37
Pre15-04 – International Drug Prevention And Rehabilitation Conference (Prevent 2015) PERANAN JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM) DALAM MENANGANI ISU PENAGIHAN DADAH MELALUI INTERVENSI KEROHANIAN:
KAJIAN PELAKSANAAN PROGRAM 2011-2015 Mohd Izwan Bin Md Yusof
Saiful Azhar Bin Saadon Penolong Pengarah Cawangan Sosial
JAKIM ABSTRAK
Isu penagihan dadah merupakan sebahagian daripada isu sosial yang dianggap sebagai permasalahan utama di dalam negara dan perlu ditangani secara holistik oleh pelbagai agensi sama ada kerajaan, swasta mahupun NGO. Oleh kerana terdapat sejumlah besar bilangan penagih dadah dalam kalangan umat Islam, maka Jakim sebagai agensi peneraju pengurusan hal ehwal Islam di dalam negara, turut terpanggil untuk memainkan peranan dalam menangani isu ini melalui pendekatan agama. Justeru, kajian ini dilakukan untuk mengenalpasti bentuk pengisian yang dilaksanakan melalui intervensi kerohanian berdasarkan program bermula 2011- 2015. Kajian mendapati bentuk pengisian yang dikendalikan oleh Jakim meliputi perkara asas agama seperti bimbingan solat, bengkel fardhu ain, tazkirah, qiamullail serta muhasabah diri.
Kesimpulannya, adalah menjadi harapan pihak Jakim agar bentuk pengisian yang dilaksanakan menerusi program bersama penagih dadah ini, mampu menawarkan alternatif kepada mereka dalam menangani isu penagihan dadah di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan umat Islam.
Pendahuluan
Berdasarkan data yang dikemukakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), bilangan penagih berdaftar bagi tempoh bermula tahun 1988 sehingga tahun 2014 adalah seramai 387,144 orang. Manakala, bagi tempoh sehingga 2014, bilangan Orang Kena Pengawasan (OKP) adalah seramai 42,228 orang penagih. Ternyata, penagihan dadah telah melalui satu revolusi bermula daripada dadah tradisional (candu) kepada dadah baharu (New Psychoactive Substance – NPS). Oleh itu, usaha membanteras masalah dadah dalam negara memerlukan penglibatan semua pihak. Ini kerana, isu dadah dalam negara saling berkait dengan isu-isu sosial yang lain seperti penceraian, pengabaian anak-anak, masalah disiplin murid di sekolah, masalah disiplin pekerja di tempat kerja, jenayah jalanan dan sebagainya. Justeru, semua pihak yang berkenaan sama ada agensi kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu merancang dan melaksanakan program pencegahan, pemulihan dan penguatkuasaan. (Kertas Kerja ‘Pendekatan Holistik Membanteras Dadah di Malaysia’ oleh AADK dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sosial Bil. 2/2015.)
Selanjutnya, Malaysia sedang bertindak ke arah menjadikan dadah bukan sebagai bahan jenayah agar lebih mudah dan terbuka buat penagih dadah mendapatkan rawatan dan pemulihan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Nancy Syukri menyatakan “Daripada
38
melihat penagih dadah sebagai penjenayah kita perlu melihat mereka sebagai pesakit”. Beliau menyatakan demkian selepas Mesyuarat Panel Peringkat Tinggi mengenai Dasar Dadah dan Kesihatan Umum anjuran Suruhanjaya Global mengenai Dadah. Mesyuarat itu diadakan bersempena Persidangan Persatuan AIDS Antarabangsa ke-7, tahun 2013. (Sinar Harian, Jun 2013). Ini membuktikan bahawa, golongan penagih dadah perlu dibantu menerusi pelbagai pendekatan yang bersesuaian untuk membolehkan mereka menjalankan peranan sebagai seorang warga negara yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan modal insan negara.
Program ‘Ilaj wa Syifa’ Jakim
Menurut Dr. Muhammad Yusuf Khalid, seorang pakar Psycho-Spiritual Therapy Approach for Drug Addiction Rehabilitation, terapi psiko-kerohanian yang digunakan dalam usaha merawat dan memulihkan penagih dadah dan ketagihan mereka adalah amat berkesan.
(Dr Muhammad Yusuf Khalid, 2010, Jurnal Antidadah Malaysia, hlm. 143-151).
Selaras dengan cadangan ini, program terhadap golongan penagih dadah oleh Jakim telah bermula sebelum tahun 2009 lagi. Ia dilaksanakan dengan kerjasama jalinan pintar bersama Agensi Antidadah Kebangsaan yang menyediakan para peserta di kalangan penagih dadah di bawah seliaan mereka. Para peserta akan dikumpulkan di masjid-masjid terpilih di seluruh negara dan menjalani program terapi kerohanian selama 40 hari. Kemudian, bermula tahun 2009, program ini diberi nama Program Rakan Setia Masjid (RSM) yang dipendekkan tempohnya hanya kepada 5 hari di masjid-masjid terpilih di seluruh negara. Pada ketika ini, para peserta adalah terdiri daripada penagih dadah Pra Bebas. Peserta akan melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan bagi mengikis stigma serta mendekatkan komuniti dengan masyarakat sekitar.
