• Tidak ada hasil yang ditemukan

PROSES PEMBANGUNAN KEUPAYAAN KEUSAHAWANAN KETUA ISI RUMAH (KIR) WANITA ORANG ASLI

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "PROSES PEMBANGUNAN KEUPAYAAN KEUSAHAWANAN KETUA ISI RUMAH (KIR) WANITA ORANG ASLI"

Copied!
15
0
0

Teks penuh

(1)

International Journal of Business and Economy (IJBEC) eISSN: 2682-8359 [Vol. 2 No. 4 December 2020]

Journal website: http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijbec

PROSES PEMBANGUNAN KEUPAYAAN KEUSAHAWANAN KETUA ISI RUMAH (KIR) WANITA ORANG ASLI

Rohayu Roddin1*, Yusmarwati Yusof2, Marina Ibrahim Mukhtar3, Halizah Awang4, Siti

‘Afiat Jalil5 dan Tun Ili Ayuni Ahmad Hariri6

1 2 3 4 5 6 Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat,

MALAYSIA

*Pengarang penghubung: rohayu@uthm.edu.my

Article Information:

Article history:

Received date : 20 November 2020 Revised date : 25 November 2020 Accepted date : 10 December 2020 Published date : 26 December 2020 To cite this document:

Roddin, R., Yusof, Y., Ibrahim Mukhtar, M., Awang, H., Jalil, S., & Ahmad Hariri, T. (2020). PROSES

PEMBANGUNAN KEUPAYAAN KEUSAHAWANAN KETUA ISI RUMAH (KIR) WANITA ORANG ASLI. International Journal Of Business And Economy, 2(4), 131-145.

Abstrak: Masalah kemiskinan merupakan masalah utama yang membelenggu komuniti Orang Asli sejak dahulu lagi.

Masalah yang menjadi sekatan untuk mereka kecapi pembangunan adalah sikap ketidakterbukaan kepada perubahan. Peranan golongan wanita di dalam proses kejayaan pembangunan masyarakat dilihat sebagai satu jalan penyelesaian yang holistik di mana mereka dilihat mampu menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan masyarakat dan negara. Pengalaman daripada amalan ekonomi sara diri dilihat sebagai jalan terbaik untuk ditransformasikan kepada satu perubahan yang menguntungkan melalui bidang keusahawanan. Proses ini disokong dengan penyediaan peluang-peluang dan sumber pendidikan keusahawanan oleh kerajaan seperti kursus dan latihan dalam membangunkan keupayaan dan kemahiran mereka. Justeru, kajian ini adalah penting untuk mengetengahkan kejayaan golongan wanita Orang Asli yang merupakan Ketua Isi Rumah (KIR) melalui pembangunan keupayaan dan sifat keterbukaan mereka.

Pendekatan kualitatif melalui reka bentuk kajian kes secara penerokaan digunakan dalam penyelidikan ini.

Persampelan bertujuan digunakan untuk memilih peserta kajian dan kriteria peserta kajian yang dipilih terdiri daripada golongan KIR wanita Orang Asli yang berjaya dalam bidang keusahawanan. Kaedah pengumpulan data yang digunakan adalah temu bual mendalam, pemerhatian dan pengumpulan dokumen. Kaedah tematik digunakan dalam membentuk tema serta membuat perbandingan

(2)

1. Pengenalan

Kemiskinan merupakan masalah utama komuniti Orang Asli sejak dahulu lagi. Peranan golongan wanita di dalam pembangunan masyarakat di lihat mampu menyumbang kepada pendapatan negara. Golongan wanita termasuk dari suku kaum Orang Asli mempunyai potensi untuk berjaya dalam bidang keusahawanan. Proses pembinaan keupayaan merupakan satu strategi yang digunakan dalam membantu komuniti miskin. Keadaan ini telah berlaku dengan pelbagai penyediaan peluang-peluang dan sumber pendidikan keusahawanan oleh kerajaan seperti kursus dan latihan dalam membangunkan keupayaan dan kemahiran mereka.

Wanita menjadi ketua isi rumah adalah kerana penceraian, kematian suami, ditinggalkan, suami yang tidak berdaya untuk bekerja, suami terlibat dalam aktiviti jenayah dan dipenjarakan, atau berpindah ke negara lain. Tambahan bagi wanita orang asli yang menjadi ketua isi rumah berdasarkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (2019) adalah termasuk wanita yang belum berkahwin tetapi pencari rezeki utama buat isi rumah, serta wanita yang berkahwin dengan orang luar (selain orang asli). Mengikut Idris dan Selvaratnam (2012), dalam dimensi kemiskinan, wanita yang menjadi ibu tunggal adalah antara kumpulan yang termasuk dalam kategori miskin termasuk Orang Asli.

Menurut kajian Kamaruddin et al., (2016), ini menjadi punca kepada tekanan hidup mereka.

Masalah bertambah serius apabila terdapat juga KIR wanita yang kurang cakna akan bantuan yang diperuntukkan kepada mereka oleh kerajaan dalam mengurangkan tekanan yang sedang dihadapi oleh mereka (Zakaria et al., 2018). Justeru adalah sangat penting untuk mendapatkan satu pendekatan bagi menyelesaikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan bebanan kemiskinan yang dialami oleh wanita ini.

keusahawanan yang berlaku pada ketua isi rumah wanita Orang Asli dalam hidup berkeluarga. Diharapkan kajian ini mampu menjadikan satu penanda aras kejayaan kepada golongan wanita Orang Asli suku kaum lain yang memainkan peranan sebagai ketua isi rumah untuk turut serta mengorak langkah mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan sekaligus memartabatkan gender mereka dalam kalangan masyarakat.

