• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek Dan Minat Murid Terhadap Subjek Perniagaan (Project Based-Learning Method and Student Interest on Business Subject)

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek Dan Minat Murid Terhadap Subjek Perniagaan (Project Based-Learning Method and Student Interest on Business Subject)"

Copied!
12
0
0

Teks penuh

(1)

Kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek Dan Minat Murid Terhadap Subjek Perniagaan

(Project Based-Learning Method and Student Interest on Business Subject)

Raja Liyana Raja Zahri1*, Norasmah Othman1

1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor

*Pengarang Koresponden: [email protected]

Received: 25 March 2023 | Accepted: 1 May 2023 | Published: 1 June 2023

DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.2.2

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk mengenalpasti kaedah pembelajaran berasaskan projek dan minat murid terhadap subjek Perniagaan. Peserta kajian ini terdiri daripada empat orang guru yang mempunyai pengalaman dalam subjek Perniagaan. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif melalui kaedah pemerhatian dan temu bual. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pembelajaran berasaskan projek merupakan pembelajaran yang dapat menjadikan murid minat dalam subjek Perniagaan. Peserta kajian menyatakan murid menunjukkan minat melalui penghasilan produk akhir rancangan perniagaan yang menepati objektif pembelajaran oleh murid-murid. Peserta kajian bersetuju bahawa kemahiran guru dalam kaedah PdP berasaskan projek mampu memberi impak positif dan menarik minat murid meningkatkan kefahaman dalam subjek Perniagaan. Dapatan kajian juga menunjukkan keberkesanan apabila guru menggunakan kaedah PdP berasaskan projek. Hal ini disebabkan murid-murid dapat mengaplikasikan dengan kadar segera tentang apa yang dipelajari melalui penghasilan projek. Murid dapat mempraktikkan apa yang dipelajari secara langsung. Oleh itu, kefahaman murid terhadap subjek Perniagaan akan meningkat. Dalam masa yang sama, minat murid untuk mendalami subjek Perniagaan akan turut meningkat.

Kata kunci: Pembelajaran berasaskan projek, subjek Perniagaan, minat murid

Abstract: This study was conducted to identify project-based learning (PBL) methods and student interest in Business subject. Participants in this study consisted of four teachers with experience in Business subjects. This study uses qualitative methods through observation and interview methods. Research findings show that project-based learning is a learning that can make students interested in Business subjects. The study participants expressed interest in the production of the final product of the business plan that met the learning objectives of the students. The study participants agreed that the skills of teachers in the PBL method could have a positive impact and attract students to improve understanding of the subject Business. The findings also show the effectiveness when teachers use PBL methods. This is because students can apply at an immediate rate what is learned through project production. Students can practice what they learn directly. As a result, students' understanding of the subject of Business will increase. At the same time, students' interest in pursuing Business subjects will also increase.

Keywords: project-based learning (PBL) methods, Business subject, students’ interest

___________________________________________________________________________

(2)

1. Pengenalan

Perniagaan ketika era kini telah menjadi salah satu bentuk kerjaya pilihan diserata tempat. Ini jelas kerana peranannya yang boleh membantu meningkatkan ekonomi sesebuah negara (Silva

& Koggalage, 2021). Kerancakan aktiviti perniagaan dapat membantu bukan sahaja kepada kemakmuran ekonomi negara malah juga secara tak langsung akan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat. Sepertimana yang dilaporkan oleh Nur Raihan et al. (2020), aktiviti perniagaan dapat memberi manfaat kepada seseorang, masyarakat malah negara. Oleh kerana manfaat yang diberi, maka seluruh negara memberi penekanan kepada subjek berkaitan keusahawanan, khususnya dalam hal ini subjek Perniagaan. Dengan penawaran subjek ini, maka diharapkan bilangan golongan muda yang terlibat dalam aktiviti perniagaan juga akan meningkat. Kerajaan Malaysia juga tidak ketinggalan dalam perkara ini. Usaha berterusan dilaksanakan oleh kerajaan agar matlamat menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi dapat direalisasikan (Kementerian Kewangan Malaysia, 2014).

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diberi peranan untuk memastikan matlamat negara dapat dicapai.

Pada tahun 2016, subjek Perniagaan telah diperkenalkan oleh KPM dan ditawarkan pada tahun 2017 untuk mengantikan subjek Perdagangan (KPM, 2016). Tujuan penawaran subjek ini adalah mempersiapkan murid sebagai individu yang menjadikan perniagaan sebagai kerjaya.

Selain itu, tujuannya juga adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan sekaligus mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Oleh itu, bagi memastikan objektif penawaran subjek dalam membangunkan idea dan membina kesediaan murid untuk memulakan perniagaan tercapai, KPM telah mewajibkan semua murid yang mengambil subjek tersebut untuk melaksanakan kerja kursus. Hal ini merupakan cara untuk meningkatkan kefahaman, pengetahuan dan minat murid dalam bidang Perniagaan (KPM, 2016). Oleh itu, pelaksanaan kerja kursus menunjukkan bahawa subjek Perniagaan sesuai diajar berdasarkan pengalaman dengan menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek. Hasilnya mampu melahirkan murid yang berfikiran kritis dan terbuka berkenaan dunia Perniagaan (Mioduser &

Betzer, 2003). Seterusnya, murid juga mampu untuk mengingat kembali apa yang telah dipelajari semasa sesi PdP (Zirawaga, 2017).

