PEJABAT HUBUNGAN INDUSTRI
HAL-EHWAL JARINGAN INDUSTRI DAN MASYARAKAT GERAN GALAKAN PENYELIDIKAN UNIVERSITI-INDUSTRI
I. LATAR BELAKANG
Geran ini diwujudkan pada tahun 2010 di bawah Dana Universiti Penyelidikan.
Sebagai sebuah universiti penyelidikan, UKM perlu memainkan peranan penting untuk meningkatkan kerjasama penyelidikan dan inovasi antara universiti dan industri (merangkumi juga NGO dan Agensi Kerajaan). Salah satu kaedah yang diperkenalkan ialah supaya UKM menyediakan geran galakan khusus bagi tujuan tersebut dengan menggunakan dana Universiti Penyelidikan. Dengan adanya geran galakan khusus seperti ini, penyelidik UKM boleh bekerjasama dengan pihak industri dan pihak industri akan diminta untuk memberi sumbangan setara atau lebih dalam bentuk dana penyelidikan.
Salah satu KPI yang utama dalam Universiti Penyelidikan adalah perolehan dana industry dan kewujudan geran penggalak ini dijangka mampu meningkatkan perolehan dana luar tersebut.
II. DEFINISI GERAN
Geran ini memberi peluang kepada tenaga akademik UKM untuk membangun penyelidikan dalam projek kerjasama UKM-industri. Pada peringkat permulaan, geran akan diberikan sebagai dana penggalak untuk memulakan kerjasama dengan industri.
Pihak industri akan diminta memberi sumbangan setara atau lebih apabila projek telah menunjukkan kemajuan.
III. TUJUAN GERAN
Secara khususnya, tujuan mengadakan geran ini ialah;
• Meningkatkan kerjasama penyelidikan dan inovasi dengan industri melalui perolehan dana (matching contribution) dari industri;
• Memberi peluang kepada tenaga akademik UKM untuk meningkatkan jaringan penyelidikan secara langsung dengan industri.
• Menyumbang kepada KPI Universiti Penyelidikan melalui peningkatan geran dari industri, MOU dengan industri dan projek penyelidikan.
IV. KRITERIA & SYARAT-SYARAT PERMOHONAN
1. Pemohon mestilah kakitangan akademik tetap/krontak yang sedang berkhidmat dengan UKM.
2. Geran disediakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti penyelidikan dalam projek kerjasama UKM-industri.
3. Keutamaan akan diberikan kepada projek penyelidikan yang:
a. melibatkan kerjasama penajaan bersama projek dengan pihak industri/NGO/agensi kerajaan;
b. menekankan nic penyelidikan UKM;
c. boleh membuktikan bahawa pihak industri adalah benar-benar berminat untuk bekerjasama dan akan menyumbang kepada perkembangan projek melalui sumbangan setara atau lebih.
d. Menghasilkan model/modul/inovasi yang memberi impak kepada pengembangan program akademik UKM khasnya dan kecemerlangan UKM, amnya.
V. JANGKA MASA PROJEK
Jangka projek hendaklah tidak melebihi 1 tahun.
VI. SKOP PEMBIAYAAN
Skop pembiayaan adalah mengikut skop yang sedia digunapakai oleh pihak Universiti.
Pembiayaan yang dipohon mestilah bersesuaian dengan aktiviti yang dirancang dan disertakan dengan justifikasi yang munasabah. Jawatankuasa Penilai berhak menentukan jumlah sebenar yang akan diluluskan.
VII. PROSEDUR PERMOHONAN DAN PENILAIAN
1. Permohonan perlu menggunakan Borang Permohonan Geran Galakan Penyelidikan Universiti-Industri yang boleh diperolehi dari Pejabat Hubungan Industri (PHI), HEJIM.
2. Bukti kerjasama dengan industri perlu dikemukakan bersama permohonan.
3. Permohonan perlu dikemukakan kepada Pejabat Pengarah, Pejabat Hubungan Industri (PHI) mengikut tarikh tutup yang ditetapkan.
4. Permohonan akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilai yang ditetapkan.
5. Keputusan penilaian adalah muktamad.
6. Selepas kelulusan permohonan projek penyelidikan diberikan kepada pemohon yang berjaya, segala urusan pemantauan dan pengurusan pembiayaan projek seterusnya akan dibuat oleh pihak CRIM dan PHI.
VIII. TARIKH MULA PROJEK
Semua projek akan bermula selepas mendapat perakuan Jawatankuasa Penilaian.
IX. PEMANTAUAN PRESTASI PROJEK
1. Pemantauan projek akan dilakukan oleh pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM) dan Pejabat Hubungan Industri (PHI).
2. Laporan kemajuan projek perlu dihantar pada setiap enam bulan kepada CRIM.
3. Seminar Pemantauan projek akan diadakan pada setiap tahun.
X. LAPORAN AKHIR PROJEK
Laporan akhir projek perlu dikemukakan dalam tempoh 3 bulan selepas projek tamat.
Pejabat Hubungan Industri
Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia