• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pembangunan Modal Insan Di Malaysia: Satu Analisis (Human Capital Development In Malaysia: An Analysis)

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Pembangunan Modal Insan Di Malaysia: Satu Analisis (Human Capital Development In Malaysia: An Analysis)"

Copied!
12
0
0

Teks penuh

(1)

Pembangunan Modal Insan Di Malaysia: Satu Analisis (Human Capital Development In Malaysia: An Analysis)

Noraini Zulkifli1*, Farrah Wahida Mustafar2, Mohd Ikhram Mohd Ridzuan3

1 Pensyarah Kanan, Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang- Undang, UPNM

2 Pensyarah, Jabatan Pengajian Umum, Universiti Melaka

3Pensyarah, Pusat Pengajian Am, Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal, Universiti UCSI

*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 August 2022 | Published: 1 September 2022

DOI:https://doi.org/10.55057/jdpg.2022.4.3.2

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Pembangunan modal insan merupakan teras utama bagi membentuk suatu masyarakat yang celik minda serta boleh bersaing seiring dengan matlamat Pembangunan Mampan yang telah digariskan oleh Bangsa- bangsa Bersatu 2030. Pada 2006, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan perdana menteri Malaysia telah menyuarakan kepentingan untuk membangunkan modal insan di Malaysia supaya memberi persediakan kepada lapisan masyarakat supaya mereka akan bersedia dengan sebarang perubahan dan pembangunan yang akan berlaku di masa akan datang. Kajian ini dijalankan untuk menganalisis pembangunan modal insan di Malaysia. Objektif kajian adalah 1) mengenalpasti hala tuju sistem pendidikan dan teras pembangunan negara; 2) membincangkan dasar yang dibentuk untuk membangunankan modal insan di Malaysia dan 3) menganalisis cabaran yang wujud untuk membangunkan modal insan. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif di mana konten analisis dirujuk dari sumber sekunder. Dapatan kajian ini mendapati sistem pendidikan negara menyokong kepada Dasar Pembangunan Modal Insan di mana pendekatan yang dilaksanakan bermula dari peringkat sekolah rendah. Cabaran yang wujud dalam menghasilkan modal ini adalah kemajuan teknologi, persekitaran dan juga ideologi. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat untuk memastikan matlamat dasar ini tercapai dengan penyertaan, kerjasama dan komitmen dari semua pihak.

Kata Kunci: Ideologi, Komunikasi, Media, Modal Insan, Pendidikan

Abstract: The development of human capital is key element to form a society that is literate and can compete in line with the Sustainable Development goals that have been outlined by the United Nations 2030. In 2006, Tun Abdullah Ahmad Badawi, the former prime minister of Malaysia has voiced the importance of developing human capital in Malaysia to prepare the community so that they will be ready for any changes and developments that will occur in the future. This study was conducted to analyze the development of human capital in Malaysia.

The objectives of the study are 1) to identify the direction of the education system and the core of national development; 2) discuss the policies formed to develop human capital in Malaysia and 3) analyze the challenges that exist to develop human capital. This study uses a qualitative method where content analysis is referenced from secondary sources. The findings of this study found that the national education system supports the Human Capital Development Policy where the approach implemented starts from the primary school level. The challenge that exists in producing this capital is the advancement of technology, the environment and also ideology.

Therefore, it is the responsibility of every level of society to ensure that the goals of this policy are achieved with participation, cooperation and commitment from all parties.

(2)

Keywords: Ideology, Communication, Media, Human Capital, Education

_________________________________________________________________________

1. Pengenalan

Pembangunan insan merujuk kepada pendidikan, tahap kemahiran dan kebolehan seseorang untuk menjadi pekerja yang produktif dalam ekonomi dalam abad ke – 21 (Hershberg, 1996).

Konsep ini diterima sebagai komponen ketiga dalam pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan (Rahim & Khadijah, 2007). Pembangunan modal insan di Malaysia telah dicetuskan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Rancangan Malaysia ke- 9 (RMK9) sebagai usaha untuk meningkatkan pembangunan negara.

Penambahbaikan sistem pendidikan merupakan salah satu langkah yang dititik beratkan oleh pihak kerajaan untuk merealisasikan matlamat tersebut. Modal insan merujuk kepada individu yang berilmu, berkeyakinan dan mempunyai nilai murni, inovatif, berdisiplin, bersemangat patriotik, cekal dan berdaya saing. Teras utama dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang adalah melalui proses pendidikan berlaku secara tertib dan teratur sehingga seluruh potensi akal budi dapat dibangunkan melalui ciri-ciri kemajuan dan berkemahuan iaitu inovatif yang akhirnya menjadi modal berguna kepada pembangunan negara. Daripada perspektif yang berbeza nilai-nilai keperibadian yang baik, ilmu dan kepakaran yang berguna sudah tentu berupaya dapat mewujudkan negara yang makmur dan sejahtera.

Walaupun yang demikian, isu dan masalah disiplin pelajar pada hari ini semakin membimbangkan saban hari. Hal ini semakin meruncing ketika era pandemik Covid-19.

