• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pelaksanaan Penskoran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi Kemahiran Mendengar dan Bertutur Bahasa Melayu Sekolah Rendah (Implementation of Classroom Assessment Scoring (PBD) for Malay Listening and Speaking Skills Primary school)

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Pelaksanaan Penskoran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi Kemahiran Mendengar dan Bertutur Bahasa Melayu Sekolah Rendah (Implementation of Classroom Assessment Scoring (PBD) for Malay Listening and Speaking Skills Primary school)"

Copied!
15
0
0

Teks penuh

(1)

Pelaksanaan Penskoran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi Kemahiran Mendengar dan Bertutur Bahasa Melayu

Sekolah Rendah

(Implementation of Classroom Assessment Scoring (PBD) for Malay Listening and Speaking Skills Primary school)

Darayani Johari1, Wan Muna Ruzanna Wan Mohamad1*

1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia

*Pengarang Koresponden: [email protected]

Accepted: 15 March 2023 | Published: 31 March 2023

DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.1.37

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Kajian dilaksanakan untuk mendalami proses pelaksanaan penskoran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi kemahiran mendengar dan bertutur Bahasa Melayu sekolah rendah.

Selain itu, kajian ini bertujuan untuk menjelaskan perbezaan kaedah pelaksanaan penskoran Tahap Penguasaan (TP) murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur dalam kalangan guru luar bandar dan pedalaman. Kajian ini merupakan kajian kes berbentuk kualitatif. Peserta kajian terdiri daripada 2 orang guru dari sekolah luar bandar dan pedalaman di daerah Beluran, Sabah. Kajian ini melibatkan kaedah pemerhatian, analisis dokumen dan temu bual bagi pengumpulan data. Hasil kajian menunjukkan bahawa kedua-dua peserta kajian melaksanakan penskoran PBD bagi kemahiran mendengar dan bertutur Bahasa Melayu mengikut garis panduan yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Namun begitu, terdapat perbezaan dari aspek pengetahuan, pemahaman dan pelaksanaan penskoran PBD bagi kedua-dua peserta kajian. Hal ini disebabkan kurangnya pengetahuan dan pemahaman peserta-peserta kajian dalam melaksanakan PBD terutamanya dari aspek Standard Prestasi (SPi) kemahiran mendengar dan bertutur yang merupakan indikator utama dalam menentukan TP murid-murid. Melalui kajian ini, diharapkan lebih banyak latihan dan kursus diberikan kepada guru-guru secara langsung mengenai penskoran PBD kemahiran mendengar dan bertutur bagi memastikan matlamat kurikulum pendidikan di Malaysia tercapai.

Kata kunci: Penskoran, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), kemahiran mendengar dan bertutur, Bahasa Melayu

Abstract: The study was carried out to deepen the implementation process of Classroom Assessment (PBD) for primary school Malay listening and speaking skills. In addition, this study aims to explain the difference in the method of scoring students' Mastery Level (TP) for listening and speaking skills among rural and inland teachers. This study is a qualitative case study. The study participants consisted of 2 teachers from rural and rural schools in Beluran district, Sabah. This study involves observation methods, document analysis and interviews for data collection. The results of the study show that both study participants performed the PBD scoring for listening and speaking skills in Malay according to the guidelines recommended by the Malaysian Ministry of Education (KPM). However, there are differences in terms of knowledge, understanding and implementation of PBD scoring for both study participants. This is due to the lack of knowledge and understanding of the study participants

(2)

in implementing PBD, especially from the aspect of Standard Performance (SPi) of listening and speaking skills which is the main indicator in determining students' TP. Through this study, it is hoped that more training and courses will be given to teachers directly on the PBD scoring of listening and speaking skills to ensure that the goals of the education curriculum in Malaysia are achieved.

Keywords: Scoring, Classroom Assessment (PBD), listening and speaking skills, Malay language

___________________________________________________________________________

1. Pendahuluan

Pentaksiran merupakan elemen yang penting dalam pendidikan bagi melihat pencapaian murid.

Sejak merdeka lagi, Malaysia telah menjadikan sistem peperiksaan sebagai tunjang pentaksiran. Sistem pentaksiran telah memberikan kesedaran kepada pelbagai pihak untuk menilai semula sistem ini yang sudah kurang relevan pada era kini. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015, laporan tersebut mendapati bahawa pentaksiran berteraskan peperiksaan memberikan impak negatif terhadap perkembangan kognitif mahupun emosi murid. Perkara ini terjadi disebabkan sistem peperiksaan tidak mampu untuk menguji kebolehan dan kemahiran murid secara holistik.

Jumlah ‘A’ yang diperoleh menjadi ukuran terhadap kemampuan dan kualiti seseorang murid.

Hal ini secara tidak langsung memberikan tekanan dan bebanan kepada murid-murid. Oleh itu, satu tindakan drastik telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengubah sistem pentaksiran yang berkiblatkan peperiksaan kepada sistem pentaksiran yang lebih fleksibel.

Pada tahun 2011, KPM telah merangka satu peralihan pentaksiran yang dikenali sebagai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan ditukar nama sebagai Pentaksiran Bilik darjah (PBD) sekitar tahun 2016. Hal ini bertujuan sebagai satu anjakan paradigma bagi pendidikan di Malaysia. PBD merupakan suatu pentaksiran yang bersifat holistik bertujuan untuk membangunkan suri teladan yang berketrampilan dan berakhlak mulia. Hal ini disebabkan PBD mentaksir murid dari pelbagai aspek iaitu aspek kognitif (intelek), aspek afektif (emosi dan rohani) serta aspek psikomotor (jasmani) yang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan aspek Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS).

PBD dilaksanakan untuk mengetahui perkembangan pembelajaran murid secara menyeluruh (Arumugham, 2020). Elemen pengukuran, penilaian dan pentaksiran dapat membantu guru untuk mengenal pasti murid yang lemah semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) (Mohd Haidzar & Norasmah, 2019). Hal ini juga dapat membantu guru untuk mengambil inisiatif yang lebih progresif dalam mengubahsuai teknik pengajaran (KPM, 2018a). Selain itu, guru merupakan pihak yang berperanan penting dalam proses pelaksanaan PBD bagi mentadbir instrumen, menilai murid, melaksanakan penskoran dan merekod PBD murid di peringkat sekolah (Zamri et al, 2010). Tambahan pula, PBD memberikan kuasa penuh kepada guru-guru untuk mentaksir murid-murid berdasarkan Standard Prestasi (SPi) yang telah ditetapkan oleh KPM bagi menentukan Tahap Penguasaan (TP) murid. Pentaksiran yang berkesan mampu untuk memberikan maklumat sebenar mengenai TP murid dan keberkesanan pengajaran guru.

