Tahap Penguasaan Kemahiran Proses Sains Pelajar Tingkatan Empat Aliran Sains di Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah (Mastery Level of Science Process Skills of Form Four Science
Stream Students in Kuala Muda/Yan District, Kedah)
M.D. Nurhafizah1*
1 Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia, 11800 Gelugor, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 September 2022 | Published: 1 October 2022
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpd.2022.4.3.22
_________________________________________________________________________________________
Abstrak: Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengenal pasti tahap penguasaan pelajar tingkatan empat aliran sains di Daerah Kota Kuala Muda Yan, Kedah terhadap Kemahiran Proses Sains. Instrumen yang telah digunakan ialah set ujian Kemahiran Proses Sains Bersepadu dan Asas Berkonsepkan Malaysia (MB-BISPSI.) Sebanyak 36 item berbentuk soalan objektif telah digunakan. Sebanyak 14 buah sekolah telah terlibat termasuklah sekolah di bandar dan luar bandar yang dipilih secara rawak. Sampel yang dipilih adalah seramai 550 orang pelajar dan data yang dikumpul mengenai tahap penguasaan terhadap kemahiran proses sains yang telah dianjurkan oleh Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) akan diproses dengan bantuan manual SPSS 23.0 for Windows. Secara keseluruhannya, tahap penguasaan pelajar terhadap kemahiran proses sains adalah baik dan tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap tahap penguasaan kemahiran proses sains antara pelajar bandar dan luar bandar. Dapatan menunjukkan bahawa semua pelajar dapat menguasai kemahiran proses sains dengan baik kecuali kemahiran membuat Inferens.
Kata kunci: kemahiran proses sains, tahap, ujian, rawak
Abstract: This study was carried out to identify the level of student of form four science in Kota Kuala Muda/Yan, Kedah for Science Process Skills. The instrument used was a test set of Integrated Science Process Skills and Basic Concept Malaysia (MB-BISPSI). A total of 36 multiple choice items were used. A total of 14 schools were involved, including schools in urban and rural areas were randomly selected. The selected sample was 550 students and the data collected on the level of science process skills, which was organized by the Integrated Curriculum for Secondary Schools (ICSS) will be processed with the help of SPSS 23.0 for Windows manual. Overall, the students' science process skills are good and there is no significant difference on the level of science process skills between rural and urban students.
The findings show that all students be proficient in the science process skills to make good except Inference.
Keywords: science process skills, level, test, random
___________________________________________________________________________
1. Pendahuluan
Pelbagai istilah untuk menginterpretasi kemahiran sains telah dilaporkan seperti kaedah sains, kemahiran berfikir, kemahiran saintifik dan pemikiran kritis. Kepentingan utama dan matlamat sistem pendidikan di sekolah adalah untuk mengajar para pelajar tentang cara berfikir secara kreatif dan kritis. Mata pelajaran Sains telah banyak menyumbang kepada kemahiran yang unik, contohnya menekankan kepada kemahiran melakukan hipotesis dan menghuraikan sebab musabab yang diperoleh daripada data [1]. Ini kerana, penekanan terhadap kemahiran proses sains (KPS) di dalam kelas mampu meningkatkan kemahiran individu. Kepentingan KPS juga dapat dilihat dalam mata pelajaran lain contohnya Matematik di mana pelajar dapat mengaplikasikan matematik kepada masalah sebenar dalam kehidupan seharian dengan mengaplikasikan kemahiran menyelesaikan masalah [2]. Penguasaan kemahiran proses sains yang mantap dalam kalangan pelajar adalah menjadi suatu keutamaan dalam pembentukan konsep yang betul, seterusnya meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains.
