• Tidak ada hasil yang ditemukan

Norma Baharu dalam Pengajaran dan Pembelajaran Semasa COVID-19 (New Norms in Current Teaching and Learning COVID-19)

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Norma Baharu dalam Pengajaran dan Pembelajaran Semasa COVID-19 (New Norms in Current Teaching and Learning COVID-19)"

Copied!
12
0
0

Teks penuh

(1)

Norma Baharu dalam Pengajaran dan Pembelajaran Semasa COVID-19

(New Norms in Current Teaching and Learning COVID-19)

NorHafizah Azhar1*, Nor Hafizah Adnan1

1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600, Bangi, Selangor

*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 August 2022 | Published: 1 September 2022

DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2022.4.3.4

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan satu wabak baharu yang melanda dunia bermula pada akhir tahun 2019 iaitu Coronavirus atau lebih dikenali sebagai COVID-19. Wabak ini semakin hari semakin membimbangkan kerana penyebaran wabak ini telah menyebabkan puluhan ribu manusia maut akibat penyakit ini. Oleh disebabkan wabak ini, sistem pendidikan di Malaysia telah menghentikan semua aktiviti bersemuka di dalam kelas dan menggantikan dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian.

Pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian ini melibatkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) seperti penggunaan telepon pintar dan komputer riba untuk menghadiri kelas dalam talian serta penggunaan internet. Kertas konsep ini adalah bertujuan untuk membincangkan pembelajaran norma baharu yang dilaksanakan oleh sistem pendidikan Malaysia agar pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran. Lanjutan itu, kertas konsep ini akan membincangkan pelbagai cabaran yang wujud dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Selain daripada itu, pembelajaran norma baharu atau pembelajaran dalam talian ini tidak hanya memberi sisi pandang yang negatif, akan tetapi masih terdapat sisi pandang yang positif jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

Kata Kunci: Norma Baharu, Pembelajaran Norma Baharu, Pengajaran dan Pembelajaran, COVID-19, Pembelajaran dalam Talian

Abstract: The World Health Organization (WHO) has declared a new epidemic that will hit the world starting at the end of 2019 which is Coronavirus or better known as COVID-19. This epidemic is becoming more and more alarming because the spread of this epidemic has caused tens of thousands of people to die due to this disease. Due to this epidemic, the education system in Malaysia has stopped all face -to -face activities in the classroom and replaced it with online teaching and learning (PdP). The implementation of this online teaching and learning process involves the use of Information and Communication Technology (ICT) such as the use of smartphones and laptops to attend online classes as well as the use of the internet. This concept paper aims to discuss the learning of new norms implemented by the Malaysian education system so that students do not fall behind in lessons. Further, this concept paper will discuss the various challenges that exist in the online teaching and learning process. Apart from that, learning new norms or online learning not only gives a negative perspective, but there is still a positive perspective if all parties play their respective roles in the success of the online teaching and learning process.

(2)

Keywords: New Norms, Learning New Norms, Teaching and Learning, COVID-19, Online Learning

___________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Berikutan dengan kemodelan masa kini, perkembangan teknologi menjadi semakin pesat dan memberi impak yang besar kepada kebanyakan sistem di seluruh dunia. Secara amnya, penggunaan teknologi dilihat dapat meningkatkan kualiti hasil dalam mempercepatkan aliran pekerjaan dan pelbagai pihak mula memandang serius akan perkembangan yang positif ini termasuk sektor pendidikan. Aplikasi teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sedang diteliti oleh pelbagai penyelidik di pelbagai peringkat pengajian. Oleh disebabkan penularan wabak COVID-19 yang memaksa penutupan sekolah dan institusi tinggi, penggunaan teknologi dalam pendidikan dilihat mampu memberi impak yang positif agar proses PdP dapat diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Malaysia. Perubahan pembelajaran norma baharu yang menggunakan teknologi digital dalam pendidikan merupakan satu usaha dalam mengatasi penularan wabak.

Kajian Noor Rohana et al. (2021), pembelajaran secara dalam talian merupakan satu alternatif pembelajaran yang mengantikan interaksi secara bersemuka antara pelajar dan pengajar.

Sebanyak mana sekali pon halangan dan rintangan yang perlu dihadapi oleh pelajar dan pengajar, akan tetapi perubahan yang mendadak dalam proses PdP tetap perlu diteruskan kerana itu merupakan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan pengajar.

Terdapat banyak platform dan aplikasi yang boleh digunakan untuk meneruskan pembelajaran dalam talian. Proses PdP yang menjadi kebiasaannya dilakukan secara bersemuka di dalam bilik darjah atau kuliah telah digantikan dengan platform dalam talian seperti Webex, Google Meet, Google Classroom, Microsoft Teams, Edmodo, Zoom, Skype, WhatsApp, Facebook Live dan Telegram (Noor Rohana et al, 2021; Nor Aidawati dan Mazidah Musa, 2021).

Tambahan pula, masih terdapat aplikasi lain yang menyokong proses PdP seperti Kahoot, Mentimeter, Powtoon, Canvas, Google Forms (Noor Rohana et al, 2021) dan sebagainya yang boleh digunakan membuat aktiviti penilaian prestasi perkembangan pelajar. Tambahan pula, pembelajaran norma baharu ini memberi peluang kepada pelajar untuk melakukan tugasan berkumpulan dan berkomunikasi melalui e-mel ataupun Google Drive untuk perkongsian maklumat. Bagi pelajar peringkat institusi tinggi, platform e-pembelajaran seperti Massive Open Online Course (MOOC), dilihat dapat membantu pelajar untuk menambah ilmu pengetahuan dan maklumat berkaitan subjek selain daripada bahan pengajaran yang diberi oleh pensyarah mereka.