(3)

Bagi memperkasakan PBD, secara bertahap pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah memansuhkan pentaksiran berasaskan peperiksaan. Pada tahun 2018, pentaksiran berasaskan peperiksaan bagi murid-murid tahap satu telah dimansuhkan sepenuhnya (KPM, 2018b). Oleh itu, pada tahun 2019 pentaksiran murid-murid tahap satu dilaksanakan sepenuhnya berdasarkan dokumen dan garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM (Anniliza et al., 2020). Demi meneruskan transformasi pendidikan, KPM melaksanakan satu langkah berani dengan memansuhkan peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada pertengahan tahun 2021. Penilaian UPSR digantikan dengan PBD sepenuhnya sebagai kaedah pentaksiran murid. Pemansuhan peperiksaan ini sedikit sebanyak memberikan cabaran untuk mengimplementasikan PBD sepenuhnya (Anniliza et al., 2020). Namun, ini merupakan langkah yang terbaik untuk menjamin kualiti pendidikan di Malaysia dalam melahirkan individu yang setaraf dengan murid-murid di negara maju.

Dalam kurikulum KSSR Bahasa Melayu terdapat lima kemahiran yang perlu ditaksir oleh guru semasa PdP iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca, kemahiran menulis, kemahiran seni bahasa dan kemahiran tatabahasa. Berdasarkan kelima-lima kemahiran tersebut, kemahiran mendengar dan bertutur merupakan kemahiran yang saling melengkapi dan tidak boleh dipisahkan. Kajian ini memfokuskan kemahiran mendengar dan bertutur kerana kemahiran ini perlu ditaksir oleh guru secara serentak semasa proses PdP.

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan Elfia et al. (2019), mendapati bahawa proses penilaian kemahiran mendengar dan bertutur belum dilaksanakan secara optimum oleh guru-guru.

Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengetahui secara eksplisit kaedah guru bahasa Melayu melaksanakan penskoran pentaksiran kemahiran mendengar dan bertutur bahasa Melayu yang terkandung dalam DSKP BM sekolah rendah. Objektif kajian yang dibincangkan dalam kajian ini termasuklah;

i. Meneroka kaedah pelaksanaan penskoran Tahap Penguasan murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur dalam kalangan guru.

ii. Menjelaskan perbezaan kaedah pelaksanaan penskoran Tahap Penguasaan murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur dalam kalangan guru luar bandar dan pedalaman.

2. Ulasan Kajian Lepas

PBD merupakan salah satu pentaksiran yang diamalkan di Malaysia. Pentaksiran yang berkualiti merangkumi beberapa dimensi iaitu sesuai dengan matlamat, meningkatkan amalan PdP, telus, efisyen dan diyakini ramai (Noor Su’adah, 2014). Dalam pelaksanaan PBD, guru memainkan peranan utama dalam memastikan PBD dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Namun begitu, timbulnya beberapa isu tentang kompetensi guru dalam melaksanakan PBD.

Berdasarkan kajian Norazilawati Abdullah et al. (2020) mendapati bahawa guru kurang pengetahuan mengenai pentaksiran dalam menentukan TP murid sebagaimana yang telah ditetapkan dalam DSKP. Pengetahuan yang lemah mengenai pentaksiran menyebabkan guru gagal untuk melihat kemajuan pembelajaran murid sehingga melaporkan keputusan yang bias dan menutup potensi sebenar murid (Yuh & Kenayathulla, 2020). Selain itu, Arumugham (2020) menyatakan bahawa guru kurang memahami kaedah penetapan TP murid berdasarkan Standard Prestasi (SPi) yang terkandung dalam DSKP. Di samping itu, kajian Ruzlan dan Arsaythamby (2017) mendapati guru berlaku tidak adil semasa memberikan TP kepada murid serta tidak jujur dalam melaksanakan pentaksiran sehinggan pentaksiran yang dilaporkan menjadi tidak benar. Hal ini disokong oleh Mahaya et al. (2019) yang menyatakan pelaporan PBD yang tidak tepat dan benar akan mewujudkan rasa ketidakpercayaan dan keraguan dalam

(4)

kalangan ibu bapa murid. Hal ini menyebabkan ibu bapa sukar untuk menerima hasil keputusan PBD anak-anak. Secara tidak langsung, perkara ini menyebabkan guru meminggirkan aspek kemenjadian murid. Oleh itu, guru perlu menambah pengetahuan dan pemahaman mengenai pentaksiran sebelum melaksanakan pentaksiran terhadap murid-murid (Liu & Li, 2020).

Kemahiran mendengar dan bertutur merupakan kemahiran yang paling rumit untuk ditaksir (Nora’azian & Fadzilah, 2018). Hal ini terbukti melalui kajian Elfia et al. (2019), yang menunjukkan bahawa guru menghadapi kesukaran dalam mentaksir kemahiran mendengar dan bertutur. Namun begitu, guru perlu mentaksir kemahiran ini bagi melihat kemampuan murid berbahasa Melayu dengan lancar dan fasih. Seorang murid yang mampu berbahasa Melayu dapat menonjolkan bakat dan potensi diri dalam pertandingan berbahasa seperti bercerita, syarahan, deklamasi sajak dan pelbagai lagi selaras dengan KSSR iaitu melahirkan individu berkebolehan dan berdaya saing sehingga peringkat global. Oleh itu, guru perlu menitikberatkan pemahaman mengenai standard kandungan (SK), standard pembelajaran (SP) dan Standard Prestasi (SPi) bagi merancang pengajaran dan pentaksiran kemahiran mendengar dan bertutur Bahasa Melayu. Justeru, kajian ini menumpukan kepada kaedah guru melaksanakan penskoran PBD dalam menentukan TP murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur Bahasa Melayu.

Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kerangka model penilaian CIPP sebagai asas dalam kajian ini. Model ini merangkumi empat dimensi penilaian iaitu penilaian koteks, penilaian input, penilaian proses dan penilaian output yang mampu memberikan pandangan secara holistik tentang sesebuah program pendidikan (Zainun & Nooraida, 2021). Oleh itu, penilaian dapat dilaksanakan secara sistematik dan tersusun bagi memenuhi kriteria penilaian. Dimensi konteks merujuk kepada matlamat sesebuah program. Dimensi input pula merujuk kepada perancangan dalam pelaksanaan sesuatu program. Misalnya, perancangan kurikulum dan kandungan pembelajaran, perancangan pentaksiran dan lain-lain. Dimensi proses pula merujuk kepada tindakan seperti proses pembelajaran, pentaksiran dan aktiviti PdP. Akhir sekali, dimensi produk yang melihat kepada hasil dan keberkesanan program. Secara keseluruhan, Model Penilaian CIPP diguna pakai untuk menambah baik sesuatu program. Kerangka ini merupakan panduan kepada pengkaji untuk meneroka kaedah pelaksanaan penskoran TP bagi kemahiran mendengar dan bertutur dalam kalangan guru.

Rajah 3: Kerangka Model Penilaian CIPP

(Adaptasi dari Stufflebeam et al. (1971) dalam Zainun Mustafa dan Nooraida Yakob, 2021)

(5)

3. Metodologi

Reka bentuk kajian inilah ialah kajian kes. Kajian ini dilaksanakan menggunakan pendekatan kualitatif. Pendekatan kualitatif digunakan dalam kajian ini untuk meneliti fenomena yang sebenar semasa proses penskoran TP kemahiran mendengar dan bertutur dilaksanakan oleh guru. Dalam kajian ini, pengkaji ingin mendapatkan maklumat terperinci mengenai cara penskoran TP murid semasa pelaksaaan pentaksiran kemahiran mendengar dan bertutur.

Kajian ini terbatas hanya di sekolah kebangsaan yang terdiri daripada sekolah luar bandar dan sekolah pedalaman yang terletak dalam daerah Beluran. Reka bentuk kajian ini juga secara langsung mampu menjawab persoalan kajian iaitu apakah perbezaan kaedah pelaksanaan penskoran TP murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur dalam kalangan guru luar bandar dan pedalaman.

Peserta kajian bagi kajian ini dipilih secara pensampelan bertujuan iaitu peserta kajian yang mempunyai ciri-ciri, sifat-sifat dan mempunyai pengetahuan berkaitan dengan kajian yang dilaksanakan (Sufean & Ghazali, 2016). Hal ini supaya peserta kajian dapat memberikan maklumat yang mendalam, terperinci dan relevan. Berikut merupakan kriteria peserta kajian;

a) Mengajar Bahasa Melayu

b) Mengajar di sekolah rendah dalam daerah Beluran

c) Mengajar di sekolah kategori luar bandar atau pedalaman

d) Mempunyai pengalaman mengajar Bahasa Melayu sekurang-kurangnya 2 tahun

Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian, analisis dokumen dan temu bual bagi pengumpulan data. Temu bual dilaksanakan bagi mengetahui cara pelaksanaan penskoran PBD dan perbezaan cara pelaksanaan penskoran PBD oleh guru bagi kemahiran mendengar dan bertutur murid sekolah rendah. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan instrumen temu bual semi-struktur. Temu bual semi-struktur ini digunakan bertujuan memberi ruang kepada peserta kajian untuk memberikan jawapan yang lebih terbuka ketika sesi temu bual melalui soalan-soalan yang dikemukakan oleh pengkaji. Secara tidak langsung, pengkaji akan memperoleh jawapan yang lebih telus daripada peserta kajian. Melalui temu bual ini juga, pengkaji boleh mengemukakan soalan tambah untuk memperoleh maklumat tambahan yang lebih terperinci disebabkan peserta kajian tidak memahami soalan yang dikemukakan.

Selain itu, pengkaji juga menggunakan kaedah pemerhatian untuk mengumpul data. Sebelum proses pemerhatian dilaksanakan, pengkaji memohon keizinan daripada peserta kajian untuk merakam sesi Pengajaran dan Pembelajaran PdP. Kaedah ini dilaksanakan bagi mengetahui proses pelaksanaan penskoran PBD bagi kemahiran mendengar dan bertutur. Pengkaji mencatatkan setiap perkara, peristiwa ataupun insiden yang berlaku berdasarkan pemerhatian pengkaji dalam catatan lapangan. Justeru, pemerhatian yang lebih mendalam dapat dilakukan melalui data sokongan tersebut.

Di samping itu, pengkaji juga mengumpul data menggunakan analisis dokumen. Dalam kajian ini, analisis dokumen yang digunakan oleh pengkaji ialah Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dan borang transit penskoran PBD kemahiran mendengar dan bertutur peserta kajian. Analisis dokumen ini berpandukan senarai semak kaedah pelaksanaan penskoran PBD bagi kemahiran mendengar dan bertutur.

(6)

4. Dapatan Kajian

Kajian ini melibatkan 2 orang guru dari luar bandar dan pedalaman. Peserta kajian 1 merupakan guru luar bandar manakala peserta kajian 2 merupakan guru pedalaman. Kedua-dua guru ini mempunyai ikhtisas pendidikan dalam bagi mata pelajaran bahasa Melayu. Berdasarkan temu bual yang dilaksanakan, pengkaji mendapati bahawa peserta kajian 1 hanya menerima latihan dalaman berkaitan PBD manakala peserta kajian 2 tidak menerima sebarang latihan, kursus mahupun bimbingan profesional berkaitan PBD.

Kaedah pelaksanaan penskoran Tahap Penguasan murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur dalam kalangan guru.

Terdapat tiga instrumen yang digunakan bagi mendapatkan data tentang kaedah pelaksanaan penskoran TP murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur dalam kalangan guru iaitu senarai semak, transkripsi temu bual dan nota lapangan. Borang senarai semak digunakan untuk menganalisis dokumen. Borang senarai semak yang disediakan pengkaji berpandukan buku Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah Edisi Ke-2 (2019).

Berdasarkan senarai semak, pengkaji mendapati bahawa kedua-dua peserta kajian melaksanakan PBD kemahiran mendengar dan bertutur berdasarkan saranan KPM bermula dari penetapan objektif pembelajaran sehingga perekodan TP murid. Terdapat dua dokumen yang dianalisis bagi melihat pelaksanaan PBD kemahiran mendengar dan bertutur kedua-dua peserta kajian iaitu Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dan borang transit perekodan TP murid.