Persoalannya timbul terhadap penguasaan pelajar secara keseluruhannya yang melibatkan kawasan bandar dan luar bandar di mana corak pendidikan di bandar dan luar bandar adalah berbeza. Jadual 1 menunjukkan kajian literatur terhadap tahap penguasaan kemahiran proses sains di beberapa buah negeri. Rata-rata menunjukkan tahap penguasaan yang sederhana, justeru menjadi kebimbangan kepada para guru dan pensyarah tentang langkah efektif yang perlu diaplikasikan dalam pengajaran di dalam kelas. Dalam kajian ini, tahap penguasaan pelajar di bandar dan luar bandar di ambil kira bagi merumuskan status penguasaan pelajar secara keseluruhannya terhadap kemahiran proses sains di daerah Kuala Muda Yan, Kedah.
Jadual 1: Kajian literatur terhadap penguasaan kemahiran proses sains
Bil Pengarang KPS dikaji Sampel kajian
Tempat kajian
Hasil dapatan 1 Mohd Shahrul
Syukri Yahya (2022)
[3]
Berfikir Pelajar tingkatan 6
SMK Pontian,
Johor
• Tahap sederhana
2 Farhatonnor Binti Abd.
Rahman (2005) [4]
Mengelas, hubungkaitkan
ruang dan masa, inferens
meramal, mengawal pemboleh ubah dan mentafsir maklumat
Pelajar tingkatan 4
SMK Sri Nipah di Bachok, Kelantan
• Tahap sederhana
3 Azizah Binti Mat Ail (2015)
[5]
Asas (KPSA), Bersepadu
(KPSB)
Pelajar tingkatan 2
dan 4
Sekolah menengah
Jajahan Bachok, Kelantan
• Tahap sederhana
4 Mohd Zamri Md Zin (2005)
[6]
Pengukuran, ramalan, komunikasi
Pelajar sekolah menengah
N/A • Tahap
cemerlang kecuali di
dalam
kemahiran mengukur 5 Muliati Ahmad
Termizi (2004) [7]
Manipulasi Pelajar tingkatan 4 aliran sains
N/A • Tahap
sederhana 6. Ruzanna Md.
Yusop (2005) [8]
Memerhati, mengelas, mengukur dan
menggunakan nombor, meramal, komunikasi,
inferens
Pelajar tingkatan 2
SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar,
Kedah
• Tahap cemerlang
7 Yahaya
(2004)[9]
Kemahiran proses sains
asas
Kuala Terengganu,
Terengganu
• Tahap sederhana
2. Metodologi Kajian
Sasaran kajian ini telah melibatkan 550 orang pelajar tingkatan empat aliran sains termasuk sekolah bandar dan luar bandar di Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah. Kaedah yang digunakan ialah kaedah bersifat kuantitatif iaitu melalui kaedah soalan ujian. Sebanyak 36 soalan yang dipilih adalah berkaitan dengan kesemua kemahiran proses sains. Item-item tersebut adalah berbentuk objektif dengan empat pilihan jawapan iaitu A,B,C dan D. Skornya adalah sama ada betul atau salah. Dapatan kajian dilaporkan dalam bentuk peratusan dan min. Peratusan bagi setiap kemahiran yang dikaji akan dinyatakan dalam bentuk jadual. Semua aspek kajian akan melalui proses analisis data seperti menghitung peratusan skor bagi keseluruhan soalan kajian, menyatakan peratusan bilangan responden yang menguasai setiap aspek yang dikaji serta mendapatkan min markah yang diperolehi responden secara keseluruhan bagi lokasi bandar dan luar bandar. Maklumat latar belakang responden yang terlibat dalam kajian ini adalah sebagaimana dalam Rajah 1 dan Jadual 2.
Rajah 1 Maklumat Jantina Pelajar Bandar dan Luar Bandar
0 50 100 150 200
1 2
Bilangan pelajar
Jantina
Bandar Luar Bandar
Lelaki Perempuan
101 87
174 188
Jadual 2: Maklumat Latar Belakang Responden
Demografi Bilangan Pelajar (N) Peratus (%)
Jantina Lelaki 188 34.2
Perempuan 362 65.8
Keturunan Melayu 413 75.1
Cina 76 13.8
India 58 10.5
Lain-lain 3 5
Gred PMR A 355 64.5
B 164 29.8
C 31 5.6
D 0 0
n = 550
3. Dapatan Kajian
Berdasarkan Jadual 3, kategori tahap penguasaan pelajar dibahagikan kepada empat iaitu cemerlang, baik, sederhana dan lemah. Kategori ini dibuat berdasarkan kepada jumlah skor yang diperoleh. Tahap penguasaan kemahiran proses sains responden adalah sebagaimana dalam Jadual 4.
