MUNSHI ABDULLAH, KONFUSIANISME MELAKA DAN KETERLIBATAN DALAM POLEMIK IDENTITI ‘SIANU’
XU QIONGWEN*
Universiti Sains Malaysia [email protected]
AIZA BINTI MASLAN @ BAHARUDIN Universiti Sains Malaysia
MOHD SYAHMIR BIN ALIAS Universiti Sains Malaysia
*Pengarang Perantara
ABSTRAK
Dilahir serta dibesarkan di Melaka pada sekitar abad ke-19 menyebabkan Munshi Abdullah disifatkan mempunyai hubungan yang agak rapat dengan paderi British yang dihantar oleh London Missionary Society (LMS) ke Melaka. Keakraban tersebut secara tidak langsung menyebabkan para sarjana mengaitkan Munshi Abdullah dengan kefahaman beliau tentang pemikiran Konfusianisme dan penglibatan dalam karya-karya terbitan paderi British, terutamanya jurnal The Indo-Chinese Gleaner.Sebahagian daripada isi artikel karya ‘Sianu’
yang disiarkan dalam jurnal berkenaan disifatkan mempunyai persamaan dengan Hikayat Abdullah. Justeru itu, tidak mustahil nama pena ‘Sianu’ mencetuskan polemik tentang identiti sebenar ‘Sianu’ yang turut melibatkan Munshi Abdullah. Artikel ini akan menggalurkan hubungan Munshi Abdullah dan Konfusianisme Melaka dalam konteks kedatangan paderi British serta persekitaran majmuk Melaka pada awal abad ke-19 Masihi.
Tulisan ini seterusnya akan mengkaji Munshi Abdullah dan hubungannya dengan polemik identiti ‘Sianu’. Kajian ini adalah berbentuk kualitatif yang berpandukan pendekatan analisis tekstual melibatkan Hikayat Abdullah dan artikel-artikel ‘Sianu’ yang tersiar dalam jurnal The Indo-Chinese Gleaner. Dapatan kajian menunjukkan bahawa besar kemungkinan Munshi Abdullah pernah mengetahui tentang Konfusianisme daripada Konfusianisme Melaka, guru Cina bagi paderi-paderi British dan masyarakat Cina tempatan. Kajian ini juga mendapati bahawa identiti ‘Sianu’ mungkin merujuk kepada
Claudius Henry Thomsen dan Munshi Abdullah merupakan pemberita dan penterjemah bagi karya-karya Claudius Henry Thomsen semasa beliau menulis artikel-artikel untuk The Indo-Chinese Gleaner.
Kata kunci: konfusianisme Melaka; Munshi Abdullah; paderi British; Sianu; The Indo- Chinese Gleaner
MUNSHI ABDULLAH, MALACCA CONFUCIANISM AND INVOLVEMENT IN THE ‘SIANU’ IDENTITY POLEMIC
ABSTRACT
Munshi Abdullah, who was born and nurtured in Malacca in the late 19th century, is claimed to have been closely associated with British priests sent to Malacca by the London Missionary Society (LMS). Because of their proximity, researchers have unintentionally linked Munshi Abdullah's comprehension of Confucian philosophy and participation in British priests' publications, notably The Indo-Chinese Gleaner, with his grasp of Confucian philosophy. It is believed that some of the content in the articles by "Sianu" that were printed in the aforementioned journal is similar to that of Hikayat Abdullah. As a result, the alias "Sianu" created a debate with Munshi Abdullah concerning Sianu's real identity. In light of the presence of British missionaries and Malacca's multiethnic population, this paper will examine the connection between Munshi Abdullah and Malacca Confucianism. This paper will then look at Munshi Abdullah and how he relates to the
"Sianu" identity debate. This study is qualitatively based on the approach of textual analysis involving Hikayat Abdullah and 'Sianu' articles published in The Indo-Chinese Gleaner. Research findings show that Munshi Abdullah may have known about Confucianism from Malacca Confucianism, the Chinese teacher for British priests, and the local Chinese community. This study also found that Sianu's identity may refer to Claudius Henry Thomsen and Munshi Abdullah was a reporter and translator for Claudius Henry Thomsen when Claudius Henry Thomsen wrote articles for The Indo-Chinese Gleaner.
Keywords: Malacca Confucianisme; Munshi Abdullah; British missionaries; Sianu; The Indo-Chinese Gleaner
PENGENALAN
Sejak zaman dahulu, lokasi Melaka yang strategik telah banyak mendapat perhatian daripada pihak dari dalam dan luar negara. Segolongan paderi British yang dihantar oleh London Missionary Society (LMS) juga turut memerhatikan Melaka. Pada tahun 1815,
paderi British bernama William Milne datang ke Melaka untuk melaksanakan arahan Robert Morrison bagi membina pusat pendakwahan Kristian Protestant di lingkungan Asia, iaitu Ultra-Ganges Mission. William Milne dan Robert Morrison merancang untuk menerbitkan terbitan berkala dalam bahasa Inggeris supaya dapat menjalinkan hubungan dan kerjasama antara kumpulan pendakwah yang bertebaran di kawasan Indo-China.
Rancangan ini direalisasikan pada tahun 1817 apabila jurnal The Indo-Chinese Gleaner berjaya diterbitkan. Jurnal ini mengandungi banyak peristiwa tentang China dan negara jirannya berbanding dengan perkara-perkara berkenaan Kristian Protestant.
Kebanyakan isi tentang China di dalam jurnal ini berkaitan dengan kebudayaan China dan Konfusianisme. Ini kerana, sasaran pendakwahan bagi paderi British ialah golongan China, dan William Milne menyedari bahawa Konfusianisme mempengaruhi kepercayaan, pendidikan serta pemikiran orang China (Kitson, 2017: 9). Jika mereka ingin berjaya menyebarkan dakwah Kristian Protestant kepada golongan ini, mereka harus menyerapkan Konfusianisme ke dalam kerja dakwah. Justeru, kebanyakan paderi British yang datang ke Melaka turut mendekatkan diri dengan bahasa China dan kitab klasik China, terutamanya kitab klasik Konfusianisme iaitu Empat Buku (Sìshū) dan Lima Klasik (Wŭjīng) untuk memudahkan kerja pendakwahan mereka. Lama-kelamaan, golongan paderi ini dipanggil Konfusianisme Melaka atau Konfusianisme Paderi (Kitson, 2017: 3 &
Tee, 2018: 23).
Semasa Konfusianisme Melaka bergerak di Melaka, Abdullah bin Abdul Kadir (1797-1854) atau dikenali sebagai Munshi Abdullah telah bergaul rapat dengan mereka.