Penetapan objektif pembelajaran amat penting sebagai panduan kepada guru dalam mentaksir murid-murid semasa proses PdP berlangsung. Pada pemerhatian pengkaji dalam RPH kedua- dua peserta kajian, mereka menetapkan objektif pembelajaran yang bersesuaian dengan standard pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur. Hal ini menunjukkan kedua-dua peserta kajian cakna mengenai kepentingan penetapan objektif pembelajaran sebagai panduan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi menentukan pencapaian murid. Namun begitu, dapat dilihat bahawa peserta kajian 2 menetapkan objektif pembelajaran kedua yang cenderung kepada kemahiran menulis. Hal ini kerana pernyataan ‘mencatat’ merujuk kepada kemahiran menulis. Kemahiran menulis bukanlah menjadi keutamaan peserta kajian 2 dalam mentaksir murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur. Hal ini boleh dibuktikan berdasarkan temu bual yang dilaksanakan.

“Dalam setiap RPH ada objektif pengajaran… Jadi kita nilai berdasarkan itulah… bukan menulis. Itu cuma sampingan sajalah.”

Peserta Kajian 2 Tambahan pula, peserta kajian 2 lebih mengutamakan pelaksanaan kemahiran mendengar dan bertutur berbanding kemahiran bahasa yang lain. Hal ini kerana kemahiran mendengar dan bertutur merupakan kayu ukur bagi mencapai objektif pembelajaran dan pelaksanaan PBD. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan catatan pemerhatian pengkaji semasa sesi PdP peserta kajian 2 yang terdapat pada Jadual 2.

(7)

Jadual 1: Catatan pemerhatian pengkaji semasa sesi PdP (Peserta Kajian 2) Catatan Pemerhatian

- PK2 menunjukkan satu lagi gambar ransangan. Murid memberi respon (tin aluminium). PK2 bertanya kepada murid-murid cara ibu mereka menanam bunga? Menggunakan pasu atau pun tidak? PK2 saling bersoal jawab dengan murid-murid tentang gambar tersebut dan cara berjimat cermat.

Seterusnya, kedua-dua peserta kajian berjaya mengenalpasti kaedah pentaksiran yang sesuai dengan kemahiran mendengar dan bertutur sebelum sesi PdP berlangsung. Berdasarkan RPH peserta kajian 1, hal ini dapat dilihat menerusi kriteria kejayaan yang telah ditetapkan.

Manakala peserta kajian 2, menetapkan kaedah pentaksiran pada elemen penilaian pengajaran dan pembelajaran. Berikut merupakan penulisan RPH peserta kajian 1 dan 2 dalam menetapkan kaedah pentaksiran yang bersesuaian dengan kemahiran mendengar dan bertutur:

Rajah 2: Penetapan kaedah pentaksiran mendengar dan bertutur (Peserta Kajian 1)

Rajah 3: Penetapan kaedah pentaksiran mendengar dan bertutur (Peserta Kajian 2)

Pada pemerhatian pengkaji terhadap RPH kedua-dua peserta kajian, pengkaji mendapati bahawa kedua-dua peserta kajian menggunakan instrumen pentaksiran yang kurang sesuai dengan kemahiran mendengar dan bertutur iaitu buku latihan. Instrumen buku latihan lebih sesuai bagi kemahiran menulis. Terdapat pelbagai instrumen kemahiran mendengar dan bertutur seperti anekdot, senarai semak, skala kadar dan lain-lain yang boleh digunakan oleh peserta kajian bagi mentaksir kemahiran mendengar dan bertutur. Walaupun peserta kajian meletakkan buku latihan sebagai PBD bagi kemahiran mendengar dan bertutur. Namun, instrumen ini bukanlah keutamaan kedua-dua peserta kajian dalam mentaksir murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur. Hal ini terbukti melalui temu bual yang dilaksanakan terhadap kedua-dua peserta kajian.

“ … Penulisan ini hanya sebagai ‘eviden’ saja…”

Peserta Kajian 1

“Dalam setiap RPH ada objektif pengajaran… Jadi kita nilai berdasarkan itulah… bukan menulis. Itu cuma sampingan sajalah. Yang itu sekali…yang kita kena nilai itu kemahiran mendengar dan bertuturlah…”

Peserta Kajian 2 Selain itu, peserta kajian 2 menyediakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian untuk mentaksir kemahiran mendengar dan bertutur. Peserta kajian 2 menyatakan empat bahan bantu mengajar yang digunakan untuk mentaksir kemahiran mendengar dan bertutur iaitu komputer

(8)

riba, LCD, slaid pengajaran dan buku teks. Peserta kajian 2 menggunakan bahan ransangan yang lebih menarik yang melibatkan elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).

Elemen ini sangat membantu guru dalam mentaksir kemahiran mendengar dan bertutur.

Namun, peserta kajian 1 menyelitkan penggunaan bahan bantu mengajar yang kurang sesuai bagi mentaksir kemahiran mendengar dan bertutur iaitu buku latihan dan papan ajaib.

Tambahan pula, bahan bantu mengajar ini akan menghasilkan PBD berasaskan kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan penulisan RPH dan catatan pemerhatian peserta kajian 1 yang lebih menjurus kepada kemahiran membaca dan kemahiran menulis sepanjang sesi PdP bukannya kemahiran mendengar dan bertutur yang menjadi keutamaan pentaksiran. Sepatutnya peserta kajian 1 menumpukan kepada kemahiran bercerita yang merupakan objektif utama PdP sekaligus pentaksiran yang perlu dilaksanakan.

Rajah 4: Penulisan RPH Peserta Kajian 1

Jadual 2: Catatan pemerhatian pengkaji semasa sesi PdP (Peserta Kajian 1) Catatan Pemerhatian

- Kumpulan tersebut di minta untuk membaca ayat yang dibina dengan intonasi dan sebutan yang betul.

- Proses berulang untuk kumpulan yang siap. Namun, tiada penegasan daripada PK1 kepada murid yang lain untuk mendengar.

Dapatan ini menunjukkan bahawa wujudnya kekeliruan peserta kajian 1 perbezaan antara kemahiran mendengar dan bertutur dengan kemahiran berbahasa yang lain. Hal ini disokong oleh pernyataan peserta kajian 1.