Kata kunci: Pembangunan Keupayaan, Keusahawanan, Ketua Isi Rumah, Wanita Orang Asli.

(3)

2. Pernyataan Masalah

Sudut populasi Orang Asli dianggarkan berjumlah seramai 178,197 orang. Mengikut perangkaan JAKOA sejumlah 38% daripada 852 petempatan mereka masih terletak dikawasan pedalaman, 61% di kawasan pinggir dan hanya 1% berada di kawasan bandar. Petempatan yang terletak dipinggir dan di pedalaman masih berhadapan dengan masalah kemudahan infra-struktur, dan masalah pembangunan ekonomi dan sosial. Faktor ini menyumbang kepada insiden kemiskinan tinggi, dimana 11.19% masih berada pada tahap miskin dan hampir 20% pada tahap miskin tegar (JAKOA, 2011). Untuk memperbaiki keadaan, pelbagai bantuan dan program perubahan yang menelan ribuan juta ringgit, bermula daripada Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) sehinggalah ke Rancangan Malaysia ke Sepuluh (2011-2015) telahpun dibelanjakan oleh Kerajaan untuk memajukan mereka.

Cabaran utama yang dihadapi oleh pihak kerajaan dalam usaha membangunkan komuniti Orang Asli secara berkesan adalah kemiskinan dan kemunduran. Kemiskinan dan kemunduran merupakan halangan kepada komuniti ini untuk lebih maju. Antara faktor kepada kemiskinan adalah kerana cara pemikiran mereka yang tidak mahukan perubahan, pendapatan yang rendah, pendapatan sara diri, tidak bekerja, tahap pendidikan yang rendah, kekurangan kemahiran seperti kemahiran interpersonal dan intrapersonal. Kemiskinan ini bertambah membebankan kepada wanita yang menjadi ketua keluarga untuk menampung kehidupan anak-anak. Masa depan mereka tidak terjamin kerana ketiadaan peluang pekerjaan yang baik. Oleh kerana itu, wanita atau ibu tunggal yang menyara kehidupan keluarga perlu lebih berkemahiran dan berani untuk keluar mendapatkan pekerjaan.

Namun, faktor memiliki ilmu pengetahuan serta kelayakan pendidikan yang sesuai sangat diperlukan ketika ingin mendapatkan pekerjaan yang baik. Oleh itu, pihak kerajaan dan bukan kerajaan telah merancang pelbagai program yang menelan belanjawan yang tinggi untuk para wanita yang bergelar ibu tunggal demi untuk meringankan beban dan mengurangkan kemiskinan terhadap mereka di samping memberi pendedahan dan pengetahuan kepada ibu tunggal yang menyara keluarga mereka sendiri. Statistik terkini menunjukkan pengurangan terhadap kemiskinan terhadap isi rumah namun masalah utama kemiskinan isi rumah berlaku di kawasan pendalaman sebanyak 70.6% yang memerlukan dana yang lebih lagi untuk membantu mereka (Roddin, Sidi, Yusof, Mohamed & Razzaq, 2013.p:93).

Keusahawanan dapat membantu seseorang individu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

Justeru itu, penyelidikan ini penting dalam mengambil contoh satu kaum Orang Asli yang terdiri daripada kaum wanita KIR yang berjaya dalam bidang keusahawanan. Kejayaan mereka dalam perubahan membina keupayaan adalah penting untuk diterjemahkan bagi mendokumentasikan perubahan sosio-ekonomi kehidupan mereka. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk meneroka KIR wanita dari komuniti Orang Asli yang berjaya dari segi keusahawanan dalam meningkatkan sumber pendapatan mereka. Selain itu, menerusi kajian ini, komuniti wanita Orang Asli yang lain boleh turut belajar untuk membangunkan kemahiran keusahawanan dalam diri mereka melalui tindak tanduk atau tabiat daripada komuniti Orang Asli yang berjaya dalam keusahawanan khususnya para wanita yang menjadi ketua keluarga.

(4)

Melalui kajian yang dilaksanakan oleh Suhaila (2010), Menunjukkan potensi keusahawanan di kalangan Orang Asli masih lagi di tahap yang rendah. Oleh yang demikian, pengkaji ini telah menyarankan pihak terbabit terutamanya pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam menerapkan budaya keusahawanan dengan menyediakan kursus atau program yang bersesuaian.

Tujuan cadangan diadakan kursus dan program ini adalah supaya komuniti di kalangan Orang Asli ini mempunyai kemahiran yang membolehkan mereka menggunakan kemahiran yang dipelajari itu untuk mencari pendapatan yang lagi baik di mana mereka dapat membaiki taraf hidup mereka.

Dengan adanya kursus dan program yang diadakan dapat menanam minat di kalangan Orang Asli tentang perniagaan dan keusahawanan. Justeru kajian ini adalah penting dengan memlilih wanita KIR Orang Asli yang berjaya dalam membuktikan bahawa Orang Asli mampu berjaya dalam bidang keusahawanan dan dapat dijadikan satu model yang dapat mempositifkan pandangan masyarakat kepada komuniti Orang Asli.

Justeru kajian ini merupakan satu wadah melalui pendekatan yang baru berbentuk 'bottom-up' yang digunapakai dalam mencari penyelesaian dengan mengambil contoh terbaik untuk dijadikan panduan dan model ikutan kepada golongan wanita KIR Orang Asli yang miskin untuk keluar dari lingkaran kemiskinan.