Munshi Abdullah dilahirkan di Kampung Pali, Melaka pada hujung abad ke-18 dan mendiami Melaka pada awal abad ke-19. Beliau merupakan seorang tokoh sastera terkemuka di alam Melayu serta digelar sebagai “Bapa Kesusasteraan Moden Melayu” dan
“Perintis Percetakan Malaysia”. Antara ahli-ahli Konfusianisme Melaka pertama yang dikenali oleh Munshi Abdullah adalah William Milne. Selain William Milne, Munshi Abdullah juga turut mengenali Robert Morrison, Water Henry Medhurst, David Collie dan Samuel Kidd. Nama-nama mereka kerap disebut dalam Hikayat Abdullah. Justeru, sukar untuk dinafikan bahawa Munshi Abdullah tidak mengetahui sedikit pun mengenai ilmu Konfusianisme kerana beliau juga turut mengambil bahagian dalam proses penerbitan The Indo-Chinese Gleaner.
Munshi Abdullah dikatakan bekerja sebagai pembantu bagi salah seorang pengarang The Indo-Chinese Gleaner yang bernama Sianu. Beliau dikatakan sebagai salah seorang pembantu Sianu kerana sebahagian isi kandungan daripada artikel Sianu selaras dengan isi Hikayat Abdullah. Bilangan artikel yang ditulis oleh Sianu di dalam jurnal The Indo-Chinese Gleaner berjumlah 12 artikel. Semua artikel ini berkaitan dengan kebudayaan Melayu dan hubungannya dengan orang Barat serta agama Islam. Walau bagaimanapun, identiti Sianu menjadi suatu misteri. Para sarjana cuba memecahkan misteri ini dengan merujuk kepada beberapa orang paderi yang dekat dengan Munshi Abdullah,
antaranya termasuklah William Milne dan Claudius Henry Thomsen. Carroll (1999) berpandangan bahawa artikel Sianu dihasilkan oleh William Milne dengan kerjasama Munshi Abdullah, di mana Sianu merujuk kepada William Milne. Manakala, Begbie (1967) dan Hill (1970) berpendapat bahawa Sianu merujuk kepada Claudius Henry Thomsen yang menguruskan Jabatan Bahasa Melayu di Kolej Anglo-Chinese.
Jika ditelusuri kajian lampau pula, perbincangan tentang pengaruh paderi British terhadap Munshi Abdullah banyak dilakukan dari aspek percetakan, gaya penulisan, pemikiran kritikal dan realisme. Namun, hubungan paderi British sebagai ahli kaji Konfusianisme dan Munshi Abdullah masih belum dibincangkan. Selain itu, identiti Sianu juga masih menjadi misteri dan tanda tanya. Lantaran itu, kajian ini dilakukan bagi menggalurkan hubungan Munshi Abdullah dan Konfusianisme Melaka dalam konteks kedatangan paderi British serta persekitaran majmuk Melaka pada awal abad ke-19 Masihi.
Kemudian, kajian ini akan meneroka perihal Munshi Abdullah dan hubungannya dengan polemik identiti Sianu. Pendekatan analisis tekstual iaitu Hikayat Abdullah dan artikel- artikel Sianu yang diterbitkan dalam jurnal The Indo-Chinese Gleaner turut diaplikasikan dalam kajian ini.
METODOLOGI
Kajian ini adalah kajian kualitatif yang mengaplikasikan kaedah analisis tekstual.
Pendekatan analisis tekstual dipakai dalam kajian ini kerana ianya berpotensi untuk mengeluarkan pelbagai versi interpretasi terhadap ideologi dan kebudayaan yang berada dalam teks tertentu. Dengan kata lain, pemahaman dan penjelasan terhadap ideologi dan kebudayaan dalam teks tertentu bersifat polemik mengikut latar belakang pembaca yang berbeza (Fürsich, 2014: 3). Selain itu, kelebihan kaedah analisis tekstual pula menyediakan kepelbagaian bacaan dan makna yang memungkinkan pengkaji menerokai sesuatu teks daripada perspektif yang pelbagai (Arya, 2020: 177). Di samping itu, kaedah analisis tekstual juga diaplikasi untuk membongkar unsur-unsur budaya dan ideologi yang berkemungkinan mempengaruhi Munshi Abdullah, sekali gus mendorong Munshi Abdullah bersikap toleransi dan kritikal terhadap golongan paderi British. Sumber-sumber yang digunakan termasuk Hikayat Abdullah, artikel-artikel ‘Sianu’ yang dipamerkan dalam The Indo-Chinese Gleaner dan kajian tentang paderi British yang dimiliki London Missionary Society (LMS).
SOROTAN LITERATUR
Kajian tentang Munshi Abdullah dan paderi British telah banyak dibincangkan oleh para sarjana. Antara sarjana tersebut ialah Carroll (1999) yang berbincang mengenai pengaruh paderi di Melaka dan Singapura serta penerbitan mereka terhadap penulisan sastera Munshi Abdullah. Carroll juga memilih isi daripada Hikayat Abdullah untuk menyiasat sama ada
isi ini selaras dengan wacana Eropah dalam karya terbitan kontemporari seperti Sejarah Melayu, The Indo-Chinese Gleaner yang diterbitkan oleh paderi Melaka pada tahun 1817- 1822, Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia, Political and Statistical Account dan A Memory of Robert Morrison. Kupasan Carroll terhadap artikel Sianu dalam The Indo-Chinese Gleaner amat menarik kerana beliau berpandangan bahawa artikel-artikel yang menggunakan nama pena Sianu dihasilkan oleh William Milne dan Munshi Abdullah.
Jan ven der Putten (2006) pula cuba menjejaki pengaruh Eropah melalui penulisan Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan, serta dalam masa yang sama berbincang tentang pengaruh paderi Eropah terhadap karya Munshi Abdullah secara mendalam. Putten (2006) mendapati bahawa penglibatan dan pengaruh paderi Eropah terhadap karya Munshi Abdullah meningkatkan kepentingan karya tersebut sekali gus menjaga kedudukan beliau sebagai Bapa Kesusasteraan Moden Melayu. Selain itu, pengaruh Eropah juga turut dibincangkan oleh Ahmad Murad Merican (2006; 2011), iaitu hubungan Munshi Abdullah dan perkembangan percetakan semasa kedatangan orang Eropah di samping pandangan Munshi Abdullah terhadap orang Barat menerusi Hikayat Abdullah dari sudut pandangan Barat dan bukan Barat.