Sebagai contohnya pada Mac 2020 seramai 21316 orang murid telah berhenti sekolah sekolah disebabkan keciciran. Antara bentuk keciciran ialah keciciran pendidikan yang merujuk kepada murid-murid yang berhenti sekolah manakala keciciran pembelajaran merujuk kepada murid- murid yang kerap tidak hadir atau ponteng sekolah, murid-murid yang tidak memberikan tumpuan kepada pengajaran dan murid-murid yang mempunyai prestasi pencapaian yang sangat rendah (Utusan 2021). Pada Jun 2022 pula telah menyaksikan sebanyak 38 kes buli berlaku di sekolah-sekolah di negara ini dalam tempoh empat bulan pertama iaitu bermula Januari (Sinar Harian, 2022). Ia merupakan antara kes yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Selain itu, buat pertama kalinya kes saman menyaman antara guru dan murid yang melibatkan gurauan kes rogol. Hal ini berlaku apabila pelajar tersebut memuat naik video TikTok yang mendakwa seorang gurunya membuat guraun mengenai isu rogol, untuk siasatan guru tersebut turut membuat laporan polis terhadap pelajar tersebut dan memfailkan saman atas dakwaan memfitnah dan menuntut RM1 juta (Benar News, 2021). Melalui kes-kes tersebut telah menunjukkan bahawa Malaysia menghadapi isu modal insan yang merunsingkan dalam aspek pendidikan negara. Sekiranya polemik ini dibiarkan ia akan menjadi kanser dalam melahirkan para remaja yang berwawasan, berintegriti, jati diri yang utuh dan berjiwa besar pada masa hadapan. Hal ini kerana manusia khususnya generasi muda ialah sebagai pelaburan pada masa akan datang dan sistem pendidikan merupakan teras dalam melahirkan dan menentukan generasi yang bakal memimpin negara.

2. Pendidikan Dan Hala Tuju Pembangunan Negara

Sistem pendidikan merupakan teras utama dalam melahirkan dan penentuan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti. Abdullah dalam ucapan beliau pada 1 Mei 2006, “Modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan, kerajaan dan rakyat harus bersama-sama mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen.

Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal

(3)

insan negara kekal relevan dengan kehendak industry dan pasaran semasa serta mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat” (Dipetik daripada Fadillah Mansor, 2006). Melalui ucapan tersebut, jelas menunjukkan bahawa pendidikan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan kualiti kehidupan melalui modal insan. Oleh hal yang demikian perubahan dan transformasi tersebut tidak dapat terlaksana tanpa melibatkan pembangunan insan mengikut acuan Pembangunan Insan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Umumnya pembangunan insan yang seimbang dan holistik tidak akan meminggirkan mana-mana aspek dalam melahirkan insan yang mempunyai pegangan agama, nilai-nilai murni serta berkemahiran. Berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, matlamat utama pendidikan adalah untuk melahirkan masyarakat yang seimbang dan harmonis khususnya dalam aspek kemanusiaan. Atas faktor tersebut pembangunan intelek, membangungan rohani dan emosi serta jasmani merupakan antara faktor yang penting dalam pembangunan insan.

i. Pembangunan Intelektual

Berdasarkan Mok Soon Sang (2004), falsafah menekankan prinsip-prinsip realiti, ilmu dan nilai. Dalam membangunkan intlektual dan pemikiran manusia, salah satu cabang utama ialah epistemolgi yang berperanan untuk membangunkan manusia. Kewujudan konsep ilmu ini mampu meningkatkan dan memperkembangkan minda manusia. Umumnya sistem pendidikan di Malaysia distrukturkan melalui kurikulum yang saling berkaitan dengan teori epistemology iaitu teori ilmu. Sehubungan itu, kurikulum dalam rangka FPK telah menyusun pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran serta penilaian dalam menepati teori ilmu. Ahmad (2008) menghujahkan bahawa dalam membangunkan intelektual manusia perlu menekankan kepada daya berfikir iaitu kemahiran 3M yang terdiri daripada mendapat, meningkat dan menyebarkan ilmu, berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) serta memanfaatkan ilmu untuk diri dan orang lain. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pula telah memfokuskan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam menentukan kejayaan transformasi pendidikan khususnya dalam aspek modal insan.

ii. Pembangunan Kerohanian dan Emosi

Amnya kekuatan dalaman seseorang merupakan kayu ukur kepada dalam menentukan tahap kejayaan seseorang. Disebabkan itu, FPK telah menekankan pembangunan rohani dan emosi secara seimbang dengan menerapkan nilai-nilai murni merentasi kurikulum (Ahmad Mohd Salleh, 2008). Pada masa yang sama bagi mengukuhkan lagi ilmu yang menghubungkan terhadap kemantapan rohani, prinsip kepercayaan dijadikan teras kepada FPK. Atas faktor tersebut antara unsur-unsur rohani yang diterapkan dalam kurikulum pendidikan ialah menyedari dan menginsafi tanggungjawab, memupuk dan membina disiplin kendiri serta membentuk akhlak mulia. Dalam aspek pembangunan rohani dan emosi pula boleh dihubungan dengan afektif iaitu tentang perasaan dan kejiwaan.

iii. Pembangunan Jasmani

Amnya pengajaran dan pembelajaran tidak akan menghasilkan impak yang tinggi sekiranya kesihatan tubuh badan tidak sihat. Atas faktor tersebut dalam menstrukturkan kurikulum yang dirangka oleh FPK telah menggabungkan pendidikan jasmani. Daripada perspektif yang berbeza dalam usaha membangunkan modal insan, elemen pembangunan rohani tidak boleh diketepikan. Elemen tersebut perlu digabungan dengan elemen intelektual, rohani dan emosi.

Pangrazi dan Beighle (2019) menghujahkan bahawa pendidikan jasmani akan menjadikan seseorang pelajar mengamalkan rutin harian yang sihat disamping mendapat pengamatan dalam skop pembelajaran yang telah disediakan. Unsur-unsur jasmani terdiri daripad beberapa aspek iaitu kecergasan tubuh badan, kesihatan diri dan mampu berdirikari serta keupayaan

(4)

hidup sesama insan lain. Pelajar yang seimbang bukan sahaja hebat daripada aspek intelektual sahaja kerana tanpa badan yang sihat sudah pasti tidak dapat melahirkan insan yang bersepadu.

