• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kajian terhadap ciri tarikan dan tahap kemudahan pelancong di Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah - UMS INSTITUTIONAL REPOSITORY

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Kajian terhadap ciri tarikan dan tahap kemudahan pelancong di Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah - UMS INSTITUTIONAL REPOSITORY"

Copied!
15
0
0

Teks penuh

(1)

KAJIAN TERHADAP CIRI TARIKAN DAN TAHAP KEMUDAHAN PELANCONG DI TAMAN LAUT TUNKU

ABDUL RAHMAN, SABAH

STUDY ON THE CHARATERISTICS OF ATTRACTIONS AND THE LEVEL OF TOURIST FACILITIES IN TUNKU ABDUL RAHMAN

MARINE PARK, SABAH

Jabil Mapjabil1 Mazdi Marzuki2

Rosmiza M. Z. 3 Noorziah Mohd Salleh4 Datu Razali Datu Eranza5

1Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Malaysia (E-mel: jabil@ums.edu.my)

²Jabatan Geografi & Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (E-mel: mazdi@fsk.upsi.edu.my)

³Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (E-mel: miza@ukm.edu.my)

4Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Kampus Sabah, Malaysia (E-mel: noorziah@sabah.uitm.edu.my)

5Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah, Malaysia (E-mel: drde@ums.edu.my)

Article history To cite this document:

Received date : 9-6-2021 Jabil Mapjabil, Mazdi Marzuki, Rosmiza M.Z., Noorziah Mohd Salleh & Datu Razali Datu Eranza (2021). Kajian terhadap ciri tarikan dan tahap kemudahan pelancong di Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah International Journal of Accounting, Finance and Business (IJAFB), 6 (34), 114 - 128.

Revised date : 10-6-2021 Accepted date : 13-7-2021 Published date : 15-7-2021

__________________________________________________________________________________________

Abstrak: Taman Laut Tunku Abdul Rahman (TLTAR) adalah salah satu taman laut yang diwartakan di bawah Establishment of Marine Parks Malaysia Order 1994 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan bagi tujuan pemeliharaan sumber marin dan pelancongan. Taman Laut Tunku Abdul Rahman terdiri daripada lima buah pulau iaitu Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sapi, Pulau Sulug dan sebahagian Pulau Gaya. Taman laut ini meliputi keluasan 4,929 hektar dan dua pertiga daripadanya adalah laut. Tujuan kajian ini adalah untuk meneliti ciri tarikan dan tahap kemudahan pelancong di TLTAR, Sabah. Kajian ini melibatkan 249 orang responden dalam kalangan penduduk tempatan yang berkunjung dan yang pernah berkunjung ke TLTAR. Profil demografik responden menunjukkan 71.5% adalah lelaki, 75.5%

berumur dalam lingkungan bawah 30 tahun, 68.7% adalah berstatus bujang dan lebih 50%

responden berpendidikan peringkat menengah. Berdasarkan kajian terhadap penduduk tempatan, tiga tarikan utama yang menjadi pilihan pelancong untuk datang ke TLTAR iaitu keindahan pantai dan lautnya dengan, diikuti oleh persekitaran pulau yang mendamaikan dan aktiviti rekreasi yang disediakan seperti snokerling, selam skuba dan berkelah. Seterusnya,

(2)

terdapat beberapa aspek paling penting yang perlu diberikan perhatian agar ia mampu mengekalkan keinginan pelancong untuk berkunjung ke TLTAR iaitu kebersihan persekitaran pulau termasuk pantai dan lautnya serta keselamatan pulau khususnya daripada ancaman pihak tertentu dan jenayah. Bagi tahap kemudahan pelancong, dapatan kajian menunjukkan kemudahan rekreasi, perkhidmatan bot dan jeti yang disediakan adalah lebih memuaskan berbanding dengan kemudahan lain. Hasil kajian ini adalah penting kepada pihak pembuat dasar dan perancang pembangunan taman laut untuk memastikan pengurusan pelancongan di taman laut lebih lestari dan memberikan manfaat serta kepuasan kepada semua pihak terutamanya penduduk tempatan itu sendiri.

Kata Kunci: Ciri Tarikan, Kemudahan, Pengunjung, Penduduk Tempatan, TLTAR

Abstract: Tunku Abdul Rahman Marin Park (TLTAR) is one of the marine parks gazetted under The Establishment of Marine Parks Malaysia Order 1994 issued by the Fisheries Department for the purpose of conservation of marine resources and tourism. TLTAR consists of five islands, namely Manukan, Mamutik, Sapi, Sulug and part of Pulau Gaya. The marine park covers an area of 4,929 hectares and two-thirds of it is marine. The purpose of this study is to examine the charateristics of attractions and the level of tourist facilities in TLTAR, Sabah. The study involved 249 respondents among locals who visited and who had visited TLTAR. The demographic profile of the respondents showed that 71.5% were male, 75.5% were under 30 years old, 68.7% were single and more than 50% of the respondents had secondary education.

Based on the study on the locals, three main attractions that were the choice of tourists to visit to TLTAR are the beauty of the beach and the sea, followed by the peaceful island environment and recreational activities provided such as snorkerling, scuba diving and picnicking. Next, there are some of the important aspects that need to be given attention so that it can maintain the desire of tourists to visit TLTAR, which are the clieanliness of the island environment including the beach and sea as well as the safety of the island, especially the threats from certain parties and crime. As for the level of tourist facilites, the findings of the study showed that the recreational facilites, boats and jetty services provided are more satisfactory compared the other facilites. The results of the study are important to policy makers and marine park development planners to ensure more sustainable tourism management in marie parks and provide benefits and satisfaction to all parties, especially the locals themselves.

Keywords: Attraction Characteristics, Facilities, Visitors. Locals, TLTAR

__________________________________________________________________________________________

Pengenalan

Destinasi pulau mempunyai keunikan yang tersendiri sebagai salah satu ciri tarikan pelancongan. Tarikan 'sun, sand and sea' (3S) merupakan imej universal pulau yang mendorong pelancong datang berkunjung ke situ. Menurut Mendoza-González et al. (2018), pelancongan menjadi fenomena massa saban tahun dan jutaan pelancong dan pengunjung memilih pantai sebagai destinasi untuk bersantai dan berekreasi. Sehubungan dengan itu, pelancongan pulau adalah popular di lima kawasan dunia yang menjadi lokasi gugusan kepulauan iaitu di Laut Carribbean, Teluk Mediterranean, Lautan Pasifik, Lautan Hindi dan rantau Asia Tenggara (Pearce, 1987). Selain bersandarkan ciri tarikan konsep 3S, terdapat juga pulau yang berjaya membentuk imejnya tersendiri dalam menarik pelancong antarabangsa. Antaranya, Pulau Bahamas yang terkenal sebagai pusat perjudian, Pulau Fiji yang mahsyur sebagai syurga membeli-belah bebas cukai, Pulau Republic Dominica dengan monumen sejarahnya, Pulau Bali

(3)

dengan keunikan budaya komunitinya dan Pulau Easter yang popular sebagai tapak tinggalan arkeologi. Setiap destinasi pelancongan pulau memiliki ciri khas dan keunikan tersendiri yang menjadi asas pembangunan pulau tersebut. Menurut Jun Yang et al. (2016), pelancongan pulau adalah produk bersifat komersial yang penting dalam memenuhi keperluan pengunjung untuk menikmati kedua-dua sumber semula jadi dan buatan manusia yang terdapat pada satu-satu ruang geografikal. Pembangunan pelancongan pulau lazimnya memberikan impak dari segi aspek persekitaran fizikal dan manusia.