3. Kajian Literatur

3.1 Pembangunan Keupayaan dan Keusahawanan

Pembangunan keupayaan merupakan satu strategi yang digunakan dalam membantu golongan miskin untuk melakukan perubahan. Pembangunan keupayaan dilaksanakan sama ada pembangunan sumber manusia, organisasi atau institusi. Terdapat tiga elemen yang perlu dikaji berdasarkan kajian Matachi (2006) dalam melihat pembangunan keupayaan dalam sesuatu komuniti atau organisasi. Elemen tersebut ialah pembangunan sumber manusia (individu), pembangunan organisasi dan pembangunan institusi. Dalam kajian ini, pembangunan keupayaan dilihat dalam aspek individu dan organisasi di mana ia turut di sokong konteks persekitarannya.

Dalam konteks kajian, pembangunan keupayaan adalah penting terutama melibatkan peningkatan keupayaan individu dalam menguruskan aktiviti keusahawanan. Pembangunan keupayaan merupakan kaedah meningkatkan keupayaan diri untuk belajar dan menyesuaikan diri melalui perubahan (Nettle et al., 2007).

Pembangunan keupayaan melalui bidang keusahawanan adalah penting di peringkat individu bagi pemerkasaan keupayaan bagi tujuan memelihara dan memulihara keluaran bidang keusahawanan agar sentiasa diberi nafas baru sesuai dengan permintaan pelanggan.

(5)

Perkataan usahawan yang mempunyai kata seerti dengan ‘entrepreneur’ membawa maksud memikul tugas dan tanggungjawab. Burns (2016), telah mentakrifkan usahawan sebagai individu yang menjalankan aktiviti keusahawanan. Usahawan berjaya merupakan individu yang cemerlang dan mempunyai keupayaan istimewa yang dapat mengenalpasti peluang perniagaan dan bermotivasi tinggi untuk mengeksploitasi sumber dan peluang bagi mencipta sesuatu yang berdaya maju dan berinovasi (Abdullah & Ku Ariffin, 2010).

Keusahawanan adalah aktiviti yang menggunakan kepelbagaian sumber secara menyeluruh.

Seseorang usahawan berperanan untuk menghasilkan dan menciptakan produk dan perkhidmatan yang berpotensi untuk dipasarkan, dikomersialkan dan diniagakan dengan menggunakan kepelbagaian sumber sesuai dan tepat yang terdapat di persekitaran mahupun menggunakan sumber lain (Volkmann, Tokarski & Ernst, 2012). Usahawan sosial berada di tengah-tengah proses keusahawanan di mana matlamat utamanya adalah untuk mewujudkan nilai sosial dan ekonomi pada masa yang sama dengan cara yang bermakna dan saling memerlukan. Kajian lepas turut membuktikan bahawa usahawan sosial merupakan hasil daripada segi peribadi dan luarannya.

Ianya menggabungkan beberapa elemen seperti pengalaman atau latar belakang, kemahiran, komunikasi, demografi dan tujuan yang menggalakkan mereka menjuruskan diri menjadi usahawan sosial (Armannsdottir, 2011; Obschonka et al., 2012). Sangat penting bagi seorang usahawan untuk menghayati aspirasi Negara kerana kewujudan usahawan diharapkan bukan semata-mata mengejar keuntungan, malahan diharap dapat membantu Negara menjadi lebih maju, makmur dan berjaya (Rosly et. al., 2015).

Keusahawanan Orang Asli memberi peluang besar bagi masyarakat Orang Asli untuk membina ekonomi yang dipimpin oleh mereka bagi menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan yang mampan. Ia merupakan satu cara di mana mereka boleh menuntut hak mereka untuk merekabentuk, membangun dan menyelenggarakan sistem dan institusi politik, ekonomi dan sosial yang berpusat pada masyarakat adat. Usahawan Orang Asli adalah mereka yang responsif terhadap keperluan, nilai, budaya dan tradisi masyarakat. Mereka menunjukkan bahawa usaha keusahawanan asli lebih berjaya apabila hak-hak masyarakat Orang Asli ditangani dan apabila inisiatif ini dipimpin oleh atau melibatkan masyarakat Orang Asli itu sendiri (Rick Colbourne,2017). Bagi golongan wanita pula mereka mempunyai kemahiran semulajadi dalam masakan dan dandangan yang mana ia boleh dikembangkan kepada bidang keusahawanan yang berjaya (Roddin et al., 2012). Justeru tidak mustahil bagi wanita orang asli untuk berkecimpung dalam bidang ini kerana ada antara mereka mewarisi kemahiran kraftangan seperti anyaman dan tarian kebudayaan daripada nenek moyang mereka.

(6)

3.2 Ketua Isi Rumah (KIR) Wanita Orang Asli

Ketua isi rumah dikenali sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan ekonomi isi rumah dan keselamatan dengan cara mengakses sumber dan segala peluang dalam ekonomi masyarakat. Walaupun peranan ketua isi rumah menjana kelestarian ekonomi dan keselamatan keluarga, ia tetap tidak membatas dan menghadkan jantina bagi ketua isi rumah tersebut sama ada lelaki mahupun wanita. Walaubagaimanapun, jantina ketua isi rumah turut mempengaruhi cara sumber pendapatan rumah tangga itu diperoleh dan disalurkan ke dalam perbelanjaan keluarga begitu juga dengan cara di mana sumber isi rumah di jana untuk pertukaran sumber dengan isi rumah yang lain (Sichande, 2014).

