Pendekatan Pro-Poor Tourism (PPT) dalam Mengatasi Masalah Kemiskinan Komuniti Orang Asli
(Pro-Poor Tourism Approach (PPT) in Overcoming the Poverty of the Orang Asli Community)
Rohayu Roddin1*, Yusmarwati Yusof1, Marina Ibrahim Mukhtar1, Halizah Awang1, Zurina Yasak1
1 Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Parit Raja, Johor, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 December 2022 | Published: 31 December 2022
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpg.2022.4.4.3
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Pendekatan Pro-poor tourism (PPT) bertujuan untuk mengatasi masalah kemiskinan melalui penglibatan dalam pelancongan. Kelebihan komuniti Orang Asli adalah melalui aset yang mereka miliki seperti alam sekitar, kraftangan, budaya dan cara hidup yang boleh dijual kepada pelancong. Melalui kajian yang dilaksanakan dalam komuniti Orang Asli Mah Meri menunjukkan bahawa pendekatan PPT telah berjaya meningkatkan ekonomi mereka melalui penglibatan dalam pelancongan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah temubual dan pemerhatian. Melalui temubual bersama lima orang yang terlibat dalam aktiviti pelancongan dan pemerhatian persekitaran menunjukkan bahawa beberapa elemen penting PPT diperlukan untuk memastikan kejayaan aktiviti pelancongan melibatkan pembangunan pengetahuan dan kemahiran, pembangunan produk pelancongan, pengurusan dan pemasaran, jaringan kerjasama dan kemudahan prasarana. Ia menjadi satu petunjuk kepada kejayaan pendekatan PPT dalam kalangan komuniti orang asli yang dapat dijadikan sebagai satu penanda aras untuk merubah sosioekonomi komuniti miskin orang asli yang lain.
Kata kunci: Pro-Poor Tourism (PPT), Kemiskinan, Orang Asli
Abstract: The Pro-poor tourism (PPT) approach aims to overcome the problem of poverty through involvement in tourism. The advantage of the Orang Asli community is through the assets they have such as the environment, handicrafts, culture and way of life that can be sold to tourists. Through research carried out in the Orang Asli community of Mah Meri, it shows that the PPT approach has successfully improved their economy through involvement in tourism. This study uses a qualitative approach through interviews and observations. Through interviews with five people involved in tourism activities and environmental observations, it was shown that several important elements of PPT are required to ensure the success of tourism activities involving the development of knowledge and skills, development of tourism products, management and marketing, cooperation networks and infrastructure facilities. It is an indication of the success of the PPT approach among the indigenous community which can be used as a benchmark to change the socioeconomics of other poor indigenous communities.
Keywords: Pro-Poor Tourism (PPT), Poverty, Orang Asli
_________________________________________________________________________
1. Pengenalan
Pro-Poor Tourism (PPT) merupakan satu pendekatan yang bertujuan untuk menggunakan pelancongan sebagai kaedah strategik bagi mengurangkan kemiskinan dalam kalangan masyarakat yang terpinggir. Bagi menjayakan pendekatan ini, perusahaan berasaskan pelancongan perlu dibangunkan bagi menjana manfaat kepada golongan miskin. Banyak kajian membuktikan bahawa pelancongan banyak membawa perubahan positif terutama kepada komuniti miskin kerana pembangunan pelancongan tidak memerlukan modal yang besar dan hanya cukup mengembangkan potensi yang ada dalam komuniti tersebut. Justeru, melalui penyertaan komuniti mampu untuk menggerakkan aktiviti pelancongan di sesuatu kawasan (Yahaya, 2008; Yahaya, 2009).
Pelancongan mempunyai kelebihan berbanding sektor lain dalam keupayaannya mengurangkan kemiskinan. Ini jelas dapat dibuktikan bahawa pelancongan adalah industri yang pelbagai dan mempunyai skop yang luas dalam penyertaan terutama dari sektor tidak rasmi. Pelancongan adalah lebih intensif buruh dan menggunakan sumber tenaga wanita yang lebih tinggi berbanding sektor-sektor yang lain seperti pembuatan. Melalui pelancongan, pelanggan atau pelancong datang kepada produk dan menawarkan peluang-peluang untuk membuat jualan tambahan dan mewujudkan jaringan. Produk pelancongan boleh dibangunkan melalui sumber semulajadi dan budaya yang sering menjadi aset kepada golongan miskin (Roddin, 2016).
