International Journal of Social Science Research (IJSSR) eISSN: 2710-6276 | Vol. 5 No. 1 [March 2023]
Journal website: http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr
KELESTARIAN JATI DIRI MUSLIM MUALAF: KAJIAN KES DI HIDAYAH CENTRE SHAH ALAM
Nurhidayah Muhammad Hashim1*, Mohd Afandi Mat Rani2, Amal Hayati Ishak3 dan Wan Satirah Wan Mohd Saman4
1 2 3 Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, MALAYSIA
4 Pengajian Sains Maklumat, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, MALAYSIA
*Pengarang penghubung: [email protected]
Article Information:
Article history:
Received date : 2 January 2023 Revised date : 24 January 2023 Accepted date : 9 February 2023 Published date : 7 March 2023
To cite this document:
Muhammad Hashim, N., Mat Rani, M.
A., Ishak, A. H., & Wan Mohd Saman, W. S. (2023). KELESTARIAN JATI DIRI MUSLIM MUALAF: KAJIAN KES DI HIDAYAH CENTRE SHAH ALAM. International Journal of Social Science Research, 5(1), 16-23.
Abstrak: Golongan mualaf atau saudara baharu kerap berdepan dengan pelbagai cabaran apabila ingin memeluk Islam atau pun selepas memeluk Islam. Setiap mualaf melalui perjuangan yang tidak sama dalam usaha mempertahankan jati diri keislaman mereka.
Justeru, mereka memerlukan sistem sokongan dalam membantu usaha pencarian ilmu akidah dan pembentukan jati diri Islam dalam mempertahankan keimanan mereka. Di Malaysia, selain pihak berwajib iaitu Jabatan Agama Negeri, terdapat beberapa pihak yang telah memberikan sumbangan khidmat sokongan dengan menyediakan sistem sokongan pendidikan dan bantuan material untuk membantu kelestarian pembentukan jati diri mualaf, antaranya Hidayah Centre Foundation (HCF). Kajian ini dijalankan bertujuan mengkaji apakah yang diperlukan dan diharapkan oleh mualaf untuk menjaga kelestarian pembentukan jati diri Muslim selepas memeluk Islam serta mendapatkan maklum balas keperluan sokongan yang disediakan oleh Hidayah Centre Cawangan Shah Alam. Menggunapakai kaedah kajian kualitatif, data diperolehi melalui bahan perpustakaan dan temubual dengan 10 orang mualaf yang telah memeluk Islam dan menerima khidmat sokongan daripada Hidayah Centre Shah Alam, serta tiga orang sukarelawan Hidayah Centre Shah Alam. Kajian ini mendapati terdapat tiga perkara utama yang diperlukan mualaf demi kelestarian jati diri mereka, iaitu ‘born Muslim’ seharusnya memahami kesusahan mereka dengan lebih menumpukan kepada pengukuhan akidah daripada
berterusan dan mudah difahami serta sokongan kewangan berkala untuk kelangsungan hidup mereka.
Kata kunci: mualaf, kelestarian, sistem sokongan, Hidayah Centre.
Abstract: Mualaf or converts often face various challenges when they want to embrace Islam or even after they convert to Islam. Not a few were opposed and even boycotted because of their religious choice. Some even had to hide their Muslim identity for security reasons. After embracing Islam, they should basically strive to learn and improve their knowledge of Islam.
Some mualaf have to go through a different journey of struggle to defend their Muslim identity. Hence, they need support system to assist them in their pursuit of faith and the formation of Islamic identity in defending their faith. In Malaysia, in addition to the authorities, namely the State Religious Department, there are several parties who have offered support services by providing educational support systems and material assistance including the Hidayah Centre Foundation (HCF). This study was conducted to examine what is needed and expected by converts to maintain the sustainability of the formation of Muslim identity after they have converted to Islam as well as to obtain feedback on the support provided by Hidayah Centre Shah Alam Branch. Using the qualitative method, data was obtained through library materials and interviews with respondents, 10 mualaf who had converted to Islam and received support from Hidayah Centre Shah Alam and three volunteers from Hidayah Centre Shah Alam.
