Kompetensi Guru Matematik Dalam Pengajaran Topik Pecahan Sekolah Rendah
(Competency of Mathematic Teachers Teaching Fractions in Primary School)
Dahlan Pamuda1*, Muhammad Sofwan Mahmud1
1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected]
Accepted: 15 February 2023 | Published: 1 March 2023 DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.1.11
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Kompetensi guru merupakan keupayaan dan kecekapan yang perlu dikuasai oleh seorang guru dalam usaha merealisasikan proses pembelajaran yang meliputi aspek perancangan, pelaksanaan sehingga penilaian pembelajaran. Kompetensi guru yang bermutu tinggi dalam melaksanakan sistem pengajaran akan memberi impak besar dalam kemenjadian murid. Ini memberi gambaran bahawa kompetensi guru merupakan kompenan utama dalam pemindahan isi pengajaran kepada murid. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meneliti cabaran guru matematik dalam pengajaran topik pecahan serta meneroka kompetensi yang diperlukan oleh guru dalam pengajaran matematik bagi topik pecahan sekolah rendah. Kajian ini merupakan sebuah kajian kualitatif yang mengaplikasikan pendekatan kajian kes melibatkan enam orang guru matematik sekolah rendah di daerah Dalat, Sarawak sebagai peserta kajian. Pemilihan peserta kajian adalah berdasarkan kepada kesanggupan guru terlibat dalam kajian secara sukarela, guru opsyen matematik, pengalaman mengajar melebihi 5 tahun dan telah mengajar topik pecahan. Terdapat tiga kaedah kajian yang digunakan dalam mendapatkan data iaitu pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen guru. Keseluruhan data yang telah diperolehi dianalisis secara deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa cabaran utama guru matematik dalam pengajaran pecahan adalah disebabkan oleh kurangnya faktor kesediaan murid sebelum sesi pengajaran dilaksanakan. Manakala kompetensi guru matematik dalam pengajaran topik pecahan sekolah rendah adalah pada tahap berupaya memberi impak kepada intelektual murid menguasai isi pengajaran yang disampaikan.
Cadangan kajian pada masa hadapan adalah dengan memberi perhatian kepada kompetensi guru dalam kemahiran topik matematik yang lain. Ini bagi menyeimbang dan meningkatkan pencapaian matematik murid dalam semua kemahiran matematik di peringkat sekolah rendah.
Kata kunci: kompetensi guru, topik pecahan, matematik sekolah rendah
Abstract: Teacher competence is the ability and efficiency that needs to be mastered by a teacher to realize the learning process which covers aspects of planning, implementation, and evaluation of learning. The competence of high-quality teachers in implementing the teaching system will have a great impact on the development of students. This gives the impression that teacher competence is the main component in transferring teaching content to students. The purpose of this study was to examine the challenges of mathematics teachers in teaching the topic of fractions as well as explore the competencies required by teachers in teaching mathematics for the topic of fractions in primary schools. This study is a qualitative study that applies a case study approach involving six primary school mathematics teachers in Dalat,
Sarawak as study participants. The selection of study participants was based on the willingness of teachers to be involved in the study voluntarily, mathematics option teachers, teaching experience of more than 5 years, and having taught the topic of fractions. There are three research methods used in obtaining data, namely observation, interview, and analysis of teacher documents. All the data that has been obtained is analyzed descriptively. The findings of the study show that the main challenge for mathematics teachers in teaching fractions is the lack of student readiness before the teaching session is implemented. While the competence of mathematics teachers in teaching the topic of elementary school fractions is at the level of being able to have an impact on the intellectual ability of students to master the content of the lesson. The suggestion for future research is to pay attention to the competence of teachers in the skills of other mathematical topics. This is to balance and improve students' math achievement in all math skills at the primary school level.
Keywords: teacher competence, fraction topics, primary school mathematics
___________________________________________________________________________
1. Pendahuluan
Guru adalah nadi utama dalam merealisasikan perjuangan bagi membina cara berfikir yang kretif serta kritis. Ini sebenarnya telah membentuk serta membina usaha dalam menyediakan murid yang berupaya menyesuaikan diri dengan suasana iklim di persekitaran mereka. Dari aspek kemenjadian murid, bidang pendidikan merupakan tumpuan utama dalam perbincangan apabila dikaitkan dengan kemenjadian modal insan berkualiti (Majid et al., 2020). Ini membuktikan, kompetensi dan kualiti intelektual guru sebagai agen yang melaksanakan tindakan menjadi faktor penting bagi memastikan matlamat negara berjaya direalisasikan (Hie et al., 2018).
Peranan seorang guru amat penting di dalam bilik darjah untuk menjelaskan sesuatu kemahiran kepada murid. Pengajaran guru matematik perlu kepada penekanan pemahaman konsep serta penguasaan topik dalam pelbagai kemahiran matematik seperti nombor, operasi, bentuk dan ruang, serta pengaplikasian matematik dalam menyelesaikan pelbagai situasi masalah harian.
Tahap pengetahuan serta kemahiran guru merupakan perkara penting yang perlu diambil perhatian bagi memastikan matlamat murid dalam pelaksanaan aktiviti pembelajaran di bilik darjah tercapai (Bakar & Alias, 2021). Namun begitu, terdapat persoalan yang wujud dalam pengajaran guru terutamanya dalam aspek penguasaan konsep serta makna bagi strategi kognitif dalam pengajaran matematik.
Pengajaran matematik merupakan suatu bidang yang memberi peluang kepada murid untuk berfikir dan menyelesaikan masalah dengan pengetahuan serta kemahiran yang mereka miliki.
Pecahan adalah salah satu topik yang harus dikuasai semasa pembelajaran matematik. Pecahan merupakan topik matematik yang sering menjadi masalah kepada murid untuk diselesaikan.
Deringol (2019) telah memberi takrif bahawa pecahan dilihat sebagai satu topik yang sukar untuk difahami terutamanya dlam kalangan murid di sekolah rendah. Lembaga Peperiksaan Malaysia (2017) mengatakan bahawa murid sekolah rendah masih lemah serta tidak dapat mengaplikasikan konsep pecahan dengan baik bagi soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan. Pecahan diperkenalkan kepada murid selepas murid mengenal sifat dan konsep nombor bulat. Konsep pecahan merupakan pengetahuan yang baharu berbanding konsep nombor bulat yang menggunakan operasi asas. Konsep pecahan diaplikasikan bagi topik-topik lain dalam bidang Matematik. Pemahaman konsep pecahan yang mendalam akan membantu
pembelajaran algebra dan pengetahuan tentang algebra seterusnya akan mempersiapkan murid ke tahap pendidikan matematik yang lebih tinggi (Azid et al., 2020).
Sejajar dengan profesion guru yang kian mencabar dan menuntut usaha serta komitmen tinggi, kompetensi guru semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Isu kurang penekanan kepada kompetensi diri di kalangan warga guru menyebabkan timbulnya masalah yang menimbulkan pelbagai kesan terhadap kemenjadian murid (Rosli et al., 2022). Jika sebelum ini golongan guru dilihat semakin kurang cekap serta kurang fokus dalam mendidik murid di sekolah, isu ini berkait rapat dengan kompetensi (Rahim & Mustafa, 2021). Sebagai warga yang diamanahkan oleh masyarakat yang diberikan tanggungjawab mendidik serta membentuk kelangsungan hidup anak-anak pada masa akan datang, guru seharusnya membalas kepercayaan tersebut dengan memberi komitmen dan keyakinan yang tinggi dalam melaksanakan tugasan mereka.
Guru merupakan salah satu sumber manusia terpenting yang mempengaruhi kualiti pendidikan.
Kualiti dan kompetensi guru merupakan pengaruh yang tinggi dalam menentukan mutu pendidikan (Ismail & Mohd Matore, 2020). Justeru, sebarang usaha penambahbaikan yang dibuat bagi meningkatkan kualiti pendidikan, ianya tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan komitmen pihak guru. Golongan guru dituntut memiliki prestasi kerja pada tahap yang tinggi bagi meningkatkan sumber daya manusia di Malaysia khususnya generasi muda.