Hal ini kerana elemen kecergasan fizikal dan kesihatan diri tidak dapat diketepikan untuk melahirkan modal insan yang bersepadu. Umumnya program-program yang dijalankan dalam membangunkan jasmani adalah seperti aktiviti kokurikulum, 1Murid 1Sukan, aktiviti merentas desa, Pendidikan Jasmani Kesihatan, aktiviti perkhemahan dan sebagainya (Mohd Yaakob, 2018).

Kokurikulum merupakan satu aktiviti yang disediakan kepada setiap pelajar di setiap sekolah di sekolah rendah bermula daripada tahun 4 sehingga tahun 6 manakala di peringkat sekolah menengah pula daripada tingkatan 1 sehingga tingkatan lima. Aktiviti ini merupakan kesinambungan yang diperolehi daripada sesi pembelajaran akademik. Sebagai contoh aktiviti kumpulan yang dilalui pada waktu PdPc diaplikasikan dalam aktiviti Kokurikulum. Hal ini bertujuan untuk menambah elemen nilai dalam aspek pengetahuan, pergaulan serta kemahiran yang diperolehi daripada bilik darjah melalui aspek pembangunan jasmani (Michael et al., 2021). Atas faktor tersebut ia bertepatan dengan matlamat FPK dalam melahirkan individu yang seimbang dalam semua aspek. Walaupun terdapat pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan, namun seolah-olah ianya kelihatan sekadar impian semata-mata. Isu keruntuhan akhlak terutamanya golongan pelajar dan remaja amat membimbangkan. Oleh hal yang demikian sejauhmana FPK berjaya membangunkan modal insan dalam mencapai objektif 17 objektif Pembangunan Kelestarian. Setelah lebih 30 tahun konsep bersepadu telah diserapkan dalam sistem pendidikan tetapi mengapakah akhlak dan moral masih menjadi isu hangat yang sering diperbincangkan dan didebatkan?

Pendidikan adalah teras dalam pembangunan bangsa dan negara. Atas faktor tersebut ketiadaan sistem pendidikan yang tersusun dan sempurna, matlamat dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tidak mungkin tercapai. Pembangunan modal insan bukan sahaja penting dalam perkembangan peribadi malah ia juga signifikan dalam pembangunan masyarakat dan memberikan impak yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Mahu tidak mahu faktanya ialah kaedah dalam membentuk dan menyemai nilai tambah bagi modal insan bukanlah sesuatu yang senang. Dalam erti kata lain ia tidak dapat diperoleh dalam jangka masa yang singkat kerana pelbagai cabaran perlu diselesaikan.

3. Dasar Yang Menyokong Kepada Pembangunan Modal Insan Di Malaysia

i. Modal Insan dalam Rancangan Malaysia

Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) yang merupakan pengenalan kepada modal insan pada tahun 2006, Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan mantan Perdana Menteri Malaysia kelima mengatakan bahawa salah satu perkara penting yang diorientasikan ialah pembangunan sumber manusia yang juga dikenali sebagai modal insan (Noor Najihan, 2014) yang bersifat holistik, iaitu menghasilkan rakyat Malaysia yang bukan sahaja mempunyai kemahiran saintifik yang canggih tetapi juga nilai moral dan kerohanian yang tinggi lagi “berminda kelas pertama” (Lee & Sarjit, 2008). Hal ini bertujuan agar dengan terbangunnya minda kelas pertama, kelak manfaat kemajuan dan pembangunan negara dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyatnya (Norhasni, 2014). Dalam usaha memperbaiki sistem pendidikan negara, penekanan turut diberikan terhadap pemupukan budaya dan moral. Dengan demikian, sebanyak 21 peratus daripada Bajet 2007 iaitu sejumlah RM 33.4 billion diperuntukkan bagi menguruskan pendidikan dan latihan di Malaysia. Selanjutnya, dalam RMK-10 (2011-2015) telah merangkumkan pendidikan teknikal di dalam pembangunan modal

(5)

insan sebagai langkah untuk menambah baik pasaran buruh dan mentransformasikan sistem pendidikan.

RMK-11 (2016-2020) pula tertumpu kepada peningkatan kualiti pendidikan, transformasi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pengukuhan pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dan peningkatan kecekapan pasaran buruh bagi memenuhi permintaan industri (Unit Perancang Ekonomi). Dalam RMK-11 ini menunjukkan bahawa pemerkasaan modal insan bukan sahaja merujuk kepada pendidikan dan latihan, namun ia juga berfokus kepada pengukuhan keupayaan dan kestabilan buruh dan pekerja menerusi menambahbaik pasaran buruh. Manakala dalam RMK-12 (2021-2025) tumpuan diberikan kepada penjajaran semula pasaran buruh untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan serta pembangunan bakat tersedia bagi memenuhi keperluan masa hadapan. Dengan ini menunjukkan bahawa fokus kepada pembangunan bakat merujuk kepada pembangunan modal insan kerana antara keperluan yang dipenuhi ialah peningkatan kualiti program akademik dan latihan. Sehingga kini, jelas menunjukkan Malaysia masih menitikberatkan dan memberi penekanan kepada modal insan bagi memastikan Malaysia seiring dengan arus kemodenan dan tiada yang keciciran. Sesuai dengan peruntukan yang dikhususkan kepada pendidikan bagi pembangunan modal insan menunjukkan purata anggaran belanjawan setiap tahun sebanyak 25 peratus (Azman Ibrahim, 2009).

