Pembelajaran Teradun sebagai Pendekatan Alternatif dalam Era Pasca Pandemik di Institusi Pengajian Tinggi
(Blended Learning as an Alternative Approach in the Post-Pandemic Era at Higher Education Institutions)
Suganti Ealangov1*, Khairul Azhar Jamaludin1
1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 September 2022 | Published: 1 October 2022
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2022.4.3.16
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Peralihan daripada pembelajaran konvensional kepada pembelajaran dalam talian telah menjadi isu kepada penyedia pendidikan terutamanya institusi pengajian tinggi (IPT), pensyarah dan pelajar. Oleh itu, penyedia pendidikan mengenal pasti pembelajaran teradun sebagai pendekatan alternatif yang lebih berkesan bagi memastikan kelangsungan aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) semasa pandemik serta untuk mengatasi isu pembelajaran dalam talian. Pembelajaran teradun diakui berkesan semasa pelaksanaannya di era pandemik. Justeru, ahli akademik berpendapat pembelajaran teradun berpotensi diaplikasikan sebagai pendekatan alternatif PdP pasca pandemik di IPT. Oleh itu, kertas konsep ini bertujuan untuk membincangkan peralihan pendidikan semasa pandemik, isu pembelajaran dalam talian dan pembelajaran teradun dari segi model-model, implementasi semasa dan keperluan perubahan kurikulum. Akhirnya daripada hasil perbincangan, disyorkan pembelajaran teradun sebagai pendekatan alternatif PdP pasca pandemik di IPT dan dicadangkan agar pada masa akan datang pendekatan pembelajaran ini ditambah baik dengan mengintergrasikan teknologi seiring dengan revolusi industri dan pendigitalan.
Kata kunci: Pembelajaran Teradun, Pasca Pandemik, Institusi Pengajian Tinggi, Model Pembelajaran Teradun, Pendidikan
Abstract: The transition from conventional learning to online learning has become an issue for education providers especially higher education (HE), lecturers and students. Therefore, education providers identify blended learning as a more effective alternative approach to ensure the continuity of teaching and learning activities during the pandemic as well as to address online learning issues. Blended learning is recognized as effective approach during its implementation in the pandemic era. Hence, academicians have agreed that blended learning has the potential to be applied as an alternative approach to post-pandemic teaching and learning in HE. Therefore, this concept paper aims to discuss the transition of education during the pandemic, the issue of online learning and blended learning in terms of models, current implementation, and the need for curriculum changes. Finally, from the results of the discussion, it is recommended that blended learning is ideal alternative approach to post pandemic teaching and learning in HE and it is proposed that in the future, this learning approach be improved by integrating technology in line with the industrial revolution and digitalization.
Keywords: Blended Learning, Post Pandemic, Higher Education, Blended Learning Models, Education
___________________________________________________________________________
1. Pendahuluan
Wabak COVID-19 telah memberikan impak yang buruk dalam semua aspek kehidupan manusia di seluruh dunia. Penularan wabak ini dikesan di Wuhan China pada Disember 2019 dan Pertubuhan Kesihatan Dunia mengyistiharkan COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 (Micheal,2020). Menurut UNICEF (2020), wabak ini merupakan bencana kesihatan global yang terburuk sejak Perang Dunia Ke-dua kerana penularannya adalah secara eksponen dari satu rantau ke rantau yang lain serta menjejaskan kehidupan seharian manusia khususnya dari aspek kesihatan global, ekonomi dan pendidikan. Akibatnya, sebagai langkah pencegahan dan kawalan bencana, kebanyakkan negara telah mengambil inisiatif drastik dengan mengenakan sekatan pergerakkan dan perintah kawalan pergerakan.
Sektor pendidikan adalah salah satu sektor yang paling terjejas berikutkan penularan wabak COVID-19. Pengisytiharan sekatan pergerakkan telah menyebabkan penutupan drastik kesemua institusi pendidikan di 188 negara dan menjejaskan hampir 900 juta pelajar (UNICEF,2020). Di Malaysia, kesemua institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah-sekolah dan pusat latihan di bawah seliaan pelbagai kementerian ditutup bagi mengekang penularan wabak ini. Oleh yang demikian, bagi mengurangkan impak dan memastikan kelangsungan pendidikan, institusi pendidikan terpaksa beralih daripada kaedah pembelajaran konvensional kepada pembelajaran dalam talian.
Secara global, sebanyak 533 juta kes positif dengan kematian sebanyak 6.3 juta telah direkodkan manakala di Asia Tenggara sebanyak 57.9 juta kes dengan kematian sebanyak 786,804 direkodkan sehingga 8 Jun 2022. (WHO,2022). Di Malaysia, sehingga 8 Jun 2022, 4.5 juta kes positif dengan jumlah kematian 35 699 orang telah direkodkan (Kementerian Kesihatan Malaysia,2022). Walaupun lebih daripada dua tahun sejak jangkitan COVID-19 pertama dilaporkan, pandemik ini kekal sebagai bencana global yang akut. Namun begitu, kebanyakan negara di seluruh dunia mula menarik balik pelbagai sekatan yang dikenakan kerana sekatan-sekatan berterusan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 kurang relevan dan menyebabkan impak negatif terhadap sektor ekonomi dan pendidikan. Oleh yang demikian, bagi meneruskan kehidupan adalah penting untuk mengurangkan penularan wabak dan kesan jangkitan menerusi pemerkasaan komuniti agar peralihan fasa pandemik ke endemik dapat dicapai.
Demikiannya, Malaysia telah mengisytiharkan fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022 tetapi ini bukanlah bermaksud negara telah beralih ke fasa endemik sepenuhnya. Oleh itu, sebagai persediaan, masyarakat perlu belajar hidup bersama virus COVID-19 dengan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam (Kementerian Kesihatan Malaysia,2022).
