• Tidak ada hasil yang ditemukan

KERAJAAN JOHOR: EVOLUSI DAN TRANSFORMASI

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "KERAJAAN JOHOR: EVOLUSI DAN TRANSFORMASI"

Copied!
9
0
0

Teks penuh

(1)

1. Pengenalan

Kerajaan Johor merupakan antara kerajaan tertua dalam sejarah kerajaan Melayu, namun kajian dan penyelidikan yang mendalam masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh para sarjana sejarah. (Nordin Husin, 2010). Menelusuri sejarah Johor yang amat panjang, jelas terlihat bagaimana sebuah kerajaan Melayu telah melalui pelbagai fasa evolusi dan transformasi yang amat berkesan sehingga menyebabkan perubahan yang amat besar dari segi wilayah dan jajahan takluknya, kerajaan yang memerintah, pentadbiran dan kuasa yang memerintah serta sejarah politik, ekonomi dan sosial yang mendasarinya.

International Journal of Social Science Research (IJSSR) eISSN: 2710-6276 | Vol. 5 No. 1 [March 2023]

Journal website: http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr

KERAJAAN JOHOR: EVOLUSI DAN TRANSFORMASI

Haryati Hasan1*, Amir Abdul Malik2, Faris Danial Ridzuan3, Amin Rais Wan Shaidi4 dan Muhammad Syameer Zulkipli5

1 2 3 4 5 Jabatan Sejarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim,

MALAYSIA

*Pengarang penghubung:[email protected]

Article Information:

Article history:

Received date : 18 January 2023 Revised date : 18 February 2023 Accepted date : 28 February 2023 Published date : 7 March 2023

To cite this document:

Hasan, H., Abdul Malik, A., Ridzuan, F. D., Wan Shaidi, A. R., & Zulkipli, M. S. (2023).KERAJAAN JOHOR:

EVOLUSI DAN TRANSFORMASI.

International Journal of Social Science Research, 5(1), 113-121.

Abstrak: Kertas kerja ini cuba merungkai semula bagaimanakah sejarah Kerajaan Johor telah melalui sejarah yang amat berbeza sekali dengan Kerajaan Melayu yang lain dan keunikan ini amat terserlah dalam sejarah yang mendasarnya. Skop masa dari pra 1530 sehingga 1720. Perbincangan memfokuskan kepada empat fasa. Pertamanya, mengenai evolusi dan sejarah awal Johor yang bermula sebelum tahun 1530.

Keduanya evolusi dan transformasi sejarah Johor dari tahun 1530 hingga 1640 (110 tahun). Ketiganya transformasi sejarah Johor dari tahun 1641 hingga 1699 (58 tahun). Keempatnya transformasi sejarah Johor dari 1700 hingga 1720 (20 tahun permasalahan).

Dapatan menunjukkan evolusi dan transformasi sejarah kerajaan Johor dapat dilihat bagaimana ia bermula dan seterusnya mengalami pelbagai perubahan. Namun ianya masih berpaksikan kepada penguasaannya dalam kegiatan perdagangan dan telah dapat mengambil kedudukan strategiknya untuk muncul sebagai sebuah kerajaan yang kukuh dan berjaya.

Kata Kunci: Kerajaan Johor, Evolusi, Transformasi.

(2)

Sejarah bermula dengan kerajaan awal Johor yang terletak di Selatan Semenanjung Tanah Melayu yang masih kabur tentang asal-usulnya kemudian telah membentuk kerajaan Johor- Pahang-Riau dan Lingga setelah kehancuran kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511.

(Andaya, B.W. & Leonard Y, 2001). Evolusi kerajaan yang terbentuk dari penyatuan wilayah yang luas ini terletak di Selatan Semenanjung Tanah Melayu ini kemudiannya, telah berubah hanya menjadi kerajaan Johor dan tanah jajahannya setelah gagal untuk mempertahankan wilayahnya iaitu Pahang-Riau dan Lingga pada abad ke-19. Dari segi kedudukan geografi, kerajaan Johor terletak di wilayah yang amat strategik kerana terletak di tengah-tengah jalan perdagangan di antara Timur dan Barat. Seperti mana kerajaan Srivijaya dan Melaka yang telah berjaya mengeksploitasi kedudukan strategiknya untuk memajukan dan memperkukuhkan kedaulatan dan kekuatan kerajaan Melayu, begitu juga halnya dengan Kerajaan Johor.