a. Sekilas Makna Pembangunan

Pembangunan bermaksud suatu kebaikan atau ‘improvement’ dan membawa kepada kualiti kehidupan yang lebih baik untuk individu dan masyarakatnya (Rohana, 2003). Pembangunan merupakan proses ke arah pertumbuhan dan perkembangan ekonomi yang boleh mengubah dan memberi kesan kepada keadaan atau situasi sesuatu kawasan atau komuniti. Pembangunan yang ideal dapat difahami sebagai pembawa kemewahan, pertumbuhan dan kehidupan yang lebih baik kepada seluruh masyarakat. Pembangunan merupakan satu proses perubahan yang membawa manusia dari satu dimensi kehidupan ke satu dimensi kehidupan yang lain dan ia biasanya ditandai dengan nilai positif iaitu bertambah, meningkat atau meninggi (Mohd Yusof

& Lukman, 2002). Pembangunan adalah bertujuan untuk menghasilkan kemajuan sosial dan material khususnya berkaitan dengan nilai-nilai kesaksamaan, keseimbangan dan keadilan kepada sebahagian besar penduduk sesebuah negara setelah mereka mendapat peluang yang lebih baik untuk menguasai sumber-sumber pembangunan di persekitaran (Dani & Abdul Rahman, 2003). Pembangunan tidak hanya bersifat kebendaan dalam bentuk fizikal atau material sahaja, bahkan juga melibatkan aspek-aspek kemanusiaan itu sendiri yang mengarah kepada kesejahteraan manusia termasuk hubungan sosial, pendidikan dan agama (Mashuri &

Rodi, 2017). Manakala pembangunan berteraskan Islam pula bermaksud dengan meletakkan kedudukan manusia sebagai pelaku pembangunan dan ekonomi serta sumber alam yang lainnya sebagai alat untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Ciri pembangunan mesti mengambil kira tiga ciri penting iaitu mengurangkan kemiskinan, mengurangkan pengangguran dan mengurangkan ketidaksamarataan antara rakyat. Bukan sekadar pengeluaran atau pendapatan sahaja tetapi merangkumi keperluan asas bagi setiap individu. Pembangunan bukan sahaja melibatkan pengeluaran dan agihan barangan dan perkhidmatan, perubahan struktur atau mencapai keseimbangan ekologi tetapi perkembangan itu sendiri (Rohana, 2003). Konsep pembangunan manusia merupakan penggabungan ekonomi dan sosial merangkumi dua aspek iaitu pembentukan keupayaan manusia (modal insan) dan kedua ialah menggunakan keupayaan tersebut untuk membawa mereka kepada umur yang lebih panjang dan sihat, berpelajaran, dapat menikmati standard kehidupan yang selesa,

(6)

memperoleh kebebasan politik, dan memperoleh hak asasi manusia serta penghormatan kendiri (Ma’rof, 2013).

b. Modal insan

Perbincangan istilah modal insan di Barat mula diperkatakan pada awal tahun 1776 dari perspektif ekonomi klasik oleh Adam Smith dalam konteks mendefinisikan istilah ‘modal’ atau

‘capital’ (Masitah et al., 2019). Modal sering difahami sebagai sekumpulan wang, aset dan harta yang dapat digembelengkan ke dalam pelbagai kegiatan untuk menghasilkan keluaran yang menguntungkan (Mohd Fauzi &Mohd Khairul, 2012). Namun begitu, modal manusia atau modal insan ditakrifkan sebagai ciri-ciri yang dimiliki oleh pekerja yang menyebabkan mereka lebih produktif. Cara untuk mendapatkannya adalah dalam bentuk dipupuk melalui pelaburan pendidikan, latihan sebelum bekerja, latihan semasa bekerja, kesihatan, penghijrahan dan usaha mencari maklumat yang dapat meningkatkan taraf hidup seseorang.

Manakala insan pula merujuk kepada jatidiri manusia itu sendiri dan menjadi sumber kepuasan dan pulangan keuntungan akan datang. Manusia sebagai modal yang perlu dilabur dan dibangunkan. Modal insan yang ingin dilahirkan ialah modal insan berkualiti lagi seimbang dari segi jasmani, rohani dan intelek. Modal insan juga merupakan sumber asas bagi menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi. Secara umumnya, modal insan merujuk kepada atribut yang dimiliki oleh tenaga kerja dalam organisasi dan keupayaan tenaga kerja itu dalam menyumbang faedah dan nilai ekonomi kepada syarikat (Zafir & Mohd Nazmy, 2018). Modal insan dalam perspektif Islam pula didefinisikan sebagai satu keunggulan keperibadian yang dimiliki oleh manusia seperti penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran yang tinggi dan akhlak yang mulia dalam konteks melaksanakan tugas dan tanggungjawab bersama yang diamanahkan bagi meningkatkan kemakmuran untuk manusia dan alam seluruhnya (Masitah et al., 2019).

Terdapat lima komponen utama modal insan iaitu pengetahuan, kemahiran, pengalaman, pendidikan dan kesihatan. Lima kategori untuk meningkatkan keupayaan manusia seterusnya melahirkan modal insan iaitu (1) kemudahan kesihatan dan perkhidmatan; (2) on the job training; (3) penyediaan pendidikan formal di peringkat rendah, menengah dan tinggi; (4) program pembelajaran untuk golongan dewasa; dan (5) migrasi dan penghijrahan seseorang atau keluarga untuk mendapatkan peluang kerjaya yang lebih baik (Mohd Fauzi & Mohd Khairul Naim, 2012). Selain itu, lima aspek ciri modal insan iaitu (1) modal insan berupa pengetahuan dan kemahiran hak milik individu berdasarkan keupayaan diri; (2) setiap individu mempunyai keupayaan diri yang tidak sama dari segi usia; (3) boleh diukur melalui aspek kualiti dan kuantiti (kelayakan); (4) boleh bersifat umum atau khusus untuk seorang individu atau boleh diguna bersama; dan (5) modal insan dipengaruhi oleh aspek luaran iaitu persekitaran dan ikatan sosial (Mohd Fauzi dan Mohd Khairul Naim, 2012). Dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama, terdapat empat strategi utama untuk melahirkan modal insan berminda kelas pertama iaitu (1) meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan; (2) memperkukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan, sains dan inovasi; (3) memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral; dan (4) memperkasakan golongan belia dan wanita (Mohd Fauzi dan Mohd Khairul Naim, 2012).