Dalam konteks umum, kebanyakan pulau di dunia mempunyai banyak persamaan seperti saiz yang kecil, bilangan penduduk yang sedikit, struktur sosioekonomi yang tradisional, kurang membangun, lokasi yang terpencil, sumber asas yang terhad, pasaran tempatan yang kecil dan kemudahan infrastruktur yang terbatas (Wilkinson, 1989; Jabil et al., 2014). Faktor 'kekecilan' dan sumber yang terbatas ini menjadikan sektor pelancongan dianggap sebagai pemangkin yang sesuai untuk pembangunan sesebuah pulau. Memandangkan kebanyakan pulau mempunyai jumlah penduduk yang sedikit maka situasi ini tidak banyak menyumbang kepada pelancongan domestik. Pelancongan antarabangsa lebih popular di kepulauan tropika seperti di Caribbean dan Lautan Pasifik. Malah, di sesetengah pulau seperti Pulau Antigua, Puerto Rico dan United States Virgin Islands di Laut Caribbean telah pun menjadi destinasi pelancongan sejak tahun 1950an lagi. Pelancongan adalah platform penting dalam memperkasakan pembangunan ekonomi komuniti pulau selain aktiviti perikanan yang menjadi sumber ekonomi tradisi mereka. Untuk menjadikan pelancongan di sesebuah pulau lebih berdaya saing, ciri tarikan perlu unik dan menarik serta tahap kemudahan untuk pelancong adalah baik dan mencukupi.

Untuk itu, artikel ini bertujuan untuk meneliti ciri tarikan dan tahap kemudahan pelancongan di Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah.

Pelancongan Pulau di Malaysia

Di Malaysia, pulau merupakan antara ciri tarikan utama pelancong selain daripada keunikan budaya masyarakatnya yang berbilang kaum, makanan, perayaan dan pusat membeli-belahnya (Hofmann, 1979). Sejarah pelancongan pulau di Malaysia bermula sejak zaman penjajahan Belanda di Tanah Melayu dalam kurun ke-16. Gugusan Pulau Langkawi yang terdiri daripada 99 buah pulau dijadikan sebagai tempat berehat bagi memulihkan kecederaan dan penyakit tentera mereka yang berkhidmat di perairan Asia Tenggara pada tahun 1642 (Kadir, 1993).

Gugusan pulau yang terletak di pantai timur Johor meliputi Pulau Rawa, Pulau Pemanggil, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi memiliki keistimewaan tersendiri sebagai destinasi pelancongan pulau. Sebagai contoh, Pulau Tinggi yang mempunyai ketinggian 2 000 kaki dari aras laut berperanan sebagai pusat perdagangan rempah sejak kurun ke-13. Menurut Tajaluddin (1994), pulau ini menjadi destinasi persinggahan kepada para pedagang rempah dari Timur dan Barat sejak 600 tahun yang lalu. Pulau Pangkor pula mula dikunjungi oleh pelancong yang terdiri daripada bangsa Eropah terutamanya orang Inggeris yang berkhidmat di Tanah Melayu sebagai pegawai kolonial, pengusaha lombong, pengusaha ladang dan jurutera sejak tahun 1930an lagi.

Untuk kemudahan penginapan, mereka telah membina tiga buah banglo di sepanjang Pasir Bogak, Pulau Pangkor.

Meskipun dari segi latar belakang sejarahnya, pelancongan pulau sudah wujud di Malaysia sejak dahulu lagi, namun, usaha yang lebih serius dan terancang hanya bermula pada awal tahun 1980an. Kebanyakan pulau di Malaysia sebelum ini, tidak termasuk Pulau Pinang mempunyai bilangan penduduk yang sedikit dan bergantung penuh kepada aktiviti menangkap ikan dan hasil laut sebagai mata pencarian mereka (Wong, 1993). Destinasi pelancongan pulau bukanlah

(4)

suatu agenda pembangunan yang diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971 -1975). Namun begitu, Rancangan Malaysia Ketiga (1976 - 1980) telah memperuntukkan sejumlah dana bagi memaju dan membangunkan pelancongan di gugusan kepulauan di pantai timur Semenanjung Malaysia dalam usaha mengalihkan tumpuan pelancong dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (Malaysia, 1975). Seterusnya, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman telah dipilih dalam strategi pembangunan pelancongan pulau dalam Rancangan Malaysia Kelima (1986 - 1990) (Malaysia, 1985). Malah, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman turut mendapat manfaat daripada usaha menaiktarafkan infrastruktur yang berkaitan dengan sektor pelancongan seperti jalan raya, jeti dan jejambat dalam Rancangan Malaysia Keenam (1991 - 1995) (Malaysia, 1991).

Buat masa ini, terdapat empat jenis pembangunan pelancongan pulau di Malaysia, iaitu;

1. Pulau bersaiz besar dengan sumber yang mencukupi dan memperolehi manfaat daripada pusat bandarnya. Contohnya, Pulau Pinang.

2. Pulau bersaiz besar dengan sumber yang mencukupi bagi pembangunan pelancongan yang lebih terancang. Contoh, Pulau Langkawi.

3. Pulau yang bersaiz besar dengan sumber yang mencukupi bagi beberapa aktiviti pembangunan pelancongan. Contoh, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pangkor.

4. Pulau yang bersaiz kecil dengan sumber yang terhad dan sesuai untuk pembangunan pelancongan berskala kecil. Contoh, hampir semua pulau kecil di Malaysia. Contoh, Pulau Mabul, Pulau Mataking dan Pulau Aur.

