Penggunaan Aplikasi Coggle (Mind Map) dalam Meningkatkan Kemahiran Berfikir dalam Kalangan Pelajar bagi Subjek
Geografi
(Coggle Application Helps to Develop Thinking Skills Among Students for The Geography Subject)
Siti Rosnani Suliaman1*, Mohd Jasmy Abd Rahman1*
1 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected] , [email protected]
Received: 15 April 2023 | Accepted: 10 June 2023 | Published: 30 June 2023
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.2.18
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Perkembangan teknologi masa kini telah mempengaruhi perkembangan pendidikan yang membawa kepada perubahan inovasi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran (Pdp). Kajian ini dilaksanakan bagi mengenal pasti penggunaan aplikasi Coggle (mind map) dalam meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar bagi subjek geografi.
Hafalan merupakan bentuk pembelajaran yang digemari pelajar dalam proses mengingat.
Namun begitu, pelajar masih kurang diterapkan dengan teknik-teknik mudah dalam pembelajaran antaranya dalam penggunaan bahan interaktif multimedia. Kajian menggunakan kaedah kuasi eksperimen dan kaedah kuantitatif. Data dikutip dengan menggunakan kajian melalui tinjauan, pemerhatian, ujian pra-pasca dan data dianalisis menggunakan statistik deskriptif. Seramai 40 pelajar yang terlibat dan hanya 20 pelajar yang diuji menggunakan aplikasi Coggle (mind map). Ujian Wilcoxon Signed-Rank digunakan bagi menilai pencapaian akademik sebelum dan selepas kumpulan eksperimen menggunakan Coggle (mind map) manakala ujian Mann-Whitney U dipilih bagi mengetahui perbezaan pencapaian akademik antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan semasa ujian pasca. Dapatan kajian membuktikan penggunaan Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Kesimpulannya, kajian ini dapat membantu guru dalam memilih bahan bantu mengajar yang berasaskan multimedia untuk pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif.
Kata kunci: Peta Minda, Coggle, Kemahiran Berfikir, Pengetahuan, Keberkesanan
Abstract: Today the development of technology has influenced the development of education which has led to changes in innovations in teaching and learning methods. This study is to identify the use of Coggle (mind map) in thinking skills among students for geography subjects. Memorization is a form of learning that students prefer in the process of remembering. However, students are still less applied with simple techniques in learning, including the use of multimedia interactive materials. The study uses quasi-experimental and quantitative methods. The data were collected using studies through survey, observation, pre- post-test and data analyzed using descriptive statistics. A total of 40 students were involved and only 20 students were tested using the Coggle application (mind map). The Wilcoxon Signed-Rank test was used to evaluate the academic achievement before and after the experimental group using Coggle (mind map) while the Mann-Whitney U test was chosen to
control group during the post-test. The findings of this study prove that the use of Coggle (mind map) can improve student achievement. In conclusion, this study can help teachers in choosing multimedia-based teaching aids for more effective teaching and learning.
Keywords: Mind Map, Coggle, Thinking skill, Knowledge, Effectiveness ___________________________________________________________________________
1. Pengenalan
Pada zaman revolusi 4.0 ini, pendidikan antara faktor utama yang menyumbang kepada pembangunan negara berdasarkan kualiti dalam pendidikan, berdaya maju serta sanggup menghadapi cabaran akan datang (Hanim, N.H. et al., 2020). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) adalah untuk menguatkan asas pendidikan dalam meningkatkan kemampuan dalam penyampaian bagi memperkembangkan prestasi sistem pendidikan negara. Pelbagai langkah yang dilaksanakan oleh KPM dalam meningkatkan kemudahan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (Pdp). Kemunculan perkembangan teknologi telah menghasilkan kepelbagaian medium yang memudahkan maklumat dikongsi dengan segera selain dapat mewujudkan proses pembelajaran yang berkesan (Azura, S., Suzana, Z.A. &
Zulkurnain, H., 2021).
Perkembangan teknologi kini memberi pengaruh besar dalam bidang pendidikan yang memerlukan pendidik bersifat kreatif dan bijak untuk memilih bahan pengajaran yang berkesan dalam bilik darjah (Delfakhria & Sofema, 2022). Aktiviti merancang, mengurus, menyampai, membimbing dan menilai merupakan aktiviti yang dikaitkan dengan penyebaran ilmu pengetahuan dalam bentuk pengajaran. Penggunaan teknologi pendidikan telah mengubah proses Pdp dengan memperluaskan kepelbagaian platform digital yang memudahkan pembelajaran serta membantu pelajar untuk lebih kreatif (Zulkifli et al., 2020).
Corak pembelajaran yang berkesan dapat meningkatkan elemen pemikiran pelajar termasuk ingatan, pembelajaran dan kawalan kognitif (Niken, A.A.F., Chyntia, H. W. P.& Oktha, I.R.,2019).
