Perkembangan teknologi membawa perubahan dalam pendidikan. Penerimaan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga berubah. Teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembelajaran dan pengajaran kini digunakan bagi membangunkan modal insan berteraskan kemahiran abad ke-21 (Dasar Pendidikan Kebangsaan, 2012). Kemahiran abad ke-21 diperlukan bagi sebahagian masyarakat dan tenaga kerja abad ke-21.
47 Bagi memenuhi keperluan ini, suatu set kemahiran digelar kemahiran abad ke-21 dibina.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan inisiatif pembelajaran abad ke-21 secara rintis pada tahun 2014 dan meluaskan pelaksanaan ke seluruh negara mulai tahun 2015. Pelaksanaan pengajaran berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) menjadi penanda aras keberkesanan pendidikan abad ke-21.
Dalam Panduan Pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21 (2017), terdapat kemahiran-kemahiran kritikal yang seharusnya dikuasai, yang dikemukakan oleh Persatuan Pendidik Amerika.
Kemahiran-kemahiran tersebut ialah kemahiran pemikiran kritikal, komunikasi, kolaboratif dan kreativiti (4C). Menurut James (2017) kebelakangan ini terdapat pula usaha untuk menambah 2C dalam PAK21 iaitu kewarganegraan (citizenship) dan karakter (character). Panduan tersebut juga merujuk kepada Model Osler dan Starkey (2005) yang menjelaskan dalam aspek kewarganegaraan, seorang pelajar seharusnya tahu peranan masing-masing sebagai warganegara berhubung soal status, hak, amalan dan kompetensi. Manakala dalam aspek pembangunan karakter pula, pelajar diharapkan mempunyai kebolehan dan kemahiran untuk memimpin dan berkolaboratif dengan orang lain (Nur Hanani Hussin, 2015).
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013, dalam Anjakan 3 : Melahirkan rakyat yang menghayati nilai, menjelaskan bahawa murid pada hari ini akan mewarisi dunia yang penuh dengan cabaran hebat, daripada kemusnahan alam sekitar sehinggalah kepada konflik bersenjata. Untuk berjaya mengharungi segala cabaran ini, murid bukan sahaja perlu memiliki kemahiran memimpin, tetapi juga nilai murni sejagat seperti integriti, belas kasihan, adil, dan altruisme yang dapat membimbing mereka dalam membuat keputusan beretika.
Pada masa yang sama, pembangunan warganegara yang global perlu diimbangi dengan pembangunan identiti nasional yang teguh. Selain itu, setiap murid yang tamat persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri dan keluarga mereka atau sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih besar, serta negara (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, 2012).
Kemahiran PAK21 dalam PdP Pendidikan Islam
Kemahiran abad ke-21 dikatakan satu set kemahiran yang diperlukan untuk murid bersaing di era digital. Menggabungkan kemahiran abad ke-21 dengan kandungan dan amalan pembelajaran Pendidikan Islam merupakan salah satu cara untuk murid mahir dan menguasai konsep pembelajarannya. Bagi menghadapi era digital ini, murid perlu dipersiapkan dengan kefahaman yang baik dalam Pendidikan Islam dan penguasaan dalam kemahiran abad ke- 21. Kemahiran ini perlu diintegrasikan di dalam bilik darjah oleh guru. Pengajaran guru menunjukkan hubungan yang kuat dengan hasil pembelajaran abad ke-21 (ITL, 2011). Tetapi, hanya terdapat sebilangan kecil sahaja guru yang sudah biasa dengan terma kemahiran abad ke-21 selain dapat memberi elemen-elemen yang terdapat dalam kemahiran abad ke-21 (Grunwald Associates LLC, 2010). Menurut Noraini (2015), kefahaman guru terhadap sesuatu konsep akan memberi gambaran jelas terhadap tindakan, keputusan dan amalan dalam bilik darjah. Guru menjadi salah satu faktor menyumbang kepada kelemahan murid dalam menguasai kemahiran seperti komunikasi, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah (Carlgren, 2013).
