Masyarakat Pulau di Kawasan Destinasi: Kes Kampung Sri Bahagia Mersing Johor
Marsitah Mohd Radzi, Suhana Saad & Azima Abdul Manaf
Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan & Persekitaran Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia Alamat emel: [email protected]
Pendahuluan
Kajian-kajian mengenai penghijrahan penduduk sekitar tahun 1970-an dan seawal tahun- tahun 1980-an (Todaro-1976; Witayakorn Chiengkul, 1986) jelas memperlihatkan mereka yang berhijrah terdiri daripada golongan miskin yang tidak bertanah dan bertujuan untuk membangunkan keluarga masing-masing. Kajian DaVanzo (1981) menunjukkan bahawa penghijrahan merupakan salah satu cara untuk seseorang itu memperbaiki taraf hidup.
Beliau juga berpendapat bahawa pendapatan mempunyai pengaruh yang positif mendorong seseorang untuk pergi ke sesebuah destinasi. Ini disebabkan mereka yang berhijrah akan cuba untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan memperolehi pendapatan yang lebih memuaskan untuk memenuhi cita-cita mereka.
Dalam melakukan penghijrahan didapati pelbagai faktor yang mendorong perlakuan tersebut. Berdasarkan kajian yang dihasilkan oleh Temple (1974) yang membuat kajian di Jakarta, mendapati para penghijrah berlatarbelakangkan keluarga petani, mempunyai pegangan tradisi yang agak kuat mencengkam kehidupan serta kemudahan sosial yang terlalu mundur. Penghijrahan ke Jakarta telah mendedahkan mereka kepada kehidupan kotaraya Jakarta yang amat berlainan dengan kehidupan desa, baik daripada segi ekonomi dan juga sosial. Di sini para penghijrah berusaha untuk menyesuaikan diri dengan kehendak tempatan di kawasan baru yang mereka datangi.
Dalam penelitian terhadap penduduk dari pulau-pulau di Mersing yang datang menetap di Kampung Sri Bahagia Mersing, faktor sosial begitu dominan dalam mendorong mereka untuk tinggal di Kampung Sri Bahagia. Masalah kemudahan asas yang agak daif di kawasan asal menyebabkan mereka membuat keputusan untuk berhijrah dan menetap di kawasan daratan. Apa yang ketara mereka tidak melupakan budaya kawasan asal masing-masing di samping menyesuaikan diri dengan penduduk setempat dalam arus pembangunan yang semakin mencabar. Jika dibandingkan dengan
keadaan hidup di pulau, kehidupan mereka di Kampung Sri Bahagia lebih baik lagi sama ada dalam konteks ekonomi mahupun sosial. Ini terbukti apabila pencapaian ekonomi masyarakat yang berasal dari pulau telah mengatasi penduduk tempatan yang menetap di Kampung Sri Bahagia.
Berdasarkan fenomena ini, kajian cuba meneliti bagaimana masyarakat pulau menyesuaikan diri di Kampung Sri Bahagia sehingga mampu bersaing dan maju ke hadapan daripada segi ekonomi, biarpun banyak cabaran yang perlu dihadapi di tempat yang mereka datangi. Dalam suasana kampung Sri Bahagia yang yang agak mundur daripada segi landskap fizikalnya, mereka berusaha memajukan diri. Keadaan ini perlu dijadikan teladan bagi penduduk lain di Kampung Sri Bahagia untuk sama-sama membangun dalam keadaan kampung yang serba kekurangan dan berusaha untuk mengatasi segala kepincangan yang ada.
Metodologi Kajian
Pada awal abad ke-20, sekelompok ilmuwan sosial tidak berpuas hati dengan cara- cara yang digunakan oleh golongan positivisme dalam mencari fakta-fakta atau sebab- sebab berlakunya gejala sosial. Mereka dianggap tidak memperlihatkan keadaan individu secara holistik, malah membahagikannya mengikut kategori berdasarkan sistem klasifikasi yang telah dicipta sebelumnya. Mereka mengelompokkan responden tanpa melihat latar belakang masing-masing secara holistik. Para peneliti yang tidak berpuas hati dengan kerja yang dilakukan oleh golongan positivisme menamakan diri mereka sebagai golongan peneliti kualitatif. Mereka terarah kepada perspektif fenomenologi disebabkan pemahaman kualitatif sering disebut sebagai faham fenomenologi (Ida Bagoes Mantra, 2004).
