Jurnal Personalia Pelajar 24(1): 1-10
Pembelajaran Berasaskan Projek terhadap Penguasaan Kemahiran Pemikiran Sejarah (The Using Project-based Learning Strategy on Historical Thinking Skills)
MUHAMMAD ZAIM NAJMI MOHD RAHIM*, ANUAR AHMAD & NORASMAH OTHMAN
ABSTRAK
Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) merupakan satu konsep fundamental dalam disiplin Sejarah dan berperanan memperkembang kognitif pelajar dalam memahami sesebuah peristiwa bersejarah. Namun, kaedah pengajaran guru masih lemah dalam menerapkan KPS. Kebanyakan aktiviti pengajaran tidak mencabar kebolehan kognitif pelajar. Ini mengakibatkan pelajar sukar menguasai KPS dengan baik. Kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) merupakan pembelajaran aktif yang sesuai untuk menggalakkan pemikiran kreatif dan kritis pelajar. Kajian bertujuan bagi mengenal pasti kesan PBP terhadap penguasaan KPS dalam konteks pelajar sekolah rendah. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi-eksperimental berbentuk ujian pra dan pos. Seramai 60 orang pelajar Tahun Enam di sebuah sekolah telah dipilih secara pensampelan mudah dan dibahagikan kepada kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Instrumen ujian pencapaian telah dibina sendiri oleh pengkaji serta disahkan oleh empat pakar penilai. Perisian IBM SPSS Statistics 23 telah digunakan dalam menganalisis data kajian secara deskriptif dan inferensi. Ujian non-parametrik iaitu ujian Wilcoxon Matched-Pairs Signed Ranks dan Ujian Mann-Whitney telah digunakan dalam menganalisis data. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap penguasaan KPS kumpulan rawatan yang menerima kaedah PBP adalah lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan yang menerima kaedah pengajaran tradisional. Ini menunjukkan bahawa kaedah PBP memberikan kesan dari segi peningkatan yang lebih tinggi terhadap tahap penguasaan KPS pelajar berbanding kaedah tradisional. Oleh itu, kajian ini dapat menjadi sumber rujukan kepada guru Sejarah dalam mengenal pasti kaedah pengajaran yang sesuai bagi menerapkan KPS dengan berkesan serta menarik minat pelajar terhadap pembelajaran Sejarah.
Kata kunci: Kemahiran Pemikiran Sejarah, Pembelajaran Berasaskan Projek, Sejarah
ABSTRACT
Historical Thinking Skills (HTS) is a fundamental element in History which functions to enhance cognitive skills among students during historical event-related lessons. However, the teaching methods among the teachers are still weaken whereas the lessons still lacks of challenging the students thinking skills. Thus, the students are having difficulties to master the HTS. Project-based Learning (PBL) is an active learning which convenient to encourage the creative and critics skills among students. The aim of the study is to identify the effects of using PBL strategy on HTS acquisition among primary school students. A quasi-experimental, pre-test and post-test with treatment and control group was implemented on 60 Year Six students in a primary school located in Sibu, Sarawak which was selected using convenience samplings. The HTS level of the students was collected using multiple choice questions which created by the researcher and has been verified by four experts. The data was analysed using IBM SPSS Statistics 23. Two non-parametric test which are Mann-Whitney test and Wilcoxon Matched-Pairs Signed Ranks test were used to analyse the data. The data showed that the HTS acquisition for the treatment group (with PBP strategy) is higher than the control group (with conventional strategy). The findings indicated that the PBP strategy shown higher effects on the HTS acquisition among the students compared to the conventional strategy.
Hence, this research suggests to be a reference for the History teachers in choosing the suitable teaching methods to enhance HTS among the students and also to increase their interest towards History lessons.
Keywords: Historical Thinking Skills, Project-based Learning, History
PENGENALAN
Pelaksanaan pelbagai kaedah pembelajaran aktif yang berpusatkan pelajar merupakan satu perubahan yang perlu dilakukan oleh guru dalam usaha membudayakan daya fikir pelajar berhubung ilmu pengetahuan yang dipelajari. Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) merupakan sejenis pembelajaran aktif yang sesuai untuk merangsang pemikiran kreatif dan kritis serta kemahiran sosial pelajar (Nitche Isa Medina & Mai Shihah, 2017). PBP telah diaplikasikan dalam pelbagai bidang dan tahap pembelajaran daripada kanak-kanak sehinggalah pembelajaran yang melibatkan situasi pengalaman orang dewasa (Levstik & Barton, 2001).
Proses pembelajaran aktif seperti kaedah projek dapat menarik minat, menghidupkan suasana pembelajaran serta membantu pelajar menghayati pembelajaran Pendidikan Sejarah di dalam bilik darjah (Abdul Razaq et. al., 2013).
Seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan perkembangan amalan pembelajaran abad ke- 21, mata pelajaran Sejarah berperanan sebagai satu subjek pembelajaran yang berupaya mencungkil kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar tanpa meminggirkan pemupukan nilai patriotisme sebagai fokus utama. Pendidikan Sejarah memberi pendedahan kepada pelajar untuk lebih kreatif dan kritis dalam mengaplikasi ilmu pengetahuan dan tidak hanya mengingati kandungan peristiwa semata- mata (Bernhard, 2017). Fungsi Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) sebagai satu kemahiran penting yang perlu dikuasai pelajar dalam disiplin Pendidikan Sejarah bertujuan membantu mereka untuk meneroka fakta atau idea yang bersifat kompleks dan abstrak yang membolehkan pelajar memahami aspek kehidupan manusia silam sehingga ke hari ini secara kritis dan imaginatif (Kaviza, 2019; Talin, 2015).