Sejarah Johor yang penuh berliku tersebut sebenarnya telah ditentukan oleh kedudukan geografinya yang amat strategik. Justeru, evolusi dan transformasi kerajaan Johor amat terikat dengan faktor tersebut. Kedudukannya yang terletak di penghujung Semenanjung Tanah Melayu dan di antara laluan perkapalan yang amat sibuk di dunia telah menyebabkan kemajuan dan pembangunannya amat berteraskan kepada kegiatan perdagangan, perkapalan dan kegiatan maritim.

2. Metodologi

Kertas kerja ini diubahsuai daripada Bab Dua Modul HSM 3013 Kesultanan Melayu Melaka yang bertajuk “Kerajaan Johor-Riau”. (Haryati Hasan, 2022). Tulisan ini cuba merungkai semula evolusi dan transformasi sejarah kerajaan Johor yakni bagaimana ia bermula dan seterusnya mengalami pelbagai perubahan serta bagaimanakah kerajaan Johor telah melalui sejarah yang berbeza sekali dengan kerajaan Melayu yang lain. Keunikan ini amat terserlah dalam sejarah yang mendasarinya.

3. Hasil dan Perbincangan

Perbincangan mengenai sejarah Kerajaan Johor dibahagikan kepada empat fasa. Pertama, evolusi dan sejarah awal Johor yang bermula sebelum tahun 1530. Kedua, evolusi dan transformasi sejarah Johor dari tahun 1530 hingga 1640. Ketiga, transformasi sejarah Johor dari tahun 1641 hingga 1699 dan keempat transformasi sejarah Johor dari 1700 hingga 1720.

3.1 i- Fasa Pertama Evolusi Sejarah Johor Pra 1530

Menurut Nordin Husin terdapat banyak catatan dan juga penemuan arkeologi tentang sejarah awal Johor sebelum tahun 1530. (Nordin Husin, 2010). Namun sehingga kini misteri evolusi dan kewujudan dan perkembangan sejarah awal Johor masih lagi belum terjawab. Sejarah awal Johor dikenali sebagai Ujong Medini atau Ujong Tanah iaitu wilayah yang meliputi Selatan Semenanjung Tanah Melayu iaitu termasuklah Johor, Muar, Pahang dan Tumasik. Sejarah awal Johor juga dikenali dengan penempatan yang disebut sebagai Wurawari iaitu dalam bahasa Jawa lama yang bererti “air yang jernih”. Sebuah inskripsi pada tahun 1006 dalam Bahasa Sanskrit dan Jawa Kuno yang kini tersimpan di Muzium Calcutta menyatakan bahawa Kota Wurawari ini telah menyerang kerajaan Jawa.

(3)

Misteri evolusi awal kerajaan Johor juga masih penuh dengan persoalan yang belum terjawab.

Kajian dengan terperinci diperlukan kerana sejarah awal Johor juga dikenali sebagai sebuah kerajaan Ganggayu iaitu sebuah kerajaan Johor Lama yang dibina dari Kota Batu Hitam yang terletak di bahagian hulu Sungai Johor, masih lagi belum dikaji dan diteliti dengan sempurna dan masih tersimpan dalam lipatan sejarah. Sejarah awal Johor juga dikenali sebagai Klang Kio dalam bahasa Siam yang membawa erti Kota Permata dan raja yang memerintah dikenali sebagai Raja Chulan yang memiliki kuasa dan wilayah yang luas serta kesemua kerajaan di Timur tunduk di bawah kuasa baginda.

Sehingga kini, pengetahuan kita mengenai kerajaan awal Johor iaitu yang disebut Ujong Medini, Ujong Tanah, Wurawari, Ganggayu, Kota Batu Hitam dan Klang Kio masih lagi tinggal dalam lipatan sejarah yang belum terjawab. Justeru, sesuatu mesti dilakukan untuk membongkar semula sejarah awal Johor yang masih lagi terpendam dalam lipatan sejarah.

