• Tidak ada hasil yang ditemukan

PENGGUNAAN MoEDeP 1.0 BAGI MENERAPKAN KEMAHIRAN ENGINEERING DESIGN PROCESS (EDP) DALAM AKTIVITI MEMBINA MODEL TERHADAP MURID SAINS TINGKATAN 3

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "PENGGUNAAN MoEDeP 1.0 BAGI MENERAPKAN KEMAHIRAN ENGINEERING DESIGN PROCESS (EDP) DALAM AKTIVITI MEMBINA MODEL TERHADAP MURID SAINS TINGKATAN 3"

Copied!
9
0
0

Teks penuh

(1)

e-ISSN: 2550-1461 https://ijeisr.net

PENGGUNAAN MoEDeP 1.0 BAGI MENERAPKAN KEMAHIRAN ENGINEERING DESIGN PROCESS (EDP) DALAM AKTIVITI MEMBINA MODEL TERHADAP MURID SAINS TINGKATAN 3

Suhanna Zainudin1 Salbiah Ninggal2

1SMK Ghafar Baba (SMKGB), Malaysia (E-mel: [email protected])

2Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah (PPDAG), Malaysia (E-mel: [email protected])

Abstrak: Aktiviti membina model merupakan salah satu aktiviti yang sering kali dilaksanakan oleh guru di dalam kelas pengajaran. Namun begitu, aktiviti ini jika dijalankan tanpa mempunyai struktur tertentu ianya kurang mempunyai impak terhadap pembelajaran murid.

Oleh yang demikian kaedah MoEDeP 1.0 di hasilkan bagi memberi panduan kepada guru dan murid menjalankan aktiviti membina model yang mampu memberi impak yang besar kepada proses pembelajaran murid. MoEDeP 1.0 telah mengadaptasikan langkah-langkah dalam EDP sebagai fasa utama penghasilan model. Pelaksanaan MoEDeP 1.0 juga mengambil kira era pasca pandemik dan dijalankan secara bersemuka dan dalam talian. Kajian ini dijalankan secara kajian tindakan terhadap 26 orang murid sebuah sekolah di Masjid Tanah, Melaka.

Kajian ini telah dijalankan mengikut Model Kajian Tindakan Kemmis dan McTaggart. Data bagi kajian ini dikumpul secara kualitatif menerusi pemerhatian, analisis dokumen dan soal selidik terbuka kepada murid. Dapatan kajian ini menunjukkan aktiviti menghasilkan model dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan mudah dengan menggunakan MoEDeP 1.0.

Langkah-langkah yang terdapat dalam EDP membantu murid secara berkumpulan menghasilkan model dengan lebih berstruktur. Dengan MoEDeP 1.0 murid-murid dapat menghasilkan model secara minds-on, mengumpul maklumat yang penting, membuat lakaran, menghasilkan model, menguji dan membuat penambahbaikan terhadap model yang dihasilkan. Secara tidak langsung dengan MoEDeP 1.0 murid dapat diterapkan dengan Kemahiran Global 6C dan semangat tidak putus asa yang ada dalam diri seorang inovator.

Secara keseluruhannya MoEDeP 1.0 dilihat dapat membantu guru menjalankan aktiviti membina model dalam kelas pengajaran Sains.

Kata Kunci: Model, Engineering Design Process, Sains

1.PENGENALAN

Aktiviti penghasilan model tidak asing lagi dalam pengajaran Sains. Aktiviti ini sering menjadi pilihan guru-guru Sains dalam usaha menghubungkan kefahaman murid terhadap teori dengan keadaan sebenar (Oh & Oh, 2011). Selain itu, aktiviti ini juga dijalankan bagi meningkatkan penglibatan aktif murid dengan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Saya juga tidak terkecuali untuk melaksanakan aktiviti membina model dalam kelas pengajaran Sains Tingkatan Tiga di bawah tajuk Respirasi.

(2)

Lazimnya dalam tajuk Sistem Respirasi saya akan meminta murid menghasilkan model mekanisme pernafasan manusia. Setelah beberapa kali menjalankan aktiviti ini saya dapati murid saya dapat menghasilkan model yang dapat berfungsi dengan baik. Namun begitu saya kurang berpuas hati dengan laporan penghasilan model. Laporan penghasilan model yang dihasilkan kebiasaannya terlalu ringkas dan kurang menggambarkan keupayaan murid saya dari segi kognitif. Hal ini menjadikan saya sering tertanya-tanya adalah murid saya faham apa yang dihasilkan dan adakah mereka belajar sesuatu daripada aktiviti pembinaan model ini.