This study found that there are three big things that are needed for the sustainability of their Muslim identity, namely the ‘born-Muslim’ should understand their difficulties by focusing more on strengthening their faith rather than emphasizing religious rules, offering of basic and continuous Islamic education which is easy to understand by mualaf and also periodic financial support for their lives.
Keywords: mualaf, converts, sustainability, support system, Hidayah Centre.
1. Pengenalan
Mualaf atau saudara baharu adalah merujuk kepada individu yang asalnya bukan beragama Islam dan kemudiannya memilih untuk memeluk Islam. Perkataan mualaf atau ‘mualafatu qulubuhum’ digunakan dalam al-Quran yang bermaksud individu yang dijinakkan hatinya untuk cenderung kepada agama Islam. Mereka adalah golongan yang istimewa dan perlu diberikan perhatian oleh umat Islam atau ‘born muslim’ secara umum dan pihak berwajib secara khusus. Ini termasuklah pembahagian zakat dan sebagainya seperti mana maksud ayat 60 surah al-Taubah: “Sesungguhnya zakat itu adalah untuk orang fakir, miskin, pengurus zakat, mualaf yang jinak hatinya dengan Islam, hamba, orang yang berhutang, orang yang berjuang di jalan Allah serta orang yang dalam musafir dan terputus bekalan.”
Dalam usaha memeluk Islam, media massa banyak mendedahkan kehidupan mualaf yang berdepan pelbagai cabaran. Ada mualaf yang ditentang dan diboikot oleh keluarga dan rakan- rakan selepas memeluk agama Islam. Ada juga yang terpaksa menyembunyikan keislaman atas faktor keselamatan (Asmahanim, 2015). Bahkan sebilangan mualaf yang tidak mampu bertahan, gagal dalam menghadapi cabaran dan dugaan telah memilih kembali kepada ajaran agama asal (Azamuddin et al, 2017; Muhammad, 2021). Sebilangan mualaf lain pula tidak mempunyai sebarang maklumat tentang siapa dan di mana mereka boleh mendapatkan bantuan selepas memeluk Islam sedangkan mereka ingin mengetahui tentang agama baharu yang dianuti untuk terus bertahan dalam ajaran Islam (Nur A’thiroh & Fariza, 2009).
2. Ulasan Kajian Lepas Perkembangan
Menurut statistik keluaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jumlah mualaf yang direkodkan dari tahun 2000 sehingga 2012 adalah seramai 106,747 orang (Taufiq Yap Yun Hin, 2019). Jumlah mualaf di Malaysia menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
Namun menurut sesetengah penyelidik, bilangannya mungkin lebih tinggi daripada yang didaftarkan kerana ramai mualaf tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam kerana beberapa sebab seperti keselamatan, kekeluargaan, ekonomi dan lain (Asmahanim, 2015).
Setelah memeluk Islam, secara dasarnya mualaf harus berusaha untuk mempelajari dan meningkatkan pengetahuan berkenaan agama Islam. Walaubagaimanapun, kebanyakan kajian lepas mendapati mereka tidak mengetahui dengan terperinci hal ehwal melibatkan penghayatan ajaran Islam (Aini et al., 2018). Begitu juga mereka lemah dalam pengetahuan bidang agama yang lain seperti Feqah, Tauhid, Akhlak, Al-Qur’an dan juga Sirah (Adul, 2014).
Setiap mualaf pula melalui perjuangan yang tidak sama dalam usaha mempelajari agama dan mempertahankan jati diri keislaman mereka. Dalam proses memeluk Islam, golongan mualaf kerap berdepan dengan pelbagai cabaran (Abdul Ghafar et.al, 2017). Ini termasuklah untuk mempelajari agama baru iaitu agama Islam, dan juga menguatkan diri mereka dengan kepercayaan baru.