Pembukaan semula negara secara selamat dan berperingkat (Reopening safely) melibatkan hampir semua sektor ekonomi termasuk sektor pendidikan (Pejabat Perdana Menteri,2022).
Penutupan institusi pendidikan yang berpanjangan menjejaskan masa depan pelajar dan pembukaan semula institusi pendidikan secara selamat menjadi keutamaan kebanyakan negara (UNICEF,2022). Namun begitu, kebanyakan institusi pendidikan terutamanya IPT mengambil langkah berjaga-jaga bagi meneruskan pembelajaran secara dalam talian. Selain itu, IPT juga lebih cenderung memikirkan kaedah pedagogi normal baharu sebagai persediaan ke pasca pandemik COVID-19. Hal ini disokong oleh penyelidikan berkaitan pelaksanaan PdP normal
baharu pasca pandemik melibatkan pembelajaran dalam talian dan pembelajaran teradun kian mendapat tempat dalam kalangan pengkaji-pengkaji (Micheal,2020). Justeru adalah wajar bagi IPT di Malaysia memainkan peranan yang proaktif dalam merangka pendekatan PdP yang sesuai dengan normal baharu dan sebagai persediaan menuju ke era endemik. Oleh itu, kertas konsep ini adalah bertujuan untuk membincangkan peralihan pendidikan semasa pandemik, isu pembelajaran dalam talian dan pembelajaran teradun sebagai alternatif PdP pasca pandemik dari segi model-model, implementasi semasa dan keperluan perubahan kurikulum.
2. Peralihan PdP Semasa Pandemik
IPT berperanan dalam menyumbangkan kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik Malaysia (Norzaini & Doria,2021). Penyampaian PdP di IPT lazimnya dilaksanakan melalui pembelajaran konvensional, pembelajaran teradun atau pembelajaran dalam talian sepenuhnya seperti mana yang diperuntukkan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia 2.0 (MQF 2.0,2017).
Sebelum pandemik melanda, pembelajaran di IPT lazimnya berbentuk konvensional yang mana dilaksanakan sepenuhnya menerusi kaedah bersemuka. Pembelajaran secara bersemuka mempunyai banyak kelebihan iaitu kaedah ini menyediakan interaksi antara pensyarah, pelajar dan fakulti secara nyata . Interaksi ini diakui meningkatkan keupayaan komunikasi menerusi persoalan dan perbualan yang inovatif. Pelajar juga berpeluang mendapatkan penjelasan dan jawapan kepada soalan di dalam bilik darjah dengan komunikasi dua hala bersama pensyarah atau rakan sekelas serta menggalakkan pembelajaran aktif. Selain itu, pembelajaran bersemuka di kampus juga memberi akses pendidikan berkualiti kepada pelajar menerusi fasiliti perpustakaan dan kakitangan yang bertauliah. Pelajar boleh mendapatkan khidmat sokongan pentadbiran dan juruteknik misalnya untuk memilih kursus, kaunseling dan bantuan penyelidikan bagi projek yang dijalankan. Secara keseluruhannya, pembelajaran secara bersemuka memberikan pengalaman bilik darjah yang memaksimumkan prestasi pelajar (Paul
& Jefferson,2019).
Apabila pandemik melanda dunia, IPT turut terjejas berikut penutupannya dan mendesak institusi ini untuk beralih dari pembelajaran secara konvensional kepada pembelajaran dalam talian. Namun begitu, bukan semua IPT mampu menghadapi transformasi drastik ini malah, sesetengah institusi menghadapi kesukaran untuk menerima perubahan. Walaupun kebanyakkan institusi mampu melakukan penyesuaian segera bagi meminimumkan gangguan terhadap kelangsungan pendidikan, namun keberkesanan peralihan mod pembelajaran ini masih menimbulkan pelbagai persoalan (Recio & Colella,2020; Sahu,2020). Misalnya, Ewing (2021) menyatakan di Sri Lanka kaedah PdP dalam talian tidak diterima dan dianggap sebagai kaedah yang kurang selesa kerana negara tersebut tidak mempunyai infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong PdP dalam talian. Di Singapura, IPT menggunakan mod pembelajaran teradun bagi memastikan kelangsungan PdP bagi kursus yang mempunyai keperluan latihan industri. Pembelajaran teori dijalankan secara dalam talian manakala latihan industri dijalani secara semuka di industri berkaitan. Menurut Paul & Jefferson (2019), pelajar yang menghargai pembelajaran, perbincangan dan hubungan bersama pensyarah, pelajar lain dan fakulti secara bersemuka, tidak meminati pembelajaran secara dalam talian. Hal ini kerana, pembelajaran dalam talian menyukarkan proses pembelajaran, mengurangkan motivasi dan interaksi sosial maka dalam keadaan ini pelajar akan menghadiri kelas dalam talian secara terpaksa dan secara tidak langsung menjadi tidak aktif. Walaupun peralihan PdP daripada yang bersifat konvensional kepada pembelajaran dalam talian ini memberi manfaat semasa pandemik, namun begitu peralihan ini telah menimbulkan pelbagai isu sehingga keberkesanan pembelajaran dalam talian menjadi persoalan.
