Pelaksanaan Strategi Pembelajaran Bahasa Dalam Meningkatkan Kemahiran Menulis Pelajar
(Implementation of Language Learning Strategies in Improving Students' Writing Skills)
Lydia Anak Jakarta1*, Khairul Azhar Jamaludin1
1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 October 2022 | Published: 1 November 2022
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2022.4.3.29
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Pelaksanaan strategi pembelajaran bahasa (SPB) dalam meningkatkan kemahiran menulis dilihat sebagai salah satu pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah dari segi teknik menulis, penguasaan tatabahasa dan kosa kata dan kurangnya minat dan motivasi pelajar semasa pembelajaran bahasa. Objektif kajian ialah untuk mengenal pasti kekuatan, cabaran pelaksanaan serta mengenal pasti cadangan penambahbaikan SPB untuk meningkatkan kemahiran menulis pelajar. Dapatan kajian dari aspek kekuatan pelaksanaan SPB menunjukkan bahawa pelajar menggunakan kepelbagaian SPB berdasarkan kemahiran menulis pada tahap tinggi seperti merangka isi-isi penting sebelum menulis esei, mengakses intenet untuk mendapatkan sumber rujukan dan penulisan yang baik dan mencatat nota semasa sesi pembelajaran antara yang kerap dipraktikkan oleh pelajar. Dari aspek cabaran pelaksanaan SPB, kurangnya minat dan motivasi pelajar serta kelemahan penguasaan tatabahasa dan kosa kata terutamanya pelajar bukan natif menjadi kekangan kepada keberkesanan SPB. Seterusnya, cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan SPB ialah perancangan aktiviti pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah harus mengambil kira keperluan dan tahap kognitif pelajar, mewujudkan suasana pembelajaran berpusatkan yang menyeronokkan seperti menyelitkan elemen gamifikasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Selain itu, guru dan ahli panitia boleh menggunakan Strategi Pembelajaran Jurnal (SPJ) dan modul karangan sebagai alternatif kepada SPB dalam meningkatkan kemahiran menulis pelajar. Kesimpulannya, setiap pelajar perlu mengenal pasti strategi yang paling sesuai dengan gaya pembelajaran tersendiri bagi meningkatkan penguasaan menulis. Oleh itu, rujukan kepada pendidik untuk merancang aktiviti menulis yang efektif berdasarkan kepelbagaian strategi menulis dalam kalangan pelajar.
Kata kunci: Strategi pembelajaran bahasa, kemahiran menulis
Abstract: The implementation of language learning strategies (SPB) in improving writing skills is seen as one of the best approaches to overcome problems in terms of writing techniques, mastery of grammar and vocabulary and lack of students' interest and motivation during language learning. The objective of the study is to identify the strengths, challenges of implementation as well as identify suggestions for improving SPB to improve students' writing skills. The findings of the study from the aspect of SPB implementation strength show that students use a variety of SPB based on writing skills at a high level such as drafting important contents before writing an essay, accessing the internet to get reference sources and good
writing and taking notes during learning sessions are among the things that are often practiced by student. From the aspect of SPB implementation challenges, students' lack of interest and motivation as well as the weakness of grammar and vocabulary especially non-native students become constraints to the effectiveness of SPB. Next, the proposed improvement to the implementation of SPB is that the planning of language learning activities in the classroom should take into account the needs and cognitive level of students, creating a fun centered learning environment such as incorporating elements of gamification and information and communication technology (ICT). In addition, teachers and committee members can use the Journal Learning Strategy (SPJ) and the essay module as an alternative to SPB in improving students' writing skills. In conclusion, each student needs to identify the strategy that best suits their own learning style in order to improve their writing skills. Therefore, a reference to educators to plan effective writing activities based on the diversity of writing strategies among students.
Keywords: Language learning strategies, writing skills
___________________________________________________________________________
1. Pendahuluan
KPM (2013) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menitikberatkan hasrat murid untuk belajar, kandungan kurikulum digubal di peringkat sekolah rendah dan menengah berpandukan Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Standard Kurikulum (SK) antaranya memberikan tumpuan dalam kemahiran menulis iaitu membina draf karangan dan karangan lengkap yang tersusun serta menulis berdasarkan maklumat daripada pelbagai sumber dalam bentuk ayat gramatis dan kesesuaian penanda wacana. Sementara Sukatan Pelajaran (SP) di peringkat pendidikan Tingkatan 6 turut memberi fokus dalam teknik mengarang terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pengajian Am. Malah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) turut menekankan kemahiran menulis dalam penulisan akademik atau ilmiah. Jelaslah, bahawa pentingnya kemahiran menulis perkataan, ayat dan juga karangan untuk menjana idea yang tepat. Hal ini disokong oleh Zamri (2014) bahawa kemahiran menulis berkait rapat dengan kemahiran membaca dan bertutur supaya penguasaan menulis berkesan.
Menurut Tuan Azlyna (2013), kebanyakan soalan peperiksaan mengkehendaki murid-murid menulis untuk menjawab soalan esei. Sehubungan dengan itu, setiap guru berperanan untuk menerapkan strategi menulis kepada semua murid agar mereka aktif menggunakan strategi yang diterapkan. Skim pentaksiran dalam soalan peperiksaan terutama dalam mata pelajaran bahasa, kemahiran mengarang adalah keperluan mendesak yang perlu diaplikasi oleh pelajar dalam soalan esei kerana wajaran markah yang besar. Justeru, strategi pembelajaran bahasa (SPB) dalam memantapkan kemahiran menulis amat penting diintegrasi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) agar pelajar dapat mendapat keputusan yang baik atau cemerlang.
Asas kemahiran menulis perlu dikuasai oleh pelajar ke arah pengetahuan tentang gaya penulisan yang sistematik dan berkesan. Penguasan pelajar terhadap kemahiran menulis yang mantap dan efektif dengan mengamalkan SPB tidak kira proses pembelajaran berlaku. Dalam pada masa yang sama, guru memilih pendekatan atau strategi PdPc yang bersesuaian dengan persekitaran, keupayaan dan latar belakang pelajar untuk mengukuh dan memperkasakan kemahiran menulis.