Secara ontologi, fenomenologi menuntut pendekatan holistik, meletakkan objek kajian dalam suatu konstruksi “ganda” dan melihat objek dalam konteks “natural” dan bukannya bahagian-bahagian tertentu. Epistemologinya menuntut bersatunya subjek peneliti dengan subjek pendukung objek penelitian. Keterlibatan dan penghayatan subjek peneliti di lapangan sangat menentukan kejayaannya, serta menolak “kerangka teori” sebagai langkah persiapan penelitian (Ida Bagoes Mantra, 2004). Menurut Van Manen 1997 (dalam Laverty, 2003), fenomenologi secara intipatinya adalah mengkaji tentang pengalaman hidup ataupun dengan kata lainnya tentang kehidupan di dunia. Beliau menekankan di dalam dunia ini merupakan tempat tinggal manusia dan bukannya semata-mata dunia yang dipisahkan daripada realiti kehidupan manusia.
Kajian ini meneliti isu pembangunan masyarakat pulau di Mersing dengan menggunakan metodologi penelitian kualitatif di samping kuantitatif. Kajian ini cuba memahami realiti sebenar kehidupan masyarakat pulau serta cuba mengaitkan dengan pencapaian pembangunan sosioekonomi di kawasan penempatan mereka sekarang ini.
Dengan menggunakan metodologi fenomenologi, pengkaji menganalisis rakaman temu bual untuk menjelaskan realiti kehidupan yang mereka lalui di Kampung Sri Bahagia.
Subjek kajian ini terdiri daripada 10 orang penduduk Kampung Sri Bahagia yang ditemu bual secara informal (lihat Foto 1). Di samping itu juga pengkaji turut menjalankan temu bual terhadap 35 orang isi rumah yang terdiri daripada masyarakat pulau yang telah
menetap di Kampung Sri Bahagia. Pembahagian seperti ini akan membolehkan pengkaji berupaya memahami dan mendalami segala pengalaman dan penyesuaian yang dilalui oleh masyarakat pulau dengan lebih terperinci lagi.
Perbincangan Penemuan Kajian
Dalam kajian-kajian tentang penghijrahan, para penghijrah yang datang dan menetap di kawasan destinasi akan berusaha menyesuaikan diri dengan tempat baru yang mereka datangi (Todaro, 1976, Kung, 1983). Begitu juga di kalangan penduduk dari pulau-pulau di Mersing yang datang menetap di Kampung Sri Bahagia, mereka turut berusaha menjadi sebahagian penduduk setempat dengan mengamalkan cara hidup yang dijalani oleh penduduk kawasan tersebut. Di samping itu juga, nilai dan gaya hidup masyarakat pulau turut diamalkan dalam usaha mengekalkan jati diri di kawasan baru yang mereka datangi. Sikap-sikap rajin, tekun dan sanggup mengharungi kesusahan terus diamalkan dalam mencari penghidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga. Kehidupan yang agak sukar di pulau ditambah dengan kekurangan kemudahan asas, menjadikan mereka menggunakan peluang yang ada di darat dengan lebih baik lagi bagi meningkatkan ekonomi keluarga. Apa yang jelas pandang dunia masyarakat pulau terhadap kehidupan yang berada di hadapan telah dipergunakan sebaik mungkin agar kesusahan yang dilalui sebelumnya semasa di pulau tidak akan berulang dalam kehidupan mereka. Bertolak daripada semangat tersebut ini menjadikan masyarakat pulau sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan terus mempertingkatkan kemajuan sosioekonomi diri dan keluarga mereka.
FOTO 1: Temu bual informal di antara pengkaji dan pemimpin tempatan
Sebahagian besar masyarakat pulau yang datang menetap di Mersing tinggal di Kampung Bahagia dan hanya sebilangan kecil sahaja mendiami Kampung Sri Lumpur.
Namun begitu di bawah pentadbiran yang bermula pada Januari 2009 kedua-dua kampung tersebut telah disatukan di bawah jawatankuasa kampung yang baru dan dinamakan Kampung Sri Bahagia. Walaupun sebahagian daripada mereka telah datang ke Mersing seawal tahun 1969 tetapi status penempatan mereka di kampung tersebut masih sebagai penyewa sama ada menyewa tanah mahupun rumah yang didiami.
Walaupun status mereka sebagai penyewa, keadaan rumah yang disewa adalah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan keadaan rumah penduduk lain seperti dari Terengganu dan Kelantan yang datang berhijrah ke kawasan yang sama. Sekali lagi, jelas membuktikan bahawa masyarakat pulau berusaha dari masa ke semasa bagi meningkatkan mobiliti sosial masing-masing daripada kehidupan yang serba kekurangan kepada sebuah kehidupan yang lebih baik lagi.