3. Isu Pembelajaran Dalam Talian Semasa Pandemik
Pandemik global ini telah menggalakkan dan mempercepatkan inovasi dan perkembangan pesat terutamanya dalam bidang digital dalam pendidikan (Kang,2021). Amnya, sistem pendidikan terdiri daripada pelbagai elemen yang kompleks seperti pengajar, pelajar, kurikulum, sumber dan kemudahan. Oleh yang demikian, bukanlah mudah untuk sesebuah institusi pendidikan mengadaptasi atau beralih kepada sesuatu perubahan. Peralihan pendekatan pembelajaran daripada yang konvensional ke dalam talian secara drastik telah menimbulkan pelbagai isu sama ada dalam kalangan penyedia pendidikan, pensyarah mahupun pelajar (Nabil Hassan et al.,2021).
Peralihan ini telah menimbulkan persoalan tentang kemampuan penyedia pendidikan untuk melatih staf akademik menguasai teknologi, menyediakan kemudahan dan sumber yang mencukupi untuk memudahkan pengajaran dalam talian. Menurut Ferrie et al. (2020), pensyarah di IPT perlu bijak mengenal pasti pendekatan pedagogi mengikut kesesuaian, meneroka teknologi pendidikan yang baharu, menghadiri latihan kemahiran dan berani melakukan inovasi bagi memastikan PdP dalam talian tidak membosankan serta mampu menyediakan persekitaran pembelajaran yang aktif. Hal ini secara langsung mengingkatkan beban tugas yang menyebabkan pensyarah mengalami kesukaran dalam menguruskan masa antara tugas hakiki dengan peribadi sekaligus menjejaskan kesihatan mental dan menyebabkan gangguan emosi.
Selain itu, timbul juga persoalan tentang kesediaan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian dari aspek kemudahan peranti, akses internet, persekitaran untuk pembelajaran dan kos.
Tambahan pula, kualiti pendidikan dalam talian adalah isu kritikal kerana keberkesannya masih diragui dan pencapaian hasil pembelajaran masih menjadi tanda tanya terutamanya bagi kursus-kursus yang memerlukan latihan amali serta tidak dapat diajar secara dalam talian (Sahu,2020). Pembelajaran dalam talian menyebabkan tiga cabaran utama dalam kalangan pelajar iaitu tekanan beban kerja dan maklumat yang diterima daripada pengajaran melalui platform pembelajaran dalam talian, masalah kekurangan kemudahan untuk menyokong pembelajaran serta kesan kesihatan mental berkaitan dengan tekanan dan kegelisahan. Di samping itu, pembelajaran dalam talian juga memberi kesan yang ketara terhadap interaksi sosial antara pelajar yang mana kekangan infrastruktur dan talian internet yang tidak stabil menyebabkan kesukaran untuk melakukan perbincangan secara bersemuka serta menyebabkan komunikasi antara pelajar terjejas (Nabil Hassan et al.,2021; Ramlan et al.,2021).
Hal ini telah mendesak pihak IPT untuk mengambil langkah proaktif dan mengubah pendekatan pembelajaran kepada yang lebih sesuai. Akibatnya, kebanyakkan IPT menggunakan pendekatan pembelajaran teradun sebagai alternatif kepada pembelajaran dalam talian. Pembelajaran teradun bukanlah satu pendekatan baharu malah telah mula diperkenalkan pada lewat tahun 1990-an dan mula berkembang pada 2000-an (Anthony Jr. et al.,2020). Di Malaysia, pembelajaran teradun telah diperkenalkan sejak pengenalan Dasar e-Pembelajaran Negara 1.0 (DePAN 1.0) pada tahun 2011 (Jabatan Pendidikan Tinggi,2020) namun penggunaannya dalam kalangan IPT adalah kurang kerana IPT masih selesa dengan pembelajaran konvensional.
4. Pembelajaran Teradun Sebagai Alternatif PdP Pasca Pandemik
Pembelajaran teradun telah berkembang dan semakin popular dalam kalangan IPT serta ahli akademik berpendapat bahawa pendekatan pembelajaran ini mampu mengatasi isu berkaitan
dengan pembelajaran dalam talian dan semuka. Hal ini disokong oleh kajian Alammary et al.
(2014) yang melaporkan pembelajaran teradun terbukti lebih berkesan daripada pembelajaran dalam talian dan semuka. Di samping itu, ketidakpastian tentang keadaan pandemik yang berterusan telah menimbulkan pelbagai cabaran dan diakui institusi pendidikan tidak akan berada dalam keadaan yang sama selepas era pandemik. IPT berada di bawah tekanan yang semakin meningkat untuk mengubah pendekatan pedagogi susulan perubahan yang disebabkan oleh pandemik, pendigitalan dan perkembangan pesat teknologi. Pada masa kini penggunaan pembelajaran teradun semakin meningkat di IPT seluruh dunia malah ahli akademik meramalkan bahawa pendekatan ini akan berkembang sebagai pendekatan pedagogi baharu di IPT (Anthony Jr et al.,2021). Demikan juga di Malaysia, pelaksanaan pembelajaran teradun menunjukkan trend yang semakin meningkat kerana keberkesanannya sebagai pendekatan alternatif. Namun begitu, istilah pembelajaran teradun tidak mempunyai satu definisi tunggal yang jelas dan ketiadaan definisi tunggal ini menyebabkan pengajar mempunyai pemahaman berbeza yang menyebabkan reka bentuk serta penyampaian kursus mengikut pemahaman sendiri.