2. Penyataan Masalah
Kelemahan penguasaan pelajar kemahiran mengarang perlu diberi fokus. Bimbingan guru perlu diperkasa dalam memantapkan penguasaan pelajar merangka karangan, teknik penulisan yang betul dan pengembangan idea yang jelas dan menarik. Kebolehan menghurai dan menyusun isi-isi karangan di samping berkemampuan untuk menjawab soalan peperiksaan dengan baik merupakan penanda aras terhadap penguasaan menulis yang baik oleh pelajar.
(Noor Habsah dan Yahya, 2018). Rozana dan Zamri (2020) menyatakan amalan pelajar cemerlang dalam penulisan dimulakan dengan merangka isi-isi diikuti dengan pengembangan idea-idea dan olahan ayat yang jelas dan matang sehingga mampu menulis esei yang berkualiti.
Dalam konteks kajian ini, para pelajar perlu mahir dalam mengarang perenggan berbentuk deduktif, induktif atau gabungan kedua-duanya sekaligus dapat memantapkan kemahiran menulis mereka.
Seterusnya, kelemahan penguasaan tatabahasa dan kosa kata yang merupakan salah satu strategi menulis telah menyebabkan kelemahan penulisan ayat mahupun karangan. Penguasaan kosa kata yang mantap ialah asas kepada kemahiran berbahasa seseorang murid (Ain Julia et al. 2019; Nor Habsah dan Yahya, 2018). Antaranya, kelemahan penguasaan kosa yang terhad dalam kalangan pelajar bukan Melayu telah menjejaskan usaha untuk mengaplikasi SPB dalam menulis. Pemilihan kosa kata yang terhad sedangkan mereka mempunyai isi-isi yang baik menjejaskan penyampaian mereka semasa menulis esei. Kesannya, pelajar tidak dapat mengembangkan idea dengan baik malah penggunaan kosa kata bahasa ibunda diketengahkan dalam penulisan mereka. Manakala dalam kajian Hung dan Zamri (2021) turut menyatakan penulisan murid-murid terutamanya bukan penutur asli akan menjadi hambar apabila mereka menterjemahkan kosa kata ibunda ke dalam bahasa Melayu. Maka, pemilihan strategi yang sesuai adalah penting untuk menjamin kelancarkan pembelajaran dengan mengambil kira tahap penguasaan dan latar belakang murid.
Di samping itu, kurangnya minat dan motivasi untuk mempelajari teknik menulis terutamanya dalam kalangan pelajar bukan penutur natif dan pelajar lemah menjadi penanda aras dalam kajian ini. Antara puncanya adalah strategi pengajaran guru yang berpusatkan murid menyebabkan murid menjadi pasif sekaligus tidak melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti menulis. Sikap murid yang pasif hanya mendengar dan mencatat sahaja nota semasa penerangan oleh guru menyebabkan mereka malas untuk berfikir. (Shaumiwaty,2020). Selain itu,murid hanya mendiamkan diri semasa guru meminta respon semasa PdP. Murid-murid bukan sahaja sering menyalin isi tanpa mengembangkannya malah mengulangi isi yang telah ditulis. Bukan itu sahaja, inisiatif murid yang kurang untuk memantapkan penulisan ayat dan karangan telah mengakibatkan penurunan pencapaian peperiksaan mata pelajaran bahasa.
Sebagai bukti, kajian Noor Habsah dan Yahya (2018) menonjolkan bahawa ketidakberkesanan SPB terhadap pencapaian murid Melanau. Dalam konteks pelajar di peringkat IPT, masalah penulisan tugasan akademik pelajar juga turut berpunca daripada gaya intruksional pensyarah yang kurang berkesan. (Salihin, Hafizi, Izzuddin dan Fahed, 2017).
Oleh itu, pendekatan SPB merujuk kepada amalan pembelajaran yang dipraktikkan oleh pelajar oleh segenap peringkat pendidikan bagi memantapkan penguasaan menulis. Sesungguhnya, kajian berkaitan strategi pembelajaran bahasa dapat dilihat dari aspek kekuatan dan cabaran pelaksanaannya sebagai salah satu strategi yang membantu meningkatkan kemahiran menulis dalam kalangan pelajar.
3. Objektif Kajian
Berikut merupakan objektif kajian ini, iaitu:
3.1 Mengenal pasti kekuatan pelaksanaan SPB dalam meningkatkan kemahiran menulis pelajar.
3.2 Mengenal pasti cabaran pelaksanaan SPB dalam meningkatkan kemahiran menulis pelajar.
3.3 Mengenal pasti cadangan penambahbaikan SPB yang digunakan untuk meningkatkan kemahiran menulis pelajar.
4. Kajian Literatur
Kajian berkaitan SPB dalam dunia pendidikan telah banyak dikaji sama ada di dalam atau luar negara. Dalam konteks Malaysia, Mohamed Amin telah memulakan kajian rintis tentang strategi pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris sejak 1996. Bahan-bahan penyelidikan beliau telah menjadi rujukan para penyelidik lain untuk melakukan kajian berkaitan SPB seperti Bahasa Melayu, Bahasa Cina mahupun pelajar asing. Kajian yang berfokuskan strategi pembelajaran bahasa telah banyak dilakukan, namun masih kurangnya pendedahan maklumat tentang amalan SPB dalam kemahiran menulis. Justeru, adalah wajar cadangan SPB diperluas di semua peringkat pendidikan.
4.1 Strategi Pembelajaran Bahasa
Salah satu strategi untuk memantapkan potensi pelajar dalam kemahiran menulis ialah melalui strategi pembelajaran bahasa (SPB). Menurut Chamot (1987) mendefinisikan SPB ialah suatu alat pembelajaran linguistik dalam kalangan murid. Gaya dan teknik penulisan murid-murid dapat dioptimumkan dengan mengaplikasi kepelbagaian strategi mengarang yang bersesuaian dengan aras kemampuan dan suasana pembelajaran. Kamarudin dan Linamalini (2014) menyatakan SPB sebagai teknik pelajar dalam pemerolehan, penyimpanan dan pemerolehan semula apabila diperlukan sama ada secara sedar atau tidak sedar sehingga strategi tersebut dipraktikkan secara konsisten dan kerap. Pemilihan SPB ini melibatkan persepsi, perubahan tingkah laku, motivasi dan juga pemikiran pelajar dalam kemahiran menulis. Mohamed Amin (2000) mendefinisikan SPB sebagai tingkah laku pembelajaran bahasa, kemampuan mengingat semula ilmu yang dipelajari, dan keupayaan mengesan aspek kemudahgunaan dan kesukaran dalam meneroka bidang bahasa.