Daripada Jadual 1, min umur mereka pada masa temu bual dijalankan adalah antara 32 tahun hingga 47 tahun. Merujuk kepada tahun perpindahan mereka ke Kampung Sri Bahagia, ini bermakna purata umur mereka ketika berpindah adalah 28 tahun. Lama masa mereka telah menetap di Kampung Sri Bahagia secara puratanya 17 tahun. Jika ditinjau latar belakang pendidikan masyarakat pulau, mereka mempunyai taraf pendidikan yang agak rendah. Ini disebabkan purata jumlah tahun persekolahan formal adalah 6 tahun. Apa yang jelas, mereka hanya mampu menamatkan pendidikan sehingga peringkat sekolah rendah sahaja. Situasi seperti ini adalah lumrah bagi masyarakat pulau memandangkan kemudahan pendidikan yang disediakan di pulau-pulau Mersing hanya di peringkat sekolah rendah sahaja. Sekiranya mereka ingin meyambung persekolahan ke peringkat menengah, mereka perlu tinggal di darat Mersing. Jika dibandingkan pendapatan sebelum berpindah ke darat Mersing, pendapatan yang diterima sekarang ini jauh lebih baik. Merujuk Jadual 1, purata pendapatan sebelum ini adalah RM572.00 berbanding dengan RM902.00 ketika ini. Ini bermakna mereka dapat meningkatkan hampir sekali ganda daripada pendapatan dahulu.
JADUAL 1: Latar Belakang Sosioekonomi Mengikut Kawasan Asal
Kawasan Asal Min Min Min Min Min Min Min
Umur Lama Umur Lama Bilangan Pendapatan Jumlah Menetap Masa Masa Anak Sebelum Pendapatan
Tempat Pindah Sekolah Pindah Masa Kini
Sekarang
Pulau Sibu 32.50 14.00 16.00 8.50 5.00 500.00 900.00
Pulau Tinggi 41.33 14.00 21.50 6.83 3.83 425.00 558.33
Pulau Pemanggil 45.10 18.25 31.37 6.50 4.10 680.00 1070.00
Pulau Tioman 40.33 14.00 31.67 7.50 3.50 808.33 900.00
Pulau Aur 47.25 20.33 31.33 5.75 4.75 700.00 987.50
Jumlah 43.83 17.48 28.39 6.80 4.09 572.86 902.28
Daripada kajian yang dijalankan di Kampung Sri Bahagia, berikutan daripada keadaan kemudahan asas yang agak daif di pulau-pulau, menyebabkan 61.00 peratus yang menetap memberi alasan mereka berpindah berpunca daripada ketiadaan kemudahan pendidikan bagi anak-anak yang masih bersekolah (Rujuk Rajah 1). Ini diikuti dengan sebab-sebab mencari peluang ekonomi yang lebih baik (15.00 peratus) agar kehidupan mereka lebih terjamin. Dalam hal ini apa yang ketara, pendidikan anak-anak menjadi keutamaan kepada masyarakat pulau. Ini menjelaskan bahawa masyarakat pulau tidak mengambil mudah terhadap kepentingan pendidikan dalam menjamin masa hadapan. Bertolak daripada pendirian ini, mereka sanggup meninggalkan kampung halaman dan tanah yang dimiliki, dengan harapan pengorbanan tersebut akan membolehkan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna. Menurut responden yang ditemui, mereka tidak mahu anak- anak tercicir dalam pendidikan sebagaimana yang mereka alami selama ini. Ini menjadikan kesemua responden yang ditemu bual mengakui bahawa perpindahan mereka ke Kampung Sri Bahagia merupakan langkah bijak demi masa depan anak-anak dalam pendidikan di samping memberi peluang kepada mereka meningkatkan mobiliti ekonomi dan sosial.
RAJAH 1: Faktor-faktor yang Mendorong Berpindah
Sementara itu faktor mencari peluang ekonomi yang menjadi antara alasan terpenting mereka berpindah ternyata membuahkan hasil. Ini disebabkan jika dibandingkan pendapatan sebelum berpindah dengan pendapatan yang diperoleh masa kini ternyata terdapat pertambahan dalam pendapatan yang diperoleh. Daripada Jadual 1, jelas menunjukkan terdapat peningkatan pendapatan bulanan yang ketara. Secara keseluruhannya min pendapatan bulanan mereka telah meningkat. Purata pendapatan terendah yang diterima semasa di pulau sebanyak RM572.00 sebulan telah meningkat kepada RM902.00 setelah menetap dan bekerja di Mersing. Purata pendapatan keseluruhan ini berubah-ubah mengikut dari pulau mana mereka datang (lihat Jadual 1). Jika ditelitikan, keadaan peningkatan ini banyak disumbangkan oleh kesungguhan mereka bekerja untuk membangunkan ekonomi keluarga. Sikap mereka yang sentiasa mencari peluang pekerjaan,
menjadikan mereka sentiasa berusaha untuk mencuba dalam pelbagai sektor pekerjaan.
Ini menjadikan masyarakat pulau tidak hanya bergantung hidup sebagai nelayan semata- mata. Mereka juga turut memiliki nilai-nilai usahawan yang tinggi dengan melibatkan diri dalam pelbagai bentuk perniagaan demi menambahkan lagi pendapatan keluarga. Mobiliti dalam ekonomi ternyata jelas berlaku dalam masyarakat pulau. Bermula daripada kehidupan yang agak sukar dengan segala kekurangan kepada kehidupan yang lebih baik apabila mereka menetap di Kampung Sri Bahagia. Mereka agak jauh meninggalkan penduduk yang berasal dari Terengganu, Kelantan dan penduduk asal Mersing dalam pencapaian ekonomi. Segala pengalaman dan kesukaran hidup di pulau menjadi asas kukuh kepada mereka untuk sentiasa bersedia dan berusaha mendapatkan peluang yang ada dalam ekonomi.
Ketika temu bual informal dilakukan dengan beberapa penduduk setempat yang bukan dari kalangan masyarakat pulau, kedengaran suara-suara tidak senang tentang kejayaan yang dicapai oleh masyarakat pulau. Mereka beranggapan masyarakat pulau lebih berjaya daripada penduduk setempat disebabkan mereka mempunyai modal dan peralatan untuk meningkatkan pencapaian ekonomi. Golongan ini berpendapat, masyarakat pulau mudah untuk berjaya disebabkan modal serta peluang ekonomi yang banyak diterima. Memang tidak dinafikan, sebelum berpindah ke daratan, masyarakat pulau telah pun membuat persediaan awal untuk membolehkan mereka meneruskan penghidupan di kawasan yang akan didatangi. Menurut beberapa orang responden yang ditemu bual secara informal, selain daripada mengumpulkan wang, sebahagiannya menjual tanah di pulau untuk dijadikan modal ketika berpindah. Ada juga di kalangan mereka yang telah memiliki perahu, bot dan sebagainya untuk dibawa bersama semasa berpindah. Sesetengah daripada mereka telah pun berusaha untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa sebelum membawa ahli keluarga datang berpindah. Ini bermakna masyarakat pulau yang berpindah telah membuat perancangan awal supaya mereka dapat terus bertahan dan mampu meningkatkan ekonomi keluarga dengan modal dan pengalaman yang mereka bawa dari pulau. Ini amat berbeza dengan kajian-kajian penghijrahan yang banyak dilakukan yang menunjukkan bahawa para penghijrah sering datang dengan serba kekurangan dan bergantung sepenuhnya kepada nasib mereka di perantauan. Bagi masyarakat pulau istilah “untung sabut timbul dan untung batu tenggelam” tidak wujud dalam kamus kehidupan mereka. Mereka berpindah bukan untuk mencuba nasib tetapi untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya. Oleh itu, sebelum berhijrah mereka telah memikirkan dan membuat perancangan di samping berusaha memastikan bentuk kehidupan yang akan mereka lalui setelah berpindah.
Apabila berada di tempat baru, bantuan saudara-mara dan rakan-rakan amat berharga dalam membantu mereka menyesuaikan diri di kawasan baru. Daripada penelitian yang dilakukan, sebahagian besar penghuni Kampung Bahagia adalah terdiri daripada masyarakat pulau. Ini menyebabkan apabila terdapat masyarakat pulau yang datang dan menetap ke kawasan tersebut, mereka akan saling bantu membantu untuk meringankan beban rakan-rakan yang masih baru dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
Pelbagai bentuk bantuan dihulurkan dalam membantu rakan-rakan menyesuaikan diri di tempat baru. Bantuan yang diberi sama ada dalam bentuk mencarikan rumah kediaman
mahupun membantu dari segi kewangan. Apa yang ketara, di kalangan masyarakat pulau adalah sikap saling bantu membantu antara satu sama lain sebagaimana yang mereka amalkan semasa di pulau. Kehidupan di pulau yang berlandaskan konsep bekerjasama telah diamalkan dan diterus oleh generasi lama masyarakat pulau di Mersing. Kerjasama sedemikian sepatutnya dijadikan contoh teladan untuk masyarakat Kampung Sri Bahagia meningkatkan jaringan sosioekonomi dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan isi rumah.