KPS merupakan satu konsep fundamental dan prosedur yang mengiringi serta membentuk struktur dalam disiplin Sejarah (Gerard, 2012). Penerapan KPS dalam sesebuah struktur kurikulum Pendidikan Sejarah berupaya memperkembang kognitif pelajar dalam memahami sesebuah peristiwa bersejarah yang dipelajari. Pendidikan Sejarah di Australia menerusi The Australian Curriculum: History menekankan penguasaan KPS sebagai asas untuk memahami peristiwa atau fakta bersejarah (ACARA, 2010 dalam Gerard, 2012). Sukatan Pelajaran Sejarah di Amerika Syarikat melalui The AP U.S. History pula memfokuskan KPS sebagai satu elemen yang membantu pelajar dalam meneroka sumber dan bukti, membuat perkaitan dan penghujahan berkenaan sesuatu peristiwa bersejarah (College Board, 2019).
KPS dalam kurikulum Pendidikan Sejarah di England pula memfokuskan ke arah memahami punca dan signifikan peristiwa, perubahan serta interpretasi peristiwa sejarah (Chapman, 2017). Kurikulum Sejarah di Malaysia menggariskan peranan KPS sebagai proses kognitif yang membantu pelajar memahami proses penggabungjalinan setiap peristiwa lalu yang dilakukan ahli sejarah berdasarkan pembuktian dalam menentukan kepentingan sesuatu peristiwa ke arah meningkatkan pemikiran kreatif dan kritis (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2014). Model KPS di Malaysia merangkumi lima elemen iaitu memahami kronologi, meneroka bukti, membuat interpretasi, membuat imaginasi, dan membuat rasionalisasi.
Pernyataan Masalah
Penerapan elemen KPS banyak menyentuh praktikaliti pendidikan Sejarah yang memerlukan guru serta pelajar supaya lebih aktif, kritis, kreatif dan inovatif dalam melaksanakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan Pendidikan Sejarah (Ahmad Zulhusni & Mohd Mahzan, 2018). Namun begitu, kaedah pengajaran guru Sejarah masih lemah dalam menerapkan KPS dengan kebanyakan aktiviti pengajaran kurang mencabar keupayaan kognitif dan afektif pelajar (Fazila Norbaini &
Mohd Mahzan, 2019). Ini mengakibatkan kemerosotan pencapaian Pendidikan Sejarah dalam kalangan pelajar.
Kemerosotan pencapaian Sejarah adalah indikator kepada perlunya satu kaedah pembelajaran kreatif bagi subjek ini (Nurhidayah, 2020).
Keadaan ini bertambah rumit dengan wujud pandangan negatif berhubung Pendidikan Sejarah dalam kalangan pelajar. Persepsi pelajar bahawa Pendidikan Sejarah adalah subjek yang membosankan timbul kerana amalan dan corak pengajaran guru yang masih tertumpu kepada penerangan sehala serta kurang melibatkan pelajar dalam proses pemikiran kritis (Mohamad Ikhwan & Anuar, 2018). Pelajar juga menganggap Sejarah sebagai subjek yang tidak menarik dan ketinggalan kerana tertumpu kepada peristiwa masa lalu serta mereka mengalami kesukaran dari segi menghafal pelbagai fakta berkaitan peristiwa bersejarah (Mohamad Johdi & Ariegusrini, 2009).
Permasalahan ini menyebabkan pelajar sukar menguasai KPS. Kelemahan pelajar dalam menguasai KPS mengakibatkan mereka gagal menguasai Pendidikan Sejarah dengan baik. Ini disebabkan penguasaan KPS seseorang pelajar itu akan memberi kesan terhadap pencapaiannya dalam mata pelajaran Sejarah (Kaviza, 2019).
Objektif Kajian
Pelaksanaan kaedah PBP merupakan kaedah pembelajaran alternatif untuk meningkatkan tahap penguasaan KPS pelajar. Oleh itu, tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti kesan PBP terhadap penguasaan KPS dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Maka, berdasarkan tujuan tersebut, objektif kajian ini adalah seperti berikut:
i. Untuk mengenal pasti perbezaan tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan rawatan berdasarkan N gain score sebelum dan selepas pelaksanaan kaedah PBP.
ii. Untuk mengenal pasti perbezaan tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan kawalan berdasarkan N gain score sebelum dan selepas pelaksanaan kaedah pengajaran tradisional.
iii. Untuk mengenal pasti perbezaan tahap penguasaan KPS antara kumpulan rawatan dan iv. kumpulan kawalan berdasarkan N gain score
selepas kaedah PBP dan pengajaran tradisional dilaksanakan.
Sorotan Literatur
Kaedah PBP berfokuskan kepada proses penghasilan sesebuah produk atau ciptaan. Kaedah ini adalah satu proses pembelajaran yang meningkatkan penglibatan, motivasi dan menambah baik kandungan pembelajaran pelajar melalui kepelbagaian proses, kandungan dan produk yang dihasilkan (Schlemmer & Schlemmer, 2008). Kesediaan, minat dan profil pembelajaran pelajar dari segi tahap pemahaman mereka dapat dikenal pasti sepanjang proses penghasilan projek tersebut. PBP
juga merupakan satu pendekatan yang meletakkan pelajar sebagai fokus utama proses pembelajaran dan mempersiapkan mereka dengan situasi pengalaman sebenar yang berkaitan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan seharian (Tasci, 2014).
