485
Memperkasakan Agenda Pengantarabangsaan Pengajian Tinggi Melalui Platform Program Pelajar: Pengalaman dari FEM
International Mobility Student 2022 (FIMS 2022)
*1Junaidah Abu Seman,2 ’Ainun Syafiqah Shaharuddin, 3Ummul Nadiah Pambi
1.2,3Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
*Emel: [email protected]
ABSTRAK
Agenda pengantarabangsaan di peringkat pengajian tinggi merupakan salah satu peranan dan strategi yang penting untuk memberi nilai tambah dalam aspek penyebaran ilmu dan meluaskan impak kepada komuniti di peringkat nasional dan juga global. Di Malaysia, aspirasi pengantarabangsaan ini secara khusus termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Aspek kajian dan perbincangan mengenai agenda pengantarabangsaan ini lebih banyak tertumpu kepada aspek polisi dan strategi. Namun, kajian tentang keterlibatan pelajar dalam merealisasikan agenda ini didapati masih kurang. Justeru, artikel ini bertujuan mengetengahkan contoh aktiviti program pengantarabangsaan anjuran pelajar dan mengenalpasti impak program ini dalam mencapai aspirasi agenda pengantarabangsaan. Dengan menggunakan pendekatan kajian kes, artikel ini meneliti program FEM International Mobility Student 2022 (FIMS 2022) yang dianjurkan oleh Sekretariat Mahasiswa/Mahasiswi Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM (SekreFEM). Dapatan menunjukkan bahawa melalui penganjuran program ini, para pelajar memperolehi nilai tambah dalam aspek kognitif dan kemahiran insaniah di samping dapat merealisasikan objektif knowledge transfer di kalangan para peserta dari tujuh buah negara yang menyertai program tersebut. Secara umumnya, aspirasi pengantarangsaan ini dapat direalisasikan oleh pelbagai pihak terutamanya oleh para pelajar sendiri di mana impak dan aspek penghayatan oleh pelajar adalah lebih mendalam dan menyeluruh.
Kata Kunci: Pengantarabangsaan; pengajian tinggi; program pelajar; SekreFEM; FIMS 2022
1. PENDAHULUAN
Agenda pengantarabangsaan pada peringkat pengajian tinggi merupakan elemen signifikan dalam memberi nilai tambah dalam aspek penyebaran ilmu dan meluaskan impak kepada komuniti pada peringkat nasional dan juga global. Konsep pengantarabangsaan sebagai dasar strategik dianggap sebagai luas dan pelbagai kerana ia memerlukan aspek integrasi yang bersifat progresif dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, prinsip akademik dan pemegang taruh. Pengantarabangsaan ditakrifkan sebagai pembangunan bersepadu di antara aspek internasional, antara budaya (intercultural), atau globalisasi ke dalam aspirasi, objektif, atau transmisi sesebuah pendidikan tertiari (Knight, 2003) melalui pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan (Knight & De Wit, 1997, The International
486 Association of Universities, 2003).
Aspirasi pengantarabangsaan ini dapat mengukuhkan kualiti pendidikan dan penyelidikan bukan sahaja kepada organsasi, tetapi juga kepada pelajar khususnya untuk kemaslahatan masyarakat (De Wit et al., 2015). Globalisasi dalam bidang pendidikan dapat dilihat dengan usaha bersepadu oleh institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh dunia untuk menjana pelan tindakan bagi memula dan mempergiatkan kerjasama antarabangsa. Dimensi pengantarabangsaan ini dilihat penting perlaksanaannnya bukan sahaja di peringkat kerajaan, instisusi pengajian tinggi dan agensi akreditasi, tetapi juga di peringkat organisasi pelajar (De Wit, 2011). Landskap pendidikan tinggi di dunia telah melalui lonjakan yang sangat besar, terutamanya disebabkan oleh revolusi perindustrian. Pendidikan telah beralih daripada nasional kepada global, daripada berpusatkan guru kepada berpusatkan pelajar, daripada pendidikan berfokus kepada pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat (Azman
& Abd. Aziz, 2006). Perubahan ini menyebabkan perlunya anjakan dalam pendidikan yang membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, iaitu untuk dikenali di peringkat antarabangsa.