Semasa temu bual dijalankan, menurut pandangan masyarakat pulau, mereka mudah diterima oleh penduduk setempat Kampung Sri Bahagia. Penyesuaian dengan budaya penduduk setempat tidak menjadi masalah kepada mereka. Mereka berpendirian bahawa tiada perbezaan di antara orang pulau dengan orang di daratan Mersing. Namun begitu, dalam temu bual yang dilakukan terhadap beberapa orang penduduk setempat yang bukan berasal dari pulau, mereka beranggapan bahawa masyarakat pulau hanya mahu bercampur dengan kelompok mereka sahaja. Loghat pertuturan yang biasa digunakan di pulau masih diteruskan di kawasan ini. Masyarakat pulau mengakui bahawa mereka lebih mudah bergaul dengan sesama mereka memandangkan wujud kefahaman yang sama hasil daripada latar belakang yang sama. Begitu juga daripada segi gaya hidup, mereka masih meneruskan apa yang selama ini diamalkan di kawasan asal. Alasan mereka terhadap perkara ini disebabkan sebahagian besar yang menetap di Kampung Bahagia adalah terdiri daripada orang-orang pulau. Oleh itu mereka masih terbawa-bawa dengan apa yang diamalkan sebelum ini. Jika ditelitikan, tidak timbul masalah keengganan masyarakat pulau untuk bergaul rapat dengan penduduk setempat, tetapi apa sebenarnya berlaku adalah masyarakat pulau merupakan kelompok majoriti yang menghuni Kampung Bahagia.
Oleh itu, mahu tidak mahu mereka akan sentiasa bertemu dan keadaan ini akan mengeratkan lagi hubungan yang terjalin sesama mereka.
Sebagaimana yang dinyatakan, Kampung Sri Lumpur sebahagian besarnya dihuni oleh mereka yang berasal dari Terengganu dan Kelantan. Sementara sebahagian besar yang menghuni Kampung Bahagia adalah masyarakat pulau. Jika dibandingkan pencapaian ekonomi di antara masyarakat pulau dan mereka yang berasal dari Terengganu dan Kelantan, agak jauh berbeza. Ini diakui sendiri oleh salah seorang yang berasal dari Kelantan yang ditemu bual secara informal mengatakan bahawa:
“kami ni sejak datang sama saje. Gi tengok orang pulau, modal ada, bot ada, hidup jauh lebih senang dari kami. Kami dah berpuluh tahun tinggal sini, tapi tak berubah, rumah sendiri pun tak mampu nak beli”.
Selain daripada itu, persekitaran kawasan kediaman juga agak jauh berbeza. Merujuk kepada Foto 2 dan Foto 3, keadaan rumah dan persekitaran kawasan perumahan penduduk yang berasal dari pulau di Kampung Bahagia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Kampung Sri Lumpur. Keadaan rumah jauh lebih baik dengan perlatan rumah yang lengkap serta kemampuan mereka untuk memiliki kenderaan sendiri. Apa yang jelas, mobiliti dalam pencapaian ekonomi penduduk pulau agak jauh lebih baik berbanding dengan penduduk lain di kawasan kajian ini. Ini bermakna pengorbanan mereka meninggalkan kampung halaman dan keputusan mereka untu berhijrah dari pulau mendatangkan kebaikan kepada diri mereka dan keluarga.
Dibanding dengan keadaan persekitan Kampung Sri Lumpur ini tidak ada bezanya seperti kawasan setinggan. Ini dapat dijelaskan dengan merujuk kepada keadaan rumah dan susun atur perumahannya. Keadaan rumah yang susun aturnya rapat-rapat antara satu sama lain dengan suasana persekitaran yang tidak selesa, memperlihatkan Kampung Sri Lumpur juga mudah dinaiki air. Terutamanya semasa air pasang besar, air laut akan melimpah hingga sampai ke lantai rumah. Pada hakikatnya kawasan ini adalah kawasan
FOTO 2: Keadaan Rumah di Kampung Bahagia Mersing Johor
FOTO 3: Keadaan Rumah di Kampung Sri Lumpur Mersing Johor
yang mempunyai hak milik yang sah. Penghuni membayar sewa, sama ada untuk tanah atau rumah yang didiami. Di samping itu juga, perkampungan ini terletak di tengah-tengah pekan Mersing yang secara tidak langsung mencacatkan persekitaran Mersing yang menjadi pintu masuk ke pulau-pulau sekitarnya.