“Kalau untuk kemahiran mendengar dan bertutur tu... kalau dia boleh membaca…menjawab soalan mudah...oklah… dia melepasi sudah kalau bagi saya.”

Peserta Kajian 1 Di samping itu, pengkaji mendapati kedua-dua peserta kajian melaksanakan pentaksiran yang bertepatan dengan kemahiran mendengar dan bertutur semasa sesi Pengajaran dan Pembelajaran. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan penulisan RPH peserta kajian pada bahagian aktiviti iaitu:

4. Murid dibimbing menceritakan sesuatu bahan yang ditonton dengan sebutan dan intonasi yang sesuai.

Penulisan RPH Peserta Kajian 1

3. Murid diminta menyatakan pertimbangan dan membuat keputusan. (PBD)

Penulisan RPH Peserta Kajian 2 Walau bagaimanapun pelaksanaan PBD kemahiran mendengar dan bertutur bagi peserta kajian 1, bercanggah dengan pelaksanaan di dalam bilik darjah kerana sepanjang sesi PdP kemahiran menulis dan kemahiran membaca lebih menonjol berbanding kemahiran mendengar dan bertutur. Perkara ini dikesan oleh pengkaji berdasarkan catatan pemerhatian PdP peserta kajian 1. Disebalik kemahiran menulis dan membaca yang lebih ditonjolkan peserta kajian 1 dalam

(9)

sesi PdP, kemahiran mendengar dan bertutur tetap berlaku semasa sesi PdP iaitu semasa murid berbincang dalam kumpulan untuk membina ayat. Pada hemat pengkaji, perbincangan dalam kumpulan inilah yang menjadi keunggulan peserta kajian 1 dalam mentaksir murid kerana perbincangan merupakan tingkah laku yang melibatkan kemahiran mendengar dan bertutur.

Perkara ini juga ditegaskan oleh peserta kajian 1 semasa sesi temu bual.

“…tidak…tidak…yang menulis ini hanya sampingan saja. Semasa sesi PdP tu, kalau murid tu bercakap…beri respon… Itulah sudah penilaian kita. Sudah ada penilaian di situ… Apa yang murid sudah cakap...tutur…saya suruh tulis semula saja…”

Peserta Kajian 1 Kedua-dua peserta kajian, merekod TP murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur di dalam borang transit. Secara keseluruhannya, kedua-kedua peserta kajian melaksanakan kaedah penskoran TP murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur berdasarkan panduan yang telah diberikan oleh KPM. Tambahan pula, kedua-dua peserta kajian mempunyai keinginan untuk mempertingkatkan kebolehan dalam melaksanakan pentaksiran bagi memastikan mereka dapat memberikan penskoran secara adil dan telus. Hal ini dapat dibuktikan melalui temu bual yang dilaksanakan.

“…Tapi kalau dapat tahu lagi macam mana PBD itu berjalan secara terperinci mungkin bolehlah…”

Peserta Kajian 1

“Kalau ada mahu juga saya ikut tu kursuskah..latihankah…”

Peserta Kajian 2 Walaupun penskoran TP murid dilaksanakan dengan tersusun tetapi wujud pemahaman dari pihak atasan yang sedikit sebanyak mempengaruhi pelaksanaan penskoran TP murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur. Pemahaman yang bercanggah dengan panduan pelaksanaan PBD ini, secara tidak langsung menyebabkan penskoran yang diberikan tidak setara dengan pencapaian murid. Hal ini dapat dilihat berdasarkan temu bual peserta kajian 2.

“Sebab kalau di sini, murid itu sekurang-kurangnya diberi TP3 begitu. Paling rendah pun TP3. Walaupun sepatutnya murid tu…TP1…TP2… Sebabkan kenapa? Murid yang sudah berada di tahun 3…tahun 4… begitukan… Tidak mungkin dia berada bawah TP3. Penjelasan yang diberilah. Sebab dia sudah…eerr… dia sepatutnya sudah meningkat. Ikut dia punya tahun kan… tahun 4 meningkat… tahun 5 meningkat. Itulah yang dijelaskan oleh pihak-pihak yang tertentu mengenai penskoran PBD ini…”

Peserta Kajian 2 Menjelaskan perbezaan kaedah pelaksanaan penskoran Tahap Penguasaan murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur dalam kalangan guru luar bandar dan pedalaman

Jadual 3: Perbezaan pengetahuan dan pemahaman guru luar bandar dan pedalaman dalam pelaksanaan PBD

Tema Subtema

Peserta Kajian 1

Peserta Kajian 2 Ya/ Tidak Ya/Tidak

Pengetahuan i. Mengetahui konsep PBD Ya Tidak

ii. Mengetahui tujuan pelaksananaan PBD Ya Ya

(10)

iii. Mengetahui jenis-jenis pentaksiran yang

dilaksanakan dalam PBD Ya Ya

iv. Mengetahui perbezaan setiap Tahap

Penguasaan Tidak Tidak

v. Mengetahui objektif pelaksanaan PBD Ya Ya

vi. Mengetahui ciri-ciri utama PBD Ya (6/9) Ya (3/9) vii. Mengetahui aspek yang ditaksir dalam

PBD Ya Tidak

viii. Mengetahui standard yang perlu dirujuk

dalam pelaksanaan PBD Ya Ya

Pemahaman i. Memahami proses pelaksanaan PBD Ya Ya

ii. Memahami secara eksplisit setiap Tahap

Penguasaan Tidak Tidak

iii. Memahami maksud pertimbangan

profesional dalam pelaksanaan PBD Ya Tidak

iv. Memahami maksud moderasi dalam

pelaksanaan PBD Ya Tidak

Dalam tema pengetahuan, tema ini terbahagi kepada 8 subtema yang perlu diketahui oleh peserta kajian. Tema pengetahuan terdiri daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan PBD seperti konsep, tujuan, jenis pentaksiran, perbezaan pentaksiran, objektif, ciri utama, aspek yang ditaksir dan standard yang perlu dirujuk. Berdasarkan temu bual bersama peserta kajian 1, pengkaji mendapati bahawa peserta kajian 1 tidak mengetahui perbezaan setiap pentaksiran iaitu pentaksiran untuk pembelajaran, pentaksiran sebagai pembelajaran dan pentaksiran tentang pembelajaran. Manakala, peserta kajian 2 pula tidak mengetahui konsep PBD, perbezaan setiap pentaksiran dan aspek yang perlu ditaksir dalam PBD. Hal ini menunjukkan bahawa peserta kajian 1 mempunyai pengetahuan yang lebih tentang PBD berbanding dengan peserta kajian 2. Walaupun peserta kajian 1, tidak mengetahui konsep PBD tetapi peserta kajian 1 memahami konsep PBD. Hal ini dapat dibuktikan melalui temu bual yang dilaksanakan.