Intipati utama dalam pendidikan ialah proses pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya proses pengajaran dan pembelajaran berupaya dilaksanakan dengan baik, maka kualiti pendidikan akan menjadi lebih baik. Untuk meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran, terdapat tiga elemen yang perlu diberi penekanan iaitu guru, murid dan kurikulum atau bahan pembelajaran. Pengajaran yang baik dan berkualiti merupakan hasil daripada guru yang memiliki pengetahuan serta kemahiran yang mantap dalam suatu disiplin ilmu tersebut (Rosli et al., 2022). Guru dituntut memiliki kompetensi yang unggul dalam bidangnya seperti kompetensi pedagogi, keperibadian, sosial dan profesional. Kompetensi pedagogi guru merupakan salah satu elemen yang harus dimiliki setiap guru dalam apa-apa bentuk pendidikan. Ini akan membawa impak terhadap kejayaan pengajaran serta impak terhadap kemenjadian murid.
Sehubungan itu, guru perlu mempersiapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran terkini seiring dengan peredaran zaman. Tidak dinafikan bahawa sukar bagi guru berdepan dengan kehendak dan keperluan murid tanpa pengetahuan dan kemahiran yang luas.
Hakikatnya, guru yang berkualiti merupakan nadi dalam keberhasilan murid di sekolah (Tchoshanov et al., 2017). Justeru, guru seharusnya mengambil peluang yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Program Pembangunan Profesionalisme Guru berterusan bagi memastikan segala pengetahuan dan kemahiran untuk pengajaran Matematik sentiasa dikemaskini.
2. Soroton Literatur
Konsep kompetensi telah dipopularkan pertama kalinya oleh Boyatzis (1982) yang mendefinisikan kompetensi sebagai keupayaan dan kebolehan yang dimiliki oleh seseorang yang ada pada sikapnya selari dengan keperluan kerja dalam ruang persekitaran organisasi serta memberikan hasil yang dikehendaki. Kompetensi juga merupakan kemahiran berbentuk generik, kemahiran asas dan utama, serta kemahiran individu yang merangkumi kepada pengetahuan, sikap serta kemahiran yang menjadi tunjang kepada urusan yang
dipertanggungjawabkan merentasi semua bidang (Rahman et al., 2019). Kompetensi juga adalah berkaitan dengan pengetahuan, keterampilan serta perilaku yang perlu dimiliki, dikuasai, dihayati dan direalisasikan dalam melaksanakan tugasan profesional seorang guru (Dirgantoro, 2018).
Dalam dunia pendidikan hari ini, kompetensi merupakan suatu yang perlu dikuasai oleh setiap individu terutamanya golongan yang bergelar guru. Jika seseorang tidak memiliki kompetensi dalam diri mereka, maka kompetensi akan tersisih oleh diri dan sikap mereka sendiri (Saufi, 2019). Hari ini merupakan era revolusi 4.0, maka dalam dunia pendidikan perubahan itu tidak terkecuali. Pada masa akan datang, akan berlaku penggantian tenaga kerja manusia dalam semua perkara. Tidak mustahil, kuasa manusia akan digantikan dengan kuasa robotik pada satu hari nanti. Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk seorang guru memiliki kompetensi yang mantap.
Putri dan Sudarto (2019) dalam kajiannya menyatakan bahawa kompetensi guru matematik memberi pengaruh yang besar kepada pencapaian matematik murid. Penguasaan guru terhadap bahan bantu belajar, teknik pengajaran, teknik komunikasi berkesan serta keperibadian guru itu sendiri menyumbang kepada perkembangan kemahiran murid. Ini selari dengan dapatan kajian Nurudin (2020) yang membuktikan bahawa kompetensi guru yang tinggi akan mempengaruhi keputusan prestasi matematik murid yang tinggi juga. Guru seharusnya terus berusaha meningkatkan kompetensi mereka dalam pengajaran bagi meningkatkan kualiti proses dan hasil pembelajaran supaya mencapai prestasi yang optimum. Kompetensi guru boleh diringkaskan kepada empat bidang iaitu kompetensi pedagogi, kompetensi peribadi, kompetensi sosial dan kompetensi profesional (Mayasari & Sharif, 2018).
Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun 2022 bagi mata pelajaran Matematik, topik pecahan merupakan topik yang diajar pada semua peringkat umur bermula dari darjah satu sehingga darjah enam sekolah rendah. Pada setiap peringkat darjah, kemahiran pecahan semakin meningkat. Ketika murid berada di darjah satu, permulaan pembelajaran pecahan hanya mendedahkan murid dengan konsep asas pecahan iaitu konsep perdua dan perempat pecahan wajar. Pada peringkat akhir iaitu ketika murid berada di darjah enam, semua konsep nombor dan operasi, kemahiran penyelesaian masalah matematik berayat serta konsep pecahan sebagai operator diintegrasikan dengan pengetahuan terhadap konsep dan kemahiran melibatkan proses mendarab dan membahagi pecahan. Walaupun pengajaran pecahan ini mempunyai pemeringkatan kemahiran yang sistematik tetapi terdapat kajian mendapati bahawa konsep dan kemahiran melibatkan operasi terutamanya proses mendarab serta membahagi pecahan adalah yang paling sukar untuk difahami (Adnan et al., 2017). Hal yang demikian berlaku kerana kefahaman murid dalam konsep pecahan adalah pada tahap yang lemah.
Selain itu, kajian Prast et al. (2018), mendapati bahawa pengetahuan guru dalam topik serta kemahiran yang spesifik mempengaruhi pengetahuan murid dalam topik pecahan. Hal ini merujuk kepada ketepatan terminologi matematik yang digunakan, penerangan terhadap konsep yang betul serta kemahiran penyelesaian masalah mengikut algoritma yang tepat.
Penyataaan ini juga dibuktikan menerusi kajian yang dijalankan oleh Copur-Gencturk (2021) yang berkaitan dengan pemahaman guru tentang konsep yang mereka ajar mempengaruhi kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar. Kajian beliau melibatkan 303 guru dari seluruh Amerika Syarikat untuk mengkaji pengetahuan guru matematik sekolah rendah tentang konsep utama yang berkaitan aritmetik pecahan. Hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa pemahaman guru tentang aritmetik pecahan adalah terhad, terutamanya bagi pembahagian
pecahan, namun terdapat hubungan yang sederhana antara pemahaman guru tentang penambahan dan pembahagian pecahan. Tambahan pula, guru yang lebih berpengalaman kelihatan mempunyai pemahaman lebih mendalam tentang aritmetik pecahan berbanding guru baharu dengan pemahaman yang agak terhad.
Pengajaran dan pembelajaran topik pecahan boleh menjadi topik yang rumit, walau bagaimanapun pemahaman pecahan merupakan topik serta kemahiran yang perlu dikuasai oleh semua murid. Topik pecahan telah mula diperkenalkan pada awal persekolahan seseorang murid iaitu pada Tahun 1. Husain (2021) membuktikan bahawa murid akan menghadapi kesukaran dalam mempelajari pecahan ini apabila mereka tidak menguasai konsep asas pecahan dengan baik. Selain itu, pecahan juga telah dikategorikan antara topik yang paling sukar untuk difahami dan diselesaikan oleh murid (Schreiter et al., 2021). Langkah menyamakan penyebut dalam operasi tambah dan tolak pecahan sering menjadi kekangan kepada setiap murid (Makrufah, 2019). Jawapan murid akan menjadi tidak tepat sekiranya murid tidak dapat menyamakan penyebut dengan betul. Kadang-kadang murid juga melakukan kesalahan atas sebab kecuaian mereka.
Dalam pengajaran topik pecahan, suatu teknik atau kaedah perlu didedahkan kepada murid supaya mereka tidak lagi melakukan kesalahan dan menyatakan bahawa pecahan ialah topik yang sukar. Kebijaksanaan guru dalam melaksanakan intervesi merupakan satu inisiatif yang baik untuk meningkatkan pencapaian dan pemahaman murid dalam topik matematik (Bryant et al., 2021). Berdasarkan penelitian artikel yang dipilih, guru perlu bersedia dan memberi tunjuk ajar yang boleh menarik minat murid seterusnya mampu membantu menyelesaikan soalan matematik dengan cara yang kreatif (Vinkler, 2020). Kompetensi guru dengan intervensi yang tepat mampu memberikan motivasi yang tinggi dan memastikan murid menjawab soalan pecahan dengan betul.