Pelajar berupaya meneroka, memilih dan mengenal pasti sumber dan merancang strategi pelajaran melalui kepelbagaian bentuk Pdp serta suasana tempat pembelajaran yang kondusif dan selesa (Charles, M. L. & Ying, L. L. ,2020). Perubahan teknik pembelajaran bagi seorang pelajar mampu mempertingkatkan daya berfikir selain dapat meningkatkan pengetahuan serta pengalaman melalui imaginasi pelajar tersebut (Hanifah, M. et al.,2020). Guru memainkan peranan dalam mencipta pembelajaran yang menarik sehingga pelajar tertarik dan mampu mengikuti pembelajaran yang dilakukan (Dewi, P. & Hendra, W.C.,2019). Proses interaksi secara terus berlaku apabila adanya penglibatan pelajar dalam bilik darjah melalui aktiviti dan kaedah pembelajaran yang diterapkan (Shahrul, M. I. & Noorhaniza, W., 2021).
Golongan era generasi Z memerlukan bentuk Pdp yang berbeza serta berinovasi seiring dengan perkembangan teknologi kerana golongan ini mempunyai pemikiran yang sangat berbeza dengan generasi lama (Nafisah, D. & Ghofur, A. ,2020). Aktiviti yang pelbagai dan menguji minda semasa proses Pdp mampu merangsang daya fikiran pelajar untuk lebih kreatif dan secara tidak langsung dapat melahirkan sikap mencuba dan ingin tahu yang tinggi dalam kalangan pelajar. Penggunaan grafik dan animasi dijadikan pendekatan utama dalam pembelajaran yang berasaskan projek kerana dapat meningkatkan kemahiran komunikasi serta kemahiran berfikir dalam penyelesaian sesuatu masalah (Fatin, I. & Khadijah, A.R.
,2022). Pembelajaran yang berasaskan multimedia memberikan kecenderungan kepada
pelajar untuk berfikir secara terbuka serta berkongsi idea dengan lebih kreatif (Sanmugam, S.
& Lambri, A., 2021).
1.1 Pernyataan masalah
Kebanyakan pelajar masih menggunakan bentuk pembelajaran yang berfokuskan kepada hafazan (hafalan) dan masih kurang menggunakan teknik, proses serta strategi yang berkesan.
Pelajar kurang menerima pendedahan dalam penggunaan bahan atau sumber yang bersesuaian yang mampu menyumbang kepada pemikiran yang lebih kreatif (Charles, M. L.
& Ying, L. L., 2020). Kaedah pengajaran yang berpusatkan kepada guru menyebabkan penglibatan pelajar dalam Pdp menjadi terhad sehingga mereka bergantung sepenuhnya dengan guru serta malas untuk berfikir (Siong, Y. K., & Faridah, M.K., 2020). Masalah pelajar dalam menulis isi utama dan kelemahan dalam mengolah setiap isi menyebabkan pelajar cepat bosan dan kurang bersemangat (Siong, Y. K., & Faridah, M.K., 2020).
Penguasaan serta amalan terhadap kemahiran berfikir menjadi cabaran dalam membentuk serta mencorakkan pelajar untuk terus bersaing dalam pentas global (Peng, C.F. & Hazmi, Z.
H., 2018). Persaingan serta kepesatan pembangunan dan kemajuan di peringkat global telah menyebabkan guru memikul tanggungjawab penting dalam melatih soalan KBAT dalam proses Pdp di sekolah (Ashraf, M.C.S. et al., 2020)
1.2 Objektif Kajian
Berikut merupakan objektif dalam kajian ini:
i. Mengenal pasti perbezaan pencapaian akademik pelajar kumpulan eksperimen bagi ujian pra dan pasca setelah menggunakan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi
ii. Mengenal pasti perbezaan pencapaian akademik ujian pasca antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan.
1.3 Hipotesis Kajian
Hipotesis nol digunakan bagi menentukan sama ada Hipotesis nol ini diterima atau tidak dalam kajian. Berikut merupakan hipotesis kajian yang dihubungkaitkan dengan persoalan dalam kajian ini.
Hο 1 : Tidak terdapat perbezaan pencapaian akademik pelajar kumpulan eksperimen bagi ujian pra dan pasca setelah menggunakan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi.
Hο 2 : Tidak terdapat perbezaan pencapaian akademik ujian pasca antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan.
2. Latar belakang kajian
Teknologi dalam pendidikan merupakan bahagian penting dalam pembelajaran pada era ini kerana komponen yang dicipta mempunyai kelebihan, tepat dan boleh dipercayai (Zahwa, F.
