• Tidak ada hasil yang ditemukan

PERTAHANAN NEGARA MENURUT PERSPEKTIF HADIS NABAWI: SUATU KAJIAN TEMATIK

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "PERTAHANAN NEGARA MENURUT PERSPEKTIF HADIS NABAWI: SUATU KAJIAN TEMATIK"

Copied!
16
0
0

Teks penuh

(1)

71

PERTAHANAN NEGARA MENURUT PERSPEKTIF HADIS NABAWI:

SUATU KAJIAN TEMATIK

Abdullah Hasif Bin Ismail

Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia

*Corresponding author: [email protected]

ABSTRAK

Dasawarsa ini, sistem pertahanan negara telah menjadi salah satu isu penting dan juga permasalahan yang diperbincangkan di dalam pelbagai peringkat pentadbiran seperti di peringkat organisasi, negeri, dan juga pada peringkat negara. Isu ini juga turut diperbincangkan pada peringkat global. Hal ini kerana, isu pertahanan negara berhubungkait dengan pelbagai aspek keselamatan negara seperti keselamatan darat, keselamatan laut, keselamatan udara, dan juga di era modenisasi ini, sistem pertahanan negara juga berkaitan dengan aspek keselamatan siber. Jika perkara ini diambil mudah oleh sesebuah kerajaan, pastinya negara tersebut akan berhadapan dengan pelbagai isu yang serius seperti isu yang melibatkan kesejahteraan negara, isu keselamatan awam, isu keselamatan siber dan lain-lain. Sekiranya tidak diuruskan dan dirancang dengan baik, ia akan mengakibatkan permasalahan yang serius kepada negara tersebut, seperti perpecahan, peperangan, dan penjajahan. Hal ini secara tidak langsung akan membawa kepada kehancuran dan kemunduran negara tersebut. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji perspektif Islam mengenai isu pertahanan negara dengan memfokuskan sudut pandang Hadis Nabawi, yang mana kesemua Hadis yang dibincangkan di dalam kaijan ini berhubungkait dengan isu pertahanan negara dengan melihat secara terperinci mengenai pendirian Islam berhubung tajuk ini, seperti sistem pengurusan pertahanan negara menurut Islam, dan juga mengkaji pendekatan para ilmuan Islam dalam menghuraikan kesemua Hadis yang akan disebutkan di dalam kajian ini. Data akan dikumpulkan dengan menganalisis pelbagai sumber seperti buku-buku yang mengumpulkan Hadis-Hadis Nabi Muhammad ﷺ, buku-buku yang menghuraikan Hadis-Hadis Nabi Muhammad ﷺ, dan juga buku-buku yang menghuraikan ayat-ayat Al-Quran Al-Karim.

Kata Kunci: Pertahanan Negara, Keselamatan Negara, Hadis Nabawi

PENDAHULUAN

(2)

72

Pertahanan negara bermaksud segala aktiviti yang berkaitan dengan program-program ketenteraan, penghasilan atau pembinaan tenaga atom, bantuan ketenteraan kepada mana-mana negara luar, pengumpulan asset ketenteraan, atau angkasa lepas (Insider, n.d). Oleh itu, berdasarkan definisi ini, difahami bahawa pertahanan negara memfokuskan kepada keselamatan dan aspek ketenteraan seperti aset ketenteraan, keselamatan negara, strategi pertahanan, dan juga penambahbaikan kepada strategi keselamatan siber. Pada hari ini, pertahanan negara merupakan salah satu tajuk penting yang diperbincangkan pada pelbagai peringkat pentadbiran. Setiap negara telah mengambil langkah dan strategi tersendiri untuk menaiktaraf strategi pertahanan dan aset-aset ketenteraan yang merupakan pemangkin kepada keselamatan, kemakmuran, dan penyatuan masyarakat di negara mereka. Hal ini kerana penduduk sesebuah negara mempunyai kuasa dalam mempengaruhi kewujudan dan evolusi kepada polisi awam, serta sokongan politik masyarakat awam. Yang mana kedua-dua aspek ini penting dalam memastikan sistem keselamatan sesebuah negara menjadi efektif.

Selain itu, kebiasaanya konsep pertahanan negara sering disalahfahami bahawa ia membawa maksud yang sama dengan konsep organisasi ketenteraan, yang mana termasuk di dalam tajuk perbincangan dibawahnya ialah ketenteraan di darat, laut, dan udara. Sementara, tiada hubungan langsung yang berterusan antara pertahanan dan juga kekuatan ketenteraan, dan beberapa contoh keadaan, pengaplikasian menjadi penting bagi kemampuan sesebuah negara untuk mempertahankan keselamatan negara mereka (Victoria, 2018).

Menurut (Victoria, 2018) pertahanan negara memainkan peranan yang penting dalam memelihara serta penerusan undang-undang demokrasi sesebuah negara yang dikenali pada hari ini. Ini termasuk membasmi pengedaran dadah di dalam dan luar negara, jenayah terancang, keselamatan sempadan negara.

Menurut (MINDEF, 2010) Polisi Pertahanan negara merupakan tujuan utama bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan negara, yang mana ianya merupakan batu asas kepada kemakmuran Malaysia, integriti wilayah, dan pembangunan ekonomi. Untuk merealisasikan tujuan tersebut, suatu dasar prinsip pertahanan negara yang penting telah dirancang dalam membentuk plan yang komprehensif. Sikap berdikari merupakan pendekatan yang penting dalam memastikan perlaksanaan metode ini.

