Meningkatkan Kemahiran Mempersembahkan Maklumat Multimedia dalam Kalangan Guru Dengan Membina dan
Melaksanakan Modul Google Slides
(Improve Multimedia Information Presentation Skills Among by Developing and Implementing Google Slides Modules)
Wong Mei Hua1*, Aidah Abdul Karim1
1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected]
Accepted: 15 February 2023 | Published: 1 March 2023 DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.1.12
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia digunakan untuk menyampaikan sesuatu maklumat dalam bentuk persembahan yang ringkas dan padat dengan bantuan pelbagai media atau multimedia dalam komputer. Guru memerlukan kemahiran ini dalam merancang pengajaran dan menghasilkan bahan bantu mengajar. Kajian ini bertujuan untuk membina dan melaksanakan modul Google Slides bagi meningkatkan kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia dalam kalangan guru sekolah rendah. Kajian reka bentuk dan pembangunan (DDR) yang melibatkan tiga fasa utama, iaitu fasa analisis, fasa reka bentuk dan pembangunan serta fasa penilaian diaplikasikan dalam kajian ini. Peserta kajian terdiri daripada sepuluh orang guru yang mengajar di WP Labuan melalui pemerhatian. Data dikumpulkan melalui kaedah temu bual, analisis dokumen, ujian pra dan pasca. Dapatan kajian menunjukkan peningkatan dalam kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia guru peserta selepas pelaksanaan Modul Google Slides. Ia didapati Modul dalam Talian Google Slides banyak membantu guru dalam menghasilkan bahan multimedia. Kesimpulannya, setiap guru perlu menguasai kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia bagi menarik perhatian murid dalam kelas. Oleh itu, diharapkan modul dalam talian Google Slides dapat dijadikan rujukan kepada pendidik dan pentadbir sekolah untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran
Kata kunci: Kemahiran Mempersembahkan Maklumat Multimedia, Guru, Modul, Google Slides.
Abstract: The skill of presenting information is used to present information in a simple and compact form with the help of various media or multimedia in the computer. Teachers need this skill in planning lessons and producing teaching aids. This study aims to build and implement a Google Slides module to improve the skills of presenting multimedia information among primary school teachers. A design and development study (DDR) involving three main phases, namely the analysis phase, the design and development phase and the evaluation phase are applied in this study. The study participants consisted of ten teachers who taught at WP Labuan through observation. Data is collected through interviews, document analysis, pre-test and post-test. The findings of the study show an improvement in the skills of presenting multimedia information of the participating teachers. It was found that the Google Slides Online Module helps teachers a lot in producing multimedia materials. In conclusion, every
teacher needs to master the skills of presenting multimedia information to attract the attention of students in class. Therefore, it is hoped that the Google Slides online module can be used as a reference by educators and school administrators to improve the effectiveness of teaching.
Keywords: Multimedia Information Presentation Skills, Teachers, Modules, Google Slides ___________________________________________________________________________
1. Pendahuluan
Perkembangan teknologi maklumat semakin bertambah pesat dan dikenali sebagai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) pada alaf baharu abad ke-21. Dalam bidang pendidikan, penggunaan multimedia dapat mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan efektif. Namun, perkembangan teknologi yang berlaku secara pesat dalam dunia pendidikan ini menyebabkan guru tidak mahir atau berpengetahuan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berpandukan TMK. Pada zaman sekarang, tanggungjawab guru bukan saja melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP), tetapi tugas guru adalah lebih daripada itu yang merangkumi pelbagai peranan lain berkaitan dengan teknologi. Namun, terdapat guru kurang bermotivasi menggunakan strategi pengajaran berpandukan TMK dan kebanyakan mereka berasa lebih kondusif mengaplikasikan kaedah konvensional yang kurang sesuai dengan cara pelaksanaan sistem sekolah pada hari ini.
Selain itu, kebanyakan kajian yang telah dibuat bertujuan membantu guru mahir dalam kemahiran TMK hanya melibatkan aplikasi Google Classroom (Kaviza, 2020; Kaviza, 2021;
Ahmad, Hassan & Wahab, 2022) dan Google Jamboard (Ching, 2021). Ini merupakan salah satu hasil daripada inisiatif KPM semasa penularan pandemik Covid-19 berlaku di Malaysia di mana pelajar perlu belajar secara maya tanpa bersemuka. Namun, kajian mengenai aplikasi Google Slides masih kurang walaupun pihak KPM telah memperkenalkan Google Suite untuk diaplikasikan oleh pendidik dan ini memudahkan guru mengakses kepada semua fitur dalam Google. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk membina dan melaksanakan modul Google Slides bagi meningkatkan kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia dalam kalangan guru sekolah rendah. Dengan ini, kajian ini dijalankan untuk menjawab persoalan berikut:
i. Apakah masalah guru menggunakan Google Slides?
ii. Bagaimanakah mengaplikasikan Teori Konstruktivisme dan Strategi Kolaboratif dalam rekabentuk dan pembangunan Modul Google Slides?
iii. Bagaimana melaksanakan modul dalam talian Google Slides yang mengaplikasikan teori konstruktivisme dan strategi kolaborasi?
iv. Adakah terdapat peningkatan kemahiran Google Slides sebelum dan selepas modul dalam talian Google Slides dilaksanakan?
Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah penyelidikan reka bentuk dan pembangunan (DDR) yang dicadangkan oleh Richey dan Klein (2014) dalam membangunkan Modul Google Slides untuk meningkatkan kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia dalam kalangan guru sekolah rendah. Fasa yang terlibat dalam kajian ini adalah fasa analisis, fasa perancangan dan pembangunan, fasa pelaksanaan dan akhirnya fasa penilaian. Semua fasa ini dapat menjawab kepada persoalan kajian.
2. Tinjauan Literatur
2.1 Penggunaan TMK dalam pendidikan (Google Slides)
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) merupakan wahana untuk memperoleh, menyimpan, memproses serta menyebar maklumat melalui penggunaan teknologi (Amirah et al. 2020). Dalam konteks sekolah, kemahiran TMK merujuk kepada kecekapan seseorang menggunakan perisian teknologi dalam PdP. Semasa pandemik Covid-19 menular di Malaysia, Google telah menawarkan pakej G-Suite for Education sebagai satu ekosistem pembelajaran dalam talian berasaskan perkomputeran awan. Platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) menggunakan halaman Google Sites sebagai tapak paling asas dalam usaha menyediakan platform pembelajaran maya. Guru dan murid menggunakan platform DELIMa dengan menggunakan e-mel MOE Digital Learning (DL) yang disediakan oleh penyelaras ICT di sekolah. Guru dan murid melayari laman portal http://sites.google.com/moe.edu.my/login/login dan memasukkan ID dan kata laluan dan seterusnya memilih paparan pelajar atau guru atau sekolah untuk mengakses platform yang disediakan.
Walaupun penggunaan aplikasi Google memberi kesan baik kepada pendidikan, namun pengaplikasiannya masih rendah serta pelbagai masalah timbul dalam pengaplikasiannya (Su
& Mohd, 2020). Terdapat beberapa isu yang timbul seperti sekolah di kawasan luar bandar tidak dapat menggunakan pelantar ini akibat kekangan infrastruktur seperti masalah capaian jaringan internet, kemudahan komputer yang terhad di sekolah, faktor ekonomi murid, serta tahap pengetahuan dan kesediaan guru untuk mempelajari kemahiran baharu menggunakan aplikasi Google. Selanjutnya, masalah seperti guru kurang berpengalaman dalam penggunaan teknologi, kebolehcapaian komputer dan internet serta kekangan fasiliti memberi pengaruh dalam pelaksanaan teknologi dalam pendidikan (Alruwais et al., 2018).
2.2 Kemahiran Mempersembahkan Maklumat Multimedia
Kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia merupakan kemahiran menyampaikan bahan dalam bentuk persembahan yang ringkas dan padat dengan menggunakan multimedia.
Aplikasi perisian multimedia dibekalkan dalam persekitaran dalam talian atau luar talian.
Persembahan multimedia yang digital berbentuk selari atau menggunakan sambungan pada paparan lain dengan menggunakan kaedah butang hyperlink. Persembahan multimedia ini digunakan dalam semua bidang dalam penyampaian maklumat. Kepentingan dalam penyampaian maklumat adalah kritikal dan keupayaan bagi memastikan maklumat disalurkan kepada khalayak ramai dan difahami dengan baik. Oleh itu, guru perlu dilengkapi kemahiran mempersembahkan maklumat seperti perisian Google Slides untuk mengumpul dan membentangkan maklumat dalam talian secara beretika. Sepanjang tempoh Covid-19, guru melaksanakan sesi PdP di rumah menerusi pelbagai perisian dalam talian. Namun dalam hal ini, cabaran guru ialah guru tidak mahir menggunakan platform digital dan teknologi yang sedia ada (Saiful et al., 2021). Guru perlu belajar dan membiasakan diri untuk menjalankan aktiviti PdP di rumah secara efektif.
Aplikasi persembahan elektronik yang lebih luas penggunaannya dalam kalangan guru ialah Microsoft Power Point dimana ia memberi manfaat dalam menyampaikan maklumat kepada pihak lain. Aplikasi ini memudahkan pengguna terutamanya pengguna yang kali pertama menggunakannya kerana terdapat banyak templat dan pakej persembahan yang boleh digunakan. Ini disokong oleh kajian Robert dan Kristi (2004) di mana pelajar lebih berminat untuk menggunakan PowerPoint atau overhead transparencies dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Walaubagaimanapun, dapatan menunjukkan bahawa bahan yang digunakan
dalam persembahan Power Point mestilah relevan dan berkaitan dengan mata pelajaran, jika tidak ia tidak dapat membantu pelajar yang khusus untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam ujian atau peperiksaan. Memandangkan aplikasi persembahan elektronik dapat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pengkaji bercadang untuk membina satu modul dalam talian Google Slides.