Selain daripada itu, tatacara dan susun atur proses PdP secara dalam talian ini perlu mengekalkan elemen kreatif dan diberi suntikan inovatif sepanjang sesi interaksi antara pelajar dan pensyarah (Zawiah Bahrom, 2020) agar pelajar dapat menerima manfaat daripada aktiviti pembelajaran sebegini. Tambahan pula, pelajar juga berpendapat proses pembelajaran norma baharu ini dapat meningkatkan tahap produktiviti mereka (Zawiah Bahrom, 2020). Lanjutan itu,

Akhir kata, bagi memastikan objektif pembelajaran tercapai, kesemua pendekatan yang dikemukakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini memerlukan kreativiti dan kesungguhan para guru. Fokus pelajar semasa pembelajaran secara dalam talian akan terganggu sekiranya guru tidak menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran yang interaktif (Hamat, Mahlan & Ch’ng, 2020). Oleh yang demikian, kajian kertas konsep ini

(3)

memberi fokus utama dalam membincangkan cabaran dan peluang dalam pembelajaran norma baharu semasa COVID-19. Selain itu, kertas konsep ini juga turut menjelaskan peranan yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat agar proses pengajaran dan pembelajaran semasa COVID-19 ini dapat dilaksanakan dengan baik.

2. Pembelajaran Norma Baharu Semasa COVID-19

Penyebaran wabak coronavirus yang dikenali sebagai COVID-19 telah membuka lembaran baru dalam sistem pendidikan di Malaysia yang mana telah mewujudkan satu pengajaran dan pembelajaran (PdP) norma baharu melibatkan penggunaan teknologi. Disebabkan itu, kerajaan Malaysia telah mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kebanyakan institusi tinggi serta sekolah telah diarahkan tutup. Bagi menghalang daripada penularan wabak ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui kenyataan rasmi media mereka telah menyarankan segala aktiviti PdP yang melibatkan pertemuan bersemuka dilaksanakan secara dalam talian (Nor Aidawati dan Mazidah Musa, 2021) dan melaksanakan sesi Pembelajaran Berasaskan Rumah (Home-Based Learning). Oleh yang demikian, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menjadi salah satu norma baharu dalam sistem pendidikan yang mana PdPR ini dijalankan secara maya menerusi proses yang berstruktur dan teratur secara dalam talian maupun secara off-site (Ain Nur Atika Agus, 2021). Pembelajaran dalam talian ini menjadi satu alternatif kaedah pengajaran yang diguna pakai bagi mengisi jurang dalam sistem pendidikan terutama dalam situasi wabak COVID-19. Menurut Intan Nur Syuhada dan Zamri Mohamad (2021) menerusi penyelidikan mereka, pembelajaran dalam talian sangat bergantung kepada teknologi dan pencapaian internet yang bagus agar proses PdP dapat dilaksanakan dengan lancar yang membolehkan pelajar dapat mengakses segala maklumat mengenai pembelajaran mereka.

Secara amnya, pembelajaran dalam talian atau e-pembelajaran ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat kandungan, interaksi dan kemudahan dalam pembelajaran. Tidak mustahil suatu hari nanti, PdP dalam talian ini menjadi satu keperluan dan dilaksanakan sepenuhnya dalam sistem pendidikan tanpa pertemuan secara fizikal dan menurut Siti Nurajrina dan Mardzelah (2021), kaedah pembelajaran ini menjadi satu norma baharu dalam bidang pendidikan di Malaysia yang tidak mengira tahap pendidikan sama ada di peringkat sekolah mahupon universiti. Dalam kajian Nuraisyah dan Faridah (2021) juga menjelaskan bahawa PdP dalam talian ini mampu mempengaruhi pencapaian akademik dan kesihatan mental pelajar. Penghasilan pencapaian akademik yang baik kebiasaannya adalah berdasarkan kepada peningkatan usaha dan aktiviti pembelajaran. Akan tetapi kajian daripada Benjamin et al. (2021) menyangkal kenyataan itu kerana menurut beliau usaha dan aktiviti pembelajaran boleh menjadi faktor utama kepada pencapaian akademik yang rendah. Selain daripada itu, pembelajaran dalam talian ini boleh dilaksanakan sebagai kaedah pembelajaran alternatif lain dalam persekitaran segerak dan tak segerak. Menurut kenyataan daripada Mahiswaran Selvanathan, Nur Atikah dan Noor Alyani (2020), pembelajaran dalam talian dalam persekitaran segerak ini memerlukan interaksi secara langsung antara pelajar dan tenaga pengajar semasa sesi PdP berlangsung melalui alat seperti Microsoft Teams, Google Meet, Zoom, Webex dan sebagainya. Manakala, pembelajaran dalam talian tak segerak pula memberi ruang kepada pelajar dan tenaga pengajar untuk berinteraksi sebelum atau selepas kelas melalui dalam talian seperti WhatsApp, Telegram, e-mel dan sebagainya. Tambah mereka lagi, kaedah pembelajaran sebegini memberikan manfaat dalam pembelajaran secara bebas dan mampu membangunkan kemahiran baharu dalam proses pembelajaran sepanjang hayat.

(4)

Selain daripada PdPR dalam talian, pendekatan kaedah pelaksanaan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam talian juga turut mengambil tempat dalam suasana pembelajaran norma baharu semasa musim COVID-19 ini. Menurut Zawiah Bahrom (2020) dalam kajian beliau, terdapat tiga pendekatan pedagogi norma baharu yang diterapkan ke atas pelajar di IPG KPT, Negeri Sembilan. Pertama adalah pendekatan pembelajaran dari rumah yang mana proses PdP secara fizikal di dalam kelas ditukarkan kepada rumah. Proses pembelajaran ini melibatkan pembelajaran secara dalam talian yang memerlukan pencapaian internet serta platform Google Classroom. Pendekatan kedua adalah pembelajaran dalam talian yang turut dilaksanakan dalam menjayakan proses PdPc yang meliputi penggunaan teknologi digital seperti grafik, animasi, video dan audio dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar. Pendekatan ketiga adalah remote learning atau pembelajaran jauh yang juga turut melibatkan pembelajaran Hybrid yang berlangsung secara segerak atau tak segerak. Kaedah pembelajaran sebegini mempunyai beberapa ciri iaitu (1) pembelajaran tanpa mengira tempat dan waktu, (2) pelajar bebas memilih topik pembelajaran, (3) sumber mudah diperoleh sama ada daripada tenaga pengajar mahupon dalam talian, (4) pengajar bebas menggunakan kaedah pengajaran dalam melaksanakan pembelajaran dan (5) penilaian ke atas pengajar lebih fleksibel dan mudah diakses oleh pelajar dengan menggunakan sistem yang sedia ada.

