KUALA LUMPUR: Isu keruntuhan bank Amerika Syarikat (AS), Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank dijangka tidak memberi kesan kepada hala tuju penetapan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa oleh Bank Negara Malaysia, demikian menurut penganalisis.
Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata isu keruntuhan bank AS itu memberi kesan kepada pasaran global menerusi sentimen pelabur, namun mengikut asas pasaran ia tidak begitu memberikan impak memandangkan fungsi bank terbabit adalah khusus.
"Oleh itu, kami berpendapat isu ini tidak akan memberi kesan kepada hala tuju kadar OPR. Bank-bank di Malaysia juga berlainan daripada kedua-dua bank di AS ini.
"Antaranya, pemegang deposit di Malaysia adalah pelbagai dan bukan tertumpu kepada sektor dan jenis tertentu, malah majoriti deposit adalah berbentuk jangka panjang,"
katanya kepada BH.
Keruntuhan SVB dikaitkan dengan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS, yang menyebabkan susut nilai aset lembaran imbangan beberapa institusi kewangan.
Menurut data Federal Deposit Insurance Corporation (FDIC), bank-bank AS kehilangan sebanyak AS$620 bilion pada 2022.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kesan isu keruntuhan bank AS itu akan bergantung kepada kesan domino terhadap sistem perbankan di AS, sama ada ia boleh menyebabkan pengurangan kadar kecairan di dalam sistem perbankan.
Beliau berkata, persoalan mengenai pengurangan kecairan itu akan menentukan saiz impaknya kepada ekonomi global.
Katanya, ia boleh dianggap seperti yang pernah dialami pasaran pada 2007 hingga 2009 yang mana krisis subprima bagi pembiayaan perumahan di AS menjadi punca kekurangan kecairan di dalam sistem perbankan di AS dan global sehingga menyebabkan bank pusat utama mengambil langkah kelonggaran kuantitatif (QE) untuk menstabilkan pertumbuhan.
"Kesan kepada Malaysia adalah permintaan luaran, iaitu kesan kepada eksport dan juga aliran modal asing. Di sini peranan ekonomi domestik amat penting bagi memastikan prestasi pertumbuhan yang baik.
"Ini bermakna, dasar ekonomi juga perlu digarap supaya ia boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan.
"Buat masa ini, saya berpendapat ia masih dalam mod berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.
Disclaimer: Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies, reproductions or copyrighted materials. You may use the digitized materials for study or research