Keadaan ini amat bersesuaian dengan kajian yang dilaksanakan di mana komuniti Orang Asli mempunyai aset yang boleh dibangunkan tetapi golongan ini tidak mengetahui faedah yang boleh dijanakan melalui aset yang mereka miliki. Justeru itu, pemilihan komuniti Mah Meri dalam pelaksanaan kajian ini adalah bertepatan kerana mereka merupakan golongan yang memperolehi faedah dari penceburan dalam aktiviti pelancongan dan sekaligus ia menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah.
2. Pendekatan Pro-Poor Tourism
Setiap bentuk pelancongan yang memberi faedah kepada golongan miskin boleh diistilahkan sebagai Pro-Poor Tourism (PPT) seperti pelancongan yang melibatkan komuniti Orang Asli.
Ini kerana ianya bukanlah produk ataupun sektor. PPT bertujuan untuk membuka peluang ekonomi kepada kehidupan golongan miskin bagi membolehkan orang miskin mendapatkan pendapatan atau mengurangkan kemiskinan melalui faedah pelancongan yang dilaksanakan.
Pelancongan Orang Asli boleh menjadi salah satu bentuk pelancongan PPT disebabkan tujuan pembangunan pelancongan itu sendiri adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan dan sekaligus ia boleh mengurangkan kadar kemiskinan. Pada masa kini Pro-Poor Tourism (PPT) banyak dilaksanakan di negara-negara membangun sebagai satu cara untuk meningkatkan ekonomi tempatan melalui penyediaan ruang pekerjaan melalui penglibatan dalam pelancongan. Matlamat pelancongan ini lebih menekankan penglibatan komuniti setempat dalam proses membuat keputusan. Selain itu, ia juga menggalakkan penglibatan syarikat dan agensi pelancongan dalam membantu komuniti yang miskin. Apa yang ditekankan dalam pelancongan ini ialah menghasilkan faedah bersih untuk golongan miskin (Roddin, 2016).
PPT seperti yang digariskan oleh African Pro-Poor Development Centre (2006) ialah:
(i) Meningkatkan faedah ekonomi; dengan meningkatkan peluang-peluang perniagaan untuk golongan miskin dan meningkatkan pendapatan kolektif masyarakat (upah).
(ii) Meningkatkan faedah bukan ekonomi; pembinaan keupayaan, latihan, kuasa, mengurangkan kesan alam sekitar kepada golongan miskin, menangani kesan-kesan sosial dan budaya pelancongan dan meningkatkan akses setempat melalui infrastruktur dan perkhidmatan asas yang bertujuan untuk menyokong pelancongan yang dapat memberi manfaat kepada golongan miskin.
(iii) Dasar atau proses pembaharuan; mewujudkan dasar yang lebih menyokong dalam merancang rangka kerja, menggalakkan penyertaan golongan miskin dalam membuat keputusan, membina perkongsian pro-poor (pro-poor partnerships) dengan sektor swasta, meningkatkan aliran maklumat dan komunikasi.
Pelaksanaan PPT bagi golongan miskin adalah bertepatan dalam meningkatkan sumber pendapatan kerana ia adalah satu solusi yang tidak memerlukan modal yang besar kerana budaya dan sumberjaya yang dimiliki oleh golongan ini mampu dijual kepada pelancong untuk menghasilkan pendapatan. Selain itu peranan pihak kerajaan dan pihak yang berkepentingan adalah perlu dalam membantu komuniti miskin di peringkat awal pelaksanaan pendekatan ini.
3. Siapakah Orang Asli
Masyarakat orang asli dikenali dengan pelbagai nama. Di negara luar, mereka dikenali sebagai masyarakat peribumi. Manakala di Malaysia, masyarakat peribumi merujuk kepada penduduk asal yang terdiri daripada Orang Melayu, Orang Asli di semenanjung, kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak. Istilah peribumi terbahagi kepada dua iaitu Bumiputera dan Orang Asli (Roddin, 2016).