Daripada perbualan dengan beberapa orang JKKK Kampung Sri Bahagia, keadaan Kampung Sri Bahagia khususnya bagi kawasan Sri Lumpur telah dimasukkan dalam agenda perancangan baru oleh pihak berkuasa tempatan. Ini merupakan satu pelan tindakan yang baik dalam memastikan perancangan masa hadapan kampung ini akan terus diberi keutamaan. Masalah yang dihadapi oleh penduduk Sri Lumpur telah diutarakan oleh salah seorang responden yang ditemu bual. Beliau mengatakan bahawa:
Dah berpuluh tahun tinggal sini. Rumah pun masih menyewa. Rumah pulak macam setinggan. Rumah rapat-rapat. Tak percaya, pergi tengok rumah kami. Kalau pasang besar, air masuk sampai ke lantai. Tunggu jam 12 tengah malam nanti. Boleh tengok kawasan rumah kami tu penuh dengan air. Entah bila kami boleh dapat tempat tinggal yang baik sikit dari sekarang ni.
Begitu juga jika merujuk kepada pencapaian ekonomi khususnya pendapatan bulanan isi rumah. Ekonomi masyarakat pulau agak baik daripada mereka yang berasal dari Terengganu dan Kelantan. Malah, penduduk setempat mengakui pencapaian ekonomi di kalangan masyarakat pulau agak jauh mengatasi pencapaian penduduk setempat. Menurut mereka lagi, keadaan ini disebabkan oleh modal dan peralatan yang dimiliki oleh masyarakat pulau menjanjikan pulangan hasil yang tinggi jika dibandingkan dengan penduduk setempat.
Modal yang dibawa semasa berpindah ke daratan telah digunakan untuk mengembangkan lagi kegiatan ekonomi mereka.
Selain itu juga, masyarakat pulau tidak sepenuhnya bergantung kerja sebagai nelayan semata-mata. Sekiranya mereka menjadi nelayan, pekerjaan tersebut hanya merupakan pekerjaan sampingan sahaja. Mereka akan melakukan usaha-usaha lain yang akan menambahkan pendapatan. Sementara itu, sekiranya mereka menjadi nelayan, mereka menjadi pemilik bot dan mempunyai peralatan menangkap ikan. Pengalaman mereka semasa di pulau telah banyak membantu untuk lebih berdikari dan berusaha gigih untuk meneruskan kehidupan yang serba kekurangan. Mereka sentiasa berusaha untuk menambahkan pendapatan dan tidak bergantung kepada orang lain. Keadaan ini berbeza dengan penduduk tempatan yang menjadi awak-awak dan bergantung kepada tauke-tauke Cina yang memiliki peralatan yang lengkap dan terkini (lihat Foto 4).
Seperkara lagi yang dapat dimanfaatkan dan amat menarik tentang budaya hidup masyarakat pulau adalah cara mereka mengisi masa lapang. Pada waktu kelapangan ada sebahagian masyarakat pulau ini akan berkumpul dan mengisinya dengan bermain alat muzik tradisional sambil menyanyi (lihat Foto 5). Kumpulan ini dianggotai oleh generasi lama pulau yang terus aktif melakukan aktiviti sosial. Wujudnya kumpulan muzik sebegini dapat mengeratkan hubungan sesama mereka di samping memanfaatkan masa yang terluang. Walaupun kegiatan ini tidak disenangi oleh segelintir masyarakat tempatan disebabkan kumpulan ini dianggotai oleh sebahagian besarnya warga emas yang pada pandangan mereka tidak sepatutnya terlibat dengan muzik. Namun begitu ini merupakan
kegiatan yang sihat yang mengeratkan hubungan sesama mereka. Di samping itu juga pertemuan ini dapat dijadikan tempat bertukar pandangan dan tempat menyelesaikan masalah sosial dan ekonomi yang mereka hadapi.
Namun begitu di kalangan generasi muda, termasuk juga anak-anak masyarakat pulau, kegiatan orang tua mereka tidak dijadikan ikutan. Menurut kata sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut, kegiatan mereka ini kurang mendapat sambutan di kalangan generasi muda yang rata-ratanya menghabiskan masa lapang dengan kegiatan yang kurang sihat. Mereka cuba menarik golongan muda supaya terlibat demi mengelakkan pengisian masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang songsang. Tetapi sambutannya amat
FOTO 4: Perahu dan Bot Nelayan di Jeti Mersing
FOTO 5: Muzik Dimainkan bagi Mengisi Masa Lapang
mendukacitakan. Di samping itu juga, mereka berusaha mengembangkan kesenian muzik tradisional ini ke peringkat sekolah tetapi sambutannya tidak menggalakkan.
