• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kesediaan Guru Dalam Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah Di Sekolah Rendah (Teacher Readiness in the Implementation of Classroom Assessment in Primary Schools)

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Kesediaan Guru Dalam Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah Di Sekolah Rendah (Teacher Readiness in the Implementation of Classroom Assessment in Primary Schools)"

Copied!
7
0
0

Teks penuh

(1)

Kesediaan Guru Dalam Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah Di Sekolah Rendah

(Teacher Readiness in the Implementation of Classroom Assessment in Primary Schools)

Hazuriana Hajmi1*, Khairul Jamaludin1

1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, Malaysia

*Pengarang Koresponden: p111287@siswa.ukm.edu.my

Accepted: 15 December 2022 | Published: 31 December 2022

DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2022.4.4.10

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Pentaksiran bilik darjah (PBD) merupakan satu corak penilaian yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menggantikan pembelajaran berorientasikan peperiksaan di sekolah rendah. Ini kerana, pelaksanaan PBD dapat membantu guru menilai tahap penguasaan murid secara keseluruhan. Tujuan penulisan ini adalah untuk membincangkan sejauh mana kesediaan guru dalam pelaksanaan PBD di sekolah rendah. Isu kesediaan guru dalam pelaksanaan PBD telah dikupas dalam penulisan ini yang menekankan tahap pengetahuan dan tahap kemahiran. Di dapati, tahap kesediaan guru berada dalam tahap yang tinggi bagi pelaksanaan PBD. Namun begitu, kajian yang lepas hanya mengkaji berkaitan mata pelajaran teras sahaja. Justeru itu, dicadangkan lebih banyak lagi kajian dibuat dan tertumpu kepada mata pelajaran elektif agar keseimbangan pelaksanaan PBD dapat dilihat. Kesimpulannya pelaksanaan PBD harus dititik beratkan untuk semua mata pelajaran.

Kata kunci: pentaksiran bilik darjah, tahap kesediaan, sekolah rendah

Abstract: Classroom assessment (PBD) is an assessment model introduced by the Malaysian Ministry of Education (KPM) to replace exam-oriented learning in primary schools. This is because, the implementation of PBD can help teachers assess the level of mastery of students as a whole. The purpose of this writing is to discuss the extent to which teachers are prepared in the implementation of PBD in primary schools. The issue of teacher readiness in the implementation of PBD has been examined in this writing which emphasizes the level of knowledge and skill level. It was found that the level of teacher readiness is at a high level for the implementation of PBD. However, previous studies only examined core subjects. Therefore, it is recommended that more research be done and focused on elective subjects so that the balance of PBD implementation can be seen. In conclusion, the implementation of PBD should be emphasized for all subjects.

Keywords: classroom assessment, readiness level, primary school

___________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Kecemerlangan pelajar secara holistik amat dititik beratkan sejak dahulu lagi. Apatah lagi, ianya telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelan Pembangunan

(2)

Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan pada 6 September 2013 telah mengubah sistem pendidikan negara secara berperingkat. Menurut Tan Jia Yuh dan Husaina Banu Kenayathulla (2020), kurikulum ditransformasikan bertujuan untuk membuat penambahbaikan pembelajaran dari aspek kandungan, pedagogi dan pentaksiran. Ianya sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ingin menjadikan murid berilmu pengetahuan, memiliki sifat kepimpinan, mempunyai keupayaan untuk berfikir, menguasai kemahiran dwibahasa, mengamalkan etika dan kerohanian serta mempunyai identiti nasional (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016).

Sejarahnya bermula apabila pada tahun 2011 pihak KPM telah memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sekaligus telah memansuhkan sistem pendidikan yang dulunya berorientasikan peperiksaan. Melalui PBS ini, tahap kefahaman murid dinilai meliputi Pentaksiran Pusat, Pentaksiran sekolah, Pentaksiran aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2018). PBS juga telah memperkenalkan sistem penggredan baharu bagi melaporkan tahap pencapaian murid dalam bentuk Band 1 hingga Band 6. Namun begitu, pelaksanaan ini hanya diperkenalkan kepada murid tahun 1 pada Januari 2011 yang dijadikan rintis dalam pelaksanaan PBS ini.