A. &Syafi’i, I., 2022). Penggunaan bahan multimedia dalam pendidikan di sekolah memberikan kebaikan kepada guru dan pelajar dalam meningkatkan keberkesanan proses Pdp (Suriani, C.K., et al.,2020). Menurut Hanifah, M. et al. (2020) bahan multimedia interaktif telah melancarkan proses pemahaman pelajar terhadap topik yang dipelajari serta menjadi tarikan kepada mata pelanjaran yang diajar di kelas. ICT dalam Pdp merupakan suatu alternatif yang berkesan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dengan membentuk alat bantu mengajar berasaskan multimedia (Asnawi, K. M. & Ibrahim, S., 2022).
Kepelbagaian penggunaan perisian multimedia oleh golongan pendidik amat digalakkan dan memudahkan proses pengajaran yang lebih tertumpu kepada pelajar (Emilda, B. I. & Anuar, A., 2022). Pelajar mudah memahami dan mengikut pembelajaran apabila menggunakan bahan multimedia dalam Pdp disamping dapat menarik perhatian dalam aktiviti yang dilaksanakan serta berminat untuk meneruskan pembelajaran tersebut (Suriani, C.K., et al.,2020). Penggunaan peta minda dalam pembelajaran yang membolehkan pelajar menyelesaikan masalah secara sistematik serta memperoleh pengetahuan baharu (Nguyen, P.L. & Mai, T. L,2020). Peta minda merupakan alat yang merangsang pemikiran pelajar dengan menggambarkan teknik grafik seperti gabungan perkataan, imej, garisan, warna, bentuk dan struktur (Nguyen, P.L. & Mai, T. L,2020).
Penghasilan peta pemikiran dapat membantu memudahkan pelajar mengorganisasikan segala maklumat yang diperoleh agar memudahkan pelajar untuk menyuarakan idea-idea baharu (Fadilla, A.L. & Zamri, M.,2019). Penggunaan peta minda dalam bilik darjah dapat memberi peluang kepada guru untuk melaksanakan kerja secara kolaborasi antara pelajar. Mind Map merupakan suatu model yang mempunyai konsep atau teknik mengingat dengan menggunakan simbol, kod dan warna yang menghubung antara satu sama lain (Aina, A.Z., Husen, M.A. & Yona, W. ,2021). Penggunaan kaedah Pdp yang terkini seperti peta pemikiran i-think mampu melahirkan pelajar yang mempunyai minda kelas pertama (Fadilla, A.L. &
Zamri, M.,2019).
Aplikasi Coggle merupakan alat interaktif yang menyerupai “thinking tool” yang boleh diakses secara dalam talian dengan memasuki laman web https://coggle.it/. Coggle dapat menggantikan kaedah pembelajaran secara konvensional kerana ciri-cirinya mampu melatih pelajar untuk mempunyai daya pemikiran yang kreatif dan kritis. Coggle dapat digunakan untuk membezakan konsep, menganalisis serta mensintesis sistem pemikiran dengan membina garis masa yang boleh menggambarkan proses (Divya, P.,2018). Alat ini membolehkan pelajar membuat gambar rajah yang menunjukkan hubungan antara elemen dalam Coggle ke laman web lain. Coggle dijadikan alat interaktif yang boleh menggantikan kaedah pembelajaran secara konvensional disamping berpotensi untuk melatih pelajar berfikir secara kritis (Idris, N. & Noor, N.M., 2018). Pendekatan pemilihan kaedah pembelajaran yang betul dan tepat akan menjadikan Pdp lebih menarik, kreatif dan dinamik serta membolehkan kandungan pembelajaran lebih relevan.
Aplikasi Coggle membolehkan penggunanya untuk membuat pautan gambar atau rangkaian web yang ingin dibuka atau diakses. Hal ini memudahkan penggunanya untuk meletakkan gambar (image), link serta video berkaitan topik pembelajaran yang hendak dikongsi serta dijadikan sebagai rujukan. Selain itu alat ini berkemampuan untuk merekod semula bahagian atau perkara yang pernah dikemaskini dan ditambahbaik pada peta minda (Aisyah, N.K., Badusah, J., & Ruzanna, W. M., 2019). Aplikasi coggle adalah percuma dan boleh diguna pada peranti mudah alih serta membenarkan pengguna menambahkan pautan serta memudahkan perkongsian bersama pengguna lain (Debbag, M., Cukurbasi, B., & Fidan, M., 2021). Coggle ini berbentuk grafik dan sangat mudah digunakan serta senang dikongsi selain mudah bekerjasama dalam penggunaannya (Divya, P. ,2018).