3. Metodologi
Kajian ini melibatkan 10 orang guru dari sekolah rendah di WP Labuan bagi meningkatkan kemahiran persembahan multimedia melalui pembinaan dan pelaksanaan modul Google Slides dalam talian. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah penyelidikan reka bentuk dan pembangunan (DDR) yang dicadangkan oleh Richey dan Klein (2007) dalam membangunkan Modul Google Slides untuk meningkatkan kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia dalam kalangan murid tahap 2. Dalam fasa analisis keperluan, tinjauan literatur dilakukan untuk mengenal pasti permasalahan guru dalam penggunaan bahan berasaskan multimedia. Cabaran seperti kekurangan kemahiran dan pengetahuan TMK yang dikuasai oleh guru menjadi penghalang bagi guru menggunakan TMK dalam PdP. Fasa reka bentuk pula melibatkan lakaran awal dalam proses mereka bentuk Modul Google Slides. Dalam fasa ini juga pengkaji membina objektif pembelajaran serta menentukan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Pengkaji juga menentukan kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid berdasarkan pemerhatian di fasa analisis. Seterusnya, fasa pembangunan melibatkan pembinaan Modul Google Slides bagi mencapai objektif yang ditetapkan pada fasa reka bentuk.
Fasa keempat, iaitu pelaksanaan melibatkan pemberian Modul dalam talian Google Slides kepada peserta kajian. Fasa terakhir pula merupakan fasa penilaian di mana maklum balas daripada data-data yang dikumpul dan dianalisis untuk mengetahui hasil dapatan kajian.
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini melibatkan pemerhatian, temu bual serta ujian pra dan ujian pasca dalam senarai semak.
Analisis deskriptif merujuk kepada maklumat berangka yang melibatkan pengumpulan, penyusunan, pelaporan, persembahan, penganalisaan dan penterjemahan angka-angka data bagi membantu dalam membuat keputusan yang efektif. Analisis deskriptif diaplikasikan dalam kajian ini dalam proses menganalisis data yang dikutip. Jenis analisis deskriptif yang digunakan dalam kajian ini berbentuk markah yang diperoleh dari ujian pra dan ujian pasca. Selain itu, data-data yang dikumpul dalam kajian ini dianalisis dengan menggunakan pendekatan analisis tematik. Analisis tematik merupakan analisis pengklasifikasian teks mengikut tema. Analisis tematik diaplikasikan dengan mengkategorikan data-data dan membentuk tema yang berpadanan dalam usaha menjawab soalan kajian. Analisis tematik bermula dengan tahap permulaan menganalisis data. Seterusnya, pengkaji memaparkan data dalam bentuk jadual dan gambar untuk melihat perkembangan murid dalam menguasai kemahiran mempersembahkan data.
Kestabilan dan konsistensi instrumen pengukuran dikaitkan dengan kebolehpercayaan sesuatu alat pengukuran yang digunakan dalam penyelidikan. Menurut Sekaran dan Bougie (2010) kebolehpercayaan merupakan ujian yang dilakukan bagi menilai bagaimana konsistensi alat pengukuran boleh digunakan untuk mengukur apa sahaja konsep yang hendak diukur. Dalam kajian ini, senarai semak ujian dibina mengikut pemasalah yang dihadapi oleh guru semasa menghasilkan satu slaid persembahan. Dalam proses penggubalan item-item, pengkaji melibatkan pakar yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dan bidang TMK untuk mendapatkan kesahan kandungan instrumen. Seramai 2 orang pakar yang telah dipilih oleh pengkaji sebagai pengesahan kandungan instrumen kajian. 2 orang pensyarah yang pakar
dalam bidang TMK yang berpengalaman telah berkhidmat lebih daripada 5 tahun. Pakar-pakar ini diminta untuk mengesahkan kandungan instrumen berdasarkan kesesuaian dan ketepatan serta kejelasan terhadap setiap instrumen. Semua maklum balas yang diterima daripada semua pakar juga akan digunakan agar dapat mempertingkatkan kesahan instrumen kajian. Pengkaji telah merumuskan ulasan-ulasan yang diberi oleh pakar dan telah melakukan modifikasi instrumen.
3.1 Pengumpulan dan Pengukuran Data
Kajian ini dilaksanakan berpandukan Model ADDIE yang melibatkan lima fasa iaitu analisis, reka bentuk, pembangunan, pelaksanaan dan akhirnya penilaian. Dalam fasa analisis, pemerhatian dilaksanakan ke atas hasil persembahan multimedia yang dihasilkan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian. Temu bual juga dilaksanakan untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh guru semasa penghasilan persembahan multimedia.