Sejajar dengan pelancaran PPPM 2013-2025, KPM telah menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan bagi mencapai visi yang telah di hasratkan bagi memenuhi keperluan negara pada masa akan datang (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia). Oleh kerana itu, KPM telah memperkenalkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) pada tahun 2017 yang menjadi satu alat penilaian bagi menaksir secara keseluruhan tahap penguasaan murid. PBD merupakan penambahbaikan daripada PBS yang telah dilaksanakan selama 6 tahun sebelum ini. Pelaksanaan PBD ini memerlukan guru lebih efisien dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik. Ini kerana PBD berjalan sepanjang masa dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan.

Halimah dan Rozita (2019) menyatakan, PBD bukanlah bertujuan untuk menunjukkan jurang perbezaan antara tahap penguasaan murid. Sebaliknya bertujuan untuk membantu murid meningkatkan pelajaran secara menyeluruh. Selain meningkatkan perkembangan murid, PBD juga membantu guru membuat penambahbaikan pengajaran (KPM, 2018). Guru adalah watak utama dalam mengendalikan PBD dari segi mentadbir, menilai, penskoran dan merekod pencapaian keseluruhan murid di peringkat sekolah (Zamri, Mohamed Amin dan Nik Muhd Rahimi, 2010).

2. Penyataan Masalah

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menekankan satu corak pentaksiran di peringkat sekolah yang dijalankan semasa PdPc dengan mentaksir tahap penguasaan murid yang bersesuaian dengan pencapaian dan pemahaman mereka (Sh. Siti Hauzimah, 2019). Menurut Artika Rasul (2019) pentaksiran melalui penilaian tahap penguasaan murid dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bertujuan untuk dijadikan panduan oleh guru dalam merancang, melaksana dan membuat penambahbaikan dalam satu-satu sesi PdPc.

Justeru itu, setiap kali PdPc bermula, guru haruslah menyatakann standard kandungan dan objektif pembelajaran yang hendak dicapai pada penghujung pembelajaran pada hari tersebut agar murid mengetahui tanggungjawab masing-masing.

(3)

Pemansuhan sistem peperiksaan untuk sekolah rendah telah mengubah corak pengajaran seorang guru. Guru bukan sahaja perlu bersedia sepenuhnya untuk mengajar, malahan persediaan untuk mentaksir murid sepanjang sesi pembelajaran harus ada. Sehubungan itu, kesediaan guru dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam mata pelajaran yang diajar haruslah tinggi bagi melancarkan lagi proses menilai tahap penguasaan murid.

Memandangkan pelaksanaan PBD telah dilaksanakan bagi semua murid dari tahun 1 hingga tahun 6 di sekolah-sekolah seluruh Malaysia pada tahun ini, maka kesediaan guru amat penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pentaksiran terhadap semua murid dalam semua mata pelajaran. Ini kerana, tidak semua guru yang mengajar sesuatu mata pelajaran itu adalah guru opsyen memandangkan negara mengalami masalah kekurangan guru pada masa kini. Ini menjadikan ketelusan dalam menjalankan PBD terhadap tahap penguasaan murid adakalanya diragui oleh sesetengah pihak. Tidak dinafikan pada masa kini, kajian banyak dilaksanakan terhadap kesediaan guru dalam melaksanakan PBD. Oleh itu, kajian ini dibuat bagi mengenalpasti sejauh mana kesediaan guru sekolah rendah dari segi tahap pengetahuan dan kemahiran guru terhadap pelaksanaan PBD seperti yang dikehendaki oleh pihak KPM.