Kajian terdahulu juga banyak mencatatkan bahawa ramai mualaf sering menghadapi masalah seperti kehilangan pekerjaan, hilang hak tuntutan harta pusaka dan disingkir oleh keluarga kandung kerana memilih agama Islam (Johari Jap (2019). Malah ada segelintir daripada mereka terpaksa berhenti kerja kerana pekerjaan yang sebelumnya bercanggah dengan syariah Islam seperti pekerjaan di premis judi atau pun arak (Siti Fatimah et al., 2018). Di samping itu,
keislamannya. Perkara ini menyebabkan masalah kesempitan hidup dan kehilangan sumber pendapatan mereka selepas memeluk Islam (Siti Fatimah et.al, 2018).
Mualaf juga kerap menghadapi cabaran penerimaan orang Islam ‘born Muslim’ terutama dalam kalangan majoriti iaitu kaum Melayu. Orang Melayu Islam mengharapkan mereka yang baru memeluk Islam boleh dan akan mengamalkan budaya Melayu untuk diterima dalam masyarakat (Sayyid Buhar et al., 2013). Ini merupakan satu tekanan besar kerana melibatkan adat dan budaya berbeza kaum.
Hidayah Centre Foundation dan Hidayah Centre Shah Alam
Untuk tujuan memberi sokongan kepada mualaf atau saudara baharu ini, selain pihak kerajaan melalui JAKIM, Jabatan Agama Negeri, terdapat beberapa organisasi yang tampil untuk membantu menjaga kelestarian jati diri agama Islam bagi mualaf ini di Malaysia. Ini termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Hidayah Centre Foundation yang berusaha menyantuni dan menyediakan sistem sokongan kepada mualaf yang memerlukan.
Hidayah Centre (HC) ditubuhkan pada tahun 2005 dengan tujuan untuk menghubungkan komuniti daripada pelbagai etnik dan agama di Malaysia. Khidmat dan aktiviti HC pada peringkat awal lebih tertumpu kepada masyarakat berbilang bangsa dan agama, serta mualaf yang memerlukan bantuan dan bimbingan dalam pelbagai aspek dan kemudiannya memfokuskan kepada membetulkan salah faham tentang Islam dan memperkasakan mualaf.
HC melangkah ke hadapan sehingga ia diperbadankan pada Februari 2012 secara rasmi di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan tertubuhnya The Trustees of Hidayah Centre Foundation Registered atau lebih dikenali sebagai Hidayah Centre Foundation (hidayahcentre.org.my).
Usaha murni HC di diteruskan oleh beberapa pihak sukarelawan NGO IKRAM Shah Alam di bawah Biro Dakwah dengan menubuhkan cawangan di Shah Alam dikenali sebagai Hidayah Centre Cawangan Shah Alam pada pertengahan tahun 2010. Ia bertujuan memberi bantuan yang wajar kepada mualaf di kawasan Shah Alam. Pada awalnya HC Shah Alam menggunakan sebahagian ruang di Pejabat IKRAM Seksyen 15 Shah Alam sebelum berpindah sepenuhnya di Seksyen 17 Shah Alam (temu bual bersama Responden 1 pada 6/12/2022) .
3. Perbincangan dan Cadangan
Daripada kesemua mualaf yang ditemubual pada 6/12/2022 dan 11/12/2022, ada yang telah lama memeluk Islam sebelum mengenali HC. Namun begitu terdapat beberapa orang yang memeluk Islam selepas hadir ke HC Shah Alam dan berdiskusi tentang perbezaan agama bersama sukarelawan HC Shah Alam. Hasil daripada temu bual yang diadakan kajian ini mendapati terdapat tiga perkara besar yang diperlukan mualaf, iaitu orang Islam asal ‘born Muslim’ seharusnya memahami kesukaran mereka dengan lebih menumpukan kepada pengukuhan akidah daripada menekankan hukum, menyediakan pendidikan Islam asas secara berterusan serta mudah difahami oleh mualaf serta sokongan kewangan berkala untuk kehidupan mereka dapat membantu mereka dalam menjaga kelestarian jati diri sebagai Muslim selepas memeluk Islam.
