• Tidak ada hasil yang ditemukan

MODEL HYBRID WAKAF BAGI PEMBANGUNAN KEDIAMAN WARGA EMAS YANG LESTARI

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "MODEL HYBRID WAKAF BAGI PEMBANGUNAN KEDIAMAN WARGA EMAS YANG LESTARI"

Copied!
13
0
0

Teks penuh

(1)

607

MODEL HYBRID WAKAF BAGI PEMBANGUNAN KEDIAMAN WARGA EMAS YANG LESTARI

Norman Hamdani, Asharaf Mohd. Ramliii, Abdullaah Jaliliii, Mohammad Aizuddin Abd Aziziv, Asmaddy Harisv, Ridzwan Bakarvi, Abd Razak Abu Musa Saarivii, & Mohd Aminur Rahman

Mohamed Rashidviii.

i (Corresponding author). Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). [email protected]

vi Multimedia University (MMU)

viii Yayasan Pahang

Abstrak

Penglibatan institusi awam dan swasta di dalam aktiviti pembangunan hartanah wakaf amatlah menggalakkan. Terdapat institusi-institusi yang mewakafkan hartanah yang dimiliki untuk pembinaan pusat ibadat seperti masjid dan surau, pusat pendidikan seperti sekolah tahfiz dan juga pusat komersil seperti rumah kedai. Selain hartanah wakaf, aktiviti berwakaf secara tunai juga amat popular dewasa ini sebagai satu medium masyarakat Islam untuk menyalurkan harta di jalan Allah. Potensi besar wakaf tunai dari sudut pengumpulan dana yang besar yang kemudiannya disalurkan untuk pembangunan hartanah wakaf sedia ada serta digunakan untuk membina bangunan-bangunan baru secara tidak langsung meningkatkan ekuiti pemilikan harta umat Islam. Di Malaysia, model pembangunan hartanah wakaf boleh dikategorikan kepada dua iaitu pembangunan wakaf sedia ada menggunakan dana wakaf tunai yang dikumpulkan dan juga pengumpulan dana wakaf tunai yang akan diistibdalkan kepada aset tetap seperti bangunan dan sekolah. Justeru, objektif utama kajia ini adalah untuk meneliti model wakaf tunai yang diperkenalkan dan diamalkan bagi pembangunan hartanah wakaf di Malaysia. Kajian ini juga mencadangkan model hybrid wakaf bagi pembangunan kediaman warga emas yang menggabungkan kedua- dua wakaf hartanah dan tunai. Kajian ini menggunakan kaedah penyelidikan perpustakaan dan penelitian data sekunder berkaitan dengan wakaf hartanah dan tunai serta model-model wakaf tunai yang dipraktikkan. Dapatan daripada kajian ini diharapkan menjadi pemangkin terhadap peningkatan aset-aset hartanah wakaf yang disumbangkan oleh individu dan institusi bagi tujuan kebajikan umat Islam.

Kata Kunci: Hartanah Wakaf, Wakaf Tunai, Model Wakaf

(2)

608 PENDAHULUAN

Perkembangan terkini amalan wakaf adalah peningkatan minat golongan umat Islam seluruh dunia untuk berwakaf melalui wakaf tunai yang telah diperkenalkan oleh institusi-institusi seperti badan autoriti agama, syarikat korporat dan swasta, institusi kewangan Islam, universiti awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Amalan berwakaf secara tunai telah membantu pihak-pihak berkepentingan seperti pengurus wakaf untuk menggunakan wang yang terkumpul untuk membina hartanah baru wakaf seperti masjid, surau, sekolah agama dan pusat komersil. Hasil wakaf yang diperolehi daripada pelaburan didalam instrumen kewangan Islam seperti akaun simpanan tetap dapat disalurkan bagi membiayai operasi dan penyelenggaraan aset-set wakaf sedia ada.