Menurut Wong (1993), pembangunan pelancongan pulau di Malaysia dapat dibahagikan kepada beberapa zon kawasan. Di pantai timur Semenanjung Malaysia terbahagi kepada dua gugusan kepulauan iaitu di bahagian utara seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas manakala di bahagian selatan pulau meliputi Pulau Tioman, Pulau Rawa, Pulau Tengah, Pulau Babi Besar, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur. Di pantai barat Semenanjung Malaysia, pembangunan pelancongan menganjur dari utara ke selatan iaitu Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Pulau Pangkor dan Pulau Besar. Di Sabah, gugusan kepulauan yang berpotensi untuk pembangunan pelancongan terdapat di tiga kawasan perairan iaitu Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sapi dan Pulau Sulug (dikenali sebagai Taman Laut Tunku Abdul Rahman) dan Pulau Layang-Layang di perairan Laut China Selatan, Pulau Selingan di perairan Laut Sulu dan Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Ligitan dan Pulau Pandanan dan beberapa pulau lain di perairan Laut Sulawesi (Jabil et al., 2014).

Pelancongan pulau di Malaysia semakin mendapat perhatian pelancong antarabangsa selepas penemuan dan pengisytiharan Pulau Sipadan sebagai salah satu destinasi selam skuba yang terbaik di dunia pada tahun 1987. Sejak itu, Malaysia mula dikenali sebagai destinasi menyelam dalam kalangan pelancong antarabangsa kerana khazanah alam maritimnya yang pelbagai, unik dan eksotik. Perairan di Malaysia terutamanya gugusan kepulauan di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulawesi kaya dengan pelbagai spesis hidupan marin. Air laut yang jernih dan dalam memberikan cabaran bagi pencinta alam maritim. Pada masa ini, pembangunan di sesebuah pulau dapat dikawal dan dipelihara dengan menjadikannya sebagai taman laut. Suasana yang mendamaikan dan mempesona merupakan aset yang mendorong ramai pelancong domestik mahupun luar negara untuk mengunjungi taman laut tersebut.

Menurut Norlida Hanim et al. (2017), status sebagai sebuah taman laut memerlukan pembangunan pelancongan dijalankan secara berhati-hati dan sangat terancang. Ringkasnya,

(5)

pelbagai aspek perlu diberikan penekanan dalam memastikan keindahan alam flora dan fauna marin di Taman Laut Tunku Abdul Rahman terus terpelihara dan kekal lestari. Untuk itu, artikel ini meneliti tentang persepsi pengunjung dari kalangan penduduk tempatan terhadap ciri tarikan dan tahap kemudahan pelancong yang terdapat di Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

Sorotan Literatur

Ciri Tarikan Pelancongan dan Tahap Kemudahan Pelancong

Ciri tarikan pelancongan kerap dirujuk berdasarkan pendapat pengunjung dan pelancong tentang kemampuan destinasi berkenaan memberikan kepuasan terhadap keperluan percutian mereka. Menurut Formica (2002), terdapat penyelidikan yang menunjukkan kajian ciri tarikan pelancongan adalah penting untuk memahami elemen yang mendorong seseorang untuk melancong. Selain ciri tarikan pelancongan, tahap kemudahan yang disediakan di destinasi peranginan turut mempengaruhi kepuasan kunjungan pelancong. Terdapat beberapa kajian tentang ciri tarikan yang pada pandangan pelancong adalah penting dalam menilai sesebuah destinasi pelancongan yang dikunjungi (Mohd Anuar, 2009; Vengesayi et al., 2009; Norazimah, 2015; Velan et al., 2015; Remali & Nor’ Azurah (2017).

Kajian tentang ciri tarikan pelancongan pantai dikaji oleh Mohd Anuar (2009) dengan merujuk kajian kes di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan. Beliau mengkaji tentang faktor yang boleh menarik pengunjung untuk datang di kawasan pantai sebagai destinasi pelancongan mereka.

Persoalannya, adakah kerana pantainya yang menarik atau suasana persekitaran yang aman, kemudahan infrastruktur ataupun mungkin ada faktor lain yang boleh menarik pelancong ke kawasan tersebut. Hasil kajian Mohd Anuar menunjukkan sebab utama pelancong datang ke Port Dickson adalah lokasinya yang berhampiran dengan kediaman (53%), iaitu dalam lingkungan 80 km diikuti dengan penginapan yang selesa (27%) dan pantai yang menarik (17%). Dari aspek ciri-ciri generik, sebanyak 94% responden menyatakan mereka dapat sampai ke destinasi dengan mudah, 96% menyatakan kualiti penginapan yang berpatutan, 70%

menyatakan mereka bersetuju bahawa disediakan kemudahan asas yang baik, perkhidmatan yang ditawarkan berkualiti dan dapat bergerak di sekitar destinasi dengan mudah (79%) serta menawarkan pelbagai aktiviti (90%). Manakala untuk ciri-ciri spesifik pula, kebanyakan responden bersetuju (90%) bahawa pantai Port Dickson adalah bersih, ekosistem yang berkualiti (67%), persekitaran yang menawan (97%), persekitaran pantai yang selamat (91%), aktiviti pantai yang menarik (100%), sukan laut yang berkualiti (97%) dan aktiviti malam yang menarik (80%).

Remali dan Nor’Azurah (2017) pula meneliti tentang faktor tarikan pelancongan di Pantai Irama, Bachok, Kelantan. Hasil kajian menunjukkan sebab utama pengunjung datang ke pantai ini kerana lokasinya yang berhampiran dengan kawasan tempat tinggal responden, iaitu 43 peratus. Ini membuktikan majoriti pengunjung adalah penduduk tempatan. Manakala faktor lain adalah seperti kemudahan yang lengkap (25%), pantai yang menarik (16%) dan kemudahan penginapan yang ditawarkan (14%). Dari aspek ciri-ciri generik, majoriti responden menyatakan kemudahan asas yang disediakan adalah lengkap (98%), mudah untuk akses ke sini (90%), kualiti kemudahan penginapan yang baik (85%), mudah untuk bergerak di kawasan sekitarnya (75%) dan menawarkan pelbagai kemudahan untuk aktiviti pengunjung (70%). Ini menunjukkan Pantai Irama memiliki ciri-ciri generik yang menarik dan mempunyai daya tarikan yang tinggi. Manakala dari aspek ciri-ciri spesifik pula, kebanyakan responden berpendapat pantainya adalah bersih (90%), persekitaran yang menarik (97%), selamat (91%),

(6)

pelbagai aktiviti pantai (98%), aktiviti sukan air disediakan (97%) dan ekosistem yang menarik (67%).