48 NCREL & Meitri Group telah mengemukakan kerangka enGauge 21st century skills untuk menggalakkan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan murid, guru dan pentadbir. NCREL &
Meitri Group telah membangunkan enGauge 21st century skills yang terdiri daripada empat bidang utama iaitu (a) literasi era digital, (b) pemikiran inventif, (c) komunikasi berkesan dan (d) produktiviti tinggi. Penguasaan keempat-empat domain ini dapat meningkatkan pencapaian akademik dan merupakan kemahiran yang diperlukan dalam era digital (NCREL
& Metiri Group, 2003). The Partnerships for 21st century skills telah mengemukakan kerangka pembelajaran abad ke-21 untuk membantu penerapan abad ke-21 menerusi kurikulum. Murid yang berjaya menguasai kurikulum ini dikatakan mampu menjadi sebahagian masyarakat dan tenaga kerja abad ke-21.
Maka, murid bukan sekadar menguasai pengetahuan kandungan akademik, tetapi berupaya mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran terhadap tugasan yang diberi. Asas dalam mata pelajaran teras perlu disokong oleh kemahiran seperti (a) kemahiran inovatif dan pembelajaran, (b) kemahiran maklumat, media dan teknologi, dan (c) kemahiran hidup dan kerjaya (AACTE & the Partnership for 21st Century Skills, 2010).
Selain itu guru dan murid harus berkemampuan menggunakan teknologi. Kemahiran menggunakan teknologi bukan sekadar kemampuan menggunakan teknologi seperti Google, Youtube, Twitter, blog dan sebagainya. Murid kini sudah mahir dalam menggunakan segala teknologi yang ada berikutan mendapat pendedahan dan kemudahan. Tetapi bagaimana seseorang guru dan murid tersebut menggunakan teknologi tersebut untuk mengkaji, menyusun atur, menilai dan mencari maklumat. Frey & Fisher (2012) berpendapat, guru dan murid kini sememangnya mengetahui bagaimana menggunakan teknologi, tetapi masih terdapat jurang dalam pengetahuan guru dan murid bagaimana mencari maklumat yang tepat dan sah menggunakannya.
Seterusnya, pengintegrasian teknologi di dalam bilik darjah diperlukan dan dibimbing oleh guru. Namun, pengintegrasian teknologi bagi membina kemahiran abad ke-21 bukan sekadar menggunakan pelbagai teknologi di dalam PdP. Tetapi bagaimana seseorang guru membimbing murid dalam menilai segala maklumat yang diperoleh daripadanya. Selain itu, boleh menjadi pendekatan bagi membolehkan murid membina kemahiran abad ke-21 seperti kerjasama, kolaborasi dan pembelajaran kendiri (Walser, 2008). Oleh itu, keperluan membina kemahiran maklumat, media dan teknologi di dalam kemahiran abad ke-21 perlu difahami oleh guru. Becta (2010) telah menyenaraikan kefahaman dan pengetahuan yang diperlukan guru untuk menggunakan teknologi secara efektif, antaranya adalah: 1) mempamerkan kebolehan menggunakan internet dalam konteks profesional, 2) memahami fungsi teknologi dalam PdP yang efektif, 3) mempunyai pengetahuan dalam ICT, 4) memahami bagaimana mengenalpasti dan membina kebolehan ICT murid, dan 5) memahami tanggungjawab untuk melindungi murid dan data mereka.
Wagner (2008), mencadangkan pelajar perlu tujuh kemahiran hidup untuk bersedia menghadapi abad ke-21, antaranya memiliki pemikiran kritikal dan dapat menyelesaikan masalah, sentiasa bekerjasama dan mempunyai daya kepimpinan, sifat ketangkasan dan berkeupayaan menyesuaikan diri, sentiasa inisiatif dan bersifat keusahawanan, memiliki
49 komunikasi secara lisan dan bertulis dengan berkesan, dapat mengakses dan menganalisis maklumat serta mempunyai rasa ingin tahu dan berimaginatif. Begitu juga kajian mendapati Singapura menghadapi cabaran untuk membangunkan guru model pendidikan abad ke-21 yang menggunakan TE21. Friedman (2006) dalam bukunya The world is flat, a brief history of the twenty-first century, menyatakan pendidikan turut memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia dalam abad ke-21 ini.