Penerimaan amalan wakaf secara tunai di Malaysia adalah berkait rapat dengan fungsi dan peranan besar yang dimainkan oleh badan-badan berautoriti yang bertanggungjawab di dalam mengeluarkan fatwa-fatwa seperti Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga Bahagian Fatwa Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN).

Melalui Fatwa Keharusan Wakaf Tunai yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada tahun 2007, beberapa model wakaf tunai telah diperkenalkan oleh beberapa badan berautoriti agama seperti Majlis Agama Islam dan Adat Resam Terengganu (MAIDAM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), institusi kewangan Islam seperti Bank Muamalat Islam Berhad (BMMB), dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Manfaat hasil yang diperolehi dari dana wakaf tunai akan disalurkan kepada dua sektor utama iaitu pendidikan dan kesihatan. Selain pendidikan dan kesihatan, baru- baru ini terdapat skim wakat tunai yang diwujudkan bagi membiayai kemudahan awam yang diperkenalkan oleh Johor Corporation (JCorp) yang dikenali sebagai Wakaf Larkin Central (Wakaf Saham Larkin Sentral, 2019). Di Perak, Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) telah memeperkenalkan model wakaf bot bagi membantu nelayan meningkatan taraf ekonomi mereka. Justeru, kertas kerja ini akan meneliti konsep dan model wakaf tunai serta mencadangkan model hybrid wakaf pembangunan kediaman warga emas.

SOROTAN LITERATUR

Seksyen ini akan membincangkan sorotan literatur yang berkaitan dengan wakaf dari sudut hukum Islam dan perkembangan semasa institusi wakaf di Malaysia serta perkembangan wakaf tunai secara praktikal.

Konsep Wakaf

(3)

609

Wakaf jika ditinjau dari sudut bahasa adalah bermaksud menahan atau menegah.

Definisi wakaf menurut hukum syara’ ialah wakaf merupakan suatu bentuk pemberian yang mana fizikal aset terbabit kekal manakala manfaat yang diperolehi daripada aset terbabit disalurkan kepada penerima-penerima tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pewakaf. Pengekalan fizikal aset wakaf bermaksud mana-mana harta yang telah diwakafkan tidak boleh diwariskan, dijual beli, dijadikan hadiah, dipajak, disewa atau apa-apa bentuk pemilikan. Penyaluran manfaat harta-harta wakaf pula merujuk kepada pemberian hasil-hasil yang diperolehi daripada aset terbabit kepada penerima yang telah ditetapkan oleh pewakaf tanpa mengharapkan imbuhan kewangan (Kahf, 1999; Abu Zahrah, 1985). Justeru, secara teknikalnya wakaf boleh diertikan sebagai suatu bentuk penyerahan harta yang boleh digunakan bagi tujuan tertentu dengan syarat aset tersebut mestilah kekal dan tidak boleh dipindah milik serta manfaat atau hasil yang diperolehi daripada aset terbabit disalurkan kepada aktiviti-aktiviti kebajikan bagi mendapat keredhaan Allah.

Gambarajah 2.1: Kategori Wakaf

Sebagaimana yang ditunjukkan di dalam Gambarajah 2.1, secara umumnya wakaf boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu; tempoh masa wakaf, tujuan wakaf, dan jenis aset wakaf. Menurut majoriti ulama’, wakaf yang dilakukan mestilah berbentuk selama- lamanya iaitu tidak tertakluk kepada tempoh tertentu. Namun begitu, ulama-ulama Mazhab Maliki berpandangan bahawa wakaf boleh dilakukan di dalam tempoh tertentu seperti mewakafkan rumah untuk tempoh setahun kemudian dipulangkan semula kepada pewakaf apabila sampai tempohnya (al-Zuhayli 1997). Bagi tujuan berwakaf pula, ianya boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu wakaf yang berbentuk kebajikan

(4)