Seterusnya, Vengesayi et al. (2009) meninjau ciri tarikan pelancongan, kemudahan sokongan destinasi dan pengunjung sebagai faktor manusia yang berkaitan dengan tarikan destinasi pelancongan. Kajian ini melibatkan 275 orang pelancong yang berkunjung ke destinasi pelancongan utama di lokasi kajian. Berdasarkan model regresi yang dihasilkan, kajian mendapati ciri tarikan pelancongan adalah menjadi penentu utama destinasi pelancongan manakala aspek kemudahan dan perkhidmatan sokongan destinasi serta faktor berkaitan manusia adalah penentu sekunder. Hasil kajian menunjukkan ciri tarikan pelancongan, perkhidmatan sokongan destinasi dan faktor berkaitan dengan manusia meliputi 43% daripada jumlah varian dalam ciri tarikan destinasi yang dikaji. Kebanyakan jenis ciri tarikan pelancongan adalah bersifat positif dan signifikan dengan ciri tarikan destinasi yang dikaji (buatan manusia, historikal, unik). Selain itu, aspek aksesibiliti dan kemudahan penginapan turut signifikan yang berkait langsung dengan ciri tarikan destinasi tersebut.

Norazimah (2015) turut mengkaji tentang peranan ciri-ciri destinasi pelancongan dan kepuasan pelancong tetapi dalam konteks lawatan ulangan di Melaka. Sampel kajian adalah terdiri daripada 358 orang pelancong domestik yang pernah datang berkunjung ke Melaka sekurang- kurangnya sekali dan instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah borang soal selidik.

Hasil kajian menunjukkan aspek tarikan sejarah merupakan ciri destinasi yang mendapat skor min tertinggi, iaitu 4.37. Untuk kaitan antara kepuasan pelancong dengan ciri-ciri destinasi iaitu tarikan pelancongan rekreasi, kebersihan dan perbelanjaan sepanjang berada di Melaka menunjukkan perkaitan yang tinggi. Manakala ciri-ciri destinasi seperti tarikan pelancongan sejarah, kepelbagaian makanan, kemudahan penginapan, kebolehcapaian, arah jalan, kualiti pekerja kaunter hadapan, kemudahan infrastruktur, keselamatan, harga makanan dan kemesraan warga Melaka menunjukkan perkaitan yang sederhana. Seterusnya, perkaitan antara ciri-ciri destinasi dengan lawatan ulangan ke Melaka mempunyai nilai korelasi yang sangat rendah dan tidak signifikan.

Velan et al. (2015) pula mengkaji tentang kepuasan pelancong antarabangsa terhadap aktiviti pelancongan dan kemudahan yang disediakan di Pulau Mamutik, Kota Kinabalu. Ciri tarikan dan aktiviti pelancongan utama di pulau ini adalah selam skuba, berenang dan memerhatikan hidupan marin. Terdapat pelbagai perkhidmatan dan kemudahan pelancong yang disediakan seperti jeti, tandas, ruang untuk berkelah dan barbeque, kemudahan untuk berjemur dan gerai.

Untuk itu, seramai 150 orang responden dari kalangan pelancong antarabangsa terlibat dalam kajian ini. Hasil kajian menunjukkan majoriti responden berpuas hati dengan aktiviti dan kemudahan yang disediakan di Pulau Mamutik. Namun begitu, terdapat beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian oleh pihak pengurusan untuk meningkatkan tahap kepuasan pengunjung, antaranya menambahkan bilangan tandas dan kemudahan lain, mempelbagaikan aktiviti yang ditawarkan dan menyediakan kemudahan selam skuba dengan bayaran yang berpatutan. Hasil kajian ini signifikan dalam membuktikan bahawa kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan dan tahap kemudahan yang berkualiti mampu memastikan kesetiaan pelancong antarabangsa untuk melakukan lawatan ulangan ke destinasi pelancongan di negeri ini.

Menurut Fathilah et al. (2020), terdapat beberapa isu penting dalam pembangunan lestari dalam pelancongan termasuklah pengetahuan tentang keperluan dan halangan yang dihadapi oleh tuan rumah (host) dan pelancong. Memandangkan pelancongan adalah bersifat global, maka wujud

(7)

keperluan untuk mengkaji dua isu ini dari konteks silang budaya. Kajian ini berkaitan dengan pertukaran silang budaya antara tuan rumah dan pelancong serta impak yang berpotensi berlaku kesan perbezaan budaya untuk pilihan ciri-ciri destinasi pelancongan. Pendekatan silang budaya ini melibatkan kumpulan sampel mengikut bahasa yang dituturkan, iaitu Bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan bukan Inggeris. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif melibatkan tiga destinasi pulau, iaitu yang mewakili pulau bersaiz kecil - Pulau Perhentian dan Pulau Redang serta pulau bersaiz besar, iaitu Pulau Langkawi. Secara keseluruhannya, seramai 1,285 orang responden terlibat dalam kajian ini. Hasil kajian menunjukkan tuan rumah dan pelancong daripada kumpulan budaya yang berbeza bertingkah laku secara berbeza terhadap ciri-ciri destinasi yang dikaji. Kajian ini menyumbang terhadap aspek literatur yang berkaitan dengan tingkah laku pengguna dalam konteks silang budaya. Malah, kajian ini turut memperkayakan lagi pengetahuan dalam aspek ciri destinasi dan perkhidmatan yang disediakan serta menekankan pentingnya perbezaan budaya dalam menyediakan kualiti perkhidmatan untuk kelestarian pelancongan pulau.

Taman Laut Tunku Abdul Rahman

Taman laut adalah kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh 2 batu nautika dari tikas air surut terendah. Taman ini ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan kehidupan marin akuatik. Taman Laut Tunku Abdul Rahman (TLTAR) adalah salah satu pulau taman laut yang diwartakan di bawah Establishment of Marine Parks Malaysia Order 1994 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan bagi tujuan pemeliharaan sumber marin dan pelancongan. Taman Laut Tunku Abdul Rahman terdiri daripada lima buah pulau iaitu Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sapi, Pulau Sulug dan sebahagian Pulau Gaya. Taman laut ini meliputi keluasan 4,929 hektar dan dua pertiga daripadanya adalah laut. TLTAR terletak hanya 10 hingga 20 minit perjalanan menaiki bot dari jeti di Kota Kinabalu. Selain dari tarikan alam marin di Taman Tungku Abdul Rahman, khazanah hutan yang tidak ternilai turut menjadi tarikan pengunjung. Menurut Nordin et al. (2016), kawasan hutan yang terdapat di Pulau Gaya merupakan rezab hutan simpan sejak tahun 1923 lagi.