Dalam pembangunan modal insan menurut perspektif Islam pula, terdapat lima unsur pembangunan yang perlu dibangunkan iaitu pemikiran atau akal, kemahuan atau dorongan, emosi atau perasaan, fizikal atau jasmani dan spiritual atau rohani (Masitah, 2019).

ii. Pembangunan Modal Insan

Pembangunan modal insan dalam Islam adalah proses untuk membentuk insan yang baik dan berguna. Ia bukan saja kepada dirinya, malah masyarakat, agama dan negara. Pembangunan

(7)

akhlak dan moral seperti ini amat diperlukan untuk memajukan lagi negara dari sudut rohani dan menteliti rakyat (Baharom & Mohamad, 2009). Pembangunan modal insan adalah pembangunan yang menumpukan kepada manusia. Matlamat utamanya ialah untuk meningkat dan memajukan individu bagi mendapatkan pulangan pada masa akan datang. Secara asas, ia berkaitan kecekapan dan komitmen seseorang dalam organisasi yang dilihat dari aspek kemahiran, pengalaman, potensi dan kapasiti. Berdasarkan teras dasar yang digariskan oleh kerajaan, modal insan yang ingin dibangunkan adalah individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Insan ini memiliki personaliti unggul dan akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Negara memerlukan pekerja-pekerja terlatih, berkemahiran dan produktif dalam berbagai bidang. Keperluan ini semakin meningkat selaras dengan peralihan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Tenaga mahir ini dilihat perlu dilengkapkan dengan jati diri tinggi yang penuh dengan sifat-sifat jujur, amanah, berwawasan demi mengutamakan kualiti pekerjaan.

Pembangunan modal insan menurut perspektif Islam adalah pembangunan yang melihat insan sebagai watak terpenting dalam pembangunan. Ia juga memfokuskan kepada manusia itu sendiri sebagai matlamat utama untuk dibangunkan berpandukan kepada sumber-sumber dalaman manusia bagi mencapai kesejahteraan (al-falah) dan kebaikan (hasanah) dalam setiap bidang kehidupan (Masitah et al., 2019). Jika pembangunan yang dimajukan menepati akal minda dan meletakkan kepentingan rohani di landasan yang sebenar, maka pembangunan tersebut menepati citra fitrah manusiawi. Lima unsur pembangunan utama dalam pembangunan modal insan yang perlu dilakukan secara seimbang dan bersepadu ialah pembangunan pemikiran, dorongan, perasaan, fizikal dan rohani (Masitah et al., 2019). Antara istilah yang digunapakai dalam pembentukan pembangunan modal insan ialah kognitif (pemikiran atau pengetahuan), afektif (sikap) dan psikomotor (kemahiran). Manakala menurut Al-Ghazali berpendapat bahawa proses untuk menghasilkan ilmu hendaklah melalui empat unsur iaitu akal, hati, roh dan nafsu. Hal ini jelas membuktikan bahawa sepertimana yang diperkenalkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang selaras juga dengan Rukun Negara iaitu berusaha untuk menghasilkan manusia yang mempunyai akhlak yang mulia, seimbang dan bersepadu dari aspek jasmani, rohani, emosi dan jasmani (Syahirah, Siti Fairuz & Mohd Edyazuan, 2022).

Secara umumnya, peningkatan modal insan akan menyebabkan peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi dan pengurangan dalam kemiskinan (Rahmah, Ishak & Mohd. Nasir, 2011). Dalam usaha berterusan pembangunan modal insan perlu kepada persekitaran yang mesra ilmu, prointelektual dan berasaskan kepada pencapaian. Pembangunan modal insan sebenarnya bermula dari peringkat keluarga iaitu ibu bapa bertanggungungjawwab memberikan pendidikan kepada anak-anak. Hal ini membuktikan bahawa keseluruhan sistem memainkan peranan demi membangunkan modal insan. Sehubungan dengan itu, Malaysia telah memberi komitmen yang tinggi terhadap pengembangan bidang pendidikan dan latihan yang dianggap indikator penting dalam pembangunan modal insan. Justeru itu, dasar dan strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membasmi kemiskinan dikatakan telah berjaya dikurangkan.

4. Cabaran Yang Wujud Untuk Membangunkan Modal Insan

Modal insan kelas pertama berdasarkan Modal Insan menurut acuan Malaysia antaranya ialah berdaya saing, berilmu, berdisiplin, berdaya tahan tinggi, kreatif, sihat, adil, bersikap progresif,

(8)

berilmu, berintegrasi, dinamik, bersemangan patriotik dan nasionalisme, tidak bersifat individualistik, berinovasi, cekal, bersifat sebahagian daripada masyarakat Malaysia, memiliki nilai murni dan moral yang tinggi, serta berkeyakinan (Azman, 2009). Cabaran bagi menghasilkan modal insan kelas pertama ini ialah menghalang dan hapuskan segala gejala negatif terlebih dahulu kerana ia merupakan sumber wabak yang akan menghancurkan malah menyebabkan modal insan itu akan rosak dan binasa. Dalam kajian ini mendapati terdapat tiga cabaran utama dalam usaha membangunkan modal insan iaitu pengaruh media dan komunikasi, sistem pendidikan serta ideologi.