Seterusnya, pembelajaran regulasi kendiri juga merupakan salah satu alternatif kepada pembelajaran norma baharu yang menyumbang kepada pencapaian akademik yang baik terhadap pelajar di peringkat universiti. Menurut Nuraisyah dan Faridah (2021), pembelajaran kendiri ini dapat meningkatkan pembelajaran dalam talian dan menjadikan pelajar lebih progresif dalam pencapaian akademik mereka kerana pendekatan pembelajaran sebegini mampu membantu pelajar untuk memahami keupayaan dalam proses penyesuaian pembelajaran mereka. Disamping itu, pembelajaran teradun boleh disifatkan sebagai integasi dalam kaedah pembelajaran bersemuka dan pembelajaran dalam talian. Kajian daripada penyelidik Ngogi Emmanuel (2020), menjelaskan bahawa pembelajaran teradun ini membolehkan pelajar berpeluang untuk belajar secara kendiri. Kaedah pembelajaran teradun ini kebanyakan diguna pakai oleh pelajar universiti yang melibatkan dua senario. Kedua-dua senario ini diperguna luas dalam situasi era COVID-19 ini. Senario pertama adalah melibatkan persekitaran pembelajaran dalam talian yang dilengkapi dengan teknologi digital yang membolehkan pelajar bebas belajar sambil berunding dengan tenaga pengajar mereka secara berkala manakala senario kedua adalah melibatkan pelajar menggunakan bahan pengajaran dalam talian semasa belajar secara individu daripada rumah. Selain daripada itu, tenaga pengajar juga boleh menerapkan kaedah pengajaran seperti pembelajaran kontekstual, inkuiri, pembelajaran yang berasaskan masalah, pendekatan pembelajaran terbeza dan pembelajaran terbalik (Ain Nur Atika Agus, 2021) dalam melaksanakan proses PdP semasa wabak COVID- 19. Kesemua kaedah pendekatan ini menjadi satu kaedah pembelajaran norma baharu yang perlu diperluaskan dalam sistem pendidikan di Malaysia agar pelajar tidak ketinggalan dalam pendidikan mereka.

3. Cabaran dan Kekangan Pembelajaran Norma Baharu

Umum mengetahui bahawa penularan wabak COVID-19 ini masih lagi aktif dalam kalangan masyarakat Malaysia mahopon dunia. Oleh hal demikian, masyarakat terpaksa menerima bahawasanya mereka perlu hidup dalam situasi pandemik yang mengharuskan setiap orang untuk sentiasa menjaga jarak sosial dan sentiasa memakai penutup muka apabila berada di kawasan terbuka. Penularan wabak ini menjejaskan pelbagai sektor di Malaysia termasuk sektor pendidikan yang memaksa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan arahan penutupan sekolah dan institusi tinggi bagi mengelak daripada wabak COVID-19 ini

(5)

daripada terus merebak. Pembelajaran norma baharu seperti pembelajaran dalam talian memberi impak yang besar dalam sistem pendidikan. Pelbagai cabaran serta kekangan yang dihadapi oleh pengajar dan pelajar akibat wabak ini. Cabaran yang dihadapi dalam pembelajaran norma baharu ini adalah sikap pelajar yang masih belum bersedia untuk meneruskan proses PdP secara dalam talian. Menurut Ugartini Magesvaran (2021), guru sekolah mengalami kesukaran dalam mengajar menggunakan aplikasi dalam talian seperti Google Meet adalah disebabkan pendirian pelajar yang tidak bersedia dalam membuat persiapan untuk melalui proses PdP secara maya. Tambah beliau lagi, eksistensi kehadiran pelajar semasa proses PdP juga menjadi satu halangan dan kekangan dalam pembelajaran norma baharu. Hal ini kerana, pembelajaran secara dalam talian ini dilaksanakan secara maya dan ada sesetengah pelajar tidak membuka kamera ketika kelas dijalankan. Oleh demikian, guru tidak mengetahui sama ada pelajar memberi fokus sepenuhnya semasa kelas ataupun tidak. Selain itu, kesukaran untuk mencapai kepada teknologi juga menjadi punca utama pembelajaran dalam talian ini tidak dapat dilaksanakan dengan lancar.

Pandangan daripada Manzoor dan Ramzan (2020) beranggapan bahawa latar belakang pelajar menjadi satu asbab mengapa pembelajaran dalam talian tidak dapat dilakukan dengan baik. Hal ini kerana, kebanyakan pelajar terdiri daripada golongan susah yang menjadikan mereka sukar untuk mempunyai akses kepada teknologi digital dalam pembelajaran. Disamping itu juga, Nuraisyah dan Faridah (2021), turut menjelaskan bahawa kemampuan pelajar dalam mengadaptasi perubahan teknologi dalam proses PdP turut berada pada tahap yang rendah.