Dalam sesebuah PBP pelajar akan menghasilkan pelbagai projek atau artifak dengan cara mengaplikasikan pengetahuan mereka serta berkongsi kaedah penyelesaian masalah tersebut dengan orang lain (Bender, 2012). Apabila PBP dilaksanakan dalam bilik darjah, pelajar berpeluang untuk belajar menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan dunia sebenar dengan mereka yang berperanan sebagai konsultan dalam merangka strategi penyelesaian sesuatu tugasan yang diberikan (Nurul Farhana et. al., 2017). PBP turut menggalakkan motivasi untuk belajar, semangat kerja berpasukan dan kemahiran kolaboratif serta turut dicadangkan sebagai salah satu teknik pengajaran yang sesuai untuk pembelajaran abad ke-21 (Cole &
Wasburn-Moses, 2010).
Dalam konteks kajian ini, pengkaji menggunakan Model Fasa Pengalaman PBP yang dirangka oleh Bender (2012). Bender (2012) mendefinisikan PBP sebagai proses pembelajaran yang menggunakan bahan bersifat asli, berkaitan dengan keadaan dunia sebenar, menggalakkan tahap motivasi yang tinggi serta penglibatan soalan, tugasan atau masalah bagi mengajar pelajar tentang kandungan akademik dalam konteks bekerjasama secara koperatif bagi menyelesaikan masalah. Model PBP oleh Bender (2012) ini mengandungi enam fasa dalam pelaksanaan mewujudkan sesebuah pengalaman PBP seperti dalam Rajah 1 di bawah.
Model Fasa Pengalaman PBP oleh Bender (2012) ini bermula dengan Perancangan Kumpulan.
Pelajar akan terlebih dahulu dibahagikan mengikut kumpulan dan diberikan tugasan yang perlu dihasilkan.
Tugasan itu seharusnya memerlukan penghasilan bahan akhir projek iaitu dalam bentuk artifak atau produk. Fasa kedua adalah fasa Pencarian Maklumat. Ketika fasa ini, setiap ahli kumpulan akan berkerjasama mencari bahan dan maklumat berkaitan tugasan. Pencarian bahan akan lebih baik sekiranya menggunakan pelbagai sumber seperti bahan bercetak (surat khabar, ensiklopedia dan majalah), media elektronik (video, audio) dan medium atas talian (seperti Youtube, Google dan Pinterest).
Pada fasa ini, pelajar sebenarnya sudah mula belajar untuk mencari dan memahami isi kandungan topik yang berkaitan dengan tugasan.
Fasa ketiga adalah fasa Ciptaan, Perkembangan dan Penilaian Awal Hasil Projek. Pada peringkat ini, pelajar telah mula menghasilkan prototaip artifak atau produk berdasarkan carian maklumat yang dilakukan ketika fasa kedua. Setiap ahli kumpulan juga akan membuat penilaian awal terhadap prototaip tersebut.
Fasa keempat adalah Fasa Pencarian Maklumat Kedua. Fasa ini hampir serupa dengan fasa yang kedua tetapi carian maklumat pada peringkat ini lebih berstruktur dan bersifat spesifik kerana setiap kumpulan sudah mengetahui elemen yang perlu ditambah baik dalam projek masing-masing.
Fasa kelima adalah Perkembangan Persembahan Akhir. Pada peringkat ini, setiap kumpulan sudah berjaya menghasilkan 90% produk atau artifak yang diarahkan oleh guru. Pada fasa ini juga, pelajar akan membuat pengemaskinian akhir terhadap produk serta memastikan semua butiran maklumat tentang produk difahami oleh semua ahli kumpulan. Peringkat terakhir dalam model ini adalah fasa Pameran Produk.
Pada peringkat ini, setiap produk atau hasil projek akan dipaparkan dan dikongsikan kepada semua pelajar dalam bilik darjah. Proses penilaian akhir oleh guru dan juga penilaian rakan sebaya akan dilakukan pada peringkat ini. Semua pelajar akan belajar untuk menerima kekuatan dan kekurangan berkenaan projek yang dilakukan.
Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS)
Model KPS dalam Kurikulum Pendidikan Sejarah Sekolah Rendah merangkumi lima elemen iaitu memahami kronologi, meneroka bukti, membuat interpretasi, membuat imaginasi, dan membuat rasionalisasi (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2014). Kemahiran memahami kronologi merupakan kemahiran asas dalam KPS. Kemahiran ini merujuk
kepada urutan waktu dan peristiwa bersejarah. Melalui kemahiran ini, pelajar didedahkan dengan keupayaan untuk memahami perkembangan sesuatu peristiwa.
Kronologi berperanan sebagai ciri utama dalam peristiwa bersejarah dan berperanan untuk mengatur naratif peristiwa serta memberikan dimensi yang bersesuaian kepada isu yang dibincangkan (Warring, 2010).
Kemahiran meneroka bukti pula adalah keupayaan individu untuk mengenal pasti dan membuat perbandingan sesuatu sumber primer dan sumber sekunder melalui pelbagai kaedah seperti lisan, bertulis atau arkeologi (Wright-Maley, 2015). Proses ini memerlukan individu mengutarakan sebanyak mungkin pertanyaan dan mempersoalkan maklumat yang ditemui dengan kemahiran menyiasat, menyoal, menaakul dan mentafsir sesuatu peristiwa atau tokoh sejarah (De la Paz et. al., 2016).