Dalam konteks Malaysia, rata-rata kajian lepas berkenaan strategi pembelajaran bahasa Melayu berfokuskan kepada pembelajaran bahasa kedua dan bahasa asing (Zamri 2004; 2015). Di peringkat pemulaan kajian, penyelidik yang lepas telah meneroka dan hasil penyelidikan mendapati bahawa pelajar yang cemerlang mengoptimumkan pelbagai gaya dan kaedah menulis berbanding dengan pelajar lemah. Hal ini juga dibuktikan dalam kajian Mohamed Amin et al. (1999) dan Zamri et al. (2010) turut mendapati hasil yang sama. Keadaan jelas menunjukkan bahawa kajian berkaitan strategi pembelajaran bahasa Melayu telah banyak dikaji oleh pengkaji bahasa sehingga kini.
4.2 Kemahiran Menulis
Roselan (2003) menyatakan kemampuan meta kognisi merupakan satu halangan kepada pelajar untuk mahir dalam menulis kerana melibatkan proses literasi yang kompleks dan kognisi yang tinggi menyebabkan kesukaran pelajar untuk menguasainya. Hal ini bercanggah dengan Zamri dan Mohamed Amin (2003) yang berhujahkan bahawa strategi pembelajaran yang pelbagai dapat memantapkan penulisan dalam kalangan pelajar. Manakala Singh (2016) dalam
kenyataannya menjelaskan penulisan merupakan aktiviti yang sukar dalam perkembangan literasi manusia kerana penggunaan bahasa dalam aspek tatabahasa dan arahan semantik perlu diadaptasi dalam kandungan kurikulum.
Siti Hamin, Nadzrah & Rozmel (2007) menyatakan penulisan yang baik menjurus kepada tiga fasa iaitu pra penulisan, penulisan dan pasca penulisan. Pada fasa pra penulisan, pelajar perlu menjana dan mencari maklumat berkaitan dengan topik penulisan terlebih dahulu dengan bimbingan guru dan rakan. Pada fasa penulisan, berlakunya interaksi pelajar dengan maklumat yang dijana dan dikumpul seterusnya diinterpretasi dalam bentuk penulisan. Seterusnya, pada fasa pasca penulisan pula, pelajar akan diberi masa untuk memurnikan penulisan mereka berdasarkan maklum balas guru.
4.3 Teori Pembelajaran Bahasa
Terdapat beberapa pendekatan dan teori yang mendasari kajian yang berfokuskan pembelajaran bahasa. Pendekatan dan teori ini menjadi asas kepada strategi SPB untuk memantapkan kemahiran menulis dalam kalangan pelajar. Pendekatan proses dalam mengaplikasi SPB dilihat alat instruksional yang berpotensi untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam kemahiran asas menulis serta penguasaan aspek tatabahasa dan kosa kata kerana elemen ini perlu seiring dalam menghasilkan penulisan yang baik dan bermakna. Minat dan motivasi turut menjadi indikator utama dalam memastikan pelajar menguasai kemahiran menulis. Oleh itu, pendidik perlu bijak mengintergrasi kaedah atau teknik PdP yang bersesuaian dengan pelajar sekaligus mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa dan menyeronokkan.
Teori Behaviorisme (Skinner)
Prinsip teori ini bermula dengan perubahan pelakuan, peneguhan dan respon. Sebagai contoh, guru menyediakan modul dan latihan untuk melatih pelajar menulis daripada merangka isi sehinggalah peringkat mengarang. Menurut Norul Haida (2014) ia menunjukkan tingkah laku sebagai cara untuk mempelajari bahasa yang berlandaskan kajian maklumat-maklumat bahasa yang dilakukan secara latih tubi untuk membentuk keterampilan berbahasa. Teori ini turut mengkaji semua ayat dengan tujuan melihat perbezaan sifat dalam sistem bahasa terutamanya dari aspek tatabahasa. Norul Haida (2014) mengadaptasi teori ini dalam PdPc berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
1) Bentuk bahasa yang mana pelajar terlebih dahulu mempunyai kemahiran bertutur sebelum mempelajari kemahiran membaca dan menulis.
2) Latih tubi bertujuan untuk membentuk kelaziman atau kebiasaan pelajar dalam proses pembelajaran.
3) Ransangan untuk membentuk tingkah laku pelajar
4) Peneguhan yang menggalakkan pengulangan tindak balas pelajar untuk mengukuhkan kemahiran dan ilmu yang dipelajari.
Teori Kognitif (Jean Piaget)
Teori ini menekankan prinsip kemahiran pengekodan, menyimpan dan mengingat kembali.
Norul Haida (2014) menyatakan dalam konteks pedagogi, guru menekankan latihan menulis berdasarkan aras kemampuan pelajar atau objektif pembelajaran pada hari tersebut. Manusia mempunyai peringkat otak dan saraf yang tinggi yang mampu mempelajari pelbagai disiplin ilmu. Dalam konteks kajian ini, pelajar mengasimilasi pengetahuan sedia ada dalam otaknya dengan data-data yang diperoleh daripada persekitaran seterusnya diinterpretasi dalam bentuk penulisan.
Pendekatan Proses
Siti Hamin, Nadzrah & Rozmel (2007) mengutarakan strategi yang digunakan oleh guru juga memerlukan perubahan daripada strategi konvensional bertukar kepada pendekatan berbentuk proses iaitu pra-penulisan, penulisan dan pasca penulisan. Pelajar didedahkan kepada pelbagai aktiviti untuk menjana dan mengumpul maklumat tentang topik penulisan sebelum menulis bagi memastikan pelajar tidak ketandusan idea semasa peringkat pra penulisan. Pada peringkat ini interaksi antara pelajar berlaku dalam bentuk perkongsian maklumat seterusnya maklumat tersebut dikembangkan dalam bentuk penulisan. Seterusnya dalam peringkat pasca penulisan pula, hasil maklum balas guru dan rakan, pelajar akan diberi masa untuk memurnikan karangan mereka.