Islam yang merupakan agama yang lengkap amat mementingkan isu-isu yang berkaitan

(3)

73

dengan pertahanan negara. Sudut perpektif Islam terhadap topik ini merangkumi keseluruhan aspek yang memainkan peranan penting kepada aspek-aspek pertahanan negara. Perkara- perkara utama yang penting bagi ketenteraan Islam ialah persediaan dari aspek fizikal, mental dan kerohanian. Kesemua persediaan ini bukan hanya memfokuskan kepada keselamatan negara, akan tetapi bertujuan untuk memperkenalkan agama Islam itu sendiri. Segala kemahiran fizikal dan kerohanian ini penting dalam memastikan perjuangan dilaksanakan sebaik mungkin dan tidak goyah dengan sebarang tekanan (Ishak,1994; Wahab, 2011; Noor Azmi et al..,2015). Kesannya, kekuatan mental dan fizikal amat penting dalam pembinaan sifat- sifat tentera yang hebat dalam diri tentera-tentera Islam dalam menghadapi musuh-musuh mereka, sepertimana Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Anfal ayat 60: “ Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya” (Ishak,1994; Wahab, 2011; Noor Azmi et al..,2015).

KAJIAN LITERATUR

Selepas meneliti beberapa penulisan dan kajian yang berkaitan dengan pertahanan negara, penulis mendapati terdapat enam penulisan serta kajian yang berkait rapat dengan tajuk kajian. Pertama, sebuah jurnal yang ditulis oleh Lukman Ibrahim dan Ermy Azziaty Rozali dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2017, tajuk jurnal ini ialah “Kecekapan Tadbir Urus Ketenteraan dan Pertahanan Era Pentadbiran Nabi Muhammad SAW”. Objektif kepada kajian ini ialah untuk menganalisis dan mengkaji pengamalan ketenteraan dan pertahanan negara di era pemerintahan Nabi Muhammad ﷺ. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menganalisis kandungan dan juga menganalisis sejarah. Oleh itu, kajian ini lebih memfokuskan kepada Sirah Nabawiyah (biografi Rasullah SAW), sedangkan penulis ingin memfokuskan mengenai tajuk pertahanan negara menurut perspektif dan metodologi Hadis Nabawi dengan meneliti pelbagai sumber Kitab Hadis. Penulis juga ingin menyusun semua data yang diperolehi secara tematik, seterusnya menganalisis kesemua data dengan melihat pandangan para sarjana Islam.

Kedua, sebuah jurnal yang ditulis oleh A.Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadwi dari

(4)

74

Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia pada tahun 2014, tajuk bagi kajian ini ialah “Konsep Wasatiyah Dalam Peperangan: Tinjauan Terhadap Panduan Nabawi”. Objektif kajian ini ialah meneliti pengaplikasian konsep Wasatiyah ketikamana peperangan berlaku pada era pemerintahan Rasullah SAW. Kajian ini menfokuskan konsep Wasatiah dalam peperangan di zaman Rasullah sedangkan pengkaji ingin mengkaji dengan lebih meluas mengenai tajuk ini dengan melihat kepada pelbagai aspek, bukan hanya melihat kepada aspek peperangan sahaja, akan tetapi melihat kepada aspek strategi pertahanan negara, kemuliaan pejuang Islam, dan kesan pengkhianatan kepada sistem pengkhianatan negara.

Ketiga, sebuah jurnal yang ditulis oleh Mukhtadi dan R Madha Komala dari Universiti Pertahanan Republic Indonesia, Indonesia pada tahun 2018. Tajuk kajian ini ialah

“Membangun Kesedaran Bela Negara Bagi Generasi Milenial Dalam Sistem Pertahanan Negara”. Objektif bagi kajian ini ialah membina kesedaran dalam diri generasi milenial akan kepentingan pertahanan negara sebagai salah satu usaha negara dalam mengukuhkan sistem pertahanan negara. Oleh itu, kajian ini hanya menfokuskan kepada isu semasa yang berkaitan dengan pertahanan negara dengan menfokuskan kepada kesedaran generasi milenial tanpa melihat kepada perspektif Hadis Nabawi.

Keempat, sebuah jurnal yang ditulis oleh Joseph Michael Newhard dari Universiti Texas A&M pada tahun 2016. Tajuk kepada jurnal ini ialah “A Note on the Market Provision of National Defence”. Objektif kepada kajian ini ialah memfokuskan kepada kepelbagaian faktor pemboleh ubah yang mana peruntukan pasaran memainkan peranan yang penting dalam menambahbaik polisi pertahanan negara. Oleh itu, kajian ini hanya memfokuskan kepada isu semasa pertahanan negara iaitu dengan melihat kepada aspek ekonomi, sedangkan penulis ingin mengkaji secara holistik tajuk ini dengan melihat kepada perspektif Hadis Nabawi.

Kelima, jurnal ini ditulis oleh Gawdat Bahgat and Anoushiravan Ehteshami dari Universiti Durham pada tahun 2018. Tajuk Kajian ini ialah “Iran’s Defense Strategy: Naval Forces, Ballistic Missiles and Cyber Capabilities”. Kajian ini membincangkan mengenai negara Iran yang merupakan salah satu negara Islam merancang aset-aset ketenteraan dan strategi pertahanan negara bagi menambahbaik kemampuan pertahanan negara Iran. Mereka berkata Pentadbiran Rouhani kedua telah meningkatkan perdebatan mengenai sikap pertahanan Republik Islam dan hubungan dengan negara jiran dan Amerika Syarikat. Hubungan antara Tehran dan Barat telah tegang sejak Revolusi Islam 1979. Kajian ini hanya memfokuskan

(5)

75

kepada isu kontemporari pertahanan negara dan terhad kepada negara Iran, manakala penulis ingin memfokuskan penyelidikan ini dengan memfokuskan kepada perspektif Hadis Nabawi, bukan sahaja terhad kepada mana-mana negara tertentu.