Melihat dari perkembangan sejarah awal dan penempatan awal, jelas sekali sejarah Johor banyak tertumpu di bahagian Timur Johor iaitu yang dipusatkan di lembangan dan pesisir sungai Johor. Banyak penempatan dan kerajaan awal telah merujuk kepada kawasan di sepanjang lembangan Sungai Johor. Penempatan dan perkembangan sejarah awal Johor banyak berpusat di bahagian Timur Johor iaitu di sepanjang Sungai Johor yang memiliki muara yang dalam serta luas dan dapat dimudiki sehingga ke kawasan wilayah pedalamannya.

Disamping itu juga, penempatan dan sejarah awal Johor dapat dibuktikan di beberapa kawasan di Selatan termasuklah di Pulau Tumasik dan juga di sepanjang Sungai Johor. Oleh itu, tidaklah menghairankan nama-nama lama yang disebutkan di atas terletak di wilayah sebelah Timur Johor. Lembangan Sungai Johor ini adalah “The Lost Frontier of The Malay Civilization” yang belum dikaji dengan mendalam oleh para sarjana sejarah.

Keadaan ini berlaku disebabkan teras kerajaan Johor adalah perdagangan dan maritim. Laut dan sungai merupakan aspek penting kepada kegiatan perdagangan dan pengangkutan.

Tambahan lagi, lokasi yang strategik telah menjadikan kedudukan Johor menjadi tumpuan para pedagang yang berlayar di antara Timur dan Barat. Peranan angin Monsun juga merupakan faktor penting menyebabkan para pedagang yang melintasi Laut Melayu (Selat Melaka) terpaksa berhenti di pelabuhan yang terletak dalam pentadbiran dan wilayah kerajaan Johor.

Fasa pertama sejarah awal Johor ini masih lagi kabur dan memerlukan banyak masa diberikan untuk penyelidikan dan penulisan. Lembangan Sungai Johor merupakan kawasan yang amat penting kepada sejarah dan evolusi awal kerajaan Johor. Di lembangan Sungai Johor inilah sejarah Johor bermula dan seterusnya berkembang menjadi sebuah kerajaan yang besar dan di sinilah terletaknya The Lost Frontier of The Malay Civilization.

3.2 ii- Fasa Kedua 1530-1640 (110 Tahun) Evolusi dan Transformasi Sebuah Kerajaan Pada umumnya, sarjana sering kali merujuk dan mengambil tarikh 1530 sebagai tahun pengasasan kerajaan Johor. Hal ini kerana, sejarah awal Johor sebelum tahun 1530 masih kabur dan belum diselidiki dengan sempurna. Justeru itu, mungkin untuk sementara waktu sebelum kita menemui sebuah kajian yang mantap, maka kita terpaksa menerima tarikh tersebut sebagai tarikh pengasasan kerajaan Johor.

(4)

Selepas kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis pada 1511, orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Mahmud Syah (1488-1511) melarikan diri berkelana ke seluruh rantau kerajaan untuk menyelamatkan diri daripada pihak Portugis. Setelah baginda mangkat pada tahun 1528 di Kampar, teraju pemerintahan diambil alih oleh putera baginda bernama Raja Ali. Baginda kemudiannya telah keluar dari Kampar menuju ke Pahang dan seterusnya ke satu tempat yang dinamakan Sayong Pinang. Di sini baginda mendirikan istana dan pusat pentadbiran dengan memakai gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II dan bagindalah dikatakan sebenarnya yang mengasaskan Kesultanan Johor-Riau-Lingga. (Haryati Hasan, 2014).

Dari tahun 1530 sehingga tahun 1640 (110 tahun) adalah jangka masa yang amat mencabar kepada penubuhan dan pemerkasaan sebuah kerajaan. Cabaran selama 110 tahun untuk penubuhan dan pengukuhannya jelas terserlah dalam lipatan sejarah yang berlaku di sepanjang Sungai Johor. Pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa dihadapi oleh Kerajaan Johor yang bukan sahaja datang dari dalam negeri sendiri malah juga luar negeri. Ancaman luar misalnya serangan dari pihak Portugis dan Acheh. Akibat daripada konflik yang sering berlarutan itu, sultan terpaksa memindahkan pusat pemerintahannya beberapa kali demi menyelamatkan diri.