Schwartz (1993) menerangkan bahawa Pendekatan Proses merupakan konsep penulisan karangan berdasarkan tatacara merancang, merangka draf dan menyemak teks oleh pelajar.
Interaksi guru dan rakan ditekankan dalam model ini melalui pelaksanaan aktiviti kolaboratif dalam meransang minat dan ilmu menulis. Dalam SPB, pendekatan ini amat sesuai dijadikan prinsip penulisan karangan atau esei kerana sifatnya yang lebih sistematik yang bermula dengan pra penulisan, penulisan dan pasca penulisan.
Kajian Keh (1990) turut menjelaskan tatacara pengajaran mengarang dengan menggunakan pendekatan proses dengan menyelitkan aktiviti mengeluarkan idea dalam aktiviti pra penulisan seperti sumbangsaran dalam bentuk tinjauan pendapat atau syarahan diiringi dengan aktiviti kendiri seperti membaca dan mendengar. Dalam peringkat menulis draf kedua, pelajar digalakkan membuat perubahan pada kandungan karangan setelah melalui beberapa bacaan draf untuk mengenal pasti idea utama karangan dan kesalahan bahasa setelah draf akhir dihantar untuk disemak oleh guru. Tatacara pembelajaran ini didapati menggalakkan interaksi antara pelajar dengan guru sepanjang proses penulisan dilaksanakan.
5. Perbincangan
Kekuatan SPB dalam kemahiran asas menulis
Kajian Rozana & Zamri (2020) yang mengkaji penggunaan strategi pembelajaran yang kerap diaplikasi dalam kalangan pelajar cemerlang Cina dan India. Kajian mendapati bahawa pelajar cemerlang yang bukan penutur natif kerap menggunakan strategi menulis untuk mempelajari bahasa Melayu di dalam kelas (DDK) dan di luar kelas (DLK). “Menulis isi penting sebelum memulakan penulisan” dan “melayari internet untuk mendapatkan bahan-bahan penulisan yang baik” antara amalan yang kerap digunakan oleh pelajar bagi menulis karangan. Seiring dengan perkembangan dunia siber, maka pelajar menggunakan kemudahan teknologi untuk mencari dan mengumpul bahan berdasarkan topik atau isu penulisan. Melalui strategi ini ternyata tahap penggunaan SPB berasaskan bahan internet dalam kalangan pelajar cemerlang ini adalah berada pada tahap yang tinggi.
Dapatan ini disokong oleh Hung Siew Siew dan Zamri Mahamod (2021) dalam kajian yang dijalankan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Dalam pembelajaran di dalam bilik darjah, murid cemerlang Cina dan Iban Tahap Dua didapati menggunakan strategi “mencatat perkara yang disampaikan oleh guru mata pelajaran secara kerap”. Strategi mencatat ini amat bermanfaat kepada murid cemerlang Cina dan Iban untuk melatih diri menulis isi penting yang diajar dan secara tidak langsung dapat membuat ulang kaji apabila ujian menjelang. Kajian ini juga menunjukkan bahawa murid cemerlang Cina dan Iban menggunakan strategi “menyemak penulisan sebelum dihantar kepada gur”. Hal ini amat
penting bagi memastikan murid-murid sentiasa melatih diri untuk menyemak penulisan dengan teliti dan dapat mengurangkan kesalahan ejaan, tatabahasa dan juga struktur ayat.
Dalam kajian Rozana (2020), SPB dalam kemahiran menulis dalam kalangan pelajar berprestasi tinggi berdasarkan kemahiran menulis adalah pada tahap cemerlang kerana mereka mempraktikkan proses awal dalam penulisan dengan idea-idea utama dirangka sebelum memulakan penulisan menjadi indikator kepada esei yang bermutu. Idea-idea dapat dikembangkan dengan baik melalui draf yang telah dirangka sekaligus pelajar akan menterjemah penulisan yang cemerlang melalui penguasaan menulis secara sistematik.
Bukan itu sahaja, dapatan kajian juga menonjolkan murid cemerlang Cina dan Iban kerap menggunakan strategi “melibatkan diri dalam aktiviti kolaboratif di dalam bilik darjah”.
Kenyataan tersebut disokong oleh Muhammad Faizal dan Julie (2014) bahawa murid “aktif untuk berbincang dalam kumpulan tentang tugasan penulisan”. Kesannya, penguasaan murid dapat dimantapkan apabila mereka dapat menghuraikan idea karangan dan mengorganisasikan jawapan dalam bentuk yang mudah dan tepat di dalam kelas.
Di luar kelas pula, bahawa tahap penggunaan SPB dalam menulis oleh murid cemerlang Cina dan Iban Tahap Dua adalah pada tahap sederhana. Strategi “membuat latihan menulis Bahasa Melayu di rumah” kerap diamalkan oleh murid cemerlang Cina dan Iban. Selain itu, strategi
“meminta pandangan daripada ibu bapa atau adik-beradik” turut digunakan oleh murid cemerlang di luar kelas. Murid cemerlang Cina dan Iban juga selalu “melayari internet untuk mencari dan mengumpul bahan penulisan Bahasa Melayu”. Hal ini penting kerana penguasaan teknologi diberi penekanan merupakan pembelajaran abad ke-21 (PAK-21). Dapatan ini berbeza dengan penyelidikan Zamri, Kamiliah dan Wan Muna (2016) yang menyatakan
“penggunaan kamus merupakan alat bantu belajar bagi menulis perkataan dan mencari perkataan yang mudah difahami” dalam kalangan murid Cina yang lemah.
Dapatan kajian Noor Habsah & Yahya (2018) menyatakan bahawa dalam menguasai kemahiran menulis, murid-murid etnik Melanau turut mengimplementasi beberapa SPB. Murid etnik Melanau memahami bahawa “merangka idea-idea utama sebelum menulis” adalah sangat membantu mereka mengarang dengan berkesan. Melalui idea-idea penting tersebut, mereka berupaya mengembangkan idea untuk menulis berdasarkan isu atau topik penulisan yang diberikan. Hal ini membuktikan bahawa majoriti pelajar etnik Melanau dalam penyelidikan ini mengaplikasi tatacara menulis esei Bahasa Melayu dengan baik.