Secara amnya, pembelajaran teradun ditakrifkan sebagai intergrasi antara pembelajaran secara bersemuka dan pembelajaran secara dalam talian. Fisher et al. (2018), mengklasifikasikan pendekatan ini sebagai kaedah pedagogi yang lebih dinamik, mudah diadaptasi dan mampu diikuti secara kendiri oleh pelajar. Istilah pembelajaran teradun ini juga sebelum ini dikaitkan dengan pengajaran bilik darjah untuk aktiviti pembelajaran dalam talian di mana melibatkan gabungan kaedah pembelajaran bersemuka dan dalam talian. Lazimnya, pembelajaran teradun digunakan bersama istilah seperti pembelajaran bersepadu, fleksibel, mod campuran dan hibrid yang mengintegrasikan pelbagai aktiviti PdP. Tambahan pula, pendekatan ini bukan sahaja mengabungkan teknologi malah juga mengintegrasikan pengalaman kehidupan sebenar (Tadlaoui & Chekour,2021). Castor (2019) pula berpendapat, pembelajaran teradun merupakan pendekatan yang mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang sesuai bagi pelajar IPT kerana pembelajaran ini menggabungkan komunikasi berasaskan web, video dan audio secara segerak atau tidak segerak serta pembelajaran bersemuka yang sesuai dengan pelajar IPT.
Di samping itu, pembelajaran teradun juga diakui meningkatkan penglibatan, pengalaman pembelajaran pelajar dan mengalihkan tumpuan daripada pengajaran yang berpusatkan pengajar kepada pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Akibatnya, pelajar lebih aktif dalam pembelajaran, berkeyakinan dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri (Anthony Jr et al., 2020). Bouilheres et al. (2020), mengenal pasti pendekatan ini mampu membantu pelajar meningkatkan kemahiran komunikasi, keyakinan dirri, kesedaran dan menggalakkan perbincangan serta kerjasama sesama pelajar dan pensyarah. Keadaan ini dicapai dengan mengintergrasikan teknologi bagi meningkatkan aktiviti pembelajaran yang menggalakkan penglibatan aktif pelajar.
Model pembelajaran teradun
Pembelajaran teradun bukanlah pendekatan baharu dalam dunia pendidikan dan telah dijalankan di seluruh dunia dengan pelbagai model. Terdapat empat model pembelajaran teradun yang dilaksanakan di seluruh dunia iaitu Model Putaran (Rotation Model), Model Flex (Flex Model), Model La Carte dan Model Enriched Virtual ( Horn & Staker,2014).
Rotation model merupakan model pembelajaran teradun yang mana proses pembelajarannya boleh disesuaikan dengan jadual yang ditetapkan oleh pensyarah. Proses pembelajaran adalah melalui pengajaran secara berkumpulan sama ada kecil atau besar, aktiviti bersama rakan
sebaya, projek berkumpulan dan tugasan individu yang dilakukan secara dalam talian. Terdapat empat jenis kaedah yang lazim digunakan dalam model ini iaitu station rotation, lab rotation, flipped classroom dan individual rotation. Menurut kaedah station rotation, pelajar akan mengikuti satu siri aktiviti pembelajaran dalam kelas semasa tempoh berjadual tertentu.
Kemudiannya, terdapat pengiliran bagi aktiviti pengajaran dalam talian dan diikuti aktiviti berkumpulan, tugasan atau projek berkumpulan yang mana aktiviti ini dijalankan secara kolaboratif di setiap stesen (Krismadinata et al., 2020; Mahali et al., 2019).
Melalui kaedah lab rotation, pembelajaran berlaku secara bergilir berdasarkan jadual yang ditetapkan di mana pelajar belajar secara kendiri secara dalam talian yang berlaku di makmal melibatkan seluruh kelas atau kumpulan kecil. Individual rotation pula melibatkan aktiviti PdP berdasarkan kemampuan dan kehendak pelajar yang ditentukan oleh pensyarah dengan bantuan peralatan penilaian berasaskan teknologi (Dhaki et al., 2020).
Seterusnya, flipped classroom merupakan model pembelajaran teradun yang melibatkan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah. Pelajar secara individu terlebih dahulu akan mengakes bahan pengajaran secara dalam talian sebelum pertemuan secara bersemuka. Semasa sesi pembelajaran bersemuka, pemahaman selepas pembelajaran dalam talian dinilai dan pensyarah berperanan sebagai fasilitator yang membimbing dan mengawal aktiviti pembelajaran pelajar. Lazimnya, kaedah flipped classroom ini melibatkan pembelajaran kolabroratif dan pembelajaran berasaskan projek (Krismadinata et al., 2020; Mahali et al., 2019).
Model Flex atau Fleksible Model merupakan model pembelajaran teradun yang mana kandungan dan aktiviti PdP disampaikan secara dalam talian, pengajar masih menyediakan bimbingan, sementara pelajar akan belajar secara kendiri dengan bebas mengikut jadual yang ditetapkan. Oleh itu, model ini memberikan fleksibiliti dalam pembelajaran dan pengajar bertindak sebagai fasilitator yang memberikan sokongan luar talian fleksibel terhadap akitiviti PdP seperti projek berkumpulan, tugasan individu dan aktiviti berkumpulan (Dakhi et al., 2020).
Model La Carte atau self -blended pula merupakan model yang membenarkan pelajar memilih satu atau lebih kursus yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bagi melengkapkan program pengajian dan pengajar mengajar sepenuhnya dalam talian. Walaupun, pembelajaran berlaku secara dalam talian, pelajar masih menghadiri kelas secara bersemuka. Oleh yang demikian ciri model ini menjadikannya sebagai model pembelajaran yang sangat popular dalam kalangan pelajar dan pengajar (Krismadinata et al.,2020).
Akhirnya, Enriched Virtual Model sesuai untuk pelajar yang memerlukan sesi bersemuka dengan pensyarah dan mempunyai peluang untuk menyelesaikan pembelajaran tidak dilengkapkan semasa sesi bersemuka secara dalam talian. Pada masa kini terdapat pelbagai program yang dijalankan secara maya atau mod campuran menggunakan model ini bagi menyokong pengalaman pembelajaran pelajar (Dakhi et al., 2020).