Pungutan data awal telah dilakukan bagi mengesahkan kewujudan serta menilai tahap masalah yang dihadapi oleh guru. Dalam fasa ini, masalah guru telah dikenalpasti iaitu kekurangan pendedahan kepada perisian penghasilan slaid persembahan multimedia dalam talian seperti Google Slides dan kekurangan pengetahuan dan kemahiran Google Slides. Oleh itu, pengkaji bercadang untuk membangunkan sebuah modul dalam talian Google Slides untuk meningkatkan kemahiran guru dalam penghasilan persembahan multimedia yang dapat meningkatkan tahap kemahiran TMK guru. Seterusnya, pengkaji mengenalpasti kemahiran Google Slides yang perlu dikuasai oleh guru iaitu kemahiran memilih layout dan tema Google Slides yang sedia ada, kemahiran menambah slaid baharu, kemahiran menyunting perkataan dan kemahiran menambah gambar dalam menghasilkan persembahan multimedia yang bersifat interaktif.
Dalam fasa kedua dan ketiga iaitu reka bentuk dan pembangunan, dapatan dari analisis data awal telah dijadikan asas untuk merancang tindakan intervensi. Rancangan aktiviti pengajaran menggunakan Modul Google Slides telah dihasilkan menggunakan platform Google Meet.
Bengkel ini melibatkan 10 orang peserta guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Pengkaji merancang pelaksanaan pengajaran langkah demi langkah untuk memastikan kelancaran pengajaran. Seterusnya, pengkaji membina alat kajian yang berbentuk modul dalam talian untuk memudahkan guru belajar cara menghasilkan slaid persembahan dengan menggunakan Google Slides secara kendiri. Modul tersebut menerangkan langkah- langkah kemahiran Google Slides secara terperinci.
Dalam fasa keempat iaitu pelaksanaan, Modul Kemahiran Google Slides dilaksanakan melibatkan semua peserta kajian. Pengkaji telah mentadbir ujian pra terhadap guru sehari sebelum Modul Google Slides dijalankan. Seterusnya, guru diminta menghasilkan slaid persembahan dengan merujuk kepada modul dalam talian Google Slides dengan arahan yang ditentukan dalam kumpulan yang ditentukan. Selepas itu, pengkaji melaksanakan ujian pasca terhadap slaid persembahan yang dihasilkan oleh guru. Dalam ujian pasca, pengkaji menggunakan tajuk slaid persembahan multimedia yang sama seperti ujian pra dalam usaha mengesan sejauh mana peningkatan kemahiran mempersembahkan maklumat guru selepas modul dilaksanakan.
Fasa terakhir melibatkan langkah pemerhatian dan pengumpulan data. Data jenis kualitatif dan kuantitatif dikutip sepanjang tempoh pelaksanaan Bengkel Kemahiran Google Slides menerusi kaedah pemerhatian, temu bual serta ujian pra dan pasca. Penilaian kemahiran mempersembahkan maklumat guru selepas pelaksanaan Modul Google Slides dikenal pasti.
Selepas itu, pengkaji menyediakan laporan ilmiah proses dan hasil kajian selepas data kajian
dianalisis. Soalan kajian, langkah-langkah dan data yang dikutip atau produk yang dihasil telah disenaraikan dalam Jadual 1 mengikut fasa-fasa kajian.
Jadual 1: Soalan Kajian, Langkah dan Data atau Produk yang terlibat mengikut fasa-fasa kajian.
Fasa Soalan Kajian Langkah Data / Produk
Analisis 1. Apakah masalah guru menggunakan Google Slides?
Mengenal pasti masalah kemahiran persembahan multimedia yang dihadapi oleh guru.
Pemerhatian terhadap hasil persembahan multimedia guru.
Reka Bentuk dan Pembangunan
2. Bagaimanakah
mengaplikasikan Teori Konstruktivisme dan Strategi Kolaboratif dalam rekabentuk dan pembangunan Modul Google Slides?
Merancang aktiviti pengajaran yang perlu dilaksanakan dan membina Modul Google Slides dengan pembacaan kajian literatur serta rujuk kepada pakar TMK.
Kajian Literatur Rancangan Aktiviti Pengajaran
Modul Google Slides
Pelaksanaan 3. Bagaimanakah
melaksanakan modul dalam talian Google Slides yang mengaplikasikan teori konstruktivisme dan strategi kolaborasi?
Pelaksanaan Modul Google Slides dalam talian di mana guru dibahagi kepada kumpulan kecil untuk menghasilkan sebuah persembahan multimedia yang bersifat interaktif.
Rancangan Aktiviti Pengajaran
Modul Google Slides
Penilaian 4. Adakah terdapat
peningkatan kemahiran menggunakan Google Slides sebelum dan selepas modul dalam talian Google Slides dilaksanakan?
Melaksanakan ujian pra sehari sebelum pelaksanaan sebenar Modul Google Slides dan melaksanakan ujian pasca selepas pelaksanaan Modul Google Slides.