610

umum (waqf khayri) dan wakaf khusus untuk ahli keluarga (waqf ahli/dhurri). Kategori waqf ahli/dhurri merujuk kepada manfaat aset wakaf yang hanya diserahkan kepada ahli keluarga dan keturunan pewakaf sahaja. Bagi aspek tujuan wakaf kebajikan boleh dibahagikan kepada dua kategori; wakaf umum atau am (waqf am), dan, wakaf khusus (waqf khass). Manakala jika ditinjau dari sudut jenis aset-aset wakaf ianya terbahagi kepada dua jenis iaitu aset wakaf alih (waqf al-manqul) dan aset wakaf tak alih (waqf al-

caqar) seperti rumah dan bangunan. Waqf al-manqul adalah aset-aset wakaf yang boleh dipindahkan dari suatu tempat ke suatu yang lain seperti wang tunai yang merupakan aset wakaf yang amat popular pada masa kini (Abdullaah Jalil and Asharaf Mohd. Ramli, 2008). Mazhab Hanafi tidak membenarkan waqf al-manqul kecuali dengan tiga syarat berikut; pertama, aset wakaf alih terbabit merupakan sebahagian daripada aset wakaf tak alih, kedua, terdapat dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah yang membenarkannya seperti wakaf pedang dan kuda, ketiga, amalan wakaf tersebut adalah diterima oleh adat setempat (al-curf) seperti wakaf buku dan wang tunai.

Terdapat tiga struktur atau model wakaf seperti model aset fizikal wakaf, wakaf tunai dan wakaf korporat (yang dipelopori oleh JCorp) (Cizakca, 2011; Hajah Mustafa Mohd. Hanefah et al., 2010). Model aset fizikal wakaf merujuk kepada aset-aset wakaf seperti tanah dan bangunan yang diwakafkan dan aset ini digunakan bagi tujuan kebajikan seperti pembinaan masjid dan sekolah agama. Terdapat juga keadaan di mana aset-aset yang diwakafkan dibangunkan bagi menjana pendapatan seperti tanah yang didirikan bangunan komersil yang kemudiannya disewakan. Hasil sewaan tersebut akan dimasukkan semula ke dalam dana wakaf dan disalurkan kepada penerima-penerima yang layak. Model wakaf korporat pula merujuk kepada aset wakaf di dalam bentuk saham oleh syarikat korporat yang diurustadbir oleh syarikat terbabit dan manfaat wakaf yang diperolehi disalurkan kepada penerima-penerima yang telah ditetapkan. Manakala model wakaf tunai akan dibincangkan secara terperinci pada subtopik yang berikutnya.

Konsep Wakaf Tunai

Wakaf tunai merujuk kepada penyerahan harta yang berbentuk wang tunai oleh pewakaf serta penyaluran manfaat secara berterusan untuk kemaslahatan masyarakat (Magda, 2009). Definisi ini memberikan konotasi bahawa wakaf tunai jika dilihat dari sudut aset adalah merupakan kategori wakaf alih dimana pewakaf-pewakaf yang terdiri daripada individu perseorangan, entiti kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) mewakafkan wang tunai untuk diuruskan oleh pengurus aset wakaf atau nazir.

Di Malaysia, pemegang amanah tunggal aset-aset wakaf adalah di bawah bidang kuasa MAIN sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Jadual Ke-9 (Senarai Negeri) Perlembaan Persekutuan (Ahmad Ibrahim, 1997). Pewakaf dan pengurus aset wakaf

(5)

611

tunai perlu mendapat kebenaran daripada pihak MAIN untuk menubuhkan dan mengurus aset wakaf tunai. Dana wakaf tunai yang dikumpulkan akan digunakan tertakluk kepada model pengurusan aset wakaf tunai yang telah ditentukan. Terdapat badan-badan berautoriti agama yang mensyaratkan supaya dana wakaf yang terkumpul dikekalkan melalui pembelian aset kekal seperti bangunan. Terdapat juga amalan pihak pengurus wakaf yang melaburkan aset wakaf dan menyalurkan manfaat wakaf yang diperolehi di dalam bentuk dividen keuntungan dan sewaan kepada penerima-penerima manfaat yang telah ditentukan (Muhammad Ramadhan et.al, 2019).