Pembinaan peta minda memudahkan pelajar mendapatkan maklumat dengan lebih mudah dan cepat (Bawaneh, A.K.,2020). Kaedah pembelajaran yang menggunakan peta minda telah menarik minat pelajar untuk terlibat dalam aktiviti yang dirancang (Sirajuddin, M. &
Dahalan, S.C. ,2022). Pelajar menunjukkan lebih aktif semasa menggunakan peta minda dan kaedah pembelajaran ini dapat membantu meningkatkan prestasi otak, memaksimumkan
prestasi kerja, memudahkan untuk berhubung antara satu sama lain agar lebih banyak maklumat dan idea yang boleh disampaikan (Hasan, W.D.L. & Puspita, A.M.I., 2021). Model peta minda yang digunakan mampu meningkatkan pencapaian akademik pelajar dalam pembelajaran kerana pengaplikasian sumber pembelajaran yang digunakan dapat memberikan suasana pembelajaran yang bermakna (Delfakhria, D. & Solfema, S., 2022)
Penggunaan peta minda ini membolehkan pelajar lebih dekat dengan guru serta berupaya berkomunikasi dengan lebih cekap dan proses sumbang saran menjadi lebih berkesan (Saidullaevna, K.S., 2022). Coggle merupakan suatu alat interaktif yang ditambah baik dan boleh diaplikasikan kepada pelajar sekolah menengah agar dapat meningkatkan daya fikiran pelajar yang lebih kritis dan kreatif selain berkemampuan untuk berkomunikasi secara ilmiah dalam proses Pdp (Idris, N. & Noor, N.M., 2018).
3. Metodologi kajian
3.1 Reka bentuk kajian
Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi-eksperimen bagi mengkaji perubahan pencapaian akademik pelajar dalam penggunaan aplikasi Coggle (mind map) bagi kumpulan eksperimen dalam ujian pra dan ujian pasca. Pencapaian yang diperoleh dalam kumpulan eksperimen dianalisis dengan menggunakan ujian Wilcoxon Signed-Rank manakala ujian Mann-Whitney U digunakan bagi mengukur tahap pencapaian akademik pelajar dalam pembelajaran geografi bagi kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan.
3.2 Lokasi kajian
Pemilihan lokasi kajian ini penting bagi memudahkan pengkaji melaksanakan kajian serta mendapatkan maklumat berkaitan dengan tajuk kajian. Sekolah Menengah Methodist Wesley, Klang Selangor merupakan lokasi kajian yang dipilih. Kedudukan lokasi yang berada di bandar memudahkan pelaksanaan kajian yang lebih menjurus kepada penggunaan teknologi serta rangkaian internet. Justeru lokasi yang dipilih perlu diutamakan kerana banyak mempengaruhi keputusan kajian serta pengumpulan data yang diperlukan.
3.3 Instrumen kajian
Bagi mengkaji perbandingan pencapaian akademik pelajar sebelum dan selepas menggunakan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi, reka bentuk kuasi- eksperimen dipilih bagi melihat perbandingan pencapaian pelajar yang menggunakan aplikasi Coggle (mind map) bagi kumpulan eksperimen manakala kumpulan kawalan hanya dilatih dengan menggunakan kaedah konvensional. Keputusan pencapaian yang diperoleh dapat dikaitkan dengan pemahaman pelajar terhadap topik yang dipelajari dalam pembelajaran subjek geografi tingkatan 2.
Kumpulan eksperimen dan kumpula kawalan perlu mengikuti ujian pra seperti biasa dengan menggunakan soalan yang sama bagi kedua-dua kumpulan. Soalan ujian yang diberi adalah berbentuk soalan subjektif respon terbuka (essei). Mengandungi tiga soalan berkaitan topik yang telah dipelajari oleh pelajar. Soalan yang diberi telah dinilai bersama dengan guru mata pelajaran Geografi mengikut aras yang bersesuaian dengan pelajar. Ujian pra ini dijalankan bagi memperoleh dapatan data kajian serta pemerhatian awal berkenaan penguasaan serta kefahaman pelajar terhadap topik yang telah dipelajari. Manakala ujian pos dilaksanakan setelah pelajar daripada kumpulan eksperimen dilatih menggunakan aplikasi Coggle (mind map) dan pelajar kumpulan kawalan dilatih menggunakan kaedah konvensional di bilik
darjah. Kemudian, kedua-dua kumpulan dinilai semula melalui ujian pasca iaitu dengan memberi soalan yang sama semasa ujian pra dilaksanakan.
4. Dapatan kajian
Hasil dapatan dianalisis dengan menggunakan 'Statistical Package for the social Science’
versi 26 atau lebih dikenali sebagai SPSS 26. Data kajian yang disimpan telah dianalisis melalui statistik deskriptif dengan meringkaskan maklumat yang diperoleh daripada keseluruhan data.