Membanding beza penguasaan kemahiran TMK guru antara ujian pra dan ujian pasca
4. Dapatan
4.1 Analisis Keperluan Pembinaan Modul Google Slides
Melalui analisis dokumen ke atas bahan pengajaran guru, pengkaji mendapati bahawa kebanyakan guru masih tidak mahir dalam kemahiran mempersembahkan maklumat. Antara masalah yang dihadapi ialah guru tidak mahir menyunting teks dan menambah gambar dalam slaid persembahan. Ini menyebabkan guru mengambil langkah mudah dengan tangkap layar hasil guru lain di Youtube untuk dijadikan bahan pengajaran yang ditunjukkan dalam Rajah 1.
Salah satu peserta guru menyatakan bahawa sukar menghasilkan slaid yang menarik dan berwarna-warni untuk menarik perhatian dan mengekalkan tumpuan murid dalam kelas.
Melalui pemerhatian, didapati guru hanya mahir menambah gambar dari komputer. Mereka perlu memuat turun gambar dari laman sesawang dan seterusnya menambahkannya dalam slaid persembahan. Melalui pemerhatian terhadap hasil slaid persembahan guru, pengkaji juga mendapati guru tidak mahir menggunakan kemudahan pemilihan tema dan layout untuk menghasilkan slaid persembahan. Guru menukar latar belakang melalui pemilihan gambar di laman sesawang dan masukkan kotak teks pada bahagian yang diingini. Seterusnya, guru menukar saiz, gaya dan warna teks mengikut kehendak sendiri.
Dalam slaid persembahan guru, semuanya berbentuk linear iaitu persembahan slaid yang mengikut turutan (Rajah 2). Pembentangan slaid ini tidak mempunyai kawalan untuk pergi ke slaid yang tertentu. Melalui temu bual, 4 orang guru menyatakan pembinaan slaid interaktif memerlukan masa yang lebih lama berbanding slaid persembahan linear. 5 orang guru menyatakan mereka tidak mahir membuat hyperlink menggunakan Google Slides. Masalah yang dikesan adalah guru tidak mahir menghasilkan persembahan yang interaktif. Bagi
mengumpulkan bahan pengajaran guru, pengkaji memerlukan peserta guru menghantar pautan slaid kepadanya. Terdapat 6 orang guru tidak mahir berkongsi slaid dalam bentuk pautan.
Mereka hanya mahir menggunakan kaedah yang biasa iaitu menghantar salinan lembut melalui Whatsapp atau Telegram. Satu guru peserta pula menggunakan pendrive untuk memberi bahan pengajarannya kepada pengkaji. 2 orang guru peserta berjaya berkongsi slaid persembahan dalam bentuk pautan tetapi memerlukan kebenaran pengarang di mana guru peserta belum menukar kebenaran kepada semua orang.
Rajah 1: PowerPoint yang dibina dengan tangkap layar hasil kerja guru lain melalui Youtube
Rajah 2: Persembahan berbentuk linear tanpa pemilihan tema dan layout yang disediakan
4.2 Aplikasi Teori Pembelajaran Konstruktivisme Dan Strategi Kolaboratif Dalam Pembinaan Modul Dalam Talian Google Slides
Pembelajaran secara konstruktivisme ialah satu kaedah dimana murid dapat membina sendiri pengetahuan atau konsep baru secara aktif berdasarkan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman yang telah diperolehi dalam PdP. Dalam rancangan pelaksanaan Modul Google Slides, guru perlu menggunakan TMK untuk mendapatkan data, maklumat dan pengetahuan berdasarkan pengetahuan dari modul yang disediakan. Guru menyesuaikan pengetahuan yang diterima dari pembacaan Modul Google Slides dengan pengetahuan sedia ada untuk membina satu slaid persembahan yang interaktif. Guru membina pengetahuan baharu melalui cara secara hands on dalam pelaksanaan Modul Google Slides.
Pembelajaran kolaboratif pula merupakan pendekatan yang mementingkan kerjasama dan ahli- ahli kumpulan perlu menyampaikan idea masing-masing dalam kumpulan kecil. Guru peserta
perlu dibahagi kepada kumpulan kecil di mana mereka perlu membina satu slaid persembahan yang interaktif berdasarkan perbincangan dengan ahli kumpulan. Kolaborasi juga berlaku di mana guru peserta mengagihkan tugas bersama ahli kumpulan untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Semua ahli kumpulan memberi sumbangan dalam segi pendapat, pengetahuan dan kemahiran di samping menyelesaikan masalah bersama.
4.3 Pelaksanaan Modul Google Slide
Pelaksanaan sebenar modul Google Slide telah dibuat selama dua jam dalam talian menggunakan Google Meet dan telah disertai oleh 10 orang guru peserta ditunjukkan dalam Rajah 3. Rancangan aktiviti pengajaran yang terlibat semasa pelaksanaan sebenar modul Google Slides ditunjukkan dalam Jadual 2.
Jadual 2: Rancangan aktiviti pengajaran bagi pelaksanaan Modul Google Slides Subjek
Topik Pengajaran Standard Pembelajaran Perisian
Objektif
Kriteria Kejayaan
Kemahiran TMK
Langkah-langkah
: : : : :
:
:
:
Sains Tahun 1 Bahagian Tumbuhan
6.1.2 Menghubungkaitkan bahagian tumbuhan iaitu daun, bunga, batang dan akar serta kepentingannya kepada tumbuhan
Google Slides
Pada akhir pembelajaran, guru dapat membangunkan persembahan multimedia interaktif menggunakan Google Slides yang mengandungi sekurang-kurangnya tiga elemen multimedia dengan maklumat bahagian tumbuhan dan kepentingannya yang tepat.
1. Dalam kumpulan, guru boleh membangunkan persembahan multimedia tak linear.
2. Guru boleh menambah slaid baharu, menyunting slaid dan memasukkan gambar dalam Google Slides.
3. Guru boleh membaca maklumat secara kendiri.
Memilih tema dan layout Menyunting teks font Menambah gambar Menukar latar belakang Hyperlink
Berkongsi slaid Pengenalan
1. Pengkaji menayangkan hasil slaid persembahan multimedia yang pernah dilaksanakan oleh guru.
2. Pengkaji menyoal soalan:
a) Adakah murid-murid suka hasil yang ditayangkan ini?
b) Apakah ciri-ciri yang menarik minat anda?
Langkah 1 (Teori Konstruktivisme)
1. Pengkaji menghantar Modul Google Slides kepada semua guru peserta melalui Google Drive.
2. Peserta guru membaca dan meneliti langkah-langkah dalam Modul Google Slides.
3. Peserta guru mengaitkan pengalaman sedia ada dengan kemahiran yang diajar dalam Modul Google Slides.
Langkah 2 (Pembelajaran Kolaboratif)
1. Peserta guru dibahagi kepada beberapa kumpulan.
2. Pengkaji membahagikan peserta guru dalam breakout room melalui Google Meet.
3. Dalam kumpulan, peserta guru membaca arahan tugas dan membina satu slaid bagi subjek Sains Tahun 1.
Langkah 3 (Perbincangan kumpulan)
1. Peserta guru berkongsi slaid kepada pengkaji dan ahli sekumpulan.
2. Pengkaji masuk ke breakout room peserta guru masing-masing untuk memberi tunjuk ajar.
3. Peserta guru membincang dalam kumpulan untuk membina slaid.
Langkah 4 (Pembentangan kumpulan) 1. Pembentangan mengikut kumpulan.
2. Peserta guru memberi komen kepada hasil ahli kumpulan lain.
Penutup
1. Pengkaji berharap peserta kajian boleh meneruskan penggunaan Google Slides dalam pengajaran harian.
Rajah 3: Gambar semasa pelaksanaan Modul Google Slides
4.4 Penguasaan Kemahiran Mempersembahkan Maklumat Multimedia
Data dianalisis dengan membandingkan data ujian pra dan ujian pasca yang direkodkan dalam senarai semak. Dapatan ini membuktikan Modul Google Slides meningkatkan kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia guru peserta dalam menghasilkan slaid persembahan. Jadual 3 menunjukkan markah yang diperolehi oleh guru peserta sebelum dan selepas Modul Google Slides dilaksanakan. Hasil persembahan interaktif salah satu guru peserta ditunjukkan dalam Rajah 4 di bawah.
Unsur Slaid
1) Memilih tema dan layout yang sesuai 2) Masukkan maklumat yang betul 3) Menambah slaid baharu
4) Saiz font yang sesuai 5) Warna teks yang sesuai 6) Menambah gambar
7) Lokasi gambar yang sesuai 8) Hyperlink ke slaid yang betul 9) Hyperlink slaid balik ke “utama”
10) Berkongsi slaid
Jadual 3: Analisis perubahan data ujian pra dan ujian pasca dalam bentuk markah
Unsur Slaid I1 I2 I3 I4 I5 I6 I7 I8 I9 I10 Markah
P1 sblm / / / / X / / X X X 6
slps / / / / / / / / / / 10
P2 sblm / / / / X / / / X / 8
slps / / / / / / / / / / 10
P3 sblm / / / X X / / / X X 6
slps / / / / / / / / / / 10
P4 sblm / / / / / / / X X X 7
slps / / / / / / / / / / 10
P5 sblm / / / X / / / / X X 7
slps / / / / / / / / / / 10
P6 sblm / / / / / / X X X X 6
slps / / / / / / / / / / 10
P7 sblm / / / / / X X X X X 5
slps / / / / / / / / / / 10
P8 sblm / / / / / / X X X X 6
slps / / / / / / / X / / 9
P9 sblm X / X / / X / X X X 4
slps / / / / / / / X / / 9
P10 sblm X / / / X / / / / X 7
slps / / / / / / / / / / 10
Rajah 4: Contoh slaid persembahan yang dihasilkan oleh guru peserta selepas pelaksanaan modul
5. Perbincangan Kajian
Berdasarkan dapatan awal kajian ini, guru tidak mahir dalam kemahiran mempersembahkan maklumat seperti kesukaran menyunting teks, kaedah menambah gambar, pemilihan tema dan layout, persembahan yang bersifat linear dan perkongsian slaid dalam talian. Melalui temu bual, semua guru peserta pernah menggunakan Google Slides tetapi bukan semua mengetahui fitur dalam Google Slides. Dapatan ini bersamaan dengan kajian Khairul, Syafiq dan Izzati (2020) di mana kajian mengatakan guru mengetahui kaedah menggunakan Google Slides, Google Doc dan Google Sheet tetapi kurang pendedahan dan penggunaan menyebabkan kemahiran guru tidak ke tahap yang optimum. Namun, dapatan kajian ini berbeza dengan kajian Lau & Rosli (2020) di mana responden dapat menguasai perisian persembahan (PowerPoint) tetapi tidak menguasai cara perisian pemetaan minta, perisian animasi dan perisian visualisasi tiga dimensi. Kajian Naser et. al. (2010) juga menunjukkan guru-guru mahir dalam penggunaan Internet, pemprosesan perkataan dan perisian persembahan tetapi tidak mahir dalam penggunaan e-mel dan spreadsheet. Penguasaan kemahiran perisian persembahan dalam kalangan guru dapat meningkatkan keberkesanan PdP di mana guru dapat menghasilkan slaid persembahan yang menarik tumpuan murid di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang memupuk pembelajaran kendiri.