Manakala jika ditinjau dari aspek tujuan wakaf, wakaf tunai boleh distruktur untuk pelbagai tujuan samada umum ataupun khusus. Bagi tujuan umum, aset wakaf tunai yang dikumpulkan akan disalurkan kepada penerima-penerima manfaat yang terdiri dari sektor keagamaan, pendidikan dan kesihatan. Sebagai contoh, aset wakaf tunai yang dikumpulkan telah digunakan untuk mendirikan masjid bagi kegunaan masyarakat setempat menunaikan ibadat solat dan lain-lain. Selain itu, terdapat aset wakaf tunai yang dikumpulkan bagi tujuan khusus seperti bagi pembiayaan sektor pengajian yang dipraktikkan oleh institusi pengajian tinggi awam. Jadual 1 menunjukkan tiga jenis wakaf tunai yang diamalkan di Malaysia, pihak pengurus serta tujuan ataupun manfaat wakaf.

Jadual 1: Skim Wakaf Tunai yang Diamalkan di Malaysia Skim Wakaf

Tunai

Pengurus (Nazir)/Pentadbir Tujuan/Manfaat Wakaf

Saham Wakaf i. Beberapa MAIN seperti MAIDAM, MAIS, MAIJ, MAINPP, MUIP dan MAINS160.

ii. Saham Wakaf YADIM161 iii. Saham Wakaf YPEIM162

Manfaat umum bagi kemaslahatan umat Islam merangkumi sektor;

i. Keagamaan seperti membina masjid.

ii. Pendidikan seperti membina sekolah agama

160 Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

161 Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) iaitu agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

162 Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

(6)

612

iii. Kesihatan seperti membeli mesin dialisis

Wang Tunai i. Universiti Awam seperti UIAM, UKM, UPM, USIM, UTHM, UM dan UNISZA.

ii. Institusi Pengajian Tinggi Swasta seperti Kolej

Universiti Bestari, Universiti Islam Malaysia dan

Universiti Kolej Baitulmal.

iii. Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB)

Manfaat khusus bagi sektor pendidikan;

i. Biasiswa

ii. Pembelian peralatan untuk

pengajaran dan pembelajaran (P&P) Manfaat umum bagi sektor

pendidikan, kesihatan dan sosial

Saham Wakaf Korporat

i. Johor Corporation (JCorp) Manfaat Umum merangkumi sektor;

i. Kebajikan Am dan Amal seperti membiayai sektor kesihatan dan Masjid An-Nur

ii. Pembangunan modal insan iii. Projek khas

Sebagaimana yang ditunjukkan di dalam Jadual 1, terdapat tiga jenis skim wakaf tunai yang diamalkan di Malaysia iaitu Skim Saham Wakaf, Skim Wakaf Tunai dan Skim Saham Wakaf Korporat. Bagi kategori pertama iaitu Skim Saham Wakaf ianya merujuk kepada pengumpulan dana wakaf melalui penjualan saham wakaf yang bernilai minimum RM10.00. Dana saham wakaf yang dikumpulkan akan disalurkan kepada aktiviti-aktiviti yang berbentuk umum bagi kemaslahatan umat Islam seperti membina masjid, membina sekolah agama dan membeli mesin dialisis. Manakala kategori kedua pula merujuk kepada aset wakaf di dalam bentuk wang tunai yang diserahkan secara terus kepada pengurus wakaf. Pada masa kini terdapat beberapa entiti seperti universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan institusi kewangan Islam yang terlibat di dalam skim wakaf tunai. Manfaat yang diperolehi dari aset wakaf tunai akan disalurkan khusus bagi membiayai sektor pengajian tinggi seperti menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar terpilih dan membeli peralatan-peralatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) seperti pembelian komputer. Kategori ketiga pula memperlihatkan penglibatan

(7)

613

syarikat korporat yang mewakafkan sebahagian saham syarikat (sesetengah penulis seperti (Magda, 2013) dan (Asharaf & Abdullaah, 2013) menyatakan bahawa wakaf korporat adalah merupakan konsep wakaf yang tersendiri). Dividen saham yang diwakafkan akan disalurkan kepada pembiayaan kesihatan dan pembangunan modal insan.

