Lincahnya Lidah Gamatkan Kem Sains Sosial 2014/2015
MEMORI TERCIPTA...Prof. Madya Dr Mus Chairil Samani (tengah) bergambar bersama-sama Pelajar Tahun Satu sesi 2014/2015 selepas berjaya menamatkan minggu orientasi Kem Sains Sosial.
Aktiviti lincahnya lidah berjaya menggamatkan Kem Sains Sosial (SSC) 2014 yang disertai oleh 406 pelajar baharu Tahun Satu sesi 2014/2015. Dewan Delima, DeTAR PUTRA, UNIMAS telah menjadi lokasi selama tiga hari bermula pada 12 sehingga 14 September 2014.
Menurut Ai Mizokami siswi dari negara matahari terbit, aktiviti lincahnya lidah itu berbeza dari negara kelahirannya kerana di sana rakyatnya hanya berdebat berkaitan dengan perkara positif tetapi di sini sebaliknya.
“ Dalam banyak-banyak aktivi diadakan, lincahnya lidah merupakan aktiviti yang paling menyeronokkan kerana ini kali pertama saya melihat debat Bahasa Melayu diadakan walaupun saya tidak faham apa yang mahasiswa sedang utarakan,” ujar pelajar antarabangsa itu lagi.
Presiden Persatuan Sains Sosial sesi 2014/2015 merangkap pengarah program SSC 2014, Siti NurFatimah Abd Jabar berkata, selain daripada aktiviti lincahnya lidah tersebut, terdapat pelbagai aktiviti yang berlangsung sepanjang tiga hari seperti ‘identiti kami’, academic writing, perkongsian ilmu, pertahankan hak anda, motivasi pelajar, forum mahasiswa bersama Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan banyak lagi.
“Objektif sebenar aktiviti-aktiviti seperti ini diadakan adalah untuk memberi ruang kepada pelajar baharu berkongsi pengalaman, kemusykilan dan masalah sama ada dengan fakulti ataupun bidang yang dipelajari oleh mereka serta dapat membentuk peribadi mahasiswa yang lebih progresif dan berintelektual,” ujar beliau lagi.
Penutupan SSC 2014 telah disempurnakan dengan jayanya oleh Timbalan Dekan Prasiswazah dan Pemajuan Pelajar, Prof. Madya Dr Mus Chairil Samani. Turut hadir bersama-sama Ketua Jabatan Komunikasi, Pn. Malia Taibi.