Seterusnya, pada penghujung tahun 2011 program ini distruktur dan dijenamakan semula sebagai program Rakan Setia Komuniti (RSK). Para peserta pada waktu ini terdiri daripada Orang Kena Pengawasan Dadah (OKP). Program telah mula dilaksanakan di resort yang bersesuaian atau pusat latihan kerajaan dan tidak lagi di masjid.
Selanjutnya bermula tahun 2015, dalam usaha merealisasikan Pelan Stategik Jakim 2015-2019, Teras 4 iaitu ‘Memantapkan Kefahaman Dan Penghayatan Islam Secara Syumul Bagi Melahirkan Khaira Ummah’, maka program bersama penagih dadah dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan terus diperkasa dengan pendekatan ‘Ilaj wa Syifa’ diberikan keutamaan. Nama program dijenamakan semula sebagai Program Islah Remaja Permata Dunia.
Tambahan lagi, bagi merealisasikan tanggungjawab Nahi Munkar ke arah membanteras gejala penagihan dadah melalui kesedaran, bimbingan, perlindungan dan pembinaan jatidiri golongan ini, mereka memerlukan perhatian dan bimbingan dari semua pihak untuk mengembalikan keyakinan diri melalui intervensi kerohanian bagi menghadapi cabaran hidup dalam melawan ketagihan dadah. Justeru, objektif program yang dirangka adalah seperti berikut :
i. Menambah ilmu pengetahuan agama terutama berkaitan tauhid dan asas-asas fardhu ain.
ii. Mewujudkan toleransi dan keyakinan diri.
iii. Memperkukuhkan jiwa dalam menghadapi dugaan dan ujian.
iv. Menyedarkan mereka akan hakikat kehidupan iaitu asal kejadian, tujuan dan pengakhir kehidupan.
39
v. Memberi pengetahuan berkaitan bahaya najis dadah & virus HIV/AIDS.
vi. Membuka jalan dan membimbing mereka ke arah menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan agama.
vii. Menghilangkan perasaan menjauhkan diri (stigma) dengan masyarakat sekeliling terutama golongan agama.
Sepanjang program selama 3 hari 2 malam, pengisian terdiri daripada ceramah kesedaran kesihatan HIV/AIDS oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Undang-undang berkaitan dadah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengetahuan dadah oleh PEMADAM, serta slot Motivasi Kerjaya yang mendapat kerjasama daripada majikan yang sanggup menawarkan pekerjaan kepada bekas penagih. Majikan ini terdiri daripada pihak swasta dalam pelbagai sektor pekerjaan seperti pembuatan, pemakanan, perhotelan dan pertanian. Pendedahan bantuan- bantuan yang boleh dimanfaatkan juga dikongsi oleh agensi seperti MARA, TEKUN dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.
Intervensi Kerohanian
Selain daripada pengisian yang dinyatakan, pengisian paling utama adalah penekanan terhadap aspek kesedaran kerohanian oleh Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.
Di antara pengisiannya termasuklah bimbingan solat, bengkel fardhu ain, tazkirah selepas solat, qiamullail serta muhasabah diri. Di dalam slot Muhasabah Diri, penekanan diberikan terhadap aspek keTuhanan dan konsep kerja sebagai ibadah dalam kehidupan. Berdasarkan respon dari para peserta, mereka mengakui dapat membina semula keyakinan diri, membetulkan salah faham terhadap Islam yang selama ini dianggap bersifat menghukum kepada golongan yang melakukan kesalahan, mengingati dan menghayati semula asas agama seperti solat dan fardhu ain serta mendapat keinsafan diri.(Borang Penilaian Program Islah Remaja Permata Dunia , Jakim 2015).
Dapatan ini selaras dengan cadangan oleh Haji Abdullah bin Haji Abdul rahman (Kertas kerja “Dadah Mengancam Kesejahteraan Ummah dan Negara” sempena Hari Antidadah Kebangsaan (HADAK) pada 19 Februari 2013) yang mencadangkan agar ibu bapa memastikan anak-anak mereka mengerjakan sembahyang dengan sempurna, kerana solat yang sempurna boleh mencegah dari melakukan segala kemungkaran seperti firman Allah SWT dalam surah al-
‘Ankabut ayat 45 bermaksud:“Dirikanlah solat (kerana) sesungguhnya solat (yang sempurna itu) boleh mencegah (umat Islam) dari melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar”.
Selain itu, beliau juga menegaskan agar suasana amar makruf nahi munkar dihidupkan dalam kalangan masyarakat agar kita dan anak-anak muda turut merasai kesan suasana tersebut dan merasa malu untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik sebagaimana peringatan Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud;
“Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyeru kepada berbuat baik serta meninggalkan kemungkaran dan merekalah orang yang beriman”
Secara umumnya pengisian program cuba mencapai maksud prinsip hijrah di dalam Islam yang difahami bukan sekadar berhijrah bagi memulakan hidup baru dari segi pekerjaan, tetapi juga memperbaiki tanggungjawab hidup sebagai seorang muslim. (temubual bersama pegawai Jakim yang terlibat). Ia bertepatan dengan hadith Nabi SAW “Orang yang berhijrah
40
ialah mereka yang meninggalkan apa yang dilarang Allah ke atasnya”.(Hadith riwayat Imam Muslim).
Kesimpulan
Menjadi harapan Jakim, agar pendekatan program menerusi intervensi kerohanian ini, mampu menawarkan alternatif kepada komuniti yang terlibat dalam menghadapi isu penagihan dadah di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan umat Islam.