Malaysia seperti negara membangun yang lain sedang berusaha untuk membawa sistem pendidikan tingginya ke tahap yang lebih tinggi, di mana pengantarabangsaan merupakan salah satu daripada tujuh teras utama Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (NHESP) 2020 (Aziz & Abdullah, 2014). Dasar Pengantarabangsaan dalam pelan ini memberi tumpuan kepada enam strategi teras iaitu mobiliti pelajar, mobiliti kakitangan, program akademik, penyelidikan dan pembangunan, tadbir urus dan autonomi termasuk integrasi sosial dan penglibatan budaya (MOHE, 2011).
Aliran semasa pendidikan global menjadikan keperluan IPT untuk meningkatkan pendedahan global pelajar, menerapkan intipati pengantarabangsaan dan meningkatkan keterlibatan mereka di peringkat antarabangsa. Program antarabangsa seperti aktiviti mobiliti pelajar menjadi salah satu inisiatif yang sama penting dalam memastikan keberkesanan pengantarabangsaan. Walau bagaimanapun, kajian mengenai impak program mobiliti anjuran pelajar masih didapati kurang. Justeru, artikel ini meneliti program FEM International Mobility Student 2022 (FIMS22) yang dianjurkan oleh Sekretariat Pelajar, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM bagi melihat impak program ini dalam mencapai aspirasi agenda pengantarabangsaan.
Artikel ini selanjutnya disusun seperti berikut. Bahagian seterusnya menyediakan kajian literatur dalam kontek agenda pengantarabangsaan. Bahagian 3 memperincikan kajian kes dengan menyediakan latar belakang program dan perbincangan mengenai impak dan cabaran manakala bahagian akhir menyimpulkan kertas kerja ini.
487 2. KAJIAN LITERATUR
Latar Belakang Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi
Peningkatan globalisasi telah membawa kepada perubahan ketara dalam pendidikan tinggi dan salah satu cara utama peralihan ini berlaku adalah melalui pengantarabangsaan.
Pengantarabangsaan telah menjadi konsep dan agenda strategik, yang didorong oleh
"rasional dan pihak berkepentingan politik, ekonomi, sosiobudaya, dan akademik" (De Wit &
Altbach, 2021). Program pengantarabangsaan pendidikan tinggi mula diperkenalkan pada awal 2000-an (De Wit, 2020). Sejak daripada itu, program-program ini telah berkembang dari semasa ke semasa dengan menerima pakai pelbagai fokus dan objektif (De Wit, 2020). Asas utama program pengantarabangsaan dalam pendidikan tinggi ini ialah kebolehupayaan program ini diteruskan walaupun berlaku sebarang bencana atau kejadian bencana yang mungkin timbul (Amaratunga, Liyanage & Haigh, 2018).
Pengantarabangsaan pendidikan tinggi terdiri daripada dua bahagian yang berbeza seperti pengantarabangsaan di rumah (iaitu berkaitan dengan aspek antara budaya dan antarabangsa dalam proses pengajaran atau pembelajaran, kurikulum dan penyelidikan, yang terdiri daripada aktiviti yang boleh membantu pelajar membina kemahiran antara budaya dan pemahaman antarabangsa tanpa meninggalkan kampus) dan pengantarabangsaan pendidikan secara rentas sempadan (iaitu berkaitan dengan aktiviti untuk tujuan pendidikan di luar negara) (Knight, 2003; Naidoo, 2006; Ashcroft et al., 2007; Daquila, 2013). Terdapat pelbagai jenis pendidikan rentas sempadan seperti mobiliti pelajar, mobiliti program, dan mobiliti institusi (Mustapha et al., 2006).
Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi: Strategi, Isu dan Cabaran
Agenda pengantarabangsaan di peringkat pengajian tinggi mampu dilaksanakan dengan jayanya melalui pelbagai strategi. Dengan memfokuskan kepada perbandingan institusi United Kingdom dalam memahami strategi pengantarabangsaan, Warwick dan Moogan (2013) mencadangkan prasyarat untuk strategi pengantarabangsaan universiti yang berjaya.