Akta 134 merupakan akta khusus bagi Orang Asli yang hanya diterimapakai di Semenanjung Malaysia sahaja. Berdasarkan Seksyen 3 dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), Orang Asli ditakrifkan seperti berikut:
(i) Mana-mana yang bapanya ialah ahli daripada kumpulan etnik Orang Asli, yang bercakap bahasa Orang Asli dan lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat kepercayaan Orang Asli, dan termasuklah seorang keturunan melalui lelaki itu;
(ii) Mana-mana orang daripada mana-mana kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa budak oleh Orang Asli dan yang telah dibesarkan sebagai seorang Orang Asli, lazimnya bercakap bahasa Orang Asli, mengikut cara hidup Orang Asli dan adat kepercayaan Orang Asli, dan menjadi ahli daripada suatu masyarakat Orang Asli; atau
(iii) Anak daripada mana-mana penyatuan antara seorang perempuan Orang Asli dengan
seorang lelaki daripada suatu kaum lain, dengan syarat anak itu lazimnya bercakap bahasa Orang Asli dan kepercayaan Orang Asli dan masih lagi menjadi ahli daripada suatu masyarakat Orang Asli.
(JAKOA, 2022)
4. Kemiskinan dalam kalangan Orang Asli
Masalah kesmikinan dan kemunduran menjadi cabaran utama pihak kerajaan dalam mengatasi masalah ini. Kemiskinan dan kemunduran merupakan halangan kepada komuniti ini untuk lebih maju disebabkan oleh cara pemikiran mereka yang tidak mahukan perubahan, pendapatan yang rendah, kebergantungan kepada pendapatan sara diri, tidak bekerja, tahap pendidikan yang rendah, kekurangan kemahiran seperti kemahiran interpersonal dan intrapersonal (Roddin et. al, 2020)
Pada 2019, insiden kemiskinan di kalangan Orang Asli adalah kira-kira 33.6 peratus. Tahap pendidikan dalam kalangan Orang Asli yang rendah mengurangkan mobiliti sosial dan kebolehpasaran kumpulan ini. Infrastruktur asas yang tidak mencukupi, kekurangan ameniti dan perkhidmatan seperti jalan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air terawat dan telekomunikasi telah menjejaskan kesejahteraan komuniti ini. Isu berkaitan pembangunan tanah Orang Asli juga menjejaskan sosioekonomi mereka (Mustapa, 2021).
Namun dewasa ini telah menjadi isu hangat diperkatakan tentang bidang yang lebih sesuai dengan masyarakat Orang Asli iaitu bidang pelancongan sama ada eko-pelancongan atau agro- pelancongan. Ini kerana majoriti masyarakat Orang Asli sangat selesa dengan alam sekitar walaupun arus permodenan semakin meningkat. Selain itu, golongan pelancong juga masih meminati untuk meneroka tempat-tempat semulajadi termasuk penempatan masyarakat Orang Asli yang dapat memperkenalkan budaya dan warisan masyarakat tersebut kepada pelancong (Roddin et al 2021).
5. Metodologi Kajian
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah temubual bersama lima (5) orang peserta kajian. Setiap peserta mempunyai latar belakang dan kemahiran yang berbeza.
Terdapat perserta yang hanya tahu mengukir sahaja dan terdapat juga peserta yang mempunyai kemahiran mengukir dan tarian (kebudayaan). Selainnya terlibat dengan anyaman dan tarian.
Kemahiran ini telah diwarisi turun-temurun dari nenek moyang mereka. Latar belakang peserta yang dipilih merupakan peserta yang pernah terlibat diperingkat awal pengembangan sektor pelancongan di Kampung Sungai Bumbun dan termasuk mereka yang masih aktif sehingga sekarang.
