1/2
SEKSYEN B – TINDAKAN YANG PERLU DIAMBIL SELEPAS KONTRAK DITAMATKAN
1.0 Pendahuluan
1.1 Tindakan tertentu hendaklah diambil apabila sesuatu kontrak ditamatkan. Kerapkali tiada tindakan diambil untuk menuntut bon pelaksanaan daripada penjamin dalam tempoh masa kuatkuasanya jaminan tersebut. Rampasan terhadap Wang Jaminan Pelaksanaan hendaklah diambil sekiranya kontraktor menggunakan pilihan ini.
1.2 Kadangkala tuntutan terhadap kontraktor asal untuk mendapatkan kembali perbelanjaan tambahan bagi menyiapkan projek yang terbengkalai itu tidak dibuat dalam tempoh masa yang sepatutnya.
1.3 Oleh yang demikian untuk mengelakkan atau mengurangkan berlakunya perkara- perkara yang tersebut di atas, semua Pegawai Penguasa / Pengarah Projek (P.P.) hendaklah mengambil tindakan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan apabila sesuatu kontrak kerja ditamatkan.
2.0 Tindakan Serta-merta Sebaik Sahaja Surat Penamatan Kontrak Dikeluarkan.
2.1 Mengarah kontraktor berhenti kerja dan meninggalkan semua bangunan sementara, loji, perkakas, kelengkapan, barang-barang dan bahan takpasang di Tapak Bina dengan serta-merta.
2.2 Tutup tapak bina dan dapatkan perkhidmatan Pengawal Keselamatan 24 jam sehingga tapak bina diserahkan kepada kontraktor baru, untuk memastikan tiada sesiapa pun dibenarkan masuk atau berada di tapak bina tanpa kebenaran P.P.
dan tiada sesuatu apa jua pun dibawa keluar dari tapak bina tanpa kebenaran bertulis daripada P.P.
2.3 Rekodkan bilangan, jumlah, lokasi dan keadaan bangunan-bangunan sementara, loji-loji, alat-alat jentera, peralatan binaan, bahan-bahan binaan dan barang-barang lain yang berada atau disimpan di dalam kawasan tapak bina dan buat pengukuran dan penilaian ke atas kerja setakat yang telah disiapkan. Wakil kontraktor hendaklah dijemput supaya menyaksikan pengambilan rekod dan pengukuran yang dibuat. Gambar foto yang menunjukkan keadaan kerja bangunan-bangunan sementara dan bahan-bahan binaan serta alat-alat yang ditinggalkan semasa kontrak dimansuhkan hendaklah diambil, untuk rujukan masa hadapan, jika perlu.
2/2
2.4 Keluarkan arahan kepada kontraktor untuk mengeluarkan semua loji, peralatan dan barang-barang kepunyaan kontraktor di tapak bina.
2.5 Pastikan keselamatan kerja-kerja yang belum siap seperti tetulang keluli yang belum dituang konkrit, disapu simen slurry untuk mengelakkannya dari berkarat, lubang-lubang penggalian yang dalam hendaklah dilitupi, ditimbus dan dilindungi bagi mengelakkan kecederaan dan pembiakan nyamuk.
2.6 Tulis surat dan hantar secara berdaftar kepada pihak bank, syarikat kewangan atau syarikat insurans yang mengeluarkan Bon Pelaksanaan untuk menuntut bon pelaksanaan. Pastikan surat tuntutan dibuat dengan merujuk secara khusus kepada perkara-perkara berikut :
2.6.1 Bahawa kontraktor telah ditamatkan pengambilan kerjanya.
2.6.2 Kerajaan dengan ini menuntut nilai Bon Pelaksanaan sepenuhnya.
Tuntutan ini hendaklah disegerakan dan dibuat tidak lewat dari dua (2) minggu dari tarikh penamatan sungguhpun tempoh kuatkuasa Bon Pelaksanaan hanya berakhir setahun selepas tarikh penamatan kontrak. Tindakan yang sama hendaklah juga diambil untuk menuntut (sebelum tarikh luput jaminan wang pendahuluan) sebarang baki bayaran balik wang pendahuluan yang belum diterima daripada penjamin bagi jaminan wang pendahuluan. Pastikan resit penghantaran melalui pos disimpan di dalam fail.
2.7 Sekiranya bank, syarikat kewangan atau syarikat insurans tidak melunaskan bayaran jaminan di dalam tempoh dua (2) minggu dari tarikh tuntutan, perkara tersebut hendaklah dirujuk dengan serta merta kepada Penasihat Undang-undang JPS / Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya.
2.8 Sekiranya Wang Jaminan Pelaksanaan dipilih bagi menggantikan Bon Pelaksanaan, rampasan hendaklah dibuat oleh P.P. daripada akaun amanah dan dibayar kepada akaun hasil kerajaan.