Seterusnya, antara pengkaji lain yang mengkaji perihal Munshi Abdullah ialah Anthony Milner (2002). Beliau menganalisis politik di Kolonial Malaya menerusi karya- karya Munshi Abdullah. Sementara itu, Krishnan (2007) menyelidik Hikayat Abdullah dari perspektif globalisasi. Mohammad Saleeh Rahamad (2009) pula berbincang tentang pengaruh budaya penulisan Barat dan aliran realisme terhadap Munshi Abdullah. Manakala, Hadijah Rahmat (2021) pula cuba menjelaskan peranan Munshi Abdullah sebagai penterjemah bagi Bible ke dalam versi bahasa Melayu supaya Munshi Abdullah tidak digelar sebagai tali barut Kristianisasi Melayu.
Selepas meninjau kajian lampau tentang Munshi Abdullah dan orang Eropah, penulis mendapati bahawa perspektif setiap penyelidik adalah pelbagai tetapi terdapat dua aspek yang dipinggirkan. Antara aspek tersebut ialah pertama, para sarjana memerhatikan pengaruh paderi British terhadap Munshi Abdullah tetapi mereka mengetepikan identiti paderi British sebagai ahli kaji China, terutamanya sarjana dalam bidang Konfusianisme.
Kedua, para sarjana juga mendapati bahawa Munshi Abdullah pernah menyumbangkan usahanya dalam penerbitan The Indo-Chinese Gleaner, sementara mendapati bahawa nama pena Sianu sebenarnya merujuk kepada William Milne atau Claudius Henry Thomsen yang pernah bergaul rapat dengan Munshi Abdullah (Begbie, 1967: 460; Hill, 1970: 116 &
Carroll, 1999: 111).
Namun begitu, malang sekali tiada jawapan yang tepat bagi identiti Sianu. Ini kerana, selepas tahun 1999, hampir tiada lagi sarjana yang mengendahkan identiti Sianu.
Lantaran itu, kajian ini akan menggalurkan hubungan Munshi Abdullah dan Konfusianisme Melaka dalam konteks kedatangan paderi British serta persekitaran majmuk Melaka pada awal abad ke-19 Masihi. Kedua, pengkaji akan meneroka perihal
Munshi Abdullah dan hubungannya dengan polemik identiti Sianu.
MUNSHI ABDULLAH DAN KONFUSIANISME
Pada tahun 1795, orang Belanda menyerahkan tanah jajahan Melaka kepada British disebabkan oleh pengaruh peperangan Napoleonik. Maka, bermula pada tahun 1795 hingga 1818, British bertindak selaku penakluk sementara Melaka. Selepas tahun 1818, Belanda mengambil semula Melaka daripada British dan mengurusnya sehingga tahun 1824.
Kemudian, Inggeris dan Belanda menandatangani Perjanjian Inggeris-Belanda di London pada tahun 1824 dan bersetuju Melaka diberikan kepada Inggeris secara rasmi.
Dalam tempoh ini, keadaan ekonomi di Melaka semakin merosot kerana subjek politik di negeri itu sering berubah. Walaupun British terus menggunakan piawaian Belanda terhadap cukai perdagangan dan sistem pengurusan Belanda semasa memerintah negeri itu, tetapi rancangan berkenaan pemindahan pusat pelabuhan dari Melaka ke Penang mempengaruhi perkembangan ekonomi Melaka (Nordin Hussin, 2007: 25).
Dalam pada itu, walaupun Melaka kehilangan nilai ekonomi, namun lokasinya yang strategik dan keadaan persekitaran masyarakat yang damai dan aman telah memancing perhatian golongan paderi yang dihantar oleh London Missionary Society (LMS). Pada tahun 1815, William Milne melaksanakan arahan Robert Morrison untuk membina Ultra-Ganges Mission di Melaka. Ultra-Ganges merujuk kepada kawasan Timur Sungai Gangga yang merangkumi China, Melayu dan India. Semua paderi London Missionary Society (LMS) yang dihantar ke kawasan ini akan bekerja bawah Ultra-Ganges Mission (Milne, 2008: 66).
Menurut Milne (2008: 64), Melaka terpilih sebagai pusat pendakwahan Kristian Protestant disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, Melaka mempunyai lokasi strategik, iaitu berdekatan dengan China dan komuniti Cina lain yang bertaburan di Nusantara.
Kedua, Melaka mempunyai lebih banyak peluang untuk berkomunikasi dengan dunia luar.
Ketiga, persekitaran Melaka baik untuk kesihatan. Keempat, masyarakat Melaka sangat damai dan sejahtera, di mana penduduknya penuh dengan nilai kekeluargaan, membiasakan diri dengan undang-undang tempatan, rajin bekerja serta menghormati pegawai tempatan. Seluruh kawasan memenuhi suasana harmoni dan tenang (Zhang, 2016:
284). Namun, perkara terpenting sekali ialah pihak berkuasa Melaka menyokong tugasan pendakwahan mereka (Milne, 2008: 64). Jadi, Melaka dijadikan pusat pendakwahan Protestant di lingkungan Asia.
Tujuan utama paderi British datang ke Melaka ialah untuk menyebarkan dakwah Kristian Protestant kepada komuniti Cina. Mereka memainkan peranan penting sebagai perantara pertukaran budaya antara China dan Barat, bahkan di Nusantara pada awal abad ke-19. Kebanyakan paderi British di Melaka merupakan ahli kaji China. Mereka dikenali sebagai Konfusianisme Melaka (Kitson, 2017: 8) dan banyak menghabiskan masa untuk
mendekatkan diri dengan bahasa dan kebudayaan klasik China terutamanya kitab klasik Konfusianisme iaitu Empat Buku (Sìshū) dan Lima Klasik (Wŭjīng). Ini kerana, Konfusianisme membentuk kepercayaan, pendidikan dan pemikiran orang China (Kitson, 2017: 9). Jadi, William Milne berpendapat bahawa edisi terjemahan Bible harus meminjam dan mengekalkan isi Empat Buku (Sìshū) serta Lima Klasik (Wŭjīng) untuk memudahkan dakwah mereka dalam komuniti Cina (Milne, 2008: 111).
Apabila ditelusuri sejarah kajian akademi Konfusianisme di Malaysia, Konfusianisme Melaka (1818-1843) di Kolej Anglo-Chinese melakar kemuncak perkembangan akademi Konfusianisme pada tahun 1600-1876 (Tee, 2018: 23). Yang menariknya, Munshi Abdullah pernah merapatkan diri dengan mereka sebagai guru bahasa Melayu, penterjemah, pencetak, pemberita bahkan pengurus sementara Kolej Anglo- Chinese. Ahli Konfusianisme Melaka paderi British yang pertama dikenali oleh Munshi Abdullah pula ialah William Milne.