Tambahan, pelajar juga berhadapan dengan situasi tidak dapat mengakses internet dan pencapaian rangkaian jalur lebar juga pada tahap kurang memuaskan menyebabkan ramai pelajar ketinggalan dalam pelajaran (Ugartini Magesvan, 2021; Nor Asmah & Muhammad Syawal, 2021). Selain itu, persekitaran yang berbeza dan tidak kondusif turut menjadi kekangan dalam pembelajaran norma baharu. Kajian Mahathir dan Wardatul (2021) menjelaskan mutu keberkesanan pembelajaran adalah pada tahap rendah yang disebabkan persekitaran suasana pembelajaran yang tidak kondusif yang dihadapi oleh pelajar. Lanjutan itu, Bani Hidayat (2020) menyatakan dalam kajiannya, persekitaran yang baharu dan berlainan daripada proses PdP secara fizikal menyebabkan pelajar tidak bersedia dan Nor Asmah dan Muhammad Syawal (2021) turut menjelaskan bahawa hal ini telah mewujudkan sikap negatif dalam diri pelajar kerana mereka masih belum membiasakan diri dengan pembelajaran norma baharu dalam situasi penularan wabak COVID-19.

Proses pembelajaran norma baharu menjadi tidak efektif adalah disebabkan kurang penyertaan daripada pelajar semasa proses pembelajaran. Zawiah Bahrom (2020) menguraikan perubahan bentuk pembelajaran maya (cybergogy), pembelajaran sendiri (heutagogy) dan pembelajaran berorientasikan rakan sebaya (paragogy) masih lagi baharu untuk diaplikasi dalam diri pelajar.

Oleh yang demikian, hal ini membawa kepada kemerosotan dalam pencapaian akademik pelajar yang boleh menyebabkan tekanan dalam diri pelajar. Perubahan gaya pembelajaran secara fizikal kepada pembelajaran secara maya ini menjadi punca kemerosotan akademik pelajar. Penyataan ini disokong oleh kajian daripada Nuraisyah dan Faridah (2021) yang mana pelajar merasa terbeban dek kerana penekanan akademik, perubahan persekitaran yang tidak kondusif dan gangguan akses internet. Tambahan, pembelajaran dalam talian ini melonjakkan skala keciciran dalam pembelajaran disebabkan kurangnya tahap motivasi dalam diri pelajar semasa proses PdP.

Seterusnya, cabaran yang perlu dihadapi dalam pembelajaran norma baharu ini adalah di mana sikap ibubapa itu sendiri yang tidak memberi kerjasama, sokongan serta dorongan kepada pelajar. Tahap motivasi dalam diri pelajar menjadi berkurang adalah disebabkan kerana

(6)

kurangnya sokongan fizikal dan mental daripada ibubapa yang lebih mengutamakan urusan mereka sehingga mengabaikan pelajaran anak-anak mereka. Menurut Ugartini Magesvaran (2021), sikap ibubapa yang sambil lewa dan tidak memberi kerjasama menyebabkan proses PdP dalam talian dilaksanakan menjadi sukar. Tambahan pula, kajian daripada penyelidik Norehan dan Mahaliza (2021) menjelaskan bahawa keupayaan ibubapa dalam menyediakan kemudahan peranti dan capaian internet juga turut menjadi faktor utama proses PdP dalam talian tidak dapat dijalankan. Tambahan, ibubapa perlu menyediakan segala kemudahan bagi memastikan anak-anak mereka tidak tercicir dalam pendidikan dan ibubapa juga bertanggungjawab dalam membuat pemantauan semasa proses PdP berlangsung bagi mengawal penggunaan teknologi dalam kalangan anak-anak mereka. Akan tetapi, Intan Nur Syuhada dan Zamri Mohamad (2021) mempunyai pendapat lain, di mana latar belakang sosio ekonomi keluarga dikatakan turut menjadi faktor kegagalan proses PdP dalam talian.

Pendapatan sumber sosio ekonomi yang rendah merupakan sebab utama pelajar ketinggalan dalam pendidikan dek kerana ibubapa tidak dapat menyediakan kemudahan peranti elektronik dan capaian internet bagi menyokong pembelajaran dalam talian.

Selain itu, kajian Norehan dan Mahaliza (2021) menjelaskan bahawa sebanyak 80% dalam kalangan guru sekolah mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang rendah terhadap penggunaan teknologi dalam pengajaran mereka. Kenyataan ini disokong oleh Marni Izzatim (2020) yang menyatakan tidak semua guru di sekolah didedahkan kepada penggunaan teknologi sebelum penularan wabak COVID-19. Hal ini menyebabkan masih ramai guru tidak bersedia untuk meneruskan proses PdP secara dalam talian dan guru menghadapi pelbagai cabaran dalam membuat persiapan untuk mengajar secara maya. Menurut Irma Mahad, Zamri Mahamod dan Nurul Azira (2021), penguasaan kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) masih di tahap rendah dalam kalangan guru terutama bagi guru yang berusia. Lanjutan itu, kekangan lain yang sering dihadapi oleh guru dan tenaga pengajar adalah rutin kerja mereka berubah kerana mereka terkesan dengan mod bekerja dari rumah.

Pembelajaran norma baharu ini memaksa pengajar menjalankan tanggungjawab mereka mengajar daripada rumah apabila Kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Zawiah Bahrom (2020) menyatakan bahawa rutin harian guru bukan hanya fokus kepada proses PdP malah mereka dituntut untuk menambah pengetahuan dan kemahiran TMK mereka.

