1
SIARAN MEDIA
SYARIKAT BUKAN DI DALAM PERKHIDMATAN PERLU DI KAWASAN PKPD TIDAK BOLEH BEROPERASI DAN
TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN SURAT CIMS 3.0
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ingin memaklumkan bahawa hanya syarikat-syarikat disenarai sebagai sektor perkhidmatan perlu di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi lokasi Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh beroperasi menggunakan surat baharu COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.
Surat CIMS 3.0 yang baharu ini akan mempunyai akronim ‘PPN’ di bawah kod QR surat tersebut.
Sebagaimana pengumuman Menteri Kanan Pertahanan YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Julai 2021, pergerakan syarikat dalam sektor perkhidmatan perlu bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh menggunakan surat CIMS 3.0 sedia ada (dengan akronim PKP 3.0 di bawah kod QR). Semua surat kelulusan CIMS 3.0 perlu dibaca bersama-sama SOP PKPD semasa yang berkuat kuasa.
Syarikat di kawasan PKPD yang bukan di bawah senarai sektor perkhidmatan perlu di dalam SOP MKN adalah tidak dibenarkan beroperasi sama sekali.
MITI ingin mengingatkan pihak industri agar bertanggungjawab dalam pemberdayaan kendiri dan mematuhi SOP ini. Ketidakpatuhan adalah satu kesalahan undang-undang menikut Akta 342 dan boleh dikenakan tindakan oleh Pasukan Petugas Khas COVID- 19.
2
Turut dimaklumkan platform CIMS 3.0 dikongsi dengan 17 Kementerian dan 3 Agensi dan setiap permohonan akan diproses dan diluluskan setiap Kementerian dan Agensi mengikut portfolio masing-masing.
Untuk maklumat lanjut tentang status permohonan, syarikat boleh merujuk terus kepada Kementerian atau Agensi yang memproses permohonan mereka mengikut maklumat di dalam direktori di laman web www.miti.gov.my.
KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI (MITI) 6 JULAI 2021
Tentang MITI:
MITI adalah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara ini sebagai sebuah negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global. Objektif dan peranannya adalah berorientasikan ke arah memastikan pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan membantu mencapai matlamat yang dinyatakan di negara ini untuk menjadi sebuah negara maju.
Pertanyaan Media:
Unit Komunikasi Strategik MITI Tel +603 6200 0082 Fax +603 6206 4293 E-mail [email protected]