Kemahiran membuat interpretasi pula adalah keupayaan pelajar untuk menghasilkan tafsiran berhubung sesuatu peristiwa sejarah dalam bentuk memberikan ulasan berdasarkan pembuktian sejarah yang dikenal pasti dan telah disahkan. Membuat interpretasi adalah hasil terjemahan dan pemahaman tentang peristiwa lalu yang dilakukan oleh seseorang individu pada masa tertentu berdasarkan motif individu tersebut dan dilakukan hasil daripada siasatan terhadap rekod masa lalu (Rusen, 2005).
Kemahiran membuat imaginasi adalah keupayaan pelajar untuk mendekatkan diri dengan sesuatu situasi peristiwa bersejarah. Membuat imaginasi peristiwa bersejarah adalah satu proses membina semula gambaran, idea dan konsep yang menghubungkan sesuatu peristiwa yang benar-benar terjadi dan apa yang difikirkan oleh seseorang individu (Collingwood, 1994).
Kemahiran terakhir dalam KPS ialah membuat rasionalisasi. Kemahiran membuat rasionalisasi melibatkan keupayaan pelajar menggunakan akal fikiran dalam membuat pertimbangan yang wajar bagi menyelesaikan sesuatu konflik atau menilai sesuatu peristiwa bersejarah. Kemahiran ini memerlukan pelajar untuk mahir dalam mengumpul maklumat, merangka hipotesis, menentukan signifikan bukti serta membuat inferens berdasarkan data yang dikumpul (Izhab &
Muhamad Zaid, 2018). Kemahiran ini akan membantu pelajar untuk menilai sesuatu isu atau permasalahan dalam peristiwa bersejarah dengan sewajarnya.
Sehubungan dengan itu, satu kaedah pengajaran yang bersistematik dan berfokuskan kepada pelajar adalah penting bagi memastikan kejayaan penerapan sesebuah elemen KPS. Perancangan aktiviti pengajaran berpusatkan pelajar dan dilengkapi unsur
kreativiti membolehkan penerapan KPS dilakukan dengan berkesan (Phriscilla & Anuar, 2018). Kaedah PBP memberikan banyak impak positif terhadap proses pembelajaran individu dari segi sikap, penglibatan, tahap penguasaan isi pengetahuan serta motivasi (Aiedah, 2019; Cole & Wasburn-Moses, 2010).
Oleh itu, PBP berpotensi untuk menjadi satu kaedah pengajaran yang sesuai bagi menerapkan KPS dalam kalangan pelajar.
METODOLOGI
Reka bentuk kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif berbentuk kuasi eksperimental. Reka bentuk kuasi eksperimental sesuai dijalankan apabila melibatkan kajian berkaitan keberkesanan sesuatu program, kaedah atau modul pengajaran yang tidak dapat menggunakan reka bentuk eksperimen tulen terutamanya dalam situasi sebenar di sekolah dengan sampel tidak boleh dipilih secara rawak (Bacotang, 2014).
Populasi kajian adalah melibatkan pelajar- pelajar Tahun Enam di sebuah sekolah rendah di daerah Sibu, Sarawak. Sampel kajian melibatkan seramai 60 orang pelajar daripada dua buah kelas Tahun Enam.
Kedua-dua buah kelas ini dipecahkan kepada dua kumpulan dengan 30 orang pelajar daripada kelas pertama ditempatkan sebagai kumpulan rawatan manakala 30 orang pelajar daripada kelas kedua ditempatkan sebagai kumpulan kawalan. Pemilihan sampel adalah berbentuk pensampelan mudah (convenience sampling). Kaedah pensampelan ini dipilih kerana pengkaji terikat dengan sistem susunan dan jadual kelas yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Pemilihan sampel yang dilakukan berdasarkan keselesaan dan kumpulan sedia ada adalah sesuai dalam kajian berbentuk kuasi-eksperimental (Ng dan Fong, 2001).
Kaedah pengujian pra dan pasca (pre-post- test) dengan menggunakan instrumen ujian pencapaian telah dipilih bagi mengumpulkan data berhubung tahap penguasaan KPS pelajar. Ujian pencapaian sesuai bagi mengukur kemahiran atau pengetahuan individu dalam sesuatu subjek atau bidang dan digunakan untuk menilai hasil pembelajaran atau keberkesanan pengajaran (Noraini, 2013). Bagi prosedur pengumpulan data kajian, pada minggu pertama, kedua-dua kumpulan diberikan ujian pra. Pada minggu kedua hingga lima, kumpulan rawatan menjalani aktiviti pembelajaran menggunakan kaedah PBP manakala kumpulan kawalan menggunakan kaedah pengajaran tradisional iaitu merujuk kepada kaedah pengkuliahan dan
menggunakan buku teks sahaja (Havice, 1999). Ujian pasca diberikan sebulan selepas ujian pra dijalankan, selari dengan cadangan Campbell & Stanley (1963) bahawa tempoh sebulan, enam bulan atau setahun selepas ujian pra dijalankan merupakan tempoh masa yang sesuai untuk sesebuah ujian pasca. Kedua-dua kumpulan dibimbing oleh tenaga pengajar yang sama.
Item soalan ujian pencapaian telah dibina sendiri oleh pengkaji dengan berasaskan lima elemen KPS dan tema Kemakmuran Negara Kita dalam sukatan pelajaran Sejarah Tahun Enam. Bagi tujuan kesahan kandungan instrumen, empat orang pakar penilai telah dirujuk seperti disarankan oleh Lynn (1986) bahawa jumlah minimum tiga orang pakar diperlukan dalam menilai sesuatu kandungan instrumen. Empat orang panel pakar yang terdiri daripada guru cemerlang Sejarah dan pensyarah cemerlang dari Institut Pendidikan Guru tempatan dipilih bagi menilai instrumen. Kriteria pemilihan pakar penilai ini adalah berpengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun dalam bidang pengajaran Pendidikan Sejarah dan juga mahir dalam menyediakan kertas soalan peperiksaan Sejarah.