Keenam, jurnal ini ditulis oleh Mohamed Fajil Abd. Batau, Nazariah Osman, and Mohamad Faisol Keling dari Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia pada tahun 2020. Tajuk bagi kajian ini ialah “Kepentingan Industri Pertahanan Malaysia Kepada Keselamatan Negara”. Penulis penyelidikan ini menyiasat hubungan antara industri pertahanan dengan keselamatan negara atau pertahanan negara.

Penyelidikan ini lebih memfokuskan kepada sejarah dasar pertahanan negara di Malaysia, keperluan industri pertahanan kepada keselamatan di Malaysia. Ini juga terhad untuk membincangkan isu kontemporari dan faktor ekonomi yang berkaitan dengan isu pertahanan negara.

DEFINISI PERTAHANAN NEGARA

Menurut Artur Victoria (Artur Victoria, 2018) pertahanan negara bertanggungjawab untuk memastikan dan mengekalkan kedaulatan undang-undang demokrasi yang dikenali pada zaman ini. Ini termasuk memerangi pengedaran dadah di dalam dan di luar negara, memerangi jenayah terancang, melindungi sempadan, memerangi pemerdagangan orang, dan memelihara kepentingan negara sama ada di dalam atau luar, yang semakin bersifat kompetitif, sama ada kepentingan ini dalam bidang ekonomi, politik atau alam sekitar. Beliau juga berkata memandangkan masyarakat mempunyai pengaruh yang besar terhadap pembentukkan dan pembangunan dasar awam, sokongan politik masyarakat diperlukan untuk memastikan sistem dan strategi pertahanan negara menjadi efektif.

Selain itu, menurut Begner Karoly (Begner Karoly, 1998) Pertahanan negara merupakan sesuatu yang penting bagi masyarakat di sesebuah negara. Ia kerana terdapat keperluan untuk mengukuhkan sistem pertahanan negara demi mengekalkan keselamatan serta kapasiti pertahanan. Kesedaran nasional dan pendidikan mengenai ketenteraan, yang diamalkan di setiap negara dalam beberapa bentuk dengan menggunakan pelbagai kaedah yang berbeza, mempunyai peranan yang besar dalam merealisasikan keamanan sesebuah negara.

(6)

76

Definisi pertahahan negara menurut perspektif Islam lebih dekat sekiranya dilihat melalui definisi Jihad. Hal ini kerana perlaksanaan kepada konsep Jihad amat dekat dengan perlaksanaan konsep pertahanan negara yang dikenali pada hari ini. Sebagai contoh, ketika membincangkan tentang Jihad, antara sudut yang diperbincangkan ialah kelebihan pejuang dan para Syuhada’, tanggungjawab pemimpin dan rakyat dalam mempertahankan negara, dan ciri- ciri tentera yang terbaik. Kesemua hal yang disebutkan ini juga ialah sudut yang diperbincangkan dalam konsep pertahanan negara.

Menurut Dr. Muhammad Ahmad Ismail (Muhammad, n.d) jihad ialah berperang dengan golongan musyrikin demi menegakkan kalimah Allah SWT.

Menurut Syeikh Abdullah Ibn Jibreen (Ibn Jibreen, n.d) terdapat sebahagian ulama yang menghubungkan jihad dengan tajuk-tajuk atau isu-isu agama dari pelbagai sudut.

Menurut beliau Jihad ialah berperang dengan golongan Kafir. Terdapat sebahagian ulama yang memasukkannya dalam bab Hudud, antaranya penulis kitab Al-Mughni. Selain itu, terdapat juga sebahagian ulama yang memasukkannya dalam bab ibadah seperti yang terdapat di dalam kitab al-Muqni’, hal ini kerana Jihad merupakan salah satu ibadah yang terbesar di dalam Islam.

Sebahagian ulama yang lain juga menjadikannya salah satu dari rukun Islam disebabkan terdapat banyak Hadis yang menyebutkan mengenai kelebihan-kelebihan jihad, tatacara perlaksanan jihad, dan lain-lain lagi yang menunjukan akan kepentingannya.

KEMULIAAN PERJUANG ISLAM MENURUT HADIS NABAWI

Tidak dinafikan lagi bahawa Jihad merupakan antara amalan yang utama di dalam Islam sepertimana yang diperbincangkan sebelum ini. Oleh itu, terdapat banyak hadis yang menyebutkan tentang kemuliaan dan ganjaran kebaikan bagi seseorang Muslim yang melaksanakan Jihad. Antaranya sebuah hadis yang menyatakan bahawa seseorang yang mati syahid akan dimasukkan ke syurga.

Dari Jabir bin Abdillah R.A: “ Seorang lelaki telah berkata kepada baginda Nabi ﷺ: Bagaimana menurutmu jika aku mati terbunuh, dimanakah tempatku? Baginda menjawab: Di syurga. Lalu lelaki itu melemparkan kurma yang berada di tangannya, lalu dia berperang sehingga terbunuh,” (Sahih Bukhari: 4046).

(7)

77

Al-Qastallani (al-Qastallani, n.d) menukilkan pandangan daripada Ibn Bashkuwal yang mendakwa bahawa nama lelaki yang disebutkan di dalam hadis tersebut ialah Amir bin Al-Humam. Menurut Faisal al-Mubarak (Faisal, 2002) di dalam hadis ini terdapat dua perkara penting yang dapat difahami: yang pertama bersegera di dalam melakukan kebaikan, dan yang kedua kecintaan para sahabat Rasulullah ﷺ dalam membantu agama Islam, serta pengharapan mereka untuk mati syahid kerana mengharapkan reda dan pahala Allah SWT. Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin (Ibn Uthaimin, 2005) mengatakan bahawa hadis ini menunjukan para sahabat sentiasa bersegera dalam menjalankan amalan yang soleh dan mereka tidak melengah-lengahkannya. Dan sepertimana yang disebutkan oleh Abd Rahman Bin Abd Karim Al-Zaid (Abd Rahman, 2003) bahawa hadis ini menunjukkan bahawa hasil yang hebat dari didikan Rasulullah SAW.