2. Pernyataan Masalah

Sambutan terhadap subjek perniagaan yang ditawarkan sejak tahun 2017 dilaporkan kurang memuaskan. Peratus pendaftaran murid mengambil subjek ini didapati rendah rentetan bilangan yang meminatinya kurang (KPM, 2021). Hal ini menjadi lebih teruk apabila prestasi murid untuk subjek perniagaan dalam peperiksaan SPM setiap tahun tidak memuaskan (selalu rendah). Bilangan atau peratus murid yang cemerlang dalam subjek ini juga didapati selalu sedikit dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan (KPM, 2021).

Keputusan peperiksaan yang rendah apabila dilaksanakan postmortem oleh KPM adalah disebabkan beberapa isu. Selain minat yang rendah dalam kalangan murid, kompetensi guru juga telah dikenal pasti sebagai salah satu sebab atas kegagalan pencapaian subjek perniagaan.

Guru yang mengajar subjek perniagaan didapati bukan semuanya opsyen Perniagaan.

Akibatnya mereka tidak menguasai konten perniagaan. Justeru apabila melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP), mereka gagal mengenal pasti kaedah yang bersesuai dengan topik yang ingin disampaikan. Misalnya, topik persediaan memulakan perniagaan dengan menggunakan kaedah kuliah, yang sepatutnya keadah berunsurkan pengalaman paling sesuai (Suraiya et al., 2018). Kegagalan memilih kaedah PdP yang tepat mengakibatkan minat

(3)

murid terhadap subjek kurang dan seterusnya prestasi mereka juga kurang. PdP yang lebih berfokus kepada pembelajaran satu hala dilaporkan sebagai PdP yang kurang mendapat maklum balas daripada murid dan akhirnya menjadikan murid kurang berminat serta tidak memberi tumpuan semasa sesi pembelajaran (Lorig et al., 2003).

Subjek Perniagaan memerlukan kefahaman murid yang tinggi semasa sesi PdP kerana murid perlu menulis ayat berkaitan situasi sesebuah Perniagaan. Namun, kaedah PdP guru yang lebih mengamalkan kaedah lama iaitu chalk and talk berbanding kaedah berfokuskan murid (Siti Hawa, 2008). Justeru, kaedah PdP secara tradisional akan mengurangkan minat murid untuk lebih mendalami subjek Perniagaan (Lorig et al., 2003). Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan lagi kaedah PdP demi meningkatkan minat murid untuk mempelajari subjek Perniagaan (Syazwan et al., 2016).

Seterusnya, kaedah PdP akan menjadi kurang terkesan apabila guru kurang kompetensi dalam aspek kemahiran mengajar apabila kaedah PdP berasaskan projek diamalkan (Anuar, 2015).

Kesannya murid akan kurang bermotivasi dan kurang menarik perhatian untuk mengikuti sesi PdP guru berkenaan. Akhirnya kandungan pelajaran tidak dapat disampaikan dengan cara bersistematik dan objektif pembelajaran tidak tercapai. Oleh itu, peningkatan kejayaan murid dalam pembelajaran adalah berdasarkan kompetensi guru dalam kaedah PdP yang diguna pakai ketika sesi pembelajaran. Kecemerlangan dalam subjek Perniagaan bergantung kepada proses PdP berdasarkan kaedah PdP yang diamalkan di dalam dan luar bilik darjah (Zulfiqar & Anuar, 2021). Motivasi murid untuk mendalami subjek Perniagaan akan meningkat apabila guru memperbanyakkan kaedah PdP seperti penggunaaan kaedah PdP berasaskan projek (Lezah, 2018). Kesannya guru boleh mempraktikkan lebih banyak soalan-soalan kemahiran berfikir aras tinggi kepada murid-murid sehingga mereka dapat berfikir diluar kotak pemikiran dalam mencari jalan penyelesaian.

Rentetan dari isu-isu di atas, maka satu kajian dilaksanakan dengan dua objektif merupakan fokus utama iaitu:

i. Mengenal pasti kemahiran guru dalam kaedah PdP berasaskan projek bagi subjek Perniagaan.

ii. Mengenal pasti minat murid terhadap subjek Perniagaan.

3. Tinjauan Literatur

3.1 Kaedah Pembelajaran dan pengajaran

Kemahiran mengajar adalah perkara yang amat penting dalam tugas sebagai seorang guru (Mustaqim 2001). Hal ini kerana pencapaian murid bagi sesuatu subjek selalunya berkorelasi dengan kemahiran mengajar yang dimiliki oleh seseorang guru untuk proses PdP dan bukan sekadar kebolehan guru sahaja (Anuar et al., 2009). Kemahiran mengajar guru akan dapat menjadikan sesi PdP lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna kepada murid (Kamarul Azmi & Ab. Halim, 2007). Oleh sebab kepentingan untuk memiliki kemahiran mengajar, maka semua guru selalu ditekankan agar berupaya mempelbagaikan kaedah PdP semasa sesi PdP.

Guru perlu tahu dan mahir akan semua strategi, kaedah dan teknik mengajar terkini, selaras dengan keperluan abad ke-21.

Kaedah PdP merupakan suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan objektif pembelajaran yang telah ditetapkan (Mok, 2009). Kaedah PdP dikatakan bertindak positif dalam memberi hasil yang baik dalam proses PdP (Kamarul Azmi et al., 2012). Untuk itu,

(4)

seorang guru perlu bijak memilih kaedah PdP dengan teliti agar selari dengan kepelbagaian murid dan seterusnya dapat difahami murid dengan baik (Amin, 2017).