Nilai rumusan keseluruhan hasil rujukan pakar penilai terhadap item ujian pencapaian mencatatkan purata 92.5% bermaksud item ujian diterima dan mempunyai kesahan kandungan yang tinggi.
Instrumen ujian pencapaian ini juga memiliki nilai kebolehpercayaan Kuder Richardson 20 iaitu 0.78 yang dianggap baik (Pallant, 2001). Di samping itu, item dalam ujan pencapaian ini sederhana dari segi nilai indeks kesukaran iaitu antara 0.30 hingga 0.69 (Thirakunkovit, 2016). Nilai indeks diskriminasi bagi setiap item soalan juga lebih daripada 0.4 yang bermaksud item soalan mempunyai diskriminasi positif yang tinggi serta diterima bagi kajian ini (Hazrul et. al., 2016).
Perisian IBM Statistical Packages for Social Science (SPSS) Statistics 23 telah digunakan bagi menganalisis dapatan ujian pencapaian. Ujian non- parametrik telah digunakan bagi menganalisis dapatan kajian disebabkan pemilihan sampel adalah tidak rawak (Sullivan, 2017). Ujian Wilcoxon Matched- Pairs Signed Ranks digunakan bagi mengenal pasti perbezaan min skor tahap penguasaan KPS sebelum dan selepas kaedah pengajaran dijalankan ke atas setiap kumpulan. Ujian Mann-Whitney digunakan bagi mengenal pasti perbezaan min skor tahap penguasaan KPS antara kumpulan kawalan dan rawatan. Nilai indeks aras signifikan Cronbach Alpha bernilai 0.05 telah digunakan untuk membuat analisis inferensi kajian. Menurut Pallant (2001), nilai Cronbach Alpha 0.05 adalah nilai yang sesuai digunakan untuk analisis kajian dalam bidang sains sosial dan pendidikan.
DAPATAN KAJIAN Objektif Kajian Satu
Bagi menjawab objektif kajian satu, pengkaji telah membentuk hipotesis nul (Ho) yang diuji pada aras kesignifikan (p=0.05) seperti berikut:
Ho1 : Tidak terdapat perbezaan tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan rawatan berdasarkan N
gain score sebelum dan selepas pelaksanaan kaedah PBP.
Berdasarkan Jadual 1, purata skor tahap penguasaan KPS bagi murid dalam kumpulan rawatan (menggunakan kaedah PBP) telah meningkat dalam ujian pasca dengan nilai 74.83% berbanding 62.13%
dalam ujian pra. Terdapat peningkatan skor sebanyak +12.70 dalam ujian pasca selepas kaedah PBP dilaksanakan.
Berdasarkan keputusan ujian Wilcoxon Matched-Pairs Signed Ranks dalam Jadual 2 melaporkan terdapat perbezaan yang signifikan berhubung tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan rawatan berdasarkan N gain score bagi sebelum dan selepas pelaksanaan kaedah PBP dengan nilai W (29) = 4.79, p
< 0.05. Justeru, hipotesis nul 1 berjaya ditolak. Maka, dapat dirumuskan bahawa tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan rawatan adalah lebih tinggi dalam ujian pasca berbanding ujian pra. Ini menunjukkan bahawa kaedah PBP dapat meningkatkan tahap penguasaan KPS dalam kalangan pelajar.
Objektif Kajian Dua
Bagi menjawab objektif kajian dua, pengkaji telah membentuk hipotesis nul (Ho) untuk diuji pada aras kesignifikan (p=0.05) seperti berikut:
Ho2 : Tidak terdapat perbezaan tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan kawalan berdasarkan N gain score sebelum dan selepas pelaksanaan
kaedah tradisional.
Berdasarkan Jadual 3, purata skor tahap penguasaan KPS bagi murid dalam kumpulan kawalan (menggunakan kaedah tradisional) telah meningkat dalam ujian pasca dengan nilai 62.50% berbanding 61.57% dalam ujian pra. Terdapat peningkatan skor sebanyak +0.93 dalam ujian pasca selepas kaedah tradisional dilaksanakan.
Berdasarkan keputusan ujian Wilcoxon Matched-Pairs Signed Ranks dalam Jadual 4 melaporkan bahawa wujud perbezaan yang signifikan berhubung tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan rawatan berdasarkan N gain score bagi sebelum dan selepas pelaksanaan kaedah tradisional dengan nilai
W (29) = 2.21, p < 0.05. Justeru, hipotesis nul 2 berjaya ditolak. Maka, dapat dirumuskan bahawa tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan kawalan adalah lebih tinggi dalam ujian pasca berbanding ujian pra. Ini menunjukkan bahawa kaedah tradisional juga berjaya meningkatkan tahap penguasaan KPS pelajar.
Objektif Kajian Tiga
Bagi menjawab objektif kajian tiga, pengkaji telah membentuk hipotesis nul (Ho) untuk diuji pada aras kesignifikan (p=0.05) seperti berikut:
Ho3 : Tidak terdapat perbezaan tahap penguasaan KPS antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan berdasarkan N gain score selepas kaedah PBP dan pengajaran tradisional dilaksanakan.