Cadangan tersebut ialah universiti harus mempunyai:
i. pendekatan akademik yang tersusun akademik serta pengurusan yang strategik untuk mengekalkan fleksibiliti dalam semua keadaan yang mengambil kira persekitaran luaran;
488 ii. hubungan rapat antara keupayaan sumber organisasi dan persekitaran luarannya,
melalui pembangunan organisasi yang berterusan;
iii. mempunyai halatuju komprehensif yang jelas tentang bagaimana strategi pengantarabangsaan akan digunakan dan disokong dalam organisasi;
iv. saluran komunikasi dua hala yang mencukupi sesama kakitangan;
v. aspek pembangunan kakitangan untuk menyokong peluang pengantarabangsaan; dan vi. komitmen dan sokongan berterusan untuk pengantarabangsaan dan nilai asasnya
daripada pihak atasan organisasi serta peranan ahli akademik dalam organisasi, prosedur semakan dalam sistem pemantauan dan semakan semula strategi.
Selain itu, Cantu (2013) menyatakan bahawa terdapat tiga strategi pengantarabangsaan iaitu:
i. mempromosikan program pengajian di luar negara, seperti program outbound dan program intership berasaskan impak terhadap penglibatan global;
ii. pelajar antarabangsa, seperti merekrut pelajar yang berkualiti melalui pengurangan yuran atau penawaran biasiswa; dan
iii. mengantarabangsakan fakulti dengan mengantarabangsakan kurikulum agar sesuai dengan permintaan global.
Antara lain, agenda pengantarabangsaan ini boleh dilaksanakan dengan penganjuran program sesi musim panas untuk pelajar domestik dan antarabangsa (Maddox, 2016).
Program ini mampu membina perkongsian bersifat global dan mengeratkan hubungan fakulti yang telah lama terjalin. Pendekatan perkongsian yang dilakukan mesti bersifat mutualisme bagi membolehkan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan kesediaan di antara perbezaan budaya dan persekitaran.
Aspek penggubalan dasar juga dilihat penting dalam strategi pengantarabangsaan.
Menurut Gao (2015), kecemerlangan akademik dapat memacu agenda pengantarabangsa universiti. Penggubal dasar mesti mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam aspek penyelidikan dan pengajaran dengan merekrut calon yang berkebolehan dalam penyelidikan dari luar negara, mengintegarsikan elemen pengantarabangsaan ke dalam kurikulum, dan merekrut pelajar antarabangsa dengan mengurangkan yuran pengajian atau menawarkan biasiswa universiti.
Duong & Chua (2016) pula melihat strategi pengantarabangsaan secara lebih teknikal iaitu keperluan institusi untuk mengajar menggunakan medium bahasa Inggeris. Penggunaan
489 bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dapat menyokong pertumbuhan profesional pengajar. Selain itu, bahasa Inggeris dilihat akan menjadi elemen penting dalam kurikulum antarabangsa bagi tujuan pengiktirafan atau akreditasi antarabangsa serta akan menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran untuk pensyarah dan pelajar.
Perlaksanaan agenda pengantarabangsaan ini tidak sunyi dari sebarang isu. Jiang &
Carpenter (2013) menjelaskan bahawa terdapat permasalahan seperti sumber peruntukan yang merujuk kepada kewangan dan sumber manusia dalam pelaksanaan strategi;
komunikasi yang merupakan isu penting di kebanyakan peringkat universiti; dan proses operasi sebagai salah satu isu yang paling kritikal. Sebagai contoh, cabaran penting bagi ahli akademik ialah kerja yang berlebihan kerana mereka menghuraikan bahawa pengantarabangsaan bercanggah dengan pengajaran mereka di universiti tempatan. Selain itu, aspek kerjasama dan penyelarasan adalah prinsip utama untuk mencapai tahap pematuhan yang tinggi dalam sesebuah organisasi dalam mencapai matlamat pengantarabangsaan. Budaya organisasi dan penentangan terhadap perubahan juga menjadikan aktiviti dan tugas mempromosikan pengantarabangsaan berat. Tambahan lagi, sokongan pelajar kepada isu bantuan pelajar, memberi tumpuan kepada bahasa Inggeris, perjanjian pelajar serta pengangkutan dan penginapan juga menjadi faktor kepada keberkesanan aktiviti pengaktabangsaan.
Isu dan cabaran tersebut membuka ruang kepada institusi pengajian tinggi untuk mendepaninya. Antaranya, Lilley et al. (2017) berpendapat bahawa universiti mesti melengkapkan pelajar dengan kemahiran kognitif yang beretika dan kritikal untuk menjadi warga yang bersifat global dan ideal.