a. Pengaruh Media dan komunikasi

Kemajuan teknologi maklumat pada era globalisasi menjadikan masyarakat khususnya golongan muda terdedah dengan pelbagai masalah sosial yang kian berleluasa (Syahirah , Siti Fairuz & Mohd Edyazuan, 2022). Antara kata kunci yang paling banyak digunakan dalam enjin pencarian seperti Yahoo ialah perkataan ‘seks’ (Lee & Sarjit, 2008). Terdapat banyak laman sesawang yang berkaitan seks seperti pornografi, homoseksual (gay dan lesbian) yang sebenarnya dapat merosakkan pemikiran. Dalam kajian Syazwana, Noraini & Muhammad Fadzil (2021) mengatakan kebanyakan penyebab golongan belia gagal dalam pelajaran adalah disebabkan ketagihan internet (cyber mania). Golongan belia yang melayari internet ini lazimnya untuk mendapatkan hiburan yang lebih bebas tanpa kongkongan keluarga seperti permainan video (video games), pornografi, berkenalan (chit-chat) dan mengisi masa lapang dengan kegiatan yang tidak bermanfaat (Mohamad Kamil & Rahimin, 2009). Hal ini kelak dapat memberi kesan negatif kepada pembinaan modal insan yang terdiri daripada golongan belia yang merupakan aset negara. Impak media atau kepenggunaan teknologi maklumat dan komunikasi mampu memberikan kesan negatif dan menjejaskan kualiti hidup. Dengan demikian, disebabkan keseronokan yang melampaui batas, suka kepada sensasi dan popular dengan melayari laman sesawang yang berunsurkan hiburan menjadikan seseorang keruntuhan akhlak dan jati diri.

b. Sistem pendidikan

Dalam Unit Perancang Ekonomi mengatakan sistem pendidikan tinggi yang kurang mengikut arus dan tidak responsif dalam menghadapi perubahan dan inovasi berikutan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Sebilangan staf akademik yang tidak memanfaatkan teknologi baharu dalam aktiviti pengajaran menyebabkan pelajar tidak mampu seiring dengan perubahan dan keperluan industri. Selain itu, terdapat mentaliti dalam kalangan masyarakat yang menjadikan matlamat utama penglibatan mereka dalam pendidikan hanya untuk mendapat markah yang tinggi (Lee & Sarjit, 2008). Malah, program dan kursus pendidikan yang diwujudkan di universiti atau kolej, baik swasta mahupun awam menunjukkan lebih mengutamakan pasaran (market driven). Institusi pengajian tinggi merupakan platform pembinaan potensi diri (minat, bakat, kebolehan dan kecenderungan) dengan suasana persekitaran ilmiah yang mampu membina kepakaran pelajar sebagai persediaan membina kerjaya di pasaran kerja (Norhasni, 2014). Walau bagaimanapun, sistem pendidikan Malaysia masih belum mencapai mutu yang terbaik kerana pencapaian dan reputasi pelajar bukan hanya mempunyai kebolehan intelektual malah disertai juga dengan nilai manusiawi (Irma Wani et al., 2016). Dengan kata lain, pengajian tinggi bukan hanya bersifat kelayakan dan kelulusan akademik, tetapi mempunyai sisi aspek cara hidup yang lestari. Manakala di peringkat sekolah pula, karenah guru yang terlalu berfokus kepada peperiksaan dan perhatian yang diberikan kepada murid tertentu berdasarkan tahap pencapaian akademik boleh menyebabkan murid terpinggir hilang motivasi untuk belajar ((Syahirah, Siti Fairuz & Mohd Edyazuan, 2022).

Antara faktor yang mempengaruhi tahap motivasi pencapaian murid adalah guru (Nor Aroma, Puvaneswary & Zetty, 2021). Motivasi dianggap sebagai suatu proses yang mampu

(9)

memberikan kuasa dan arahan yang menggerakkan tingkah laku seseorang iaitu dengan adanya motivasi mampu meningkatkan prestasi akademik murid sekaligus dapat membangunkan modal insan dan kapasitinya untuk kelangsungan hidup kelak.

c. Ideologi

Cara hidup moden telah mengakibatkan pembangunan modal insan terjejas. Kehidupan kini yang semakin banyak dipengaruhi dengan corak berfikir yang boleh menghancurkan akhlak dan iman manusia (Syahirah i, Siti Fairuz & Mohd Edyazuan, 2022). Tambahan pula, fahaman sekulerisme dan liberalisme yang merupakan salah satu bentuk penjajahan mental (Mohamad Kamil, Rahimin & Muhammed Yusof, 2013) yang semakin merebak ke seluruh masyarakat akan menyebabkan hilang rasa hormat kepada pemimpin dan para agamawan. Dengan membawa slogan hak asasi yang melampaui batas tanpa ukuran undang-undang mampu menjadikan masyarakat kucar-kacir kerana tidak selari dengan budaya dan adat di Malaysia.

Rentetan dari hal ini, akhirnya masyarakat Malaysia hilang jati diri dan semakin menurun semangat patriotisme (Mohamad Kamil, Rahimin & Muhammed Yusof, 2013). Dalam kajian Sa’adi, Siti Arni & Hasan (2019) mengatakan terdapat perbezaan antara pembangunan modal insan Barat dan Islam terutama dalam aspek mencapai objektif dan matlamatnya iaitu Barat tiada unsur agama dan kerohanian yang bergantung sepenuhnya kepada pemikiran manusia.

Manakala model Islam berpegang teguh kepada prinsip di dalam Al-Quran dan Sunnah yang perlu bergantung kepada Tuhan melalui bimbingan agama. Matlamat akhir bagi mayarakat Islam ialah penciptaan insan di bumi sebagai khalifah adalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Kebanyakan masalah pembangunan modal insan terlihat masih belum seimbang kerana banyak berfokus kepada kemajuan dalam ilmu sains fizikal iaitu perkembangan budaya material dan bukan kepada sains sosial yang merujuk kepada budaya bukan material (Lee &

Sarjit, 2008). Oleh itu, untuk melahirkan tenaga kerja yang mempunyai minda kelas pertama, berpengetahuan, kreatif dan berinovasi, faktor pendidikan tetap menjadi agen utama yang memainkan peranan penting dalam sistem transformasi seseorang.