Implementasi Pembelajaran Teradun
Pengimplementasian Rotation Model di IPT dapat dilihat menerusi contoh aplikasi di program EFL (English as Foreign Language) di UNISNU Jepara yang melibatkan pembelajaran teradun menggunakan kaedah station rotation dan flipped classroom (Mahali et al.,2019).
Pengimplementasian ini melibatkan tiga kitaran (Station rotation) iaitu instruksional berasaskan pensyarah, aktiviti kolaboratif dan kendiri serta pembelajaran dalam talian;
manakala kaedah flipped classroom pula melibatkan dua langkah iaitu perkongsian bahan pembelajaran dan tugasan mengunakan Learning Management System (LMS) oleh pensyarah dan sesi pembelajaran bersemuka di bilik darjah. Penggunaan kedua-dua model ini adalah berkesan bagi pengajaran program pengajian Inggeris kerana model ini dapat mengalakkan pembelajaran yang aktif, lebih fleksibel dan daya inkuiri dalam kalangan pelajar (Mahali et al.,2019).
Seterusnya, penggunaan model Lab rotation dalam kalangan pelajar IPT di China menunjukkan hasil yang positif. Ini dapat dilihat dalam kajian ke atas 114 pelajar tahun pertama bagi kursus pengkomputeran mendapati pembelajaran menggunakan model Lab rotation berjaya meningkatkan pemikiran pengiraan pelajar terutamanya berkaitan kaedah dan dimensi. Justeru, Cia et al. (2018), mencadangkan untuk mempromosikan pendekatan ini bagi kursus-kursus lain di IPT China. Cadangan ini disokong oleh Segol & Fillippavo (2019) yang mendapati Rotation model merupakan model yang paling sesuai untuk dipraktikkan di IPT teknikal dan kaedah station rotation merupakan kaedah yang paling efektif. Lantaran itu, pendekatan ini sesuai digunakan sebagai pendekatan pembelajaran terutamanya di IPT teknikal.
Penggunaan Flex Model telah diimplementasi secara meluas dan merupakan model yang popular kerana model ini membenarkan pelajar menjalani pembelajaran dalam talian secara fleksible manakala pensyarah berada di institusi. Hal ini disokong oleh kajian Hiasat (2018), yang mendapati pembelajaran menggunakan Flex Model didapati lebih diterima oleh pelajar program pengajian am universiti di UAE berbanding Rotation Model kerana pelajar berpendapat bahawa Flex model membenarkan pembelajaran yang lebih mudah dan fleksibel berbanding Rotation Model. Keberkesanan model ini turut dilaporkan oleh Segol & Filippavo (2019) dalam bidang kejuruteraan mekanikal, robotik dan kejuruteraan. Selain bidang kejuruteraan, model ini berjaya diimplementasi dalam bidang perubatan dan didapati berkesan serta pelajar mempunyai persepsi yang positif terhadap penggunaan model ini (Abdian et al.,2019).
Menurut Kayalar (2021), model Enriched Virtual Learning digunakan secara meluas dalam pembelajaran semasa pandemik kerana model ini sangat mudah dilaksanakan berbanding model lain. Secara amnya, pelajar akan mengikuti pembelajaran dalam talian dan hanya perlu hadir secara bersemuka pada keadaan tertentu. Kajiannya mendapati model ini digunakan di kebanyakkan negara dan sangat berguna serta memberi kesan positif terhadap hasil pembelajaran bagi program pengajian bahasa. Selain itu, Kayalar (2021) turut mencadangkan model ini diterapkan di semua peringkat pendidikan untuk meningkatkan pencapaian dan menggalakkan penglibatan aktif pelajar. Namun begitu, dapatan ini bercanggah dengan kajian Cordero et al. (2021) yang mendapati pelajar Teknologi Perubatan di Filipina menghadapi cabaran mengikuti pembelajaran menggunakan model Enriched Virtual semasa pandemik.
Antara cabaran yang dihadapi oleh pelajar adalah kesukaran untuk mengimbangi penglibatan, penghantaran tugasan dan penyertaan aktiviti secara dalam talian, beban tugas, pengurusan masa, komunikasi dengan rakan dan pensyarah serta masa infrastuktur. Tambahan pula, model Enriched Virtual tidak digunakan di IPT Ukraine kerana realiti pendidikan yang moden tidak membenarkan penggunaan model ini sepenuhnya. Namun begitu, Segol & Filippavo (2019) mencadangkan dengan perkembangan teknologi pendidikan dan peningkatan bilangan kursus untuk pembelajaran teradun, model ini dapat digunakan dengan aktif dalam IPT terutamanya IPT teknikal di Ukraine.
Model Self-blend atau A LA CARTE diimplementasi menerusi Massive Open Online Courses (MOOC) di kebanyakkan universiti. Model ini membenarkan pelajar menggabungkan
pendidikan sepenuh masa secara bersemuka dengan pembelajaran kendiri dalam pesekitaran digital. Selain itu, pelajar juga boleh merangka pembelajaran secara kendiri melibatkan multi disiplin dan merentas institusi pengajian dengan menggunakan platform MOOC. Di Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi mengesyorkan IPT mengambil inisiatif untuk membangunkan MOOC bagi mencapai matlamat pembelajaran teradun (Nour Awni & Farrah Dina,2020).
Sehingga kini, IPT awam mahupun IPT swasta telah mengambil langkah proaktif dalam membangunkan MOOC dan ini dapat dilihat menerusi perkembangan platform dan peningkatan bilangan kursus MOOC yang melibatkan IPT tempatan.
Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai model dan kaedah pembelajaran teradun yang diimplementasi di IPT seluruh dunia dan tiada satu model atau kaedah yang boleh diakui fit for all. Misalnya bagi kursus-kursus STEM, model Rotation dan model Flex lebih sesuai kerana model ini membenarkan pelajar mengikuti pembelajaran kelas teori secara dalam talian dan mengikuti sesi praktikal secara hands on bersemuka secara pengiliran atau fleksibel. Model Enriched Virtual pula didapati bersesuaian bagi kursus-kursus teori perubatan namun begitu gabungan dengan model Rotation didapati lebih berkesan kerana pelajar perubatan memerlukan latihan klinikal secara bersemuka selain mengikuti pembelajaran secara maya.
Akhirnya bagi kursus-kursus bukan STEM bidang sains sosial seperti pendidikan dan psikologi, model Self-blend atau A LA CARTE boleh dipertimbangkan sebagai model pembelajaran teradun yang sesuai. Pemilihan model pembelajaran teradun ini bergantung kepada pelbagai faktor antaranya geografi IPT; kemudahan dan fasiliti IPT; sokongan kewangan; kesesuaian dan silibus kursus, kepakaran tenaga pengajar dan teknikal; dan kemampuan pelajar dari aspek prasarana serta kemudahan.
Walau apa jua model pembelajaran teradun yang diimplementasi oleh IPT, perubahan dalam kaedah pengajaran ini perlu disokong dan sejajar dengan kandungan kurikulum serta penilaian.
Oleh itu adalah wajar untuk melakukan semakan semula kurikulum semasa agar pengimplementasian kaedah pengajaran yang baharu dapat dilaksanakan secara berkesan.
Keperluan Perubahan Dalam Kurikulum
Perubahan dalam sistem pendidikan IPT terutamanya kaedah penyampaian PdP semasa pandemik telah mengundang kepada desakan perubahan kurikulum. Kurikulum sedia ada sebelum pandemik yang lebih berfokuskan kepada PdP secara bersemuka tidak lagi relevan.
Justeru, matlamat utama institusi pendidikan adalah untuk menjadikan kurikulum lebih relevan, komprehensif dan responsif terhadap bencana, penyakit serta kecemasan maka adalah penting untuk mengkontektualisasi perubahan kurikulum dari perspektif pandemik.
Semasa penularan wabak COVID-19 kurikulum sedia ada telah diubah suai sebagai langkah penyesuaian untuk menyokong pembelajaran dalam talian. Tenaga pengajar telah mengintegrasikan dan mengurangkan kandungan dengan teliti tanpa menjejaskan hasil pembelajaran bagi sesuatu mata pelajaran. Pada masa kini, kebanyakkan IPT mengambil inisiatif untuk mengekalkan dan menambahbaik perubahan yang dilakukan semasa penularan wabak COVID-19 dengan mengubah kaedah PdP daripada dalam talian sepenuhnya kepada pembelajaran teradun.
Pembangunan kurikulum normal baharu ini perlu memberi perhatian terhadap pendekatan pedagogi yang digunakan. Dalam konteks pendekatan pembelajaran teradun, dokumen kurikulum perlu menjelaskan model pembelajaran teradun yang digunakan, komponen bersemuka, dalam talian dan elemen pentaksiran harus diperincikan. Selain itu, penggabungan kandungan antara pelbagai mata pelajaran bagi mengurangkan jam pertemuan harus
dipertimbangkan. Tambahan pula, kaedah pengajaran harus ditakrifkan semula dengan jelas dan memastikan kaedah yang disyorkan mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif sekaligus meningkatan kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar.
5. Potensi Pembelajaran Teradun
Secara amnya, pandemik COVID-19 telah mengubah lanskap pendidikan negara terutamanya di IPT. Pada masa kini, pendidikan di IPT adalah lebih fleksibel, berpusatkan pelajar dan berinovatif. Walaupun pelbagai pendekatan dan inisiatif telah diambil oleh fakulti serta pensyarah, namun keberkesanan inisiatif ini masih menjadi persoalan. Selain itu, isu kualiti pendidikan dalam talian sering kali menjadi perdebatan dalam kalangan ahli akademik mahupun masyarakat. Akibatnya, pihak penyedia pendidikan di IPT terpaksa mengubah pemikiran dan mengambil langkah drastik bagi memastikan pendidikan lebih berdaya saing serta berdaya tahan dengan mengimplementasikan pendekatan yang lebih efektif. Demikannya, pendekatan pembelajaran teradun dikenal pasti sebagai strategi alternatif yang sesuai digunakan di era pandemik mahupun di pasca pandemik.
Semasa pandemik, pendekatan pembelajaran teradun menjadi penyelamat kelangsungan pendidikan dan digunakan sebagai alternatif kepada pembelajaran dalam talian. Keberkesanan pendekatan ini tidak dapat dinafikan dan dapat dilihat dalam pelbagai kajian-kajian di luar dan dalam negara terutamanya bagi bidang yang memerlukan latihan praktikal misalnya bidang perubatan. Tambahan pula, pembelajaran teradun turut meredahkan tekanan yang disebabkan oleh pembelajaran dalam talian dalam kalangan ahli fakulti, pensyarah mahupun pelajar dengan sifatnya yang lebih fleksibel, melibatkan pembelajaran secara dalam talian dan bersemuka, membenarkan komunikasi yang lebih berkesan serta mengurangkan kelesuan pembelajaran.
Justeru, pendekatan pembelajaran teradun wajar dikekalkan sebagai pendekatan PdP alternatif pasca pandemik. Hal ini adalah kerana, walaupun ancaman wabak COVID-19 makin menurun dan negara dalam proses peralihan ke era endemik, namun IPT harus sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarangan cabaran pada masa akan datang. Tambahan pula, IPT telah melaburkan masa, tenaga dan wang untuk membangunkan kepakaran, infrastruktur serta modul-modul kursus pembelajaran teradun semasa pandemik, maka adalah lebih praktikal pendekatan pembelajaran ini dikekalkan atau ditambah baik bagi mengelakkan pembaziran.
