• Tidak ada hasil yang ditemukan

Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid 3, 2020

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid 3, 2020"

Copied!
7
0
0

Teks penuh

(1)

125

PAK 21: PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK DALAM MATA PELAJARAN REKA BENTUK DAN TEKNOLOGI (RBT) Mohd Ridzuan Padzil¹, Aidah Abd Karim², Hazrati Husnin² Pusat Inovasi Pembelajaran dan Pembelajaran¹²

Fakulti Pendidikan

Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi,

[email protected], [email protected], [email protected]

PENGENALAN

Mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang diletakkan di bawah unit Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) di dalam bidang STEM diperkenalkan kepada murid selari dengan kehendak PPPM iaitu menyediakan murid yang mempunyai pemikiran global dan kreatif serta memahami bagaimana untuk mengaplikasi teknologi masa kini dalam penyelesaian masalah masa hadapan. Selain daripada itu, pelaksanaan RBT juga memberi penekanan kepada pendedahan dalam mereka bentuk dan penghasilan produk berasaskan teknologi dan selari dengan matlamat RBT itu sendiri untuk melahirkan pelajar yang komited serta mempunyai pengetahuan, kemahiran, nilai, estetika dan teknologi serta dapat membentuk kemahiran berkomunikasi dan menjana idea untuk menghasilkan produk baharu di samping menjadi pereka bentuk yang membudayakan pemikiran kritis, kreatif, inovatif, inventif dan keusahawanan (BPK, 2015).

PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK

Menerusi pelaksanaan KSSM, pendidik dan juga pelajar seharusnya lebih berdaya saing serta lebih agresif dalam menimba pengetahuan, meningkatkan kemahiran serta mampu untuk menyampaikan maklumat pengajaran dengan lebih berkesan. Menurut Finch dan Crunkilton (1992) suatu program pendidikan diwujudkan bertepatan

(2)

126

dengan tujuan teknologi pendidikan iaitu untuk mengajar teknologi masa lalu, masa kini dan masa hadapan di semua peringkat pendidikan sebagai persediaan hidup dalam dunia yang sentiasa berubah. Hal ini diperlukan bagi memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja mahir pada masa kini bukan kepada pelajar yang menguasai teori semata-mata tetapi pelajar yang menguasai kemahiran praktikal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikir secara kritis dan penyelesaian masalah, kemahiran bekerja secara berpasukan dan juga etika moral dan professional (Sharifah Hana et al. 2015) selain sebagai keperluan dan kecekapan dalam industri era revolusi 4.0 (Aziz 2018; Rusli et al. 2020)

Pembelajaran berasaskan projek adalah merupakan antara inovasi yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan iaitu suatu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Pendekatan pembelajaran ini mendorong pelajar untuk bersifat aktif menjalankan proses kolaborasi, berkomunikasi sesama rakan dalam suatu kumpulan kecil bagi melaksanakan tugasan projek (Mispuah et al. 2016).

Pembelajaran berasaskan projek dilihat sebagai suatu pendekatan yang sesuai dan relevan terhadap perubahan pendidikan masa kini atau PAK-21. Hal ini kerana pendidikan kini tidak lagi tertumpu kepada kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi kemahiran dan pemikiran yang tinggi turut menjadi faktor yang penting yang menyumbang terhadap kejayaan seseorang dalam alam pekerjaan (Stephanie 2010). Penguasaan pelajar dalam kesemua aspek ini akan mengisi kelopangan yang dilaporkan oleh The Partnership for 21st Century Skill (2011) dimana terdapat jurang antara pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh pelajar di sekolah kini dengan keperluan yang diperlukan oleh majikan, komuniti serta pasaran pekerjaan pada abad ke-21.

Ciri-ciri Pembelajaran Berasaskan Projek

Secara asasnya, pembelajaran berasaskan projek diasaskan melalui beberapa teori pembelajaran iaitu teori pembelajaran konstruktivisme

(3)

127

oleh Piaget (1953). Vygotsky (1962) dan Bandura (1977), pembelajaran melalui pengalaman oleh Dewey (1983) serta teori konstruktinisme oleh Papert (1980). Pembelajaran ini adalah merupakan suatu kaedah pengajaran pembelajaran yang menggunakan kombinasi kurikulum komprehensif atau menyeluruh yangmencakupi pelbagai pengetahuan, kemahiran, nilai serta kreativiti (Dolge et al. 2002; Romarzila 2016). Selain itu, pembelajaran berasaskan projek juga terbukti sebagai suatu kaedah yang terbaik bagi meningkatkan kualiti pengajaran kerana ianya memupuk kemahiran abad ke-21 yang memerlukan pelajar menguasai kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran pembelajaran dan inovasi, kemahiran media dan teknologi serta kemahiran kehidupan dan pekerjaan yang membolehkan mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan masa hadapan (Mispuah et al. 2016).