Daripada Hadis ini, dapat disimpulkan bahawa seseorang yang sentiasa bersegera dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan jihad di jalan Allah SWT demi mempertahankan Islam akan diganjarkan dengan sebaik-baik ganjaran di akhirat kelak, yakni syurga Allah SWT.

Hadis yang kedua pula menceritakan ganjaran bagi pejuang Islam yang sentiasa bersiap-siaga mempertahankan Islam.

Daripada Sahal Bin Saad As-Sa’idiy RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: "Ribath (bersiap siaga) satu hari di jalan Allah lebih baik dari dunia dan apa saja yang ada diatasnya dan tempat dirotan seorang dari kalian di surga lebih baik daripada dunia dan apa saja yang ada diatasnya dan berangkat pada awal hari (pagi) atau berangkat pada akhir hari (siang) untuk berperang di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan apa saja yang ada diatasnya,” (Sahih Bukhari: 2892)

Abdul Ghani al-Maqdisi (al-Maqdisi, 1988) menjelaskan berkenaan perkataan

“Ribath” yang terdapat di dalam hadis iaitu melazimi tempat yang berada di antara tentera Islam dan tentera kafir untuk menjaga tentera Islam dari serangan tentera Kafir. Syeikh Abdullah ibn Jibreen (Ibn Jibreen, n.d) menerangkan makna “Ribath” yang terdapat di dalam hadis ini ialah melazami laluan yang mana musuh boleh datang daripadanya, jika musuh mendatangi dari jalan ini sama ada berjalan kaki, atau menaiki kuda, atau menaiki kereta, atau seumpama dengannya, maka bagi seseorang yang menjaga pada jalan ini baginya pahala yang amat besar, kerana dia telah menjaga tentera Islam dari serangan musuh-musuh.

(8)

78

Maka jelas daripada Hadis ini bahawa ganjaran yang amat besar diberikan bagi sesiapa yang bersungguh menjaga keselamatan tentera Islam ketika mana peperangan dengan menjaga kawasan atau laluan yang memungkinkan musuh untuk datang menyerang. Mereka diberikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT dan mendapat berita yang gembira daripada Rasulullah ﷺ.

STRATEGI PEPERANGAN-PEPERANGAN DI ERA PEMERINTAHAN RASULULLAH

Antara Hadith yang menarik yang menunjukkan kisah keberanian serta kehebatan para sahabat Rasullullah ﷺ dalam merangka strategi demi memerangi musuh-musuh Islam ialah antaranya kisah pengutusan beberapa orang para sahabat dari kalangan Ansar demi membunuh seorang yahudi yang kuat menentang serta menyakiti Rasulullah ﷺ.

Daripada al-Bara’ bin Azib R.A berkata: "Rasulullah ﷺ pernah mengutus beberapa sahabat Anshar kepada seorang Yahudi bernama Abu Rafi', dan baginda melantik Abdullah bin Atiq untuk memimpin mereka. Abu Rafi' adalah seorang lelaki yang selalu menyakiti Rasulullah ﷺ dan membantu musuh untuk menyerang baginda, dia sedang berada di bentengnya yang berada di wilayah Hijaz. Ketika para sahabat tersebut telah dekat dengan (bentengnya) -aitu ketika matahari hampir terbenam dan orang-orang telah kembali dari gembalaannya-, maka Abdullah berkata kepada para sahabatnya, "Diamlah kalian di tempat kalian masing-masing, sesungguhnya aku akan berusaha masuk tanpa pengetahuan penjaga pintu, mudah-mudahan aku boleh masuk." Setelah itu dia pergi hingga mendekati pintu (gerbang), ia menutup kepalanya seolah-olah orang yang sedang buang hajat. Ketika manusia telah masuk, maka penjaga pintu berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, jika kamu ingin masuk, maka masuklah, sesungguhnya aku akan menutup pintu gerbang." Lalu aku masuk dan bersembunyi, ketika manusia telah masuk, pintu gerbang pun ditutup, kemudian kunci pintu gerbang digantungkan di atas gantungan kunci." Abdullah berkata, "Lalu aku bangun ke tempat mereka meletakkan gantungan kunci, aku pun mengambilnya, dengan cepat aku membuka pintu gerbang. Sementara itu Abu Rafi' sedang berjaga malam bersama beberapa orang, iaitu dalam sebuah bilik miliknya di tempat yang agak tinggi. Ketika mereka yang berjaga malam bersamanya telah pulang, aku langsung naik ke rumahnya, setiap kali aku membuka pintu, maka aku langsung menutupnya dari dalam, aku berkata, "Jika mereka menangkapku, maka

(9)

79

mereka tidak akan menemukanku hingga aku berhasil membunuhnya ". Lalu aku mendapatinya ia berada di tengah keluarganya, iaitu di rumah yang sangat gelap, sampai aku tidak tahu dimanakah dia berada." Aku pun berseru, "Wahai Abu Rafi'!" dia berkata, "Siapakah itu?". Dia lalu bergerak ke arah suara, dan aku langsung menebasnya dengan pedang, kerana saat itu aku sangat gugup, maka tebasanku tidak sampai membunuhnya dan dia berteriak sekuat-kuatnya.