Dalam kalangan pelajar cemerlang, SPB yang popular adalah melayari “internet untuk mengakses bahan penulisan yang baik”. Era ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) ini terbukti menjadikan pelajar cemerlang memanfaatkan penggunaan kemudahan sebagai alat bantu belajar untuk mempelajari bahasa secara optimum. Kajian Sumarni (2017) mendapati bahawa melalui peranan internet dalam PdPc memainkan peranan signifikan untuk memotivasikan pelajar dalam penghasilan karya penulisan sehingga menjadikan proses menulis menjadi lebih menyeronokkan. Dalam masa yang sama, SPB dikuasai melalui pencarian maklumat dan bahan yang bersesuaian dengan penulisan karangan.
Selain itu, SPB dalam kemahiran menulis yang kerap digunakan dalam kalangan pelajar etnik Melanau dalam kajian ini adalah “mengakses bahan-bahan pembelajaran melalui internet”.
Dapatan ini membuktikan bahawa pelajar etnik Melanau turut memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam mendalami ilmu bahasa. Asas kemahiran menulis dapat diperkukuhkan dengan mengoptimumkan kemudahan internet untuk mencari dan mengumpul
bahan untuk penulisan. Dalam masa yang sama, strategi pembelajaran berpaksikan internet ini mampu meningkatkan motivasi pelajar untuk mengembangkan ilmu penulisan mereka.
Kenyataan tersebut disokong kajian Sumarni (2017) melalui pembelajaran secara maya yang tahap minat pelajar dalam pembelajaran menulis adalah tinggi. Sebelum memulakan penulisan, idea-idea penting yang dirangka terlebih dahulu didapati sangat membantu bagi mengelakkan ketandusan idea. Idea-idea tersebut dapat dikembangkan dengan baik melalui rangka karangan yang telah dibina berdasarkan informasi yang diperoleh daripada internet. Seterusnya, pelajar turut memanfaatkan penggunaan teknologi dalam mempelajari bahasa kerana internet dilihat sebagai alat bantu belajar untuk mendapatkan bahan pembelajaran berdasarkan topik penulisan yang diberi. Selain itu, “membuat catatan semasa guru mengajar” dan “menyemak penulisan”
adalah indikator terhadap penguasaan kemahiran asas dalam penulisan.
Dari aspek tatabahasa dan kosa kata, kajian Zamri, Kamiliah dan Wan Muna (2016) turut menyatakan murid Cina di sebuah sekolah menengah “mengaplikasi penggunaan kamus” tahap tinggi sebagai amalan SPB untuk mencari pelbagai perkataan baharu dalam Bahasa Melayu (BM) dan menulis perkataan yang mudah difahami. Dapatan kajian juga mendapati murid juga menggunakan strategi “berlatih menulis perkataan baru dalam BM”, “menulis makna BM” dan
“cuba mengarang pelbagai jenis teks BM misalnya nota peribadi, mesej dan surat” pada tahap sederhana. Strategi-strategi ini dilihat mampu untuk memperbaiki atau memantapkan lagi ilmu tatabahasa dan kosa kata mereka. Hal ini demikian menurut Siti Hamin, Nadzrah & Rozmel (2007) kerana sifat literasi penulisan menggunakan latihan yang berbentuk fungsi seperti membaca iklan, laporan cuaca, papan tanda, jadual, menu atau mengisi borang dan menulis surat. Aktiviti pengukuhan yang lain adalah seperti amalan membaca buku, surat khabar dan majalah bertujuan untuk menambah kosa kata dan tatabahasa.
Cabaran pelaksanaan SPB dalam kemahiran menulis pelajar
Penguasaan tatabahasa dan kosa kata Bahasa Melayu yang terhad merupakan isu utama yang pelajar semasa menulis. (Zamri,2016: Noor Habsah dan Yahya, 2018). Penggunaan kosa kata yang sesuai dan terhad membantut usaha pelajar menyampaikan idea-idea dalam penulisan.
Hal ini menyebabkan pelajar tidak dapat menghuraikan idea dengan baik sehingga menggunakan perkataan-perkataan daripada bahasa ibunda untuk menggambarkan idea yang ingin diutarakan. Kecenderungan pelajar memasukkan bahasa ibunda dalam penulisan menyebabkan makna ayat berubah atau tergantung.
Siti Hamin, Nadzrah & Rozmel (2007) dalam kajiannya menyatakan bahawa pelajar luar bandar mempunyai kosa kata yang begitu terhad bagi menyebabkan mereka tidak mampu menulis dengan baik. Keadaan ini menyebabkan pelajar gagal daripada membina ayat dan menjelaskan idea dengan berkesan. Malah penggunaan kosa kata yang salah boleh memberi makna yang salah atau berbeza. Pengkaji yang menilai hasil karangan pelajar turut menyatakan tatabahasa yang terlalu lemah hingga boleh menyekat penulisan yang baik. Literasi yang amat kompleks melibatkan penggunaan bahasa iaitu penguasaan sistem penulisan, pengetahuan fleksikal dan tatabahasa seperti yang digambarkan melalui penulisan pelajar.
Kelemahan penguasaan bahasa dalam aspek kosa kata dan tatabahasa turut menjejaskan makna dan penyampaian sesebuah penulisan. Keadaan ini menyukarkan mereka membina ayat dengan berkesan terutama dalam kalangan pelajar yang bukan penutur jati sehingga terpaksa menggunakan bahasa ibunda mereka. Kelemahan ini menyumbang kepada ketidaklancaran semasa menulis
Kenyataan ini disokong oleh Noor Habsyah dan Yahya (2018) menyatakan bahawa karangan yang ditulis oleh murid adalah hambar kerana tidak mempunyai kepelbagaian kosa kata. Hal ini mungkin disebabkan murid-murid lebih bergantung kepada pengajaran guru dan bimbingan rakan sebaya untuk menghasilkan sebuah karangan tanpa memeriksa kamus untuk mendapatkan kosa kata yang seluas laut. Mereka sering meminta tunjuk ajar daripada rakan lain apabila menghadapi kesukaran memahami topik yang diajar oleh guru. Lama-kelamaan, mereka kurang inisiatif memeriksa kamus untuk memperoleh perbendaharaan kata yang baharu dan tidak dapat menarik perhatian pemeriksa.