Pada masa akan datang, bagi memastikan pembelajaran kekal relevan dan seiring dengan revolusi industri dan pendigitalan, IPT perlu bersifat terbuka dan inovatif bagi menambahbaik kaedah pembelajaran secara berterusan. Pendekatan pembelajaran teradun boleh digabungjalinkan dengan teknologi terkini. Contohnya, penggunaan pembelajaran teradun dengan aplikasi mobile realiti terimbuh (Augmented Reality) seperti mana yang diperkenalkan dalam bidang perubatan bagi kursus anatomi dan bidang kejuruteraan pembangunan di Afrika Selatan (Boomgaard et al.,2022; Hendricks,2022). Seterusnya, model pembelajaran gamifikasi-teradun turut mempunyai potensi yang tinggi dan kian berkembang sebagai pendekatan pedagogi era baharu, misalnya model ini digunakan bagi kursus keusahawanan di Indonesia dan dipercayai meningkatkan motivasi dan pencapaian pembelajaran pelajar (Wangi et al.,2021).
6. Kesimpulan
Kehidupan di normal baharu memerlukan perubahan tabiat dalam pelbagai aspek termasuk proses pembelajaran. Walaubagaimana pun, dalam keadaan semasa pembelajaran konvensional harus dipertimbangkan dan bukannya bergantung kepada pembelajaran dalam talian semata-mata. Ini kerana, pembelajaran konvensional penting bagi memastikan pengajar dapat membimbingi pelajar untuk meningkatkan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, pemikiran kreatif, pemikiran kritis dan kolaboratif yang diakui lebih berkesan untuk diterapkan secara bersemuka. Oleh itu, pendekatan pembelajaran yang tepat diterapkan dalam era pandemik yang tidak menentu ini adalah pembelajaran teradun kerana pelajar masih boleh belajar secara bersemuka dan dalam talian serta kemahiran abad ke-21 dapat dipupuk agar pelajar dapat mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.
Kesimpulannya, pada masa akan datang pembelajaran teradun dijangka akan berkembang dengan pesat berikutan kesedaran tentang pedagogi dalam kalangan pensyarah, penyediaan reka bentuk dan struktur kursus yang kukuh bagai memberi pengalaman pembelajaran yang komprehensif. Justeru, kini tibalah masa untuk penyedia pendidikan terutamanya IPT berfikir secara strategik, inovatif dan inklusif serta mengambil langkah-langkah proaktif dalam menyusun semula pembelajaran teradun bagi memastikan kualiti pendidikan terjamin.
Rujukan
Adzhar, K., Wan Zuhanis, S., Rozita, H., Norshahriah, W., Gan, L.M., Nurfadhlina, M.S. &
Syakirah, S. (2020). Garis panduan pelaksanaan pembelajaran teradun gantian (Pembelajaran dalam talian). Putrajaya: Jabatan Pendidikan Tinggi.
Agarwal, A. (2021). The future of learning is blended. Moving horizontally: The new dimensions of at-scale learning in the time of COVID-19.
http://hdl.handle.net/1853/64299
Anthony, B., Kamaludin, A., Romli, A., Raffei, A.F.M., Phon, D.N.A.L.E., Abdullah, A. &
Ming, G.L. (2022). Blended Learning Adoption and Implementation in Higher Education:
A Theoretical and Systematic Review. Technology, Knowledge and Learning 27(2): 531–
578.
Anthony Jnr, B., Kamaludin, A., Romli, A., Mat Raffei, A.F., A_L Eh Phon, D.N., Abdullah, A., Leong Ming, G., A Shukor, N., Shukri Nordin, M. & Baba, S. (2020). Predictors of blended learning deployment in institutions of higher learning: theory of planned behavior perspective. International Journal of Information and Learning Technology 37(4): 179–
196.
Bouilheres, F., Le, L.T.V.H., McDonald, S., Nkhoma, C. & Jandug-Montera, L. (2020).
Defining student learning experience through blended learning. Education and Information Technologies 25(4): 3049–3069.
Boomgaard, A.; Fritz, K.A.; Isafiade, O.E.; Kotze, R.C.M.; Ekpo, O.; Smith, M.; Gessler, T.;
Filton, K.J.; Cupido, C.C.; Aden, B.; et al. (2022). A novel immersive Anatomy Education System (Anat_Hub): Redefining blended learning for the musculoskeletal system. Appl.
Sci., 12: 5694. https://doi.org/ 10.3390/app12115694.
Cai, J., Yang, H.H., Gong, D., MacLeod, J., Jin, Y. (2018). A case study to promote computational thinking: The Lab Rotation Approach. Blended Learning. Enhancing Learning Success. Lecture Notes in Computer Science, 10949.
https://doi.org/10.1007/978-3-319-94505-7_32
Castro-Rodríguez, M.M., Marín-Suelves, D., López-Gómez, S. & Rodríguez-Rodríguez, J.
(2021). Mapping of scientific production on blended learning in higher education.
Education Sciences. MDPI.
Cordero, I.K., Arabis, E.J., Lugo, M.M., Torno, M.B., Ventura, J.N., Frieda, M. & Hapan, Z.
(2021). Phenomenologizing Filipino Medical Technology Students Experiences in the Enriched Virtual Mode of Learning. International Journal Of Progressive Research In Science And Engineering Vol. 2 www.ijprse.com.
Dakhi, O., Jama, J. & Irfan, D. (2020). Blended learning: a 21st century learning model at college. International Journal of Multi Science 1(7): 50–65.