Begitu juga Toffler (1990) pula dalam bukunya Power shift: Knowledge, wealth and power at the edge of the 21st century menyatakan bahawa 'the illiterate of the 21st century are not those that cannot read or write, but those that cannot learn, unlearn and relearn.'
Sehubungan dengan itu, kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21 dapat membantu negara menangani cabaran dalaman serta luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (informatian and communications technology). Antara cabaran negara adalah untuk membangunkan satu sistem ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi bagi menghadapi persaingan dengan negara lain. K-ekonomi ini memerlukan sokongan padu daripada sektor pendidikan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berpengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang.
Melalui kajian ini, guru boleh menambahkan pengetahuan mengenai kemahiran abad ke-21.
Seterusnya memperbaiki dan menggandakan usaha bagi mencari kaedah terbaik dalam mengintegrasikan elemen kemahiran abad ke-21 dalam pengajaran. Hal ini kerana guru merupakan faktor yang mendasari kejayaan dalam membina kemahiran abad ke-21 dalam kalangan murid. Memandangkan masih sedikit diketahui tentang kemahiran abad ke-21 yang diajar oleh guru di sekolah maka, kajian ini dijalankan untuk meneroka apakah yang difahami oleh guru tentang kemahiran abad ke-21? Apakah tahap kesediaan guru dalam pembelajaran abad ke-21? Dan apakah elemen kemahiran abad ke-21 yang sering diintegrasikan dalam PdP? Bagaimanapun, kertas kajian ini hanya memberi tumpuan kepada dapatan awal.
METODOLOGI
Secara umumnya kajian ini adalah kajian kuantitatif berbentuk deskriptif bagi mengenal pasti dan mengkaji secara empirikal dan sistematik berkaitan tahap pengetahuan dan kesediaan guru-guru KAFA terhadap PAK2. Kajian ini akan menggunakan reka bentuk kajian tinjauan.
Kajian tinjauan termasuk dalam kajian yang diklasifikasikan oleh Mohd Majid Konting (1998) dalam Hamidah (2007) merupakan salah satu jenis kajian dalam penyelidikan deskriptif.
Menurut Creswell (2005) reka bentuk kajian tinjauan adalah prosedur dalam penyelidikan kuantitatif dan kualitatif yang mana pengkaji menjalankan satu tinjauan terhadap sampel atau keseluruhan populasi.
Kajian yang dijalankan ini merupakan kajian rintis bagi melihat tahap pengetahuan dan kesediaan guru-guru KAFA dalam daerah Seremban mengenai PAK21. Item bagi soal selidik adalah digubal sendiri dan disesuaikan dengan tujuan kajian. Setelah dibuat kajian rintis, nilai alpha Cronbach yang diperoleh ialah 0.098. Ini bermakna item soal selidik ini mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi. Data telah dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for The Social Science (SPSS) versi 20.0. Analisis statistik deskriptif digunakan bagi mengenalpasti taburan kekerapan, sisihan piawai, dan peratusan bagi melaporkan kajian ini.
50
RESPONDEN KAJIAN
Seramai 24 orang guru-guru KAFA secara sampel bertujuan telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Mereka terdiri daripada guru yang baru berkhidmat dan juga yang telah lama berkhidmat di sekolah-sekolah agama di daerah Seremban.
INSTRUMEN KAJIAN
Instrumen ini diadaptasi daripada inventori elemen pentaksiran bilik darjah pedagogi abad ke- 21. Soalan soal selidik ini meliputi elemen pentaksiran berasaskan bilik darjah dan amalan pedagogi abad ke-21.
Jadual 1
Jadual Julat Bacaan Skor dan Tahap
Skor Min Tahap 4.0 hingga 5.00 Tinggi 3.0 hingga 3.99 Sederhana 2.0 hingga 2.99 Rendah 1.0 hingga 1.99 Lemah
_________________________________________________________________________________
Jadual 1 menunjukkan tanda aras skor min berpandukan skala likert 5 mata. Skor min yang diperolehi dari analisis soal selidik dibahagikan kepada empat tahap iaitu lemah, rendah, sederhana dan tinggi.