William Milne tiba di Macao pada tahun 1813, tetapi beliau dihalau oleh pihak Portugis kerana disangka mempunyai tujuan pendakwahan dan berkemungkinan merugikan kepentingan gereja Roman Katolik. Kemudian William Milne pergi ke Kanton, China tetapi beliau tidak berjaya mendiami Kanton secara rasmi disebabkan oleh larangan kerajaan China terhadap pendakwahan Kristian (Milne, 2018: 103-104). Walaupun begitu, William Milne berjaya menetap di Kanton secara rahsia selama beberapa bulan untuk belajar bahasa China. Bagi menjaga keselamatan diri, William Milne akhirnya membuat keputusan untuk menetap di Melaka.
Untuk memulakan pendakwahan mereka di Melaka pula, William Milne dan Robert Morrison membuat sepuluh keputusan. Salah satu daripada sepuluh keputusan tersebut ialah menerbitkan terbitan berkala dalam bahasa Inggeris supaya hubungan dan kerjasama antara kumpulan pendakwah yang bertebaran di kawasan Indo-China dapat dijalinkan (Milne, 2018: 66). Keputusan ini direalisasikan pada tahun 1817 dengan penerbitan The Indo-Chinese Gleaner, iaitu jurnal dalam bahasa Inggeris yang dilancarkan pada Mei 1817 di Melaka. Penerbitnya ialah William Milne.
Indo-Chinese merujuk kepada konsep ruang, iaitu kawasan yang bermula dari India hingga ke China. The Indo-Chinese Gleaner diwujudkan bagi menghubungkan para pendakwah British di kawasan Indo-China dan mengikuti perkembangan dakwah masing- masing. Walau bagaimanapun, sepanjang proses perkembangannya, jurnal ini lebih banyak menerbitkan peristiwa tentang China dan negara jirannya seperti ilmu sastera, falsafah, sejarah, budaya sosial tentang kawasan Indo-China serta terjemahan karya-karya dalam bahasa China dan Melayu berbanding perkara-perkara berkaitan Kristian Protestant.
Selain itu, jurnal ini juga lebih memberikan perhatian kepada literatur tentang kawasan yang masyarakatnya beragama Islam di Asia Tenggara. Bilangan artikel berkaitan kebudayaan Melayu dan hubungan orang Melayu dengan orang Barat melebihi 10 artikel (Wu, 2009). Yang menariknya, kebanyakan artikel berkaitan dunia Melayu dikarang oleh
Sianu. Namun begitu, identiti Sianu masih menjadi misteri dan tanda tanya. Perkara ini akan diterangkan dengan lebih terperinci dalam bahagian polemik identiti Sianu.
Seterusnya, Carroll (1999) berpendapat bahawa ketika Munshi Abdullah menulis Hikayat Abdullah, beliau pernah merujuk hasil terbitan paderi British lalu menganyam dapatan dan refleksi diri dari terbitan itu ke dalam Hikayat Abdullah untuk membangkitkan masyarakat kontemporari. Antara sumber-sumber yang dirujuk oleh Munshi Abdullah termasuklah penulisan paderi Melaka seperti The Indo-Chinese Gleaner yang diterbitkan antara tahun 1817 hingga 1822 dan karya-karya lain. Jurnal The Indo-Chinese Gleaner banyak mengandungi pemikiran dan kebudayaan tradisi China, terutamanya pemikiran Konfusianisme. Justeru, sebagai salah seorang penyumbang dalam The Indo-Chinese Gleaner, Munshi Abdullah turut berkemungkinan besar pernah membaca jurnal tersebut.
Seterusnya, Munshi Abdullah pernah menyebut nama Robert Morrison (1782-1834) dalam Hikayat Abdullah (Abdullah, 1997: 115). Robert Morrison merupakan paderi Kristian Protestant yang pertama dihantar ke China. Beliau memainkan peranan penting dalam pertukaran budaya antara China dan Barat (Su, 2008: 11). Robert Morrison merupakan pengasas Kolej Anglo-Chinese. Beliau pernah menziarahi Melaka pada tahun 1823 selama lima bulan (Eilza, 2008: 97-99).
Menurut Munshi Abdullah, Robert Morrison pernah tinggal bersama dengan William Milne dalam tempoh lawatannya ke Melaka. Hal ini memberikan kesempatan kepada William Milne untuk belajar bahasa China daripada Robert Morrison. Namun begitu, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa semasa Robert Morrison menziarahi Melaka, William Milne telah meninggal dunia. Oleh yang demikian, besar kemungkinan bahawa William Milne pernah memberitahu Munshi Abdullah perihal Robert Morrison yang pernah mengajar beliau bahasa China di Kanton.
Munshi Abdullah memuji kepandaian Robert Morrison dalam kebudayaan China seperti berikut:
Adapun pekerjaan Robert Morrison itu, siang malam tiada bercerai daripada belajar bahasa Cina dan menulis Cina. Ia menulis itu dengan kalam Cina juga. Maka adalah pada fikiranku dalam zaman itu belumlah ada seorang pun orang putih yang terlebih pandai bahasa dan surat Cina daripada Robert Morrison. Maka William Milne itu pun belajar daripadanya. Maka salahnya sedikit; ia memakai cara Inggeris sahaja, maka jikalau ia memakai cara Cina, maka seorang pun tiada mengenal ia orang Putih adanya. Adapun sebab aku berkata demikian itu, oleh sebab kelakuannya dan pertuturannya dan tingkah lakunya dan segala perkakas rumahnya semuanya seperti orang Cina adanya.
(Abdullah, 1997: 115)
Selepas Munshi Abdullah melihat kepandaian dan pencapaian Robert Morrison dalam bidang kebudayaan China, sekali lagi beliau memuji Robert Morrison seperti ini:
Maka hairanlah aku sebab melihatkan hal manusia ini, barang apa yang dibiasakannya itulah yang diperolehnya. Maka dari sebab hal yang demikianlah sayugianya bagi orang yang bijaksana itu membiasakan dirinya dalam segala perkara yang baik, nescaya didapatlah kebajikan.
Mudah-mudahan tetap ia dalamnya.
(Abdullah, 1997: 115)
Namun, apa yang uniknya ialah kata-kata Munshi Abdullah mirip dengan ucapan daripada pengasas Konfusianisme iaitu Konfusius. Konfusius berkata:
Adakah susah berperikemanusiaan? Kalau saya mahu mendekatinya, tidak jauh.