Ewing.L.A. (2021). Rethinking higher education post COVID-19. The Future of Service Post- COVID-19 Pandemic (1). https://doi.org/10.1007/978-981-33-4126-5_3
Faustino, A. & Kaur, I. (2021). Blended Learning Models: Perspectives’ in Higher Education.
Advances in Engineering Research 209: 185–190.
Ferri, F., Grifoni, P. & Guzzo, T. (2020). Online learning and emergency remote teaching:
Opportunities and challenges in emergency situations. Societies 10(4)
Fisher, R., Perényi, Á. & Birdthistle, N. (2018). The positive relationship between flipped and blended learning and student engagement, performance and satisfaction. Active Learning in Higher Education : 1-17, doi: 10.1177/1469787418801702.
Hendricks, D. (2022). Applications of augmented reality as a blended learning tool for architectural education. Scholarship of Teaching and Learning in the South.6(1): 79–94.
https://doi.org/10.36615/sotls.v6i1.247.
Hiasat, L., (2018). Blended and experiential learning for Emiratis in tertiary education. Journal of Asia TEFL, 15(3): 874.
Horn, M. B., & Staker, H. (2014). Blended learning is about more than technology. Education Week, 34(14):22-28.
Kayalar, F. (2021). Importance of Enriched Virtual learning model in hybrid teaching application. Proceedings of IAC in Budapest 2021 hlm. 23–27 www.conferences- scientific.cz.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). (2022). Situasi terkini COVID-19 di Malaysia.
https://covid-19.moh.gov.my/terkini [9 Mei 2022].
Krismadinata, Unung Verawardina, Nizwardi Jalinus, Fahmi Rizal, Sukardi, Putu Sudira, Dochi Ramadhani, Arina Luthfini Lubis, John Friadi, Ari Syaiful Rahman Arifin, Dony Novaliendry. (2020). Blended learning as instructional model in vocational education:
Literature Review. Universal Journal of Educational Research, 8(11B): 5801 - 5815.
Lau, J. (2020). Will online education widen Asia‘s digital divide. The World University Rankings. Times Higher Education.
Mahalli, ., Nurkamto, J., Mujiyanto, J. & Yuliasri, I. (2019). The Implementation of Station Rotation and Flipped Classroom Models of Blended Learning in EFL Learning. English Language Teaching 12(12): 23.
Malaysian Qualifications Agency (MQA). (2017). Malaysian Qualifications Framework (MQF) 2nd edition. https://www.mqa.gov.my/pv4/ document/
mqf/2019/Oct/updated%20 MQF%20Ed%202%2024102019.pdf. [2 Julai 2022].
Nabil Hasan Al-Kumaim, N. H., Mohammed, F., Gazem, N. A., Fazea, Y., Alhazmi, A. K., &
Dakkak, O. (2021). Exploring the impact of transformation to fully online learning during COVID-19 on Malaysian University students’ academic life and performance.
International Journal of Interactive Mobile Technologies (iJIM), 15(5): 140–158.
https://doi.org/10.3991/ijim.v15i05.20203
Nass, O., Skuliabina, O., Kamalova, G. & Nass, S. (2021). Models Self-Blend and A la CARTE as a promising direction for the transformation of higher education. Proceedings - 2021 16th International Conference on Electronics Computer and Computation, ICECCO 2021.
Institute of Electrical and Electronics Engineers Inc.
Norzaini, A. & Doria, A. (2021). A critical analysis of Malaysian higher education institutions’
response towards covid-19: sustaining academic program delivery. Journal of Sustainability Science and Management 16(1): 70–96.
Nour Awni, A. & Farrah Dina, Y. (2020). Systematic review of a nationwide mooc initiative in malaysian higher education system. Electronic Journal of e-Learning 18(4): 288–299.
Paul, J., & Jefferson, F. (2019). A comparative analysis of student performance in an online vs. face-to-face environmental science course from 2009 to 2016. Frontiers in Computers Science 1: 7. https://doi.org/10.3389/fcomp.2019.00007.
Prime Minister’s Office of Malaysia (PMO). (2022). Fasa peralihan ke endemik.
https://www.pmo.gov.my/2022/03/kenyataan-media-berkaitan-fasa-peralihan-ke- endemik/ [9 Mei 2022].
Ramlan, M., Maziah, M., Norhapizah Mohd, B., Hapini, A., Sannagy, P.B. & Mohd Fairuz, J.
(2021). An Exploration on Online Learning Challenges in Malaysian Higher Education:
The Post COVID-19 Pandemic Outbreak. International Journal of Advanced Computer Science and Applications 12(7): 391–398.
Recio, S.G. & Colella, C. (2020). The world of higher education after COVID-19: How COVID-19 has affected you universities. Brussels.
Sahu, P. (2020). Closure of universities due to Coronavirus Disease 2019 (COVID-19): Impact on education and mental health of students and academic staff. Cureus 12(4).
Singh, J., Steele, K. & Singh, L. (2021). Combining the Best of Online and Face-to-Face Learning: Hybrid and Blended Learning Approach for COVID-19, Post Vaccine, & Post- Pandemic World. Journal of Educational Technology Systems 50(2): 140–171.
UNICEF. (2022). Safe school reopening. https://www.unicef.org/rosa/safe-school-reopening [30 Jun 2022]
Wangi, N. B. S., Setyosari, P., Kuswandi, D., & Dwiyogo, W. D. (2021). Integrating gamification in a blended learning entrepreneurship course: discussing student learning and achievement motivation. International Journal of Innovation and Learning, 30(1): 91- 113.
World Health Organisation (WHO). (2022). WHO Coronavirus dashboard.
https://covid19.who.int/ [9 Mei 2022].