Pembangunan Wakaf Kediaman Warga Emas

Jumlah penduduk di Malaysia yang berusia 65 tahun dan ke atas telah meningkat kepada 2.23 juta orang pada suku keempat tahun 2019 (Bernama, 2019). Keperluan untuk membuat persediaan menghadapi situasi ke arah negara tua ini adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian khusus. Selain pusat-pusat penjagaan warga emas, kewujudan premis kediaman yang lestari khusus untuk warga emas bakal menjadi salah satu usaha untuk menyantuni golongan ini. Antara konsep kediaman warga tua yang kian popular di kalangan masyarakat Islam di Malaysia ialah konsep pondok moden yang menempatkan kediaman untuk warga emas yang ingin mendalami pengajian agama Islam selepas persaraan. Salah satu contoh ialah Pondok Al Jenderami di Selangor.

Pondok moden yang dikelola oleh Yayasan Al Jenderami ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pendidikan pondok yang bersistematik khusus untuk warga emas.

Di peringkat nasional, antara usaha kerajaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah mewujudkan kediaman mesra warga emas bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara. Menurut Menterinya, Zuraida Kamaruddin, sebanyak 20 unit kediaman mesra warga emas telah diperuntukkan bagi setiap blok kediaman (Berita RTM, 2019). Keperluan terhadap kemudahan kediaman warga tua ini bagi menghadapi status “komuniti tua” menjelang 2025 ini bakal meningkatkan lagi beban kewangan kerajaan pada masa akan datang. Penggunaan instrumen wakaf dilihat mampu untuk membantu pihak kerajaan dalam membangunkan prasarana kediaman warga emas. Konsep wakaf mampu menawarkan kaedah pembiayaan pembangunan dan pengurusan operasi kediaman warga emas berasaskan yang lestari.

Kajian ini menjurus ke arah pembangunan kediaman warga emas dengan menggunakan instrumen wakaf. Projek pembangunan wakaf kediaman warga emas ini akan menempatkan unit-unit kediaman untuk warga emas yang boleh diduduki bermula usia pencen sehingga akhir hayat mereka. Sesi pengajian agama secara berkala akan diwujudkan dalam lingkungan kediaman ini bagi memenuhi keperluan rohani warga emas ini. Masjid atau surau akan dibina berdekatan kediaman ini bagi membolehkan sesi pengajian dilaksanakan dan dapat diakses dengan mudah oleh warga emas.

(8)

614

Perkhidmatan mencuci pakaian dan juga kedai-kedai runcit atau pasaraya mini turut akan dibina supaya penduduk dalam kediaman ini boleh mendapatkan keperluan harian mereka dengan mudah. Perkhidmatan kesihatan seperti klinik juga akan disediakan supaya aspek kesihatan warga emas dapat diuruskan dengan sempurna.

Kelebihan Konsep Wakaf Dalam Pembangunan Prasarana

Model ini dibangunkan bagi membantu mana-mana institusi atau organisasi yang ingin membangunkan prasarana kediaman warga emas berasaskan model wakaf. Antara kelebihan menggunakan model wakaf untuk tujuan pembangunan prasarana ini adalah:

a) Konsep wakaf yang menjanjikan ganjaran pahala berterusan daripada Allah mampu menarik minat penyumbang dana untuk mewakafkan harta mereka kepada institusi wakaf.

b) Hasil manfaat wakaf yang bersifat berterusan mampu menampung kos-kos pengurusan dan penyelenggaraan harta-harta wakaf yang telah dibangunkan.