(Lunyu 7: 30)
Selain William Milne dan Robert Morrison, Abdullah juga pernah menyentuh nama-nama Konfusianisme Melaka lain dalam Hikayat Abdullah seperti Walter Henry Medhurst, David Collie dan Samuel Kidd. David Collie merupakan guru besar yang ketiga di Kolej Anglo-Chinese. Beliau menterjemahkan kitab klasik Konfusianisme bertajuk Empat Buku1 ke dalam bahasa Inggeris di Melaka dan buku terjemahan ini diterbitkan pada tahun 1828 (Wylie, 2011: 61-63). Yang menariknya, Munshi Abdullah berada di Melaka ketika David Collie menterjemah dan menerbitkan Empat Buku versi Inggeris.
Pada masa itu, Munshi Abdullah menjadi pustakawan dan ketua bahagian percetakan di Kolej Anglo-Chinese untuk David Collie dan Samuel Kidd. Beliau bertanggungjawab untuk menyelia kerja-kerja percetakan Jabatan Melayu, Cina dan Inggeris kerana tiada siapa pun di kolej ketika itu boleh membuat kerja-kerja ini (Abdullah, 2008: 256). Dalam hal ini, besar kemungkinan Munshi Abdullah yang telah bekerja hampir 30 tahun dengan ahli-ahli Konfusianisme Melaka pernah mendengar tentang Konfusianisme daripada golongan Konfusianisme Melaka.
Seterusnya, persekitaran masyarakat di sekeliling Munshi Abdullah juga merupakan perkara penting dalam menganalisis hubungan Munshi Abdullah dan Konfusianisme. Ini kerana, masyarakat Melaka bersifat majmuk pada abad ke-19. Pada awal abad ke-19, penjajah British menggalakkan kemasukan imigran dari China dan India menjadi tenaga buruh di industri perlombongan dan perladangan (Ayu Nor Azilah Mohamad et al., 2019: 196). Pelbagai bangsa menetap di Melaka seperti Cina, India, Keling, Eropah dan masyarakat berketurunan perkahwinan campur seperti Baba dan Nyonya. Dalam tempoh 1808-1814, populasi Melaka mencapai jumlah 20,000 orang dan jumlah penduduk Cina melebihi 5000 orang. Kebanyakan mereka memegang kepercayaan campur dengan Konfusianisme, Taoism dan Buddhism (Su, 1996: 103). Oleh itu, Munshi Abdullah mungkin mengetahui pemikiran Konfusianisme daripada orang-orang Cina yang menetap di Melaka atau guru Cina bagi para paderi British.
Munshi Abdullah bersahabat dengan seorang guru Cina bernama Li Sian Sing yang bekerja dengan Konfusianisme Melaka. Beliau pernah belajar bahasa Cina dengan Li Sian Sing dan turut mengajar Li Sian Sing bahasa Melayu (Hikayat Abdullah, 1997: 102). Oleh yang demikian, Rahamad (2009: 120) berpendapat bahawa Munshi Abdullah mahir dalam bahasa Tionghua. Disebabkan Munshi Abdullah mahir dengan bahasa ini, berkemungkinan besar beliau pernah membaca penerbitan dalam bahasa China walaupun kefasihannya dalam bahasa tersebut tidak dapat dibuktikan.
Selain itu, Hikayat Abdullah turut menunjukkan bahawa Munshi Abdullah juga terbiasa dengan adat-istiadat kebudayaan Cina, di mana beliau pernah menerangkan adat orang Cina menyembah berhala kepada William Milne. Munshi Abdullah juga pernah menceritakan dan menuliskan perihal berhala, hikayat-hikayat, dan adat-adat Cina kepada Thomas John Newbold2 (Abdullah, 2008: 275). Beliau juga pernah menerangkan adat tahyul berkenaan seni bina orang Cina dalam penulisannya (Abdullah, 2008: 256). Beliau turut mengutip peribahasa Cina dalam Hikayat Abdullah seperti, “Adakah air yang penuh dalam tong itu berkocak? Melainkan air yang setengah tong itu juga yang berkocak”
(Abdullah, 1997). Selain itu, sejarah Peperangan Opium Pertama yang berlaku di China antara tahun 1840-1842 turut dicatat oleh beliau, di samping mencatat sumber primer tentang T’ien Ti Hui (The Society of the Heaven and the Earth). Justeru, hal-hal ini membuktikan bahawa Munshi Abdullah sebenarnya mengetahui banyak perkara tentang kebudayaan Cina.
Menurut Hadijah Rahmat (2021: 290) pula, jumlah sebutan bangsa Cina yang disebutkan oleh Munshi Abdullah dalam Hikayat Abdullah mencecah 322 kali sebutan dan ini membuktikan bahawa Munshi Abdullah mementingkan bangsa Cina. Malah, rumah Munshi Abdullah yang terletak di Kampung Ketek sangat dekat dengan kuil Cheng Hoon Teng yang dibina oleh orang Cina pada abad ke-15 yang mana di dalam kuil ini, terdapat altar Konfusianisme, Daoisme dan Buddisme. Oleh itu, bersesuaian dengan watak Munshi Abdullah yang rajin belajar dan bersifat ingin tahu, beliau mungkin pernah mengetahui tentang Konfusiusianisme daripada Konfusianisme Melaka, guru Cina bagi paderi-paderi British dan masyarakat Cina tempatan.
RAJAH 1. Jarak Rumah Munshi Abdullah dari Kuil Cheng Hoon Teng Sumber: Lokasi Rumah Munshi Abdullah dan Kuil Cheng Hoon Teng (2019)
JADUAL 1. Kekerapan Penggunaan Etnik dalam Karya Munshi Abdullah Sumber: Hadijah Rahmat (2021: 290)
POLEMIK IDENTITI ‘SIANU’
Sianu merupakan nama pena bagi seorang pengarang dalam jurnal The Indo-Chinese Gleaner. Identiti Sianu telah dibincangkan oleh beberapa orang sarjana tetapi perbincangan tersebut tidak mendalam dan mereka mempunyai pandangan berbeza tentang identiti Sianu.
Carrol (1999: 111) berpendapat bahawa 12 atau lebih artikel yang ditulis oleh Sianu dalam The Indo-Chinese Gleaner dihasilkan oleh Munshi Abdullah dan William Milne. Manakala, Begbie (1967: 460) mempercayai bahawa Sianu merupakan nama pena Claudius Henry Thomsen.
Kajian ini bersetuju dengan pandangan Begbie bahawa Sianu merujuk kepada Claudius Henry Thomsen. Selain itu, kajian ini juga berpandangan bahawa Munshi Abdullah pernah memberikan kerjasama selaku penterjemah dan pemberita bagi Claudius Henry Thomsen. Ini kerana, kandungan dan kesalahan ejaan dalam artikel-artikel Sianu selaras dengan penceritaan Munshi Abdullah dalam Hikayat Abdullah.