Berdasarkan Jadual 5, purata skor tahap penguasaan KPS dalam ujian pasca bagi murid dalam kumpulan rawatan lebih tinggi dengan nilai 74.83%
berbanding kumpulan kawalan iaitu 62.50%. Selain itu, tahap penguasaan KPS kedua-dua kumpulan turut meningkat selepas kedua-dua kaedah dilaksanakan.
Namun begitu, perbezaan skor kumpulan rawatan lebih besar iaitu peningkatan skor +12.70 berbanding kumpulan kawalan yang hanya mencatatkan nilai +0.93.
Berdasarkan keputusan ujian Mann-Whitney dalam Jadual 6 melaporkan bahawa wujud perbezaan yang signifikan berhubung tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan rawatan dan kawalan berdasarkan N gain score selepas kaedah PBP dan pengajaran tradisional dilaksanakan dengan nilai W (58) = 5.86, p
< 0.05. Justeru, hipotesis nul 3 berjaya ditolak. Maka,
dapat dirumuskan tahap penguasaan KPS kumpulan rawatan adalah lebih tinggi dibandingkan dengan kumpulan kawalan selepas kaedah PBP dan pengajaran tradisional dilaksanakan. Ini menunjukkan bahawa kaedah PBP memberikan peningkatan yang lebih tinggi terhadap tahap penguasaan KPS pelajar berbanding kaedah tradisional.
Perbincangan
Dapatan kajian mendapati bahawa tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan rawatan yang diajar dengan kaedah PBP adalah lebih tinggi dalam ujian pasca berbanding ujian pra. Hal ini menunjukkan bahawa kaedah PBP memberikan kesan positif dengan meningkatkan tahap penguasaan KPS dalam kalangan pelajar. Dapatan ini seiring dengan kajian lepas berkaitan penggunaan PBP dalam pengajaran berbentuk kemahiran oleh Nitche Isa Medina & Mai Shihah (2017) serta Monica Laina & Zamri (2019) yang membuktikan bahawa kaedah Project-based Learning yang dilaksanakan dengan langkah yang bersistematik dapat meningkatkan kemahiran dan pencapaian akademik pelajar berbanding penggunaan kaedah pembelajaran tradisional. Dapatan kajian turut mengukuhkan keberkesanan kaedah PBP berasaskan model Fasa Pengalaman PBP oleh Bender (2012) dalam menghasilkan sesebuah output pengajaran dan pembelajaran. Guru hendaklah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka berhubung kaedah PBP. Dengan ini, mereka berupaya memberikan impak yang optimum dalam melaksanakan kaedah PBP dalam Pendidikan Sejarah.
Dapatan kajian turut mendapati bahawa purata skor tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan kawalan yang diajar dengan kaedah tradisional juga meningkat dalam ujian pasca berbanding ujian pra.
Namun, perbezaan atau peningkatan skor adalah kecil. Ini membuktikan bahawa kaedah tradisional yang menggunakan cara pengkuliahan dan buku teks sahaja (Havice, 1999) kurang memberi impak yang besar terhadap tahap penguasaan KPS pelajar. Namun begitu, kaedah tradisional bukanlah satu kaedah yang langsung tidak relevan dan tidak boleh diguna pakai.
Kaedah tradisional berbentuk kuliah yang disampaikan dengan baik membolehkan guru memperkenalkan konsep yang baharu dan mengorganisasi idea yang kompleks (Cantillon, 2003). Kaedah kuliah juga dapat menyampaikan maklumat yang banyak dalam masa yang singkat, menyampaikan secara langsung bagi informasi yang sukar diperolehi pelajar serta membolehkan kawalan sepenuhnya oleh guru dari segi kandungan, dan arah maklumat yang disampaikan (Alizah & Zamri 2015).
Dapatan kajian turut mendapati bahawa purata skor tahap penguasaan KPS ke atas kumpulan rawatan yang diajar dengan kaedah PBP adalah lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan yang diajar dengan kaedah tradisional. Hal ini turut dikukuhkan dengan perbezaan skor tahap penguasaan KPS bagi
kumpulan rawatan mencatatkan nilai yang lebih besar iaitu +12.70 berbanding kumpulan kawalan yang mencatatkan nilai +0.93. Ini membuktikan bahawa PBP memberikan impak yang lebih besar terhadap output pembelajaran yang berfokuskan penguasaan kemahiran pelajar. Kaedah PBP membolehkan objektif berbentuk kemahiran tercapai melalui aktiviti amali (hands on) yang dilakukan pelajar sepanjang proses pembelajaran, (Quint & Condliffe, 2018).
KESIMPULAN
Dapatan kajian membuktikan bahawa PBP berpotensi dalam meningkatkan tahap penguasaan KPS pelajar. Oleh itu, kajian ini dapat menjadi rujukan kepada pendidik Sejarah dalam mengenal pasti kaedah pengajaran yang sesuai bagi menerapkan KPS dengan berkesan serta menarik minat pelajar terhadap pembelajaran Sejarah.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberikan latihan intensif secara berterusan kepada guru-guru Sejarah serta memberi galakan agar mereka membudayakan PBP yang berpusatkan pelajar dalam amalan pengajaran dan pembelajaran harian mereka.
Guru-guru Sejarah juga hendaklah sentiasa berani dan terbuka untuk cuba melaksanakan kaedah PBP ini.
Tidak dinafikan bahawa isu kekangan masa yang tidak mencukupi sering menjadi polemik kepada kesukaran guru untuk melaksanakan kaedah ini. Namun, guru hendaklah kreatif dalam merancang aktiviti pengajaran dan berani untuk mencuba sesuatu yang baru supaya murid berupaya merasai pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan.