5. Analisis

Kerajaan telah membangunkan satu dasar pendidikan bagi membentuk pembangunan modal insan di Malaysia. Beberapa perubahan dilakukan di dalam sistem pendidikan bagi mengukuhkan jati diri dan kemahiran diri (soft skill) yang ada dalam diri seseorang.

Pembangunan modal insan sebenarnya bermula dari rumah di mana sebuah keluarga yang telah menerapkan nilai –nilai murni dalam diri anak- anak. Dari situlah perkembangan sahsiah seseorang anak akan membentuk jati diri sehingga akhirnya membentuk seorang insan yang baik akhlaknya. Namun tidak dinafikan, pengaruh dari media komunikasi dan ideologi juga memainkan peranan sehingga adakalanya menjadi halangan sehingga adakalanya seseorang itu terjerumus ke dalam aktiviti yang tidak sihat seperti ponteng, mencuri, merogol dan sebagainya.

Kementerian- kementerian tertentu seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar perlu membuat program serta menyelaras program bersama bagi memudahkan aktiviti yang boleh menjurus kepada pembangunan insan dapat dijalankan di masa hadapan. Program sebegini amat penting supaya anggota masyarakat sedar dan faham berkenaan aspirasi kerajaan.

Selain itu, Badan- badan Bukan kerajaan (NGO) dan orang persendirian juga boleh bersama- sama dengan pihak kerajaan untuk membangunkan modal insan negara dengan menganjurkan

(10)

program yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat seperti Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada tahun 2020 telah mengadakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan memberi sumbangan makanan lebih 340kg kepada masyarakat setempat yang mengalami masalah sewaktu pandemik (Kong & Yap, 2020). Malah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary sendiri telah memberikan biasiswa kepada pelajar- pelajar B40 untuk meneruskan pengajian masing- masing di mana- mana universiti di Malaysia atau di Universiti Antarabangsa Al- Bukhary (Jamliah, 2022). RHB Capital Berhad pula telah mengadakan program RHB-The Star Mighty Minds National Challenge dan Program Kepimpinan Pembangunan Pengayaan Pendidikan Pelajar bagi mewujudkan sikap kepimpinan serta mencungkil bakat pelajar supaya mereka lebih percaya diri di masa hadapan (Eclimo, 2019).

6. Kesimpulan

Pembangunan modal insan di Malaysia sebenarnya menyasarkan kepada pembentukan seseorang yang berdaya saing serta mampu mengharungi cabaran di masa hadapan yang sangat mencabar. Apabila Malaysia telah menerima pakai Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan (Agenda 2030) pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada 25 September 2015, ia merupakan satu tanggungjawab kerajaan untuk memimpin negara untuk pembangunan yang lebih mampan, berdaya tahan serta inklusif. Oleh itu, dasar ini bertepatan dengan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan. Pembangunan modal insan ini perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan aktif bagi menghasilkan masyarakat yang berdaya saing dan menjamin kehidupan generasi masa depan yang lebih baik dan harmoni.

Seluruh warga masyarakat perlu memainkan peranan masing- masing bagi memastikan kejayaan dapat dicapai. Pencapaian sebenar dalam dasar pembangunan modal insan ini adalah apabila masyarakat yang berjaya dibentuk di masa depan mempunyai jati diri yang tinggi serta dapat bersaing di peringkat dalam dan juga luar negara. Selain itu mereka mampu menguruskan emosi dengan baik dan mengurangi masalah- masalah sosial yang wujud pada masa kini.

Rujukan

Ahmad Mohd. Salleh. (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF: Metodologi dan Pedagogi Pendidikan. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Benar News. (19 Jun 2022). Remaja Malaysia Lapor Gurauan Lucah Guru Berdepan Siasatan Polis. https://www.benarnews.org/malay/berita/my-ain-polis-210805- 08052021162924.html.

Eclimo. (2019). Top 10 Corporate Social Responsibility (CSR) Examples in Malaysia.

https://www.eclimo.com/corporate-social-responsibility-csr-examples-malaysia Fadilah Mansor. (2006). Kualiti Kerja dalam Organisasi: Tinjaun dari Perspektif Pengurusan

Islam. Penerbit Universiti Malaya.

Azman Ibrahim. (2009). Dunia tanpa sempadan: cabaran terhadap pembangunan modal insan berdaya saing. Tinta, 17, 26-29.

Baharom Mohamad & Mohamad Johdi Salleh. (2019). Pembangunan modal insan sebagai satu pelaburan penting dalam konteks pembinaan negara. Prosiding “Seminar Pembangunan Modal Insan 2009”, Pusat Sumber Pendidikan Negeri, Pengkalan Chepa, 23-24 Mac, 1- 17.

Dani Salleh & Abdul Rahman Aziz. (2003). Asas Kefahaman Pengurusan Pembangunan.

Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.

(11)

Irma Wani Othman, M. Safuan Yusoff, Herlina Jupiter & Hasbullah Awang. (2016).

Dinamisme pendidikan tinggi: pembinaan modla insan antarabangsa. Journal of Education and Social Sciences, 5(2), 339-345.

Jamliah Abdullah. (28 Julai 2022). AIU becomes a lifeline for poor students to continue their studies - Syed Mokhtar. https://www.utusan.com.my/nasional/2022/03/aiu-jadi-talian- hayat-pelajar-miskin-sambung-pengajian-syed-mokhtar/

Kong, W. Y & Yap, E. (28 Julai, 2020). 10 Malaysian companies that give back to the community during Covid-19. https://www.optionstheedge.com/topic/people/10- malaysian-companies-give-back-community-during-covid-19

Lee Fok Yee & Sarjit S. Gill. (2008). Rukun Negara teras pembinaan modal insan: satu komentar. Pertanika J. Soc. Sci. & Hum., 16(1), 107-113.