3. Metodologi Kajian
Kajian ini menggunakan pendekatan kajian kualitatif reka bentuk kajian kes. Kajian kes bersesuaian digunakan bagi tujuan kajian yang berfokus kepada penyiasatan secara mendalam, lingkungan sebenar dan menyeluruh (Tight, 2017). Kajian yang dilaksanakan ini berfokus untuk memahami dan meneroka secara mendalam setiap aktiviti dengan bertujuan untuk mengkaji kompetensi guru dari aspek pandangan, amalan pengajaran serta cabaran yang dihadapi oleh guru Matematik sekolah rendah dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran topik pecahan. Penyelidik memilih reka bentuk kualitatif kerana penyelidikan kualitatif memberikan pandangan terperinci individu dengan kata-kata mereka sendiri serta analisis kompleks berdasarkan pelbagai perspektif (Mat et. al, 2021). Kajian kes yang dimaksudkan dalam kajian ini adalah kajian yang mengkaji kompetensi guru dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran topik pecahan matematik sekolah rendah. Kajian kes didefinisikan sebagai pendekatan kualitatif yang memfokuskan penerokaan penyelidik ke atas kehidupan seharian, sistem kontemporari terbatas (satu kes) atau sistem gandaan terbatas (pelbagai kes) dari semasa ke semasa (Kamaluddin, 2021). Kajian kualitatif ini juga merupakan kajian melalui pengumpulan data secara terperinci serta mendalam dengan merujuk pelbagai sumber maklumat. Sistem terbatas dirujuk sebagai masa dan tempat yang tertentu atau khusus.
Oleh itu, kajian ini memilih untuk menggunakan pendekatan kajian kes kerana kajian kes bersesuaian dengan tujuan kajian yang ingin memahami dengan lebih mendalam kesediaan guru dari aspek pandangan, amalan pengajaran serta cabaran yang dilalui oleh guru matematik dalam melaksanakan pembelajaran topik pecahan sekolah rendah.
Peserta yang terlibat dalam kajian ini terdiri daripada guru Matematik sekolah rendah di daerah Dalat, Sarawak. Dalam kajian ini, penyelidik hanya memilih enam orang guru sebagai peserta kajian. Bilangan peserta kajian dikecilkan kerana reka bentuk kajian berbentuk kualitatif dan tiada ketetapan dalam menentukan bilangan peserta kajian yang diperlukan (Patton, 2017).
Selaras dengan itu, kaedah pemilihan sampel yang dilakukan ialah pemilihan sampel bertujuan kerana peserta kajian hendaklah memiliki ciri-ciri yang diperlukan oleh penyelidik seperti i) kesanggupan guru melibatkan diri secara sukarela dalam kajian ini, ii) merupakan guru mengajar matematik, iii) pengalaman mengajar melebihi 5 tahun; dan iv) telah mengajar topik pecahan. Pemilihan sampel bertujuan dalam kajian kualitatif amat sesuai kerana sampel yang dipilih mempunyai data serta maklumat yang ingin diterokai oleh penyelidik dan mengetahui perkembangan sesuatu peristiwa di lapangan kajian dengan tepat (Jasmi, 2012). Terdapat tiga kaedah pengumpulan data iaitu secara pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen. Kaedah pemerhatian merujuk pada prosedur kajian yang melibatkan interaksi interpersonal antara pengkaji dan peserta kajiannya dalam lingkungan peserta itu sendiri. Interaksi ini bertujuan untuk memperoleh data melalui pendekatan yang sistematik. Bagi kaedah temu bual pula, satu set soalan telah disediakan oleh penyelidik. Untuk membina set protokol temu bual, penyelidik telah merujuk kajian terdahulu yang berkaitan reka bentuk soalan temu bual dan membuat perubahan mengikut kesesuaian objektif kajian ini. Untuk analisis dokumen, jenis dokumen yang akan dikumpulkan ialah dokumen tidak rasmi iaitu dokumen Rancangan Pengajaran Harian (RPH) guru matematik dan buku latihan atau lembaran kerja murid. Sumber data ini dapat memberikan informasi yang penting kepada penyelidik untuk memahami sesuatu fenomena. Tambahan pula, maklumat yang diperoleh bukan sahaja dapat menambah bukti kajian, tetapi dokumen yang berkenaan turut membantu mengesahkan sumber maklumat yang diperoleh dalam sesi temu bual (Darusalam & Hussin, 2018).
Memandangkan kajian ini mengumpulkan data melalui teknik pemerhatian, temu bual serta analisis dokumen, maka semakan peserta kajian dan penilaian pakar telah dilaksanakan bagi memastikan kejituan data daripada instrumen yang digunakan. Selaras dengan itu, soalan temu bual berstruktur yang dibangunkan oleh penyelidik akan dinilai oleh pakar bidang matematik untuk mendapat pengesahan. Seramai tiga orang pakar yang akan dipilih iaitu dua orang pensyarah yang mahir dalam bidang pendidikan matematik dan seorang Guru Cemerlang matematik akan menentukan kesahan kandungan protokol temu bual. Kesemua pakar profesional yang telah dilantik merupakan individu yang secara langsung terlibat dalam bidang serta bekerja dalam lapangan tersebut (Mohd Matore et al, 2017).
Bagi kebolehpercayaan, kaedah penelitian rakan sebaya dan penulisan nota lapangan yang sistematik akan digunakan bagi memastikan kebolehpercayaan data. Semakan bersama ahli kumpulan bermaksud sekumpulan individu yang dipilih dan dilantik untuk membuat semakan terhadap semua data yang telah dimuktamadkan. Oleh itu, penyelidik telah melantik dua rakan sekerja dalam bidang pendidikan matematik untuk membuat semakan, pengesahan kategori dan tema yang diperoleh. Ini bagi mengelakkan penyelidik daripada melaksanakan penyelidikan yang berkemungkinan tidak memasukkan peristiwa atau aktiviti penting berdasarkan konteks kajian. Kajian rintis dilaksanakan dengan skala yang kecil pada lokasi kajian yang sama. Sehubungan itu, penyelidik akan menjalankan kajian rintis terhadap dua orang peserta kajian sahaja. Protokol temu bual akan digunakan bagi menguji kebolehgunaannya. Bagi mendapatkan tema dan kategori, penyelidik akan menggunakan alat perakam audio dalam sesi temu bual serta proses transkripsi akan dilakukan. Kajian rintis ini dapat membantu penyelidik untuk menambah baik protokol temu bual agar dapat memudahkan peserta kajian memahami kehendak soalan dan membuat jangkaan tempoh pelaksanaan suatu temu bual.
Dalam bahagian ini, penganalisisan data kajian dibuat berdasarkan jenis data iaitu data temu bual dan dokumen. Peringkasan data merupakan proses memilih, menyederhana, mengabstrak serta mentransformasikan dapatan yang diperoleh di lapangan kajian. Bagi data temu bual, penyelidik akan membuat pengekodan bagi setiap perkataan, frasa temu bual dan penemuan ayat penting yang bermakna. Penyelidik mengenal pasti frasa ayat yang memberi makna dan permasalahan yang kerap diulang oleh peserta kajian untuk diselaraskan dengan soalan kajian.
Bagi data dokumen pula, penyelidik akan memilih data yang diperlukan dan menaip semua catatan yang telah ditulis dalam nota lapangan sebelum membuat indeks kod bagi setiap data yang relevan.
Seterusnya, pemaparan data merupakan susunan maklumat yang teratur dan padat yang berpotensi dalam menghasilkan suatu kesimpulan. Bahagian ini memerlukan penyelidik untuk memilih setiap unit yang ditranskripkan kemudian mengasingkan maklumat kepada beberapa kelompok di bawah tema, subtema atau kategori tertentu. Tema utama dan subtema dapat dikenal pasti berdasarkan sorotan literatur lepas, bukti empiris dalam bidang kajian, pengalaman penyelidik serta pengalaman peserta kajian. Ini merupakan analisis data yang telah dikumpul oleh penyelidik melalui alat metodologi tertentu.
Akhir sekali, penyelidik membuat kesimpulan atau verifikasi. Menurut Huberman dan Miles (2019), bermula dari awal pengumpulan data, analisis kualitatif adalah untuk menentukan maksud sesuatu perkara, menilai kelaziman, trend, membuat tafsiran, perkaitan sebab dan akibat serta cadangan. Melalui kajian ini, dapat dikatakan bahawa data yang diperoleh dan dianalisis secara berterusan serta dapat menentusahkan kesahihan suatu dapatan untuk menghasilkan kesimpulan tentang tahap kompetensi guru dalam pengajaran matematik topik pecahan sekolah rendah.