Maka tidak hairanlah jika kerajaan Johor ini mempunyai banyak pusat pemerintahan misalnya di Pekan Tua, Kota Sayong Pinang, Kota Johor Lama, Kota Seluyut, Kota Batu Sawar, Kota Tinggi dan Kota Panchor.

Selain itu, Johor juga berhadapan dengan konflik dalaman. Peranan yang dimainkan oleh keluarga Laksamana jelas terserlah dan keluarga Bendahara telah diketepikan kerana era ini merupakan era peperangan dan kekacauan serta memerlukan kekuatan tenaga ketenteraan untuk memperkukuhkan sebuah kerajaan yang baharu dibina. Oleh itu, kekuatan Laksamana Paduka Raja telah memainkan peranan yang besar dalam memperkukuhkan kedaulatan kerajaan Johor dan untuk mengembalikan semula kekuatan ekonomi dan mempertingkatkan semula aktiviti perdagangan yang menjadi nadi kerajaan Johor. (Andaya, B.W. & Leonard, Y.

2001). Justeru, keadaan ini sangat berbeza sekali dari tradisi awal yang mana keluarga Bendahara yang memainkan peranan besar dalam pentadbiran sebuah kerajaan

Konflik dalaman telah lahir disebabkan oleh keadaan semasa yang memerlukan peranan Laksamana diutamakan dalam beberapa hal yang berlaku (Andaya, Leonard Y. 1987). Tiada dalam sejarah Melayu yang menyaksikan bagaimana usaha untuk mendirikan sebuah kerajaan sebegitu mencabar melainkan penubuhan kerajaan Johor. Evolusinya yang penuh cabaran tersebut mematangkan semangat dan pemikiran untuk bertahan demi mempertahankan warisan peradaban Melayu.

3.3 iii- Fasa Ketiga 1641-1699 (58 tahun) Transformasi Sebuah Kerajaan

Menjelang abad ke-17, perubahan besar telah berlaku dalam perimbangan kuasa di dunia Melayu terutamanya di Selat Melaka. Kehadiran kuasa Belanda telah merubah keseluruhan struktur perimbangan kuasa tersebut. Begitu juga pada masa yang sama kelemahan kerajaan Acheh juga telah menyebabkan perubahan yang amat besar kepada masa hadapan pembangunan dan kejayaan kerajaan Johor. Pada masa yang sama, kuasa Portugis terpaksa berhadapan dengan cabaran baharu iaitu dengan kemunculan armada dan kekuatan pedagang Belanda yang telah menubuhkan Syarikat Hindia Timurnya pada awal abad ke-17. (Nordin Husin, 2010).

(5)

Penubuhan Syarikat Hindia Timur Belanda ini telah menyebabkan perubahan yang besar kepada perdagangan dunia dan telah mencabar kedaulatan dan penguasaan Portugis dan Sepanyol. Oleh yang demikian, kesempatan ini telah diambil sepenuhnya oleh kerajaan Johor dan dengan itu telah termeterai perjanjian yang telah menjadikan suasana baharu yang muncul di Selat Melaka dengan menyebelahi kepada kejayaan mentransformasikan kerajaan Johor.

Sepanjang abad ke-16, peperangan dan suasana yang tidak selamat telah menghantui kehidupan di Selat Melaka. Perjalanan dan perdagangan yang melalui selat yang amat strategik tersebut telah tercabar dan telah mengalami era yang merudum setelah kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Peperangan sentiasa berlaku di antara Portugis di Melaka, Acheh dan Johor.

Ketiga-tiga kuasa ini telah berperang sebanyak sembilan kali dalam medan peperangan sama ada di Sungai Johor, Melaka ataupun di Acheh. Tahun-tahun peperangan pada 1512, 1518, 1520, 1521, 1523, 1524, 1526, 1536 dan 1587 telah menjejaskan perdagangan dan suasana kehidupan di Selat Melaka. Dengan kehadiran Belanda pada awal abad ke-17 melalui penubuhan Syarikat Hindia Timur Belanda yang amat kukuh dengan dana besar yang dibina dari kesatuan modal daripada karyawan Belanda dan bandar-bandar di Belanda telah membuka lembaran dunia baharu di Dunia Melayu.