Permasalahan yang dihadapi ini membawakan saya menjalankan satu kajian tindakan terhadap kelas pengajaran saya sendiri, dan menghasilkan satu intervensi yang di namakan MoEDeP 1.0. Nama MoEDeP 1.0 diberikan kepada intervensi ini kerana ianya merupakan aktiviti menghasilkan model dengan menggunakan langkah-langkah Engineering Design Process (EDP). Oleh yang demikian, penghasilan model dimulakan dengan langkah mengenal pasti masalah, meneroka maklumat, melakar, menghasilkan, menguji dan penambahbaikan.

Murid-murid juga dikehendaki melaporkan maklumat dan gerak kerja mereka pada setiap langkah tersebut. Saya juga telah meminta murid menghasilkan kesimpulan ataupun refleksi di akhir laporan bagi tujuan untuk melihat sejauh mana murid dapat mengaitkan pengalaman menghasilkan model dengan pengajaran teori di dalam kelas. Laporan dihasilkan oleh murid dengan menggunakan aplikasi dalam talian Canva dan disimpan ke dalam Wakelet guru.

Rajah 1: Langkah Engineering Design process (EDP)

Sumber:https://theworks.org/educators-and-groups/elementary-engineering-resources/engineering-design- process/

2. METODOLOGI

Kajian ini merupakan kajian tindakan yang telah dijalankan terhadap kelas pengajaran saya sendiri pada tahun 2022. Menurut (Magilvy & Thomas 2009) menerusi reka bentuk kajian tindakan, pengkaji berpeluang membuat penerangan mengenai pengalaman yang berlaku dalam amalan pengajaran mereka sendiri. Bagi menjalankan kajian ini, saya telah menggunakan Model Kajian Tindakan Kemmis dan McTaggart (1988).

(3)

Rajah 2: Kitaran Kajian Tindakan Kemmis dan McTaggart

Model kajian tindakan ini dipilih kerana ianya sesuai dengan kelas pengajaran saya di dalam kelas. Saya telah memulakan langkah kajian dengan menjalankan tinjauan awal dengan mengenal pasti masalah. Seterusnya saya merancang intervensi yang sesuai. Kemudian saya bertindak dengan menjalankan intervensi terhadap murid dan memerhati respons mereka.

Akhir sekali saya membuat refleksi terhadap pemerhatian yang telah dijalankan.

Kajian tindakan ini melibatkan 26 orang murid Tingkatan 3 bagi mata pelajaran Sains.

Murid-murid bersekolah di sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah, Melaka. Data bagi kajian ini dikumpul secara kualitatif. Saya telah membuat pemerhatian terhadap respons dan proses pembelajaran murid sepanjang pelaksanaan kajian ini. Manakala analisis dokumen pula dijalankan terhadap hasil kerja murid dan jawapan kepada soal selidik terbuka yang diberikan.

Data-data yang diperoleh dianalisis secara kualitatif deskriptif.

3. PEMERHATIAN DAN REFLEKSI

Bagi membincangkan bahagian ini saya akan membuat penerangan berdasarkan pemerhatian saya terhadap hasil kerja murid-murid. Murid-murid telah menghasilkan laporan penghasilan model mengikut turutan langkah EDP. Laporan dihasilkan dengan menggunakan Canva dan dimuat naik ke dalam Wakelet.

Rajah 3: Laporan Yang Dihasilkan Murid

1. Tinjauan awal

2. Merancang

3. Bertindak dan memerhati 4. Mereflek

(4)

Selain daripada laporan, saya juga telah menganalisis jawapan murid terhadap soal selidik terbuka yang dijalankan terhadap mereka. Jawapan-jawapan murid ini turut dibincangkan dalam ruangan ini.

(A) Mengenal Pasti Masalah

Rajah 4: Laporan Murid Dalam Langkah Mengenal Pasti Masalah

Pemerhatian: Saya dapati murid-murid telah melaporkan permasalahan yang dihadapi pada permulaan penghasilan model dan ketika proses penghasilan model dijalankan. Saya juga dapati terdapat kesalahan ejaan yang dibuat oleh murid-murid saya.

Refleksi: Murid-murid didapati tahu bagaimana untuk merungkai satu permasalahan besar kepada masalah-masalah yang lebih kecil. Murid juga melaporkan apakah langkah yang mereka ambil bagi setiap permasalahan kecil yang dinyatakan. Bagi kesalahan ejaan pula, saya perlu mengingatkan murid-murid untuk lebih berhati-hati dengan ejaan perkataan di dalam laporan.