Masitah Idris, Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Ahmad Sunawari Long & Nozira Salleh.

(2019). Pembangunan modal insan (PMI) dari perspektif Islam. Journal of Management and Operation Research, 2(1), 1-12.

Ma’rof, R. (2013). Pembangunan dan kemunduran komuniti peribumi: kes kemiskinan dalam komuniti orang asli dlm. Kemiskinan di Malaysia: Isu Fundamental Dan Paparan Realiti. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Mohamad Kamil Abd Majid, Rahimin Affandi Abd Rahim & Muhammed Yusof. (2013).

Pembangunan modal insan di Malaysia: analisis terhadap pendekatan Islam selepas negara merdeka. Jurnal Hadhari, 6(2), 15-34.

Mohamad Kamil Abd Majid & Rahimin Affandi Abd Rahim. (2009). Perubahan sosial dan impaknya terhadap pembentukan modal insan menurut Ibn Khaldun. Jurnal Hadhari, 1, 45-76.

Mohd Yusof, H. & Lukman, Z.M. (2002). Pembangunan Bandar Mapan dan Kualiti Hidup Masyarakat: Penelitian Sepintas Lalu, dlm. Lukman, Z.M, Impak Pembangunan Kualiti Hidup dan Persekitaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mohd Fauzi Hamat & Mohd Khairul Naim Che Nordin. (2012). Tinjauan kepentingan pembangunan modal insan di Malaysia. Jurnal Al-Tamaddun, 7(1), 75-89

Mohd Yaakob, M.F. (2018). Pendidikan Dasar Pendidikan. Pandangan Terhadap 1 Murid 1 Sukan. Jurnal Kepimpinan Pendidikan. 5(3): 1-9.

Michael. S, Ambotang A.S. Nazarudin, M.N. dan Andin (2021). Status Sosiekonomi: Satu Cabaran Penglibatan pelajar dalam Aktiviti Kokurikulum Sekolah Menengah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities. 6(6), 178-186.

Noor Hisham Md Nawi. (2017). Makna Nilai dalam Kehidupan. Kelantan: UMK.

Noor Najihan Jaafar. (2014). Metod Rasulullah dalam pembentukan modal insan. Diperoleh dari, https://oarep.usim.edu.my/jspui/handle/123456789/11536, dicapai pada 3 Julai 2022.

Nor Aroma Abu Bakar, Puvaneswary A/P Batmanathan & Zetty Nurzuliana Rashed. (2021). Tahap motivasi belajar dalam kalangan murid di dua buah sekolah di daerah Hilir Perak. Proceeding of the 8th International Conference on Management and Muamalah 2021 (e-ISSN:2756-8938), 667- 675.

Norhasni Zainal Abiddin. (2014). Senario pembangunan modal insan dalam pendidikan tinggi di Malaysia. Jurnal Kajian Pendidikan, 4(1), 95-104.

Rahmah Ismail, Ishak Yussof & Mohd. Nasir Mohd Saukani. (2011). Modal Insan dan Agihan Pendapatan di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rohana Yusof. (2003). Modenisasi dalam Konteks Pembangunan. Dalam Dani, S. & Abdul, R.A., Asas Kefahaman Pengurusan Pembangunan. Sintok: Universiti Utara Malaysia.

Sa’adi Awang, Siti Arni Basir & Hasan Al-Banna Mohamed. (2019). Pelaksanaan Program Pembangunan Modal Insan (PMI) di institusi Pengurusan Hal Ehwal Islam (PHEI): kajian kes di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Internationa Journal of Islamic and Civilizational Studies, 3, 9-31.

(12)

Shaik Abdullah Hassan Mydin, Abdul Salam Muhammad Shukri & Mohd Abbas Abdul Razak. (2020).

Peranan akhlak dalam kehidupan: tinjauan wacana akhlak Islam. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 21(1), 38-54.

Siti Fatimah Ahmad & Maimun Aqsha Lubis. (2015). Islam Hadhari dalam pendidikan pembangunan modal insan di Malaysia: satu analisa epistimologi. Jurnal Hadhari, 7(1), 1-18.

Syahirah Rosli, Siti Fairuz Mahmud dan Mohd Edyazuan Azni. (2022). Mengintegrasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam membangunkan modal insan bersepadu. Jurnal Dunia Pendidikan, 4(1), 86-103.

Syazwana Aziz, Noraini Abdol Raop & Muhammad Fadzil Ahmad Shukor. (2021). Pengaruh faktor teknologi maklumat dan komunikasi terhadap kualiti hidup dalam kalangan belia.

Jurnal ‘Ulwan, Special Issue 1: Kolokium Penyelidikan Ijazah Tinggi, 6(1), 110-126.

Sinar Harian. (19 Jun 2022). 38 kes buli di sekolah dalam tempoh 4 bulan.

https://www.sinarharian.com.my/article/203716/BERITA/Semasa/38-kes-buli-di- sekolah-dalam-tempoh-4-bulan

Utusan Malaysia. (19 Jun 2022). 21316 murid berhenti sekolah: Segera lakukan Pelan Pemulihan Pendidikan. https://www.utusan.com.my/terkini/2021/12/21316-murid- berhenti-sekolah-segera-lakukan-pelan-pemulihan-pendidikan/

Zafir Mohd Makhbul & Mohd Nazmy Abd Latif. (2018). Modal insan dalam landskap industri 4.0. Proceedings of The 3rd CHREST International Conference, UKM, 499-506.

Referensi

Dokumen terkait