Ringkasnya, kaedah PdP merupakan suatu pendekatan PdP berdasarkan objektif pembelajaran yang telah ditetapkan (Mok, 2009). Kaedah PdP dikatakan bertindak positif dalam memberi hasil yang baik dalam proses PdP (Kamarul Azmi et al., 2012). Untuk itu, seorang guru perlu bijak memilih kaedah PdP dengan teliti agar selari dengan kepelbagaian murid dan seterusnya dapat difahami murid dengan baik (Amin, 2017).

Secara amnya, kaedah PdP terbahagi kepada dua jenis iaitu kaedah tradisional dan moden.

Kaedah tradisional dikatakan sebagai proses pengajaran berpusatkan guru yang hanya melibatkan kepenggunaan buku teks dan papan hitam (Mohd Razali, 2015). Namun, kaedah moden pula adalah proses pembelajaran murid menjadi aktif di mana pelbagai aktiviti yang akan dilakukan oleh murid seperti memproses, mengguna dan membuat refleksi berdasarkan maklumat yang diberikan oleh guru (Noor Hidayatun et al., 2018). Seterusnya murid dapat melalui proses pembelajaran moden seperti kaedah pembelajaran seperti pembelajaran kendiri, pembelajaran kolaboratif, pembelajaran masteri, pembelajaran berasaskan projek dan sebagainya (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016). Kaedah pembelajaran memainkan peranan penting untuk memastikan prestasi pencapaian murid (Abu et al., 2014). Oleh itu, pemilihan kaedah pembelajaran yang bersesuaian dapat meningkatkan komitmen dan minat murid terhadap subjek tersebut (Lezah & Rosy, 2018). Kajian Azizi (2011) menunjukkan bahawa sesi PdP lebih berkualiti apabila guru mampu mengenal pasti kaedah pengajaran yang bersesuaian untuk dilaksanakan. Perkara ini turut disokong oleh Muhammad Faizal et al.

(2014) menunjukkan keberkesanan pengajaran bergantung kepada pemilihan kaedah pengajaran guru yang bersesuaian.

Kaedah PdP perlu disesuaikan mengikut subjek seperti subjek Perniagaan yang lebih sesuai diajar melalui pengalaman menerusi kaedah pembelajaran berasaskan projek. Untuk itu, kaedah pembelajaran berasaskan projek adalah satu kaedah PdP yang menggalakkan murid untuk memperoleh pengetahuan melalui teknik hands on atau penghasilan projek. Kaedah pembelajaran berasaskan projek sesuai untuk subjek Perniagaan kerana murid-murid lebih banyak memberi respons yang positif apabila guru menggunakan kaedah pengajaran yang sedikit berbeza dan menarik (Lezah, 2018). Hal ini menunjukkan murid lebih terangsang apabila guru membuka peluang kepada mereka untuk berfikir aras tinggi dengan menggunakan kaedah pengajaran berasaskan projek. Oleh itu, guru menjadi sebagai pemantau sahaja manakala murid akan bergiat secara aktif semasa proses PdP berlangsung. Menurut Mohd Anuar (2015), apabila guru bertindak sebagai pemantau, murid mampu berdiri atas kaki sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada guru 100% apabila kaedah pembelajaran berasaskan projek dilaksanakan. Kaedah tersebut mampu menjadikan murid lebih menjiwai subjek Perniagaan sekaligus meningkatkan kefahaman murid (Mohd Anuar, 2015).

Pelaksanaan kaedah PdP berasaskan projek mampu meningkatkan kemahiran murid dalam menyelesaikan masalah berdasarkan soalan yang diberikan oleh guru dalam sesi PdP melalui hasil pembentangan produk dan laporan (Mohd Saad, 2018). Murid juga mampu menguasai kemahiran komunikasi, berfikir aras tinggi, dan kolaborasi dan kreatif. Di samping itu juga, murid lebih berkeyakinan untuk berkolaborasi bersama guru, rakan dan masyarakat apabila kaedah pembelajaran berasaskan projek dilaksanakan oleh guru. Selain itu, kaedah pembelajaran berasaskan projek juga mampu meningkatkan kefahaman murid dalam memahami sesuatu tajuk. Kajian ini dibuktikan melalui kajian Chai Hung (2012) di mana guru menjalankan projek untuk murid menghasilkan buku skrap dalam kumpulan. Hasil daripada

(5)

penghasilan buku skrap telah menunjukkan penglibatan murid yang sangat tinggi dan murid turut memberi respons yang sangat baik. Murid-murid menunjukkan kefahaman yang tinggi sehinggakan berlaku peningkatan markah dalam ujian yang dilaksanakan. Oleh itu, kajian Chai Hung menunjukkan kesan positif apabila pengajaran berasaskan projek dilaksanakan.

Kesimpulannya, penggunaan kaedah pengajaran berasaskan projek merupakan salah satu kaedah PdP yang terbukti berjaya dapat meningkatkan fokus dan minat murid dalam subjek Perniagaan (Harun & Zaidatun, 2003). Namun penggunaan kaedah ini masih amat kurang.