“…prosesnya berterusan… Kita menilai murid itu… erm… Kita menilai bukan untuk murid saja tapi untuk guru juga. Erm… untuk guru juga. Sebab guru ni juga perlu ada pengetahuan dan kemahiran yang dia kena tambah baik dari semasa ke semasa.

Peserta Kajian 1 Terdapat 4 subtema bagi pemahaman dalam kajian ini. Subtema tersebut terdiri daripada pemahaman peserta kajian tentang proses pelaksanaan, tahap penguasaan secara eksplisit, maksud pertimbangan profesional dan maksud moderasi dalam pelaksanaan PBD. Dalam kajian ini didapati kedua-dua peserta kajian tidak memahami secara eskplisit setiap Tahap Penguasaan. Tambahan pula, kedua-dua peserta kajian lebih cenderung menggunakan Tahap Penguasaan yang umum berbanding Tahap Penguasaan kemahiran mendengar dan bertutur.

Hal ini disebabkan kriteria dalam Tahap Penguasaan kemahiran mendengar dan bertutur sukar difahami oleh peserta kajian.

“Dalam PBD ni…banyak istilah..macam-macam. Jadi, untuk mudahkan saya…saya guna satu jaklah…TP umum. Lebih mudah…lebih saya faham… berbanding TP yang secara terperinci tu…”

Peserta Kajian 1

“…sebab saya rasa kalau buat secara spesifik pun…agak susah juga…lagipun TP umum ni lebih saya faham…”

Peserta Kajian 2

(11)

Selain itu, didapati bahawa peserta kajian 2 tidak memahami maksud pertimbangan profesional dan moderasi dalam pelaksanaan PBD. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan jawapan daripada peserta kajian 2 yang bertanyakan semula kepada pengkaji.

“Pertimbangan profesional… Erm… (senyap agak lama). Pertimbangan profesional daripada guru itulah?”

“…saya bagi TP dengan murid untuk Bahasa Melayu tapi saya merujuk dengan guru Bahasa Inggeris…Jadi, erm… saya kasi sama saja macam dengan BI dia…”

Peserta Kajian 2 Secara keseluruhan, peserta kajian 1 lebih berpengetahuan dan memahami mengenai PBD berbanding peserta kajian 2. Hal ini juga disebabkan peserta kajian 1 menerima latihan dalaman mengenai PBD. Manakala peserta kajian 2 tidak menerima sebarang latihan, kursus mahupun bimbingan profesional berkaitan PBD.

Terdapat 3 tema bagi mengetahui perbezaan pelaksanaan penskoran Tahap Penguasaan murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur iaitu sebelum pelaksanaan, semasa pelaksanaan dan selepas pelaksanaan. Proses inilah yang menunjukkan perbezaan pelaksanaan penskoran yang dilaksanakan oleh kedua-dua peserta kajian.

Sebelum melaksanakan penskoran, guru perlu merancang pelaksanaan PBD melalui penulisan RPH. Berdasarkan analisis RPH, pengkaji mendapati kedua-dua peserta kajian menetapkan objektif pembelajaran yang selari dengan Standard Pembelajaran yang hendak diajar. Selain itu, peserta kajian 1 menulis elemen kriteria kejayaan sebagai satu kayu ukur kejayaan murid semasa aktiviti PdP dilaksanakan. Bagi kemahiran mendengar dan bertutur, kedua-dua peserta kajian memilih aktiviti secara berkumpulan bagi melihat kemahiran bahasa yang ingin diukur.

Semasa sesi temu bual didapati bahawa peserta kajian 1 merujuk buku panduan PBD untuk menentukan kaedah pentaksiran manakala peserta kajian 2 tidak merujuk buku tersebut disebabkan kekangan internet. Seterusnya, peserta kajian 1 lebih memilih kaedah pentaksiran yang menjurus kepada Pembelajaran Abad Ke 21 (PAK21). Hal ini disebabkan guru perlu selari dengan keaktifan dan kecergasan murid. Peserta kajian 2 pula memilih aktiviti secara berkumpulan bagi memastikan murid yang mempunyai kognitif yang baik dapat membantu murid yang mempunyai kognitif yang lemah.

Tema kedua berkaitan semasa pelaksanaan penskoran Tahap Penguasaan murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur. Sewaktu sesi temu bual, peserta kajian 1 tidak dapat melaksanakan penskoran PBD secara terperinci bagi setiap murid disebabkan beberapa faktor seperti tidak hadir berpanjangan manakala peserta kajian 2 dapat melaksanakan penskoran PBD secara terperinci kerana bilangan murid yang sedikit. Bagi menentukan kriteria penetapan Tahap Penguasaan murid, kedua-dua peserta kajian memilih menggunakan SPi umum berbanding SPi kemahiran mendengar dan bertutur. Hal ini disebabkan SPi umum lebih difahami berbanding SPi kemahiran mendengar dan bertutur.

“…Jadi, untuk mudahkan saya…saya guna satu jaklah…TP umum. Lebih mudah…lebih saya faham… berbanding TP yang secara terperinci tu…”

Peserta Kajian 1

“Erm… saya rasa saya guna TP yang umum tu… sebab saya rasa kalau buat secara spesifik pun…agak susah juga…lagipun TP umum ni lebih saya faham…”

Peserta Kajian 2

(12)

Kekangan yang dihadapi oleh peserta kajian 1 semasa melaksanakan PBD bagi kemahiran mendengar dan bertutur ialah murid yang tidak hadir berpanjangan. Solusi bagi kekangan ini, murid-murid diberikan bahan pembelajaran dan ditaksir secara dalam talian melalui aplikasi Whatsapp. Bagi peserta kajian 2 pula, beliau menghadapi kekangan murid-murid yang masih berada dalam kelas pemulihan. Masalah ini diatasi dengan memberikan bimbingan dan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan tahap kognitif mereka bagi meransang mereka untuk bertutur.