Modul Google Slides yang dihasilkan dapat menyediakan persekitaran guru membina ilmu pengetahuan sendiri secara aktif semasa berlakunya proses pembelajaran. Pengaplikasi teori konstruktivisme dalam modul ini membenarkan dan menggalakkan guru mengaitkan pengetahuan baharu dengan pengetahuan lampau semasa penghasilan bahan multimedia. Ini disokong oleh kajian Razak dan Rahman (2017) di mana responden kajian membina bahan pengajaran berdasarkan pendekatan konstruktivisme kerana berpendapatan dapat merangsang minat pelajar, menggalakkan pelajar berfikir dan mengelakkan pelajar berasa bosan dalam pembelajaran. Berbeza dengan kajian ini, aplikasi kaedah berpusatkan guru dan hukum latihan digunakan dalam kajian Wijaya, Ehwanudin dan Salis (2022) dalam pembinaan dan pembangunan bahan pengajaran menggunakan Google Slides. Hukum latihan merupakan pengulangan aktiviti yang sama sehingga menguasai sesuatu kemahiran dengan sempurna.
Pendekatan yang berbeza ini juga dapat menghasilkan bahan pengajaran yang informatif dan menarik.
Kerjasama dan perkongsian antara rakan sejawat dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan guru. Pendekatan teori konstruktivisme dan strategi kolaboratif dalam Modul Google Slides berkait rapat dengan keberkesanan modul ini. Ruangan komen dan pembahagian bilik dapat membenarkan guru bertukar pendapat dan bersifat aktif dalam penghasilan slaid.
Dengan kolaborasi guru peserta, mereka dapat berfikir secara kritis, menyumbang idea baharu dan berkomunikasi dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah. Kajian Ahamad, Bakar dan Juhary (2022) mengatakan aspek kolaborasi merupakan keutamaan dan pengajaran dan pembelajaran pada masa kini bagi memudahkan pelajar menguasai sesuatu kemahiran. Begitu juga dengan kajian Davis dan Somekh (1997) menunjukkan bahawa pengintegrasi ICT dengan pengajaran kolaboratif dapat memupuk pembelajaran yang berkualiti dan berkesan di samping bermakna kepada pelajar.
Penggunaan Modul Google Slides ini berfokus kepada para guru sahaja untuk meningkatkan kemahiran mempersembahkan maklumat di kalangan guru di samping meningkatkan penggunaan perisian Google Slides yang diperkenalkan oleh KPM tempoh Covid-19. Kajian lepas oleh Fatimah (2022) juga bertujuan membina lembaran kerja elektronik yang bersifat interaktif menggunakan Google Slides with pear deck dengan pendekatan konstruktivisme namun peserta kajian yang terlibat dalah murid. Berbeza dengan bahan pengajaran di kajian ini, kajian Salsabila dan Pratiwi (2021) menggunakan aplikasi PowerPoint untuk membuat bahan pengajaran kreatif dalam mata pelajaran Pendidikan Islam oleh 12 orang guru peserta.
Latihan praktikal dilaksanakan sepanjang empat hari untuk meningkatkan kreativiti guru dalam pembinaan bahan pengajaran menggunakan PowerPoint. Kedua-dua kajian ini dilaksanakan di negara Indonesia. Kajian berkaitan Google Slides di Malaysia masih kurang berbanding dengan luar negara.