Jadual 1: Latar Belakang Peserta Kajian Bil. Peserta
Kajian
Tahap Pendidikan Jantina Kemahiran
1 PK1 Darjah 6 Perempuan Anyaman dan tarian (kebudayaan) 2 PK2 Darjah 6 Perempuan Anyaman dan tarian (kebudayaan) 3 PK3 Darjah 1 Perempuan Anyaman dan tarian (kebudayaan)
5 PK4 Darjah 6 Lelaki Ukiran
6 PK5 Tidak Bersekolah Lelaki Ukiran dan tarian (kebudayaan)
PK1 merupakan ketua bagi kumpulan anyaman dan kebudayaan. PK2 juga merupakan peserta dalam kumpulan anyaman dan kebudayaan. Ramai antara mereka masih terlibat aktif dalam ukiran, anyaman dan tarian. Namun begitu PK3 hanya meneruskan anyaman dan telah berhenti untuk aktiviti kebudayaan atas faktor umur. Begitu juga dengan PK4 telah berhenti dalam ukiran disebabkan oleh faktor umur dan penerusan aktiviti ukiran diteruskan oleh anak-anak.
Namun begitu proses bimbingan kepada generasi baru tetap diberikan. Majoriti peserta kajian mempunyai tahap pendidikan walaupun di peringkat sekolah rendah kecuali PK5. Walaupun PK5 tidak tahu membaca, beliau mempunyai kemahiran berkomunikasi serba sedikit dalam Bahasa Inggeris ekoran pengalaman yang diperoleh dari aktiviti pelancongan di penempatan mereka. Kumpulan ukiran, anyaman dan kebudayaan saling melengkapi bagi tujuan aktiviti pelancongan melibatkan tarikan melihat proses pembuatan ukiran dan anyaman, kebudayan dan juga pembelian produk kraf tangan. Justeru itu, pemilihan sampel kajian adalah memenuhi dari segi aspek penglibatan mereka dalam aktiviti pelancongan termasuk memberi gambaran kepada proses PPT yang berlaku dalam komuniti ini.
Semua peserta kajian yang dipilih tinggal di Kampung Sungai Bumbun. Pemilihan Kampung Sungai Bumbun merupakan lambang pelancongan komuniti Mah Meri di Pulau Carey. Namun begitu, pemilihan peserta kajian tidak dapat mewakili keseluruhan suku kaum Mah Meri di kawasan lain tetapi dapatan kes kajian ini boleh disesuaikan mewakili ciri-ciri persamaan yang ada pada komuniti Mah Meri yang lain khususnya dan komuniti terpinggir lain amnya termasuk suku kaum asli berbeza. Kaedah Tematik telah digunakan dalam menganalisis data kajian dengan mengeluarkan tema-tema utama yang berbentuk elemen PPT.
6. Hasil Kajian
Daripada kajian yang dijalankan jelas menunjukkan bahawa elemen penting PPT adalah seperti Rajah 1 di bawah melibatkan pembangunan pengetahuan dan kemahiran, pembangunan produk pelancongan, pengurusan dan pemasaran, jaringan kerjasama dan kemudahan prasarana yang membentuk kejayaan aktiviti pelancongan dalam kalangan komuniti Mah Meri.
Rajah 1: Elemen PPT yang Membentuk Kejayaan Pelancongan Suku Kaum Mah Meri
Pembangunan Pengetahuan dan Kemahiran
Elemen ini adalah penting dalam menyokong aktiviti pelancongan dalam kalangan suku kaum Mah Meri. Bagi golongan ini pengetahuan dan kemahiran dibentuk berdasarkan pengalaman dan pembelajaran daripada golongan terdahulu. Seperti yang dinyatakan oleh PK1, PK2, PK3 dan PK4.