Tema seterusnya ialah selepas pelaksanaan. Berdasarkan temu bual jelas menunjukkan bahawa peserta-peserta kajian menggunakan SPi umum sebagai rujukan utama bagi mentaksir kemahiran mendengar dan bertutur murid. Selain itu, borang transit merupakan kaedah yang digunakan peserta kajian bagi proses menyimpan dan mengumpul data PBD. Perbezaannya cuma, borang transit peserta kajian 1 berbentuk ‘booklet’ manakala borang transit peserta kajian 2 berbentuk ‘softcopy’. Di samping itu, subtema ketelusan pelaksanaan PBD menunjukkan bahawa hanya peserta kajian 1 dapat melaksanakan PBD secara telus dengan menerapkan elemen moderasi. Namun, peserta kajian 2 tidak dapat melaksanakan PBD secara telus disebabkan keliru dengan penafsiran yang diberikan pihak atasan mengenai PBD.

“Sebab kalau di sini, murid itu sekurang-kurangnya diberi TP3 begitu. Paling rendah pun TP3. Walaupun sepatutnya murid tu…TP1..TP2… Sebabkan kenapa? Murid yang sudah berada di tahun 3..tahun 4… begitukan… Tidak mungkin dia berada bawah TP3. Penjelasan yang diberilah. Sebab dia sudah…eerr.. dia sepatutnya sudah meningkat. Ikut dia punya tahun kan… tahun 4 meningkat.. tahun 5 meningkat. Itulah yang dijelaskan oleh pihak-pihak yang tertentu mengenai penskoran PBD ini..”

Peserta Kajian 2 Secara holistiknya, walaupun peserta kajian 1 lebih berpengetahuan dan faham mengenai PBD tetapi pengkaji berpendapat bahawa peserta kajian 1 masih belum mampu untuk membezakan pentaksiran kemahiran mendengar dan bertutur dengan kemahiran bahasa yang lain. Hal ini disebabkan sepanjang proses PdP kemahiran dan bertutur yang pengkaji perhatikan, peserta kajian 1 cenderung melaksanakan kemahiran membaca dan menulis berbanding kemahiran mendengar dan bertutur. Pada waktu PdP tersebut, sepatutnya peserta kajian 1 memberikan keutamaan kepada kemahiran mendengar dan bertutur yang merupakan kemahiran utama yang ditaksir. Peserta kajian 2 menunjukkan bahawa beliau kurang berpengetahuan dan faham mengenai pelaksanaan PBD kerana tidak mendapat sebarang bimbingan yang khusus berkaitan PBD. Hal ini secara tidak langsung mempengaruhi cara pelaksanaan penskoran Tahap Penguasaan murid bagi kemahiran mendengar dan bertutur.

5. Perbincangan dan Rumusan

Kaedah pentaksiran memainkan peranan yang penting dalam memastikan guru-guru memberikan skor yang menepati Standard Prestasi (SPi) kemahiran mendengar dan bertutur.

Kajian menunjukkan proses pentaksiran dilaksanakan mengikut panduan yang telah diberikan oleh KPM. Namun begitu, proses pentaksiran tidak dilaksanakan secara optimum disebabkan kurangnya pengetahuan dan pemahaman guru serta perbezaan pandangan mengenai pelaksanaan penskoran kemahiran mendengar dan bertutur. Hal ini sedikit sebanyak menjejaskan kaedah pentaksiran kemahiran mendengar dan bertutur yang dilaksanakan oleh guru.

(13)

Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengetahuan guru luar bandar lebih baik berbanding guru pendalaman berkaitan pelaksanaan penskoran TP kemahiran mendengar dan bertutur. Namun begitu, kajian ini bercanggah dengan kajian yang dilaksanakan oleh SH. Siti Hauzimah (2019) yang menyatakan bahawa pengetahuan guru sama ada di bandar, luar bandar mahupun pedalaman berada pada tahap yang tinggi dalam pelaksanaan penskoran TP bagi matapelajaran bahasa Melayu.

Selain itu, dapatan kajian menunjukkan pengetahuan guru yang menerima kursus dalaman berkaitan pelaksanaan PBD lebih baik berbanding guru yang tidak menerima sebarang kursus mahupun bimbingan. Kajian Faizah (2011) menunjukkan bahawa pengetahuan guru mengenai pelaksanaan penskoran dipengaruhi oleh kekerapan latihan, kursus dan bimbingan profesional yang diberikan kepada guru mengikut garis panduan dan objektif PBD yang ditetapkan KPM.

Tambahan pula, Ferguson-Patrick (2009) juga menyatakan bahawa pembangunan kompetensi profesional seorang guru dalam pelaksanaan pentaksiran sering diabaikan terutamanya dari aspek pengetahuan. Justeru itu, kursus, latihan dan bimbingan profesional berkaitan PBD kemahiran mendengar dan bertutur perlu lebih banyak dilaksanakan supaya guru dapat melaksanakan pentaksiran dengan penuh keyakinan dan mengikut garis panduan yang sedia ada. Pengetahuan mengenai proses pentaksiran kemahiran mendengar dan bertutur dapat memudahkan guru mengukur kebolehan murid dengan baik dan tepat.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa kedua-dua peserta tidak menggunakan SPi kemahiran mendengar dan bertutur semasa memberikan skor TP kepada murid-murid. Hal ini disebabkan kurangnya pemahaman guru bahasa Melayu bagi setiap TP secara mendalam dan menyeluruh.

Kajian ini disokong oleh SH. Siti Hauzimah (2019) yang mendapati bahawa seramai 83.20%

guru bahasa Melayu tidak dapat memberikan skor secara spesifik disebabkan terlalu banyak TP yang ditetapkan oleh KPM sekaligus mempengaruhi pemahaman guru bagi setiap TP.

Kajian Joohari dan Arumugham (2021) pula menunjukkan bahawa guru tidak dapat membezakan SPi khusus untuk sesuatu kemahiran dengan SPi umum.

Di samping itu, dapatan kajian menunjukkan guru di pedalaman kurang memahami elemen pertimbangan profesional dan moderasi dalam pelaksanaan pentaksiran kemahiran mendengar dan bertutur. Kedua-dua elemen ini saling berkait rapat dan perlu dikuasai oleh guru untuk memastikan murid yang ditaksir diberikan TP yang sesuai dengan kemampuan murid tersebut.

Hal ini juga bertujuan untuk mengelakkan guru daripada berlaku bias semasa mentaksir.