Model Pembangunan Wakaf Lestari Kediaman Warga Emas

Bagi memudahkan perbincangan mengenai model ini, institusi atau organisasi yang ingin membangunkan prasarana kediaman warga emas ini dilabelkan sebagai Pelaksana Projek. Gambarajah 3.1 menunjukkan model pembangunan wakaf lestari kediaman warga emas ini yang merangkumi empat fasa pembangunan iaitu fasa pengumpulan sumber dana wakaf, fasa pembinaan infrastruktur, fasa pengurusan premis dan fasa pengagihan manfaat hasil wakaf.

Fasa 1: Pengumpulan Sumber Dana

Fasa pertama melibatkan pengumpulan sumber dana untuk tujuan membiayai pembangunan kediaman warga emas ini. Konsep wakaf dan juga sedekah digunakan dalam usaha untuk mendapatkan pembiayaan yang berterusan bagi memastikan kelestarian projek pembangunan kediaman warga emas ini. Sumber dana wakaf terdiri daripada wakaf harta tak alih seperti tanah dan juga wakaf tunai. Sekiranya Pelaksana Projek mempunyai tanah yang ingin diwakafkan untuk projek ini, maka tanah tersebut akan diserahkan sebagai harta wakaf kepada Majlis Agama Islam Negeri yang berkenaan. Tanah ini juga mungkin boleh juga disumbangkan oleh institusi luar lain atau orang perseorangan sebagai tanah wakaf.

Pembangunan tanah wakaf untuk sebarang tujuan kebiasaannya akan mengambil masa yang panjang bermula dengan pengumpulan dana wakaf tunai yang akhirnya ditukar (istibdal) kepada aset tak alih seperti bangunan. Oleh yang demikian, bagi mempercepatkan proses pembangunan tersebut, Pelaksana Projek perlu memberi suntikan modal awal supaya pembinaan unit-unit kediaman warga emas dan prasarana

(9)

615

yang berkaitan dapat dimulakan segera. Apabila projek pembinaan telah bermula dan perkembangan pembinaan dapat disaksikan oleh orang ramai, motivasi di kalangan mereka untuk menyumbang ke dalam dana wakaf tunai ini akan bertambah. Suntikan modal awal ini boleh berbentuk pinjaman tanpa faedah, sadaqah atau pun juga wakaf daripada Pelaksana Projek sendiri. Sekiranya ia berbentuk pinjaman tanpa faedah, pembayaran semula akan dibuat menggunakan hasil jualan unit-unit kediaman warga emas itu.

Rajah 0.1 Model Pembangunan Wakaf Lestari Kediaman Warga Emas

Dalam model ini, wakaf tunai boleh juga dikumpulkan melalui penjualan unit-unit kediaman warga emas kepada individu atau organisasi yang berminat. Dalam model ini, setiap pembeli unit-unit kediaman ini perlulah membeli dan seterusnya mewakafkan unit-unit tersebut kepada Majlis Agama Islam Negeri yang berkenaan. Pembeli/pewakaf unit-unit kediaman warga emas ini boleh mendiami premis berkenaan bermula usia pencen sehingga akhir hayat mereka. Semasa membuat pembeli unit-unit kediaman warga emas ini, setiap pembeli/pewakaf perlu menandatangani satu perjanjian untuk

(10)

616

membuat bayaran penyelenggaraan kediaman secara berkala untuk satu tempoh tertentu. Bayaran penyelenggaraan ini akan dikumpulkan juga ke dalam tabung Ghallah bagi tujuan pengagihan kepada kos penyelenggaraan kelak. Semasa pewakaf menyerahkan harta dan juga tunai secara keseluruhannya bagi tujuan mewakafkannya, mereka perlulah mensyaratkan (sighah) bahawa Pelaksana Projek adalah termasuk antara penerima manfaat wakaf (mauquf ‘alaih) dan juga pentadbir harta wakaf (mutawalli) berkenaan bagi pihak Majlis Agama Islam Negeri.