“…Mak saya mengukir dulu, ada pelancong Jerman iaitu lelaki Jerman selalu melepak kat rumah mak saya ni. Ada masa dia datang melepak. Dia naik motor besar kuasa tinggi. Datang masuk dan ada juga suami isteri pelancong datang sini tidur satu malam. Masa tu mak tak pandai cakap English. Bapa tak pandai. Mak terima juga. Masa tu saya pergi sekolah, saya mintalah pelancong tu “come in” belajar dekat sekolah. Ada juga orang putih saya main-main dengan anak dia. Masa tu kecil lagi. 10 tahun, 12 tahun pada tahun 60-an dan 70an”. (PK1)
“…kalau pergi Vietnam, Indonesia dan Filipina, NGO yang bawa. Dekat sana kita pergi melawat sambil belajar”. (PK1)
ELEMEN PPT
Pengetahuan dan Kemahiran
Pembangunan Produk Pelancongan
Pengurusan dan Pemasaran Jaringan
Kerjasama Kemudahan
Prasarana
“...Cara warna semua tu. kita ni memang dari dulu. Kita mewarisi je. Nak ubahnya melalui warna ke. Contoh penanda buku, ada 2 corak. Pahat dengan corak bunga tu. Tapi kita boleh cari idea sendiri. Macam-macam bentuk la. Idea datang sendiri”. (PK2)
“…Idea buat corak ni datang dari orang lama. Warna tu biasalah kita sendirilah. Kita nak betul-betul warna tu kita sendirilah buat warna tu”. (PK3)
“…Bentuk-bentuk satu-satu ukiran tu.. itu masing-masing punya idea. Kita buatlah rupa macam-macam bentuk. Tak de lukis-lukis. Ambil kain.. tebuk.. kalau nak tulis.. tulis kat sini..
tebuk…tebuk… tebuk… apa nak jadi…jadi lah. Tebuk ikut jadi… jadi tu jadilah.. Idea datang sendiri”. (PK4)
“…Kemahiran ini tak belajar tempat lain. Ini semua belajar dari turun temurun. Macam adik saya ni bapa dia mengukir…bapa dia meninggal…dia la ganti pula”. (PK4)
Jelas di sini bahawa pembangunan pengetahuan dalam komuniti Mah Meri banyak diperoleh dari warisan turun-temurun dan pendedahan yang diberikan oleh pihak kementerian, JAKOA dan NGO yang melibatkan mereka dalam pameran dan lawatan. Jelas menunjukkan bahawa bagi membantu golongan miskin melalui pendekatan PPT, pembangunan pengetahuan dan kemahiran perlu diberi keutamaan agar hasilnya dapat memenuhi permintaan pelancong.
Pembangunan Produk Pelancongan
Apa yang dimaksudkan dengan pembangunan produk pelancongan ialah merujuk kepada tarikan yang terdapat dalam komuniti Mah Meri yang sentiasa diberi nafas baharu sesuai dengan keperluan semasa dan permintaan pelancong. Produk yang dimaksudkan ini termasukkan kraftangan dan kebudayaan.
“…Suku kaum Mah Meri ni memang pandai menganyam. Cuma tunjuk kita ni apa. Dia orang semua pandai menganyam. Tunjuk contoh je, ni.. ni.. dia buat. Warna kita sini. Design lama- lama nenek moyang kita memang dah tahu. Tapi yang huruf-huruf ni design sekarang. Pandai buat design sekarang seperti huruf ‘a’, huruf ‘k’, huruf ‘m’, ‘w’. Dia orang reka-rekalah”.
(PK1)
Pembangunan produk pelancongan adalah penting untuk menjayakan pendekatan PPT. Justeru bagi membantu golongan miskin melalui PPT perkara penting yang perlu diutamakan adalah pembangunan produk pelancongan. Selain itu, produk pelancongan yang dibangunkan perlu perubahan dan penambahbaikan agar kelestarian tarikan ini dapat dikekalkan mengikut peredaran masa dan cita rasa pelancong.
Pengurusan dan Pemasaran
Pengurusan dan pemasaran merupakan elemen penting dalam PPT bagi tujuan melestarikan tarikan pelancongan. Bagi komuniti ini peranan ketua seperti PK1 memainkan peranan penting untuk membentuk kejayaan bersama. Selain itu, NGO juga memainkan peranan penting dalam membantu pemasaran produk pelancongan komuniti ini.
“…Sebenarnya apa-apa yang kami buat sekarang untuk membuka mata masyarakat Malaysia dulu. Mah Meri dia tak terkenal kan? Sekarang terkenal. Dulu-dulu tak de. Mula-mula kita mula dulu, kita naikkan nama Mah Meri. Mah Meri ni mewakili semua kampung yang ada dekat Malaysia ni. Lebih baik kita lah yang gerak untuk bawa nama Mah Meri. Nak juga saya
bekerjasama dengan kampung lain tapi agak susah lah. Dia orang nak bayaran tinggi. Kita tidak”. (PK1
“…sebenarnya NGO yang tolong. Semua saya tahu apa yang mereka buat. Sebelum ni memang saya tak tahu guna computer (internet) tapi sekarang saya dah tahu dah. Saya tengok je.