Jadual 3 Taburan Kekerapan Pelajar Bagi Setiap Tahap Penguasaan Berdasarkan Peratus Markah
Tahap penguasaan Bilangan Pelajar (N) Peratus
Lemah 0 0%
Sederhana 48 8.7%
Baik 303 55.1%
Cemerlang 199 36.2%
n = 550
Jadual 4 Min Peratus Pencapaian Setiap Kemahiran dan Secara Keseluruhan
Kemahiran Min Peratus Tahap Penguasaan
Memerhati 82.5% Cemerlang
Mengelas 81.4% Cemerlang
Mengukur dan menggunakan nombor 76.3% Baik
Membuat inferens 47.0% Sederhana
Meramal 87.2% Cemerlang
Berkomunikasi 64.3% Baik
Menggunakan ruang dan masa 61.2% Baik
Mentafsir data 75.6% Baik
Mengawal pembolehubah 84.9% Cemerlang
Definisi secara operasi 73.0% Baik
Membuat hipotesis 77.8% Baik
Mengeksperimen 85.6% Cemerlang
Keseluruhan 74.7% Baik
n= 550
Terdapat 199 pelajar (36.2%) berada di kategori cemerlang yang memperolehi peratus pencapaian 80% dan ke atas. Manakala lebih separuh daripada jumlah responden iaitu 303 pelajar (55.1%) berada pada kategori baik dengan memperolehi peratus pencapaian 60% dan
pencapaian 60% dan ke bawah. Tiada pelajar dalam kategori lemah. Dua belas aspek kemahiran proses sains antara pelajar bandar dan luar bandar yang dikaji telah mendapati bahawa min peratus secara keseluruhan ialah 74.7%. Oleh itu, tahap penguasaan kemahiran proses sains responden adalah pada tahap baik. Ini menunjukkan responden dapat menguasai hampir keseluruhan kemahiran proses sains sama ada asas dan bersepadu kecuali kemahiran membuat inferens.
Dalam kajian ini, min peratus keseluruhan bagi kemahiran memerhati dan mengelas masing- masing ialah 82.5% dan 81.4%. Setelah dianalisa, tahap penguasaan pelajar adalah cemerlang bagi kedua-dua kemahiran tersebut. Kajian ini disokong oleh Ruzanna Md Yusop (2005) yang menyatakan bahawa tahap penguasaan pelajar dalam kemahiran membuat pemerhatian dan mengelas adalah tinggi iaitu masing-masing mencatatkan peratusan 86.4% dan 90.5% [8].
Kemahiran memerhati dan mengelas ini adalah kemahiran proses sains yang paling asas.
Seharusnya pelajar tidak menghadapi sebarang masalah dalam mengaplikasikan kemahiran ini disebabkan keperluan kemahiran-kemahiran ini adalah aras pemikiran yang rendah. Menurut Padilla (1990), kemahiran memerhati adalah kemahiran yang memerlukan individu itu menggunakan semua deria untuk mendapatkan maklumat tentang objek dan fenomena [9].
Namun, penguasaan terhadap kemahiran memerhati akan terhalang sekiranya berlaku miskonsepsi dalam kalangan pelajar. Miskonsepsi ini harus dikesan sejak awal lagi supaya tidak menjejaskan penguasaan kemahiran yang lain. Oleh itu, responden dapat menjawab dengan mudah soalan yang dikemukakan. Dalam kajian ini, didapati responden boleh mengelaskan dan mengumpul sesuatu objek atau fenomena berdasarkan sifat sepunya dalam situasi yang diberikan. Selain itu, responden dilihat dapat mengesan persamaan dan perbezaan setiap objek untuk menjawab soalan yang dikemukakan.