4. Dapatan Kajian
Dapatan kajian ini dibincang dengan berfokuskan tiga persoalan kajian iaitu cabaran guru matematik dalam pengajaran tajuk pecahan, kompetensi yang diperlukan oleh guru dalam pengajaran matematik tajuk pecahan dan cadangan penambahbaikan dalam pengajaran matematik tajuk pecahan. Maklumat dapatan kajian adalah berdasarkan data yang dikumpul daripada temu bual dan diperkukuhkan lagi dengan analisis dokumen.
Peserta Kajian
Peserta kajian ini telah melibatkan enam orang guru matematik yang terpilih dari daerah Dalat, Sarawak. Penglibatan guru matematik ini sebagai peserta kajian adalah secara sukarela bagi memberikan maklumat berdasarkan pengetahuan serta pengalaman mereka mengajar mata pelajaran matematik. Kesemua guru matematik yang terlibat dalam kajian ini merupakan guru yang berkhidmat di sekolah rendah. Kajian ini melibatkan guru opsyen matematik yang telah mengajar lebih dari lima tahun. Pemilihan kriteria peserta kajian ini adalah untuk mendapatkan maklumat serta data yang benar-benar berkualiti dengan kemampuan serta pengalaman yang mereka ada. Guru mahir adalah guru yang telah berkhidmat melebihi lima tahun mengajar dan mempunyai kemampuan kognitif yang tinggi untuk mencerakin serta menganalisis persekitaran pembelajaran yang tersendiri (Wong et al., 2018).
Jadual 1: Profil Peserta Kajian
Kategori
Peserta Kajian
GM1 GM2 GM3 GM4 GM5 GM6
Jantina L P P L P P
Umur 41 53 31 40 29 28
Tahap
Pendidikan Diploma Sarjana
Muda Sarjana Sarjana Muda
Sarjana Muda
Sarjana Muda Pengalaman
Mengajar 17 28 5 16 6 5
Jadual 1 menunjukkan profil peserta kajian yang terdiri daripada enam orang guru, dua guru lelaki dan empat guru perempuan. Kesemua peserta kajian merupakan guru terlatih yang telah bertugas dan mengajar metematik di sekolah rendah selama lima tahun dan lebih. Berdasarkan kepada kelayakan akademik, hanya seorang sahaja guru yang memiliki Diploma perguruan dan selebihnya adalah guru Siswazah. Berdasarkan penelitian ke atas hasil dapatan kajian, cabaran guru matematik dalam pengajaran tajuk pecahan di sekolah rendah dapat dikategorikan kepada cabaran dalam proses pengajaran yang berlaku di dalam bilik darjah dan penerimaan murid memahami topik pecahan.
Cabaran Guru Matematik Dalam Pengajaran Topik Pecahan Sekolah Rendah
Dalam persoalan kajian yang pertama, cabaran guru adalah merangkumi perkara yang berkaitan dengan pengajaran dalam topik pecahan di dalam bilik darjah. Guru telah menyatakan bahawa beberapa cabaran yang wujud sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran yang berlangsung. Hal ini memberi impak dan implikasi kepada penerimaan murid bagi memahami topik pecahan yang diajar.
Sebilangan besar guru berpendapat bahawa pengajaran topik pecahan ini merupakan suatu kemahiran yang sukar dan perlu diajar dengan teliti kerana banyak impak kepada pengajaran kemahiran topik yang lain. Pengajaran guru yang teratur dan tersusun mengikut langkah yang tepat serta mengambil kira aras kebolehan murid akan memberi kesan kepada penerimaan pembelajaran murid. Selain dari kekangan yang telah dinyatakan di atas, masalah pengajaran pecahan ini juga wujud disebabkan kemahiran asas yang sepatutnya menjadi keutamaan kepada kemahiran pecahan tetapi masih belum dikuasai oleh murid. Selain itu, terdapat murid yang mengikuti kelas pemulihan terlibat sekali dalam pengajaran pecahan di dalam bilik kelas bersama murid yang lain. Perkara ini memberi cabaran kepada guru dalam melaksanakan pengajaran pecahan. Berikut adalah beberapa kenyataan berkaitan dengan perkara ini.
“..pecahan adalah sangat sukar untuk murid faham sekiranya perkara itu kita tak terangkan dengan sebaiknya. Kemahiran pecahan ketika guru melaksanakan pengajaran perlu diperingkatkan, tidak dicampur kemahiran.” (TB/GM-02:10)
“..agak sukar sebenarnya nak mengajar murid tentang pecahan ni sebab dalam kelas yang saya ajar tu ada dua kategori murid iaitu murid yang agak laju menerima pengajaran dan satu kumpulan lagi memang agak perlahan di mana asas kepada pecahan iaitu tambah pun mereka boleh keliru.” (TB/GM-03:8)
“..pengajaran tentang kemahiran pecahan sebenarnya agak rumit sekiranya murid tak hafal sifir.” (TB/GM-04:8)
Pengajaran kepada kembangan kemahiran pecahan tidak dapat lari dari pecahan setara dan permudahkan pecahan. Kemahiran ini memerlukan murid untuk menguasai kemahiran mendarab dan membahagi. Untuk mahir kemahiran ini, murid perlu menghafal sifir bagi membolehkan mereka menyelesaikan setiap persoalan matematik pecahan dengan betul.
Antara penyataan yang berkaitan dengan perkara ini ialah:
“Terdapat beberapa faktor, pertama kefahaman sifir kurang. Murid faham tetapi apabila melibatkan sifir serta melibatkan nombor yang besar akan membuat murid agak lambat dalam menyelesaikan soalan. Murid akan merasa rumit bila kemahiran permudahkan pecahan berlaku kerana tidak hafal sifir.” (TB/GM-04:12)
“Saya rasa kebanyakan murid tidak mahir dalam sifir. Itu merupakan masalah utama murid dalam pecahan. Ini perlu diselesaikan terlebih dahulu.” (TB/GM-05:22)
“Sifir sangat perlu, sebab nak memudahkan nilai pecahan. Ada murid yang biarkan saja jawapan mereka tanpa memudahkan pecahan akhir.” (TB/GM-06:20)
Di sekolah, tugasan guru tidak terbatas dengan mengajar murid di bilik darjah sahaja. Dalam urusan harian di sekolah guru sememangnya terlibat secara langsung dalam pengurusan organisasi. Terdapat jawatan yang perlu mereka pegang untuk membantu dalam menguruskan kelancaran program atau aktiviti di sekolah. Sedikit sebanyak lantikan untuk satu jawatan dalam organisasi akan memberi implikasi terhadap komitmen guru dalam menguruskan pengajaran bersama murid. Ada tugasan yang diamanahkan itu dilaksanakan secara berkala dan ada yang diuruskan sepanjang tahun. Berikut adalah beberapa penyataan mengenai perkara ini:
“..sedikit sebanyak urusan kerja sebagai pentadbir akan memberi kesan terhadap persediaan dan pelaksanaan sesi PdPc di dalam bilik darjah. Kebiasaannya kekangan adalah dari segi masa dan ini memerlukan tindakan guru atur semula pengurusan, sesuaikan mengikut masa.” (TB/GM-01:6)
“Saya di sekolah sebagai guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Ketua Panitia Sejarah, Ketua Panitia Muzik. Jawatan lain setakat ni takda lagi sebab tugasan HEM tu banyak cabangnya. Memang tugasan yang bertindih akan menyebabkan kurang masa fokus kepada persediaan mengajar.” (TB/GM-03:6)
“..saya guru SPBT, pegawai Aset, guru kelas Tahun 1 dan Ketua Panitia Matematik.
Tugasan ni tak boleh elak sebab bilangan guru pun kurang sekarang.” (TB/GM-06:6)
Menurut kebanyakan guru, setiap sesi pengajaran pecahan yang dilaksanakan di dalam bilik darjah memang akan memberi impak kefahaman kepada murid. Kefahaman dan penerimaan murid bergantung dengan pelbagai faktor. Tumpuan dan komitmen murid semasa sesi pengajaran berlangsung merupakan faktor yang menyumbang kepada kefahaman mereka.
