GPPBV2: 2015 (BPPA)
1 1
GARIS PANDUAN PEMBANGUNAN KURIKULUM DAN PENYEDIAAN DOKUMEN PERMOHONAN PENAWARAN PROGRAM AKADEMIK BAHARU
1. Tujuan
Garis panduan ini bertujuan memberi panduan kepada Fakulti dan Pusat di UNIMAS tentang proses pembangunan kurikulum dan penulisan dokumen permohonan penawaran program akademik baharu di peringkat Pra-Siswazah, Pra-Universiti dan Pasca Siswazah.
2. Pengenalan
Pembangunan kurikulum program akademik adalah satu proses perancangan, pelaksanaan dan penilaian peluang-peluang pembelajaran yang bertujuan untuk membolehkan pelajar menghasilkan perubahan yang dikehendaki.
Proses perancangan melibatkan pengumpulan maklumat tentang keperluan penawaran program akademik baharu dan penjelasan tentang rekabentuk program yang dicadang berdasarkan analisa maklumat yang diperolehi dan disusun atur mengikut format kertas kerja yang tertentu.
Proses pelaksanaan melibatkan keputusan tentang pemilihan kaedah pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran yang mempunyai sifat penjajaran konstruktif (constructive alignment) bagi memastikan hasil pembelajaran yang dihasratkan akan dapat dicapai oleh pelajar dengan jayanya.
Proses penilaian melibatkan pemantauan dan semakan kurikulum program akademik yang dijalankan secara berkala bagi tujuan penambahbaikan kualiti berterusan.
Pembangunan kurikulum program akademik dan penulisan dokumen permohonan penawaran program akademik baharu adalah di bawah tanggungjawab Fakulti dan Pusat.
Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Akademik (BPPA) berperanan sebagai urus setia dalam menyelaras proses pembangunan kurikulum program baharu dan perolehan akreditasi sementara (provisional accreditation) oleh Fakulti dan Pusat mengikut ketetapan UNIMAS, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JPT) di Kementerian Pendidikan Malaysia.
GPPBV2: 2015 (BPPA)
2 2
3. Makluman Terkini Berkenaan Penawaran Program Akademik Baharu oleh IPTA daripada Jabatan Pengajian Tinggi
a. Penawaran program akademik baharu hendaklah selari dengan bidang tujahan atau niche area IPTA masing-masing.
b. Program akademik sedia ada yang tidak relevan dan tidak berdaya maju kepada negara dan industri perlu dijumudkan. Program yang dijumudkan hendaklah dimaklumkan kepada JKPT.
c. Sebelum sesuatu program akademik baharu diwujudkan, perkara seperti peratusan graduate employability (GE) bagi fakulti yang ingin menawarkan program baharu dan peratus GE keseluruhan bagi IPTA yang memohon mestilah diambilkira.
d. Program akademik baharu yang dicadangkan perlulah ada libatsama dengan pihak industri. IPTA hendaklah mendapatkan laporan daripada pihak industri sama ada industri tempatan atau antarabangsa terhadap program yang hendak dilaksanakan.
e. Pelaksanaan program akademik baharu hendaklah mengambil kira implikasi kewangan, perjawatan dan fizikal secara terperinci dan tuntas dengan menggunapakai sumber dalaman sedia ada tanpa melibatkan keperluan tambahan berbangkit pada masa hadapan. Misalnya kos untuk menghasilkan seorang graduan, kos jangka panjang dan pulangan kepada negara (return of investment-ROI) hendaklah diperincikan di dalam kertas cadangan.
(Surat Jabatan Pendidikan Tinggi, rujukan JPT(A) 1000/013/013/02 Jld 15 (39) bertarikh 12 Disember 2014)
4. Aktiviti Penting Pembangunan Kurikulum dan Penyediaan Dokumen Permohonan Penawaran Program Akademik Baharu
Fakulti dan Pusat yang berhasrat untuk menawarkan program akademik baharu perlu membuat perancangan dan persediaan rapi yang melibatkan aktiviti-aktiviti di bawah:
a. Menubuhkan Jawatankuasa Akademik Program Baharu Fakulti/Jabatan dan melantik Ketua JK Akademik Program Baharu beserta ahli.
b. Mengumpulkan maklumat tentang keperluan dokumentasi dengan merujuk kepada dokumen-dokumen berikut
Kod Amalan Akreditasi Program (Code of Practice for Programme Accreditation, COPPA) - MQA-01 (Permohonan Akreditasi Sementara)*
Garis Panduan Amalan Baik: Reka Bentuk dan Penyampaian Kurikulum (MQA)
Garis Panduan Penulisan Program Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi
Standard Disiplin Program/Keperluan Badan Professional (jika berkaitan) (* Maklumat MQA-01: Bahagian A disediakan oleh BPPA)
c. Mengadakan siri perbincangan/mesyuarat Jawatankuasa Akademik Program Baharu bagi memastikan kandungan dokumen lengkap dan disediakan mengikut format MQA-01.
GPPBV2: 2015 (BPPA)
3 3
d. Melantik ahli lembaga pengajian program (contoh: ahli akademik, badan professional, pakar bidang pengajian dari dalam dan luar negara*) untuk menilai dan memberi ulasan tentang kesesuaian dan kerelevanan cadangan kandungan dan pelaksanaan kurikulum.