DAPATAN DAN PERBINCANGAN Jadual 2
Profil Demografi Sampel Kajian
Kategori Jumlah Peratus Jantina Lelaki 03 87.5
Perempuan 21 12.5
Umur Kurang 30 tahun 05 20.8
30 – 39 tahun 08 33.3
40 – 49 tahun 07 29.2
Lebih 50 tahun 04 16.7
Kelayakan Ijazah Sarjana Muda 01 4.2
STPM / STAM 08 33.3
SPM 15 62.5
Pengkhususan Agama 19 79.2
Bahasa Arab 01 4.2
Dakwah 01 4.2
51
Syariah 01 8.3
Usuluddin 01 4.2
Pengalaman Kurang daripada 5 tahun 03 12.5
5 hingga 10 tahun 07 29.2
11 hingga 15 tahun 09 37.5
Pendedahan PAK21 Tidak memberi respons 03 12.5 Pernah menerima pendedahan 03 12.5
Tidak pernah menerima pendedahan 18 75.0 __________________________________________________________________________
Kajian rintis ini melibatkan 24 orang guru KAFA di beberapa buah sekolah rendah dan menengah kebangsaan di daerah Seremban, Negeri Sembilan. Jadual 2 menunjukkan profil demografi responden kajian. Sebanyak 03 orang responden (12.5%) ialah guru lelaki dan guru perempuan pula ialah 21 orang iaitu (87.5%). Sebanyak 20.8 % adalah guru yang berumur kurang 30 tahun. Sebanyak 33.3 % responden adalah dalam lingkungan umur 30- 39 tahun manakala 29.2% berumur antara 40 hingga 49 tahun. Guru yang berumur lebih 50 tahun adalah sebanyak 16.7%. Dari segi kelayakan akademik, sebanyak 4.2 % mempunyai ijazah sarjana muda, manakala 33.3 5 memiliki sijil STAM/STPM dan 65.2 % memiliki SPM.
Dari segi pengkhususan, sebanyak 79.2% responden mempunyai pengkhususan agama, 4.2% Bahasa Arab, 4.2 % Dakwah, 8.3 % Syariah manakala 4.2% ialah pengkhususan Usuluddin. Dari segi pengalaman, sebanyak 12.5% mempunyai kurang dari 5 tahun pengalaman bekerja, sebanyak 29.2% mempunyai pengalaman bekerja antara 5 hingga 10 tahun, sebanyak 37.5% mempunyai pengalaman bekerja antara 11 hingga 15 tahun, manakala 20.8% mempunyai pengalaman bekerja antara 16 hingga 20 tahun. Dari aspek pendedahan mengenai PAK21, sebanyak 75.0% menyatakan mereka tidak pernah mendapat pendedahan, hanya 12.5 pernah mendapat pendedahan dan 12.5% responden tidak memberikan respon. Jumlah keseluruhan sampel adalah seramai 24 orang guru KAFA.
Jadual 3
Tahap Pengetahuan Pembelajaran Abad Ke-21 Guru KAFA
Bil. Item Min
Sisihan Piawai
Tahap Interpretasi A1 Pembelajaran berasaskan murid 4.04 0.69 Tinggi A2 Pembelajaran berbentuk kolaboratif 4.13 0.61 Tinggi A3 Pembelajaran berkesan membolehkan
murid menguasai pelbagai kemahiran
4.13 0.95 Tinggi
A4 Pembelajaran adalah proses (aktiviti, membentang hasil, refleksi)
4.25 0.94 Tinggi
A5 Pembelajaran adalah secara berkumpulan
4.08 0.93 Tinggi
52 A6 Persekitaran pembelajaran yang
kondusif
4.08 0.93 Tinggi
A7 Bilik darjah abad ke-21 disusun supaya murid terlibat secara aktif dalam PdP
4.08 0.88 Tinggi
A8 Kerusi dan meja bilik darjah abad ke-21 disusun secara berkumpulan
4.42 0.93 Tinggi
A9 Pembelajaran secara praktikal / hands- on
4.10 0.90 Tinggi
A10 Pembelajaran melibatkan penguasaan pelbagai kemahiran
4.13 0.68 Tinggi
A11 Sekolah perlu membina jaringan dengan kerjasama komuniti setempat, sektor awam dan sektor swasta
3.87 0.79 Sederhana
A12 Komuniti sekolah melibatkan murid, guru dan kakitangan
4.00 0.98 Tinggi
A13 Aktiviti dalam kelas memberi penekanan kepada penyiasatan, aplikasi,
penemuan, penerokaan, projek dan penggunaan maklumat
4.08 0.83 Tinggi
A14 Penggunaan komputer yang membantu PdP
4.13 0.90 Tinggi
A15 Murid bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka
3.67 0.96 Sederhana
A16 Murid memahami prosedur dan aturan 3.92 0.93 Sederhana A17 Integrasi KBAT diterapkan dalam PdP 4.08 0.88 Tinggi
Min keseluruhan 4.07 0.86 Tinggi _________________________________________________________________________
Jadual 3 menunjukkan taburan min dan sisihan piawai aspek pengetahuan guru KAFA mengenai pembelajaran abad ke-21. Dapatan kajian mendapati min tertinggi ialah item A8 iaitu Kerusi dan meja bilik darjah abad ke-21 disusun secara berkumpulan dengan min 4.42 dengan sisihan piawai 0.93. Item A2 hingga A10 menunjukkan min antara 4.13 hingga 4.42.
Item A11 menunjukkan skor min 3.87 iaitu pada aras sederhana. Item A12 hingga A14 menunjukkan skor min antara 4.0 hingga 4.13. Min terendah pula ialah item A15 iaitu Murid bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka dengan min 3.67 dengan sisihan piawai 0.96. Ini diikuti oleh item A16 iaitu Murid memahami prosedur dan aturan dengan skor min 3.92. Item yang menunjukkan tahap sederhana ialah item A11, A15 dan A16. Min keseluruhan
53 bagi penilaian pengetahuan mengenai pembelajaran abad ke-21 ialah 4.07 dengan sisihan piawai 0.86. Berdasarkan data, pengetahuan guru-guru KAFA mengenai pembelajaran abad ke 21 adalah di tahap yang tinggi.
Aspek yang menunjukkan skor min paling tinggi ialah aspek susun atur bilik darjah. Ini diikuti oleh aspek pembelajaran abad ke-21 yang melibatkan pelbagai proses iaitu menjalankan aktiviti, membentang hasil dan melakukan refleksi. Penggunaan komputer, pembelajaran yang melibatkan pelbagai kemahiran, praktikal serta penerokaan secara kolaboratif yang berpusatkan murid merupakan ciri-ciri pembelajaran abad ke-21 yang dipersetujui oleh guru- guru KAFA. Ini menunjukkan mereka peka dengan perubahan dan keperluan semasa PdP masa kini.
Berdasarkan dapatan kajian, secara keseluruhannya, didapati pengetahuan guru-guru KAFA berada pada tahap yang tinggi. Hal ini menunjukkan bahawa guru-guru KAFA merasakan pengetahuan PAK21 berguna kepada mereka. Guru-guru KAFA juga merasakan elemen pembelajaran PAK21 dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka. Dapatan ini selaras dengan kajian YM Raja Abdullah dan Daud (2018) yang merumuskan bahawa guru- guru peka terhadap keperluan pembelajaran abad ke-21 yang mengutamakan pemikiran kritikal dan pembelajaran bermakna. Pembelajaran bermakna akan berlaku apabila adanya perkongsian maklumat secara kolaboratif.
Namun, masih terdapat guru-guru KAFA yang tidak bersetuju dengan aspek bekerjasama dengan komuniti dan elemen kebertanggungjawaban murid terhadap aturan dan pembelajaran mereka. Murid perlu diberikan tanggungjawab untuk menentukan pembelajaran mereka secara kolaboratif. Dengan adanya perkongsian maklumat menerusi aktiviti berkumpulan, murid akan dapat kemahiran berkomunikasi secara kolaboratif dengan berkesan. Selain bekerjasama dan berbincang, murid juga didedahkan dengan kemahiran menyelesaikan masalah. Aspek-aspek ini sangat penting dipraktikkan di dalam bilik darjah dan guru merupakan agen perubahan tersebut. Sekiranya aspek ini tidak diyakini oleh guru, murid akan menghadapi bermasalah dalam menguasai kemahiran yang berkaitan dengan PAK21. Ini kerana guru menjadi salah satu faktor menyumbang kepada kelemahan murid dalam menguasai kemahiran seperti komunikasi, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah (Carlgren, 2013).