Tidak semua murid boleh menerima pengajaran guru secara mudah, murid yang lambat faham dan belum menguasai akan terus dibimbing. Setiap kemahiran mempunyai kekangan penerimaan murid yang berbeza. Penjelasan mengenai perkara ini adalah seperti berikut:
“..murid dah boleh menambah dan menolak pecahan. Cuma yang menjadi masalah adalah view atau visual murid tentang pecahan masih tidak tepat.” (TB/GM-01:8)
“..masih ada murid yang tersekat dalam memahami kemahiran operasi pecahan tetapi disebabkan ada bimbingan, murid nampaknya sikit-sikit boleh ikut apa yang diterangkan.” (TB/GM-02:8)
“..lebih dari separuh murid boleh ikut PdP saya. Selebihnya murid masih memerlukan bantuan dan bimbingan untuk kemahiran yang telah saya ajar.” (TB/GM-06:10)
Selain itu, kebolehan murid menerima apa yang disampaikan oleh guru juga adalah bergantung kepada keupayaan murid di dalam kelas. Berdasarkan penyataan seorang guru berkaitan pecahan, beliau berpendapat bahawa topik pecahan merupakan satu topik yang susah untuk diajar kepada murid. Perbezaan kebolehan murid menyebabkan wujud kesukaran dalam pengajaran guru. Dari aspek pengurusan murid yang terlibat dalam pengajaran di dalam bilik darjah. Segelintir guru menyatakan bahawa kehadiran murid yang terlibat dengan program pemulihan kemudian diserap masuk untuk terlibat dengan kelas yang biasa ketika pengajaran berlangsung mengganggu penerimaan mereka terhadap apa yang sedang diajar oleh guru.
Penerangan berkenaan perkara ini adalah seperti berikut:
“..agak sukar sebenarnya nak mengajar murid tentang pecahan ni sebab dalam kelas yang saya ajar tu ada dua kategori murid iaitu murid yang agak laju menerima pengajaran dan satu kumpulan lagi memang agak perlahan di mana asas kepada pecahan iaitu tambah pun mereka boleh keliru.” (TB/GM-03:8)
Kompetensi Guru Matematik Dalam Pengajaran Topik Pecahan Sekolah Rendah Bagi menjawab persoalan kajian yang kedua pula, dapatan kajian akan memfokuskan kepada pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran guru. Maklumat berkaitan intervensi, penilaian pengajaran dan faktor yang mempengaruhi amalan pengajaran guru akan dinyatakan berdasarkan hasil temu bual dan analisis dokumen.
Antara strategi pengajaran yang menjadi pilihan utama dalam kalangan guru adalah strategi berasaskan sumber atau bahan. Penggunaan bahan maujud sebagai bahan bantu mengajar adalah perkara yang tidak asing lagi bagi guru matematik. Bagi memastikan setiap murid tidak terpinggir dalam mengikuti pembelajaran pecahan, guru menggunakan pelbagai pilihan pendekatan bagi membuatkan murid memahami kemahiran yang dipelajari.
Kebanyakan guru menggunakan bahan bantu mengajar seperti kit pecahan, lembaran kerja pecahan serta bahan teknologi dalam memberi kefahaman kepada murid. Strategi ini membolehkan murid memahami proses pembelajaran dengan lebih bermakna sama ada dilaksanakan secara individu mahu pun pembelajaran secara berkumpulan. Berikut merupakan penyataan oleh guru mengenai perkara di atas.
“Pemahaman murid berkaitan pecahan ini juga perlu dari konkrit kepada bentuk yang abstrak. Penggunaan BBM seperti LEGO yang berwarna sangat membantu kerana murid akan lebih jelas tentang konsep pecahan dengan bahan maujud.” (TB/GM-01:14)
“Ada sesetengah kemahiran murid lebih cepat faham dengan melukis daripada membuat pengiraan. Tajuk tolak pecahan murid suka menyelesaikan soalan dengan lukisan diagram, murid akan lebih cepat faham. Berdasarkan pengalaman mengajar kemahiran tolak ni menggunakan bahan konkrit, teknik lukis dan pengiraan, murid lebih suka memilih kemahiran melukis diagram.” (TB/GM-02:16)
Di samping itu, terdapat seorang guru menyediakan slaid sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan slaid ini turut berperanan sebagai sumber rujukan berkaitan topik pecahan kepada murid. Setelah proses pengajaran menggunakan slaid dilakukan, ia akan disusuli dengan aktiviti murid di dalam kumpulan. Petikan di bawah mengenai perkara ini.
“Saya biasanya sediakan Power Point dan saya ambil kira tahap penguasaan murid untuk topik yang diajar. Kebiasaannya saya tak campur kemahiran yang diajar, takut murid keliru. Murid lebih cepat faham kalau saya buat penerangan dengan Power Point.” (TB-GM-06:22)
Selain itu, peranan guru dalam persediaan awal sebelum melaksanakan sesi pengajaran memberi impak kepada pelaksanaan sesi pembelajaran yang djalankan. Selain dari persediaan untuk pembelajaran murid, guru juga telah menyediakan diri dengan mendalami kemahiran matematik yang akan dilaksanakan. Tindakan guru ini sememangnya memberi kesan kepada pengetahuan guru dalam menyampaikan maklumat. Berikut adalah penerangan guru berkaitan perkara ini.
“..sebelum mengajar kemahiran pecahan. Saya sendiri yang cuba dahulu teknik atau cara menyelesaikan soalan tersebut. Kemudiam memilih teknik mana yang sesuai dengan kebolehan murid. Saya cuba pelbagai teknik sebelum diaplikasikan di dalam pengajaran.” (TB/GM-02:16)
“Persediaan saya sebelum mengajar murid, sekiranya saya kurang faham tentang suatu kemahiran pecahan tu biasanya saya akan merujuk kepada kemahiran guru yang dikongsikan dalam Youtube.” (TB/GM-03:14)
Antara faktor yang mempengaruhi amalan pengajaran matematik bagi topik pecahan ialah berkaitan dengan pedagogi dan kemahiran yang guru aplikasikan. Kebanyakan guru menyatakan bahawa faktor pedagogi merupakan fokus utama yang perlu dikuasai oleh guru dalam melaksanakan pengajaran bersama murid di bilik kelas. Ini merupakan asas utama yang perlu ada bagi seorang guru.
“..kemahiran, kefahaman dan pedagogi cikgu paling penting sebab apa yang kita rancang di dalam kertas (Rancangan Pengajaran Harian) bila berlaku situasi dalam kelas ianya akan berubah. Kadang-kadang kita tak boleh ikut apa yang telah kita rancang 100% tetapi tindakan adalah mengikut situasi yang berlaku di dalam kelas. Di situlah pentingnya kefahaman cikgu walaupun berlaku perubahan tetapi masih menjurus kepada objektif pengajaran yang nak kita capai.” (TB/GM-01:16)
Selain kompetensi dalam penyampaian kemahiran topik pecahan kepada murid semasa sesi pengajaran berlangsung. Guru juga perlu berupaya melaksanakan penilaian dan pentaksiran kepada murid bagi bertujuan untuk mendapat maklum balas terhadap pengajaran yang dijalankan. Pelbagai medium penilaian yang guru gunakan dalam menilai murid, ianya bergantung kepada kesesuaian serta kebolehan murid.
Penilaian pengajaran guru diperlukan untuk mengenal pasti sama ada hasil pembelajaran yang dilaksanakan mencapai objektif atau perlu diajar semula pada sesi pelajaran seterusnya. Hasil temu bual dan analisis dokumen menunjukkan kebanyakan guru menggunakan soalan latihan yang berkaitan topik pecahan untuk mentaksir kemajuan murid semasa dan selepas pembelajaran. Penilaian dilakukan oleh guru dalam bentuk lisan, lembaran kerja serta ujian
untuk menguji pengetahuan dan kefahaman murid tentang pecahan. Berikut ialah beberapa penyataan mengenai perkara ini.
