Keberanian Ontoros jadi sanjungan
Mohd Izham Unnip Abdullah dan Francis Andin - September 20, 2015 @ 12:01am [email protected]
PATUNG Ontoros di Tenom. - Foto Google
KISAH pahlawan Murut, Antenom yang tercatat dalam sejarah sebagai pejuang menentang penjajah menerusi pemberontakan Rundum di Tenom pada tahun 1915 adalah antara bukti keberanian masyarakat Murut diwarisi daripada amalan
Mengayau atau memburu kepala pada zaman dahulu.
Meskipun Antenom atau nama sebenarnya Ontoros Buyusan, dikatakan bukan Pengayau atau pemburu kepala, semangatnya menentang penjajah ada kaitan dengan keberanian dan kepahlawanan seorang Pengayau Murut yang amat dikenali di Sabah.
Berdasarkan penceritaan lisan disampaikan waris Antenom, pahlawan suku Murut Tagol itu dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Syarikat Berpiagam Borneo
Tindakan SBBUB menangkap orang yang gagal membayar cukai menyemarakkan lagi kemarahannya kerana ia dianggap melampau, selain penindasan kepada masyarakat Murut yang ketika itu bergantung kepada hasil hutan dan pertanian pindah.
Sikap menentang ditunjukkan Antenom menyebabkan SBBUB gusar dan melabelkannya 'anti-nomad' atau ketua penentang.
Panggilan anti-nomad lama-kelamaan disebut sebagai 'Antenom' dan digunakan SBBUB sebagai panggilan menggantikan nama Ontoros.
CICIT Antenom, Marutin Ansiung. - Foto Edmund Samunting
Cicit kepada pahlawan itu, Marutin Ansiung, 55, yang kini menetap di Keningau berkata, ketika itu moyangnya dikatakan masih muda dan berumur 20-an.
Berdasarkan kisah sebenar pernah diceritakan neneknya iaitu anak Antenom, moyangnya hanya menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan SBBUB demi menjaga kepentingan masyarakat Murut, khususnya di kawasan Rundum, Tenom.
"Ontoros (Antenom) memiliki darah kepahlawanan Murut, sebab itu dia berani menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap British yang menindas rakyat dengan mengenakan cukai kepala tanpa belas kasihan.
"Namun, tidaklah sampai melancarkan perang atau Mengayau British.
Bagaimanapun, dia mendapat petunjuk yang British tidak senang dengan sikapnya lalu dia mengumpul pengikut untuk membuat kubu pertahanan di satu lokasi
dipanggil Sungai Selangit," katanya.
ONTOROS Buyusan. - Foto Google
Tidak lut peluru
Kawasan berkeluasan hampir sehektar itu dikatakan menempatkan ratusan pengikut termasuk ahli keluarga Antenom dan ia menguatkan lagi alasan British untuk
memburu pahlawan itu bersama pengikutnya.
Selain itu, SBBUB menuduh Antenom sebagai Pengayau selepas seorang Iban yang menjadi mata-mata (polis) British dipenggal kepala kerana gagal membayar berian perkahwinan kepada mentuanya yang juga pengikut Antenom.
Bertitik tolak daripada peristiwa itu, British mula mengepung dan menyerang kubu Antenom hingga ramai pengikutnya kelaparan dan terbunuh. Serangan dihentikan selepas pahlawan itu dikatakan menyerah diri dan mengikut British ke Rundum untuk dihukum bunuh.
Pegawai SBBUB yang melaksanakan hukuman pada mulanya dikatakan gagal membunuh Antenom kerana badannya tidak lut peluru atau senjata tajam, selain dikatakan memiliki tenaga luar biasa hingga dapat meleraikan gari besi di
tangannya.
"Melihat keadaan itu, British mendesaknya supaya memberitahu mereka kaedah yang dapat membunuhnya. Antenom bersetuju tetapi sebelum dia membuka rahsia kekebalannya, dia minta British membebaskan semua pengikut dan ahli
keluarganya.
"Selepas itu, dia memberitahu British supaya mengikat tangannya menggunakan tali barait (bakul) yang dibawanya dan memancung kepalanya menggunakan hayang atau pedang Pengayau miliknya. Selepas itu, barulah British dapat membunuhnya,"
kata Marutin.
PUSAT Kebudayaan Murut di Kampung Pulong, Tenom menyimpan keunikan
budaya dan sejarah masyarakat Murut yang pernah dikenali sebagai Pengayau atau pemburu kepala. - Foto Edmund Samunting
Dianugerah pingat tertinggi
Kisah kepahlawanan Antenom menjadi kebanggaan masyarakat Murut hingga hari ini dan ramai percaya ia ada kaitan dengan keberanian lelaki Murut ketika zaman pemburu kepala yang tidak gentar melawan musuh.
Nama pahlawan itu bukan saja dikenali di Tenom dan disebut dalam sejarah
penentangan rakyat tempatan terhadap penjajah British, malah Antenom dikatakan disebut dalam sejarah masyarakat Murut di Melinau, Kalimantan Timur, Indonesia, berhampiran sempadan Pensiangan-Kalimantan.
Jasa Antenom mempertahankan kepentingan masyarakat Murut daripada
penindasan penjajah turut mendapat pengiktirafan kerajaan Sabah apabila pahlawan itu diberi pingat kebesaran tertinggi negeri Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima pada tahun 2004.
CIRI-ciri kepahlawanan Murut dikekalkan menerusi kostum penari tarian tradisi masyarakat itu sebagai simbolik untuk menunjukkan darah kepahlawanan diwarisi ke generasi seterusnya. - Foto Edmund Samunting
INFO Ontoros Buyusan @ Antenom
• Pahlawan Murut dari suku Tagol yang mengetuai penentangan Murut terhadap British pada 1915.
• Dipercayai mati dibunuh British dalam peristiwa Rundum 1915, ketika berusia lingkungan 20-an.
• Memiliki dua isteri dan tujuh anak, semua perempuan.
• Memiliki kekuatan luar biasa termasuk badan tidak lut peluru dan senjata tajam. Hanya pedang miliknya dikatakan mampu membunuhnya.
• Mendapat mimpi kononnya seekor ular bercakap memintanya membina kubu sebagai persediaan menghadapi British di Sungai Selangit, Tenom sebelum diburu penjajah.
• Tindakan British mengenakan cukai kepala dan menangkap mereka yang gagal membayar cukai punca utama penentangan Antenom.
• Diiktiraf pejuang Murut dan dianugerahkan pingat kebesaran tertinggi kerajaan Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datu Seri Panglima pada 2004.
• Sebuah galeri khas mengenai perjuangan Antenom turut dibina di pekan Tenom untuk tatapan masyarakat.