Hasil kajian mendapati bahawa guru-guru KAFA mengetahui tentang pembelajaran abad ke- 21 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Pemahaman guru-guru ini tentang konsep pembelajaran PAK21 masih perlu diberi perhatian terutama aspek pembelajaran yang menekankan kolaboratif dengan komuniti serta aspek keyakinan terhadap keupayaan murid menentukan pembelajaran mereka. Kajian ini menunjukkan guru-guru KAFA daerah Seremban secara rumusannya mempunyai tahap pengetahuan pembelajaran PAK21 yang tinggi. Tetapi ada beberapa aspek mengenai PAK21 yang bertahap sederhana.
Ini menunjukkan mereka perlu diberi pendedahan yang lebih mendalam mengenai PAK21.
54 Jadual 4
Tahap Kesediaan Pembelajaran Abad Ke-21 Guru KAFA
Bil. Item Min
Sisihan Piawai
Tahap Interpretasi B1 Guru menjadi pemudahcara yang kreatif 4.29 0.68 Tinggi B2 Guru menggunakan teknik pengajaran dan
pembelajaran yang pelbagai
4.17 0.75 Tinggi
B3 Guru yang bersedia untuk berubah ke arah PAK21
4.29 0.54 Tinggi
B4 Guru yang mahir berkomunikasi . 4.25 0.66 Tinggi B5 Guru yang mahir berkolaboratif. 4.17 0.69 Tinggi B6 Guru yang dapat menyediakan murid untuk
menghadapi dunia sebenar
4.17 0.75 Tinggi
B7 Guru merupakan pemimpin yang berketerampilan
4.46 0.71 Tinggi
B8 Guru yang memiliki kemahiran kaunseling 4.29 0.61 Tinggi B9 Guru yang menyayangi murid 4.58 0.70 Tinggi B10 Guru yang memahami perkembangan
murid
4.38 0.75 Tinggi B11 Guru yang dapat meningkatkan kualiti dan
jaringan pembelajaran
4.38 0.70 Tinggi
B12 Guru yang berani menghadapi cabaran 4.38 0.70 Tinggi B13 Guru yang meletak kepercayaan yang
tinggi kepada keupayaan murid
4.25 0.66 Tinggi
B14 Guru yang berfikiran kreatif 4.38 0.68 Tinggi B15 Guru yang boleh menyelesaikan masalah 4.29 0.65 Tinggi B16 Guru yang boleh membuat keputusan 4.50 0.65 Tinggi B17 Guru yang sentiasa ingin belajar 4.54 0.58 Tinggi
55 B18 Guru yang dapat menggunakan TMK
secara beretika
4.29 0.67 Tinggi B19 Guru yang dapat berkomunikasi secara
efektif dengan rakan
4.71 1.10 Tinggi
B20 Guru yang dapat bekerja dengan kumpulan yang pelbagai
4.34 0.50 Tinggi
B21 Guru yang peka dengan tanggung jawab sebagai warganegara Malaysia
4.63 0.48 Tinggi
B22 Guru yang dapat mengurus masa dengan berkesan
4.54 0.54 Tinggi
___________________________________________________________________
Min keseluruhan 4.38 0.67 Tinggi
_________________________________________________________________________
Jadual 4 menunjukkan taburan min dan sisihan piawai aspek kesediaan guru KAFA mengenai pembelajaran abad ke-21. Analisis menunjukkan item B19 iaitu Guru yang dapat berkomunikasi secara efektif dengan rakan memberikan interpretasi min yang sangat tinggi dan lima item memberikan interpretasi min yang tinggi berkenaan tahap kesediaan PAK21 guru KAFA. Item B16, B17, B19, B21 dan B22 memberikan skor min antara 4.50 hingga 4.71 yang menunjukkan kesediaan PAK21 guru-guru KAFA pada item-item berkenaan berada pada tahap tinggi. Item B19 menunjukkan interpretasi min sangat tinggi, iaitu min = 4.71, sp
= 1.1. Rumusannya, tahap kesediaan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) guru-guru KAFA adalah sangat tinggi. Hal ini bermakna guru-guru sangat bersedia untuk mengaplikasikan pembelajaran abad ke-21 dalam pengajaran dan pembelajaran mereka di sekolah. Analisis ini memberi interpretasi bahawa adalah penting bagi guru-guru KAFA mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi untuk guru-guru bersedia melaksanakan PAK21 dalam PdP di sekolah.