Lalu aku keluar dari rumah dan aku menunggu dari luar tidak terlalu jauh, kemudian aku masuk menemuinya kembali. Aku bertanya, "Aku mendengarmu berteriak, ada apa sebenarnya wahai Abu Rafi'?" dia menjawab, "Kecelakaan bagi ibumu! Sungguh, seseorang masuk ke dalam rumahku dan berusaha menebasku dengan pedang." Abdullah berkata: "Kemudian aku kembali menebasnya hingga dia terluka parah, namun aku belum sempat membunuhnya, kemudian aku tusukkan pedang ke perutnya hingga tembus ke punggungnya, setelah itu aku yakin bahwa aku telah membunuhnya. Kemudian aku pergi melewati pintu demi pintu hingga aku sampai ke anak tangga hingga kakiku merasa telah menyentuh permukaan tanah. Dan pada malam itu aku terjatuh di malam yang cahaya bulan sangat terang, dan kakiku pun patah, kemudian aku pun membalutnya dengan kain serbanku. Setelah itu aku pergi perlahan sampai aku duduk di depan pintu gerbang, aku berkata kepada sahabat-sahabatku, "Aku tidak akan keluar dari benteng ini sampai aku tahu bila aku benar-benar telah membunuhnya." Ketika ayam jantan mulai berkokok, seseorang pembawa berita kematian berdiri dan berkata, "Aku umumkan bahwa Abu Rafi', saudagar dari Hijaz telah meninggal dunia." Lalu aku menemui sahabat-sahabatku dan berkata, "Mari kita pergi menyelamatkan diri, karena Allah telah membunuh Abu Rafi”.

Setelah sampai di hadapan Nabi ﷺ hal itu pun aku beritahukan kepada baginda, lantas beliau pun bersabda, "Bentangkanlah kakimu." Lalu aku membentangkannya, lalu beliau mengusapnya, seakan-akan kakiku tidak merasakan sakit." (Sahih Al-Bukhari: 4039)

Ibn Taimiyah (Ibn Taimiyah, n.d) di dalam kitab beliau al-Sarim al-Maslul menjelaskan kebenaran Rasulullah ﷺ untuk membunuh Abu Rafi’ ini ialah kerana menyakiti Rasulullah ﷺ serta memusuhi baginda ﷺ. Badr al-Din al-Ayni (al-Ayni, n.d) di dalam kitab beliau Umdat al-Qari menyebutkan nama-nama utusan Rasullulah ﷺ dari kalangan golongan Ansar yang disebutkan di dalam hadis ini, iaitu: Abdullah Bin Atiq, Mas’ud Bin Sunan, Abdullah Bin Anis, dan Khuza’i bin Aswad. Al-Qastallani di dalam kitab beliau Irshad al-Sari (al-Qastallani, 1905) menyebutkan nama Abu Rafi’ yang disebutkan di dalam hadis ini ialah Abdullah atau Salam, dan sebab beliau diperintahkan untuk dibunuh oleh Rasullullah ﷺ ialah kerana beliau merupakan salah satu kelompok yang menentang baginda ﷺ dan umat Islam pada

(10)

80

peperangan Khandaq serta memberi bantuan kewangan kepada Bani Ghatafan serta kabilah- kabilah arab yang lain ketika peperangan Khandaq, demi menentang baginda ﷺ. Terdapat perbezaan di kalangan para ulama mengenai identiti “Abdullah” yang telah membunuh Abu Rafi’, Al-Qastallani di dalam kitab beliau al-Muwahib al-Ladunniyah (al-Qastallani, n.d) menyebutkan bahawa terdapat pandangan yang menyatakan bahawa beliau ialah Abdullah bin Anis, manakala yang tepat bagi pandangan al-Qastallani ialah Abdullah Bin Atiq, sepertimana yang disebutkan di dalam Sahih Bukhari. Safi al-Rahman al-Mubarakfuri (al-Mubarakfuri, n.d) di dalam al-Rahiq al-Makhtum menyebutkan bahawa peristiwa ini berlaku pada bulan Zulkedah atau Zulhijah pada tahun kelima Hijrah.

Daripada Hadis ini, kita dapat melihat bahawa keberanian serta perancangan strategi yang amat bijak dapat mengalahkan musuh Islam. Bagaimana Abdullah Bin Atiq dengan semangat keazaman yang tinggi untuk menumpaskan musuh Islam iaitu Abu Rafi’ secara berseorangan dapat menyelesaikan misi tersebut dengan strategi yang amat teliti dan licik.

Seterusnya, kita dapat melihat kehebatan baginda ﷺ dalam merancang strategi mengalahkan musuh yang lebih ramai ketika peperangan Badar.

Daripada Abu Usaid R.A, Rasullah ﷺ berkata kepada kami ketika perang Badar: “ Jika mereka telah mendekati kalian, maka panahlah mereka dan terus serang mereka dengan anak panah kalian” (Sahih al-Bukhari: 3894).

Al-Khattabi (al-Khattabi, 1932) menerangkan bahawa makna perkataan “

مكوبثكأ

” yang

terdapat di dalam hadis ini ialah jika musuh mendekati, panahlah mereka, yakni bukan memanah mereka ketika musuh masih menjauh. Al-Baghawi (al-Baghawi, 1983) menerangkan makna perkataan “

مكلبن

” ialah anak panah arab.

Daripada hadis ini kita dapat melihat bagaimana Rasullullah ﷺ merancang strategi perang yang amat efektif dalam menghadapi musuh yang lebih ramai jumlahnya dengan menyuruh para sahabat memanah mereka ketikamana musuh-musuh sudah menghampiri supaya jumlah musuh menjadi berkurangan ketika tentera Islam berlawan dengan musuh

(11)

81

menggunakan pedang. Stategi peperangan yang hebat inilah yang menjadi antara faktor kepada kemenangan tentera Islam yang dipimpin oleh baginda Nabi ﷺ pada peperangan Badar.