Rusli, Rahman, Ahmar, & Hastuty (2020), antara ciri-ciri umum pembelajaran berasaskan projek yang boleh diguna pakai dalam proses pengajaran dan pembelajaran RBT termasuklah:

1. Guru menyediakan beberapa tugasan berasaskan projek.

2. Guru memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih rakan dalam kumpulan kecil serta memilih tajuk tugasan yang diminati bagi meningkatkan motivasi serta menghargai bakat pelajar.

3. Menjalankan proses berkolaborasi, berkomunikasi serta pelbagai peranan (multitasking) bagi mendapatkan idea serta solusi terhadap tugasan di antara ahli di dalam kumpulan.

4. Guru bertindak sebagai fasilitator dan pemudahcara.

5. Pelajar menggunakan kemahiran pemikiran reka bentuk, kreatif, inovatif dan inventif untuk membangunkan produk/

artifak.

6. Guru memperuntukkan masa sekurang-kurangnya empat minggu bagi menggalakkan pemikiran reka bentuk kreatif dan inovatif.

7. Pelajar menggunakan pelbagai sumber dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) untuk melakukan perbentangan projek yang menarik dan berkesan.

(4)

128

8. Pelajar melakukan refleksi kendiri dan penambaikan terhadap projek berdasarkan maklumat atau kritikan yang diterima ketika menjalankan perbentangan projek.

9. Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilakukan secara berteruskan menggunakan penilaian rubrik oleh guru bermula daripada pemberian tugas sehingga perbentangan projek.

Selain itu, Barton & Worlery (2008) menegaskan bahawa guru juga perlu peka dan sentiasa bersedia untuk melihat bahan bantu mengajar yang terkini selari dengan aras taksonomi yang membolehkan pelajar belajar dan bermain menggunakan minda. Hal ini turut dipersetujui oleh Siraj dan Slyva (2004) yang menyatakan bahawa pelajar yang belajar dalam konsep kerjasama yang menjurus kepada intelektual akan lebih mudah menyelesaikan masalah, mengklasifikasikan konsep, membuat penilaian aktiviti serta mempunyai idea yang lebih luas iaitu mampu berfikir di luar kotak.

Kebaikan Pembelajaran Berasaskan Projek

Kaedah pembelajaran berasaskan projek dalam pengajaran dan pembelajaran RBT ini mempunyai beberapa kelebihan. Antara kelebihannya termasuklah:

1. Hubungan antara guru dan juga pelajar akan menjadi lebih positif dan juga erat. Strategi ini menggalakkan pelajar dan guru berkomunikasi bagi mendapatkan idea serta bertukar pendapat mengenai permasalahan yang dihadapi.

Komunikasi ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelajar, malah menggalakkan pelajar mengembangkan kemahiran diri, berfikir dengan lebih luas serta yakin dalam mengemukakan hujah, pendapat, menyoal serta menyelesaikan masalah.

2. Seterusnya ialah pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah digunakan dalam situasi yang sebenar dan menghasilkan sesuatu. Ini akan mendorong pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang mereka ada dalam situasi

(5)

129

yang seronok dan bermakna dengan bantuan guru sebagai pemudah cara (Mispuah Hassan & Kamisah Osman, 2016).

3. Selain itu, semangat kerjasama dan saling bantu membantu dapat dipupuk melalui kerja projek berdasarkan kumpulan.

Kepelbagai pengetahuan, kemahiran serta kebolehan yang dimiliki pelajar akan menanamkan sikap koperatif dan turut melibatkan diri secara aktif dalam membuat dan menyediakan projek secara berkumpulan

4. Pelajar juga dapat mempelajari kemahiran mengumpul maklumat dan menganalisis maklumat. Kebanyakan projek memerlukan sumber yang memberi peluang kepada pelajar untuk mencari sendiri maklumat yang diperlukan. Pelajar- pelajar boleh menggunakan pelbagai jenis sumber seperti pusat sumber, media massa dan internet.

5. Pembentangan tugasan juga dapat meningkatkan lagi kemahiran dan keyakinan para pelajar ketika berhadapan dengan rakan-rakan lain. Kemahiran ini akan menyediakan pelajar agar lebih yakin serta mengaplikasikan teknik-teknik yangbetul dalam komunikasi berkesan.