3. Teori Konstruktivisme

Menurut Lev Vygotsky dalam Noriati, Boon dan Sharifah (2015), Teori konstruktivisme mempunyai perkaitan rapat dengan teori perkembangan kognitif. Ini kerana teori kognitif adalah tunggak dalam teori konstruktivisme. Bimbingan dan hubungan daripada orang lain merupakan perkara yang ditekankan dalam teori ini. Teori ini juga menegaskan bahawa ilmu pengetahuan dibina di dalam minda berdasarkan pegalaman sebenar yang telah dilalui oleh individu dan bukannya wujud di luar minda. Justeru itu. Vygotsky telah membina teori konstruktivisme ini dan dipecahkan kepada lima.

Teori Konstruktivisme mempunyai lima fasa dan boleh dikaitkan dengan pelaksanaan PBD.

Ini kerana, PBD berkaitan dengan tugas dan penyediaan bahan pengajaran sebelum sesi PdPc bermula. Persediaan sebelum sesi PdPc dapat membantu menarik minat murid terhadap sesi PdPc guru.

Teori ini menggariskan lima fasa. Fasa yang pertama ialah fasa persediaan. Guru membuat persediaan awal sebelum sesi PdPc dan mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik bagi merangsang dan menimbulkan minat pelajar terhadap sesi pembelajaran.

Manakala fasa kedua pula ialah fasa pencetusan idea. Pada fasa ini, guru merancang aktiviti dengan mengaitkan pengalaman sedia ada dengan pengetahuan baharu. Bagi menarik minat pelajar terhadap pelajaran. Secara tidak langsung merangsang pelajar mendapat idea baharu.

Bagi fasa ketiga pula iaitu fasa penstrukturan semula idea, guru berperanan mengukuhkan konsep, kefahaman dan idea murid agar mempunyai kesinambungan antara satu sama lain agar tampak lebih tersusun dan terancang.

Seterusnya adalah fasa aplikasi idea. Pada fasa ini, guru sebagai fasilitator akan membuat pemerhatian dan pentaksiran terhadap murid. Murid pula akan mengaplikasikan idea baharu dalam masalah yang diberikan. Pada fasa ini, guru boleh menaksir sejauh mana tahap penguasaan murid terhadap sesi pembelajaran yang telah dilalui.

(4)

Fasa yang terakhir ialah fasa refleksi. Guru membuat refleksi sejauh mana keberkesanan PdPc yang telah dirancang serta membuat penambahbaikan bagi sesi PdPc pada masa yang akan datang.

4. Objektif Kajian

Objektif kajian yang dijalankan adalah untuk;

1) Mengenal pasti pengetahuan guru sekolah rendah dalam melaksanakan PBD.

2) Mengenal pasti kemahiran guru sekolah rendah dalam melaksanakan PBD.

5. Kajian Literatur

Guru merupakan tulang belakang kepada kemenjadian murid dan tunjung pelaksanaan perubahan oleh KPM demi meningkatkan sistem pendidikan negara. Pembelajaran pada era globalisasi kini, merangsang pihak KPM melancarkan PPPM 2013-2025 dalam meletakkan pendidikan di Malaysia ke arah pendidikan bertaraf dunia. Pelancaran ini, sejajar dengan kurikulum baharu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang diperkenalkan pada tahun 2011 dan KSSR (Semakan) pada tahun 2017. Perubahan ini telah memberi impak kepada corak penilaian di sekolah yang dulunya berorientasikan peperiksaan tetapi kini dilaksanakan PBD yang dijalankan secara holistik sepanjang sesi pembelajaran bagi membentuk kemenjadian murid yang seimbang. Oleh yang demikian, dalam pelaksanaan PBD ini guru- guru haruslah bersedia dari segi tahap pengetahuan dan kemahiran agar PBD yang dijalankan dapat membentuk kemenjadian murid yang sebenar.