No. Tajuk Pengarang Volum-Isu (Tarikh)
1 Malay Idea of the Creation (Miscellanea)
Tidak Diketahui (Mungkin Sianu)
1-2 (08/1817) 2 The View which More Intelligent Malays
Give of the Present World (Terjemahan)
Sianu 1-4 (05/1818) 3 A Reason Assigned by the Mohamedans for
Rejecting the Gospel (Terjemahan)
Sianu 1-5 (08/1818) 4 Mahomedan Views of Scripture History
(Terjemahan)
Sianu 1-6 (10/1818) 5 Mahomedan History of Cain and Abel
(Terjemahan)
Sianu 2-7 (01/1819)
6 Malay Demons (Terjemahan) Sianu 2-8 (04/1819)
7 Malay Witches (Terjemahan) Sianu 2-9 (07/1819)
8 State of Education among the Malays in Malacca
Sianu 2-10 (10/1819) 9 Magic among the Malays (Terjemahan) Sianu 2-12 (04/1820) 10 A Letter from Joseph, to His Father Jacob.
(Terjemahan)
Sianu 3-16 (04/1821)
11 Queries Sianu 3-18 (10/1821)
12 The Planting of Christianity in the Moluccas (Indo-Chinese Christian Miscellanies)
Sianu 3-20 (04/1822)
JADUAL 2. Susunan Karya-karya Sianu dalam The Indo-Chinese Gleaner
Penulisan tentang Punishments dalam artikel State of Education Among the Malays in Malacca yang dibukukan dalam The Indo-Chinese Gleaner amat bertepatan dengan penerangan Munshi Abdullah tentang hukuman terhadap pelajar di sekolah dalam Hikayat Abdullah. Namun, apa yang berbeza ialah keadaan pendidikan Melaka dalam Hikayat Abdullah lebih teliti berbanding dengan artikel dalam The Indo-Chinese Gleaner.
Dari aspek isi kandungan pula, artikel bertajuk Malay Demons, Malay Witches, State of Education Among the Malays in Malacca dan Magic among the Malays mencakupi
sebahagian isi daripada Hikayat Abdullah. Munshi Abdullah pernah menceritakan perihal penanggalan dan polong bahkan melukis gambar penanggalan kepada William Milne.
William Milne juga pernah memaklumkan bahawa dia akan menyalin perkara berkaitan penanggalan itu (polong tidak disebutkan) ke dalam bahasa Inggeris lalu memasukkannya ke dalam The Indo-Chinese Gleaner (Abdullah, 1997: 111).
Cerita tentang polong bertajuk Malay Demons diterbitkan dalam Isu 8, Jilid 2 The Indo-Chinese Gleaner. Manakala, cerita tentang penanggalan ditemui dalam Malay Witches yang diterbitkan dalam Isu 9, Jilid 2 The The Indo-Chinese Gleaner. Munshi Abdullah juga pernah menerangkan segala nama hantu yang dipercayai oleh orang Cina dan Melayu kepada William Milne. Antaranya termasuklah hantu syaitan, polong, pontianak, penanggalan, jin pelesit, mambang dan sebagainya (Abdullah, 1997: 108).
Nama-nama hantu yang disenaraikan di atas terdapat dalam artikel Magic Among the Malays yang terkandung dalam Isu 12, Jilid 2 The The Indo-Chinese Gleaner. Sianu menyenaraikan nama syaitan seperti iblis, shetan, jin, fari, dewa, mambang, gargazi, polang dan sebagainya dalam artikel ini (Sianu, 1820: 312). Oleh hal yang demikian, Munshi Abdullah berkemungkinan besar merupakan pemberita bagi artikel-artikel tersebut.
Jika diamati dari aspek pembentukan perkataan bahasa Melayu pula, terdapat perubahan huruf dalam penggunaan kata-kata bahasa Melayu dalam artikel Sianu.
Misalnya, perkataan syaitan dieja sebagai shetan, gergasi sebagai gargazi, dan polong dieja dengan polang. Hal ini selari dengan rungutan Munshi Abdullah tentang amalan pembelajaran dan penterjemahan Claudius Henry Thomsen.
RAJAH 2. Lukisan Polong dalam The Indo-Chinese Gleaner Sumber: Sianu (1819: 73)
RAJAH 3. Lukisan Penanggalan dalam The Indo-Chinese Gleaner Sumber: Sianu (1819: 140)
Menurut Munshi Abdullah (1997: 105), sikap pembelajaran William Milne dan Claudius Henry Thomsen amat berbeza. William Milne ingin mengikuti perkataan, ejaan, sebutan, bacaan dan penggunaan bahasa Melayu yang betul, manakala Claudius Henry Thomsen tidak mahu. Claudius Henry Thomsen selalu mengambil pedoman daripada bahasa Inggeris atau bahasa lain-lain, lalu disalin kepada bahasa Melayu dengan tidak mengendalikan jalan bahasa Melayu (Abdullah, 2008: 131).
Munshi Abdullah mengatakan lagi bahawa Claudius Henry Thomsen berpegang kepada tiga huruf iaitu alif, wau dan ya. Beliau disuruh oleh Claudius Henry Thomsen untuk meletakkan tiga huruf tersebut ke dalam perkataan Melayu kerana orang Melayu meninggalkan tiga huruf itu. Ini kerana, menurut Claudius Henry Thomsen, meninggalkan tiga huruf tersebut merupakan suatu kesalahan (Abdullah, 2008: 108). Munshi Abdullah memberikan contoh-contoh tentang kenyataan tersebut dalam tulisannya yang berbunyi:
Bermula maka adalah kulihat tabiat Tuan Milne dengan Thomsen itu terlalu jauh bezanya, sebab Tuan Milne itu mau menurut barang tiada betul perkataanya atau ejaannya atau sebutannya atau bacaannya dan bagaimana memakai perkataan itu. Akan tetapi, Claudius Henry Thomsen tiada mau, dibantahinya. Katanya, “Itu tiada betul, ini betul.” Barangkali sampai ia marah-marah. Adapun kelakuannya itu seperti perkataan Melayu: Hujan berbalik ke langit, seolah-olah ia hendak mengajar aku.
Maka hairanlah aku sebab melihatkan tabiat manusia yang mendakwa dianya sahaja pandai. Katanya, “Kitab kamus itu pun salah,” sebab ia berpegang pada huruf yang tiga, iaitu alif dan wau dan ya. Maka semuanya perkataan disuruhnya bubuh huruf yang tiga itu, tiada boleh kurang.
Katanya, orang Melayu semua salah sebab ditinggalkannya banyak huruf yang tiga itu, seperti “jikalau” disuruhnya masukkan ya, demikian
“jiikalau”; maka seperti dengan disuruh bubuh alif, demikian “dangan”.