Pulau Gaya

Pulau Gaya adalah pulau yang terbesar dalam TLTAR. Keluasannya ialah 1, 465 hektar dan sebahagian daripada pulau ini termasuk dalam warta Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

Justeru, pulau ini dilindungi daripada aktiviti nelayan, pembalakan haram, cari gali petroleum dan pelbagai sumber pencemaran. Pulau Gaya terletak kira-kira 10 minit dengan menaiki bot dari Kota Kinabalu. Sebahagian Pulau Gaya yang menjadi TLTAR adalah perairan yang sesuai untuk penyelam skuba yang ingin menikmati keindahan di dasar laut. Bahagian pulau yang menghadap ke Kota Kinabalu adalah kawasan petempatan yang didominasi oleh suku kaum Bajau dan Suluk. Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk penduduk pulau seperti sekolah, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan sebagainya. Pengangkutan utama bagi penduduk di Pulau Gaya adalah bot dan perahu nelayan.

Pulau Manukan

Pulau Manukan adalah pulau yang kedua besar di TLTAR dengan keluasan 20 hektar.

Perjalanan menggunakan bot ke pulau ini mengambil masa selama 20 minit dari Kota Kinabalu.

Pulau Manukan terkenal dengan kejernihan air laut dan keindahan batu karangnya. Ia adalah lokasi yang menjadi tumpuan pelancong untuk aktiviti snorkeling, menyelam, berenang dan berkelah. Berbanding dengan pulau lain, Pulau Manukan dilengkapi dengan pelbagai

(8)

kemudahan seperti chalet, clubhouse, restoran, kolam renang, gelanggang permainan, pusat selam skuba dan snorkeling serta kemudahan berbeku di tepi pantai.

Pulau Mamutik

Pulau Mamutik merupakan sebuah pulau yang kecil dengan keluasan 6 hektar. Pulau ini terletak paling hampir dengan Kota Kinabalu berbanding dengan yang lain. Terdapat kemudahan asas seperti tandas awam, beberapa buah chalet, bilik persalinan, bekalan air bersih, bekalan elektrik dan tempat untuk barbeku. Pulau Mamutik mempunyai keistimewaannya tersendiri dengan air laut yang jernih, batu karang dan hidupan marin yang unik dan jarang dijumpai di pulau lain.

Pulau ini memiliki panorama yang menarik dengan pantai yang bersih serta pohon malar hijau yang rimbun di sepanjang pantainya.

Pulau Sapi

Pulau Sapi adalah sebuah pulau yang kecil dengan keluasan 25 ekar. Ia mempunyai pantai pasir yang putih dan cantik serta memiliki pelbagai spesis terumbu karang dan hidupan marin. Ia adalah lokasi yang paling popular dalam kalangan pelancong asing untuk aktiviti berenang, snorkeling dan selam skuba. Pulau Sapi turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tapak perkhemahan, ruang barbeku, tandas awam dan tempat rekreasi.

Pulau Sulug

Pulau Sulug mempunyai keluasan 8 hektar dan terletak paling jauh berbanding dengan pulau lain dari Kota Kinabalu. Pulau ini kurang dibangunkan, persekitaran daratan pulau dan lautnya masih terpelihara. Di sepanjang pesisir pantainya terdiri daripada batuan dan terumbu karang.

Bagi pelancong yang inginkan suasana sunyi dan tenteram, Pulau Sulug adalah destinasi yang sesuai. Pulau ini kaya dengan pelbagai spesis fauna dan flora marin serta batu karang yang unik dan cantik.

Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan penilaian (evaluatif) dengan meneliti ciri tarikan dan tahap kemudahan pelancong di TLTAR berdasarkan persepsi penduduk tempatan yang berkunjung dan pernah berkunjung ke sana semasa kajian ini dijalankan. Reka bentuk kajian adalah berdasarkan pendekatan kuantitatif. Kajian ini dilakukan di Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan di bandar Kota Kinabalu. Instrumen kajian yang digunakan ialah temu bual menggunakan borang soal selidik. Teknik pemerhatian turut digunakan. Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, temu bual secara bebas turut dilakukan terhadap penduduk tempatan yang ditemui untuk mendapatkan gambaran tentang TLTAR. Penyelidik dan pembantu penyelidik turut mengunjungi kesemua pulau yang terdapat di TLTAR untuk memerhati dan mengalami sendiri keindahan dan pembangunan pelancongan semasa yang terdapat di taman laut berkenaan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, penyelidik mengikuti suatu taklimat tentang pelancongan di Sabah termasuk TLTAR yang disampaikan oleh pegawai dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah.

Dapatan Kajian

Ciri Demografik Responden

Berdasarkan Jadual 1, ciri demografik responden menunjukkan 71.5% daripada 249 orang yang ditemu bual menggunakan borang soal selidik adalah lelaki dan selebihnya iaitu 75 orang adalah responden perempuan. Responden berstatus bujang lebih ramai ditemu bual berbanding

(9)

mereka yang sudah berkahwin iaitu masing-masing dengan peratusan 68.7% dan 31.3%.

Terdapat tiga bangsa responden yang paling ramai terlibat dengan kajian ini iaitu Bajau (27.3%), Melayu (23.7%) dan lain-lain bangsa (23.3%). Daripada segi peringkat umur, majoriti responden adalah berumur 30 tahun ke bawah yang mewakili 75.5% daripada keseluruhan sampel yang dikaji. Seterusnya, lebih 50% daripada responden mempunyai latar pendidikan pada tahap menengah. Terdapat tiga kelompok latar belakang pekerjaan responden iaitu, pertama, yang paling ramai ditemu bual iaitu pelajar (26.5%), pekerja sektor swasta (21.3%) dan pekerja sektor awam (18.9%); kedua ialah yang bekerja sendiri (10.8%), berniaga (9.6%) dan lain-lain pekerjaan (9.2%) dan kelompok terakhir iaitu suri rumah (2.8%) dan nelayan (0.8%).

Jadual 1: Ciri Demografik Responden (n = 249)

Ciri Demografik Kategori Frekuensi Peratus Jantina

Lelaki 174 71.5

Perempuan 75 28.5

Status

Bujang 171 68.7

Berkahwin 78 31.3

Bangsa

Bajau 68 27.3

Suluk 20 8.0

Kadazan Dusun 44 17.7

Melayu 59 23.7

Dan lain-lain 58 23.3

Umur

20 tahun ke bawah 70 28.1

21 – 30 tahun 118 47.4

31 – 40 tahun 39 15.7

41 – 50 tahun 14 5.6

50 tahun ke atas 8 3.2

Pendidikan

Rendah 19 7.6

Menengah 137 55.0

Tinggi 85 34.1

Tidak formal 8 3.2

Pekerjaan

Pekerja sektor awam 47 18.9

Pekerja sektor swasta 53 21.3

Bekerja sendiri 27 10.8

Berniaga 24 9.6

Nelayan 2 0.8

Suri rumah 7 2.8

Pelajar 66 26.5

Dan lain-lain 23 9.2

Ciri Tarikan Pelancongan di Taman Laut Tunku Abdul Rahman

Berdasarkan borang soal selidik yang diedarkan, terdapat enam ciri tarikan pelancongan yang dijangka mendorong pelancong dan pengunjung untuk datang berkunjung ke pulau di Taman Laut Tunku Abdul Rahman yang diteliti daripada perspektif penduduk tempatan. Dengan hanya memilih satu ciri tarikan utama sahaja, hasi kajian mendapati terdapat tiga tarikan yang menjadi pilihan pelancong untuk datang ke TLTAR iaitu keindahan pantai dan lautnya (40.2%), diikuti oleh persekitaran pulau yang mendamaikan (27.3%) dan aktiviti rekreasi yang disediakan termasuklah snokerling, berenang dan selam skuba (12.5%)(Jadual 2). Menurut David et al.