4.1 Analisis deskriptif
Jadual 1 merupakan markah yang diperoleh daripada ujian pra-pasca bagi kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Skor markah 0-39 menunjukkan kategori markah gagal.
Pelajar yang memperoleh markah 0-39 untuk ujian pra-pasca bagi kumpulan eksperimen menunjukkan penurunan sebanyak 25% manakala bagi kumpulan kawalan tidak menunjukkan perubahan peratusan. Hal ini menunjukkan seramai 5 orang pelajar yang gagal dalam kumpulan eksperimen semasa ujian pra telah berjaya memperoleh markah lulus semasa ujian pasca.
Bagi Skor A iaitu antara markah 85-100 menunjukkan peningkatan bagi kedua-dua kumpulan. Kumpulan Eksperimen menunjukkan peningkatan sebanyak 30% iaitu 6 orang pelajar memperoleh keputusan yang cemerlang berbanding ujian pra dimana tiada seorang pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang. Manakala bagi kumpulan kawalan menunjukkan peningkatan 5% iaitu 1 orang pelajar memperolehi keputusan yang cemerlang berbanding semasa ujian pra menunjukkan tiada seorang pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang iaitu antara markah 85-100.
Jadual 1: Perolehan markah bagi kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan untuk ujian pra-pasca.
Markah Eksperimen Kawalan
Pra Pasca Pra Pasca
0-39 13 65% 8 40% 11 55% 11 55%
40-49 1 5% 0 0 1 5% 0 0
50-59 3 15% 1 5% 1 5% 1 5%
60-69 1 5% 1 5% 3 15% 3 15%
70-84 2 10% 4 20% 4 20% 14 20%
85-100 0 0 6 30% 0 0 1 5%
Jumlah 20 100% 20 100% 20 100% 20 100%
4.2 Ujian Wilcoxon Signed-Rank
Ujian Wilcoxon Signed-Rank digunakan bagi menentukan sama ada terdapat perbezaan pencapaian akademik ujian pra dan pasca bagi kumpulan eksperimen setelah pelajar dilatih menggunakan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi. Hipotesis adalah seperti berikut:
H1 : Tidak terdapat perbezaan pencapaian akademik pelajar kumpulan eksperimen bagi ujian pra dan pasca setelah menggunakan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi.
Jadual 2 menunjukkan nilai Asymp. Sig. (2-tailed) ujian pencapaian akademik pelajar kumpulan eksperimen sebelum dan selepas pelajar menggunakan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran subjek geografi adalah .000. Nilai signifikan menunjukkan kurang daripada nilai alpha 0.05 iaitu (z=-3.826. p<0.05) maka, Hipotesis 1 (H1) ditolak. Keputusan menunjukkan terdapat perbezaan pencapaian akademik pelajar kumpulan eksperimen bagi ujian pra dan pasca setelah menggunakan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi.
Jadual 2: Ujian Wilcoxon Signed-Rank bagi Ujian pencapaian akademik kumpulan eksperimen Kumpulan eksperimen Ujian Pasca - Ujian Pra
Z -3.826b
Asymp. Sig. (2-tailed) .000
Berdasarkan keputusan dalam Jadual 3, menunjukkan nilai Mean Rank bagi Positive Rank adalah tinggi iaitu Mean Rank=10.00 berbanding Mean Rank (Negative Rank) iaitu .00.
Keputusan yang diperoleh ini dapat menjawab persoalan kajian bahawa penggunaan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi bagi kumpulan eksperimen mampu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
Jadual 3: Ujian Wilcoxon Signed-Rank bagi min ujian pencapaian akademik pra dan pasca bagi kumpulan eksperimen.
N Mean Rank Sum of Ranks
Ujian Pasca_Eksperimen - Ujian Pra_Eksperimen
Negative Ranks 0a .00 .00
Positive Ranks 19b 10.00 190.00
Ties 1c
Jumlah 20
4.3 Ujian Mann-Whitney U
Ujian Mann-Whitney U ini dipilih bagi tujuan untuk mengetahui sama ada terdapat perbezaan dua sampel yang tidak berpasangan. Dua sampel tersebut adalah daripada kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Hipotesis adalah seperti berikut:
H2 : Tidak terdapat perbezaan pencapaian akademik ujian pasca antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan.
Jadual 4 menunjukkan keputusan analisa ujian Mann-Whitney U yang menunjukkan nilai Asymp. Sig (2-tailed) adalah .010. Nilai Signifikan adalah rendah daripada nilai alpha 0.05 iaitu (Z= -2.573, p<0.05), maka Hipotesis 2 ditolak. Hal ini dapat membuktikan bahawa terdapat perbezaan signifikan terhadap pencapaian akademik ujian pasca antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan.
Jadual 4: Ujian Mann-Whitney U bagi ujian pencapaian akademik bagi kumpulan eksperimen dan kawalan.