6. Selain itu, minat pembelajaran dan daya kreatif pelajar juga dapat dipupuk, serta mampu mengembangkan kemahiran psikomotor mereka. Melalui pembelajaran berasaskan projek ini, perhatian pelajar terhadap satu-satu topik yang khusus, akan memberikan mereka peluang untuk menjana idea mengenai topik tersebut, mengajar mereka untuk menerima dan menghormati perbezaaan individu, mengalakan mereka untuk sedia menanggung risiko dalam berkongsi idea dan pandangan masing-masing serta menunjukan bahawa sumbangan idea mereka dihargai.

Kelemahan Pembelajaran Berasaskan Projek

Walaupun terdapat banyak kebaikan di dalam aktiviti pembelajaran berasaskan projek, namun pendekatan ini juga mempunyai beberapa kelemahan. Menurut Aziz (2018), antara kekurangannya termasuklah:

(6)

130

1. Memerlukan banyak tenaga dan masa untuk dilaksanakan.

Murid-murid dan guru terpaksa meluangkan lebih banyak masa dan tenaga untuk menyiapkan sesebuah projek.

2. Perbelanjaan untuk menghasilkan projek pula melibatkan kos yang tinggi. Untuk menghasilkan sesebuah projek pelajar harus mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk membeli bahan dan alatan yang diperlukan untuk membuat projek seperti kadbod, buku skrap, pensil warna, gam, gunting, kertas warna dan banyak lagi.

3. Melalui pembelajaran berasaskan projek, ianya memerlukan guru yang serba boleh dan menambah beban tugas guru kerana peranannya amat penting dalam menjayakan sesuatu projek.

4. Pelajar yang menghasilkan projek yang kurang menarik tidak mendapat peluang untuk mempamerkan projek yang mereka hasilkan, hal ini akan menyebabkan mereka berasa kecewa kerana menganggap hasil kerja mereka tidak diiktiraf.

Perasaan negatif ini mungkin mendatangkan kesan yang buruk terhadap pembelajaran mereka pada masa hadapan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pembelajaran berasaskan projek ini mendatangkan lebih banyak kebaikan kepada pelajar dan guru berbanding keburukan. Strategi ini lebih menekankan kepada penglibatan guru dan pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya kedua-dua belah pihak memberi kerjasama yang baik ketika pengajaran berlaku, maka suasana pengajaran akan menjadi lebih bermakna.

(7)

131 RUJUKAN

Abd Rahman, S.H., Mat Jusoh, Z.Y., Muhammad Serji, R. & Salleh, M. 2015. Faktor-faktor Kepuasan Majikan Terhadap Pelajar Latihan Industri Di Institut Pengajian Tinggi (IPT): Satu Sorotan.

iCASiC2015 (e-ISBN 978-967-0792-02-6) 2015(March): 619–

627. http://worldconferences.net.

Aziz, A. 2018. Education 4.0 Made Simple: Ideas For Teaching.

International Journal of Education and Literacy Studies 6(3): 92.

https://journals.aiac.org.au/index.php/IJELS/article/view/4616.

Rusli, Rahman, A., Ahmar, A.S. & Hastuty. 2020. The design of digital teaching material of higher education in industrial revolution 4.0.

Journal of Critical Reviews 7(1): 298–299.

Barton, Erin E & Worely, Mark. 2008. Teaching pretend play to children with disabilities: A review of the literature. Topics in Early Childhood Special Education. 28 (2): 109-125

Finch, R. C. Crunkilton, J. R. 1992. Curriculum Development in Vocational and Technical Education; Planning, Content and Implementation. Boston: Allyn and Bacon.

Kementerian Pendidikan Malaysia 2015. DSKP KSSM Reka Bentuk dan Teknologi Tingkatan 1. Diperolehi dari http://bpk.moe.gov.my/index.php/terbitan-bpk/kurikulum-

sekolah-menengah/category/16-dskp-tingkatan-

1?download=1758:dskp-kssm-tingkatan-1-reka-bentuk-dan- teknologi

Mispuah Hassan & Kamisah Osman. 2016. Pembelajaran Biologi Berasaskan Projek. Penerbit UKM. Bangi

Romarzila Omar. 2016. Pembelajaran Berasaskan Projek dalam pendidikan Sains awal kanak-kanak pra-sekolah. Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi

Siraj-Blatchford, Iram & Sylva, Kathy. 2004. Researcing pedagogoy in English pre-School. British Educational Journal. 30(5).713-730.

Referensi

Dokumen terkait