Tambahan pula, moderasi dilaksanakan untuk mengurangkan jurang pertimbangan profesional antara seorang guru dengan guru yang lain. Pertimbangan profesional dan moderasi yang dilaksanakan berpandukan garis panduan PBD mampu memberikan impak yang mendalam terhadap penskoran murid (Allal, 2013). Oleh itu, guru perlu meningkatkan tahap pemahaman pelaksanaan pertimbangan profesional dan moderasi dalam menentukan skor TP kemahiran mendengar dan bertutur agar penilaian dapat dilaksanakan dengan telus dan adil.

Berdasarkan keseluruhan dapatan kajian, menunjukkan berlakunya perbezaan pelaksanaan pentaksiran kemahiran mendengar dan bertutur di antara guru luar bandar dan pedalalaman.

Hal ini berpunca daripada kurangnya kursus PBD, latihan bercorak amali dan bimbingan profesional dalam pelaksanaan PBD diterima oleh guru-guru bahasa Melayu sehingga menyebabkan kurangnya pengetahuan dan pemahaman mengenai PBD. Oleh itu, bagi mengatasi isu ini, penggubal dasar wajar memberikan kursus, latihan ataupun bimbingan kepada guru dalam apa cara sekalipun bagi memastikan mereka berada di landasan yang betul selaras dengan dasar pendidikan untuk mencapai matlamat kurikulum pendidikan di Malaysia.

(14)

Rujukan

Allal, L. (2013). Teachers’ professional judgement in assessment: A cognitive act and a socially situated practice. Assessment in Education: Principles, Policy & Practice, 20(1), 20-34.

Anniliza Mohd Isa, Al-Amin Mydin, Abdul Ghani Kanesan Abdullah & Wan Fadhlurrahman W. Md. Rasidi. (2020). Tranformasi Pendidikan tahap 1: Peperiksaan ke Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), kesan terhadap autonomi guru. Transformasi pendidikan tahap 1:

Peperiksaan ke pentaksiran bilik darjah (PBD), kesan terhadap autonomi guru. In Nurul Fadly Habidin, Tuan Waheda Tuan Chik, Sharon Yong Yee Ong, Ummu Aiman Muhammad, & Nursyazwani Mohd Fuzi, Isu dan Cabaran dalam Pendidikan:

Strategi dan Inovasi (218–231). Kaizentrenovation Sdn. Bhd.

Arumugham, K. S. (2020). Kurikulum, Pengajaran Dan Pentaksiran Dari Perspektif Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah. Asian People Journal (APJ), 3(1), 152–161.

https://doi.org/10.37231/apj.2020.3.1.175

Elfia Sukma, Ritawati Mahyudin, Rahmatinda & Ari Suriani. (2019). Problems in Oral Language Teaching in Primary School. Advances in Social Science, Education and Humanities Research, 301, 379-383.

Faizah A. Majid. (2011). School-based assessment in Malaysia schools: The concerns of the English teacher. Journal of US-China Education Review, 8(10): 1548 - 6613.

Ferguson-Patrick, K. (2009). Cooperative learning and quality teaching: Early career teachers striving for quality. A paper presented at the 16th International Conference on Learning, Barcelona, July 1-4, 2009.

Joohari Ariffin & Arumugham, K. S. (2021). Pemansuhan ujian penilaian sekolah rendah dan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah: Satu tinjauan dalam kalangan guru besar. Asian People Journal, 4(2), 80-89.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018a). Panduan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah.

Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018b). Garis Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi Murid Tahap 1. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

https://doi.org/.1037//0033-2909.I26.1.78

Liu, J. & Li, X. (2020). Assessing Young English Learners: Language Assessment Literacy of Chinese Primary School English Teachers. International Journal of TESOL Studies, 2 (4), 36-49.

Mahaya Salleh, Azizah Sarkowi, Mohd Fairuz Jaafar, Zakaria Mohd Arif & Hariyanti Abd Hamid. (2019). Tahap Literasi Guru Terhadap Pendekatan Dalam Pentaksiran Bilik Darjah. Journal of Chemical Information and Modeling, 9, 12-24.

Mohd Haidzir Yusof@Jusoh & Norasmah Othman. (2019). Isu dan permasalahan pentaksiran alternatif dalam sistem penilaian di Malaysia. E-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan 2019. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, 4: 337-350.

Noor Su’adah Mohd Nawawi. (2014). Integriti guru dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di sekolah rendah luar bandar Kulaijaya. Tesis Sarjana Pendidikan. Tidak diterbitkan. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Nora’azian Nahar & Fadzilah Abd Rahman. (2018). Tahap penguasaan kemahiran bertutur bahasa melayu dalam kalangan murid bukan penutur natif. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM, 8 (1), 74-83

Norazilawati Abdullah, Wong, K-T, Syaza Hazwani Zaini, Siti Rahaimah Ali & Mazarul Hasan. (2020). Science teacher’s teaching practise in the implementation of 21st

(15)

century education in classroom. PalArch's Journal of Archaeology of Egypt/Egyptology, 17(9), 933-941.

Ruzlan Md Ali & Arsaythamby, V. (2017). Teachers’ autonomy and accountability in assessing Students’ physical education in school-based assessment. In I. H. Amzat & N. P.

Valdez (Eds.), Teacher development and towards professional empowerment practices perspectives ccross borders (p. 71). Spinger

Siti Hauzimah Wan Omar. (2019). Pengetahuan, Kemahiran, Sikap Dan Masalah Guru Dalam Melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah Bahasa Melayu Di Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 9(1), 56-67.

Sufean Hussin & Ghazali Darusalam. (2016). Metodologi Penyelidikan Dalam Pendidikan (2nd ed.). Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Yuh, T. J. & Kenayathulla, H. B. (2020). Pentaksiran Bilik Darjah Dan Prestasi Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Di Hulu Langat, Selangor. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 7(3),70–90.

Zainun Mustafa & Nooraida Yakob. (2021). Aliran dan Dimensi Penilaian Program Pendidikan. Melaka: SYFE Management Sdn Bhd.

Zamri Mahamod, Mohamed Amin Embi & Nik Muhd Rahimi Mohd Yusoff. (2010).

Pentaksiran Bilik Darjah: Panduan untuk guru Bahasa Melayu, Inggeris, dan Arab.

Bangi: Penerbitan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Referensi

Dokumen terkait