Lanjutan itu, pembelajaran norma baru ini membawa kepada kurangnya interaksi antara pengajar dan pelajar dalam mewujudkan komunikasi dalam proses PdP. Kenyataan ini disokong oleh Nor Asmah dan Muhammad Syawal (2021) yang menjelaskan bahawa keberkesanan proses PdP dalam talian menjadi terbantut disebabkan kurangnya komunikasi serta interaksi antara pengajar dan pelajar. Masalah ini mendorong kepada pemahaman atau permasalahan yang dihadapi pelajar yang tidak diketahui oleh pengajar, malah interaksi yang kurang dalam proses PdP mendorong kepada pembelajaran yang sia-sia. Selain itu, pengajar juga mengalami kesukaran membuat penilaian dan pentaksiran terhadap penguasaan pelajar dalam proses pembelajaran. Kajian Ugartini Magesvaran (2021) menjelaskan dalam memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang holistik, timbul tanda tanya dalam kalangan pengajar bagaimana pelaksanaan penilaian dan pentaksiran dapat dijalankan. Tambahan pula, kekurangan kandungan kursus dalam talian, pelaksanaan amali dan tugasan di dalam bengkel tidak dapat dilakukan dalam proses PdP secara dalam talian. Nuraisyah dan Faridah (2021) menjelaskan bahawa pembelajaran norma baharu dalam talian sukar dijalankan kerana pelajar tidak dapat memahami kandungan kursus. Malah, pembelajaran dalam talian menuntut disiplin dan penglibatan yang tinggi daripada pelajar agar proses PdP dalam talian dapat dilakukan dengan lancar. Pembelajaran norma baharu ini menyekat proses pelaksanaan amali dan tugasan

(7)

dalam bengkel kerana pelaksanaan pembelajaran memerlukan peralatan khas dan kelengkapan yang hanya boleh didapati dalam bengkel amali di universiti atau makmal sekolah.

Pembelajaran amali dan tugasan di bengkel kurang sesuai dilaksanakan dalam pembelajaran secara dalam talian kerana pelajar tidak diberi peluang untuk melakukan sendiri tugasan tersebut berbanding pembelajaran secara kelas fizikal (Hasniza Tawyer, Hanirah Mohamad dan Amier Hafizun,2021).

4. Cara Mengatasi Cabaran dan Kekangan Pembelajaran Norma Baharu

COVID-19 menjadi satu permulaan yang baru bagi pembelajaran norma baharu dalam bidang pendidikan di seluruh dunia. Ianya menjadi sesuatu yang sukar untuk ditolak kerana ini satu alternatif yang baik dalam meneruskan pembelajaran dan pengajaran dalam masa pandemik ini agar pelajar dapat meneruskan pengajian mereka. Sungguhpun pembelajaran norma baharu ini memberikan pelbagai manfaat semasa COVID-19, akan tetapi masih terdapat pelbagai kekangan yang dihadapi oleh pelajar, guru termasuk ibu bapa. Oleh demikian, pelbagai usaha dijalankan bagi mengatasi cabaran dan kekangan yang dilalui oleh pelajar, guru dan ibu bapa agar pembelajaran norma baharu ini dapat dilaksanakan tanpa gangguan. Cabaran kesukaran kepada kelajuan rangkaian dan masalah penggunaan teknologi semasa pembelajaran dapat diatasi terutamanya bagi pelajar yang tinggal di kawasan pendalaman. Kajian Ngogi Emmanuel (2020) menjelaskan bahawa dalam memastikan pelajar yang tinggal dikawasan pendalaman mendapatkan akses kepada pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya semasa wabak COVID- 19, penggunaan teknologi boleh dilaksanakan dengan menggunakan teknologi seperti Learn- O-Vision yang mana teknologi ini berfungsi tanpa memerlukan elektrik dan mampu bertahan dalam pembelajaran yang berasaskan teknologi. Tambahan beliau lagi, pihak kerajaan perlu mengkaji semula Dasar Jalur Lebar Negara dengan memperluaskan lagi akses kepada jalur lebar terutamanya di kawasan pendalaman.

Selain daripada itu, sekiranya kekurangan daripada segi rangkaian jalur lebar tidak dapat diatasi, guru-guru perlu mengambil langkah inisiatif seperti memberi tugasan secara hands-on kepada pelajar yang tidak dapat mengakses kepada bahan pengajaran dalam talian. Kajian Fadzliyah Hashim et al. (2021) menyatakan guru-guru boleh menggunakan cara konvensional dengan mengepos atau meninggalkan bahan pengajaran di pondok jaga sekolah dan meminta ibu bapa untuk mengambilnya di sekolah. Di samping itu juga, guru-guru perlu lebih peka akan kekurangan yang dihadapi oleh pelajar. Sekiranya pelajar menghadapi masalah daripada segi rangkaian dan jalur lebar, guru boleh menggunakan platform pengajaran yang memerlukan tahap kestabilan internet yang rendah seperti Whatsapp dan Telegram (Fadzliyah et al., 2021).

Walaupun kaedah sebegini dilihat menyusahkan, akan tetapi kaedah ini dapat membantu para pelajar untuk meneruskan pembelajaran mereka terutamanya semasa pandemik melanda.

Selanjutnya berkaitan dengan cabaran yang dihadapi oleh guru adalah kesediaan pelajar dan tahap motivasi yang rendah dalam kalangan pelajar ketika menghadiri pembelajaran dalam talian. Bagi mengatasi masalah ini, pelajar dan guru perlu memainkan peranan masing-masing agar pembelajaran dapat diteruskan. Salah satu langkah adalah dengan guru sentiasa memberi sokongan dan motivasi kepada pelajar semasa pengajaran berlangsung. Kajian Nor Asmah dan Muhammad Syawal (2021) menjelaskan, kata-kata pujian daripada guru-guru mampu menaikkan semangat dan motivasi para pelajar lebih-lebih lagi jika mereka diberi penganugerahan kecemerlangan dalam menghadiri kelas dalam talian. Hal ini dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan motivasi para pelajar akan tetapi dapat meningkatkan prestasi pencapaian akademik pelajar.