Justeru, sesuatu yang amat unik dalam sejarah kerajaan Johor ialah bagaimana ianya terikat bukan sahaja dengan sejarah di dunia Melayu bahkan ianya juga mempunyai hubung kait dengan sejarah global terutamanya keterikatan dengan dunia di sebelah Timur dan Barat serta merupakan pemain utama dalam era globalisasi awal dunia. Semenanjung Tanah Melayu, Selat Melaka dan kedudukan geografi yang strategik kerajaan Johor yang terletak di persimpangan pelayaran utama dunia di antara Timur dan Barat telah menjadikannya penting dan telah dapat menguasai sepenuhnya kedudukan geopolitik tersebut. Selat Melaka yang dahulunya dikenali sebagai Laut Melayu terletak di tengah-tengah tanah tumpah darah warisan peradaban Melayu.

Sejak dari zaman awal lagi, Selat Melaka atau Laut Melayu ini telah memainkan peranan utama untuk menghubungkan laluan perdagangan yang amat sibuk di antara Lautan Hindi dan juga Timur Jauh. Kepentingan strategik jalan perairan di antara Timur dan Barat ini sebenarnya telah lama diketahui dan telah sepenuhnya dikuasai oleh orang Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Sumatera kerana di sinilah bermulanya peradaban Melayu yang berteraskan kepada dunia maritim telah diasaskan dan dikembangkan. Oleh yang demikian, kehadiran Belanda di wilayah ini telah meletakkan matlamat kuasa Eropah tersebut menjadi nyata apabila mereka telah melaksanakan impian dan kepercayaan tersebut menjadi kenyataan untuk mengotakannya iaitu sesiapa sahaja yang berjaya menguasai dan mengawal selat tersebut, maka merekalah yang dapat menguasai sepenuhnya kekayaan dagangan yang melaluinya.

Sejarah awal kejayaan Belanda menguasai perdagangan dunia dan mengembangkan sayapnya ke wilayah di Asia bermula dengan penubuhan VOC pada tahun 1602. Penubuhan syarikat perdagangan VOC dengan penggabungan beberapa syarikat kecil dengan dana yang bernilai jutaan gulden serta dengan pemegang saham yang datang dari beberapa bandar utama di Belanda seperti Amsterdam, Rotterdam, Enquizan, Delft, dan Leiden berserta para pedagang yang kaya raya, telah memperkukuhkan syarikat tersebut untuk menerokai perdagangan yang amat menguntungkan di dunia Melayu, Timur Jauh, Asia dan Afrika.

(6)

Kejayaan ini telah menjadikan syarikat VOC satu-satunya syarikat perdagangan yang berpiagam dan amat menguntungkan sekali. Setelah penubuhan syarikat VOC tersebut, banyak bandar pelabuhan utama di Asia telah dikuasai olehnya dan pada tahun 1619, Batavia telah dikuasainya dan dijadikan pusat pentadbiran utama syarikat tersebut di Asia dan menjadi tempat pentadbiran Gabenor Janeral dan konsulnya serta pentadbiran pusat syarikat.

Seterusnya, pada pertengahan abad ke-17, aktiviti Belanda di Asia mencapai kemuncaknya dan banyak bandar pelabuhan yang dahulunya dimiliki oleh Portugis telah jatuh ke tangan penguasaan syarikat VOC Belanda.

Kehadiran dan pengaruh serta kuasa Belanda di Dunia Melayu amat dirasai dalam kalangan kerajaan Melayu. Sebelum Belanda dapat menguasai Melaka, Batavia, Ambon dan Makassar, VOC telah terlibat secara aktif dalam perdagangan monopoli dengan bertujuan untuk memecahkan penguasaan Portugis di Dunia Melayu. Syarikat Belanda ini juga telah berusaha sedaya upaya untuk mewujudkan hubungan dagangan dengan kerajaan Melayu terutamanya Kerajaan Johor. Hal ini bertujuan untuk mencapai hasrat utamanya iaitu untuk memulaukan Portugis daripada menguasai perdagangan bijih timah dan kain kapas India amat menguntungkan sekali. Tanpa persahabatan yang akrab dengan Kerajaan Johor, maka tujuan dan matlamat Belanda ini tidak akan mudah untuk dicapai iaitu mengusir Portugis dari Dunia Melayu dan akhirnya dapat menguasai sepenuhnya perdagangan yang amat menguntungkan tersebut.