Maka “melainkan” disuruhnya masukkan alif, demikian “melaainkan” ...
maka “zinah”, “zinaa”; maka “gereja”, “geriijaa, dan sebagainya.
(Abdullah, 2008 :108)
*
Maka sampailah kubaiki dengan beberapa susah dan perbantahan karena adat Claudius Henry Thomsen itu, selalu ia mengambil pedoman daripada bahasa Inggeris atau bahasa lain-lain, disalinkannya kepada bahasa Melayu dengan tiada diendahkan jalan bahasa Melayu itu. Maka sebab itulah boleh segera diketahui orang barang karangannya itu, perkataannya sahaja bahasa Melayu, tetapi anggotanya perkataan itu bahasa Inggeris, bukan rupa rencana Melayu.
(Abdullah, 2008: 131)
Bertitik-tolak daripada hujah-hujah tersebut, artikel Sianu menunjukkan ciri-ciri yang sama dengan huraian Munshi Abdullah. Dalam artikel State of Education Among the Malays in Malacca, Sianu menyebutkan perkataan “moonche”. Ejaan “moonche” memang menunjukkan ciri-ciri pembentukan perkataan Claudius Henry Thomsen yang meminjam bahasa Inggeris, kerana “u” diubah kepada “oo”, dan “shi” diubah kepada “che”. Jika disusuli pembentukan perkataan Inggeris, “oo” merupakan dwihuruf dalam bahasa Inggeris seperti zoo, food, dan moon.
Munshi Abdullah diketahui sebagai orang yang pernah mengajar Claudius Henry Thomsen bahasa Melayu dan bekerja dengan beliau selama enam atau tujuh tahun (Abdullah, 2008: 116). Di samping itu, Munshi Abdullah juga orang pertama disebut dalam dokumen ekonomi paderi British sebagai Abdollah selaku guru Claudius Henry Thomsen pada tahun 1822 (Milner, 1980: 112). Jadi, “moonche” di sini merujuk kepada Munshi Abdullah. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui kata-kata Sianu dalam State of Education Among the Malays in Malacca:
The education of the female is very much neglected among the Malays.
My moonche’s grandmother taught a girl’s school some years ago, but since that, there has been no female school.
(Sianu, 1819: 218)
Isi kandungan tersebut selaras dengan isi bab kedua dalam Hikayat Abdullah. Munshi Abdullah menceritakan kepada pembacanya bahawa nenek beliau pernah menjadi guru besar di Kampung Pali. Terdapat lebih kurang 200 orang murid lelaki dan perempuan belajar dengan neneknya (Abdullah, 1997: 11).
Selain contoh “moonche”, dalam artikel State of Education Among the Malays in Malacca juga menonjolkan banyak kesalahan serupa bagi ejaan perkataan Melayu seperti cendana→shendana, kabung→kabong, sagu→sago, khamis→ghamis, mengaji→mangaji.
Dalam artikel Magic Among the Malays juga menunjukkan ciri-ciri sebegini, umpamanya syaitan→shetan, gergasi→gargazi, polong→polang, pontianak→pantianak dan jantung→
jantong. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Sianu merujuk kepada T. H. Thomsen.
JADUAL 3. Contoh-contoh Ejaan Salah dalam Artikel Sianu Sumber: Sianu (1819:140; 1819: 215 & 1820: 312)
Artikel bertajuk Malay Idea of The Creation dalam The Indo-Chinese Gleaner tiada nama pengarang. Walau bagaimanapun, berdasarkan penelitian terhadap kesalahan ejaan, penulis berpandangan bahawa artikel ini mungkin ditulis atau disunting oleh Claudius Henry Thomsen, dan pemberitanya ialah Munshi Abdullah. Dalam artikel ini, terdapat beberapa nama yang menunjukkan amalan pembentukan perkataan Claudius Henry Thomsen, yakni Aboo-bakker, Omar, Oothman dan Alli (Gleaner, 1817: 41).
Menurut isi artikel, keempat-empat orang ini merupakan sahabat Nabi Muhammad SAW sekali gus khalifah yang menggantikan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin masyarakat Islam. Nama asal Aboo-bakker, Omar, Oothman dan Alli ialah Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali. Dalam hal ini, kesalahan ejaan pada nama-nama ini selaras dengan amalan pembentukan perkataan Claudius Henry Thomsen yang mengubah “u” kepada “oo” atau
“o”, dan “r” kepada “er” (rujuk jadual 2).
Justeru, kajian ini mencadangkan bahawa Sianu merupakan nama pena bagi
Huruf Asal Huruf Thomsen Contoh
ai e syaitan- shetan
e/o a gergasi- gargazi, mengaji- mangaji
u o kabung- kabong, sagu- sago,
jantung-jantong, nibung- niebong
u oo munshi- moonche
kh gh khamis- ghamis
c sh cendana- shendana
s c munshi- moonche
ang an penanggalan- penangalaan
Claudius Henry Thomsen dan bukannya nama pena William Milne. Di samping itu, penulis juga berpandangan bahawa pemberita bagi artikel Sianu ialah Munshi Abdullah yang turut bertindak selaku penterjemah, manakala suntingan akhir dibuat oleh Claudius Henry Thomsen sendiri. Kajian ini berpendapat bahawa The Indo-Chinese Gleaner dan Hikayat Abdullah saling menjelaskan antara satu sama lain supaya para pembaca dan pengkaji lebih mengetahui keadaan sebenar masyarakat Melayu pada abad awal ke-19.
KESIMPULAN
Hal Munshi Abdullah dan paderi British mendapat banyak perhatian daripada sarjana dari dalam dan luar negara. Namun, identiti paderi British sebagai ahli kaji China terutamanya pengkaji dalam bidang Konfusianisme seperti dipinggirkan ketika mengupas hubungan Munshi Abdullah dan paderi British. Hakikat tentang Munshi Abdullah pernah melibatkan diri dalam penciptaan artikel Sianu yang kemudiannya dimasukkan ke dalam The Indo- Chinese Gleaner juga telah dibincangkan oleh segelintir sarjana tetapi identiti Sianu masih menjadi misteri.
Sehubungan dengan itu, kajian ini cuba menggalurkan hubungan Munshi Abdullah dan Konfusianisme Melaka dalam konteks kedatangan paderi British serta persekitaran majmuk Melaka pada awal abad ke-19 Masihi dengan cara meneroka perihal Munshi Abdullah dan hubungannya dengan polemik identiti Sianu. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa Munshi Abdullah mungkin pernah mengetahui tentang Konfusius hasil daripada hubungan rapat beliau dengan Konfusianisme Melaka, guru Cina bagi paderi-paderi British dan masyarakat Cina tempatan. Sementara itu, identiti Sianu besar kemungkinan merujuk kepada Claudius Henry Thomsen dan Munshi Abdullah pernah bekerja dengan beliau sebagai pemberita dan penterjemah bagi karya-karya beliau semasa beliau menulis artikel-artikel untuk The Indo-Chinese Gleaner.