Ketua isi rumah sinonim dikenalpasti sebagai pengeluar pendapatan tunggal dan utama dan juga individu yang membuat keputusan. Di kebanyakan Negara, wanita tidak biasa dianggap sebagai ketua isi rumah melainkan lelaki dewasa tidak tinggal secara kekal di dalam kehidupan berumah tangga tersebut. Di negara-negara membangun, terdapat trend umum di mana semakin ramai wanita yang menjadi sumber utama sokongan ekonomi untuk menyara keluarga mereka (Flatø, Muttarak & Pelser, 2017). Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih, Malaysia, 2018 di dalam Jabatan Perangkaan Malaysia (2018), melabelkan kebertanggungjawaban seorang ketua isi rumah tangga berdasarkan kepada enam domain. Keenam domain itu ialah; keberfungsian, kewangan, pengetahuan, masa, kuasa dan kesihatan yang digabungkan menjadi Indeks teras.

Kajian yang dijalankan ini memfokuskan kepada golongan ibu tunggal yang merupakan golongan wanita yang sering menghadapi masalah dan dibelenggu masalah kemiskinan. Mereka merupakan golongan wanita yang sebahagiannya terpaksa bergantung dengan bantuan kerajaan apabila menjadi ketua isi rumah. Justeru kajian ini bertujuan untuk membantu golongan ini terlibat dalam bidang keusahawanan sebagai satu kerjaya yang boleh meningkatkan pendapatan isi rumah disamping mengurang kebergantungan bantuan dari pihak kerajaan semata-mata. Wanita yang kehilangan suami sama ada diceraikan atau kematian suami di gelar ketua isi rumah wanita (KIR) atau ibu tunggal dan menjadi ketua keluarga apabila berusaha untuk menyara kehidupan sendiri dan juga anak-anak (Roddin et al., 2012).

Disebabkan masalah ini, masih ramai golongan wanita dan ibu tunggal di luar bandar berada di bawah garis kemiskinan. Walaupun pelbagai kemudahan dan bantuan telah diberikan dalam bentuk kewangan dan kemudahan peralatan namun bilangan usahawan bumiputera termasuk ibu tunggal yang gagal dalam bidang perniagaan masih tinggi (Abu Bakar et al., 2004). Bagi wanita Orang Asli pula ia turut dikategorikan sebagai ketua isi rumah walaupun tidak berkahwin tetapi memain peranan dalam mencari sumber pendapatan untuk keluarga. Selain itu, wanita Orang Asli yang berkahwin dengan orang luar yang bukan dalam kalangan orang asli juga akan dikira sebagai ketua isi rumah (JAKOA, 2019).

(7)

Di Malaysia, ramai wanita Orang Asli yang terpinggir dalam masyarakat serta menjadi mangsa kekurangan peluang misalnya dalam penjanaan pendapatan dan keusahawanan. Kebanyakan daripada mereka berkahwin awal dan terperangkap dalam lingkaran kemiskinan. Bidang keusahawanan dipercayai dapat memperkasakan kaum ibu masyarakat Orang Asli untuk memecahkan lingkaran kemiskinan ini. Sekumpulan relawan 'Making Orang Asli Mothers Independent' atau MOAMI (Menjadikan Ibu-ibu Orang Asli Berdikari) telah menganjurkan bengkel selama tiga hari untuk meningkatkan kesedaran ibu-ibu dalam kalangan Orang Asli demi memperbaiki ekonomi dan kualiti kehidupan mereka sambil mengekalkan dan menghormati amalan budaya dan sosial mereka. Terdapat sebilangan besar wanita Orang Asli mendapati bahawa keperluan peribadi mereka diabaikan sehingga menyebabkan mereka berasa tidak dihargai. Oleh itu, mereka diteguhkan menjaga diri sendiri agar mereka juga dapat menjaga orang lain khususnya keluarga mereka di samping mengekalkan budaya hidup mereka ke arah yang lebih baik (Herald, 2016). Kaum wanita Orang Asli boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan kestabilan ekonomi keluarga dan masyarakat.

Wanita Orang Asli mempunyai peranannya yang tersendiri dalam sesebuah persembahan kebudayaan Orang Asli. Sebagai contoh, hanya wanita Orang Asli akan menghasilkan dan memainkan centung buluh dan juga menjadi penari bagi sesi sewang ataupun sesi membuka pantang yang diketuai oleh pawang. Selain menjadi penari bagi sesi sewang, wanita Orang Asli turut menjadi penari bagi sesi bergabak di mana penari wanita akan menyerahkan jambangan bunga hutan kepada penari lelaki. Tugas membuat centung buluh akan diserahkan kepada wanita Orang Asli oleh penghulu yang dipanggil sebagai Tok Batin. Selain itu, wanita Orang Asli cenderung disinonimkan untuk menumpukan tugas di ruang dapur. Peranan wanita Orang Asli lebih cenderung kepada peranan domestik iaitu sebagai ibu, isteri dan menjaga anak-anak (Zainun

& Naim, 2014).

Selain itu, kebanyakan golongan wanita Orang Asli juga mempunyai kemahiran dalam menghasilkan kraftangan seperti anyaman, gubahan dan sebagainya. Terdapat segelintir daripada kaum wanita Orang Asli ini yang akan memasar dan menjual hasil-hasil produk kraftangan mereka. Kemahiran menghasilkan kraftangan ini diwarisi secara turun temurun daripada satu generasi ke satu generasi baharu (Roddin et al., 2013). Jelaslah bahawa wanita Orang Asli juga mampu untuk berdaya saing bagi kesaksamaan gender dengan kaum lelaki dari segi penjanaan pendapatan keluarga terutama bagi golongan wanita yang menjadi ketua isi rumah.