Perkara ini berlaku kerana dilaporkan persediaan untuk menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek dalam pengajaran akan mengambil masa yang agak lama dan guru pula tidak memiliki waktu yang banyak. Kekangan masa ditambah dengan kemahiran yang kurang menyebabkan guru tidak cenderung untuk menggunakan kaedah pengajaran berasaskan projek walaupun dikatakan baik (Hassan & Kamisan, 2008).

3.2 Minat Murid Terhadap Subjek Perniagaan

Minat murid adalah satu cara untuk melihat keberkesanan kaedah PdP yang digunakan semasa sesi PdP berlangsung. Berdasarkan kajian Khairul Azhar et al. (2014) yang dilakukan terhadap 120 orang murid perniagaan menunjukkan minat dan motivasi murid meningkat apabila kaedah pembelajaran berasaskan projek telah dilaksanakan dalam sesi pembelajaran.

Di samping itu, kaedah pembelajaran berasaskan projek juga mampu membantu murid untuk meningkatkan kemahiran menulis esei. Perkara ini dibuktikan melalui kajian Yahya dan Dk Suzanawaty (2014), di mana kajian PdP melalui pelaksanaan risalah telah dilaksanakan. Hasil daripada kajian menunjukkan murid mampu menguasai kemahiran menulis apabila guru melaksanakan kaedah PdP berasaskan projek sekaligus meningkatkan minat murid dalam sesi pembelajaran Perniagaan.

Namun begitu, kaedah PdP berasaskan projek banyak perlu diamalkan kerana ianya dihasilkan melalui persoalan yang mempunyai makna tersendiri. Hal ini kerana kaedah PdP berasaskan projek mampu memberi ruang kepada murid untuk berfikiran terbuka sekaligus mewujudkan perasaan ingin tahu dalam kalangan murid (Blumenfeld et al., 1991). Seterusnya, PdP yang berasaskan projek mampu memberikan pengalaman yang berharga kepada murid semasa proses PdP berlangsung sama ada di dalam atau di luar bilik darjah (Tal et al., 2006). Hal ini dapat disimpulkan bahawa kaedah pembelajaran berasaskan projek ini perlu dikaitkan dengan kehidupan sehari agar dapat meningkatkan kefahaman murid serta menambahkan minat murid dalam subjek Perniagaan.

4. Metod Kajian

4.1. Reka Bentuk Kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Pemilihan reka bentuk kajian adalah bertepatan dengan objektif kajian yang memerlukan temu bual secara mendalam. Lokasi kajian yang dipilih adalah Subang, Shah Alam dan Klang iaitu yang berada di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana. Hal ini kerana daerah Petaling Perdana mempunyai sekolah yang banyak menawarkan subjek Perniagaan iaitu sebanyak 46 buah sekolah (Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, 2022). Murid-murid di kawasan Petaling Perdana terdiri dari pelbagai latar belakang dan bangsa.

(6)

4.2 Peserta Kajian

Peserta kajian dipilih berdasarkan pengalaman mengajar dan kesesuaian dalam memberikan maklumat yang tepat berkenaan masalah kajian. Peserta kajian juga adalah guru yang mengajar di sekolah yang mempunyai murid pelbagai bangsa dan berpengalaman dalam dunia pendidikan melebihi 10 tahun (Bailey, 2006). Seramai empat orang guru telah dipilih untuk kajian kerana tambahan peserta kajian tidak lagi mampu memberikan informasi baru (tepu) atau maklumat tambahan mengenai permasalahan kajian (Kamarul, 2012). Dua orang daripada peserta kajian tersebut merupakan guru pemeriksa kertas Sijil Pelajaran Malaysia dan dua orang lagi merupakan guru ketua panitia Perniagaan.

4.4 Instrumen Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah pemerhatian dan temu bual. Senarai semak atau panduan pertanyaan perlu digunakan dalam kajian yang melibatkan sejumlah responden untuk ditemu bual (Kamarul, 2012). Perkara yang disoal disediakan oleh pengkaji sendiri ketika berada di lapangan. Senarai semak yang disediakan membolehkan pengkaji tidak tertinggal aspek penting dalam sesuatu kajian. Analisis data dijalankan semasa data pertama diperoleh iaitu apabila penyelidik melakukan temu bual, pemerhatian dan pembacaan dokumen pada kali pertama. Proses analisis data dilakukan sepanjang tempoh pengumpulan data dalam kajian (Merriam, 2001). Setiap temu bual yang dilakukan oleh pengkaji di rakam secara audio dan data tersebut ditranskripkan secara verbal. Seterusnya, bagi memperoleh kefahaman secara mendalam, data yang ditranskripkan itu dibaca berulang kali sebelum data tersebut dikategorikan.

Antara persoalan utama yang telah digunakan dalam memperoleh data adalah:

i. Apakah kemahiran yang perlu ada dalam diri guru untuk memastikan pembelajaran menjadi mudah serta objektif pembelajaran tercapai?

ii. Bagaimakah untuk memastikan guru kompetensi dalam pengurusan pengajaran demi kelancaran sesi PdP?

iii. Adakah aktiviti pengajaran berasaskan projek berkesan dalam meningkatkan kefahaman murid berkaitan topik yang dipelajari?

5. Dapatan Kajian

5.1 Kemahiran guru dalam kaedah PdP berasaskan projek

Pengkaji telah membahagikan kepada empat bahagian bagi menjawab persoalan kajian iaitu kemahiran pengetahuan kandungan, kemahiran guru dalam pengajaran, kompetensi guru dalam pengurusan pengajaran dan kemahiran pedagogi. Pengkaji menemu bual empat peserta kajian yang mempunyai pengalaman melebihi sepuluh tahun dalam bidang perguruan subjek Perniagaan

.