PERANAN PEMIMPIN DALAM PENGUKUHAN SISTEM PERTAHANAN NEGARA Istilah kepimpinan didefinisikan dengan pelbagai bentuk, iaitu bergantung kepada pengkaji ilmu kepimpinan iaitu dengan melihat kepada tumpuan kajian masing-masing. Hal ini menghasilkan kepelbagaian maksud kepimpinan. Disana terdapat lebih 90 pemboleh ubah atau dimensi yang boleh digunakan untuk memahami maksud kepimpinan menurut perspektif pengkaji-pengkaji kepimpinan daripada pelbagai disiplin. Antara dimensi tersebut ialah keupayaan memberi sokongan, mengambil risiko, aktif, sentiasa terkehadapan, membina kebersamaan, berpengaruh, kreatif, berinovasi, berorientasikan matlamat dan berorientasikan kemanusiaan. Meskipun terdapat berbagai-bagai dimensi untuk memahami kepimpinan, terdapat beberapa persamaan yang kerap digunakan oleh para pengkaji bagi mendefinisikan perihal kepimpinan (Rozita, Rahimi, Bahiyah..2018). Oleh itu, dapat difahami bahawa pemimpin memainkan peranan yang amat penting dalam mengukuhkan sistem dan perancangan pertahanan di sesebuah negara. Hal ini dapat dilihat melalui teladan yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi ﷺ sebagai pemimpin negara Islam ketika itu.

Antaranya ialah sebuah hadis yang menceritakan bahawa Baginda ﷺ selaku pemimpin negara ketika itu turut turun padang dalam mempertahankan Islam sehinggakan baginda ﷺ sendiri tercedera dalam peperangan tersebut.

Daripada Sahl bin Sa'd, dan dia bertanya tentang luka Rasulullah ﷺ, dia berkata:

"Demi Allah, sungguh aku telah mengetahui orang yang telah mengobati luka Rasulullah ﷺ, orang yang menuangkan air, dan dengan apa baginda diubati." Dia melanjutkan, "Fatimah, putri Rasulullah ﷺ lah yang telah mencuci (luka baginda), sementara Ali bin Abu Thalib menuangkan air dengan menggunakan perisai, ketika Fatimah melihat darah semakin mengalir deras, dia langsung mengambil potongan tikar dan membakarnya, setelah itu dia menempelkan (bekas pembakaran tersebut) pada luka baginda hingga darahnya terhenti, pada waktu itu gigi kacip baginda tertanggal, wajah beliau terluka dan topi besi baginda pecah.” (Sahih Bukhari:

4075)

Muhammad Rasyid Redha (Muhammad, 1990) menyebutkan bahawa hadith ini menunjukan keadaan peristiwa peperangan Uhud, para wanita akan keluar membantu dalam

(12)

82

merawat tentera-tentera Islam yang tercedera, dan Fatimah R.A yang merawat ayahnya, Rasulullah ﷺ yang mana baginda tercedera pada waktu tersebut.

Daripada hadis ini, dapat dilihat bagaimana suri teladan yang terbaik yang ditunjukkan oleh Baginda ﷺ dalam pengukuhan sistem pertahanan negara Islam, Baginda ﷺ tidak hanya memberi arahan kepada para sahabat lalu berlindung bersembunyi menyelamatkan diri dari menyertai peperangan, akan tetapi Baginda ﷺ sendiri turun padang mempertahankan Islam, malahan Baginda juga mengalami kecederaan pada peperangan Uhud sepertimana yang disebutkan di dalam Hadis tersebut.

Seterusnya, Hadis yang kedua menerangkan kepada umat Islam akan kepentingan bagi seseorang pemimpin untuk cakna akan isu kedaulatan agama dan negaranya, sekaligus bersungguh-sungguh bagi membela kedulatan dan maruah negara yang tercalar oleh musuh- musuh.

Daripada Anas R.A, dia berkata: “Nabi ﷺ pernah mengutus tujuh puluh orang untuk suatu keperluan, mereka disebut sebagai Qurra` (para pembaca Al-Qur'an), mereka dihalang oleh penduduk dari bani Sulaim, Ri'l dan Dzakwan berdekatan dengan mata air yang disebut dengan Bi'r Ma'unah, mereka berkata, "Demi Allah, bukan kalian yang kami inginkan, kami hanya ada perlu dengan Nabi ﷺ." Mereka akhirnya membunuh para sahabat tersebut, maka Nabi ﷺ mendoakan kecelakan kepada mereka (Sulaim, Ri'l dan Dzakwan) selama sebulan pada solat Subuh, itu adalah permulaan dilakukannya qunut, sebelumnya kami tidak pernah melakukan doa qunut” (Sahih Bukahri: 3088).

Badr Din Al-Ayni (al-Ayni, n.d) menjelaskan perkataan “itu adalah permulaan dilakukannya qunut” iaitu bermulanya dilakukan Qunut di dalam solat dengan berlakunya peristiwa tersebut, manakala perkataan “kami tidak pernah melakukan doa qunut” iaitu bermaksud sebelum kejadian tersebut.

Dapat diperhatikan daripada Hadis berikut bagaimana Baginda ﷺ amat mengambil cakna dan bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan agama Islam apabila dicabar oleh musuh-musuh Islam. Baginda ﷺ dan para sahabat baginda melaksanakan doa Qunut pada setiap kali solat Subuh selama sebulan bagi mendoakan kecelakaan bagi Bani Sulaim, Bani

(13)

83

Ri’l dan Bani Dzakwan yang telah membunuh utusan-utusan Baginda ﷺ sekaligus mencabar Islam itu sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa pemimpin yang berkaliber semestinya perlu berusaha sebaik mungkin dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh. Tidak sepatutnya mereka hanya berdiam diri akan isu kedaulatan yang berlaku selagimana tidak kena pada batang hidung mereka sendiri. Hal ini kerana pemimpin yang sentiasa tegas dan komited akan isu kedaulatan negara dan agama mereka secara tidak langsung telah memainkan peranan mereka dalam mengukuhkan pertahanan negara kerana mereka telah memberikan suatu gambaran yang utuh kepada musuh-musuh bahawa negara tersebut bukanlah mudah untuk diusik sewenang-wenangnya.