(8)

3.3 Usahawanita Sebagai Ketua Isi Rumah

Peranan wanita terhadap keluarga telah banyak dikaji sejak dari tahun 70an di mana wanita merupakan individu yang sangat penting dalam peningkatan ekonomi sesebuah keluarga.

Peningkatan kaum wanita kepada tahap pendidikan yang lebih tinggi dan penglibatan kepada tenaga buruh menunjukkan kaum wanita juga mampu untuk menjadi ketua isi rumah. Sebagai isteri, ibu dan juga anak mereka merupakan tulang belakang kepada pembentukan generasi yang penyayang dan kelesterian komuniti. Keadaan ini berkait rapat dengan hasil penulisan yang ditulis oleh Atang & Dzulkifli (2014), yang menyatakan bahawa wanita melakukan dwi peranan dalam keluarga iaitu tugas reproduktif dan juga produktif. Namun dalam keadaan tertentu, kaum wanita yang menjadi ibu tunggal sering menjadi isu kerana kemiskinan yang dialami oleh seisi keluarga.

Menurut Roddin et al., (2013), keadaan miskin yang dialami oleh individu atau keluarga adalah tidak memiliki keperluan asas yang mencukupi seperti makanan, pakaian, rumah yang selesa dan selamat serta kesihatan. Oleh itu amat penting bagi seseorang ibu tunggal untuk menyediakan keperluan asas ini disamping keadaan tumbesaran anak-anak tidak terabai.

Di Malaysia, kemiskinan yang melibatkan wanita sebagai ketua isi rumah adalah paling tinggi Kelantan, Kedah dan Terengganu di mana kesemuanya berada di kawasan pendalaman bagi masyarakat perdana (Roddin et al., 2013). Ini tidak termasuk bagi komuniti terpinggir seperti komuniti Orang Asli yang masih lagi berada dikawasan pendalaman yang kekurangan dari segi kemudahan asas di kawasan mereka. Keadaan masyarakat pendalaman yang jauh dari sekolah, hospital, kedai dan tidak memiliki banyak bangunan sememangnya hidup dalam keadaan serba kekurangan (Roddin, 2017). Ditambah lagi apabila peluang perkerjaan sukar didapati disekitar kawasan tempat tinggal mereka menyebabkan kaum minoriti ini akan bergantung harap juga kepada hasil pertanian dan jualan kecil-kecilan.

Selain daripada itu, keadaan ini akan menyukarkan wanita KIR untuk mencari pekerjaan sekiranya tidak memiliki pengalaman bekerja, tidak memiliki kemahiran yang sesuai dan tahap pendidikan yang rendah. Jadi, untuk mengurangkan kemiskinan kepada wanita yang menjadi ibu tunggal adalah perlu untuk memahirkan diri dalam kemahiran tertentu untuk peluang mendapatkan pekerjaan. Kemahiran tidak terbatas kepada pekerjaan makan gaji tetapi kemahiran dalam menjadi usahawan yang berjaya sesuai dengan aset yang dimiliki seperti tanah untuk bertani, hasil hutan untuk penghasilan kraf tangan dan sebagainya. Pernyataan ini menyokong hasil penulisan oleh Amin & Salim (2012), yang menyatakan bahawa antara salah satu pendorong untuk pembasmian kemiskinan di Malaysia adalah dengan menjadikan individu itu menjadi lebih bekemahiran dalam mencari wang pendapatan. Oleh itu, adalah wajar pihak kerajaan dan pihak NGO yang terlibat untuk memberi pendedahan mengenai pendayaupayaan individu untuk membangunkan ekonomi keluarga disamping memberi jalan kepada mereka untuk bergiat aktif dalam keusahawanan kerana seperti yang diketahui keusahawanan dapat mengeluarkan keadaan daripada serba kekurangan (Baker & Welter, 2017).

(9)

Wanita juga dikenali dalam penglibatan aktiviti keusahawanan. Oleh kerana faktor pekerjaan yang fleksibel untuk mereka, justeru bidang keusahawanan ini menjadi pilihan kerana berkerja sendiri dan tidak terikat dengan masa. Ia menjadi lebih mudah untuk wanita yang menjadi ibu untuk menjaga ahli keluarga dirumah. Namun keusahawanan mereka ini hanya sekadar pendapatan yang baik dan berterusan dan bukannya untuk memperkembangkan lagi tahap perniagaan mereka (Baker & Welter, 2017). Walaubagaimanapun, keadaan ini sudah cukup baik bagi mereka yang dapat berubah daripada keadaan sosio-ekonomi yang daif kepada keadaan sosio-ekonomi yang serba cukup walaupun sederhana. Banyak kajian mengenai keusahawanan wanita telah menyebut beberapa elemen potensi untuk wanita menjadi usahawan yang berjaya. Antaranya adalah kemahiran fizikal, personaliti dan bakat. Kemahiran terbentuk melalui pendidikan seperti membaca, menulis dan mengira. Fizikal pula merujuk kepada pencapaian dalam sukan dan permainan contohnya potensi seorang atlit untuk meningkatkan kemampuan dalam sukan larian di mana menerusi latihan dia akan berjaya berlari 100 meter dalam masa kurang daripada yang sebelumnya. Oleh itu, potensi seseorang wanita seperti memasak dan menghias boleh digilap untuk membentuk keusahawanan seseorang dalam bidang masakan sekiranya menerusi latihan yang tepat (Roddin et al., 2013). Justeru, kajian ini juga akan melihat proses yang berlaku bagaimana pembangunan keupayaan melibatkan keusahawanan KIR wanita Orang Asli ini di gilap.