Masuk-masuk gambar belum lagi. Setakat tengok tu memang saya dah tahu. Boleh baca cerita”. (PK1)
“…NGO buat promosi di internet sukarela. Dia buat sukarela, tapi dalam jualan tu kita kan bayar juga lah. Dalam jualan kita ada bayar juga dekat internet tu. Permintaan luar negara ada juga. Kalau dalam internet memang luar negara lah. Ada juga yang datang sini kalau dah tahu”. (PK1)
“…Penanda buku idea NGO. Buat satu contoh bagi NGO jual. Cepat terjual. Cepat buat dan cepat dapat sambutan”. (PK1)
Bagi membantu golongan miskin melalui PPT, pengurusan dan pemasaran menjadi elemen penting dalam perusahaan pelancongan agar tarikan yang ada dapat diuruskan dengan baik dan diketahui oleh pelancong luar. Peranan kerajaan dan NGO masih diperlukan dalam membantu golongan ini sehingga terdapat generasi baharu daripada komuniti Orang Asli yang mempunyai pendidikan yang tinggi mengambil alih proses ini.
Jaringan Kerjasama
Jaringan kerjasama adalah penting di mana ia membentuk satu unik pelancongan yang lebih kukuh. Seperti PK5 menyatakan bahawa dia turut serta menari dalam kumpulan yang berbeza dari kampung lain.
“…Sampai Kampung Sungai Judah kan, dah jumpa saya, anak pak cik saya tu. nak menari tarian topeng dekat kampung saya? Saya tak pilihlah. Sini saya masuk, sana saya masuk. Pasal apa kan, kaum sama, cuma kampung lain-lain. Dua-dua ikut sama. Memang tiap-tiap tahun saya ikut la. Kampung Sungai Judah ada dua kali”. (PK5)
Bagi pelaksanaan PPT yang berjaya, keperluan jaringan kerjasama adalah perlu sama ada melibatkan agensi pelancongan atau penduduk tempatan walau dari suku kaum atau kampung yang berbeza agar produk dan aktiviti pelancongan memenuhi kepuasan pelancong. Selain itu, jaringan kerjasama juga dapat meluaskan rangkaian perniagaan pelancongan.
Kemudahan Prasarana
Kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan awam yang lain merupakan faktor penting dalam menggalakkan aktiviti pelancongan di kampung ini. Kemudahan ini dapat memberi kemudahsampaian bukan sahaja kepada pelancong malah memudahkan saluran bantuan yang lain. Bagi PK4, kampung mereka dahulu tiada kemudahan jalan dan jalan yang ada ketika itu tidak elok. Apabila terdapatnya kemudahan jalan raya, secara tidak langsung semakin ramai yang mengenali perkampungan mereka.
“…Pada masa tu memanglah tak ada jalan pun dan tak elok... sekarang barulah ada orang tahu. Sebab jalan dah ada dah diisytiharkan”. (PK4)
Selain itu, melalui pemerhatian, pembinaan Amverton Cove Golf dan Island Resort bersebelahan dengan perkampungan Sungai Bumbun turut memberi kekuatan kepada komuniti ini dari segi penyediaan penginapan. Selain itu, ia dapat memberi peluang kepada penawaran pakej pelancongan yang menarik dan boleh digabungkan dengan aktiviti golf resort. Ia merupakan sokongan kepada pengembangan sektor pelancongan di Pulau Carey. Selain itu, pembinaan penginapan seperti chalet dalam Pusat Kraf Orang Asli yang bertemakan penginapan suku kaum turut menjadi satu nilai tambah dalam usaha melengkapkan tawaran pelancongan di penempatan mereka. Bayaran sebanyak RM60 per malam turut dikenakan kepada pelancong yang berminat untuk menginap di sini.