Oleh demikian, kajian lanjutan dicadangkan bahawa kemahiran mempersembahkan maklumat dalam Modul Google Slides boleh ditambahkan dengan kemahiran lain seperti kemahiran mencari gambar animasi GIF dan kemahiran menggunakan diagram Google Slides. Kedua-dua kemahiran didapati dapat menarik perhatian dan tumpuan murid berbanding dengan gambar yang statik dan teks perenggan. Selain itu, pengkaji juga boleh menyampaikan maklumat kemahiran asas Google Slides dalam video pembelajaran yang lebih menarik perhatian guru, dan melibatkan lebih banyak peserta kajian di seluruh WP Labuan.
Dengan penguasaan kemahiran Google Slides oleh para guru, ia memudahkan guru mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran ICT selaras dengan transformasi pendidikan negara Malaysia ke arah PAK-21. Para guru haruslah lebih arif tentang penggunaan pelbagai peranti persembahan yang terkini mengikut perubahan trend dan bukan hanya menggunakan perisian yang memberi keselesaan seperti PowerPoint dan WPS Presentation. Selain itu, diharapkan modul dalam talian Google Slides dapat disebar luas dan dijadikan rujukan kepada pendidik dan pentadbir sekolah untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran.
6. Kesimpulan
Kemahiran mempersembahkan maklumat multimedia penting dikuasai oleh seorang guru untuk menghasilkan satu slaid persembahan yang dapat menarik perhatian murid. Modul Google Slides ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran mempersembah maklumat, ia juga dapat memupuk pembelajaran konstruktivisme dan kolaboratif melalui pengalaman guru sendiri. KPM perlu mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan penggunaan Google Slides dalam kalangan guru melalui bengkel dan latihan yang berterusan. Penguasaan kemahiran
menggunakan Google Slides dalam kalangan guru dapat meningkatkan keberkesanan PdP di samping menyediakan para guru menempuh zaman teknologi yang kian berubah.
Rujukan
Ahamad, M. A., Bakar, E. W., & binti Juhary, J. (2022). Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Melalui Pendekatan Konstruktivisme dalam Pengajaran Seni Bahasa. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 7(7), e001597-e001597.
Ahmad, R. R., Hassan, Z., & Wahab, N. H. A. (2022). The Ease Of Use Of Google Classroom Technology Among Secondary School Teachers In Malaysia. Sains Humanika, 81- 89.
Alruwais, N., Wills, G., & Wald, M. (2018). Advantages and challenges of using e-assessment.
International Journal of Information and Education Technology, 8(1), 34-37.
Ching, M. C. H. (2021). Tahap penerimaan Google Jamboard sebagai alat digital dalam e- pembelajaran: Satu kajian. JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 9(2), 34-45.
Davis, N. & Somekh, B., (Eds.). (1997). Using information technology effectively in teaching and learning: Studies in pre-service and in-service teacher education. Psychology Press.
Fatimah, U. N. (2022). Pengembangan e-lkpd (elektronik–lembar kerja peserta didik) interaktif menggunakan google slide with pear deck dengan pendekatan kontruktivisme (Doctoral dissertation, UIN RADEN INTAN LAMPUNG).
Jen, S. W., Effendi, M., & Matore, E. M. (2020). Keberkesanan Penggunaan Google Classroom dalam Pendidikan: Sorotan Literatur Bersistematik. Jurnal Dunia Pendidikan, 2(4), 39-53.
Kaviza, M. (2020). Kesediaan Murid Terhadap Penggunaan Aplikasi Google Classroom Sebagai Platform Pembelajaran Sejarah. Malaysian Journal of Social Science and Humanities (MJSSH) 5(4): 108-115.
Kaviza, M. (2021). Hubungan antara Penggunaan Aplikasi Google Classroom Terhadap Pencapaian dalam Pembelajaran Sejarah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(1), 61-69.
Khairul, U. F. U. A. B., Syafiq, M. A. B., & Izzati, F. K. B. (2020). Tahap kesediaan pensyarah menggunakan platform google classroom untuk pelaksanaan pdp di langkawi tourism academy@ kolej komuniti langkawi. International Journal of Education and Pedagogy, 2(4), 223-234.
Lau, J. S. C., & Rosli, R. B. (2020). Pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi guru matematik sekolah rendah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(11), 71-84.
Razak, R. A., & Rahman, M. A. (2017). Pembinaan media pengajaran berasaskan multimedia di kalangan guru ICTL. JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 1(2), 20-31.
Richey, R. C., & Klein, J. D. (2007). Developmental Research: Studies of Instructional Design and Development. Handbook of Research for Educational Communication and Technology.
Saiful, N. A. N. A., Rohani, A., Nadiah, N. Y., & Athirah, M. I. (2021). Cabaran Pengajaran Digital Secara Maya Dan Kesediaan Murid Pasca Covid 19: Teacher Challenges in Online Teaching and Student Readiness Post Covid-19. Sains Insani, 6(2).
Wijaya, A., Ehwanudin & Salis, R. N. (2022). An Assistance Teachers of Development Google Slide-Based Learning Media at School. International Journal of Community Engagement Payungi, 2(2), 63-71.