3. METODOLOGI KAJIAN
Dalam penyelidikan, reka bentuk kajian boleh melibatkan kepada dua kaedah utama, iaitu eksperimental dan bukan eksperimental. Secara amnya, kajian eksperimental dan bukan eksperimental boleh dikaitkan dengan penyelidikan kualitatif atau kuantitatif, di mana tujuan untuk menjalankan kajian adalah berbeza mengikut kaedah yang ditentukan (Hua, 2016).
Kajian bukan eksperimental secara khususnya boleh dirujuk sebagai kajian hubungan antara variabel bebas dan variabel bersandar tanpa melakukan sebarang perubahan terhadap variabel bebas, di mana variabel bebas ini wujud secara semulajadi (Chua, 2011). Kajian ini juga melibatkan kepada pengagihan secara rawak ke dalam kumpulan-kumpulan, seperti yang
490 terdapat dalam kajian eksperimental. Kajian bukan eksperimental boleh dibahagikan kepada kajian tinjauan, kajian lapangan, kajian kes, kajian tindakan, dan kajian sejarah (Chua, 2011).
Kajian ini khususnya menggunakan kaedah kajian kes daripada program anjuran pelajar di USIM iaitu FEM International Mobility Student (FIMS) yang dianjurkan oleh Sekretariat Mahasiswa/Mahasiswi Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM (SekreFEM), untuk melihat aspek pengantarangsaan yang diketengahkan dalam aktiviti penganjuran pelajar serta menganalisis impak dan cabaran yang dihadapi.
4. KAJIAN KES: FEM INTERNATIONAL MOBILITY STUDENT 2022 (FIMS 2022)
Latar Belakang Program
Program FEM International Mobility Student (FIMS) merupakan satu aktiviti kolaborasi antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan universiti Islam luar negara serta universiti awam di Malaysia yang lain. Program ini merupakan anjuran Sekretariat Mahasiswa/Mahasiswi Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM (SekreFEM) dan sudah dijalankan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2021 dan 2022.
FIMS merupakan salah satu inisiatif daripada badan pelajar untuk membuka ruang kepada pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat untuk menyertai atau menambah pengalaman dalam aktiviti antarabangsa. Berikutan daripada pandemik Covid-19 yang menghadkan aktiviti antarabangsa daripada dijalankan, SekreFEM telah merangka program ini atas talian yang melibatkan beberapa universiti awam di Malaysia serta universiti luar negara iaitu Indonesia, Brunei, Turki, Afrika, Nigeria dan Somalia.
Secara umumnya, objektif program ini adalah untuk mencungkil bakat pelajar dan memajukan diri dalam bidang pelaburan, dan meningkatkan pengetahuan yang berguna berkaitan dengan kursus pengajian pelajar secara khususnya. Program ini juga adalah saranan daripada Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), USIM untuk berkolaborasi dengan universiti lain dalam melaksanakan pelbagai program bersama. Selain itu, ia dapat meningkatkan kemahiran pelajar untuk mengumpul pengalaman dalam menguruskan program dengan negara luar. Ia juga dapat membentuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar serta melatih mereka dalam mengendalikan program bertaraf antarabangsa. FIMS juga boleh dijadikan rujukan dan contoh kepada pelajar lain dalam menganjurkan aktiviti seperti ini pada masa hadapan serta membuka minda pelajar supaya tidak hanya tertumpu kepada aktiviti akademik sahaja malah mereka juga boleh membuat pilihan untuk terlibat dalam aktiviti
491 di luar waktu pembelajaran.
FIMS pada tahun 2022 bertemakan “Pembangunan Pasaran Modal yang Mampan dalam Perspektif Islam dan Konvensional”, di mana tema ini akan diaplikasikan dalam setiap aktiviti di dalam program yang akan mengupas isu pelaburan dalam Islam. Program ini dijalankan secara dalam talian merangkumi siri kuliah umum, muzakarah muamalat Islam, pertandingan mencipta produk atau aplikasi kewangan Islam menggunakan kontrak patuh shariah, lawatan Universiti Sains Islam Malaysia secara maya dan lawatan bandar Malaysia secara maya. Seterusnya, pihak USIM khususnya Fakulti Ekonomi dan Muamalat juga berharap agar dapat sekaligus meneruskan lagi hubungan di antara universiti dalam mengadakan pelbagai aktiviti dan program bersama pada masa hadapan.