5.1.1 Kemahiran Pengetahuan Kandungan

Pengetahuan kandungan ialah pengetahuan topik pembelajaran yang perlu diketahui oleh guru sebagai warga pendidik dan murid sebagai penuntut ilmu (Mishra & Koehler, 2006). Setiap subjek mempunyai topik dan subtopik yang berbeza mengikut kandungan dokumen standard kurikulum dan pentaksiran (DSKP). Justeru, untuk mengetahui tahap kemahiran pengetahuan kandungan peserta kajian (guru), beberapa soalan telah dikemukakan.

Soalan pertama adalah: “Berapa topik yang ada di dalam subjek Perniagaan tingkatan 4 dan 5?”

(7)

Hasil jawapan yang diperoleh menggambarkan bahawa guru mengetahui kandungan subjek perniagaan. Hal ini jelas apabila guru mampu mengenal pasti kaedah PdP yang perlu dipilih bersesuaian dengan topik pengajaran. Gambaran ini jelas diutarakan dalam sesi temu bual bersama peserta kajian 1:

Subjek Perniagaan tingkatan 4 hanya mempunyai dua topik sahaja berbanding subjek Perniagaan tingkatan 5. Murid lebih mudah untuk fokus sebab hanya ada dua topik.

Berdasarkan temu bual Peserta kajian 1, didapati bahawa kandungan subjek Perniagaan hanya mempunyai dua topik yang perlu dipelajari oleh murid dan diajar oleh guru. Oleh itu, ia mudah untuk diajar kerana murid hanya perlu memberi perhatian kepada dua topik lebih kepada pengenalan perniagaan sahaja berbanding subjek tingkatan 5. Begitu juga dengan jawapan yang diperoleh dari temu bual dengan Peserta kajian 2.

Topik Perniagaan tingkatan 4 murid-murid lebih mudah untuk faham sebab lebih sikit topik dan topik tersebut dibahagikan kepada subtopik. Mereka dapat fokus kepada subtopik.

Hasil daripada temu bual yang telah dilaksanakan dengan peserta kajian 2, didapati bahawa kandungan pelajaran Perniagaan tingkatan 4 lebih mudah untuk difahami oleh murid. Guru- guru pula mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam pengetahuan kandungan subjek Perniagaan hingga memberi idea untuk mereka menggunakan kaedah pengajaran berasaskan projek bagi memastikan objektif pembelajaran tercapai.

Berikut merupakah hasil daripada menemu bual peserta kajian 3 dan 4:

Peserta kajian 3

Kandungan tingkatan 4 sikit topik dan banyak subtopik berbanding kandungan tingkatan 5 banyak topik tapi sikit subtopik. Bagi saya tingkatan 4 lebih kepad fakta dan mudah kaitkan dengan kehidupan seharian murid.

Peserta kajian 4

Betul saya pun rasa tingkatan 4 lagi mudah. Bila murid tanya soalan topik mana, kita boleh jawab topik mana dan subtopik apa.

Peserta kajian 3 dan 4 mengatakan bahawa topik Perniagaan tingkatan 4 juga lebih mudah untuk difahami walaupun mempunyai subtopik yang agak banyak. Hal ini menunjukkan guru- guru mempunyai pengetahuan kandungan subjek Perniagaan yang tinggi sehingga mampu mengulas tentang kefahaman murid dan cara pengajaran yang sesuai boleh digunakan.

Hasil daripada temu bual ini menunjukkan bahawa kemahiran pengetahuan kandungan sangat penting bagi memastikan kaedah pengajaran yang perlu digunakan dalam sesi PdP. Dapatan pengkaji menyokong dapatan kajian terdahulu oleh Muhammad dan Anuar (2017), Naquiah dan Jimaaian (2017) dan Ku Hafisal dan Abdullah (2020) yang mengatakan bahawa guru yang mahir dalam pengetahuan kandungan mampu menentukan kaedah pengajaran yang sesuai dalam penyampaian ilmu kepada murid-murid sekolah.

5.1.2 Kemahiran guru dalam pengajaran

Kemahiran guru dalam pengajaran merujuk kepada pemilihan cara guru menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid. Kemahiran yang dinyatakan adalah dari aspek kemahiran merancang, pengelolaan, penyampaian dan bimbingan untuk penyebaran ilmu pengetahuan yang berkualiti kepada murid. Bagi melihat aspek penguasaaan kemahiran guru dalam

(8)

pengajaran, pengkaji menanyakan soalan: “Apakah kemahiran yang perlu ada dalam diri guru untuk memastikan PdP menjadi mudah serta objektif pembelajaran tercapai”?

Peserta kajian 1

Kemahiran penyampaian tu yang penting sebab murid akan lebih fokus bila cikgu gunakan penyampaian yang bersesuaian dan menyeronokkan.

Peserta kajian 2

Cikgu juga perlukan kemahiran mempelbagaikan strategi pengajaran. Tak boleh hanya guna satu strategi pengajaran. Nanti murid jadi bosan. Contohnya subjek Perniagaan cikgu boleh guna strategi berpusatkan murid. Nanti murid jadi lebih aktif dan pembelajaran jadi lagi seronok.