3.1 Orang Islam Asal (Born Muslim) Dapat Memahami kesukaran Mualaf dan Menumpukan Pengukuhan Akidah Daripada Menekankan Hukum
Menurut responden yang ditemu bual, mereka berharap orang Islam asal (born Muslim) dapat memahami kesukaran mereka dalam memeluk Islam. Keyakinan mereka kepada Allah dan rukun iman belum kuat dan mereka memerlukan bantuan daripada ‘born Muslim’ untuk bertahan dalam akidah Islam. Namun hampir kesemua responden berdepan dengan pengalaman bahawa majoriti ‘born Muslim’ yang mereka temui selepas memeluk Islam banyak memfokuskan kepentingan mengerjakan ibadah solat tanpa culas dan kewajipan pemakaian sempurna sebagai seorang Muslim seperti berhijab dan memakai stoking.
Responden 5 (2022) yang memeluk Islam semasa berada di sekolah menengah menyatakan:
“Mualaf seumpama budak kecil yang baru mengetahui tentang Allah, tetapi ‘born Muslim’
sering menganggap kami seperti orang besar yang sudah pandai dan kuat iman kerana kami sudah dewasa seperti mereka.”
Beliau menambah;
“Saya masuk Islam semasa sekolah, tetapi tidak ada seorang pun yang bertanya saya atau berbincang tentang Tuhan, Malaikat, Nabi atau ajarkan saya baca al-fatihah dan lain-lain.
Saya rasa sangat ‘lonely’ sebab tiada bimbingan yang tetap dan saya juga tak tahu apa-apa NGO atau program yang saya boleh ‘attend’ sehingga saya mendapat tahu tentang Hidayah Centre.”
Perkara yang sama disentuh oleh Responden 8 (2022) yang berdepan dengan masalah ibunya membantah pertukaran agama beliau sehingga menghalaunya keluar dari rumah. Beliau menyebut;
“Saya banyak bergaul dengan orang Islam. Tetapi selepas mereka tahu saya memeluk Islam, tiada siapa yang bertanya untuk bantu saya mengenal Allah dan Malaikat dengan lebih jelas.
Tetapi ramai yang asyik sebut, “You dah Islam ya? Tak boleh pakai macam dulu, You kena tutup aurat, pakai tudung.”
Menurut Responden 7 (2022), beliau sebenarnya tidak berhasrat untuk memeluk Islam dari awal walaupun memang meyakini tuhan seharusnya satu. Apabila diajak memeluk Islam, beliau terus bersetuju. Katanya, “Akidah saya belum kuat sebenarnya tetapi selalu diberi hadiah tudung dan ramai sebut supaya pakai tudung dan sebagainya. Dalam keluarga saya tidak boleh pakai macam tu..”
Kesemua mereka bersetuju bahawa mereka berharap ‘born Muslim’ akan dapat memahami keadaan mereka dan kurang menekankan bahagian hukum hakam tetapi membantu menguatkan akidah terlebih dahulu. Responden 7 (2022) menyebut bahawa, “Ramai ‘born Muslim’ yang sudah lama dalam Islam yang tidak bertudung dan memerlukan masa untuk berubah, apatah lagi mualaf yang baru beberapa hari mengenal Islam. High expectation kepada mualaf kadang-kadang menyebabkan mualaf lari.”
Responden 2 (2022) menyebut, ‘Born Muslim’ boleh bagitau kena pakai macam mana, tapi harap tekan more on akidah, then slowly mualaf akan practice sendiri.. Instead of asking, bila you nak tutup aurat, dah khatam Quran ke tak, kami berharap ditanya, nak saya ajar quran ke?.”
Mereka sangat berharap agar ‘born Muslim’ sudi menjadi keluarga angkat yang membantu mereka untuk bangkit sebelum dilepaskan berdikari. Responden 5 (2022) turut menyatakan,
“Kita mengharapkan ada keluarga angkat, at least satu kawan baik Muslim yang akan sentiasa membimbing kita setelah kita masuk Islam, guide kita, tanya kita if ada apa-apa confusion ke.