(10)

(2006), tarikan pelancong membentuk satu daripada komponen asas bagi sektor pelancongan yang turut merangkumi pengangkutan dan penginapan. Hal ini berperanan penting dalam menarik minat pelancong ke sesuatu destinasi percutian.

Jadual 2: Ciri Tarikan Pelancongan di Taman Laut Tunku Abdul Rahman

Ciri Tarikan Pelancongan Bilangan Peratus

Keindahan pantai dan lautnya 100 40.2

Persekitaran pulau yang damai 68 27.3 Aktiviti rekreasi yang disediakan 31 12.5

Perjalanan menaiki bot 25 10.0

Kehidupan dan budaya komuniti 19 7.6

Kemudahan yang disediakan 6 2.4

Total 249 100

Aspek yang perlu diberikan perhatian di Taman Laut Tunku Abdul Rahman Berdasarkan skala likert, terdapat lapan aspek yang perlu diberikan perhatian untuk pembangunan pelancongan di TLTAR. Jadual 3 menunjukkan kedudukan mengikut keutamaan berdasarkan hasil kajian terhadap 249 orang responden. Terdapat dua aspek paling penting yang perlu diberikan perhatian agar ia mampu mengekalkan keinginan pelancong untuk berkunjung ke TLTAR iaitu kebersihan persekitaran pulau serta kebersihan pantai dan lautnya iaitu masing- masing dengan skor min 3.82. Kajian ini turut disokong oleh Rosniza Aznie et al. (2018) yang menegaskan penjagaan kebersihan persekitaran merupakan amalan yang perlu menjadi teras kepada masyarakat di kawasan pelancongan dalam menarik serta menjaga reputasi kawasan tersebut. Untuk itu, pihak pengurusan TLTAR serta pengunjung dan pelancong perlu komited dan prihatin dengan penjagaan dan pengekalan aspek kebersihan persekitaran dan pantai.

Selain itu, aspek keselamatan pulau khususnya daripada ancaman pihak tertentu dan jenayah (3.73) adalah perkara yang perlu diberikan perhatian sewajarnya, diikuti dengan aspek kemudahan asas yang disediakan di pulau berkenaan iaitu dengan skor min 3.59. Dalam kajian yang dijalankan oleh Nor-Ina dan Ahmad Tarmizi (2016) berdasarkan penelitian perbandingan trend indeks jenayah antara negeri di Malaysia, negeri Sabah menunjukkan antara negeri dalam kategori yang tidak mengalami keseriusan perlakuan jenayah dan masih terkawal. Di TLTAR, aspek keselamatam adalah menjadi keutamaan dengan adanya rondaan di perairan laut sekitarnya secara berkala. Seterusnya, aspek lain yang turut perlu diberikan perhatian ialah promosi kepada pelancong tentang TLTAR dengan skor min 3.58, kehidupan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan (3.43) dan aktiviti rekreasi yang disediakan (3.41).

Selaras dengan konsep taman laut, pembangunan resort dan pusat peranginan adalah prioriti yang kurang mendapat pilihan responden (dengan skor min 3.39) dalam menentukan aspek yang perlu diberikan perhatian untuk pembangunan pelancongan di TLTAR.

(11)

Jadual 3: Aspek yang Perlu Diberikan Perhatian di Taman Laut Tunku Abdul Rahman 1 = Tidak penting, 2 = Kurang penting, 3 = Penting, 4 = Sangat penting

Aspek diberi perhatian 1 2 3 4 Min SP

Kebersihan persekitaran pulau 2 4 32 211 3.82 0.482

Kebersihan pantai dan lautnya 2 3 34 210 3.82 0.473

Keselamatan pulau 0 13 41 195 3.73 0.550

Kemudahan pengangkutan ke pulau 1 3 63 182 3.71 0.505

Kemudahan asas di pulau 3 7 80 159 3.59 0.610

Promosi tentang TLTAR 2 9 81 157 3.58 0.605

Peluang pekerjaan kepada penduduk 3 13 106 127 3.43 0.651 Aktiviti rekreasi yang disediakan 2 16 108 123 3.41 0.649 Pembangunan pusat peranginan di pulau 3 15 114 117 3.39 0.657

Tahap Kemudahan Pelancong di Taman Laut Tunku Abdul Rahman

Jadual 4 menunjukkan tahap kemudahan pelancong di TLTAR berdasarkan persepsi penduduk tempatan yang ditemui di bandar Kota Kinabalu dan TLTAR. Hasil kajian menunjukkan kemudahan rekreasi, perkhidmatan bot dan jeti yang disediakan adalah lebih memuaskan berbanding dengan kemudahan lain iaitu masing-masing dengan skor min 3.78, 3.74 dan 3.71.

Seterusnya, kemudahan gerai cenderahati yang disediakan dengan skor min 3.67, diikuti dengan papan tanda di pulau (3.65) dan kemudahan tong sampah (3.55). Daripada lapan kemudahan yang disenaraikan, kemudahan tandas awam adalah yang paling kurang memuaskan iaitu dengan skor min 3.35.