Ujian Pasca
Mann-Whitney U 105.00
Wilcoxon W 315.00
Z -2.573
Asymp. Sig (2-tailed) .010
Seterusnya, berdasarkan Jadual 5 menunjukkan nilai min peringkat (Mean Rank) bagi
kumpulan eksperimen adalah 25.25 dan mengatasi nilai min peringkat (Mean Rank) bagi kumpulan kawalan iaitu 15.75. Perbezaan jarak min peringkat (Mean Ranks) antara dua kumpulan ialah 9.50. Keputusan ini membuktikan bahawa pelajar daripada kumpulan eksperimen lebih menguasai pembelajaran subjek geografi apabila menggunakan Coggle (mind map) berbanding pelajar daripada kumpulan kawalan yang hanya menggunakan peta minda kaedah konvensional.
Jadual 5: Ujian Mann-Whitney U bagi nilai min (Mean Rank) pencapaian akademik ujian pasca.
Kumpulan N Mean Rank Sum of Ranks
Ujian Eksperimen 20 25.25 505.00
Kawalan 20 15.75 315.00
Jumlah 40
Dapatan kajian menunjukkan maklum balas pelajar terhadap penggunaan aplikasi Coggle (mind map) telah memberi kesan positif terhadap pencapaian akademik pelajar dalam pembelajaran subjek geografi. Penggunaan Coggle (mind map) berkemampuan untuk meningkatkan daya fikiran pelajar yang lebih kreatif dan kritis terutama dalam membina ringkasan nota terhadap topik yang dipelajari. Penerimaan pelajar terhadap penggunaan Coggle (mind map) dalam Pdp sangat menggalakkan dan telah memberi peluang kepada setiap pelajar untuk mengikuti tugasan yang diberi. Keperluan dalam menggunakan bahan multimedia dalam Pdp perlu ditambah baik oleh guru pada masa akan datang. Kaedah pembelajaran secara berkumpulan merupakan kaedah pembelajaran terbaik yang berpotensi membantu pelajar melahirkan sifat bekerjasama dan saling berkomunikasi antara satu sama lain.
Selain itu, penggunaan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran subjek geografi telah menyumbang kepada minat pelajar untuk menyertai tugasan yang diberi. Bahan Pdp yang berunsurkan teknologi memberi peluang kepada pelajar untuk menerokai dan mempelajari perkara baharu. Sifat ingin tahu pelajar yang tinggi terhadap penggunaan Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi telah membantu memudahkan proses mendapatkan data dalam kajian ini. Kerjasama serta penglibatan pelajar dalam kajian ini menunjukkan keberkesanan penggunaan aplikasi Coggle (mind map) yang digunakan semasa Pdp serta membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar dalam pembelajaran geografi.
Hasil kajian membuktikan aplikasi Coggle (mind map) bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran berfikir pelajar dalam subjek geografi, malahan juga dapat meningkatkan keberkesanan penggunaannya berserta membantu meningkatkan pengetahuan pelajar terhadap penggunaan aplikasi Coggle (mind map) dalam pembelajaran geografi. Selain itu pencapaian akadmik pelajar melalui ujian pra-pasca setelah menggunakan aplikasi Coggle (mind map) juga menunjukkan peningkatan. Hal ini membuktikan bahawa aplikasi Coggle (mind map) in telah memberikan impak positif terhadap pembelajaran pelajar dalam pembelajaran geografi.
5. Kesimpulan
Aplikasi Coggle (mind map) ini dapat dijadikan alat pembelajaran yang berkesan kepada pelajar dalam meningkatkan kemahiran berfikir dalam pembelajaran geografi. Ianya juga boleh dijadikan sebagai bahan rujukan untuk persediaan pelajar sebelum peperiksaan.
Penggunaan aplikasi Coggle (mind map) dalam Pdp ini telah menunjukkan kesan positif terhadap pencapaian akademik pelajar. Penggunaan teknologi dalam Pdp memberi peluang
kepada pelajar untuk berdaya saing serta berusaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (Shokri, S.S.M., Salihan, S. & Hamid, A.M.H., 2021). Penggunaan bahan multimedia interaktif seperti Coggle (mind map) memberikan peluang kepada pelajar untuk bergerak aktif serta berupaya untuk memberi tumpuan sepenuhnya semasa proses Pdp.