KESAN PENGKHIANATAN KEPADA PERTAHANAN NEGARA

Jika kita meniliti catatan sejarah di Zaman Rasulullah ﷺ, kita akan mendapati telah berlaku beberapa siri pengkhianatan terhadap Baginda Nabi ﷺ dan juga kepada Islam itu sendiri, yang mana siri pengkhianatan tersebut telah dilakukan oleh pelbagai pihak antaranya bangsa Yahudi yang tinggal di Madinah dan juga golongan Munafik. Dan dapat dilihat kesan daripada pengkhianatan tersebut telah memberikan impak negatif terhadap pertahanan negara atau wilayah mereka akibat perbuatan yang dilakukan oleh mereka sendiri.

Antara Hadis yang menceritakan berkenaan pengkhianatan yang berlaku di zaman Baginda ﷺ ialah kisah pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Yahudi Bani Quraidah yang akhirnya menyebabkan mereka telah diusir dari Madinah.

Daripada Aisyah R.A berkata: “Sa'ad terluka pada perang Khandaq karena panah seorang Quraisy bernama Hibban bin 'Ariqah. Dia memanahnya tepat mengenai urat bahu Sa'ad. Kemudian Nabi ﷺ membuatkan kemah dekat masjid supaya mudah menjenguknya.

Ketika Rasulullah ﷺ kembali dari perang Khandaq, baginda meletakkan senjata lalu mandi, malaikat Jibril Alaihissalam datang menemui baginda sambil mengibaskan debu dari kepalanya lalu berkata, "Apakah Anda hendak meletakan senjata? Demi Allah, kami tidak akan meletakkannya. Keluarlah Anda (untuk menyerbu) mereka." Baginda bertanya, "Kemana?"

Jibril 'alaihissalam memberi isyarat (untuk menyerbu) Bani Quraizhah. Maka Nabi ﷺ berangkat menyerbu mereka. Akhirnya Bani Quraizhah sepakat tunduk pada hukum beliau. Namun beliau menyerahkannya kepada Sa'ad. Sa'ad lantas berkata, "Aku akan memutuskan (hukuman)

(14)

84

kepada mereka, agar tuan membunuh para tentera perang mereka dan menawan wanita dan anak-anak mereka serta membagi-bagikan harta mereka” (Sahih Bukhari: 4122)

Muhammad Ahmad Basymil (Muhammad, 1986) menjelaskan berkenaan dengan peristiwa ini ialah peperangan Bani Quraizah merupakan kelangsungan kepada peperangan Ahzab. Ini kerana kaum Yahudi Bani Quraizah bertindak sebagai pihak ketiga kepada tentera bersekutu yang bangun untuk menghancurkan kaum Muslimin. Pada peperangan Bani Quraizah ini, Baginda ﷺ telah menyerahkan bendera kepada Saidina Ali Bin Abi Talib R.A.

Syeikh Sofiy Al-Rahman Al-Mubarakfuri (al-Mubarakfuri, n.d) menjelaskan berkaitan peristiwa ini ialah pergerakan tentera Islam ke arah kediaman Bani Quraizah ialah secara berkonvoi, hingga kesemuanya berhimpun di samping Rasullah ﷺ. Kesemua mereka berjumlah tiga ribu orang askar, kuda tunggangan tiga puluh, di sana mereka mengepung kubu Bani Quraizah. Kesan akhir kepada nasib yang berlaku kepada Yahudi Bani Quraizah ialah Rasullah ﷺ memberi autoriti kepada Saad Bin Muaz untuk menghakimi mereka. Berkata Saad:

“Hukumanku terlaksana ke atas mereka, kaum muslimin dan ke atas siapa sahaja yang ada di sini termasuk diriku”. Jawab Mereka: “Ya, benar”. Kemudian beliau berpaling mukanya sambil menunjuk kearah Rasullah ﷺ sebagai menghormati dan memuliakan Baginda. Sambungnya lagi: “Sesungguhnya aku menghukumkan supaya golongan lelakinya dibunuh, kaum wanitanya adalah tawanan, menjadi hamba sahaya dan harta-harta mereka dibahagikan”. Tegas Rasullah SAW: “Sebenarnya engkau telah menghukum ke atas mereka dengan hukuman Allah SWT dari tujuh petala langit”.

Begitulah kesan yang dapat dilihat akibat pengkhianatan yang telah dilakukan oleh golongan Yahudi. Hal ini kerana mereka telah memetrai perjanjian bagi bersama-sama mempertahankan Kota Madinah dari ancaman musuh iaitu yang tercatat di dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah), akan tetapi mereka telah melanggar piagam tersebut dengan bergabung dengan tentera bersekutu bagi memusnahkan kaum Muslimin. Akhirnya kesan daripada hal tersebut, ada di kalangan mereka yang dibunuh, dijadikan hamba serta hara mereka telah dirampas. Kesemua kerugian yang berlaku ini hasil daripada perbuatan mereka sendiri.

KESIMPULAN

(15)

85

Daripada kajian ini, umat Islam dapat melihat akan pengaplikasian konsep As- Syumuliah Al-Islam yang mana Islam mengambil penting akan kepentingan pertahanan negara yang mana amat penting dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara.