Jadual 4: Tahap Kemudahan Pelancong di Taman Laut Tunku Abdul Rahman

1 = Tidak memuaskan, 2 = Kurang memuaskan, 3 = Sederhana, 4 = Memuaskan, 5 = Sangat memuaskan

Tahap kemudahan 1 2 3 4 5 Min SP Rank

Tempat rekreasi 9 13 64 102 61 3.78 0.995 1

Bot 2 16 68 121 42 3.74 0.841 2

Jeti 9 13 71 104 52 3.71 0.974 3

Gerai cenderahati 22 23 65 91 47 3.67 3.287 4

Papan tanda di pulau 9 11 87 94 48 3.65 0.961 5

Tong sampah 18 24 63 92 52 3.55 1.139 6

Gerai makan minum 16 43 57 88 45 3.41 1.158 7

Tandas awam 22 35 67 84 41 3.35 1.172 8

(12)

Perbincangan

Taman Laut Tunku Abdul Rahman yang terletak di luar pesisir pantai Kota Kinabalu adalah destinasi pulau yang paling hampir dan mudah untuk dikunjung berbanding dengan destinasi pulau lain di Sabah khususnya Malaysia amnya. Berdasarkan kajian terhadap persepsi penduduk tempatan terhadap pembangunan pelancongan di TLTAR didapati kebanyakan mereka mempunyai pengetahuan yang baik tentang TLTAR kerana faktor aksesibilitinya tersebut. Daripada ciri demografik responden yang diteliti sebelum ini dapat dirumuskan bahawa nature pelancongan pulau itu sendiri menyebabkan ia lebih sinonim dengan responden lelaki (71.5%), bujang (68.7%) dan golongan belia dewasa berumur bawah 30 tahun (75.5%).

Kelompok responden ini adalah mereka yang aktif dan sukakan cabaran khususnya yang melibatkan aktiviti pulau, laut dan pantai. Sikap ingin tahu dalam mempelajari sesuatu yang baharu, bekerjaya serta peluang masa lapang bersama rakan menyebabkan kumpulan belia yang paling ramai berkunjung ke sini. Menurut Zurina et al. (2016), minat serta faktor tarikan dan faktor tolakan yang sentiasa memotivasikan pelancong belia untuk menerokai destinasi pelancongan. Jika dilihat secara amnya, keinginan belia untuk melancong sesebuah kawasan turut dipengaruhi oleh faktor persekitaran kawasan yang ingin dikunjungi. Untuk itu, usaha menjaga dan mengekalkan keindahan alam semula jadi yang ada di TLTAR perlu menjadi prioriti utama pihak pemegang taruh yang terlibat.

Berdasarkan pengamatan penduduk tempatan di sekitar Kota Kinabalu, seperti juga keinginan pelancong yang berkunjung ke TLTAR didapati aspek keindahan pantai, laut dan persekitaran pulau adalah ciri tarikan utama pelancong dan penduduk tempatan untuk berkunjung ke TLTAR. Kelebihan TLTAR ialah kerana ia terdiri daripada lima buah pulau yang setiap satu mempunyai keindahan dan keunikannya tersendiri. Pulau Gaya adalah pulau yang terbesar berbanding dengan yang lain. Sebahagian pulau ini terletak dalam Taman Laut Tunku Abdul Rahman dan sebahagiannya lagi adalah petempatan penduduk terutamanya kawasan yang menghadap ke Kota Kinabalu. Memandangkan terdapat responden mahupun saudara mara dan sahabat handai mereka yang menetap di Pulau Gaya, maka didapati perjalanan menaiki bot serta kehidupan dan komuniti bukanlah ciri tarikan pelancongan di TLTAR. Malahan, TLTAR itu sendiri merupakan sebuah taman laut yang perlu dijaga baik dan terancang, fokus pelancongan hanya bertumpu untuk hidupan akuatik dan bukannya budaya komuniti setempat. Keunikan dan keindahan khazanah laut yang terpelihara menarik minat pengunjung untuk ke TLTAR.

Taman Laut Tunku Abdul Rahman merupakan taman laut yang pembangunannya terkawal dan persekitaran marinnya terpelihara. Taman ini menjadi tumpuan pelancong asing, pelancong domestik, pengunjung harian mahupun penduduk tempatan sendiri. Kebanjiran pelancong dan pengunjung khususnya pada hujung minggu dan cuti awam membawa kepada masalah pembuangan sampah-sarap yang boleh mencacatkan keindahan persekitaran pantai, laut dan pulau di TLTAR. Justeru, tidak hairanlah dalam hasil kajian ini menunjukkan aspek kebersihan persekitaran pantai, laut dan pulau adalah keutamaan dalam persepsi penduduk terhadap aspek yang perlu diberikan perhatian serius di TLTAR. Berdasarkan status TLTAR sebagai taman laut maka didapati aktiviti rekreasi yang disediakan dan pembangunan pusat peranginan bukanlah aspek yang perlu diambil perhatian kerana secara dasarnya hanya aktiviti rekreasi tertentu sahaja seperti snorkeling, mandi-manda, bersantai dan berkelah sahaja dibenarkan di TLTAR. Sebaliknya aktiviti jet ski, banana bot dan aktiviti rekreasi bot lain adalah tidak dibenarkan. Demikian juga halnya dengan larangan pembinaan resort, hotel dan marina. Dalam kajian yang dijalankan oleh Fahrul (2016), pewartaan taman laut ini adalah untuk memberi perlindungan khas kepada flora dan fauna akuatik, untuk mengurus dan memelihara tapak

(13)

pembiakan semula jadi dan habitat hidupan akuatik, dengan memberi penekanan pada spesies jarang ditemui atau terancam. Ini bertujuan untuk mengelakkan kepupusan kehidupan akuatik disebabkan oleh aktiviti manusia yang mampu merosakkan taman laut berkenaan. Dengan itu, pengurangan aktiviti yang berisiko dalam mencemar dan merosakkan keindahan alam semula jadi membantu dalam menjaga kebersihan persekitaran di TLTAR.

Memandangkan TLTAR sering dikunjungi oleh pelancong, pelawat harian dan penduduk setempat, usaha meningkatkan tahap kemudahan yang terdapat di pulau-pulau dalam taman laut ini terus giat dijalankan. Berdasarkan persepsi penduduk tempatan dapat dirumuskan bahawa tempat dan ruang untuk rekreasi pantai dan laut yang disediakan, kemudahan bot dan jeti adalah baik dan memuaskan. Namun, terdapat beberapa kemudahan lain yang perlu diberikan perhatian seperti kemudahan tong sampah khususnya di kawasan pantai yang ramai pengunjung. Tong sampah yang penuh perlu segera dikosongkan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan pelancong dan pengunjung membuang sampah dan sisa makanan di merata tempat. Gerai makanan ada disediakan, namun begitu ia masih boleh ditingkatkan daripada segi bilangan, kualiti perkhidmatan dan kebersihannya. Tandas awam turut disediakan tetapi tidak dapat menampung pengunjung yang ramai khususnya pada hujung minggu dan cuti awam.

Beberapa tandas awam dan ruang menyalin pakaian yang boleh alih perlu disediakan di beberapa lokasi di pulau berkenaan. Dalam meningkatkan kualiti perhidmatan, pelbagai inisiatif dalam memperkasa sektor pelancongan perlu dilakukan iaitu bermula dengan penyediaan peruntukan khusus untuk kemudahan yang selesa, menawarkan perkhidmatan makanan yang berpatutan dan bersih serta perancangan aktiviti yang pelbagai dan menarik (Muhammad Afiqsyah et al., 2016).