Namun begitu secara keseluruhannya, kehidupan masyarakat pulau yang berpindah dan menetap di pekan Mersing telah berjaya menunjukkan kemajuan dan selaras dengan pengorbanan mereka yang terpaksa meninggalkan kawasan asal masing- masing. Segala kejayaan yang dicapai oleh kelompok yang berjaya ini bukannya mudah.
Mereka bekerja keras untuk membangunkan keluarga daripada kehidupan yang serba kekurangan di pulau sehingga mampu menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa kini. Segala kerja keras serta kegigihan perlu dicontohi dan dijadikan teladan supaya setiap penduduk di kawasan ini dapat membangun yang mana akhirnya identiti diri sebagai orang pulau, orang Terengganu, orang Kelantan dan orang Mersing dapat bertukar masyarakat Mersing yang saling bekerjasama dan mampu menyahut cabaran pembangunan.
Cabaran Pembangunan dan Tindakan yang Dicadangkan
Berdasarkan perbincangan penemuan kajian ini, pihak-pihak tertentu, antaranya pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah yang lebih serius dalam mengangkat pembangunan Mersing ke arah yang lebih baik lagi. Memandangkan pembangunan Mersing agak jauh ketinggalan berbanding dengan daerah-daerah lain di Johor, pencapaian masyarakat pulau daripada segi ekonomi, politik dan sosial boleh dicontohi dan dimanfaatkan oleh penduduk Kampung Sri Bahagia untuk sama-sama membangunkan kawasan. Antara cabaran pembangunan yang perlu dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkaitan adalah mengenal pasti masalah-masalah ketidakseimbang pembangunan yang berlaku di pelbagai peringkat masyarakat.
Bagi memastikan tidak terdapat perbezaan yang ketara antara masyarakat pulau, penduduk yang berasal dari Terengganu, Kelantan dan penduduk asal Mersing, pihak berkuasa tempatan menyatukan mereka dalam projek-projek pembangunan yang bersesuaian dengan latar belakang masing-masing. Perbezaan kawasan asal tidak perlu dijadikan sempadan dan halangan dalam membuat pelaburan pembangunan di kawasan tersebut. Dalam membangunkan infrastruktur kampung, mereka perlu mengemukakan draf perancangan yang lengkap dan meyakinkan kepada pihak atasan bagi mendapatkan peruntukan yang diperlukan. Alasan-alasan yang jelas berserta bukti-bukti yang kukuh perlu dikemukakan secara berterusan sehingga projek pembangunan berjaya dibawa masuk ke kawasan tersebut. Memang tidak dinafikan ianya melibatkan kos ekonomi dan sosial yang tinggi untuk menjayakannya. Tetapi untuk jangka panjang ianya akan memberi pulangan yang baik kepada kesejahteraan penduduk dan imej Mersing itu sendiri. Ini disebab berapa lama lagi Mersing perlu berhadapan dengan “wajah perumahan setinggan” yang akan terus bertapak di tengah-tengah pintu masuk ke pulau-pulau yang dilabelkan sebagai syurga pelancongan.
Selain daripada membangunkan kawasan persekitaran dan penempatan, penduduk kawasan Mersing khususnya Kampung Sri Bahagia perlu membangun dan bersatu
terlebih dahulu dalam menjamin pembangunan yang berterusan dan mampu memberi manfaat kepada setiap penduduknya. Mereka perlu mengambil teladan daripada kegigihan masyarakat pulau yang sentiasa mengambil peluang untuk membangunkan ekonomi keluarga. Kesungguhan, kerja keras dan sentiasa bersedia mengubah nasib perlu ditanam pada setiap penduduk. Untuk menjayakannya, bimbingan dan pemantauan yang berterusan daripada pemimpin-pemimpin tempatan yang dipercayai dan berwibawa perlu digembleng supaya mereka sama-sama dapat bantu membantu dan saling bekerjasama dalam membangunkan ekonomi keluarga khususnya dan ekonomi kampung amnya. Perasaan kepuakan perlu dikikis jauh dan tidak menjadi halangan kepada kemajuan kampung. Kegiatan-kegiatan sihat yang membawa penduduk untuk bekerjasama dan bersatu padu perlu diadakan dan dilaksanakan secara berterusan supaya perbezaan antara penduduk dapat diminimumkan secara berperingkat. Aktiviti- aktiviti di bawah jawatankuasa-jawatankuasa kecil kampung perlu digerakkan bagi melaksanakan program-program yang memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada penduduk. Antaranya jawatakuasa wanita, agama dan pendidikan boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat menyatupadukan penduduk. Dalam menjayakannya, sokongan pihak yang bertanggungjawab amat penting. Mereka perlu merangka satu pelan pembangunan yang menyeluruh dan boleh diguna pakai untuk membangunkan kawasan Mersing. Urus tadbir yang baik, cekap, beramanah, telus dan melibatkan penduduk, perlu dilaksanakan dalam menjamin kesampaian segala bentuk bantuan dan penyaluran maklumat.