(8)

Di samping itu juga, ibu bapa perlu turut serta dalam menjayakan proses pembelajaran daalam talian agar anak-anak mereka dapat meneruskan pengajaran. Kekangan yang dihadapi ibu bapa terutama dalam pengetahuan teknologi perlu diberi keutamaan agar ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka untuk menyertai proses pembelajaran dalam talian. Kajian Maharaj Landaeta (2020) menjelaskan, ibu bapa perlu didedahkan dan diberi latihan terutama dalam penggunaan teknologi atau platform pembelajaran dalam talian agar mereka dapat membantu pelajar serta memberi bimbingan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Kerjasama daripada ibu bapa terutamanya sokongan emosi dan psikososial kepada anak-anak mereka dapat melancarkan lagi proses pembelajaran dalam talian. Selain daripada itu, apabila melibatkan kekurangan peranti dan akses kepada internet, kajian daripada Wan Ya Shin (2020) menjelaskan bahawa terdapat beberapa negara maju seperti Finland, China dan Amerika Syarikat mula mengagihkan kemudahan teknologi kepada pelajar mereka dengan meminjamkan kemudahan teknologi daripada pihak sekolah agar pelajar dapat meneruskan pelajaran mereka dengan mengakses kepada platform pembelajaran secara dalam talian. Wan Yan Shin (2020) turut menjelaskan bahawa negara-negara maju juga turut tidak terlepas daripada masalah kekurangan peranti dan kekurangan akses kepada jalur lebar dalam kalangan pelajar mereka. Akan tetapi inisiatif yang dilakukan oleh pihak sekolah dan kerajaan sedikit sebanyak mampu membantu pelajar daripada golongan keluarga rendah pendapatan untuk meneruskan pembelajaran mereka semasa wabak COVID-19 melanda.

Kurangnya ilmu pengetahuan teknologi dalam kalangan guru juga perlu diatasi sebaik mungkin agar dapat melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam situasi norma baharu ini.

Kajian Ngogi Emmanuel (2020), menyarankan bahawa para guru perlu diberikan latihan dan kursus dalam penggunaan komputer terutamanya kepada platform yang digunakan untuk meneruskan pembelajaran. Sekiranya para guru dilatih menggunakan platform yang sedia ada, mereka dapat mempelbagaikan lagi penyediaan bahan pengajaran yang mampu menarik minat pelajar agar prestasi akademik pelajar tidak merudum. Tambah beliau lagi, sekiranya pembelajaran dalam persekitaran diperkayakan dengan penggunaan teknologi, pelajar akan diberikan pendedahan kepada kebolehan meneroka ilmu baharu, membina pengetahuan baharu dan dapat mengaitkan ilmu baharu dengan situasi kehidupan sebenar terutamanya dalam penggunaan teknologi semasa.

Di samping itu juga, penggubalan semula kepada penilaian dan pentaksiran perlu diambil kira agar dapat menilai prestasi para pelajar dalam persekitaran pembelajaran dalam talian.

Penggubalan semula penilaian perlu mengambil kira kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel yang melibatkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar (Maharaj Landaeta, 2020). Tambahan pula, guru-guru dan pihak sekolah perlu mengambil inisiatif dengan menyusun semula Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RH) agar kandungan pengajaran, waktu pelaksanaan kelas, tugasan dan penilaian prestasi pelajar bersesuaian dengan situasi dan persekitaran dalam talian (Ainul Afzan dan Ishak Abd Rahman, 2021). Pertimbangan dalam metodologi pengajaran yang bersesuaian dengan situasi COVID-19 ini perlu diberi keutamaan agar prestasi pencapaian pelajar dalam pembelajaran dalam talian tidak menunjukkan perubahan yang ketara daripada pembelajaran secara fizikal (Maharaj Landaeta, 2020)

5. Hikmah dan Peluang Pembelajaran Norma Baharu

Penggunaan teknologi dalam pembelajaran norma baharu masa kini sudah menjadi satu keperluan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Tidak mustahil pada masa akan datang, penggunaan teknologi ini menjadi meluas dalam sistem pendidikan bukan hanya pada

(9)

peringkat institusi tinggi akan tetapi juga pada peringkat sekolah dan tadika. Penularan wabak COVID-19 memaksa pelbagai pihak terutama dalam bidang pendidikan menukar corak pembelajaran mereka daripada kelas secara bersemuka kepada kelas secara maya. Pelbagai peluang dan kebaikan yang boleh diperolehi daripada situasi kini dalam konteks pendidikan di Malaysia yang mana guru-guru dan pengajar digalakkan memberikan penglibatan yang tinggi dalam pelaksanaan PdP secara dalam talian. Kajian Ugartini Magesvaran (2021) menjelaskan situasi pembelajaran norma baharu yang melibatkan penggunaan teknologi digital ini memberi peluang kepada pengajar untuk mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam menghasilkan bahan pengajaran lebih kreatif yang dapat menarik minat pelajar untuk menyertai PdP secara dalam talian. Di samping itu juga, pengajar dapat meningkatkan kemahiran TMK dengan menerapkan pengetahuan TMK dalam pengajaran tanpa bergantung sepenuhnya kepada bahan cetak (Muniroh et al., 2020).

Dalam pada itu, guru-guru dan pelajar perlu merebut peluang ini untuk meningkatkan penguasaan mereka terhadap teknologi digital dengan lebih mendalam di masa penularan wabak pandemik. Fadzliya Hashim et al. (2021) menyatakan bahawa pembelajaran norma baharu ini membenarkan golongan pendidik untuk berusaha keras dalam menambah baik penguasaan ilmu TMK ke tahap yang lebih tinggi. Penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan secara tidak langsung memberi ruang kepada warga pendidik dan pelajar untuk terus menguasai ilmu teknologi agar sesi PdP dapat berjalan dengan lancar. Tambahan pula, penggunaan teknologi dalam proses PdP membolehkan penyampaian ilmu secara inovatif, interaktif dan eksplorasi menjadi lebih berkesan kerana pelajar dapat mengakses bahan penyampaian di mana-mana serta menjimatkan masa.