(*Surat lantikan lembaga pengajian program (Board of Studies) adalah daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Fakulti/Pusat perlu memajukan senarai nama calon beserta CV yang lengkap dan justifikasi pencalonan untuk kelulusan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
e. Menyediakan kertas kerja** dan membentang cadangan penawaran program akademik baharu di peringkat Fakulti/Pusat untuk pengesahan dan kelulusan pada peringkat tersebut.
(** Ringkasan Eksekutif perlu disertakan mengikut templat seperti di Lampiran 1).
f. Memajukan satu (1) salinan dokumen cadangan penawaran program akademik baharu ke Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) untuk semakan dan pengesahan.
(Nota: Semakan dilakukan oleh BPPA setelah mendapat pengesahan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan perbincangan hasil semakan akan diadakan bersama Ketua JK Akademik Program Baharu).
g. Membentang kertas kerja** cadangan penawaran program akademik baharu pada Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Akademik (JPPA) bagi program Pra-Siswazah atau Jawatankuasa Pascasiswazah (JKPS) bagi program pasca siswazah untuk pertimbangan dan perakuan pada peringkat tersebut.
(** Ringkasan Eksekutif perlu disertakan mengikut templat seperti di Lampiran 1).
h. Membentang kertas kerja** cadangan penawaran program akademik baharu pada Mesyuarat SENAT untuk kelulusan pada peringkat tersebut.
(** Ringkasan Eksekutif juga perlu disertakan)
i. Membentang kertas kerja** cadangan penawaran program akademik baharu pada Mesyuarat LPU untuk pengesahan pada peringkat tersebut.
(** Ringkasan Eksekutif juga perlu disertakan).
j. Memajukan memo permohonan rasmi ke Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) untuk tujuan permohonan ‘Perakuan Memenuhi Kualiti Untuk Tujuan Menawarkan Program’ (Certification of Quality Compliance – CQC) daripada MQA beserta tujuh (7) salinan dokumen cadangan penawaran program akademik baharu dan tujuh (7) cakera padat.
(Nota: Penghantaran permohonan ke MQA beserta dokumen berkaitan adalah melalui Pejabat TNC (AA) dan diselaraskan oleh BPPA, termasuk pembayaran fi).
k. Memaklumkan penerimaan Perakuan Memenuhi Kualiti Untuk Tujuan Menawarkan Program’ (Certification of Quality Compliance – CQC) daripada MQA pada Mesyuarat Senat dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU).
(Nota: Turut dilampirkan bersama Surat CQC adalah Borang Lampiran B untuk tujuan Permohonan Akreditasi Sementara yang perlu dimajukan ke MQA SETELAH kelulusan pengendalian program diterima daripada JPT).
GPPBV2: 2015 (BPPA)
4 4
l. Menyediakan dokumen cadangan penawaran program akademik baharu mengikut format JPT (rujuk format kertas kerja di Bab 3: Garis Panduan Penulisan Program Akademik, JPT).
m. Memajukan memo permohonan rasmi ke Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) untuk tujuan permohonan kelulusan pengendalian program daripada JPT beserta tujuh (7) salinan dokumen cadangan penawaran program akademik baharu dan tujuh (7) cakera padat.
(Nota: Penghantaran permohonan ke JPT beserta dokumen berkaitan adalah melalui Pejabat TNC (AA) dan diselaraskan oleh BPPA).
n. Memohon Perakuan Akreditasi Sementara (Provisional Accreditation) daripada MQA dengan memajukan Borang Lampiran B SETELAH menerima surat kelulusan pengendalian daripada JPT.
(Nota: Penghantaran permohonan ke MQA beserta dokumen dan fi berkaitan adalah melalui Pejabat TNC (AA) dan diselaraskan oleh BPPA)
Rujuk Lampiran 2 untuk Carta Alir Proses Kerja Penawaran Program Baharu
5. Hal-Hal Lain
Pembangunan kurikulum program perlu berasaskan kepada pendekatan Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE). (Nota: Rujuk Bab 1: Garis Panduan Penulisan Program Akademik, JPT untuk maklumat lanjut tentang perkara ini)
Rujuk Garis Panduan Penggunaan Abjad Kod Kursus dan Tafsiran Angka Kredit untuk penetapan maklumat kod dan kredit kursus yang dicadangkan dalam pembangunan kurikulum bagi kursus-kursus dalam program baharu.
Rujuk Garis Panduan Penulisan Rangka Kursus untuk penetapan maklumat khusus untuk setiap kursus yang dicadangkan.
Fakulti/Pusat adalah bertanggungjawab untuk menyediakan maklumat lanjutan (sekiranya diperlukan) sebagai maklumbalas kepada hal-hal yang dibangkitkan oleh MQA dalam surat CQC (Lampiran A) atau/dan surat makluman kelulusan JPT.
Fakulti/Pusat adalah bertanggungjawab untuk memastikan struktur ayat, ejaan dan format yang digunakan adalah betul dalam dokumen permohonan penawaran program akademik baharu.
Permohonan Akreditasi Penuh (Full Accreditation) adalah di bawah tanggungjawab Fakulti/Pusat dan proses ini juga diselaraskan oleh Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Akademik.
6. Tarikh Berkuatkuasa
Garis panduan ini berkuat kuasa bermula dari tarikh ia diluluskan oleh Mesyuarat Senat Bil 01/2015 ke138 iaitu pada 28 Januari 2015.