Tahap pengetahuan guru

Sh. Siti Huzimah (2019), telah membuat kajian yang bertajuk “Pegetahuan, Kemahiran, Sikap dan Masalah Guru dalam Melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah Bahasa Melayu di Sekolah Rendah”. Pengkaji mendapati tahap kesediaan guru Bahasa Melayu dari segi pengetahuan dalam pelaksanaan PBD menunjukkan peratus pengetahuan guru dalam semua item pengetahuan amat tinggi ketika melaksanakan PBD semasa proses PdPc. 93.70% responden tahu melaksanakan PBD semasa proses PdPc. Malahan responden juga mengetahui bahawa kriteria PBD bagi tahap 1 dan tahap 2 yang dilaksanakan adalah berdasarkan arahan dalam buku Panduan Pelaksanaan PBD yang dikeluarkan oleh KPM. Pelaksanaan pentaksiran perlu mengikuti garis panduan yang telah dikeluarkan oleh KPM dengan merujuk DSKP setiap mata pelajaran. Pengkaji telah membuat kesimpulan bahawa pengetahuan guru Bahasa Melayu dalam melaksanakan PBD adalah pada tahap yang tinggi walaupun berada di pedalaman.

Pengetahuan yang dikuasai oleh guru Bahasa Melayu ini, memudahkan proses PBD dijalankan dengan tepat mengikut kemahiran, keupayaan serta kebolehan murid berdasarkan aspek yang hendak diukur. Pengkaji ada juga menyatakan, daripada kajian rintis yang telah dibuat, menunjukkan responden mengetahui dalam melaksanakan PBD pihak sekolah haruslah menguruskan dokumen PBD masing-masing mengikuti mata pelajaran dan semua mata pelajaran perlu melaksanakan PBD. Malahan setiap sekolah perlu mewujudkan jawatankuasa PBD bagi menyelaras dan menyeragamkan laporan. Jawatankuasa yang diwujudkan terdiri daripada pentaksir, penyelaras dan pemantau dalaman bagi memastikan PBD dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh KPM.

Mazarul, Norazimah dan Suhaila (2021) pula menjalankan kajian tentang “Tahap Kesediaan Guru Sekolah Rendah di Daerah Klang, Selangor Dalam Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah Dari Aspek Pengetahuan”. Pengkaji menyatakan tahap pengetahuan guru-guru di daerah Klang khususnya dan Selangor Amnya berada pada tahap yang tinggi. Ianya dibuktikan dengan

(5)

analisis data yang dijalankan dengan menggunakan kaedah statistic deskriptif yang dijelaskan dnegan menggunaka pengiraan analisis frekuensi kekerapan. Nilai min. peratusan dan sisihan piawai. Daripada kajian tersebut, bolehlah di rumuskan bahawa guru mempunyai pengetahuan dalam melaksanakan PBD dan guru juga mempunyai pengetahuan dalam menetapkan tahap pengetahuan murid bersesuaian dengan perkembangan mereka. Seperti dalam kajian Sh. Siti Huzimah (2019), pengkaji mendapati guru-guru di daerah Klang dan Selangor ini mengetahui bahawa PBD perlu dilaksanakan sepanjang PdPc dan aktiviti yang dijalankan di dalam kelas adalah sebahagian daripada PBD. Pengkaji juga mendapati, guru tahu pelaksanaan PBD ini dapat membantu meningkatkan pencapaian murid dari masa ke semasa dengan persediaan rapi yang telah disediakan oleh guru.

Fara Izzati dan Siti Rahaimah (2021), menjalankan kajian tentang “Penilaian Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dalam Kalangan Guru Matematik Sekolah Rendah”.

Walaupun kajian ini tidak menjurus kepada kesediaan guru dari segi tahap pengetahuan, namun item yang terdapat di dalam soal selidik yang yang disediakan oleh pengkaji menjurus kepada tahap pengetahuan guru dalam pelaksanaan PBD. Pengkaji mendapati guru matematik di sekolah rendah daerah Gombak, Selangor mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi dalam pelaksanaan PBD. Ini kerana, guru-guru di sekolah ini telah melalui penataran dan kecairan maklumat berkaitan PBD dengan betul untuk dilaksanakan di sekolah.