Peserta kajian 3

Cikgu kena ada kemahiran penggunaan teknologi maklumat sesuai dengan keadaan semasa yang banyak guna digital. Contohnya cikgu bagi satu tugasan berasaskan projek berkaitan tatacara penubuhan sebuah perniagaan dan murid perlu hasilkan dengan menggunakan teknologi maklumat. Jadi sesi pembelajaran lagi jadi riuh dan menyeronokkan.

Peserta kajian 4

Bila cikgu mahir dalam pengajaran dari segi penyampaian, mahir dari segi teknologi maklumat, mahir dalam strategi pengajaran, maka dengan mudah objektif pengajaran boleh dicapai. Murid lagi mudah nak faham dan sesi pembelajaran lebih berkualiti.

Bagi menjawab persoalan pengkaji mengenai kemahiran guru dalam pengajaran, peserta kajian 1 menyatakan bahawa kemahiran penyampaian sangat penting bagi menjadikan sesi PdP lebih menyeronokkan. Sementara itu, peserta kajian 2, peserta kajian 3 dan peserta kajian 4 menyatakan bahawa kemahiran strategi pembelajaran dan kemahiran teknologi maklumat sangat diperlukan dalam sesi PdP bagi memastikan objektif pembelajaran tercapai dan murid lebih bergiat aktif. Dapatan pengkaji menyokong hasil kajian terdahulu oleh Anuar (2015) yang menyatakan bahawa kemahiran guru dalam pengajaran akan menjadikan sesi pembelajaran lebih berkualiti dan menyeronokkan.

5.1.3 Kompetensi guru dalam pengurusan pengajaran

Kompetensi guru dalam pengurusan pengajaran merujuk kepada kecekapan dalam menguruskan aktiviti pengajaran bersistematik. Guru yang cekap mampu memotivasikan murid dan menarik perhatian murid untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan penuh bersemangat dan ceria. Kesannya, objektif pembelajaran mampu disampaikan mengikut standard yang ditetapkan dengan cara bersistematik. Bagi menjawab persoalan tersebut, pengkaji menanyakan soalan “Bagaimakah untuk memastikan guru kompetensi dalam pengurusan pengajaran demi kelancaran sesi PdP?”

Peserta kajian 1

Guru mampu handle kelas dan memastikan sesi PdP berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

Jadi, sesi PdP lebih lancar.

Peserta kajian 2

Guru perlu pergi kursus atau dapatkan maklumat melalui program-program yang dianjurkan oleh KPM. Lepastu kena amalkan ilmu yang diperoleh dalam kelas.

(9)

Peserta kajian 3

Guru kena dengar taklimat atau bengkel sama ada atas talian atau luar talian dan praktikkan dalam sesi PdP. Bila praktikkan, kelas baru jadi happening…

Peserta kajian 4

Guru perlu dapatkan maklumat dari guru-guru yang berpengalaman dan belajar daripada pengalaman yang diperoleh dalam bilik darjah. Gunakan semua maklumat tersebut then baru sesi PdP berjalan smoothly…

Hasil daripada temu bual ini menunjukkan bahawa kompetensi guru dalan pengurusan pengajaran boleh diperoleh melalui taklimat atau bengkel dan berdasarkan pengalaman yang diperoleh dari guru-guru berpengalaman. Hal ini kerana, kompetensi guru dalam pengurusan pengajaran akan menjadi sesi PdP berjalan lancar bagi memastikan objektif pembelajaran tercapai. Dapatan pengkaji menyokong kajian dapatan kajian terdahulu oleh Mohd Ridhuan et al. (2014) serta Anuar dan Nelson (2015) yang mengatakan bahawa sesi PdP menjadi lebih lancar dan menyeronokkan apabila guru kompeten dalam pengurusan pengajaran melalui pengalaman dan taklimat yang diperoleh.

5.1.4 Kemahiran Pengetahuan Pedagogi

Pengetahuan pedagogi merujuk kepada cara dan kaedah pengajaran yang diguna pakai oleh guru semasa sesi PdP berlangsung. Guru perlu mempunyai ilmu pengetahuan tentang pedagogi untuk memastikan pemilihan kaedah pengajaran yang bersesuaian demi memastikan objektif pembelajaran tercapai dan murid minat dalam subjek Perniagaan. Bagi mengetahui berjayakah kemahiran pedagogi berasaskan projek dalam menarik minat murid terhadap subjek Perniagaan, pengkaji memberi soalan “Adakah murid lebih memberi perhatian apabila kaedah pengajaran berasaskan projek dilaksanakan semasa PdP berbanding kaedah pengajaran berpusatkan guru dilaksanakan?” Berikut merupakan jawapan peserta kajian:

Peserta kajian 1

Mula-mula saya ajar guna kaedah tradisional talk and chalk.nampak murid lebih banyak diam..kemudian saya guna kaedah pembelajaran berasaskan projek..baru saya nampak murid lebih aktif dan kreatif.

Peserta kajian 2

Betul, saya pun nampak murid lebih menunjukkan minat apabila pembelajaran berasaskan projek dilaksanakan. Murid lebih banyak bertanya dan kaitkan dengan kehidupan sebagai peniaga.

Peserta kajian 3

Perbezaan sangat ketara bila guna kaedah tradisional dengan kaedah pembelajaran berasaskan projek. Tak nampak dah murid bosan malah nampak murid lebih seronok kerana mereka perlu berfikir dan melontarkan idea-idea.