Hal ini dapat menunjukkan guru-guru KAFA telah bersedia untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 selepas menimba pengetahuan PAK21 melalui kursus-kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) di seluruh negara. Mulai tahun 2019, JAKIM telah bekerjasama dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), menganjurkan beberapa siri Kursus Lanjutan Profesionalisme Penyelia KAFA dan PdP guru-guru KAFA.
Tujuan kursus-kursus ini untuk menyediakan guru-guru KAFA yang kompeten selari dengan aspirasi negara dalam memperkasakan modal insan bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan PAK21 untuk menjadikan guna tenaga yang produktif pada masa hadapan.
IMPLIKASI DAN CADANGAN KAJIAN
56 Kemahiran abad ke-21 bukanlah satu elemen yang sukar untuk diterapkan dalam pembelajaran di sekolah. Salah satu elemen yang ditekankan dalam pembelajaran di sekolah pada abad ini adalah penggunaan teknologi. Hal ini kerana penggunaan teknologi dalam PdP memberi peluang murid untuk mengasah kepelbagaian kemahiran abad ke-21. Kemahiran ini dapat membantu murid sewaktu PdP di dalam kelas serta dapat diterapkan juga di alam pekerjaan nanti. Pelaksanaan kemahiran abad ke-21 dalam pembelajaran murid memberi kepentingan dan impak yang positif kepada tenaga pengajar seperti guru. Kemahiran abad ke-21 amat penting dalam konteks pendidikan kerana teknologi pada zaman ini diperlukan bagi setiap murid mahupun guru untuk melaksanakan tugasan-tugasan yang diberikan.
Implikasi daripada kajian ini menunjukkan masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kefahaman guru KAFA tentang pengetahuan dan kemahiran pembelajaran abad ke-21. Kefahaman guru tentang kemahiran abad ke-21 dan bagaimana kemahiran tersebut harus dibina dalam diri murid. Oleh itu adalah penting kajian tentang kemahiran abad ke-21 diperbanyakkan dan diperkembangkan. Kesediaan guru dari aspek kemahiran PAK21 boleh dipertingkatkan dengan guru mempelbagaikan teknik-teknik menjawab soalan latih dan latih tubi dengan menggunakan elemen KBAT supaya merangsang pelajar bergiat aktif dan berfikir aras tinggi. Hal ini bagi mengelakkan terdapat pelajar yang pasif dalam kelas.
Selain daripada itu, guru-guru KAFA perlulah dilengkapi dengan kemahiran bagaimana kemahiran berfikir dapat diterapkan secara berkesan menggunakan pelbagai strategi pembelajaran. Hal ini kerana strategi pembelajaran yang berkesan akan mewujudkan kesedaran dan motivasi kepada murid-murid untuk meningkatkan pencapaian pembelajaran ke tahap yang lebih baik. Di samping itu pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlulah mengadakan lebih banyak kursus dan bengkel, seminar ataupun konvensyen bagi memberi pendedahan kepada guru-guru KAFA tentang pelbagai teknik dan strategi pembelajaran kemahiran abad ke-21 di samping membuat pemantauan mengenai pelaksanaannya di dalam kelas di sekolah-sekolah.