Dari sudut tingkah laku dalam SPB, dapatan kajian oleh Zamri, Kamiliah dan Wan Muna (2016) menyatakan sikap murid kaum Cina terhadap BM menunjukkan pada tahap yang sederhana yang beranggapan mempelajari BM adalah tidak penting dan tidak perlu dipelajari sebenarnya. Kenyataan ini disokong oleh oleh Zuraini, Fadzilah, Norazlina & Samsilah (2016) yang menyatakan dari keterlibatan tingkah laku pula, murid-murid ini didapati tidak bersedia tampil untuk menulis isi-isi karangan pada papan tulis. Tanggapan ini menyebabkan murid kurang berusaha untuk meningkatkan kemahiran bahasa dan kurang menggunakan SPB sebagai amalan pembelajaran bahasa. Berdasarkan kepada dapatan kajian, murid mempelajari BM hanya kerana BM merupakan mata pelajaran wajib dan dan berorientasi peperiksaan semata-mata untuk memenuhi syarat wajib lulus. Mereka menyatakan bahawa penguasaan BM yang baik tidak penting kerana penggunaannya yang tidak meluas berbanding dengan penggunaan bahasa ibunda dalam kehidupan seharian mereka. Walau bagaimanapun, tingkah laku positif murid kaum Cina dalam mempelajari SPB masih ditunjukkan semasa PdPc dijalankan terutamanya dalam kelas Bahasa Melayu. Sikap ini jelas menunjukkan murid kaum Cina masih menganggap mempelajari BM masih penting.
Dari sudut minat dan motivasi murid dalam menulis karangan yang dijalankan oleh Zuraini, Fadzilah, Norazlina & Samsilah (2016) mendapati bahawa murid-murid ini mempunyai motivasi belajar dan keterlibatan dalam pembelajaran kemahiran mengarang yang sederhana.
Gaya pengajaran guru dikatakan tidak membantu mereka dalam mendalami ilmu mengarang.
Hal ini dikaitkan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata. Murid- murid tidak perlu berfikir secara mendalam dan terikat kepada fakta-fakta tertentu ketika mengarang. Dalam kajian yang sama, murid juga didapati mempunyai kepercayaan bahawa kemahiran mengarang ini tidak membantu mereka dalam mata-mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi yang juga memerlukan kemahiran mengarang. Walaupun murid-murid memperoleh skor min keterlibatan kognitif keseluruhan yang tinggi namun, mereka tetap beranggapan kemahiran menulis adalah kompleks dan sukar dikuasai.
Walau bagaimanapun, kenyataan ini bertentangan dengan dapatan kajian Hung dan Zamri (2021) menonjolkan bahawa murid cemerlang Cina dan Iban menganggap guru merupakan pemudah cara terbaik semasa PdPC menyebabkan mereka jarang merujuk rakan sekelas untuk berbincang atau bertukar-tukar pendapat. Penglibatan aktif murid turut memperlihatkan keberanian mereka memberi cadangan penambah baikan yang bernas kepada guru tentang karangan yang ditulis. Dalam pada yang sama, kajian strategi menulis ini dilihat memberi impak kepada amalan pedagogi yang berkesan guru di dalam dan di luar bilik darjah. Peranan guru yang signifikan sebagai pemerhati dan pemudah cara perlulah bersedia meneroka amalan pedagogi yang sesuai digunakan oleh murid-murid sepanjang proses penulisan. Berdasarkan diagnosis tersebut, guru merancang aktiviti pembelajaran bahasa yang menarik berdasarkan keperluan murid. Secara tidak langsung, motivasi pelajar dapat ditingkatkan dengan menjadikan pendekatam SPB dalam penulisan lebih menyeronokkan.
Hal ini disokong oleh Shaumiwaty (2020) yang menegaskan bahawa strategi pengajaran dan pembelajaran konvesional perlu diubah jika ingin meningkatkan kemahiran menulis dalam kalangan murid terutamanya dalam mata pelajaran bahasa. Hal ini demikian kerana strategi guru yang meminta pelajar menyalin idea dan huraian yang diberikan menjadikan murid menjadi pasif dan tidak mempunyai pemikiran kritis apabila diminta menulis karangan. Beliau menyatakan bahawa strategi pengajaran berpusatkan murid seperti Strategi Pembelajaran Jurnal (SPJ) merupakan indikator utama dalam pembangunan kebolehan murid sekaligus menarik minat dan motivasi murid menjana idea dalam penulisan kreatif. Dalam konteks kajian ini, SPJ memberikan kesan positif terhadap kemahiran dan kebolehan murid menulis terutamanya teks berdasarkan pengalaman dan pemerhatian mereka.
Cadangan Penambahbaikan SPB dalam kemahiran menulis pelajar
Perancangan yang strategik perlu dirancang oleh guru bagi menarik fokus dan minat pelajar semasa di dalam bilik darjah. Aktiviti pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah seharusnya mengambil kira keperluan dan tahap kognitif pelajar yang memerlukan strategi pembelajaran yang berbeza. SPB dilihat sebagai amalan yang berpotensi untuk melahirkan penulis yang berbakat besar pada masa akan datang. Penerapan dan penyebarluasan SPB dalam kemahiran menulis pelajar juga perlu berfokuskan pelajar lemah dan pelajar bukan penutur natif dengan aktiviti PdPc yang menyeronokkan. Guru juga disarankan merangka aktiviti PdP mengikut kesesuaian acuan pelajar bagi memastikan ketidakciciran dalam pembelajaran berlaku. Elemen teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang interaktif boleh diserapkan dalam PdPC bagi meningkatkan minat dan motivasi pelajar menimba ilmu menulis.