4. Metodologi

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes. Peserta kajian dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan di mana KIR wanita yang dipilih merupakan golongan wanita yang berjaya dalam bidang keusahawanan. Mereka terdiri daripada suku kaum Mah Meri dan juga Suku Kaum Semai yang terlibat aktif dalam pembuatan dan jualan kraftangan.

Seramai empat orang peserta kajian (PK) telah dipilih yang merupakan KIR berjaya dalam kalangan wanita Orang Asli terdiri daripada tiga orang suku kaum Mah Meri dan seorang peserta kajian dari suku kaum Semai. PK1, PK2, dan PK3 merupakan KIR wanita Orang Asli dari suku kaum Mah Meri manakala PK1 merupakan wanita KIR dari suku kaum Semai. Kaedah temubual, pemerhatian dan pengumpulan dokumen digunakan dalam mengumpul data kajian. Manakala analisis data menggunakan kaedah tematik di mana tema-tema utama dikeluarkan hasil daripada transkripsi yang dibuat.

(10)

5. Dapatan Kajian

Kejayaan dalam keusahawanan bagi ibu tunggal mempunyai dua faktor iaitu motivasi dan juga minat yang mendalam. Peserta-peserta kajian memang berminat dalam apa yang dilakukan hasil keinginan diri sendiri yang mendorong mereka untuk bergiat aktif dalam keusahawanan.

“Dorongan dari diri sendirilah yang membuatkan saya terus membuat anyaman”. (PS1)

“Sendiri suka dan memang minat dengan anyaman dan tarian ini”. (PS2)

“Mula-mula ikut-ikut mak cik, tengok dia buat macam mana, selepas kahwin saya sendiri rasa dan ingin buat betul-betul”. (PS3)

“Sejak kecil buat, tapi sejak beberapa tahun ini baru minat buat untuk jual dan bersungguh- sungguh”. (PS4)

Walaupun keusahawanan bagi peserta kajian ini hanya sekadar pendapatan yang baik dan berterusan dan bukannya untuk memperkembangkan lagi tahap perniagaan mereka. Peserta- peserta kajian ini sentiasa membuat kraftangan seperti anyaman tikar, bekas serbaguna, penanda buku, gelang dan perhiasan wanita. Setiap bulan, pendapatannya bergantung kepada kraftangan yang dijual. Tetapi hal ini membuatkan kehidupan mereka lebih baik. Mereka menyara hidupnya sendiri dan juga keluarga. Mereka lebih suka mencari pendapatan sendiri dari bergantung dan berharap kepada sesiapa.

“Saya menyara hidup sendiri. Saya bantu-bantu jugaklah, anak saya, cucu saya. Selain itu memang saya suka mencari pendapatan sendiri, tak mengharapkan sesiapa. Kalau saya ada suami, saya tidak mengharapkan suami saya. Saya kena usaha sendiri walau saya suri rumah tangga. Masa saya jadi suri rumah tangga, saya mencari duit jugalah, tanam pokoklah, ambil upah gunting rambutlah, cukur keninglah, orang berminat nak panggil saya jadi mak andam pun saya buat juga”. (PS1)

“Sejak kahwin. Suami memang tak bertanggungjawab. Saya yang tanggung sendiri. Sampai berpisah pon saya yang tanggung kehidupan keluarga”. (PS2)

(11)

Walaupun mereka tergolong dalam kalangan masyarakat yang perlu dibantu, kemiskinan tidak menjadikan mereka terus hidup dalam dunia mereka sahaja. Salah satu faktor untuk pembasmian kemiskinan di Malaysia adalah dengan menjadikan individu itu menjadi lebih bekemahiran dalam mencari wang pendapatan. Peserta-peserta kajian ini bukan sahaja berusaha mencari nafkah dengan kemahiran yang mereka miliki iaitu membuat kraftangan mahupun menari, mereka juga terbuka untuk menambah ilmu agar hasil karya mereka boleh dipelbagaikan.

“Pernah menjalani latihan di Terengganu untuk belajar mengenai warna dan mewarna hasil kraf”. (PS1)

“Saya pernah pergi belajar mewarna, lepastu saya cuba-cuba gabung-gabungkan warna, itulah jadikan anyaman saya berwarna-warni”. (PS4)

Selain itu, PK1 juga bertindak sebagai koperasi yang mengumpulkan hasil anyaman wanita lain dan mengeluarkan duit sendiri untuk membayar harga anyaman tersebut.

“Penganyam dekat sini memang ramai. Jika dia orang perlukan duit untuk anak sakit ke, hari ni tak de beras ke, saya ambil lah barang dia. Bayar dulu. Dia orang ni anak saya sakit demam saya perlu duit, dia orang beri saya penanda buku. Cari duit boleh juga le beli makanan, beras.

Kadang-kadang dia orang tak de beras, dia orang jual barang dia. Saya tolong, ni kuantiti dia tiga puluh, tiga puluh duit. Satu ratus satu ratus la duit macam tu. Barang-barang kumpul kat sini dulu. Macam koperasilah. Saya tolong ni secara tak langsung”. (PK1)

Hasil produk golongan ini sentiasa ditambah baik mengikut permintaan semasa dan mendapat permintaan menggalakkan dari pelancong dan masyarakat luar termasuk dalam kalangan suku kaum Orang Asli yang lain.