Islam tidak hanya memfokuskan akan urusan keagamaan lalu mengabaikan aspek keduniaan tanpa panduan dan tatacara yang telah ditetapkan oleh Islam. Hal ini kerana memelihara nyawa merupakan antara Maqasid Syariah terpenting untuk dijaga, maka dapat dilihat bahawa Islam tidak mengabaikan kepentingan pemeliharaan nyawa mansia, bahkan meletakkan tatacara dan panduan yang lengkap bagi memeliharanya selaras dengan ketetapan syariat Islam.

Diharapkan dari kajian yang ringkas ini dapat dimanfaatkan oleh pihak yang berautoriti dalam menggubal, merancang dan melaksanakan plan pertahanan negara, khususnya di negara Malaysia supaya menjadi satu panduan yang baik untuk merealisasikan penyelarasan sistem pentadbiran negara dengan panduan yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah.

Rujukan

Abdul Batau, Mohamed Fajil Bin Osman, Nazariahkeling, Mohamad Faisol. (2020).

Kepentingan Industri Pertahanan Malaysia Kepada Keselamatan Negara. Malaysian Journal Of Social Sciences And Humanities (Mjssh).

Al-Baghawi, Al-Husain Bin Masud Bin Muhammad (1983). Syarh Sunnah. Damsyik: Al- Maktab Al-Islami.

Al-Bukhari, Muhammad Bin Ismail (2001). Sahih Bukhari. Dar Tauq An-Najah.

Al-Qastallani, Ahmad Bin Muhammad Bin Abi Bakr (1905). Irsyad As-Sari Lil Syarh Sahih Bukhari. Mesir: Al-Mitbaah Al-Kubra Al-Amiriah.

Badr Din Al-Aini, Mahmud Bin Musa Bin Ahmad (N.D). Umadahtul Qari Syarh Sahih Bukhari. Beirut: Dar Ihya’ At-Turath Al-Arabi.

Bahgat, Gawdat Ehteshami, Anoushiravan. (2017). Iran’s Defense Strategy: The Navy, Ballistic Missiles And Cyberspace. Middle East Policy.

Bognár, Károly (1998): A Honvédelem Az Egész Társadalom Ügye. [National Defence Is A Public Issue] Hadtudomány. Vol. 8, Issue 4, P. 31–36.

Dr. Muhammad Ahmad Ismail Al-Muqaddim (N.D), Silsilah Al-Iman Wa Al-Kufr, Durus Sautiah Qhama Bi Ta’rifiha Mauqi’ As-Syibkah Al-Islamiyah.

Faisal Al-Mubarak, Faisal Bin Abd Aziz Bin Faisal (2002), Tadriz Riyadh Salihin. Riyadh:

Dar Al-Asimah Lil Nasyr Wa Al-Tauzi’

Ibn Taimiyah, Ahmad Bin Abd Halim Bin Abd Salam (N.D). Sarim Al-Maslul Ala Syatim Ar- Rasul. Al-Mamlikah Al-Arabiah As-Saudiah.

Irwan Santeri Doll Kawaid Al-Nadawi. (2014). Konsep Wastiyyah Dalam Peperangan:Tinjauan Terhadap Panduan Nabawi. Islamic Science And University Of

(16)

86 Malaysia.

Law Insider. (N.D) National Defense Definition. Retrieved On 16 June 2021 From:

Https://Www.Lawinsider.Com/Dictionary/National-Defense.

Lukman Ibrahim, Ermy Azziaty. (2017). Kecekapan Tadbir Urus Ketenteraan Dan Pertahanan Era Pentadbiran Nabi Muhammad S.A.W. International Journal Of West Asian Studies.

Mindef. (2010). Malaysia's National Defence Policy. Government Of Malaysia.

Muhammad Ahmad Basymil (1968). Ghuzwah Bani Quraizah. Kaherah: Maktabah Salafiah Muhammad Rasyid Redha, Muhammad Rasyid Bin Ali Bin Redha Bin Muhammad

Shamsuddin (1990). Tafsir Al-Quran Al-Karim. Al-Haiah Al-Misriah Al-Ammah Lil Kitab.

Mukhtadi Komala, R.Madha. (2018). Membangun Kesadaran Bela Negara Bagi Generasi Milenial Dalam Sistem Pertahanan Negara. Manajemen Pertahanan. Republic Indonesia Defence University, Indonesia.

Newhard, Joseph Michael. (2016). A Note On The Market Provision Of National Defense:

Comment. Journal Of Private Enterprise.

Noor Azmi Mohd Zainol, Ahmad Azan Ridzuan, Daud Mohammad Salleh, Zahimi Zainol Abidin. (2017). Development Of Military Leadership Model Based On Al-Quran And Sunnah. International Journal Of Academic Research In Business And Social Sciences.

Rozita Ibrahim, Muhammad Rahimi Hasan, Bahiyah Abdul Hamid (2018), Takrif Kepimpinan, Ciri-Ciri Pemimpin dan Motivasi untuk Memimpin Menurut Sudut Pandang Pemimpin Wanita Akar Umbi. Malim: Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara.

Safy Ar-Rahman Al-Mubarakfuri (N.D) Raheeq Al-Maktum. Beirut: Dar Hilal.

Syeikh Abdullah Bin Abd Aziz Al-Jabreen (2003). Mukhtasar Tashil Al-Aqidah Al-Islamiyah.

Maktabah Ar-Rusyd.

Syeikh Muhammad Bin Salih Al-Uthaimin (2005). Syarah Riyad Salihin. Riyadh.

Victoria, Athur. (2018). About National Defence. Universidade Autonoma De Lisboa Luis De Camoes.

Referensi

Dokumen terkait