“Biasanya saya menilai murid dari hasil kerja dalam buku latihan dan buku aktiviti, ada rekod transit yang digunakan.” (TB/GM-02:28)
“..saya menilai dari lembaran kerja dan latihan yang murid buat.” (TB/GM-03:22)
“..pertama latihan yang mereka buat yang mana mereka hantar saya semak dan dalam masa yang sama saya guna kaedah rawat. Cara kedua ialah secara rawak di dalam kelas dengan menjawab soalan di hadapan kelas secara individu semasa aktiviti di dalam kelas.” (TB/GM-04:24)
Penambahbaikan dalam pengajaran matematik adalah sangat penting bagi menjadikan setiap pengajaran guru dan pembelajaran murid menjadi lebih baik dari semasa ke semasa. Kekangan yang wujud dalam penyampaian ilmu pecahan perlu diatasi. Intervensi perlu dilaksanakan sekiranya murid mengalami masalah dalam pembelajaran. Begitu juga dengan guru, mereka perlu meningkatkan potensi diri dari pelbagai aspek bagi memudahkan proses penyampaian kemahiran pecahan kepada murid di sekolah.
Berdasarkan dapatan kajian, penambahbaikan dalam pengajaran topik pecahan di sekolah rendah dapat dikategorikan kepada faktor murid, faktor bahan dan faktor guru. Dari aspek kesediaan murid, kemahiran asas matematik khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah menjadi keperluan utama kepada guru untuk mengajar topik pecahan. Penerangan guru mengenai perkara ini adalah seperti berikut:
“Murid kena faham konsep pecahan dahulu baru pergi kepada kemahiran-kemahiran yang hendak diajar. Sekiranya murid tak faham konsep, murid akan menghadapi masalah untuk kemahiran yang seterusnya.” (TB/GM-01:22)
“Ada jugak murid yang cuai dalam pembelajaran terutamanya tentang kemahiran asas nombor. Tumpuan saya sebenarnya lebih kepada murid yang agak perlahan dan murid selalu cuai dalam pengiraan ni untuk memantapkan kemahiran asas mereka.”
(TB/GM-03:08)
Selain itu, konsep kepada pecahan juga menjadi penting sebelum kemahiran yang lain diperkenalkan. Ia menjadi suatu tuntutan kepada guru dalam memastikan setiap murid dapat menguasai asas ini sebelum mempelajari kemahiran topik pecahan. Berikut merupakan penyataan tentang perkara ini:
“Murid perlu fokus semasa guru memberi penerangan. Kadang-kadang saya minta murid menulis catatan langkah bagi menyelesaikan soalan yang diberikan, ini membantu murid dalam menjawab soalan.” (TB/GM-02:12)
Pengajaran matematik topik pecahan merupakan pengajaran yang tidak boleh lari dari menggunakan Bahan Bantu Mengajar dalam mencapai objektif pelajaran. Ia membantu guru dalam menyampaikan isi pengajaran. Pengaplikasian penggunaan BBM guru matematik boleh diklasifikasikan ke dalam bentuk elektronik dan teknologi serta pengunaan bahan maujud.
Penyataan segelintir guru matematik berkenaan penggunaan teknologi yang digunakan adalah seperti berikut:
“Kebanyakkan ICT yang kita gunakan sekarang adalah dalam bentuk video/visual.
Murid akan lebih cepat faham jika perkara tersebut dalam bentuk visual yang mereka minat. Contoh macam yang ada dalam telefon, ada youtube, ada gambar. Mereka lebih mudah faham, fun learning, sesama murid akan boleh bertintekasi dengan rakan mereka tentang apa yang mereka lihat & ini membuat mereka lebih cepat faham.”
(TB/GM-01:28)
“..terutamanya selepas kita habis topik pecahan. Kalau murid ada peranti, kita boleh bagi murid main kahoot kah, word-worms kah mcm tu sebab di situ wujud keseronokan murid.” (TB/GM-02:36)
“..banyak yang boleh kita terokai berkaitan dengan ICT dalam internet ni sebagai contoh kuiz-kuiz dalam talian seperti kahoot dan sebagainya. Power point juga boleh diaplikasi sebab semuanya semakin canggih.” (TB/GM-03:30)
“Bahan interaktif dalam pengajaran sangat perlu seperti penggunaaan video interaktif iaitu program yang boleh murid guna, taip, buat dan terus dapat ditunjukkan jawapan.” (TB/GM-05:36)
Penggunaan bahan konkrit sebagai BBM di sekolah juga memang menjadi pilihan guru matematik. Seorang guru telah melaksanakan pengajaran menggunakan kit pecahan. Ini dikatakan sesuai bagi tujuan penerangan konsep pecahan. Penyataan berkenaan perkara ini adalah seperti berikut:
“..sekolah ni memang ada kit untuk pecahan, pada permulaan tajuk memang perlu bahan bantu belajar ni untuk memahamkan murid tentang pecahan. Sebab bahan maujud ni sesuai untuk penerangan konsep.” (TB/GM-02:30)
5. Perbincangan
Perbincangan dapatan kajian ini mengupas tentang cabaran guru matematik dalam pengajaran topik pecahan sekolah rendah (sebelum pengajaran, semasa pembelajaran dan selepas pengajaran) dan kompetensi guru bagi pengajaran topik pecahan sekolah rendah.
Cabaran Guru Matematik Dalam Pengajaran Topik pecahan Sekolah Rendah
a) Sebelum Pengajaran
Berdasarkan hasil dapatan kajian yang diperoleh bahawa terdapat banyak kekangan yang wujud menyebabkan ia menjadi punca kepada kurangnya kesediaan murid dalam mengikuti pembelajaran topik pecahan sekolah rendah. Antaranya ialah murid memang tidak memahami kepada konsep pecahan, mereka tidak didedahkan secara langsung berkaitan dengan pecahan dalam kehidupan seharian mereka. Seterusnya adalah kebanyakan murid tidak menguasai fakta asas tambah dan tolak serta darab dan bahagi. Perkara sebegini memberi kesan yang ketara kepada murid dalam menyelesaikan mana-mana kemahiran pecahan yang akan dipelajari. Hal ini selari dengan kenyataan Hussain (2021) yang membuktikan bahawa murid akan menghadapi kesukaran dalam mempelajari pecahan jika tidak menguasai konsep asas pecahan dengan baik.
b) Semasa Pembelajaran
Proses pembelajaran berlangsung bermula dari guru masuk ke kelas sehinggalah pembelajaran selesai. Kefahaman dan penerimaan murid adalah bergantung kepada banyak faktor termasuklah tumpuan dan fokus murid ketika belajar, iklim pembelajaran, tahap kebolehan murid menerima isi pembelajaran serta penggunaan bahan bantu belajar bagi topik pecahan.
Memang wujud murid yang tidak memberi perhatian ketika guru mengajar, murid lebih suka membuat kerja sendiri dan bercakap dengan kawan ketika pembelajaran dilaksanakan. Ini disebabkan topik pecahan yang dipelajari adalah dianggap sukar oleh murid dan mereka tidak mampu untuk belajar pecahan. Kebanyakan guru menyuarakan perkara yang sama bahawa topik pecahan adalah antara topik pecahan yang sukar untuk murid-murid kuasai. Perkara ini selari dengan penyataan Qomalasari et al. (2021) yang menyatakan bahawa pecahan adalah antara subjek yang agak sukar.
Di dalam sebuah kelas terdapat bilangan murid yang mencapai bilangan sehingga 40 orang dengan keadaan tahap penguasaan murid yang pelbagai. Bilangan ini sebenarnya tidak sesuai untuk dikendalikan oleh seorang guru dengan mengajar kemahiran pecahan dalam tempoh masa satu jam. Tambahan pula tahap kebolehan murid yang pelbagai menyebabkan dalam tempoh yang sama guru terpaksa memberi fokus kepada tiga kategori murid ini (cemerlang, sederhana & pemulihan). Keadaan sebegini di sekolah menjadi cabaran semasa pembelajaran berlangsung dan ianya memberi impak kepada kebolehan murid menerima pembelajaran. Ini selari dengan kajian Jaafar dan Said (2019) yang menyatakan murid perlu diberi tumpuan walaupun dalam kepelbagaian murid bagi memberi impak kepada proses pembelajaran yang berlangsung.
c) Selepas Pengajaran
Di sekolah murid diberi sepenuhnya perhatian oleh guru dalam menguasai kemahiran topik pecahan. Tindakan guru dalam membantu murid menguasai kemahiran pecahan selepas sesi persekolahan adalah dengan menyediakan latihan tambahan untuk diselesaikan. Kebanyakan murid tidak menyiapkan tugasan yang diberikan dengan alasan tidak tahu buat dan lupa. Ini memberi cabaran kepada guru dalam menilai keberkesanan pembelajaran murid. Menurut Suarjana et al. (2018), murid seharusnya lebih banyak membuat latihan matematik dengan pelbagai masalah pecahan supaya dapat membiasakan diri menyelesaikan pelbagai bentuk soalan pecahan. Ini seterusnya dapat meningkatkan kebolehan menyelesaikan masalah matematik dalam operasi aritmetik pecahan.