Fasa 2: Pembinaan Harta Wakaf

Pelaksana Projek boleh melantik kontraktor yang sesuai bagi tujuan pembinaan prasarana tersebut. Dengan adanya suntikan modal awal, projek pembinaan boleh dapat dimulakan tanpa perlu menunggu dana wakaf tunai dikumpulkan dan mencukupi.

Sepanjang projek pembinaan ini dijalankan promosi untuk mengumpulkan dana wakaf tunai melalui penjualan unit-unit kediaman warga emas tersebut boleh diteruskan sehingga semua unit kediaman kediaman tersebut dijual. Apabila semua prasarana ini siap, hakmilik tanah dan bangunan-bangunan ini (unit-unit kediaman warga emas, masjid/surau, dobi, pasaraya mini dan klinik) akan diserahkan sebagai harta wakaf kepada Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal harta-harta wakaf di negeri-negeri berkaitan.

Fasa 3: Pengurusan Harta Wakaf

Semua harta wakaf adalah diletakhakkan kepada Majlis Agama Islam Negeri masing- masing. Walau bagaimanapun, pengurusan harta-harta wakaf tersebut boleh dilaksanakan oleh mana-mana institusi atau organisasi yang dilantik oleh pihak Majlis sebagai pentadbir atau pengurus harta wakaf berkenaan. Di dalam model pembangunan wakaf lestari kediaman warga emas ini, Pelaksana Projek boleh memohon untuk dilantik sebagai pentadbir atau pengurus harta wakaf tersebut berdasarkan syarat pewakaf (sighah) yang menetapkan bahawa Pelaksana Projek adalah antara penerima manfaat wakaf dan juga pentadbir harta wakaf. Perkara ini penting bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan harta wakaf berkenaan dapat dilaksanakan secara profesional.

Keterbatasan kepakaran mengurus projek pembangunan dan sumber tenaga kerja yang terhad di dalam Majlis Agama Islam Negeri sering menjadi antara faktor yang merencatkan pembangunan harta-harta wakaf (Puad et al., 2014). Dengan adanya Pelaksana Projek sebagai pengurus atau pentadbir harta wakaf kediaman warga emas ini, pengurusan pembangunan projek dapat dilakukan dengan tadbir urus korporat yang lebih baik dan profesional demi menjamin kelestarian projek pembangunan berkenaan.

(11)

617

Harta-harta wakaf dalam projek pembangunan ini boleh disewakan kepada orang ramai atau institusi bagi menjana pulangan daripada harta berkenaan yang dinamakan sebagai hasil manfaat wakaf. Bagi unit-unit kediaman yang tidak atau belum diduduki oleh orang yang mewakafkannya, pentadbir wakaf (mutawalli) boleh menyewakan unit- unit kediaman terbabit kepada mana-mana individu lain. Hasil sewaan ini akan dimasukkan ke dalam tabung Ghallah wakaf yang akan diagihkan kemudian kepada penerima manfaat (mauquf ‘alaih). Unit-unit komersial juga boleh disewakan kepada pengusaha-pengusaha komersial untuk mewujudkan pasaraya mini, perkhidmatan cucian dan juga klinik kesihatan. Hasil sewaan ini juga akan dimasukkan ke dalam tabung Ghallah wakaf.

Fasa 4: Pengagihan Manfaat Wakaf

Tabung Ghallah mengumpulkan semua tunai kos penyelenggaraan yang diperolehi daripada pembeli/pewakaf kediaman warga emas, hasil sewaan kediaman warga emas dan hasil sewaan lot-lot komersial. Keseluruhan dana di dalam tabung Ghallah ini akan disalurkan kepada Pelaksana Projek selaku penerima manfaat wakaf dan juga pentadbir wakaf. Sebagai pentadbir harta wakaf Pelaksana Projek berhak menggunakan dana tersebut untuk tujuan-tujuan berikut:

a. Menampung kos operasi dan penyelenggaraan harta wakaf di dalam projek pembangunan kediaman warga emas.

b. Pengendalian aktiviti-aktiviti kemasyarakatan (ijtima’ie) di dalam projek pembangunan kediaman warga emas.

c. Pengimarahan aktiviti-aktiviti atau projek pendidikan (Contoh: pembiayaan pendidikan kepada golongan asnaf).