Justeru, zaman ini terserlah bagaimana sebuah kuasa Eropah berhadapan dengan kuasa dari Dunia Melayu dan telah berjaya membentuk sebuah zaman yang aman dan damai serta mementingkan kepada pertalian perdagangan dan persahabatan yang dibentuk untuk memajukan perdagangan di antara kedua-duanya. Dengan kejayaan mengutamakan kepentingan perdagangan dan persahabatan yang terjalin di antara Kerajaan Johor dengan Syarikat Hindia Timur Belanda tersebut telah berjaya menjadikan kawasan di Selat Melaka yang menjadi tanah tumpah darah orang Melayu muncul semula sebagai sebuah kawasan penting bagi pertumbuhan perdagangan intra Asian di antara Timur dengan Barat yang mana kerajaan Johor di Riau menjadi pemangkinnya.

Kehadiran Belanda di Selat Melaka pada awal abad ke-17 terutamanya dengan kedatangan Admiral Jacob Heemskerck pada tahun 1602 ke istana Johor di Batu Sawar telah memulakan era baru dan persahabatan yang dibina dengan Kerajaan Johor yang berlandaskan persahabatan dan juga memiliki niat yang sama iaitu untuk mengeluarkan Portugis dari Selat Melaka dan untuk memajukan semula ekonomi perdagangan yang telah terbantut disebabkan peperangan yang tiada kesudahan telah termeterai dengan rapinya di antara Belanda dengan Johor.

VOC tidak akan berjaya untuk melaksanakan cita-citanya untuk mengeluarkan Portugis dari Selat Melaka melainkan dengan bantuan daripada Kerajaan Johor. Begitu juga dengan Johor, yang memerlukan sahabat yang setia bagi mewujudkan suasana damai bagi memajukan perkembangan ekonomi perdagangannya yang telah terjejas dengan teruk disebabkan peperangan yang berlaku. Tanpa kerjasama di antara Belanda dengan Johor, cita-cita tersebut sukar direalisasikan. Justeru itu, dengan dasar kerjasama pintar di antara kedua kuasa tersebut, telah melakar sejarah baharu di Selat Melaka iaitu kerjasama di antara kuasa Eropah dengan Kerajaan Johor telah menyaksikan suatu zaman yang aman dan tenteram di Selat Melaka telah berjaya diwujudkan selama 184 tahun.

(7)

Dengan kerjasama tersebut, maka Johor sekali lagi bangkit untuk mencapai kejayaan dengan bantuan dan kerjasama dengan Belanda. Persahabatan yang akrab ini telah berkekalan sehingga tahun 1784 apabila kerjasama tersebut telah dinodai melalui cita-cita Raja Haji untuk menakluki Melaka disebabkan oleh satu peristiwa kecil yang tidak sewajarnya dilakukan oleh beliau. Peristiwa rampasan Kapal Betsey tidak mewajarkan untuk Raja Haji berperang dengan Belanda. Raja Haji tidak memahami ikatan bersejarah yang tersimpul rapi di antara Kerajaan Johor yang telah termeterai sejak tahun 1640 tersebut telah menghancurkan bukan sahaja kerjasama tersebut, bahkan juga pelabuhan Riau yang telah menjadi nadi ekonomi penguasaan perdagangan yang dimiliki oleh Johor.

Ikatan perjanjian yang tidak bertulis ini juga telah menjadikan Selat Melaka dan Dunia Melayu pulih semula dari zaman peperangan dan menjadikan wilayah ini tumbuh dan berkembang dengan pesat hasil daripada perdagangan intra Asian di antara Timur dan Barat. Namun, ianya telah dihancurkan oleh cita-cita sempit yang dimiliki oleh Raja Haji yang mana beliau merasakan beliau memiliki kekuatan untuk mengalahkan Belanda. Tanpa memahami sejarah Raja Haji telah menghancurkan ikatan persahabatan tersebut dan juga menghancurkan Riau sebagai pusat perdagangan utama Melayu.