Aktiviti Program
FEM International Mobility Student 2022 (FIMS 2022) dijalankan selama 3 hari iaitu 8-10 Ogos 2022 menggunakan aplikasi Zoom. Program ini telah disertai oleh pelajar seramai 130 orang iaitu 117 pelajar tempatan dan 13 pelajar luar negara daripada 14 buah institusi Pendidikan dari tujuh buah negara. Jadual 1 menunjukkan pecahan peserta mengikut institusi. Para pelajar ini terdiri daripada pelbagai latar belakang berjaya mendaftar dan menyertai FIMS22.
Jadual 1: Peserta FEM International Mobility Student 2022 (FIMS 2022) mengikut institusi
Negara Nama Institusi Bilangan
peserta
Malaysia
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 106
Universiti Teknologi Mara (UITM) 4
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 4 International Centre of Educatiion in Islamic Finance (INCEIF) 1
Universiti Melaka (UniMel) 1
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 1
Indonesia
Universiti Islam Malang 4
Universitas Gajah Mada 1
Universiti Darussalam Gontor (UNIDA GONTOR) 2
Brunei Universiti Islam Sultan Sharif Ali 2
Turki Karabuk University 1
Africa University of The Gambia 1
Nigeria Kano State Polytechnic 1
492
Negara Nama Institusi Bilangan
peserta
Somalia Benadir University 1
Program ini terdiri daripada tiga aktiviti utama iaitu empat siri kuliah atas talian (webinar), muzakarah muamalat Islam dan pertandingan inovasi (mencipta produk atau aplikasi kewangan Islam). Maklumat lanjut aktiviti-aktiviti tersebut adalah seperti berikut.
Siri Kuliah Atas Talian (Webinar)
Empat siri webinar telah dijalankan selama 2 hari iaitu pada 8 dan 9 Ogos 2022 menggunakan aplikasi Zoom. Siri kuliah ini dibentangkan oleh panel yang berpengalaman dalam bidang pasaran modal. Berikut merupakan slot bagi webinar tersebut.
i. Slot 1: “An Overview and Regulations of Islamic Capital Market”
Slot pertama dijalankan setelah selesai majlis perasmian FIMS 2022 dan dibentangkan oleh Dr Junaidah Abu Seman yang merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM. Slot ini bertumpu kepada penjelasan secara ringkas berkenaan apa itu pasaran modal oleh kerana sasaran peserta bukan sahaja daripada pelajar yang mempunyai latar belakang ekonomi dan perniagaan sahaja. Figur 1 menunjukkan aktiviti Slot 1 yang berlangsung.
Figur 1: Slot 1: “An Overview and Regulations of Islamic Capital Market”
493 ii. Slot 2: “Sustainable Development of Islamic Capital Market Globally”
Slot kedua siri webinar ini pula menjelaskan berkenaan pembangunan mampan pasaran modal Islam di seluruh dunia. Panel yang dijemput ialah Dr Agus Widarjono iaitu Ketua Bahagian di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi di Universitas Islam Indonesia (UII) dan Encik Irwan Abdalloh yang merupakan Ketua Jabatan Pasaran Modal Islam di Indonesia Stock Exchange. Melalui slot ini, peserta dapat mempelajari dengan lebih memdalam tentang perbezaan pasaran modal Islam lebih-lebih lagi di antara pasaran modal Malaysia dan Indonesia. Figur 2 menunjukkan aktiviti Slot 2 yang berlangsung.
Figur 2: Slot 2: “Sustainable Development of Islamic Capital Market Globally”
iii. Slot 3: “Digital Asset, Future of Investment Landscape”
Panel yang dijemput untuk slot ketiga ini merupakan Encik Rashdan Ibrahim, Pengarah Eksekutif bagi iP2P Global Ltd, iaitu syarikat pembiayaan menggunakan konsep “peer-2-peer”.
Slot ini membuka minda peserta dalam memahami kedudukan aset digital dalam industri pelaburan di masa hadapan. Figur 3 menunjukkan aktiviti Slot 3 yang berlangsung.
494 Figur 3: Slot 3: “Digital Asset, Future of Investment Landscape”
iv. Slot 4: “Islamic Capital Market Career Path”
Slot terakhir bagi siri webinar ini dibentangkan oleh Cik Sarimah Ramthandin, Pengarah Inovasi dan Penglibatan Industri bagi Securities Industry Development Corporation (SIDC), Malaysia. Slot ini memberi peluang kepada peserta untuk mengenali SIDC dengan lebih mendalam serta dapat mendalami prospek pekerjaan yang ditawarkan dalam bidang pasaran modal lebih-lebih lagi kepada graduan yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang ekonomi. Figur 4 menunjukkan aktiviti Slot 4 yang telah berlangsung.