Pengajaran penulisan karangan di dalam bilik darjah perlulah menarik minat pelajar untuk mendapatkan idea, pandangan, ulasan dan sebagainya. Kreativiti yang tinggi dalam pengajaran dapat mencorakkan perkembangan minda, emosi, sikap dan diri pelajar. (Abdul Rasid et al.
2012). Hal ini disokong oleh Abdul Rasid, Nurul Nadiah & Shamsudin (2016) yang menyatakan kurangnya kreativiti dan inovasi yang berterusan semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah menyebabkan pelajar cepat berasa bosan dan menganggap penulisan karangan mencabar minda dan susah untuk dikuasai. Aktiviti PdPc haruslah berpusatkan pelajar bagi melatih mereka supaya lebih berfikiran kritikal dan analitikal. Untuk tujuan menarik minat dan motivasi, pelajar perlu didedahkan kepada aktiviti-aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah yang berfokuskan penggunaan bahasa. (Rozanna & Zamri, 2020). Bagi memantapkan tatabahasa dan kosa kota misalnya, pendekatan gamifikasi dilihat berpotensi untuk meransang minat dan motivasi pelajar dalam suasana pembelajaran yang santai dan menghiburkan. Keupayaan pelajar dalam melontarkan pendapat mereka agar penulisan mereka lebih menarik dan bernas dapat ditarik melalui pelaksanaan aktiviti perbahasan, forum atau menyampaikan puisi.
Guru juga boleh mengaplikasi Strategi Pembelajaran Jurnal (SPJ) bagi memantapkan kemahiran menulis pelajar. Shaumiwaty (2020) dalam kajiannya “Learning Journal Strategy To Enhance Students’ Writing Ability” turut berfokuskan kemahiran asas menulis namun menggunakan strategi yang berbeza iaitu Strategi Pembelajaran Jurnal (SPJ) untuk menggalakkan murid menulis. Dapatan kajiannya menunjukkan SPJ ini berpotensi diamalkan oleh murid terutamanya dalam menguasai kemahiran asas menulis. Proses pembelajaran melalui SPJ ini mengkehendaki murid menulis berdasarkan pengalaman dan pemerhatian bukan hanya berfokuskan fakta semata-mata malah pelajar boleh memasukkan elemen fantasi dan imiginasi semasa menulis. Strategi ini didapati boleh meransang murid untuk menyusun idea, meluahkan idea dan menulis dalam bentuk teks sekaligus mengasah minat serta kreativiti dalam penulisan.
Seterusnya, Rozana (2020) dalam kajiannya mencadangkan agar pihak panitia perlu merangka pelbagai aktiviti dan program yang menerapkan kepelbagaian SPB agar dapat mencungkil minat para pelajar terutamanya bukan penutur natif sekaligus terlibat aktif dalam aktiviti pembelajaran bahasa. Zamri, Kamiliah dan Wan Muna (2016) turut menyatakan bahawa peranan pihak pentadbir sekolah dilihat amat signifikan untuk mewujudkan komuniti pembelajaran guru yang aktif menyumbang idea untuk mengukuhkan proses pembelajaran menulis di dalam dan di luar darjah. Sebagai contoh, modul dan panduan penggunaan strategi menulis di dalam dan di luar kelas perlu dirangka supaya murid-murid dapat mengamalkan strategi menulis secara berkesan pada setiap masa. Akhir sekali, pihak KPM juga perlu merangka sumber atau bahan pembelajaran yang menerapkan kepelbagaian SPB yang lebih interaktif agar proses penyampaian isi pelajaran dapat mudah diterima oleh pelajar di samping menimbulkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. (Rozana, 2020).
Penggunaan strategi pembelajaran bahasa dalam meningkatkan kemahiran menulis dalam kalangan pelajar memberi impak positif khususnya kepada pelajar itu sendiri terutamanya bagi mendapatkan keputusan peperiksaan cemerlang. Hal ini demikian kerana SPB seperti merangka isi karangan, mencatat nota, menyemak penulisan sebelum hantar kepada guru dan melayari internet untuk mendapatkan maklumat serta bahan penulisan dipraktikkan oleh pelajar. Kemahiran menulis bukan sahaja dipelajari sejak dari awal sekolah, malah kemahiran ini turut dipraktikkan semasa menuntut di peringkat pendidikan tinggi dalam tugasan akademik, ilmiah dan penyelidikan.
6. Kesimpulan
Berdasarkan pada perbincangan, pendekatan SPB merujuk kepada amalan pembelajaran yang diaplikasi oleh pelajar oleh segenap peringkat pendidikan bagi memantapkan penguasaan menulis. Sesungguhnya, kajian berkaitan strategi pembelajaran bahasa telah dibuktikan kekuatannya dalam memantapkan kemahiran menulis pelajar dan pemerolehan bahasa sekaligus diadaptasi dalam PdPC dalam bilik darjah. Setiap strategi yang digunakan dalam kemahiran bahasa dapat dimanfaatkan dan dipraktikkan oleh murid bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa murid dalam kemahiran menulis karangan. Walau bagaimanapun, pendidik perlu bijak merancang PdPC dengan lebih baik berdasarkan kemampuan murid yang berbeza dan faktor persekitaran bilik darjah. Dengan mengenal pasti SPB yang dikuasai oleh murid, guru dapat merancang pengajaran dengan lebih sistematik. SPB turut diaplikasi dari segi penguasaan aspek tatabahasa dan kosa kota. SPB turut dijadikan alat untuk menarik minat dan motivasi menulis pelajar dalam kemahiran menulis.
Kesimpulannya, aplikasi SPB dalam kemahiran menulis pelajar perlu diperluaskan di setiap peringkat pendidikan bagi melahirkan ramai penulis atau pakar bahasa dalam kalangan generasi akan datang. Beberapa implikasi dan cadangan telah disarankan dengan tujuan memastikan pelajar dapat menguasai strategi pembelajaran kemahiran menulis yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Justeru, penulisan ini diharapkan dijadikan sebagai panduan dan penambahbaikan kepada para pendidik dalam usaha untuk membantu pelajar agar lebih menguasai kemahiran menulis sejajar dengan kehendak Pembelajaran Abad 21 (PAK 21).