Hakikatnya, persahabatan di antara Belanda dengan Johor terlalu banyak menguntungkan Johor terutamanya dalam memajukan pelabuhan Riau yang menjadi pusat perdagangan utama di Asia Tenggara yang telah mencabar Melaka dan Batavia. Persahabatan ini juga, telah memberikan peluang yang besar kepada para pegawai dan Orang kaya yang berada dalam pentadbiran kerajaan Johor untuk berdagang tanpa disekat oleh Belanda di Selat Melaka.

Hasil kerjasama inilah juga yang telah melonjakkan semula ekonomi Kerajaan Johor dan menjadikan pelabuhan Riau bertambah pesat dan disinggahi oleh para pedagang dari Eropah, India, China dan juga dari Dunia Melayu tanpa disekat dan dilarang oleh Belanda, walaupun kejayaan tersebut telah menyebabkan persaingan yang sengit dengan pelabuhan Melaka.

Begitu juga dasar monopoli Belanda telah tidak dikuatkuasakan ke atas para pedagang dan pelabuhan Johor. Ekonomi kerajaan Johor telah berkembang sepenuhnya tanpa sekatan dan halangan serta telah mencapai zaman puncaknya dalam sejarah perdagangan dunia

3.4 iv-Fasa Keempat 1700-1720 (20 Tahun Permasalahan)

Kerajaan Johor telah mengalami era cabaran yang pertama dalam sejarah transformasinya yang amat tragis sekali memasuki abad ke-18. Pembunuhan Sultan Johor terakhir dari keturunan Melaka dan Srivijaya pada tahun 1699 iaitu Sultan Mahmud Syah II (Marhum Mangkat Dijulang) telah menjadikan suasana yang telah diperkukuhkan oleh Laksamana Paduka Raja musnah. Cabaran berlaku awal abad ke-18 ini telah menguji kemurnian konsep daulat dan juga titisan yang dibina sejak dari peradaban Srivijaya.

Dinasti Bendahara yang diasaskan oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV seringkali mengalami keadaan kacau-bilau dalam negeri. Sepanjang era pemerintahan beliau di antara tahun 1700 hingga 1718 terdapat kalangan yang menyokong dan menentangnya. Suasana Johor-Riau menjadi gawat. Ini memberikan laluan kepada perpecahan kuasa dan menggugat keutuhan kuasa pusat, perpaduan anggota masyarakat menjadi longgar, seterusnya merintis jalan kepada kemasukan unsur asing ke dalam institusi politik dan masyarakat Johor. Selain faktor tidak mendapat sokongan rakyat jelata dan masalah keselamatan di perairan, kelemahan keperibadian Bendahara juga menjadi penyumbang kepada masalah politik Johor pada tempoh

(8)

tersebut. Dalam pentadbirannya, Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV banyak bergantung kepada saudaranya Bendahara Tun Mas Anum (1699-1708) dan Raja Muda Tun Mahmud yang mengetuai menteri-menteri Johor pada tahun (1708-1718). Raja Muda pula pada ketika itu tinggal di Riau. Keadaan ini mengakibatkan kegelisahan dalam kalangan rakyat jelata. Konflik yang berlaku selama 20 tahun ini telah memutuskan jurai kesultanan dan digantikan dengan jurai Bendahara dan kesannya berlaku tuntutan takhta yang kemudiannya berlaku perang saudara yang mana membawa kepada kemasukan kuasa Siak-Minangkabau dan seterusnya Bugis ke dalam istana dan Kerajaan Melayu (Haryati Hasan, 2010).

Pada 1718, Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV telah disingkirkan oleh Raja Kechil dari Siak yang mendakwa dirinya sebagai putera Sultan Mahmud Syah II (Marhum Mangkat Dijulang) yang kemudiannya memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah. (Mardiana Nordin, 2008). Ketika pemerintahan baginda kerajaan Johor sekali lagi mengalami keadaan huru-hara.

Akhirnya, pada 1722 Raja Sulaiman dengan bantuan Upu-Upu Bugis Lima Bersaudara telah menewaskan Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah (Haryati Hasan, 2022).

Ini adalah cabaran besar kepada konsep kedaulatan dan juga konflik di antara Melayu dan Bugis. Walaupun usaha yang kuat dilakukan oleh kuasa Melayu untuk mengeluarkan kuasa Bugis, namun ianya gagal dan membawa kepada satu dimensi yang baharu dalam sejarah Johor iaitu penyatuan di antara dua rumpun Melayu iaitu Melayu dan Bugis untuk memerintah Johor.