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Amalan wakaf tunai adalah satu medium bagi umat Islam untuk melibatkan diri di dalam aktiviti berbentuk keagamaan dan kebajikan bagi mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Dana wakaf yang dikumpulkan akan disalurkan kepada pihak- pihak penerima di dalam pelbagai sektor terutamanya pendidikan, kesihatan dan kebajikan awam. Melalui kerjasama yang erat di antara pihak berwajib seperti MAIN dan pengurusan hartanah wakaf akan dapat memastikan objektif-objektif wakaf yang digariskan dapat dicapai. Ini secara tidak langsung akan memastikan aset-aset wakaf dapat beroperasi secara lestari.

(12)

618 RUJUKAN

Abdullaah Jalil and Asharaf Mohd. Ramli. (2008) Waqf Instruments for Construction Contract: An Analysis of Structure. The Journal of Muamalat and Islamic Finance Research (JMIFR) 5: 14.

Abdullaah Jalil and Asharaf Mohd. Ramli. (2014) Model Perbankan Wakaf Korporat:

Analisis Wakaf Selangor Muamalat. Jurnal Pengurusan 42: 2014.

Ahmad Mohamed Ibrahim. (1997). Pentadbiran Undang-Udang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: IKIM.

Bernama. (2020, Feb 12). Jumlah rakyat warga emas meningkat 2.23 juta.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/02/543660/jumlah-rakyat-warga- emas-meningkat-223-juta. Akses pada 30 Sept 2020.

al-Zuhayli W. (1997) al-Fiqh al-Islamiyy wa adillatuh, Dimashq: Dar al-Fikr.

Cizakca M. (2011) Islamic capitalism and finance: Origins, evolution and the future, Glos:

Edward Elgar.

E-SMAF. (2019). Fatwa Wakaf Tunai 2000-2019 (2019). http://e-smaf.islam.gov.my/e- smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/3. Akses pada 2 Ogos 2019.

Hajah Mustafa Mohd. Hanefah, Abdullaah Jalil, Asharaf Mohd. Ramli, et al. (2010) Waqf Models in Iskandar Malaysia: An Analysis. 4th Islamic Banking, Accounting and Finance Seminar. Gombak: International Islamic University Malaysia.

Magda Ismail Abdel Mohsin. (2013) Corporate Waqf And Its Role In The Different Societies, The 2nd InternationalConference on Islamic Economics and Economies of the OIC Countries (ICIE 2013) Kuala Lumpur.

Magda Ismail Abdel Mohsin. (2009) Cash Waqf: A New Financial Product, Petaling Jaya:

Prentic Hall - Pearson.

Maybank2u. (2019). Parameter Syariah Untuk Wakaf Tunai.

https://www.maybank2u.com.my. Akses pada 30 Julai 2019.

Media Baru. (2019, Jun 22). KPKT laksana kediaman mesra warga emas "komuniti tua"

menjelang tahun 2025. https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/13505-kpkt- laksana-kediaman-mesra-warga-emas-komuniti-tua-menjelang-tahun-2025.

Akses pada 30 Sept 2020

MyWakaf. (2019) Wakaf Bot. https://www.mywakaf.com.my/ms/our-projects-perak/

Akses pada 1 Ogos 2019.

(13)

619

Puad, N. A. M., Rafdi, N., & Shah, S. W. S. (2014). Issues and Challenges of Waqf Instrument: A Case Study in MAIS. E-Proceedings of the Conference on Management and Muamalah, May, 116–127. https://doi.org/10.1007/s13398-014- 0173-7.2

The World Bank Group & INCEIF & ISRA. (2019). The World Bank Group, INCEIF and ISRA Report on Maximising Social Impacts Through Waqf Solutions. Kuala Lumpur.

Referensi

Dokumen terkait