Figur 4: Slot 4: “Islamic Capital Market Career Path”
Muzakarah Muamalat Islam
Selain daripada siri webinar yang mengkhusus kepada peserta yang berdaftar di bawah program FIMS, SekreFEM juga menjalinkan kerjasama dengan Sekretariat Pusat Islam (SPI), USIM dalam menjalankan program Muzakarah Muamalat Islam yang terbuka kepada orang awam. Muzakarah ini dijalankan melalui platform Facebook Live ini membawakan topik yang
495 menarik dan menjadi isu terkini dalam bidang pelaburan kewangan.
Muzakarah Muamalat Islam FIMS22 membawa tajuk “Tawarruq; Practices and Appraisal”, untuk mengupas isu-isu yang berkaitan dengan kontrak tawarruq yang menjadi kebingungan umum pada masa kini. Muzakarah ini dibincangkan oleh Dr Abdullaah Jalil yang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM. Program yang menjadi tatapan umum ini boleh memperkenalkan program anjuran pelajar kepada orang luar. Figur 5 menunjukkan program muzakarah yang telah berlangsung.
Figur 5: Muzakarah Muamalat Islam
Pertandingan Mencipta Produk atau Aplikasi Kewangan Islam
Produk atau aplikasi terkini banyak diciptakan seiring dengan perkembangan tekonologi semasa. Oleh sebab itu, pertandingan mencipta produk aplikasi kewangan Islam dijalankan untuk mencungkil idea dan bakat dari para pelajar dan seterusnya dapat membangunkan industri ekonomi dengan lebih mampan. Seiring dengan tema FIMS22, pertandingan pada kali ini mensasarkan peserta untuk membentangkan idea mereka sama ada berkaitan produk kewangan Islam, pelaburan, pembiayaan umum atau apa sahaja teknologi kewangan yang terkini.
Penganjur program telah mendirikan kumpulan berdasarkan peserta yang berdaftar dan setiap kumpulan perlu menghantar kertas kerja yang mengandungi idea-idea berkenaan inovasi produk dan aplikasi. Kumpulan yang diwujudkan terdiri daripada pelajar berlainan universiti untuk memupuk kemahiran komunikasi yang tinggi antara peserta serta mereka dapat bertukar pendapat dan pengalaman sepanjang usaha menyelesaikan pertandingan ini.
Sesi pembentangan oleh kumpulan telah dijalankan pada 10 Ogos 2022 di mana terdapat 2
496 kumpulan yang berjaya ke pusingan akhir. Kumpulan tersebut membentangkan hasil idea mereka iaitu aplikasi WeCare, aplikasi untuk kemudahan orang kurang upaya serta aplikasi Zakatech, iaitu produk inovasi berkenaan zakat.
Pemenang pertandingan ini telah ditentukan oleh hakim pertandingan yang dijemput dari kalangan ahli akademik. Hakim yang dijemput ialah Dr Junaidah binti Abu Seman yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM, Encik Fajar Surya Ari Anggara yang merupakan Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UNIDA Gontor dan Encik Adam bin Abdul Aziz iaitu Ketua Jabatan Pasaran Modal dan Korporat, Bank Islam Malaysia Berhad. Namun tujuan utama pertandingan ini bukan semata-mata untuk melahirkan sifat kompetitif dengan menawarkan wang ringgit sebagai ganjaran tetapi lebih kepada perkongsian pendapat dan pengalaman sesama peserta. Figur 6 menunjukkan sesi pembentangan dua buah kumpulan yang mara ke peringkat akhir manakala Figur 7 menunjukkan pemenang-pemenag bagi pertandingan ini.
Figur 6: Sesi pembentangan dua buah kumpulan yang mara ke peringkat akhir pertandingan mencipta produk atau aplikasi kewangan Islam, FIMS 2022
497 Figur 7: Pemenang- pemenang pertandingan mencipta produk atau aplikasi
kewangan Islam, FIMS 2022
Lawatan USIM secara Maya
Program FIMS 2022 ini dimulakan dengan majlis perasmian oleh Dekan FEM, USIM iaitu Prof.