PBP yang dilaksanakan dalam Pendidikan Sejarah berupaya memperkembangkan potensi pelajar dari aspek pemikiran kritikal, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti. PBP juga sangat sesuai dilaksanakan dalam mata pelajaran Sejarah bagi mengukuhkan KPS para pelajar khususnya dalam menganalisis dan menilai sesuatu peristiwa bersejarah yang dipelajari. Maka, di sinilah pentingnya peranan guru Sejarah dalam menyediakan sebuah pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, dekat dengan kehidupan seharian, serta berupaya mencungkil pemikiran kritis dan kreatif untuk para pelajar. Bagi merealisasikan hasrat murni ini, guru-guru hendaklah proaktif dalam melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran menggunakan teknologi, berani mencuba serta sedia beralih daripada kaedah pengajaran tradisional kepada strategi pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 (Muhamad Alif & Anuar, 2018).
RUJUKAN
Abdul Razaq Ahmad, Ahamad Rahim & Ahmad Ali Seman. 2013. Hubungan Gaya Pembelajaran Aktif Ke Arah Meningkatkan Penghayatan Pembelajaran Sejarah. Himpunan Penyelidikan Pendidikan Serantau 2013, hlm. 271 – 283.
ACARA. 2010. The Australian Curriculum: History.
http://www.australiancurriculum.edu.au/ History/
Rationale. [15 September 2020].
Ahmad Zulhusni Mansor, Mohd Mahzan Awang. 2018.
Penggunaan Kemahiran Pemikiran Sejarah(KPS) Dalam Kalangan Guru Sejarah di Sekolah Menengah. Prosiding Seminar Kebangsaan Pascasiswazah Sains Sosial dan Kemanusiaan, hlm. 236-246.
Aiedah Abdul Khalek. 2019. Exploring the Use of Project-Based Learning on Student Engagement at Taylor’s University, Malaysia. (12 - 20). Jurnal Pendidikan Bitara UPSI 5(1): 12-20. https://
ejournal.upsi.edu.my/index.php/JPB/article/
view/2403. [22 Ogos 2020].
Alizah Lambri & Zamri Mahamod. 2015. Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berpusatkan Pelajar Di Institusi Pengajian Tinggi: Pelaksanaan Dan Penerimaan Pelajar. Jurnal Personalia Pelajar 18(1): 1 – 9.
Bacotang, J. 2014. Pelaksanaan Kajian Kuasi- Eksperimen untuk mengenal Pasti Tahap Kemahiran Literasi Awal Kanak-kanak Taska.
International Language Conference (ILC), hlm.
1-21.
Bender, W. N. 2012. Project-based Learning:
Differentiating Instruction for the 21st Century.
California: Corwin Press.
Bernhard, R. 2017. Are Historical Thinking Skills Important to History Teachers? Some Findings from A Qualitative Interview Study in Austria.
History Education Research Journal 14(2): 29-39.
Campbell, D. T., & Stanley, J. C. 1963. Experimental and quasi-experimental design for research.
Boston, MA: Houghton Mifflin Company.
Cantillon, P. 2003. ABC of learning and teaching in medicine: Teaching large groups. British Medical Journal 236: 437-440.
Chapman, A. 2017. Research and Practice in History Education in England: A Perspective from London.
UCL Institute of Education. https://core.ac.uk/
download/pdf/84106604.pdf [15 April 2020].
Cole, J.E., & Wasburn-Moses, L.H. 2010. Going beyond
“the math wars.” A special educator’s guide to understanding and assisting with inquiry-based teaching in mathematics. Teaching Exceptional Children, 42(4), 14-21.
College Board. 2019. AP U.S. History: Course and Exam Description. https://apcentral.collegeboard.org/
pdf/ap-us-history-course-and-exam-description.
pdf [10 April 2020].
Collingwood, R.G. 1994. The Idea of history [1946]
Revised edition with lectures 1926 1928. (Jan van Der Dussen, ed.) Oxford: Clarendon Press.
De La Paz, S., Monte-Sano, C., Felton, M., Croninger, R., Jackson, C., Piantedosi, K.W. 2016. A historical
writing apprenticeship for adolescents: integrating disciplinary learning with cognitive strategies.
Reading Research Quarterly Journal: 1–22.
Fazila Norbaini Fakhrumarzuki & Mohd Mahzan Awang. 2019. Pedagogi Pendidikan Sejarah:
Kreativiti dan Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS). Jurnal Persidangan Kebangsaan Amalan Terbaik Pembelajaran & Pemudahcaraan (PdPc) dan Pertandingan Inovasi (NCBPi): 93-102.
Gerard, F.M. 2012. Thinking about Historical Thinking in the Australian Curriculum:
History. https://pdfs.semanticscholar.org/e8ff/
ddb12f4110122b6620e0e0f86a74e4f92600.pdf [14 April 2020].
Havice, W.L. 1999. College students’ attitudes toward oral lectures and intergrated media presentations.
Journal of Technology Studies XXV (1): 51-56.
Hazrul Affendi Mohmad Razali, Zamri Arifin, Hakim Zainal, Mohd Nizho Abdul Rahman &
Shuhairimi Abdullah. 2016. Analisis Item Ujian Tahap Penguasaan Ilmu Nahu Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Journal of Human Development and Communication UNIMAP 5:179–208.
Izhab Ismail & Muhamad Zaid Ismail. 2018. Hubungan Kemahiran Pemikiran Sejarah Dengan Amalan Guru Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Sejarah. Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2018, hlm.
303-321.