“Orang Semai yang ambil barang saya ni. Orang Perak, dia tu orang Tapah. Dia orang ada kedai dekat sana. Kita ada jaringan kerja sama. Tahun ni kerjasama sangat bagus. Dulu kita tak kenal suku kaum Semai, Temiar dan sekarang kita dah kenal mereka sejak terlibat dengan kraf tangan ni. Hubungan dah bertambah rapat”. (PK1)

(12)

Proses pembangunan keupayaan yang dilalui oleh KIR wanita Orang Asli dapat digambarkan dalam rajah 5.1.

Rajah 5.1: Proses Pembangunan Keupayaan Keusahawanan Ketua Isi Rumah (KIR) Wanita Orang Asli

Merujuk kepada proses pembinaan keupayaan jelas menunjukkan mereka bermula dengan minat dan juga galakkan dalam membentuk motivasi dalam kalangan KIR wanita Orang Asli. Ia melibatkan proses pembinaan keupayaan di peringkat individu. Seterusnya ia dikembangkan dengan penglibatan ramai wanita Orang Asli yang lain yang membentuk keusahawanan secara berkelompok. Mereka juga mula terlibat dengan latihan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Mereka melalui proses pencapaian di mana jaringan kerjasama diperluaskan. Seterusnya proses pengekalan apabila penambahbaikan terhadap produk keluaran sentiasa di perbaiki dan galakan dan pemantauan sentiasa diberikan oleh pihak JAKOA serta NGO. Dapatan ini walaupun ia merujuk kepada kes kajian, namun ia dapat disesuaikan dalam mana-mana KIR wanita yang lain

Proses Pembangunan Keupayaan Keusahawanan Ketua Isi Rumah (KIR) Wanita Orang Asli

FASA 1 (PERMULAAN)

Pembangunan kendiri melalui minat

Penglibatan keluarga terdekat

Dorongan kerajaan/NGO untuk hasilkan kraftangan sendiri

Kesedaran menjana pendapatan sendiri

FASA 2 (PENGEMBANGAN)

Terlibat dengan latihan dalam peningkatan kemahiran

Bantuan diberikan oleh pihak kerajaan

Mula mempunyai

permintaan akibat lawatan aktiviti sosial akademik

Menarik minat pihak NGO selaku orang tengah untuk promosi

Pertambahan penyertaan

FASA 3 (PENCAPAIAN)

Jaringan rantaian dengan agensi luar

Lebih banyak permintaan diperolehi

Pengurusan sumber kewangan dan aktiviti yang lebih sistematik melalui latihan dan pengalaman

Mendapat

FASA 4 (PENGEKALAN)

Pantauan oleh pihak JAKOA/NGO

Hebahan promosi oleh JAKOA, individu, NGO, Agensi kerajaan

Terdapat kerjasama dalam komuniti

Memperkasakan kemahiran sedia ada

& penerusan warisan

Menghasilkan tindakan positif, kesedaran dan bijak melihat peluang (pemerkasaan dan pembentukan personaliti)

Ke arah melestarikan penjanaan pendapatan KIR Wanita Orang Asli

(13)

6. Rumusan

Hasil rumusan kajian menunjukkan bahawa keusahawanan dilihat sebagai satu solusi yang boleh digunakpakai bagi mengatasi kemiskinan dalam kalangan ibu tunggal seperti peserta-peserta kajian ini. Walaupun keusahawanan ini bukan dilihat untuk memperkembangkan lagi tahap perniagaan mereka tetapi sekadar untuk mereka mempunyai pendapatan berterusan. Hal ini boleh mengurangkan beban kemiskinan yang mereka alami malah dapat menyara hidup mereka dan anak-anak. Selain itu, keusahawanan dilihat sebagai kerjaya yang fleksibel dan mudah dilaksanakan oleh wanita-wanita ini. Tambahan pula ibu tunggal yang sememangnya bukan sahaja boleh menguruskan keluarga dan rumah, mereka juga boleh menguruskan perniagaan mereka.

Minat dan motivasi dilihat sebagai faktor kejayaan keusahawanan dalam kalangan ibu tunggal.

Hal ini seiring dengan apa yang dialami oleh peserta-peserta kajian ini. Minat menjadikan mereka terdorong untuk terus menceburkan diri dalam keusahawanan. Tambahan pula kesempitan hidup menjadikan mereka cekal dan kuat untuk terus hidup dan menyara keluarga. Pada waktu yang sama, mereka berusaha untuk mempelbagaikan hasil mereka. Hal ini bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan. Kemahiran yang dimiliki serta keinginan mereka untuk belajar menjadikan mereka berjaya mengubah nasib keluarga mereka. Jelas di sini bahawa kemiskinan boleh di atasi dengan salah satu kaedahnya adalah dengan menjadikan individu-individu yang dibelenggu kemiskinan lebih kemahiran. Ia akan mewujudkan ruang dan peluang kepada golongan ini dalam menjana pendapatan.

7. Penghargaan

Penyelidik mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membiayai kos penyelidikan ini melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Vot K045, no rujukan geran FRGS/1/2018/SS03/UTHM/02/3 dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kerana memberi kebenaran dan kelulusan penerbitan kertas kerja ini.

Rujukan

Abdullah, S., & ku Ariffin, K. H. (2010). Membentuk peribadi usahawan berjaya. Unimap.

Amin, S. M., & Salim, S. S. M. (2012). Pembasmian Kemiskinan di Malaysia: Keperluan Kemahiran Pekerja Komuniti (Poverty Eradication in Malaysia: The Needs for Skilled Community Worker). Akademika, 82 (1).