Faedah pembelajaran norma baharu ini memberi peluang yang luas buat pelajar dan pengajar untuk meneroka kebaikan teknologi agar dapat mengaplikasikan ilmu ini di dalam pengajaran mereka (Muniroh et al., 2020). Lanjutan itu, perbelanjaan kos PdP dalam talian dalam norma baharu ini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan pembelajaran secara fizikal. Mohd Fairuz et al. (2020) menjelaskan bahawa kos pelaksanaan PdP dalam talian lebih murah kerana guru dan pelajar dapat menggunakan pelbagai platform e-pembelajaran yang percuma seperti Google Meet untuk menjalankan kelas secara maya. Tambahan pula, Ainul Afzan dan Ishak Abd Rahman (2021) menyatakan pembelajaran yang melibatkan penggunaan teknologi digital ini dilihat mampu memberi manfaat kepada sektor pendidikan yang dapat meningkatkan inovasi dalam pendidikan di Malaysia.

6. Peranan Semua Pihak dalam Pembelajaran Norma Baharu

Bagi menjayakan pembelajaran norma baharu secara dalam talian, pelbagai pihak perlu memainkan peranan mereka agar sektor pendidikan di Malaysia tidak merudum. Ibubapa perlu menjalankan tanggungjawab mereka dalam mempersiapkan segala keperluan seperti peranti digital dan capaian internet agar proses PdP anak-anak mereka dapat dijalankan tanpa gangguan. Ugartini Magesvaran (2021) juga berpendapat bahawa peranan ibubapa amat penting dalam menjayakan proses PdP secara dalam talian dengan memberi sokongan dan dorongan mereka agar pelajar dapat mengakses maklumat pembelajaran PdPR yang disediakan oleh pengajar.

Disamping itu, guru dan tenaga pengajar bersama dengan pihak akademik perlu merangka dan menyusun semula Rancangan Pengajaran Tahuna (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) agar kandungan kurikulum menjadi lebih fleksibel dalam situasi semasa. Ainul Afzan dan Ishak Abd Rahman (2021) turut menyarankan agar persediaan bahan mengajar disusun

(10)

semula agar penyediaan bahan pembelajaran mudah diperoleh dan diakses oleh pelajar serta sesuai digunakan semasa pembelajaran dalam talian. Selain itu, pelaksanaan penilaian dan pentaksiran juga perlu diberi perhatian dan digubal agar bersesuaian dalam menilai prestasi penguasaan pelajar dalam pembelajaran.

Pelajar perlu mengorak langkah dalam membuat persediaan untuk menghadapi pelaksanaan PdP secara dalam talian. Sekiranya tiada penyertaan daripada pihak pelajar, maka sia-sia sahaja proses PdP dalam talian dijalankan dan pelajar bakal ketinggalan dalam pengajian mereka.

Menurut Muniroh et al. (2020), pelaksanaan PdP tidak dapat dicapai sepenuhnya sekiranya pelajar tidak menghadiri kelas secara maya dan kenyataan ini dikukuhkan lagi daripada hasil tinjauan kajian Siti Balqis dan Muniroh (2020) yang mendapati masih terdapat segelintir pelajar tidak bersedia dan kurang memberi kerjasama serta menghalang daripada proses PdP berjalan dengan lancar.

Motivasi yang tinggi dalam diri pelajar mendorong kepada kesungguhan untuk terus mengikuti pembelajaran dalam talian. Menurut Aziz dan Aida (2020), pembelajaran tanpa kegagalan adalah disebabkan pelajar mempunyai keazaman dan motivasi diri yang tinggi yang membantu mereka untuk terus bersemangat untuk belajar dalam zaman penularan wabak COVID-19.

Kenyataan Nuraisyah dan Faridah (2021) menjelaskan bahawa motivasi adalah elemen utama dalam membentuk kecemerlangan yang memberi input maksimal dalam pencapaian akademik pelajar.

7. Rumusan

Konklusinya, penularan wabak COVID-19 ini memberi impak yang besar dalam sistem pendidikan dan pelaksanaan proses PdP norma baharu dalam talian. Perubahan yang drastik ini banyak memberi kesan yang positif serta negatif dalam sektor pendidikan di Malaysia.

Adalah ditegaskan disini, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam memastikan agar proses PdP dapat terus dilaksanakan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah diarahkan oleh Kerajaan Malaysia. Inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan memperkenalkan pembelajaran berasaskan rumah menjadi satu alternatif yang bagus bagi memastikan agar para pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka. Walaupun pelbagai cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh guru, pelajar serta ibu bapa sepanjang proses PdP dalam talian, masih terdapat sisi baik yang boleh dimanfaatkan dalam situasi ini. Penggunaan teknologi yang meluas dalam kalangan pengajar dan pelajar memberi banyak manfaat dalam mengintegrasikan bidang pendidikan agar pembelajaran menjadi lebih berinovasi, kreatif serta mampu menarik minat pelajar untuk terus termotivasi dalam belajar.

Rujukan

Ain Nur Atika Agus. (2021). Tahap Pengetahuan Dan Kesediaan Guru Bahasa Melayu Dalam Melaksanakan Pendekatan Terbeza Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah Semasa Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM. Vol. 11, Bil. 1, 75-87.

Ainul Afzan binti Ramli & Ishak Bin Haji Abd Rahman. (2021). Isu dan Cabaran dalam Pelaksanaan Pendidikan Peringkat Rendah dan Menengah: Pendekatan Malaysia Semasa Pandemik Covid-19. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities.

Vol. 6, Bil. 9, 1-13.

(11)

Bani Hidayat Mohd Shafie. (2020). Pelaksanaan PdP dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 dan 2 COVID-19. Jurnal Dunia Pendidikan, Vol. 2, Bil. 2, 213- 221.

Fadzliyah Hashim, Farah Farhana Rosli, Fatahiyah Elias, Mohd Radzi Lebai Mat & Che Nazrah Mohd Yusof. (2021). Pengajaran dan Pembelajaran dalam Talian dan Impaknya Terhadap Guru Novis Pendidikan Islam. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences. Vol. 3, Bil. 4, 151-162.