Kesimpulannya, tahap pengetahuan guru dalam melaksanakan PBD pada tahap tinggi. Ini menjadikan pelaksanaan proses PBD berjalan dengan mudah dan dilakukan dengan tepat mengikut kemahiran, keupayaan dan kebolehan murid berdasarkan aspek-aspek yang perlu diukur berpandukan DSKP. Secara tidak langsung, ianya telah memudahkan proses PBD berjalan dengan lancar dan ketelusan dalam pentaksiran tidak dapat diragui.

Tahap kemahiran guru

Berdasarkan tahap pengetahuan yang tinggi dimiliki oleh para guru dalam melaksanakan PBD, maka tidak dapat disangkal lagi guru juga mempunyai tahap kemahiran yang tinggi untuk melaksanakan PBD. Ini terbukti dalam kajian yang telah dijalankan oleh Sh. Siti Huzimah (2019) yang menunjukkan dalam 11 item kemahirna yang disediakan kesemuanya menunjukkan skor min yang tinggi melebihi 4.00. Dalam item tersebut, responden menyatakan tahu menetapkan objektif pentaksiran yang hendak diuji semasa membina instrumen PBD.

Malahan responden sentiasa menjadikan Dokumen Panduan Pelaksanaan PBD dan DSKP sebagai panduan terbaik dalam melaksanakan PBD untuk semua murid. Responden juga mahir dalam menentukan tahap penguasaan dan evidens penguasaan murid berdasarkan sukatan pelajaran yang diajar pada satu-satu masa. Ini kerana, penentuan tahap penguasaan ini diperkuatkan dengan kemahiran guru yang tinggi dalam merujuk Dokumen Standard Pentaksiran (DSP) dan DSKP.

Kemahiran responden bukan sahaja pada peringkat penentuan tahap penguasaan, malahan responden mahir dalam melaksanakan pentaksiran secara berterusan sepanjang sesi PdPC di dalam kelas. Bagi mengelak kebosanan, kepelbagaian instrumen yang bersesuaian juga disediakan ketika menaksir murid. Penambahbaikan dalam kemahiran menaksir murid juga dipertingkatkan setelah beberapa kali menjalankan pentaksiran dengan melakukan pentaksiran

sendiri dan menentukan tahap penguasaan murid. Selain itu, pengkaji juga menyatakan responden bukan saja mahir dalam menaksir murid, malahan juga mahir dalam memasukkan prestasi murid dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran secara ‘off-line’ secara teratur agar mudah untuk dirujuk pada masa yang akan datang.

(6)

Kesimpulannya, kemahiran guru dalam melaksanakan PBD berada pada tahap yang tinggi kerana mempunyai pengetahuan yang baik dalam PBD serta disokong dengan pengalaman yang dilalui sebelum ini. Ini menunjukkan guru amat bersedia dalam melaksanakan PBD seperti mana yang diarahkan oleh KPM bagi semua murid sekolah rendah.

6. Perbincangan

Secara keseluruhannya, kajian ini memberi implikasi dalam pelaksanaan PBD yang merupakan pentaksiran utama dalam sistem pendidikan negara pada masa kini terutama sekali di peringkat sekolah rendah. Kajian ini sedikit sebanyak menghimpunkan kajian-kajian yang berkaitan dengan tahap kesediaan guru melaksanaan PBD di sekolah rendah dalam beberapa mata pelajaran. Implikasi daripada kajian ini menunjukkan kesediaan guru dari segi tahap pengetahuan dan tahap kemahiran yang tinggi dapat melancarkan proses pentaksiran terhadap murid secara telus dan tepat. Kesediaan guru yang tinggi ini, membuktikan bahawa guru sememangnya tunjang dalam melaksanakan perubahan sistem pendidikan negara demi kemenjadian murid agar kandungan dalam Falsafah Pendidikan Negara dapat dicapai dengan jayanya.

