Disclaimer: Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM
This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies, reproduc�ons or copyrighted materials. You may use the digi�zed materials for study or research.
Tablet percuma untuk pelajar
KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,340 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak menerima tablet di bawah program Peranti Siswa Keluarga Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan untuk membantu mahasiswa dalam kelompok B40 di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi memastikan proses pengajian mereka berjalan lancar.
“Saya berharap semua pelajar dapat menggunakan peranti ini dengan sebaik mungkin untuk tujuan pembelajaran supaya boleh mencapai kecemerlangan dalam akademik.
“Justeru, saya juga percaya ledakan digital ini terutamanya di Sarawak yang amat fokus kepada inisiatif pendigitalan pelbagai bidang ekonomi dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang celik teknologi.
“Perkara ini juga akan memberi ruang kepada lebih banyak inovasi yang akan mengharumkan nama negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa suatu hari nanti,” katanya pada Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia dan Penyampaian Sumbangan Bank Makanan UiTM Cawangan Sarawak di Dewan Jubli UiTM, dekat sini, kelmarin.
Disclaimer: Perpustakaan Tun Abdul Razak,UiTM
This material may be protected under Malaysia Copyright Act which governs the making of photocopies, reproduc�ons or copyrighted materials. You may use the digi�zed materials for study or research.
Tambah Nanta, kerajaan menyasarkan seramai 350,000 mahasiswa akan menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif Peranti Siswa tahun ini.
“Setakat yang dimaklumkan hingga 25 Oktober lalu, sebanyak 287,614 permohonan telah diluluskan di seluruh negara bagi Peranti Siswa Keluarga Malaysia jenama Samsung Galaxy Tab A8 LTE.
“Sehubungan itu, seramai 7,400 pelajar di Sarawak akan menerima peranti ini dalam masa terdekat ini,” ujarnya.
Mengenai bank makanan, beliau memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meluaskan Inisiatif Program Food Bank Siswa di UiTM Cawangan Sarawak yang berkonsepkan pantri makanan.
Menurut beliau, UiTM Cawangan Sarawak merupakan IPT ke-29 menerima manfaat daripada Program Bank Makanan Siswa di bawah kementeriannya.
“Program ini dilaksanakan untuk membantu pelajar menangani kos sara dan mengurangkan beban mereka supaya dapat menumpukan lebih perhatian kepada akademik.
“Program tersebut juga merupakan kolaborasi antara KPDNHEP, Sekretariat Food Bank Malaysia, Rakan Strategik Utama, institut pengajian tinggi, pihak penyumbang dan
sukarelawan pelajar untuk memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lancar dan lebih sistematik.
“Oleh itu, pihak kementerian amat mengalu-alukan sumbangan badan korporat, pemain industri sektor pemborongan, peruncitan dan katering serta orang perseorangan untuk menjadi rakan strategik kami,” jelasnya.
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Datuk Dr Jamil Hamali dan Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof turut hadir.