Tetapi in the current system ni takda. Seolah-olah kami syahadah dan terus di let go, once attend kursus dari Jabatan Agama dan dapat card Islam, takda follow up dah unless ada initiative sendiri. But actually at that time Iman kita tak kuat lagi dengan influence dari friends and family members, dan macam-macam lagi cabaran kita lalui.”
3.2 Menyediakan Pendidikan Islam Asas Secara Berterusan Serta Mudah Difahami Oleh Mualaf
Mereka bersyukur HC Shah Alam mengadakan kelas agama dengan kerap dan berharap agar lebih banyak NGO dan ‘born Muslim’ akan sentiasa mengajak mereka atau membantu mengadakan kelas untuk mereka diberi kefahaman tentang Islam dalam bahasa yang mudah.
Responden 2 (2022) menyebut, “Kelas Agama banyak menggunakan bahasa Melayu sedangkan saya kurang faham bahasa Melayu. Lama-lama saya rasa kurang minat untuk hadir. Ayah saya juga hanya faham bahasa Mandarin, nak cari kelas dalam bahasa tersebut juga susah.”
Hal yang sama disentuh oleh Responden 5 (2022) apabila beliau berusaha untuk mempelajari bahasa Melayu untuk memudahkan beliau. Tetapi tidak semua dapat melakukan yang sama.
Penggunaan bahasa mengikut keupayaan mualaf adalah sangat penting untuk membantu mualaf menjaga kelestarian jatidiri Islam mereka.
Responden 5 (2022) turut berkongsi tentang isi kandungan kelas agama dan menyebut, “Yang saya hadir selalunya susah nak faham. Ayatnya tinggi, ada yang sebut fasal mazhab.
Sedangkan kami seperti bayi baru nak berjalan. Tetapi isi kandungan dan cara penyampaian seperti orang besar. Mualaf susah untuk faham.”
Mualaf sangat berharap agar isi kandungan kelas pengajian Islam akan memfokuskan kepada akidah dalam ayat yang mudah seperti mendidik kanak-kanak, bukan serius dan menyentuh perkara berat. Apabila terlalu berat isi kandungannya, mereka berasa susah untuk faham dan tidak berminat untuk hadir mendalami agama.
3.3 Menyediakan Sokongan Kewangan Berkala Untuk Kehidupan Mereka
Dalam usaha menjaga kelestarian jatidiri sebagai Muslim, ramai mualaf memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan kehidupan. Ini diakui oleh responden yang ditemu bual bahawa ada yang hilang pekerjaan atau dipulaukan rakan sekerja sehingga terpaksa berhenti kerja kerana tekanan sekitar selepas diketahui mereka memeluk agama Islam.
Responden 2 (2022) berkongsi pengalaman beliau, “Sebelum Islam, saya bekerja sebagai Setiausaha Syarikat dengan gaji yang tinggi. Tetapi selepas syarikat mengetahui saya memeluk Islam, saya dipulaukan sehingga menimbulkan tekanan kepada saya sehingga saya terpaksa meletak jawatan.”
Walaupun Responden 5 (2022) tidak menghadapi perkara yang sama, namun beliau melihat kawan-kawannya tiada sumber kewangan selepas berhenti kerja. Katanya, “Ada kawan-kawan saya yang dilema antara hadir ke kelas Agama yang diadakan tetapi majikan tidak membenarkan atau tidak menyokong. Itu menyebabkan mualaf ada yang memilih berhenti kerja demi mendalami agama dan mereka tiada simpanan yang banyak.”
Kesemua responden bersetuju bahawa kebanyakan mualaf sangat memerlukan bantuan kewangan berkala dan dijelaskan untuk apa wang tersebut diberikan. Contohnya untuk membayar teksi ke tempat kuliah, atau untuk tujuan membayar sewa rumah dan sebagainya.
Namun mereka sangat berharap jika diberikan pekerjaan supaya mereka dapat mencari rezeki secara tetap.