Kompetensi Guru Matematik Dalam Pengajaran Topik Pecahan Sekolah Rendah
a) Pendekatan, Strategi dan Kaedah Pengajaran Matematik
Pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran seseorang guru matematik dalam pengajaran topik pecahan adalah sangat penting bagi memberikan impak pengajaran yang baik kepada murid.
Berdasarkan dapatan kajian antara strategi pengajaran bagi topik pecahan yang dipilih ialah penggunaan bahan bantu mengajar oleh guru. Kebanyakan guru dalam pengajaran topik pecahan memilih menggunakan kit pecahan yang sedia ada di sekolah, lembaran kerja pecahan yang disediakan sendiri oleh guru serta penggunaan teknologi sebagai bahan pengajaran pecahan. Ini selari dengan kajian Tangkui & Tan (2020) berkaitan dengan bahan bantu belajar dalam pecahan mampu memberi impak positif terhadap pencapaian murid dalam pecahan.
Penggunaan bahan ini sangat membantu murid dalam memahami kemahiran pecahan yang dipelajari dengan lebih jelas dan ianya mampu menarik minat murid. Keberkesanan pengajaran menggunakan bahan bantu belajar ini sependapat dengan Ismail & Mohd Matore (2021)
bahawa penggunaan bahan bantu belajar ini walaupun kecil dan ringkas mampu memberi impak kepada kemahiran pembelajaran pecahan murid.
Penggunaan bahan interaktif dan teknologi dalam pengajaran topik pecahan juga memberi kesan dan minat murid dalam mempelajari pecahan. Murid lebih mudah faham dengan visual dan penerangan yang ditunjukkan. Keberkesanan penggunaan teknologi dalam pengajaran pecahan ini selari dengan kenyataan Najib et al. (2018) bahawa kewujudan multimedia interaktif membantu murid di sekolah rendah belajar dengan mudah mengenai konsep pecahan matematik. Ini juga sependapat dengan Apriyasha et. al (2019) bahawa pemilihan media pembelajaran matematik berdasarkan media kit ini memberi faedah yang amat besar kepada murid supaya mereka lebih mudah memahami pengenalan konsep asas pecahan.
b) Pedagogi dan Kemahiran Guru Dalam Pengajaran Topik Pecahan Sekolah Rendah Pedagogi seorang guru matematik merupakan perkara utama yang perlu diambil perhatian dalam pengajaran topik pecahan. Dapatan menunjukkan kesemua guru matematik mempamerkan pedagogi pengajaran yang mantap serta berupaya memberi impak kepada pengetahuan kemahiran pecahan kepada murid semasa perlaksanaan pengajaran di dalam bilik darjah. Teknik pengajaran, kemahiran mengajar guru, kebolehan mengawal kelas serta pendekatan terhadap murid terbeza semuanya diberi perhatian ketika pembelajaran berlangsung. Hal ini sebenarnya selari dengan kenyataan Jalinus & Risfendra (2020) yang berpendapat penguasaan pedagogi merupakan merupakan kesedaran dari pendidik terhadap kepentingan kompetensi dalam pelaksanaan pembelajaran.
c) Penilaian Murid Dalam Proses Pembelajaran Matematik Topik Pecahan
Tindakan melaksanakan penilaian dan pentaksiran merupakan salah satu kompetensi yang perlu dimiliki oleh semua guru. Ia bertujuan memberi maklum balas terhadap setiap sesi pembelajaran yang telah dilaksanakan. Dapatan kajian telah menunjukkan kesemua guru matematik yang terlibat dalam kajian telah melaksanakan penilaian kepada semua murid.
Penilaian ini dilaksanakan semasa dan selepas sesi pembelajaran pecahan berlangsung. Antara kaedah penilaian dan pentaksiran yang digunakan ialah melalui penilaian lisan, latihan lembaran kerja, buku aktiviti murid dan ujian akhir sesi akademik. Hal ini membuktikan kesemua guru matematik mengambil serius berkenaan dengan keberkesanan pengajaran mereka. Dapatan keputusan penilaian dan pentaksiran ini akan dijadikan rujukan oleh guru untuk merancang aktiviti pembelajaran yang akan datang. Pentaksiran ini selari dengan pendapat Yuh & Kenayathulla (2020) bahawa dengan adanya maklumat dan data pembelajaran murid, guru berupaya untuk kekuatan dan kelemahan murid lalu melaksanakan merancang dan pengubahsuaian pengajaran.
6. Kesimpulan
Hari ini, guru perlu berusaha untuk membangunkan kompetensi diri serta kualiti kerja yang berupaya bagi menyedia dan merealisasikan hasrat masyarakat yang telah memberi keyakinan kepada warga sekolah dan organisasi dalam menyebarkan ilmu pengetahuan. Disiplin dan kompetensi guru dalam menjalankan tugas adalah sangat dituntut untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. Prestasi kerja guru yang cemerlang adalah sangat dituntut bagi mencapai kejayaan dalam dunia pendidikan. Secara umumnya, kualiti pendidikan yang cemerlang menjadi kayu ukur dalam menentukan keberhasilan bagi prestasi kerja yang ditunjukkan oleh golongan guru.
Tugas guru tidaklah terbatas kepada pengajaran semata-mata, ia sebenarnya lebih kepada mendidik murid termasuklah memastikan mereka bermotivasi dalam melakukan yang terbaik dalam pembelajaran di sekolah. Cabaran yang timbul dalam pengajaran matematik topik pecahan seharusnya diatasi dengan cara yang terbaik agar murid tidak terus tercicir dalam pembelajaran matematik. Pentaksiran dan penilaian yang berkualiti membekalkan maklumat prestasi yang berintegriti serta tahap pencapaian murid yang tepat. Selain itu, maklum balas yang diberikan oleh guru membantu murid dalam mengetahui kekangan serta kelemahan bagi penambahbaikan untuk meningkatkan pencapaian mereka. Tegasnya, kompentensi guru dalam pengajaran matematik topik pecahan adalah sangat penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti.
Rujukan
Adnan, M., Puteh, M., & Zakaria, E. (2017). Malaysian trainee teachers’ mathematical knowledge of fractions. Science International, 29(4), 953-957.
Apriyasha, F. A., Hidayat, T., & Anita, N. (2019). Pengembangan Media Kit Pembelajaran untuk Siswa Kelas III Sekolah Dasar terhadap Materi Pecahan Sederhana. Jurnal Kajian Pendidikan Matematika (JKPM), 4(2), 163-172.
Azid, N., Hasan, R., Nazarudin, N. F. M., & Md-Ali, R. (2020). Embracing Industrial Revolution 4.0: The Effect of Using Web 2.0 Tools on Primary Schools Students' Mathematics Achievement (Fraction). International Journal of Instruction, 13(3), 711- 728.
Bakar, N. F., & Alias, A. (2021). Pengetahuan dan Kemahiran Guru Mengenai Bahan Bantu Mengajar bagi Matematik Awal di Prasekolah [The Knowledge and Skills of Teachers about Teaching Aids for Early Mathematics at Preschool]. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences (e-ISSN: 2600-9080), 4(4), 124-132.
Boyatzis, R. E. (1982), The Competent Manager: A Model for Effective Performance, John Wiley & Sons, New York, NY
Bryant, D. P., Pfannenstiel, K. H., Bryant, B. R., Roberts, G., Fall, A. M., Nozari, M., & Lee, J. (2021). Improving the Mathematics Performance of Second-Grade Students with Mathematics Difficulties through an Early Numeracy Intervention. Behavior Modification, 45(1), 99-121.
Copur-Gencturk, Y. (2021). Teachers’ conceptual understanding of fraction operations: results from a national sample of elementary school teachers. Educational Studies in Mathematics, 107(3), 525-545.