Peranan yang dimainkan oleh guru-guru juga penting sebagai intipati dan penggerak utama di sebalik penerapan kemahiran pembelajaran abad ke-21. Guru-guru perlu ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menerapkan amalan dan elemen kemahiran abad ke-21 supaya tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan sekolah-sekolah lain. Jika kaedah pengajaran yang dijalankan adalah pasif dan tidak menggalakkan amalan elemen kemahiran abad ke-21 maka segala usaha Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), JPN dan PPD tidak akan mencapai maksud yang diinginkan oleh semua pihak. Justeru itu matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan generasi pelajar yang kreatif dan inovatif akan mengambil masa. Oleh itu pihak Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan satu sistem pendidikan yang terancang dan mudah diakses oleh semua warga pendidik dalam negara bagi menghasilkan pendidikan yang berkualiti.
Dapatan kajian ini juga mencadangkan supaya pengetahuan pembelajaran abad ke-21 dipeluaskan kepada kalangan guru-guru KAFA seluruh negara dengan memberi peluang guru-guru KAFA untuk mengikuti kursus, bengkel dan yang berkaitan sebagai pendedahan pengetahuan untuk mereka. Dapatan kajian juga mendapati tahap kesediaan guru-guru KAFA terhadap PAK21 adalah tinggi. Oleh itu perlulah dijalankan kajian tentang pelaksanaan PAK21 dalam kalangan guru KAFA sebagai cadangan kajian lanjut.
57
RUJUKAN
AACTE & the Partnership for 21st Century Skills. (2010). 21st Century Knowledge and Skills in Educator Preparation.
http://www.p21.org/storage/documents/aacte_p21_whitepaper2010.pdf. Dilayari pada 26/2/2019
Aziz Omar. (2011). Kualiti Pelajar Praktikum Institut Pendidikan Guru kampus Dato’ Razali Ismail. Jurnal Penyelidikan Muaddib, Jilid VII.
Becta. (2010). 21st century teacher: Are you ready to meet the challenge?
www.becta.org.uk. Dilayari pada 26/2/2019
Buletin Anjakan. (2015). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (Bil. 4).
Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Carlgren. T. (2013). Communication, Critical Thinking, Problem Solving: A Suggested ForAll High School Students in the 21st Century. Interchange, 44.
Frey, N., & Fisher, D. (2012). Literacy 2.0: Finding, Using, Creating, and Sharing Information.
Principal Leadership.
Grunwald Associates LLC. (2010). Educators, Technology and 21st Century Skills: Dispelling Five Myths (A Study on the Connection Between K–12 Technology Use
and 21st Century Skills).
http://www.grunwald.com/pdfs/Educators_Technology_21stCentury- Skills_GRUNWALD-WALDEN_Report.pdf. Dilayari pada 26/2/2019.
ITL (Innovative Teaching and Learning). (2011). Innovative Teaching and Learning Research: 2011 Findings and Implications.
http://download.microsoft.com/download/c/4/5/c45eb9d7-7685-4afd-85b3 dc66f79277ab/itlresearh2011findings.pdf. Dilayari pada 26/2/2019
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Dasar Pendidikan Kebangsaan.
http://planipolis.iiep.unesco.org/upload/Malaysia/Malaysia_Education_Policy_2012_
malay.pdf. Dilayari pada 26/2/2019.
Noraini Binti Omar. (2015). Amalan Pengajaran Guru Pendidikan Islam Berfokuskan Kepelbagaian Budaya Murid: Kajian Kes Di Negeri Sarawak. Tesis PHD. Fakulti Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
NCREL & Metiri Group. (2003). enGauge 21st Century Skills: Literacy in the Digital Age.
www.ncrel.org/engauge. Dilayari pada 26/2/2019.
Thomas L. Friedman. (2006). A brief history of twenty-first century, farrar, straus and giroux,
58 New York. Home page. http://us.macmillan.com/theworldisflat30/Thomas Friedman.
Wagner, T. (2008). The global achievement gap: Why even our best schools don’t teach the new survival skills our children need and what we can do about it.
New York, NY: Basic Books.
Walser, N. (2008). Teaching 21st century skills. Harvard Education Publishing Group.
http://hepg.org/hel/article/184. Dilayari pada 26/2/2019
Internet
http://www.islam.gov.my/berita-semasa/119-bahagian-pendidikan/1964-kursus-lanjutan- profesionalisme-penyelia-kafa-peringkat-zon-tengah-tahun-2019. Dilayari pada Januari 2019.