4. Kesimpulan
Mualaf merupakan golongan yang perlu dibantu untuk kekal mempertahankan kelestarian jatidiri sebagai seorang Muslim. NGO seperti Hidayah Centre telah berusaha menjadi tempat berkumpul dan mempelajari agama bagi Mualaf. Usaha ini sangat murni kerana mualaf sangat mengharapkan sokongan daripada semua untuk membantu mereka dalam beberapa tahun terawal selepas memeluk Islam, sehingga akidah mereka kukuh dan mereka dapat berdikari sebagai Muslim yang kuat. Bahkan tidak mustahil dengan sokongan kuat ‘born Muslim’, NGO dan pihak berwajib, mualaf akan bangkit menjadi pendakwah pula untuk menyebarkan Islam dalam masyarakat.
5. Penghargaan
Penyelidik merakamkan penghargaan kepada Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) di atas pembiayaan penyelidikan ini melalui Geran Penyelidikan Dalaman ACIS 2020 nombor 600-RMC/ACIS_IRES 5/3(002/2020).
Rujukan
Abdul Ghafar Hj. Don, Anuar bin Puteh & Razaleigh Muhamat@Kawangit, (2017). Isu Dan Cabaran Dalam Dakwah Saudara Baru, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Asmahanim Amir, (2015). Bilangan Mualaf Di Malaysia Lebih Ramai Daripada Catatan Rasmi. https://www.ukm.my/news/Latest_News/bilangan-mualaf-di-malaysia-lebih- ramai-daripada-catatan-rasmi/ akses pada 10 Dis 2022.
Hidayah Centre di hidayahcentre.org.my/info-hcf/ akses pada 10 Dis 2022.
Johari Yap. (2019). Tekanan Perasaan Golongan Mualaf. Sinar Harian
https://www.sinarharian.com.my/article/28842/KOLUMNIS/Tekanan-perasaan-golongan- mualaf dalam Sinar harian 19 Mei 2019 akses pada 14 Dis 2022
Muhammad Wa’iz Md Norman, (2021). Jarang Berlaku, Tetapi Ini Punca-Punca Ada Mualaf Murtad Dan Kembali Kepada Agama Asalnya. https://udakwah.com/murtad-di-malaysia/
akses pada 14 Dis 2022.
Noreha Che Abah, Asmawati Suhid & Fathiyah Mohd Fakhrudin, (2019). Isu Dan Cabaran Saudara Baharu Di Malaysia: Satu Tinjauan Awal dalam Jurnal Al-Anwar, 8, No.2, 1-13.
Nur A‘Thiroh Masyaa’il Tan Binti Abdullah @ Tan Ai Pao & Fariza Md Sham, (2009).
Keperluan Memahami Psikologi Saudara Muslim dalam Jurnal Hadhari 2, 83-97.
Sarip Adul, (2014). Sumber Pengetahuan Beragama Dan Tahap Kefahaman Muallaf Di Bahagian Pantai Barat Sabah dalam Seminar Antarabangsa Dakwah dan Etnik, UMS.
Sayyid Buhar Musal Kassim, Mohd Syukri Yeoh Abdullah & Zawiyah Baba, (2013). A Survey Of Problems Faced By Converts To Islam in Malaysia dalam Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan, 8 (1).
Siti Fatimah Salleh, Nadhirah Nordin, Siti Hajar Mohamad Yusoff & Siti Khadijah Ismail, (2018). Cabaran Dan Implikasi Pengurusan Dokumentasi Saudara Baru dalam International Seminar on al-Quran in Contemporary Society, UNISZA.
Taufiq Yap Yun Hin, (2021). Hala Tuju Pendidikan Tinggi Mualaf Di Malaysia: Isu Dan Cabaran dalam Sistem Pendidikan Mualaf di Malaysia 2021. Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah.
Temu bual bersama Responden 1 pada 6 Dis 2022
Temu bual bersama Responden 2,5,7, 8 pada 11 Dis 2022