Kandungan yang terdapat dalam Coggle (mind map) memudahkan penggunaannya dan pelajar lebih cepat faham dan fokus kerana aplikasi Coggle (mind map) mengandungi elemen grafik, audio, video dan animasi. Oleh itu, keutamaan penggunaan aplikasi Coggle (mind map) dalam kalangan pelajar ini adalah untuk membantu warga pendidik untuk mempunyai ilmu pengetahuan dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang menjadi keperluan pada zaman globalisasi ini. Justeru, aplikasi Coggle (mind map) ini dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar serta meningkatkan kemahiran berfikir dalam pembelajaran subjek geografi disamping dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang tidak lagi bersifat pasif iaitu terikat dengan ciri-ciri pembelajaran tradisional. Diharapkan aplikasi Coggle (mind map) ini dapat digunakan oleh semua pelajar di peringkat sekolah menengah agar pembelajaran menjadi lebih menarik dan bersesuaian dengan perkembangan serta kehendak pembelajaran semasa.
Penghargaan
Alhamdulillah, syukur kehadrat ilahi kerana limpah kurnianya saya dapat menyelesaikan penulisan kajian ini dengan jayanya. Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Prof Mohd Jasmy Abd Rahman, selaku Pensyarah Pendidikan Sumber dan Teknologi Maklumat kerana membimbing serta memberi kepercayaan kepada saya dalam melengkapkan tugasan yang diberi. Beliau banyak membantu dalam memastikan penulisan ini menjadi sempurna serta memastikan penulisan ini mempunyai mutu kerja yang baik. Saya berharap kerjasama dan sokongan yang diberi membuahkan hasil pada masa hadapan dengan harapan beroleh kejayaan.
Rujukan
Aina, A.Z., Husen, M.A. & Yona, W. (2021). Penggunaan Model Mind Map pada pembelajaran Geografi di sekolah dasar. School Education Journal. vol 11.
Aisyah, N.K., Badusah, J., & Ruzanna, W. M. (2019). Coggle: SWOT analysis in lifelong learning education using online collaborative mind-mapping. International Journal of Asian Social Science, 9(1), 139-147.
Ashraf, M.C.S., Talhah, M.J., Aminudin, H.& Marzuki, A.M. (2020). Penguasaan Kemahiran Berfikir Aras tinggi (KBAT) dalam kalangan guru pendidikan Islam di Daerah Hulu Langat. Jurnal Dunia Pendidikan e-ISSN: 2682-826X | Vol. 2, No. 3, 135-149.
Asnawi, K. M. & Ibrahim, S. (2022). Tahap Keberkesanan Penggunaan Aplikasi Mudah Alih DVI1012 (Art History Dalam Pembelajaran Kursus DVI1012 Art History).7th International Conference on Information Technology & Society. pg 97-95.
Azura, S., Suzana, Z.A. & Zulkurnain, H. (2021). Keberkesanan Pembelajaran dan Pengajaran dalam Talian (E-Pembelajaran) terhadap Pembelajaran Pelajar di Kolej Komuniti Hulu Langat. Kolej Komuniti Hulu Langat. Sabah
Bawaneh, A. K. (2019). The effectiveness of using mind mapping on tenth grade students' immediate achievement and retention of electric energy concepts. Journal of Turkish Science Education. 16(1). 123-138.
Charles, M. L. & Ying, L. L. (2020). Peranan Bahan Bantu Mengajar Dan Persekitaran Maklum Balas Dalam Meningkatkan Kualiti Pembelajaran Pelajar. Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Politeknik Kuching Sarawak, Malaysia
Debbag, M., Cukurbasi, B., & Fidan, M. (2021). Use of digital mind maps in technology education: a pilot study with pre-service science teachers. Informatics in education, 20(1), 47-68
Delfakhria & Solfema. (2022). Development of Integrated Thematic Teaching Materials with Mind Mapping Model in Class III of Elementary School. Padang State University, West Sumatera Indonesia. Al-Ishlah: Jurnal Pendidikan.Vol.14, 2 (June, 2022), pp.
2313-2326
Dewi, P. & Hendra, W.C. (2019). Penerapan media berbaris Aurora 3D Presentation dengan model pembelajaran Mind Mapping pada mata pelajaran dasar-dasar konstruksi di SMK Negeri 5 Surabaya. Penggalan Judul Artikel Jurnal. Vol.01 Numor 01, 01-216.
Divya, P. (2018). Retrieving Information through Mind Mapping Tools for mining data.
International Journal of Scientific Research Engineering & Technology (IJSRET).
7(1). 10-13.
Emilda, B. I. & Anuar, A. (2022). Kesediaan murid mengaplikasikan penggunaan Web 2.0 dalam mata pelajaran sejarah di sekolah menengah. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Malaysian Journal of Science and Humanities.
Fadilla, A.L. & Zamri, M. (2019). Tahap Pengetahuan, kesediaan dan sikap guru Bahasa Melayu sekolah rendah dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran peta pemikiran i-Think. Jurnal Pendidikan Malaysia, 44(1), 37-44.