Madya Dr. Zurina binti Kefeli@Zulkefli. Seterusnya program diteruskan dengan lawatan maya ke USIM dengan mempamerkan video korporat USIM. Slot ini bertujuan untuk memperkenalkan USIM yang merupakan penganjur program ini secara keseluruhannya.
Lawatan maya ke FEM juga diadakan dengan mempamerkan video bangunan FEM. Lawatan ini bertindak sebagai pengenalan USIM kepada peserta dalam dan luar negara. Majlis perasmian ini bertumpu untuk menarik minat pihak luar dalam membina rangkaian bersama pelajar USIM terutama sekali Sekretariat Fakulti Ekonomi dan Muamalat. Figur 8 menunjukkan aktiviti program yang berlangsung.
Figur 8: Majlis Perasmian FIMS 2022 dan lawatan USIM secara maya
498 Impak dan Cabaran
Program kolaborasi antarabangsa antara pelajar ini sewajarnya dititik beratkan di peringkat IPT untuk memupuk para pelajar dalam membina rangkaian dengan dunia luar sekaligus dapat menjalankan aktiviti yang bertaraf antarabangsa. Melalui program FIMS 2022, ramai peserta dapat didedahkan dengan perkongsian ilmu melalui siri webinar dan pertandingan yang mampu membuat mereka lebih cakna dengan isu perbandingan pasaran modal Islam dan konvensional. Selain itu, program ini juga dapat mengisi kekosongan di atas keterhadan pelajar yang tidak boleh bergerak ke luar negara untuk mencari pengalaman.
Namun begitu, antara cabaran yang dihadapi apabila program ini berjalan secara atas talian adalah kekurangan jumlah peserta yang menyertai sesi atas talian berbanding jumlah pendaftaran. Antara sebab yang menjadi punca terjadi adalah peserta yang mendaftar tidak komited terhadap program yang tidak mengenakan sebarang yuran. FIMS22 adalah program yang dianjurkan secara percuma menyebabkan segelintir peserta berkemungkinan mengambil ringan soal program ini.
Selain itu, perbezaan masa antara penganjur dan beberapa peserta luar negara juga menjadi kebimbangan semasa program. Peserta FIMS 2022 terdiri daripada tujuh buah negara. Kepelbagaian latar belakang universiti dan lokasi setiap peserta menyukarkan penyertaan penuh daipada peserta atas faktor berlainan zon waktu. Akan tetapi masih ramai yang menyertai setiap sesi yang dijalankan walaupun penyertaan tidak penuh. Cabaran ini boleh ditangani dengan penjadualan waktu webinar atau sesi pertandingan mengikut keselesaan waktu yang paling sesuai oleh setiap peserta lebih-lebih lagi peserta luar negara.
4. KESIMPULAN
Agenda pengantarabangssan ini perlu disokong dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang berkaitan di pengajian tinggi khususnya para pelajar. Penganjuran program yang bersifat antarabangsa mampu memperkasakan pelajar dalam pelbagai aspek. Program kolaborasi pelajar iaitu FEM International Mobility Student (FIMS) hanya dapat dijalankan secara atas talian buat masa kini. Terdapat banyak kelebihan yang boleh diserap kepada para pelajar melalui program seperti ini sama ada atas talian atau lawatan ke salah satu universiti yang mahu menjalinkan kerjasama. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan dengan perincian isu yang lebih menarik serta mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Program FIMS boleh diperkembangkan lagi pada masa akan datang dengan kerjasama pihak yang
499 berkenaan dan boleh ditukar kepada program pertukaran pelajar secara bersemuka. Program yang dianjurkan oleh pelajar seperti ini sudah semestinya akan memberi faedah yang berpanjangan kepada pelajar yang lain. Keberkesanan program pengantarabangsaan yang dilaksanakan sendiri oleh para pelajar ini dilihat dapat memberi ilmu, pendedahan, pengalaman, kemahiran, nilai tambah dan penghayatan yang lebih mendalam kepada para pelajar.
RUJUKAN
Amaratunga, D., Liyanage, C., & Haigh, R. (2018). A study into the role of international collaborations in higher education to enhance research capacity for disaster resilience.