Kemudahan prasarana adalah penting bagi menjayakan pendekatan PPT dalam golongan miskin kerana ia mampu menyokong kelancaran perjalanan aktiviti dan kemudahsampaian pelancong ke destinasi pelancongan. Selain itu ia menjadi pelengkap kepada keselesaan pelancong.
6. Kesimpulan
Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa pelaksanaan pendekatan PPT yang berjaya memerlukan sokongan ahli komuniti dan juga pihak luar daripada kementerian, JAKOA dan NGO. Walaupun komunti Orang Asli Mah Meri menjadi satu contoh PPT yang berjaya di Malaysia, namun ia masih memerlukan bantuan dan pemantauan sehingga satu generasi baharu yang lebih berpendidikan dapat mengambil alih pengurusan aktiviti pelancongan di Kampung Sungai Bumbun. Jelas menunjukkan bahawa PPT merupakan satu strategi yang dapat mengurangkan kemiskinan dalam komuniti Orang Asli. Setiap elemen PPT yang diperoleh dari hasil kajian saling menyokong untuk mewujudkan satu sistem rangkaian pelancongan yang berjaya dalam komuniti Mah Meri.
Penghargaan
Penyelidik mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membiayai kos penyelidikan ini melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Vot K283, no rujukan geran FRGS/1/2020/SS0/UTHM/03/7 dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kerana memberi kebenaran dan kelulusan pembentangan kertas kerja ini.
Rujukan
African Pro-poor Tourism Development Centre. (2006). What is Pro-Poor Tourism? …is it a new form of tourism? Dicapai 16 Januari 2012, dari http://www.propoortourism- kenya.org.
JAKOA (2022). Definisi Orang Asli. Dicapai Dari Https://Www.Jakoa.Gov.My/Orang- Asli/Pengenalan-Masyarakat-Orang-Asli/ Pada 1 Nov 2022.
Mustapa. (2021). RMK-12: Kesejahteraan Masyarakat Orang Asli Dipertingkat. Astro Awani.
Dicapai Dari Https://Www.Astroawani.Com/Berita-Malaysia/Rmk-12-Kesejahteraan- Masyarakat-Orang-Asli-Dipertingkat-Mustapa-309938 Pada 1 Nov 2022.
Roddin, R. (2016). Transformasi Dan Kejayaan Komuniti Orang Asli Mah Meri Pulau Carey Dalam Bidang Pelancongan. Tesis Doktor Falsafah. UTM Skudai.
Roddin, R., Yusof, Y., Mukhtar, I. M., Awang, H. Jalil, S. A, dan Hariri, A. T. I. A. (2020).
Proses Pembangunan Keupayaan Keusahawanan Ketua Isi Rumah (Kir) Wanita Orang Asli. Prosiding Langkawi International Multi-Disciplinary Advanced Research 2020 (Licar2020). 21-22 November, 2020.
Roddin, R., Yusof, Y., Mukhtar, I. M., Kamarudin, K. H. dan Hariri, A. T. I. A. (2021). Peranan Sektor Pelancongan Dalam Meningkatkan Pendapatan Golongan Wanita Orang Asli.
Journal Of Tourism, Hospitality And Environment Management (JTHEM). Volume 6 Issue 24 (September 2021) PP. 30-38.
Roddin, R., Yusof, Y., Mukhtar, I. M., Kamarudin, K. H. dan Hariri, A. T. I. A. (2020). Peranan Sektor Pelancongan Dalam Meningkatkan Pendapatan Golongan Wanita Suku Kaum Mah Meri. Prosiding 3rd International Research Conference On Humanities, Social Sciences And Technology (3rd IRCHST 2020). 18th-19th October 2020.
Yahaya Ibrahim. (2008). Pelancongan Malaysia: Pembangunan Pemerkasaan. Dalam Yahaya Ibrahim, Sulong Mohamad dan Habibah Ahmad (Eds.), Pelancongan Malaysia; Isu Pembangunan, Budaya, Komuniti dan Persetempatan. Sintok: Universiti Utara Malaysia.
Yahaya Ibrahim. (2009). Komuniti, Pembangunan dan Transformasi. Dalam Yahaya Ibrahim (Ed.), Komuniti Pembangunan dan Transformasi. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.