Fatin, I. & Khadijah, A.R. (2022). Penggunaan kemahiran komunikasi pelajar melalui pembelajaran berasaskan projek berorientasikan animasi. International Journal of Education, Psychology and Counselling (IJEPC), 7(45), 501-515.
Hanifah, M., Satryani, A., Yazid, S., Kadaruddin, A., Mohamadisa, H. & Nasir, N. (2020).
Penggunaan dan penerimaan bahan bantu mengajar multimedia terhadap keberkesanan pembelajaran geografi. Malaysian Journal of society and space 16 issue 3 (219-234).
Hanim, N.H., Nazri, M., Asyraf, M. & Asiah, N. M. (2020). Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Kreativiti Orang Asli dalam Meningkatkan Kecerdasan Kanak-kanak Prasekolah. Jurnal Kepimpinan Pendidikan. Bil. 7, Isu 1, 66-76.
Hasan, W. D. L., & Puspita, A. M. I. (2022). Analysis of Using Mind Mapping Methods in Elementary Schools. International Conference on Elementary Education.4(1).900- 904.
Idris, N., & Noor, N. M. (2018). Kesan Penggunaan Peta Minda Digital Terhadap Pencapaian Dan Minat Murid Dalam Penulisan Karangan Bahasa Melayu (The Effect of Using Digital Mind Map on Student’s Achievement and Interests in Malay Language Writing). Innovative Teaching and Learning Journal (ITLJ), 2(2), 89-96.
Nafisah, D. & Ghofur, A. (2020). Pengembangan media pembelajaran scan barcode berbasis android dalam pembelajaran IPS. Jurnal Edukasi dan Teknologi Pembelajaran.
Volume 1, No. 2 Edisi Juni. Universitas PGRI Adi Buana Kampus Lamongan.
Nguyen, P.L. & Mai, T. L. (2020). Using Mind Map in Teaching Mathematics: An Experimental Study.International Journal of Scientific & Technologi Research Volume 9, Issue 04.
Niken, A.A.F., Chyntia, H. W. P.& Oktha, I.R. (2019). Using Mind Mapping Technique to Improve the Students' Reading Comprehension of Recount Text.IKIP PGRI Bojonegoro, Jalan Penglima Polim No.46 Bojonegoro.
Peng, C.F. & Hazmi, Z. H. (2018). Kemahiran Berfikir aras tinggi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan Bahasa Melayu melalui Teknik Penyoalan. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM. Malay Language Education Journal – MyLEJ.ISSN: 2180- 4842. vol 8
Saidullaevna, K.S. (2022). Mind maps as a visual teaching method. Eurasian Journal of Learning and Academic Teaching.4(1).73-76.
Sanmugam, S., & Lambri, A. (2021). Keberkesanan strategi pembelajaran peribahasa bahasa melayu menggunakan bahan multimodal (The Effectiveness of Malay Language Proverb Learning Strategy Using Multimodal Material). Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 11(2), 80-87.
Shahrul, M. I. & Noorhaniza, W. (2021). Pembangunan Aplikasi m-Pembelajaran Secara Realiti Maya untuk Sains Tahun 4. Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Malaysia
Shokri, S. S. M., Salihan, S., & Hamid, A. M. H. (2021). Inovasi digital dalam pengajaran &
pembelajaran program Tahfiz di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN): Digital innovation in teaching & learning Tahfiz programme at Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). al-Irsyad: Journal of Islamic and Contemporary Issues, 6(1), 495-507.
Siong, Y. K., & Faridah, M.K. (2020). Keberkesanan aplikasi coggle dalam meningkatkan pencapaian sejarah tingkatan enam bagi topik “Perluasan kuasa barat di china” di SMK Selirik, Kapit. Jurnal dunia pendidikan, 2(1), 11-30.
Sirajuddin, M. & Dahalan, S. C. (2022). Keberkesanan Peta Pemikiran (i-THINK) Terhadap Mata Pelajaran Sejarah dalam kalangan Pelajar Tingkatan 2. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 7(3), e001328-e001328.
Suriani, C.K., Aishah, S.H., Fariza, K., Noorlin, M. & Rorlinda, Y. (2020). Analisis Keberkesanan Kaedah Multimedia dalam Pengajaran dan pembelajaran terhadap pelajar pintar dan berbakat. Jurnal Personalia Pelajar 23(2):129-136.
Zahwa, F. A. & Syafi’i, I. (2022). Pemilihan Pengembangan Media Pembelajaran Berbasis Teknologi Informasi. Equilibrium: Jurnal Penelitian Pendidikan dan Ekonomi, 19(01), 61-78.
Zulkifli, N., Hamzah, M.I.& Abdul Razak, K. (2020). Isu dan Cabaran Penggunaan MOOC dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran. Journal of Research, Policy & Practice of Teacher & Teacher Education,10(1),77-94.