Peserta kajian 4

Saya lihat murid pun lebih yakin untuk menjawab soalan latihan atau exam selepas pelaksanaan kaedah pembelajaran berasaskan projek dilaksanakan. Jadi pada pandangan saya, kaedah pengajaran ini mampu tarik minat murid dalam subjek Perniagaan

Hasil daripada temu bual ini menunjukkan bahawa kaaedah PdP berasaskan projek sangat memberi kesan positif kepada kefahaman murid dalam subjek Perniagaan. Dapatan pengkaji

(10)

menyokong kajian dapatan kajian terdahulu oleh Mioduser dan Betzer (2003), Saleha (2019) dan Thomas (2000) yang mengatakan bahawa murid lebih bergiat aktif apabila kaedah PdP berasaskan projek dilaksanakan semasa sesi PdP dalam atau luar bilik darjah.

5.2 Minat murid terhadap subjek Perniagaan apabila kaedah PdP berasaskan projek dilaksanakan

Hasil kajian yang kedua menunjukkan penerimaan dan minat murid terhadap kaedah pengajaran berasaskan projek. Hasil ini diperoleh melalui temu bual yang dijalankan kepada guru tentang pelaksanaan aktiviti projek dalam PdP Perniagaan. Guru menyatakan bahawa aktiviti PdP berasaskan projek sangat berkesan dalam meningkatkan kefahaman murid berkaitan topik yang dipelajari. Berikut merupakan jawapan yang diberikan melalui temu bual yang dijalankan:

Peserta kajian 1

Hasil daripada pemerhatian aktiviti PBP, aktiviti ini sangat menarik kerana setiap murid berusaha untuk menghasilkan tugasan yang lebih bagus antara satu sama lain.

Peserta kajian 2

Pada saya, pembelajaran berasaskan projek sangat bagus kerana saya tengok murid-murid lebih bergiat aktif mencari bahan dan meletakkan diri sendiri sepenuhnya dalam tugasan tersebut. Saya lihat mereka lebih faham bila mereka sendiri kena kaji dan cari bahan dari a hingga z.

Peserta kajian 3

Saya lihat murid-murid lebih berdikari bila kaedah projek ini dilaksanakan. Mereka dapat mempelajari cara cari maklumat dari pelbagai sudut dan mempunyai keyakinan diri untuk temu bual orang yang tertentu demi dapatkan maklmumat projek mereka.

Peserta kajian 4

Selepas penghasilan projek, saya lihat murid-murid lebih yakin untuk membuat presentation dan lebih yakin untuk menjawab soalan exam Perniagaan. Beza sungguh dengan sebelum aktiviti projek dilaksanakan.

Berdasarkan temu bual tersebut, ia menunjukkan bahawa kaedah PdP berasaskan projek lebih berkesan dalam menarik minat murid untuk mempelajari subjek Perniagaan. Perkara ini dibuktikan melalui pelaksanaan penghasilan rancangan perniagaan (Gambar 1) di mana mereka mampu menghasilkan rancangan perniagaan yang sangat menarik dan dapat kaitkan dengan apa yang telah dipelajari semasa PdP. Dapatan ini juga disokong dengan kajian Gultekin (2005) dan Mohd Aderi et al. (2018) yang mengatakan murid dapat menunjukkan kefahaman dan minat dalam pembelajaran melalui penghasilan projek dalam bentuk persembahan.

6.Kesimpulan

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji kemahiran guru dalam kaedah PdP berasaskan projek dan minat murid terhadap subjek Perniagaan. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara kaedah PdP berasaskan projek dan minat murid terhadap subjek Perniagaan. Perkara ini telah dibuktikan melalui penghasilan produk akhir rancangan perniagaan yang menepati objektif pembelajaran oleh murid-murid. Oleh itu, peserta kajian bersetuju bahawa kemahiran guru dalam kaedah PdP berasaskan projek mampu memberi impak positif dan menarik minat murid meningkatkan kefahaman dalam subjek Perniagaan. Walaupun murid memperoleh

(11)

maklumat dan info melalui pembelajaran di dalam kelas secara tradisional, namun ia akan menjadi lebih berkesan apabila guru menggunakan kaedah PdP berasaskan projek. Hal ini disebabkan murid-murid dapat mengaplikasikan dengan kadar segera tentang apa yang dipelajari melalui penghasilan projek. Murid dapat mempraktikkan apa yang dipelajari secara langsung. Oleh itu, kefahaman murid terhadap subjek Perniagaan akan meningkat. Dalam masa yang sama, minat murid untuk mendalami subjek Perniagaan akan turut meningkat.

Kajian ini memberikan beberapa implikasi yang bermanfaat kepada pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan subjek Perniagaan. Antaranya kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dapat memberi penekanan kepada kemahiran guru dalam pelaksanaan pedagogi berasaskan projek semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, kajian ini juga mampu memberi idea kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk melaksanakan pelbagai bengkel atau seminar atau kursus agar ia dapat memberi gambaran kepada guru berkenaan kaedah PdP yang berimpak positif. Kajian ini turut memberi cadangan kepada pihak pengetua sekolah dan guru Perniagaan untuk mengetahui keperluan dalam memperbanyakkan lagi kaedah PdP berasaskan projek demi memastikan kualiti pengajaran Perniagaan terjamin.