Kesimpulan

Taman Laut Tunku Abdul Rahman mempunyai keunikannya tersendiri sebagai destinasi pelancongan pulau yang terkenal di Malaysia. Untuk memastikannya sebagai taman laut yang kekal terpelihara dan pada masa yang sama menjadi tarikan pelancongan sememangnya memerlukan komitmen dan kerjasama daripada pelbagai pihak. Dapatan kajian terhadap ciri tarikan dan tahap kemudahan pelancong daripada perspektif penduduk tempatan ini adalah penting untuk memastikan pembangunan pelancongan di taman laut ini bersifat lestari kerana turut mengambil kira pandangan komuniti setempat. Yang paling penting ialah usaha melibatkan mereka dalam pembangunan TLTAR itu sendiri dalam jangka masa panjang.

Rujukan

David, W. H., Wright, D., Reynolds, N., Ellison, M. B & Ellison, R. (2006). Passport : An Introduction to the Tourism Industry. Thomson, Canada.

Fathilah Ismail, Roseliza Mat Alipiah, Noraien Mansor & Wan Hafiz Wan Zainal Shukri.

(2020). A cross-cultural study of destination attributes: Impact on sustainability of island tourism. Journal of Sustainability Science and Management, 15(1), 1-14.

Formica, S. (2002). Measuring destination attractiveness: A proposed framework.

Journal of American Academy Business, 1(2), 350-355.

Hofmann, N. (1979). A Survey of Tourism in West Malaysia and Some Economic Implications. Research Notes and Discussions Paper Institute of Southeast Asia Studies, Singapore.

Jabil Mapjabil, Yahaya Ibrahim & Tan Wan Hin (eds.) (2014). Pelancongan Pulau di Malaysia. Batu Pahat: Penerbit UTHM.

(14)

Jung Yang, Yuting Ge, Quansheng Ge, Jianchao Xi, &Xuenming Li. (2016). Determinants of Island Tourism Development: The Example of Dachangshan Island. Institutes of Geographic Sciences and Natural Research, CAS, 100101, Beijing, China.

Kadir Din. (1993). Dialogue with The Host: An Educational Strategy Towards Sustainable Development. In Hitchcock, M., V. T. King & Parnwell, M (Eds.).

Tourism in South East Asia. London: Routledge.

Malaysia. (1975). Pelan Pelancongan Malaysia. Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia.

Malaysia. (1980). Rancangan Malaysia Keempat. 1980 - 1985.

Malaysia. (1985). Rancangan Malaysia Kelima. 1985 - 1990.

Malaysia. (1991). Rancangan Malaysia Keenam. 1991 - 1995.

Mendoza-González, G., Martínez, M. L., Guevara, R., Pérez-Maqueo, O., Garza-Lagler, M. C. & Howard, A. (2018). Towards a sustainable sun, sea, and sand tourism:

the value of ocean view and proximity to the coast. Sustainability, 10, 1012, 1-15.

Mohd. Anuar Md. Amin. (2009). Faktor tarikan pelancongan pantai: Kajian kes di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan. Prosiding PERKEM IV, Jilid 2, 243-254.

Muhammad Afiqsyah Mohd Ramli, Muhammad Arif Nasir, Dina Syamilah Zaid & Hartini Adenan. (2016). Kepuasan pelanggan terhadap kualiti perhidmatan homestay di Melaka:

Kajian kes di Homestay Seri Tanjung. Journal Hospitaliti dan Jaringan, Vol. 1(206), 81- 90.

Muhammad Fahrul Khalid. (2016). Peruntukan Perundangan di Taman Laut Sultan Iskandar.

Universiti Teknologi Malaysia.

Norazimah Mukhtar. (2015). Peranan ciri-ciri destinasi dan kepuasan pelancong kepada lawatan ulangan ke Melaka. Tesis Sarjana (Tidak diterbitkan). Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia.

Nordin Sakke, Aliakbar Gulasan & Jabil Mapjabil. (2016). Prosiding Seminar Sains Ruang dan Teknologi Maklumat Geografi. Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah.

Nor-Ina Kanyo & Ahmad Tarmizi Abdul Rahman. (2016). Pengalaman terhadap perlakuan jenayah dan keselamatan pekerja perusahaan rumpai laut di Semporna, Sabah: Satu penemuan. Unit Penyelidikan Etnografi dan Pembangunan, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah.

Norlida Hanim Mohd Salleh, Md Shafiin Shukor & Siti Hajar Mohd Idris. (2017). Impak pembangunan pelancongan ke atas persekitaran manusia dan fizikal komuniti Pulau Tioman. Akademika 87(3), 49-62.

Rosniza Aznie Che Rose, Zainor Nizam Zainal Abidin & Rosmiza M.Z. (2018). Kesedaran komuniti terhadap pengurusan kebersihan dalam kawasan perkampungan homestay di Daerah Temerloh. Geografia Malaysian Journal of Society and Space, 14(1), 158-174.

Pearce, D. (1987). A Geography of Tourism. London: MacDonald & Evans.

Remali Yusoff & Nor’ Azurah Md Kamdari. (2017). Faktor tarikan pelancongan pantai:

Kajian kes di Pantai Irama Bachok, Kelantan. Proceedings of International Conference on Economics 2017 (ICE 2017), 480-492.

Tajaluddin. (1994). Panggilan Pulau. Dewan Ekonomi. November 1994: 35-37.

Velan Kunjuraman, Rosazman Hussin & Abdul Rahman Ahmad. (2015). International tourist satisfaction towards tourism activities and facilities: A case study in Mamutik Island, Kota Kinabalu, Sabah, East Malaysia. Journal of Tourism, Hospitality and Culinary Arts, 7(1), 76-92.

(15)

Vengesayi, S., Mavondo, F. T. & Reisinger, Y. (2009). Tourism destination attractiveness: Attractions, facilities, and people as predictors. Tourism Analysis, 14, 621-636.

Wilkinson, P. F. (1989). Strategies for tourism in Island Microstates. Annals of Tourism Research, 16(2), 153-175.

Wong, P. P. (1993). Tourism vs Environment: The Case of Coastal Area. Bordrecht:

Kluwer.

Zurina Ahmad Saidi, Habibah Ahmad Hamzah Jusoh& Fatin Umaira Muhamad Azlan. (2016).

Pencirian pelancong belia dalam pelancongan acara semasa Tahun Melawat Malaysia 2014. Geografia Malaysian Journal of Society and Space, 12(13), 107-119.

Referensi

Dokumen terkait