Walau bagaimanapun, kajian ini mempunyai kekurangan iaitu pertama, fakta-fakta yang dipamerkan tidak cukup untuk membuktikan perkenalan Munshi Abdullah terhadap Konfusianisme. Jadi, kajian ini hanya mengetengahkan andaian penulis. Kedua, perincian tentang identiti Sianu tidak begitu mendalam. Justeru, kajian ini mencadangkan agar kajian lanjutan dilakukan untuk mencungkil lebih banyak bukti bagi membuktikan hubungan Munshi Abdullah dan Konfusianime atau berbincang mengenai Munshi Abdullah dan Konfusianisme, serta menganalisis hubungan artikel Sianu dan pemikiran Munshi Abdullah.
RUJUKAN
Abdullah Munsyi. 1997. Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Pustaka Antara Sdn.Bhd.
Abdullah Munsyi. 2008. Hikayat Abdullah (Hassan Ahmad, Ed.). Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
Ahmad Murad Merican. 2006. Telling tales, print and the extension of media: Malay media studies beginning with Abdullah Munsyi through Syed Shaykh Al-Hady and Mahathir Mohamad. Kajian Malaysia, 24(1&2), 151–169.
Ahmad Murad Merican. 2011. Occidentalism in the Malay World: The West Through the Eyes of Abdullah Munshi. Malay Literature, 24(1), 109–129.
Aneri Arya. 2020. An Overview of Textual Analysis as a Research Method for Cultural Studies. International Journal for Innovative Research in Multidisciplinary Field, 6(3), 173–177.
Ayu Nor Azilah Mohamad, Mohamed Ali Haniffa, & Wayu Nor Asikin Mohamad. 2019.
Toleransi Orang Melayu mengharmonikan Pemajmukan Kaum di Malaysia. Jurnal Melayu, 18(2), 193–206.
Bastin, J., & Twitchett, D. C. (Eds.). 1970. The Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Begbie, P. J. 1967. The Malayan Peninsula. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Carrol, D. 1999. The “Hikayat Abdullah”: Discourse of Dissent. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 72(2), 91–129.
Fürsich, E. 2014. Analyzing Text: The Cultural Discourse Ethnic Food Reviews. Dalam The International Encyclopedia of Media Studies. New York: John Wiley & Sons, Ltd.
Hadijah Rahmat. 2021. From Priest to Islamic Reformer: The Social Thoughts on Munshi Abdullah. Dalam Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi: His Voyages, Legacies and Modernity 1, 403–479. Singapore: World Scientific Publishing Co. Pte. Ltd.
Hadijah Rahmat. 2021. Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi: His Voyages, Legacies and Modernity 1. Singapore: World Scientific Publishing Co.Pte.Ltd.
Jan Van Der Putten. 2006. Abdullah Munsyi and the missionaries. Bijdragen Tot de Taal, Land-En Volkenkunde, 162(4), 407–440.
Kitson, P. 2017. Affinities’ and “Fatal Errors”: Ambiguities in the Romantic Reception of Confucius. Dalam S Domsch, C Reinfadt & K Rennak (eds), Romantic Ambiguities:
Abodes of the Modern: Studien zur Englischen Romantik / Studies in English Romanticism. Vol. 16, Studien Zur Englischen Romantik, Wissenschaftlicher Verlag Trier.
Lokasi Rumah Munshi Abdullah Dan Kuil Cheng Hoon Teng. 2019, November 28. Melaka In Fact. Facebook.
Lunyu Yizhu [Annotation of the Analects]. 2019. Beijing: Zhonghua Book Company.
dalam bahasa China
Milner, A. C. 1980. A Missionary Source for a Biography of Munshi Abdullah. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 53(1), 111-119.
Milner, A. C. 2002. The Invention of Politics in Colonial Malaya. Cambridge: Cambridge University Press.
Milne, W. 2008. A Retrospect of the First Ten Years of the Protestant Mission to China.
Zhengzhou: Elephant Press.
Mohammad Saleeh Rahamad. 2009. Pengaruh Barat dalam Persuratan Melayu Awal di Malaysia. Malaysian Journal of Media Studies, 11(1), 113–132.
Morrison, R., & Milne, W. (Eds.). 2009. The Indo-Chinese Gleaner, 1817–1822. Beijing:
National Library of China Publishing House.
Nordin Hussin. 2007. Trade and society in the Straits of Melaka: Dutch Melaka and English Penang, 1780–1830. Singapore: NUS Press.
Sianu. 1819. Lukisan Polong. The Indo-Chinese Gleaner, 2(8), 73.
Sianu. 1819. Lukisan Penanggalan. The Indo-Chinese Gleaner, 2(9), 140.
Sianu. 1819. State of Education among the Malays in Malacca. The Indo-Chinese Gleaner, 2(10), 215-219.
Sianu. 1820. Magic Among the Malays. The Indo-Chinese Gleaner, 2(12), 312.
Su, C. 1996. The Printing Presses of the London Missionary Society among the Chinese.
Tesis Ijazah Doktor Falsafah. The University of London.
Su, C. 2008. Prologue. Memoirs of the Life Labours of Robert Morrison 1. Zhengzhou:
Elephant Press.
Tee Boon Chuan. 2018. Intellectual Confucian history of Malaysia in late 200 years.
Beijing: Sino-culture Press.
Wylie, A. 2011. Memorials of Protestant Missionaries to the Chinese: Giving a List of Their Publications, and Obituary Notices of the Deceased. Guangxi: Guangxi Normal University Press.
Wu, Y. X. 2009. Preface. Dalam The Indo-Chinese Gleaner, 1817–1822. Beijing: National Library of China Publishing House.
dalam bahasa China
Zhang, L. Q. 2016. Age of British Rule. Dalam The History of Malacca. Henan: People’s Publishing House.
Biodata Penulis:
XU QIONGWEN adalah pelajar antarabangsa dari China. Dia merupakan pelajar Sarjana Sastera (Pengajian Tamadun) di Bahagian Falsafah dan Tamadun, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
AIZA BINTI MASLAN @ BAHARUDIN (PhD) adalah pensyarah kanan di Bahagian Falsafah dan Tamadun, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.
MOHD SYAHMIR BIN ALIAS (PhD) adalah pensyarah kanan di Bahagian Falsafah dan Tamadun, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.