(B) Meneroka Maklumat

Rajah 5: Laporan Murid Bagi Langkah Meneroka Maklumat

Pemerhatian: Saya dapati murid-murid telah menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga video yang telah mereka rujuk bagi membantu mereka menghasilkan model. Murid-murid juga telah melaporkan maklumat penting yang mereka peroleh daripada setiap video tersebut.

Refleksi: Berdasarkan hasil kerja murid-murid ini, saya berasa yakin mereka telah menjalankan proses penerokaan maklumat secara dalam talian dan memperoleh banyak maklumat daripada proses penerokaan ini.

(5)

(C) Melakar

Rajah 6: Laporan Murid Dalam Langkah Melakar

Pemerhatian: Saya dapati murid-murid telah membuat lakaran individu dan kemudian berbincang dan menghasilkan lakaran akhir secara berkumpulan.

Refleksi: Berdasarkan hasil kerja murid-murid ini, saya dapati murid-murid telah cuba memikirkan bentuk model yang terbaik secara individu. Setelah itu mereka melakukan perbincangan dan menghasilkan lakaran akhir model yang lebih baik. Menerusi proses ini murid telah dilatih untuk menjadi seseorang yang berfikiran inovatif. Selain itu murid-murid juga telah dilatih dengan kemahiran komunikasi yang baik semasa di dalam perbincangan idea lakaran kumpulan.

(D) Menghasilkan

Rajah 7: Laporan Murid Dalam Langkah Menghasilkan

Pemerhatian: Saya dapati murid-murid telah menyenaraikan senarai bahan yang diperlukan dan kemudiannya menunjukkan langkah-langkah menghasilkan model.

Refleksi: Berdasarkan pemerhatian ini saya dapati murid-murid telah menghasilkan sendiri model mekanisme pernafasan. Murid-murid juga telah menyenaraikan bahan – bahan yang diperlukan dan langkah-langkah penghasilan model dengan jelas dan baik.

(6)

(E) Menguji

Rajah 8: Hasil Kerja Murid Dalam Langkah Menguji

Pemerhatian: Saya dapati murid-murid telah menyediakan video yang menunjukkan bagaimana model mereka berfungsi. Terdapat juga kumpulan yang memuat naik video mereka di dalam You Tube Channel peribadi mereka.

Refleksi: Berdasarkan pemerhatian ini saya dapati murid-murid telah menggunakan teknologi sebaiknya bagi menyelesaikan tugasan ini. Murid-murid telah berusaha menyediakan video yang menunjukkan model mereka dapat berfungsi dengan baik. Secara tidak langsung murid- murid telah meneroka dan cuba menggunakan aplikasi suntingan video secara kendiri.

(F) Penambahbaikan

Rajah 9: Hasil Kerja Murid Dalam Langkah Penambahbaikan

Pemerhatian: Saya dapati murid-murid telah menyenaraikan kelemahan yang ada pada model yang dihasilkan. Murid-murid juga telah menyenaraikan langkah penambahbaikan yang telah diambil

Refleksi: Berdasarkan pemerhatian ini saya dapati murid-murid telah melalui proses-proses yang kebiasaannya dihadapi oleh seseorang jurutera dalam menghasilkan teknologi baharu.

Menerusi EDP, murid berpeluang untuk menghayati proses-proses ini di dalam kelas ataupun di rumah. Secara tidak langsung murid-murid telah dilatih dengan sikap tidak mudah putus asa dan sebagai seorang pemikir dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

(7)

(G) Kesimpulan Atau Refleksi

Rajah 10: Kesimpulan Yang Dihasilkan Murid

Pemerhatian: Saya dapati murid-murid telah membuat perkaitan mengenai apa yang dilihat berlaku pada model yang dibina dengan teori-teori Sains yang telah mereka pelajari.

Refleksi: Berdasarkan pemerhatian ini saya dapati murid-murid telah melalui setiap langkah di dalam EDP secara kritis dan bermakna.

(H) Soal Selidik Terbuka

Pemerhatian 1:

Soalan 1:

Adakah MoEDeP 1.0 membantu kamu menyiapkan model mekanisme pernafasan? Terangkan serba sedikit.

Jawapan Murid A:

Ia membantu saya bagi mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil ketika menghasilkan model, malah ia juga dapat membantu kita menyelesaikan projek dengan pengetahuan baru.

Jawapan Murid B:

Ya, saya dapat tahu langkah seterusnya yang patut saya lakukan agar model yang diselesaikan dengan baik.

Refleksi:

Saya dapati semua murid bersetuju MoEDeP 1.0 membantu mereka menghasilkan model mekanisme pernafasan manusia. Menerusi langkah-langkah dalam EDP, murid-murid mempunyai panduan yang jelas mengenai tindakan yang perlu diambil dalam usaha menghasilkan model. Selain itu, terdapat juga murid mengakui bahawa mereka memperoleh pengetahuan baharu menerusi pelaksanaan MoEDeP 1.0.