Procedia Engineering, 212(1), 1233-1240. https://doi.org/10.1016/j.proeng.2018.01.159 Ashcroft, L., Abdullahi, I., Kajberg, L. and Virkus, S. (2007) ‘Internationalization of LIS
education in Europe and North America’, New Library World, 108(1/2), 7–24.
Azman, N. & Abd. Aziz, Y.F. (2006). Internationalisation of Malaysian universities: a case study of the National University of Malaysia. Asian Journal of University Education (AJUE), 2(2), 1-24.
Aziz, M.I.A. & Abdullah, D. (2014). Finding the next “wave” in internationalisation of higher education: focus on Malaysia. Asia Pacific Education Review, 15, 493–502.
Cantu, M. P. (2013). Three Effective Strategies of Internationalization in American Universities.
Journal of International Education and Leadership, 3(3), 1–12. Retrieved from https://files.eric.ed.gov/fulltext/EJ1136025.pdf
Chua, Y.P. (2011). Kaedah dan statistic penyelidikan: kaedah penyelidikan. Mcgraw-Hill Education.
Daquila, T.C. (2013) ‘Internationalizing higher education in Singapore government policies and the NUS experience’, Journal of Studies in International Education, 17(5), 629–647.
De Wit, H. (2011). Globalisation and Internationalisation of Higher Education -Introduction to online monograph. Revista de Universidad y Sociedad del Conocimiento (RUSC).
Vol. 8(2), 241–248. UOC. [Accessed: 15/09/22].
http://rusc.uoc.edu/ojs/index.php/rusc/article/view/v8n2-dewit/v8n2-dewit-eng ISSN 1698-580 X.
De Wit, H. (2020). Internationalization of higher education: The need for a more ethical and qualitative approach. Journal of International Students, 10(1), i-iv.
https://doi.org/10.32674/ijs.v10i1.1893
De Wit, H., & Altbach, P. (2021). Internationalization in higher education: Global trends and recommendations for its future. Policy Reviews in Higher Education, 5(1), 28-46.
https://doi.org/10.1080/23322969.2020.1820898
De Wit, H., Hunter, F., Howard, L., & Egron-Polak, E. (2015). Internationalisation of higher education (Study). Brussels, Belgium: European Union.
Duong, V. A., & Chua, C. S. K. (2016). English as a symbol of internationalization in higher education: a case study of Vietnam. Higher Education Research and Development, 35(4), 669–683. https://doi.org/10.1080/07294360.2015.1137876
Gao, Y. (2015). Constructing internationalisation in flagship universities from the policy- maker’s perspective. Higher Education, 70(3), 359–373. https://doi.org/10.1007/s10734- 014-9834-x
Hua, A.K. (2016). Pengenalan Rangkakerja Metodologi dalam Kajian Penyelidikan: Satu
500 Kajian
Literatur. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 1(2), 17 - 24.
Jiang, N. & Carpenter, V. (2013). A case study of issues of strategy implementation in internationalization of higher education. International Journal of Educational Management, 27(1), 4–18.
Knight, J. (2003). Updating the definition of internationalization. International Higher Education, 33, 2–3.
Knight, J. & de Wit (1997). Internationalisation of higher education in Asian Pacific countries.
Amsterdam: EAIE.
Lilley, K., Barker, M., & Harris, N. (2017). The Global Citizen Conceptualized: Accommodating Ambiguity. Journal of Studies in International Education, 21(1), 6–21.
https://doi.org/10.1177/1028315316637354
Maddox, R. B. (2016). Thesis: the Evolution of Internationalization Initiatives At Three Highly Selective U.S. Research Universities.
MOHE. (2011). Internationalisation Policy for Higher Education Malaysia 2011. Putrajaya:
Ministry of Higher Education Malaysia. https://doi.org/10.13140/2.1.4424.4162
Mustapha, S.M., Abdullah, N., Devarajoo, K., Ibrahim, F., Hani, S & Stella, A. (2006). Quality assurance of cross‐border higher education. Quality in Higher Education, 12(3), 257–
276.
Naidoo, V. (2006). Internationaleducation: A tertiary-level industry update. Journal of Research in International Education, 5(3): 323-345.
The International Association of Universities. (2003). Internationalisation of Higher education:
Trends and Developments since 1998. UNESCO: Paris.
Warwick, P. & Moogan, Y.J. (2013). A comparative study of perceptions of internationalisation strategies in UK universities. Journal of Comparative and International Education, 43(1), 102–123.