Hamat, M., Mahlan, S. B., & Ch’ng, P. E. (2020). Adaptasi pengajaran dan pembelajaran secara maya dalam kebiasaan baharu semasa pandemik covid-19. 23–30.

Hasniza Tawyer, Hanirah Mohamad Nur & Amier Hafizun Ab Rashid. (2021). Pengajaran Dan Pembelajaran Norma Baharu Dalam Kalangan Pelajar Kolej Komuniti Malaysia.

International Journal of Islamic and Humanities Research. 26-37

Intan Nur Syuhada Hamzah & Zamri Mahamod. (2021). Strategi Pengajaran Dalam Talian Yang Digunakan Oleh Guru Bahasa Melayu Dalam Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM. Vol.

11, Bil. 2, 54-67.

Irma Mahad, Zamri Mahamod & Nurul Azira Sapian. (2021). Kaedah Pengajaran Dalam Talian Guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan di Kawasan Bandar Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Jurnal Dunia Pendidikan. Vol. 3, Bil. 3,381-394.

Maharaj Landaeta Sunita. (2020). Education in the Era of COVID-19: Innovative Solutions to Real Challenges. The Educational Review, USA, 2020. Vol.4, Bil. 11, 193-198.

Mahiswaran Selvanathan, Nur Atikah Mohamed Hussin & Noor Alyani Nor Azazi. (2020).

Students learning experiences during COVID-19: Work from home period in Malaysian Higher Learning Institutions. Teaching Public Administration.

Manzoor, A. & Ramzan, Q. (2020). Online teaching and challenges of COVID-19 for inclusion of persons with disabilities in higher education. Diakses dari:

https://www.researchgate.

net/publication/340681691_Online_Teaching_and_Challenges_Of_COVID-

19_For _Inclusion_Of_Persons_with_Disabilities_in_Higher_Education [26 November 2021]

Marni Izzati Kamaruddin. (2020). Perbezaan Tahap Pengetahuan, Penggunaan Dan Penerimaan Guru Bahasa Melayu Berdasarkan Faktor Umur Dan Pengalaman Mengajar Ketika Mengaplikasikan Persekitaran Pembelajaran Maya. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, Vol. 10, Bil. 2, 15-28.

Mohd Fairuz Jafar, Zetty Akmar Amran, Mohd Faiz Mohd Yaakob, Mat Rahimi Yusof &

Hapini Awang. (2020). Kesediaan pembelajaran dalam talian semasa pandemik COVID-19. Prosiding Seminar Darulaman 2020 Peringkat Kebangsaan. 404-410.

Muniroh Hamat, Siti Balqis Mahlan & Ch’ng Pei Eng. (2020). Adaptasi Pengajaran dan Pembelajaran Secara Maya dalam Kebiasaan Baharu Semasa Pandemik COVID-19.

Shah Alam: SIG:e-Learning@CS.

Noor Rohana Mansor, Asyraf Hj Ab Rahman, Azza J. Ahmad Tajuddin, Roswati Abd Rashid

& Nurul Ain Chua. (2021). New Norms of Online Teaching and Learning: Covid- 19 Semester Experience for Universiti Malaysia Terengganu Students. Academic Journal of Interdisciplinary Studies. Vol. 4, Bil. 4, 248-260.

Nor Aidawati Abdillah & Mazidah Musa. (2021). Kesediaan Pelajar Terhadap Proses Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP) Norma Baru Di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA).

International Journal of Modern Education (IJMOE). Vol. 3, Bil. 8, 114-124.

Nor Asmah Abdullah & Muhammad Syawal Amran. (2021). Perspektif Guru Terhadap Penglibatan Murid Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Secara Atas Talian Semasa

(12)

Pandemik Covid-19 Di Malaysia. International Journal of Advanced Research in Islamic Studies and Education (ARISE). Vol. 1, Bil. 4, 32-39.

Norehan Binti Mohd Nasir & Mahaliza Binti Mansor. (2021). Cabaran Guru dalam Melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR): Suatu Pemerhatian Awal. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities. Vol. 6, Bil. 7, 416-421.

Ngogi Emmanuel Mahaye. (2020). The Impact of COVID-19 Pandemic on Education:

Navigating Forward the Pedagogy of Blended Learning. University of Pretoria.

Nuraisyah Muhammad & Faridah Mydin Kutty. (2021). Hubungan Antara Pembelajaran Regulasi Kendiri dan Motivasi Terhadap Pencapaian Akademik. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities. Vol. 6, Bil. 9, 215-229.

Siti Balqis Mahlan & Muniroh Hamat. (2020). Pengajaran dan Pembelajaran dalam Talian Semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Shah Alam: SIG:e-Learning@CS.

Siti Nurajrina Binti Muksin & Mardzelah Binti Makhsin. (2021). A Level of Student Self- Discipline in E-Learning During Pandemic Covid-19. Proceedings of the International Conference on Intellectuals’ Global Responsibility 2020 (ICIGR):

Science for Handling the Effects of Covid-19, Facing the New Normal, and Improving Public Welfare. 278-283.

Ugartini Magesvaran. (2021). Tahap Pengetahuan dan Kekangan Yang Dihadapi Oleh Guru Bahasa Melayu Ketika Menggunakan Aplikasi Google Meet Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM. Vol. 11, Bil. 2, 39-53.

Wan Ya Shin. (2020). Pendidikan Sepanjang Krisis COVID-19. Pengurus Penyelidikan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS). April 11, 2020 dari https://www.ideas.org.my/pendidikan-sepanjang-krisis-covid-19/

Zawiah Binti Bahrom. (2020). Pedagogi Norma Baharu: Cabaran Dan Hikmah. Jurnal Refleksi Kepemimpinan. Vol. 3. 74-85.

Referensi

Dokumen terkait