Amin, S. M., & Salim, S. S. M. (2012). Pembasmian Kemiskinan di Malaysia: Keperluan Kemahiran Pekerja Komuniti (Poverty Eradication in Malaysia: The Needs for Skilled Community Worker). Akademika, 82 (1).

Ármannsdóttir, A. (2011). The Icelandic Social Entrepreneur: The Key Motivational Factors Pursuing Social Behavior, Lambert Academic Publishing, Saarbrücken.

(14)

Atang C, & Dzulkifli N. (2014). Peranan Wanita Luar Bandar Dalam Melestarikan Institusi Keluargaan, Seminar kebangsaan integrity keluarga 2014, Fakulti Psikologi Dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah.

Baker, T., & Welter, F. (2017). Come on out of the ghetto, please!–Building the future of entrepreneurship research. International Journal of Entrepreneurial Behavior & Research.

Burns, P. (2016). Entrepreneurship and small business. Palgrave Macmillan Limited.

Flatø, M., Muttarak, R., & Pelser, A. (2017). Women, weather, and woes: The triangular dynamics of female-headed households, economic vulnerability, and climate variability in South Africa.

World Development, 90, 41-62.

Herald, M. O. (2016, Dec). Mentransformasi kualiti kehidupan wanita Orang Asli. Retrieved from http://www.heraldmalaysia.com/news/mentransformasi-kualiti-kehidupan-wanita-orang- asli/33652/7

Idris, N. A. H., & Selvaratnam, D. P. (2012). Program pembasmian kemiskinan dalam kalangan ibu tunggal: Analisis penyertaan dan keberkesanan. Prosiding PERKEM VII, jilid, 1, 248-259.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2018). https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?

r=column/pdfPrev&id=YTAwN1hKdmRtNzVSUEJoT1NwY2RrZz09

JAKOA. (2011). Pelan Strategik Kemajuan Orang Asli: 2011-2015. Kuala Lumpur: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli.

JAKOA. (2019). Temubual Bersemuka dengan Pegawai Unit Data, Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia pada 25 Oktober 2019.

Kamaruddin, S. H., Manap, J., Abdullah, H., & Suandi, T. (2016). Daya Tahan Belia: Pengaruh Hubungan Perapatan Dalam Institusi Kekeluargaan (Youth Resiliency: Attachment Factor in Familial Institution). e-Bangi, 13(3).

Matachi, A. (2006). Capacity Building Framework. (pp. 1-28). Africa: UNESCO-IICBA.

Nettle, R., McKenzie, J., Coutts, J., Boehm, R., Saunders, D., Claudia, Kelly, S. (2007). Making capacity building theory practical: The On the Fast Track project. Extension Farming Systems Journal. 6 (1), 73-81.

Obschonka, M., Schmitt-Rodermund, E., Silbereisen, R. K., Gosling, S. D., & Potter, J. (2013).

The regional distribution and correlates of an entrepreneurship-prone personality profile in the United States, Germany, and the United Kingdom: A socioecological perspective. Journal of personality and social psychology, 105(1), 104.

Rick C. (2017). Indigenous Entrepreneurship and Hybrid Ventures, in Andrew C. Corbett, Jerome A. Katz (ed.) Hybrid Ventures (Advances in Entrepreneurship, Firm Emergence and Growth, Volume 19) Emerald Publishing Limited, pp.93 – 149

Roddin, R. et al. (2012). Pendekatan Model Baru Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Bagi Tujuan Pembasmian Kemiskinan. Geran penyelidikan FRGS vot 0767. UTHM.

Roddin, R., Sidi, S., & Sharipah, N. (2013). Pembinaan keupayaan dalam pelancongan orang asli:

satu kajian kes dalam komuniti Mah Meri.

(15)

Roddin, R., Yusof, Y., Mohamed Yusof, A., Ibrahim Mukhtar, M., & Muhammad Hanafi, N.

(2017). Kemahiran keusahawanan orang asli suku kaum Orang Kuala di Rengit Johor dalam perniagaan barangan terpakai. Journal of Global Business and Social Entrepreneurship (GBSE), 3(6), 92-100.

Rosly, H. E., Junid, J., Lajin, N. F. M., & Rahim, H. L. (2015). The Relationship of Creativity and Technopreneurship Intention. International Academic Research Journal of Social Science, ISSN, 2289-8441.

Sichande, M., Michelo, C., Halwindi, H., & Miller, J. (2014). Education attainment of head of households associated with insecticide-treated net utilization among five to nineteen-year old individuals: evidence from the malaria indicator survey 2010 in Zambia. Malaria journal, 13(1), 378.

Suhaila A.L. (2010). Potensi Keusahawanan di kalangan Orang Asli. Prosiding PERKEM V, Jilid 2 (2010) page: 80-87. Women’s Health USA (2012). Household Composition. Retrieved from https://mchb.hrsa.gov/whusa12/pc/pags/hc.html

Volkmann, C. K., Tokarski, K. O., & Ernst, K. (2012). Social entrepreneurship and social business an introduction and discussion with case studies. Wiesbaden, Springer Gabler.

Zainun, N., & Naim, D. M. (2014). Kearifan Tempatan: Merekayasa Kearifan Tempatan Budaya, Pelancongan Arkeologi dan Sejarah (Penerbit USM). Penerbit USM.

Zakaria, S. M., Md Akhir, N., & Omar, F. I. (2018). Kesejahteraan psikologi ibu tunggal: cabaran sebagai ibu tunggal dan tekanan hidup. E-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial Dan Kemanusiaan 2018, PASAK3 201(23–24 April 2018), ms.579–589.

Referensi

Dokumen terkait