Darusalam, G., & Hussin, S. (2018). Metodologi Penyelidikan dalam Pendidikan: Amalan dan Analisis Kajian Edisi Kedua. Penerbit Universiti Malaya.
Deringol, Y. (2019). Misconceptions of Primary School Students about the Subject of Fractions. International Journal of Evaluation and Research in Education, 8(1), 29-38.
Dirgantoro, K. P. S. (2018). Kompetensi guru matematika dalam mengembangkan kompetensi matematis siswa. Scholaria: Jurnal Pendidikan Dan Kebudayaan, 8(2), 157-166.
Hie, Y. H., Samsu, K. H. K., Adnan, Z. H., Awang, M. D., & Ab Halim, A. (2018). Peranan guru sebagai agen sosialisasi dalam membentuk perpaduan kaum di sekolah. Akademika 88(2): 95-108.
Huberman, A. M., & Miles, J. S. M. B. (2019). Qualitative data analysis: A methods sourcebook.
Husain, K. (2021). Keberkesanan Teknik Kfc Ke Atas Pencapaian Pelajar Dalam Topik Pecahan Separa. Jurnal Penyelidikan Dedikasi, 13, 72-95
Ismail, A. S., & Mohd Matore, M. E. E. (2020). i-Fractal: Inovasi Manipulatif Pengajaran Pecahan. In 7th International Conference on Islamic Education 2020 (ICIEd 2020) (p.
275).
Jaafar, H. H., & Said, M. H. M. (2019). Inovasi pengajaran untuk menarik minat pelajar menguasai ilmu tajwid. International Journal of Humanities Technology and Civilization, 1(6), 1689 - 1699.
Jalinus, N., & Risfendra, R. (2020). Analisis Kemampuan Pedagogi Guru SMK Yang Sedang Mengambil Pendidikan Profesi Guru Dengan Metode Deskriptif Kuantitatif Dan Metode Kualitatif. INVOTEK: Jurnal Inovasi Vokasional Dan Teknologi, 20(1), 37-44.
Jasmi, K. A. (2012). Metodologi Pengumpulan Data dalam Penyelidikan Kualitatitif in Kursus Penyelidikan Kualitatif Siri 1 2012
Kamaluddin, M. R., Kamarudin, N. N., Nor, S. N. M., Sathoo, K. D., Meyappan, S., & Ahmad, N. (2021). Penerokaan kefungsian keluarga dalam kalangan banduan muda lelaki Malaysia: Satu kajian kualitatif (Exploring familial function among Malaysian young male prisoners: A qualitative study). Geografia, 17(2).
Lembaga Peperiksaan Malaysia. (2017). Kupasan Mutu Jawapan Matematik UPSR 2016.
Majid, M. Z. A., Hussin, M., & Norman, M. H. (2020). Penilaian kepuasan perkhidmatan pendidikan berdasarkan bangsa di universiti awam Malaysia. Akademika 90(1): 99-111.
Makrufah, E. (2019). Peningkatan Hasil Belajar Matematika Materi Penjumlahan dan Pengurangan Pecahan dengan Menggunakan Strategi Pembelajaran Cooperative Type Numbered Head Together (NHT) Pada Siswa Kelas V MI PERWANIDA Kecamatan Argomulyo Kota Salatiga Tahun Pelajaran 2018/2019 (Doctoral dissertation, IAIN SALATIGA).
Mat, N. H. N., Salleh, H. S., Yusof, Y., Mohamed, W. N., & Noor, N. A. M. (2021). Panduan Penyelidikan Ilmiah: Kaedah dan Penulisan (UUM Press). UUM Press.
Mayasari, E., & Syarif, M. (2018). Strategi Kepala Sekolah dalam Meningkatkan Kompetensi Guru Terhadap Hasil Belajar Siswa di SMA Negeri 1 Peukan Bada Aceh Besar. Fitrah:
Jurnal Kajian Ilmu-Ilmu Keislaman, 4(1), 141-164.
Mohd Matore, M. E. E., Hisyamsani, I., Normawati, A. R., & Ahmad Zamri, K. (2017).
Kesahan kandungan pakar instrumen IKBAR bagi pengukuran AQ menggunakan nisbah kesahan kandungan. In International Conference on Global Education, pp. 979-997 Najib, M. B. A., Setyosari, P., & Soepriyanto, Y. (2018). Multimedia interaktif untuk belajar
penjumlahan dan pengurangan pecahan. JKTP: Jurnal Kajian Teknologi Pendidikan, 1(1), 29-34.
Nurudin, N. (2020, January). Pengaruh persepsi kompetensi guru dan persepsi komunikasi interpersonal guru terhadap prestasi belajar. In Prosiding Seminar Nasional Magister Psikologi Universitas Ahmad Dahlan (pp. 46-57).
Patton, M.Q. (2017). Qualitative Research & Evaluation Methods: Integrating Theory and Practice. BMC Public Health Edisi ke-4, Vol. 5. California: SAGE Publications.
Prast, E. J., Weijer-Bergsma, E. Van de, Kroesbergen, E.H. & Luit, J.E.H. Van. (2018).
Differentiated instruction in primary mathematics: effects of teacher professional development on student achievement. Learning and Instruction 54(April 2016): 22–34.
Putri, M. K., & Sudarto, Z. (2019). Studi Desktiptif Kompetensi Guru Dalam Proses Pembelajaran Anak Berkebutuhan Khusus. Jurnal Pendidikan Khusus, 12(3).
Qomalasari, E. N., Karlimah, K., & Respati, R. (2021). Analisis Kebutuhan Pengembangan E- Modul Materi Bilangan Pecahan di Sekolah Dasar. Eduktif: Jurnal Ilmu Pendidikan, 3(4), 1890-1900.
Rahim, A. A., & Mustafa, J. (2021). Pengaruh Sistem Pembelajaran Sepanjang Hayat terhadap Kompetensi Guru di Sekolah. Selangor Humaniora Review, 5(1), 50-73.
Rahman, A. A., Zulkifli, M. S., Hashimee, M., Wazir, A., & Sayed, M. (2019). Tahap kompetensi guru bahasa Arab di SABK DI Malaysia: Satu dimensi. e-BANGI, 16, 1-13.
Rosli, S., Mahmud, S. F., & Azni, M. E. (2022). Mengintegrasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) Dalam Membangunkan Modal Insan Bersepadu. Jurnal Dunia Pendidikan, 4(1), 86-103.
Saufi, M. (2019). Kompetensi Mahasiswa Sebagai Calon Guru Dalam Menghadapi Era 4.0. Lentera: Jurnal Ilmiah Kependidikan, 14(2), 108-113.
Schreiter, S., Vogel, M., Rehm, M., & Dörfler, T. (2021). Teachers ‘diagnostic judgment regarding the difficulty of fraction tasks: A reconstruction of perceived and processed task characteristics.
Suarjana, M., Parmiti, D. P., & Safitri, P. E. A. (2018). Analisis Kesulitan Siswa dalam Menyelesaikan Operasi Hitung Pecahan Siswa Sekolah Dasar. International Journal of Elementary Education, 2(2), 144-155.
Tangkui, R., & Tan, C. K. (2020). Pembelajaran Berasaskan Permainan Digital Menggunakan Minecraft: Peningkatan Pencapaian Murid dalam Pecahan? Digital Game-Based Learning Using Minecraft: Enhancement of Pupils’ Achievement in Fractions?. e-Jurnal Penyelidikan dan Inovasi, 75-90.
Tchoshanov, M., Cruz, M. D., Huereca, K., Shakirova, K., Shakirova, L., & Ibragimova, E. N.
(2017). Examination of lower secondary mathematics teachers’ content knowledge and its connection to students’ performance. International Journal of Science and Mathematics Education, 15(4), 683-702.
Tight, M. (2017). Understanding case study research: Small-scale research with meaning. (1st edition). London, Sage.
Vinkler, L. (2020). Alternative tools for motivating young primary school students when learning Maths. Journal of process management and new technologies, 8(4).
Wong Kiet Wah, Noriati A. Rashid & Boon Poon Ying. (2018). Asas Kepemimpinan dan Pembangunan Profesionalisme Guru. Selangor: Oxford Fajar.
Yuh, T. J., & Kenayathulla, H. B. (2020). Pentaksiran Bilik Darjah Dan Prestasi Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Di Hulu Langat, Selangor. JuPiDi: Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 7(3), 70-90.