Kajian ini memberi gambaran kepada guru tentang kepentingan kemahiran penguasaan kandungan, kemahiran guru dalam pengajaran, kompetensi guru dalam pengurusan pengajaran dan kemahiran penguasaan pedagogi. Selain itu, ia juga dapat memberi idea kepada para guru tentang cara meningkatkan minat murid dalam subjek Perniagaan melalui kaedah PdP berasaskan projek. Hal ini menunjukkan bahawa kaedah PdP tersebut mampu menjadikan proses PdP lebih efektif dan dinamik.

Secara kesimpulannya, kajian ini mampu memberikan idea dan panduan kepada guru subjek Perniagaan dalam meningkatkan kefahaman murid. Selain itu, ia juaga mampu menarik minat murid untuk mempelajari subjek Perniagaan. Kajian ini wajar dijalankan bagi mengetahui kemampuan kaedah pengajaran berasaskan projek dalam menarik minat murid mempelajari subjek Perniagaan.

Rujukan

Anuar Ahmad, Siti Haishah Abd Rahman, & Nur Atiqah T. Abdullah. (2014). Tahap keupayaan pengajaran guru Sejarah dan hubungannya dengan pencapaian murid di sekolah berprestasi rendah. Jurnal Pendidikan Malaysia, 34(1): 53-66.

Anuar Ahmad & Nelson Jinggan. (2015). Pengaruh Kompetensi Kemahiran Guru Dalam Pengajaran Terhadap Pencapaian Akademik Pelajar Dalam Mata Pelajaran Sejarah.

Jurnal Kurikulum dan Pengajaran Asia Pasifik, 3(2): 1-11.

Amin. (2017). Kaedah dan Teknik Pengajaran. https://edup3033.aminteach.com.

Azizi Yahaya & Nurfaizah Abdul Majid. (2011). Hubungan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran pelajar dengan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah.

Journal of Educational Psychology and Counseling, 2: 78-112

Bailey, R. (2006). Physical Education and Sport in Schools: A Review of Benefits and Outcomes. Journal of School Health, 76: 397-401.

Kamarul Azmi Jasmi. (2012). Kesahan dan Kebolehpercayaan dalam Kajian Kualitatif. Kertas Kerja Kursus Penyelidikan Kualitatif Siri 1. Anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. 28-29 Mac.

Kementerian Kewangan Malaysia. (2014). Laporan Ekonomi 2013/2014. 143-177.

(12)

Kementerian Pendidikan Malaysia (2016). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran.

Perniagaan Tingkatan 4 dan 5. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2020). Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Putrajaya. Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2021). Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Putrajaya. Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Khairul Azhar Mat Daud. (2014). Penerapan Nilai-Nilai Murni Keusahawanan Dalam Pembelajaran Berasaskan Studio di Universiti Kelantan. TENIAT International Journal of Creative Futures and Heritage, 2(1): 14-27.

Ku Hafisal Ku Mahamud & Abdull Sukor Shaari. (2020). Analisis Keperluan Pengetahuan Isi Kandungan Dalam Pengajaran Matematik. International Journal of Education, Psychology and Counselling, 5(35): 142-151.

Mohammad Aziz Shah et al. (2014). Faktor, Kesan dan Strategi Menangani Permasalahan Tumpuan Pelajar Sekolah Menengah di Dalam Kelas: Suatu Kajian Kualitatif.

Mohd Hafeez Al-Amin. (2013). Penerapan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar bidang kejuruteraan mekanikal di UTHM. Laporan projek Ijazah Sarjana Pendidikan.

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn.

Mohd Ridhuan Mohd Jamil, Shariza Said & Mohd Ibrahim K. Azeez. (2014). Pengaruh Guru Terhadap Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran: Suatu Pendekatan Teknik Fuzzy Delphi. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 1(3): 77-88.

Merriam, S.B. (2001). Qualitative Research and Case Study Applications in Education. Jossey- Bass Publishers, San Francisco.

Muhammad Faizal A. Ghani, Norfariza Mohd Radzi, Simin Ghavifekr & Husaina Banu Kenayatullah. (2014). Pengurusan disiplin murid di sekolah kawasan bandar dan luar bandar: Perspektif pemimpin sekolah. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 1(1): 7-40.

Muhammad Hafizan & Anuar Ahmad. (2017). Pengaruh Pengetahuan Isi Kandungan Terhadap Aplikasi Pengajaran Yang Berkesan Dalam Kalangan Guru-Guru Sejarah.

International Conference on Global Education. Anjuran Universitas Ekasakti Padang Indonesia, 10-11 April.

Portal Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. (2022). https://jpnselangor.moe.gov.my

Suraiya Ishak, Ahmad Raflis Che Omar, Fahruddin Mustafa Al-Bakri, & Lokhman Hakim Osman. (2018). Amalan Pembelajaran Dan Kesannya Terhadap Pembentukan Pengetahuan Serta Kemahiran Perniagaan Dalam Kalangan Generasi Z. Malaysian Journal od Society and Space. 14(1): 14-28.

Silva, L. De & Koggalage, R. (2021). Current Trends in Entrepreneurship and Technology Education Considering Sri Lankan and Global Perspectives. International Research Journal of Modernization in Engineering Technology and Sciences, 03(02): 401- 410.

Yahya Othman & Dk. Suzanawaty Pg. Osman. (2014). Keupayaan Menguasai Kemahiran Menulis Melalui Pembelajaran Berasaskan Projek Dalam Penulisan Berbentuk Risalah di Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 04(01): 19-29

Referensi

Dokumen terkait