Rujukan
Ali, N.H & Othman, Y. (2018). Strategi Pembelajaran Kemahiran Menulis Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kedua Dalam Kalangan Pelajar Melanau di Daerah Daro. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 8 (1): 33-41. http://journalarticle.ukm.my/11834/
Amin, M. (2000). Language Learning Strategies: A Malaysia Context. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2016). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran Bahasa Melayu Tingkatan 4 & 5. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.
http://bpk.moe.gov.my/
Chamot, A.U. 1987. The Learning Strategies of ESL Students. Prentice Hall: Englewood Cliffs.
Embi, M.A., Mahamod, Z., & Bakar, M.N.A. (2001). Pola Penggunaan Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu. Journal of Language Teaching Linguistics and Literature 7: 95-109.
Hafizi, M.S., Izzuddin, M., Maromar, F., Syakir, M., & Basir, H (2017). Keberkesanan Strategi Pelajar Dalam Mempraktikkan Kemahiran Menulis Tugasan Akademik. Kertas Projek Penyelidikan. Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Hung, S.S & Mahamod Z. (2021). Kekerapan Penggunaan Strategi Kemahiran Menulis Bahasa Melayu Dalam Kalangan Murid Cemerlang Cina dan Iban. Jurnal Dunia Pendidikan 3 (1): 122-133. http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd
Jaafar, R. (2020). Strategi Pembelajaran Kemahiran Mendengar Dan Menulis Dalam Kalangan Pelajar Etnik Cina Dan India Ketika Belajar Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 10 (1): 64-76. https://spaj.ukm.my/jpbm/index.php/jpbm/article/view/220/176 Jaafar, R. & Mahamod, Z. (2020). Strategi Pembelajaran Kemahiran Menulis Dalam Kalangan Pelajar Cemerlang Di Sekolah Menengah. International Research Journal of Education and Sciences (IRJES) 4 (1). https://www.masree.info/wp-content/uploads/2020/06/14- Strategi-Pembelajaran-Kemahiran-Menulis-Dalam-Kalangan-Pelajar-Cemerlang-Di- Sekolah-Menengah.pdf
Jazuli, A.J.M., Din, F.F.M., & Yunus, M.M.(2019). Using Pictures In Vocabulary Teaching For Low Proficiency Primary Pupils Via PI-VOC. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences 9 (1): 311-319.
http://dx.doi.org/10.6007/IJARBSS/v9-i1/5399
Jusoh, Z., Rahman, F.A., Kiram, N.M., & Samsilah, R. (2016). Motivasi Belajar Dan Keterlibatan Dalam Pembelajaran Kemahiran Mengarang Bahasa Melayu. Journal of
Science Social and Humanities 11 (1): 213-226.
http://journalarticle.ukm.my/11445/1/14452-39842-1-SM.pdf
Keh, C. (1990). Feedback In The Writing Process: A Model And Methods For Implementation.
In ELT Journal 44:4: 294-304. DOI:10.1093/elt/44.4.294
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum. http://bpk.moe.gov.my/
Konting, M.M. (2005). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Edisi Ke-7. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahamod, Z. (2004). Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah. Tesis Dr. Falsafah. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mahamod, Z., Embi, M.E., & Yusoff, N.R.M. (2010). Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu dan Inggeris Pelajar Cemerlang. Bangi: Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mahamod, Z. (2014). Inovasi P & P Dalam Pendidikan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahamod, Z. (2015). Strategi Belajar: Inventori Cara Belajar Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mahamod, Z., Ghani, K.A.A., & Mohammad, W.M.R.W (2016). Penggunaan Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu Dalam Kalangan Murid Cina Berdasarkan Sikap Dan Kemahiran Bahasa. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 6 (1): 38-51.
http://journalarticle.ukm.my/9865/1/107-211-1-SM.pdf
Majlis Peperiksaan Malaysia. (2013). Sukatan Pelajaran & Kertas Contoh Tingkatan 6. 900 Pengajian Am. https://www.mpm.edu.my/en/stpm/stpm-syllabus
M.Y (2017). Kekerapan Penggunaan Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu Dalam Kalangan Murid Cemerlang Etnik Cina. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 7 (1): 85-92.
https://spaj.ukm.my/jpbm/index.php/jpbm/article/view/137
Redzuan, N.H. (2019). Modul ‘Bijak Mengarang’ Mempertingkat Kemahiran Menulis
Karangan. Jurnal Peradaban Melayu 9: 54-62.
https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/JPM/article/view/1968/1429
Teh, K.S.M & Nafi, L.M. (2020). Strategi Pembelajaran Bahasa: Satu Pengenalan Konsep Dan Model. Jurnal KIAS, 9(1), 172 - 197. Retrieved from https://ejournals.kias.edu.my/index.php/jurnalkias/article/view/116
Shaumiwaty. (2020). Learning Journal Strategy To Enhance Students’ Writing Ability. English Journal of Merdeka: Culture, Language, and Teaching of English,5(1), 65–74.
http://jurnal.unmer.ac.id/index.php/enjourme/index
Schwartz, B. (1993). On Explicit And Negative Data Effecting and Affecting Competence and Linguistic Behavior. Studies in Second Language Acquisition 15: 147-164.
Singh, M. K. M. (2016). An Emic Perspective on Academic Writing Difficulties Among International Graduate Students In Malaysia. GEMA Online Journal of Language Studies 16(3): 83–97. https://doi.org/10.17576/gema-2016-1603-06
Soh, T.A.T. (2013). Kesediaan Guru-Guru Bahasa Melayu Dalam Melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah. Kertas Projek Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. http://journalarticle.ukm.my/14524/1/195-374-1-SM.pdf Stapa, S.H., Abu Bakar, N.A., & Latiff, R.A. (2007). Literasi Penulisan Bahasa Inggeris dalam
Kalangan Pelajar Luar Bandar: Implikasi Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran.
Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan 2 (2): 17. http://journalarticle.ukm.my/1544/
Sumarni Lapammu. (2017). Pengetahuan, Sikap dan Kesediaan Pelajar Terhadap Penggunaan Pembelajaran Maya (Vle) Frog Dalam Pendidikan Bahasa Melayu. Kertas Projek Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
http://journalarticle.ukm.my/11836/