Kaviza, M. 2019. Hubungan Penerapan Elemen Kemahiran Pemikiran Sejarah Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Terhadap Pencapaian Mata Pelajaran Sejarah Dalam Kalangan Murid. JuKu: Jurnal Kurikulum &
Pengajaran Asia Pasifik 7(1): 30-38.
Levstik, L.s., & Barton, K.C. 2001. Doing history.
Mahwah, NJ: Lawrence Erlbaum.
Lynn, M. R. 1986. Determination and quantification of content validity. Nursing Research 35: 382– 385.
Mohamad Ikhwan Izam & Anuar Ahmad. 2018.
Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sejarah. Proceedings International Conference on Social Studies, hlm. 9-19.
Mohamad Johdi Salleh & Ariegusrini Agus. 2009.
Transformasi Pengajaran Sejarah Berasaskan Multimedia. Penerbitan Bersama Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dan FKIP, Universitas Riau, Pekan Baru, Indonesia, hlm. 113 -126.
Monica Laina Tonge, Zamri Mahamod. 2019.
Penggunaan Aktiviti Pembelajaran Berasaskan Projek Untuk Meningkatkan Pencapaian Pelajar Dalam Kemahiran Menulis Karangan Murid Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Malaysia 45 (1) (2020): 12-20.
mousetrap. Paper presented at the International Conference on Measurement and
Muhamad Alif Shahdan & Anuar Ahmad. 2018.
Penggunaan Multimedia dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sejarah. Seminar Kebangsaan Pascasiswazah Sains Sosial dan
Kemanusiaan, hlm. 247-255.
Ng, W. K., & Fong, S. F. (2001). Quasi experimental design: Re-inventing a better
Ng, W. K., & Fong, S. F. 2001. Quasi experimental design: Re-inventing a better mousetrap.
International Conference on Measurement and Evaluation in Education, Penang Park Royal Resort, Penang, Malaysia. 1–13 November.
Nitche Isa Medina Machmudi Isa dan Mai Shihah Abdullah. 2017. Implementasi Pendidikan Berasaskan Hasil (PBH) melalui Pembelajaran Berasaskan Projek (PBPj) untuk Menilai Pencapaian Domain Kognitif Berdasarkan Topik Ekosistem Terancam. Sains Humanika 9: 163-173.
Noraini Idris. 2013. Penyelidikan dalam Pendidikan.
McGraw-Hill Education (Malaysia) Sdn Bhd.
Selangor.
Nurhidayah Hairom. 2020. Gred Purata Sejarah merosot, Jabatan Pendidikan WPKL ambil perhatian serius. https://www.sinarharian.com.my/
article/72589/EDISI/Selangor-KL/Gred-purata- Sejarah-merosot-Jabatan-Pendidikan-WPKL- ambil-perhatian-serius [28 September 2020].
Nurul Farhana Jumaat, Zaidatun Nasir, Noor Dayana Abd Halim & Zakiah Mohamad Ashari. 2017.
Project-Based Learning from Constructivism Point of View. Advanced Science Letters. 23.
7904-7906. 10.1166/asl.2017.9605.
Pallant, J. 2001. SPPS Survival Guide. Australia: Allen
& Unwin.
Pembangunan Kurikulum. 2014. Dokumen Standard Sekolah Rendah Sejarah Tahun 6. Kementerian Pendidikan Malaysia.
Phriscilla Anthony & Anuar Ahmad. 2018.
Keberkesanan Audio Visual dalam Meningkatkan Kemahiran Permikiran Sejarah Sekolah Rendah.
Proceedings International Conference on Social Studies & Humanities, hlm. 221-230.
Quint, J, Condliffe, B. 2018.Project-Based Learning A Promising Approach to Improving Student Outcomes. MDRC. Jan, 2018.
Rusen, J. 2005. History: Narration, Interpretation, Orientation. New York and Oxford: Berghahn Books.
Schlemmer, Phil, & Schlemmer, Dori. 2008. Teaching Beyond the Test Differentiated Project based Learning in a Standards-Based Age. Minneapolis:
Free Spirit Publishing Inc.
Sullivan, L. 2017. Nonparametric Test. School of Public Health. Boston University. https://sphweb.
bumc.bu.edu/otlt/MPHModules/BS/BS704_
Nonparametric/BS704_Nonparmetric_print.html.
[15 September 2020].
Talin, R. 2015. Historical Thinking Skills – The Forgotten Skills? International Journal of Learning and Teaching 7(1): 15-23.
Tasci, B.G. 2014. Project Based Learning from Elementary School to College, Tool: Architecture.
5th World Conference on Learning, Teaching and Educational Leadership, WCLTA 2014. Procedia - Social and Behavioral Sciences 186: 770 – 775.
Thirakunkovit, S. 2016. An evaluation of a post-entry test: An Item Analysis using Classical Test Theory (CTT). https://docs.lib.purdue.edu/open_access_
dissertations/862 [14 September 2020]
Warring, S. M. 2010. Escaping myopia: teaching students about historical sausality. The History Teacher, 2(43), 283–288.
Wright-Maley, C. 2015. The Big Six: Historical Thinking Concepts, Peter Seixas, Tom Morton.
Toronto: Nelson Education.
Muhammad Zaim Najmi Mohd Rahim*
No 1D, Lorong Serai 4, 96000 Sibu, Sarawak.
Anuar Ahmad & Norasmah Othman, Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia.
*Pengarang untuk surat menyurat; e-mel: [email protected] Diserahkan: 28 Disember 2020
Diterima: 15 Februari 2021