Implikasi terhadap kemenjadian murid pula ialah, murid tahu akan arah tujuan mereka yang sebenar dalam menuntut ilmu. Kesediaan guru yang tinggi, dapat meningkatkan tahap keyakinan serta motivasi murid dan sekaligus meningkatkan perkembangan murid. Malahan kesediaan guru dalam melaksanakan PBD ini turut menyumbang ke arah pembentukan sahsiah murid.

Daripada dapatan kajian ini juga, mungkin dapat menyedarkan sebilangan kecil guru yang masih beralasan dengan pelaksanaan PBD ini bagi menggantikan pelajaran berorientasikan peperiksaan. Kajian ini juga membuktikan bahawa guru-guru sememangnya bersedia melaksanakan sebarang perubahan yang diarahkan oleh pihak KPM demi kemenjadian murid secara holistik.

7. Kesimpulan

Kesimpulannya, setiap negara pastinya akan membuat perubahan dalam sistem pendidikan bagi meningkatkan mutu pendidikan. Begitu juga Malaysia yang kini masih berusaha bersaing agar sistem pendidikan sebaris dengan negara maju. Oleh kerana itu, KPM membuat perubahan secara berperingkat agar perubahan yang dibuat dapat diterima baik oleh semua pihak sama ada pihak pelaksana mahupun lapisan masyarakat.

Pelaksanaan PBD ini tidak akan tercapai seperti apa yang diharapkan oleh pihak KPM seandainya guru tidak dibekalkan dengan pengetahuan yang secukupnya berkaitan PBD.

Justeru itu, dari masa ke semasa guru diberi bimbingan dan disediakan panduan agar pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan PBD sentiasa berada pada tahap yang baik.

Ini kerana, pelaksanaan PBD ini memerlukan pertimbangan profesional guru dalam menentukan tahap penguasaan murid.

Dicadangkan juga kajian berkaitan dengan tahap kesediaan guru dalam melaksanakan PBD ini di buat bagi mata pelajaran elektif. Ini kerana, mata pelajaran elektif sedikit sebanyak menyumbang kepada keberhasilan murid dalam menuntut ilmu.

(7)

Rujukan

Artika Rasul bin Sulaiman. 2019. Tahap Kesediaan Guru Pendidikan Islam Dalam Pentaksiran Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Sekolah Rendah. International Journal of Humanities Technology and Civilization (IJHTC) 6(1): 1-7

Fara Izzati Marnizam & Siti Rahaimah Ali. 2017. Penilaian Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Dalam Kalangan Guru Matematik Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Sains dan Matematik Malaysia 11: 2.

Halimah Jamil & Rozita Radhiah Said. 2019. Pelaksanaan Penskoran Pentaksiran Lisan Bahasa Melayu Dalam Pentaksiran Bilik Darjah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 9(2): 25- 36.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2015 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepasan Menengah). Putrajaya: Bahagian Pendidikan Guru.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2016. Buku Penerangan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Malaysia: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2018. Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah.

Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2019. Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah 2019.

Mazarul Hasan Mohamad Hanapi, Norazimah Zakaria & Suhaila Muner. 2021. Tahap Kesediaan Guru Sekolah Rendah di Daerah Klang, Selangor dalam Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah dari Aspek Pengetahuan. International Journal of Modern Education 3:

9.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Amad. 2015. Murid dan Alam Belajar: Edisi Kedua. Shah alam: Oxford Fajar.

Sh. Siti Hauzimah Wan Omar. 2019. Pengetahuan, Kemahiran, Sikap dan Masalah Guru Dalam Melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah Bahasa Melayu di Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 9(1): 56-67.

Tan Jia Yuh & Husaina Banu Kenayathulla. 2020. Pentaksiran Bilik Darjah dan Prestasi Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Hulu Langat, Selangor. Jurnal Kepimpinan Pendidik 7: 3.

Referensi

Dokumen terkait