Evolusi dan transformasi ini walaupun sukar untuk diterima sebahagian besar pembesar dan Raja Melayu, namun akhirnya mereka menerima arus perubahan tersebut. Dengan demikian, permasalahan yang berlaku selama 20 tahun tersebut telah membawa impak yang besar dan juga membawa cabaran kepada transformasi seterusnya kepada sejarah Johor.

4. Kesimpulan

Konklusinya, pada fasa pertama menyaksikan evolusi kerajaan Johor masih menimbulkan persoalan. Hal ini berlaku kerana belum dikaji dengan mendalam oleh sarjana sejarah. Fasa kedua, merupakan tahap penubuhan dan pemerkasaan. Dalam tempoh 1530 sehingga 1640 menyaksikan ancaman dari luar seperti Portugis dan Acheh. Peperangan kerap berlaku antara Johor, Portugis dan Acheh yang dikenali sebagai peperangan Tiga Segi. Impak daripada peristiwa peperangan menyebabkan banyak pemindahan pusat pemerintahan. Pada tempoh tersebut juga berlaku konflik dalaman antara keluarga Laksamana dan Bendahara. Fasa ketiga, dari 1641 hingga 1699 atau 58 tahun merupakan tempoh keamanan dan kemakmuran dalam kerajaan Johor. Termeterai perjanjian Persahabatan Johor dengan Belanda memberi manfaat terutamanya dari sudut perdagangan. Namun, begitu situasi tersebut tidak berkekalan kerana pada 1699 berlaku peristiwa pembunuhan ke atas Sultan Mahmud Syah II. Implikasi daripada peristiwa tersebut Bendahara Tun Abdul Jalil telah dilantik sebagai sultan yang memerintah dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Dalam tempoh 1700 hingga 1720 suasana dalam negeri Johor menghadapi krisis kepimpinan, isu keselamatan dan dan masalah perpaduan dalam kalangan rakyat. Muncul Raja Kechil dari Siak-Minangkabau menakluk Johor pada 1718 dan menabalkan dirinya sebagai Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah yang memerintah Johor dari (1718-1722). Seterusnya dalam sejarah Johor turut berlaku penyerapan orang Bugis secara beramai-ramai ke dalam struktur sosial dan politik. Implikasi daripada peristiwa berkenaan menyebabkan negeri-negeri yang pernah berada di bawah naungan Johor satu persatu telah membebaskan diri daripada pertuanan kerajaan tersebut. Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan telah membentuk kerajaan Melayu Baru yang merdeka.

(9)

(Haryati Hasan, 2022). Pada abad ke-18 juga menyaksikan kemunculan dan penguasaan Bugis dalam politik di Tanah Melayu sehinggakan pada abad tersebut terdapat dalam kalangan sarjana yang menyebutnya sebagai abad Bugis (Khazin Mohd Tamrin, 2010).

Rujukan

Andaya, B.W. & Leonard Y. 2001. A History of Malaysia. Second Edition. Basingstoke:

Palgrave.

Andaya, Leonard Y. 1987. Kerajaan Johor 1641-1728. Pembangunan Ekonomi dan Politik.

Haryati Hasan. 2010. 20 Tahun Epilog Luka Kerajaan Johor-Riau, Prosiding Seminar Antarabangsa Sejarah dan Warisan Empayar Johor-Riau. Johor Bharu: Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Khazin Mohd Tamrin. 2010. Selat Melaka dan Penjelajahan Orang Bugis.Prosiding Seminar Antarabangsa Sejarah dan Warisan Empayar Johor-Riau. Johor Bharu: Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Mardiana Nordin. 2008. Politik Kerajaan Johor 1718-1862. Johor Bharu: Yayasan Warisan Johor.

Nordin Hussin. 2010. Sejarah Kerajaan Johor: Evolusi, Transformasi dan Metamorfosis dari Sebuah Kerajaan Johor Moden (Kertas Ucap Utama 2), Prosiding Seminar Antarabangsa Sejarah dan Warisan Empayar Johor-Riau. Johor Bharu: Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Referensi

Dokumen terkait