(8)

Pemerhatian 2:

Soalan 2:

Antara langkah berikut, yang manakah paling membantu kamu menyelesaikan tugasan penghasilan model

Rajah 11: Dapatan Murid Mengenai Langkah EDP

Refleksi:

Berdasarkan dapatan ini saya memperoleh maklumat bahawa langkah yang paling membantu murid menghasilkan model adalah langkah menghasilkan. Langkah ini juga disokong oleh langkah meneroka maklumat dan langkah menguji model. Dalam pelaksanaan MoEDeP pada masa akan datang, saya akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah ini.

4. KESIMPULAN

Di akhir pelaksanaan kajian tindakan ini dapat saya simpulkan bahawa pelaksanaan MoEDeP 1.0 telah membantu murid saya menghasilkan model mekanisme pernafasan manusia secara lebih teratur dan bermakna. Murid-murid didapati lebih memahami dan menghayati setiap langkah kerja yang diambil di dalam MoEDeP 1.0. Langkah-langkah di dalam MoEDeP 1.0 yang telah mengadaptasi langkah-langkah dalam EDP secara tidak langsung melatih murid- murid saya dengan sikap tidak mudah putus asa dalam konteks penyelesaian masalah. Sifat ketabahan ini dilihat penting dalam persekitaran Pembelajaran Abad ke-21 dan persekitaran pekerjaan IR4.0 (Sulaeman et al., 2021).

Menerusi pelaksanaan MoEDeP 1.0 murid-murid juga telah dilatih untuk merungkai satu permasalahan besar kepada permasalahan yang lebih kecil. Seterusnya murid dilatih untuk mencari maklumat berguna yang dapat membantu mereka menyelesaikan permasalahan yang ada. Kemudian murid-murid dilatih dengan kemahiran menghasilkan lakaran model. Murid- murid juga berpeluang untuk mengalami sendiri proses cuba daya tanpa putus asa dalam menghasilkan model sehingga model yang dihasilkan dapat berfungsi dengan baik. Sudah tentu pengalaman yang dilalui oleh murid-murid ini secara tidak langsung berupaya menyediakan mereka dengan Kemahiran Kompetensi Global 6C seperti iaitu komunikasi, kreativiti, pemikiran kritis, sahsiah, kewarganegaraan dan kolaboratif.

Selain itu, pelaksanaan MoEDeP 1.0 juga telah mengadaptasikan penggunaan teknologi di dalam pelaksanaannya. Secara tidak langsung murid-murid dilihat semakin mahir dengan

(9)

penggunaan alat teknologi untuk proses pembelajaran mereka. Saya sendiri merasai perubahan murid-murid di mana pada mulanya ketika saya menyatakan bahawa laporan penghasilan model wajib dibuat dengan menggunakan aplikasi Canva, rata-rata murid saya mengeluh.

Namun setelah saya memberi sedikit tunjuk ajar, saya dapati murid-murid saya dapat menggunakan aplikasi ini dengan baik sekali. Malahan saya dapati murid-murid juga menggunakan Canva di luar tugasan ini.

Lain daripada itu menerusi kajian tindakan ini, saya juga dapat melihat sejauh mana intervensi ini dapat membantu murid-murid saya menghasilkan model. Saya menjadi lebih yakin untuk menggunakan pendekatan MoEDeP 1.0 dalam tugasan penghasilan model yang seterusnya. Kajian ini sedikit sebanyak telah membantu saya untuk menambah baik amalan pengajaran saya sendiri dan seterusnya membantu murid saya untuk belajar dengan lebih baik dan berkesan.

RUJUKAN

Kemmis, S., & McTaggart, R. (1988). The action research planner. Victoria, Australia: Deakin University Press.

Magilvy, J. K., & Thomas, E. (2009). A first qualitative project: Qualitative descriptive design for novice researchers. Journal for Specialists in Pediatric nursing, 14(4), 298-300.

Oh, P. S., & Oh, S. J. (2011). What teachers of science need to know about models: An over view. International Journal of Science Education, 33(8), 1109-1130.

Sulaeman, N. F., Putra, P. D. A., Mineta, I., Hakamada, H., Takahashi, M., Ide, Y., & Kumano, Y. (2021).

Exploring student engagement in STEM education through the engineering design process. Jurnal Penelitian Dan Pembelajaran IPA, 7(1), 1-16.

Referensi

Dokumen terkait