Merujuk kepada pembangunan ekonomi, pelan pembangunan ekonomi nelayan perlu disediakan dalam mengatasi masalah-masalah yang bersangkutan dengan kemajuan nelayan. Pengalaman penduduk pulau yang tidak bergantung sepenuhnya terhadap bantuan, perlu dicontohi.
Rumusan
Sebagai rumusannya, penyesuaian yang dilakukan oleh masyarakat pulau di Kampung Sri Bahagia dapat ditinjau daripada segi budaya kerja, mobiliti dalam ekonomi dan sosial yang dapat digunakan dan menjadi contoh sebagai langkah permulaan kepada kemajuan kampung. Perbezaan kawasan asal seharusnya tidak menjadi penghalang kepada kemajuan sesebuah kawasan yang mahu dibangunkan. Peranan pemimpin tempatan yang amanah, telus dan merapati masyarakat amat penting dalam menentukan pembangunan yang menyeluruh dan seimbang. Kerjasama dan percaya-mempercayai di kalangan penduduk amat penting dalam memastikan segala bentuk pembangunan yang disalurkan dapat dijayakan dengan adanya semangat kerjasama yang padu. Segala perkara yang menghambat pembangunan perlu dielakkan dan dikenal pasti agar ianya benar-benar dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan saling bekerjasama dalam sesebuah kampung. Dengan adanya keharmonian yang sedemikian para pentadbir dan pegawai-pegawai yang diberi tanggungjawab untuk membangunkan sesebuah kawasan akan mudah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan jayanya.
Oleh itu, perkara utama dalam pembangunan sesebuah kawasan adalah kesatuan yang padu di antara sesama penduduk dengan para pemimpin yang sentiasa bersedia
menjalankan tugasnya tanpa mengira kepentingan diri. Segala kejayaan yang telah dicapai oleh penduduk pulau perlu sama-sama dikongsi bagi memastikan pembangunan menyeluruh untuk Kampung Sri Bahagia dapat dicapai dan dinikmati oleh semua penduduknya.
Penghargaan
Setinggi penghargaan kepada penduduk Kampung Sri Bahagia Mersing yang sanggup memberi kerjasama kepada penyelidik dalam menjayakan kajian ini. Kepada semua pemimpin-pemimpin tempatan di Kampung Sri Bahagia, pihak kami amat menghargai segala kerjasama yang diberi sepanjang penelitian dijalankan di kampung ini. Tidak ketinggalan ucapan terima kasih ditujukan kepada pelajar-pelajar kursus SKAD2123:
Budaya, politik dan pembangunan yang turut sama membantu menjalankan temu bual dan pengumpulan data yang diperlukan.
Rujukan
Ida Bagoes Mantra. 2004. Filsafat Penelitian: Metode Penelitian Sosial. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
Khazin Mohd Tamrin. 1987. Orang Jawa di Selangor: Penghijrahan dan penempatan 1880- 1940. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kung, L. 1983. Factory women in Taiwan. Michigan: UMI Research Press.
Lamont, M. dan Molnar, V. 2001. How black use consumption to shape their collective identity.
Journal of Consumer Culture. Vol. 1(1): 31-45.
Laverty, S.M. 2003. Hermeneutic phenomenology and phenomenology: A Comparison of historical and methodology consideration. International Journal of Qualitative Methods.
2 (3): 1-29.
Matsuda, Noriyuki. 1980. Stratification analysis of labor migration toward urban centres in Indonesia. Tesis PhD. University of Maryland.
Ramsay, A.B. 1956. Indonesian in Malaya. Journal Malaysia Branch Royal Asiatic Society. 29 (1): 119-124.
Temple, G.P. 1974. Migration to Jakarta: A empirical search for a theory. Tesis PhD. University of Wisconsin.
Todaro, M.P. 1976. Internal migration in developing countries. Geneva: International Labour Office.
Van Hear, N. 1994. Migration, displacement and social integration. Occasional paper no. 9.
World Summit for Social Development.
Witayakorn Chiengkul. 1986. Migration of Asian workers to the Arab World. The United Nations University.