Dalam kajian ini juga, turut dikaji tahap penguasaan pelajar terhadap kemahiran mengukur dan menggunakan nombor. Hasil dapatan menunjukan min peratus keseluruhan bagi ialah 76.3%
dan tahap penguasaan pelajar adalah baik. Kajian lepas turut menyokong dapatan ini di mana menggambarkan kebolehan para guru di sekolah telah diterapkan dengan KPSA dan KPSB dengan jayanya [8]. Hal ini telah menunjukkan perubahan era pendidikan yang tradisional kepada yang lebih maju berpadanan dengan pergerakan zaman. Menurut kajian lepas, kemahiran membuat pengukuran melibatkan penggunaan nombor terhadap objek ataupun sesuatu kejadian yang dapat disusun mengikut turutan nilai [8]. Oleh itu, pelajar haruslah mahir dengan penggunaan nombor bagi menerangkan sesuatu kejadian dengan tepat. Penguasaan kemahiran ini boleh dilatih oleh guru jika mereka menyedari kelemahan pelajar mereka.
Dalam kajian ini, min peratus keseluruhan bagi kemahiran membuat inferens ialah 47% dan tahap penguasaan responden adalah sederhana. Dapatan ini disokong oleh tiga kajian daripada Seth Sulaiman dan Ezan Haizurah Ahmad (2007), yang menyatakan bahawa kemahiran membuat inferens berada pada tahap sederhana [10]. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemahiran membuat inferens adalah kemahiran yang agak sukar dikuasai oleh pelajar. Dalam kemahiran membuat inferens ini, terdapat beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti iaitu pelajar gagal untuk memberi penerangan terhadap pemerhatian serta tidak dapat membezakan antara inferens dan ramalan. Kemahiran ini mencatatkan peratusan tahap penguasaan yang paling rendah. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh kurangnya pendedahan kepada para pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Dalam kajian ini, min peratus keseluruhan bagi kemahiran meramal ialah 87.2% dan tahap penguasaan responden adalah cemerlang. Walaupunbagaimanapun, masih terdapat sekumpulan pelajar yang menunjukkan tahap penguasaan yang lemah. Namun, kekangan ini
dapat diatasi dan kemahiran ini boleh diperbaiki lagi dengan bantuan guru. Kebanyakan pelajar yang lemah ini, pada kebiasaannya masih lagi tidak dapat membuat jangkaan atau ramalan tentang peristiwa berdasarkan pemerhatian atau pengalaman lalu. Rata-rata pelajar yang gagal menjawab soalan di dalam kategori pemerhatian dengan tepat adalah berkemungkinan besar untuk turut menjawab salah di dalam kategori meramal.
Kemahiran seterusnya yang dikaji adalah kemahiran berkomunikasi dan kemahiran meggunakan ruang dan masa. Menurut Abd. Rauf (2013), beliau menyatakan bahawa kemahiran komunikasi dapat digalakkan apabila guru memberi arahan kepada pelajar untuk menulis nota, melukis gambar rajah, graf ataupun merakam sesuatu peristiwa atau situasi yang dilakukan dan membuat analisis daripada eksperimen tersebut [11]. Kemahiran berkomunikasi mempunyai kaitan yang rapat dengan kemahiran meggunakan ruang dan masa kerana terkandung di dalam sesuatu aktiviti yang dijalankan. Dalam kajian ini, min peratus keseluruhan bagi dua kemahiran ini ialah masing-masing 64.3% (kemahiran berkomunikasi) dan 61.2% (kemahiran meggunakan ruang dan masa). Setelah dianalisis, tahap penguasaan pelajar yang baik bagi kemahiran berkomunikasi adalah berkemungkinan daripada minat pelajar yang mendalam terhadap gambar dan lukisan. Kemahiran ini juga menekankan kepada penggunaan perkataan atau simbol grafik bagi menerangkan sesuatu kejadian, objek atau fenomena kepada orang lain. Secara tidak langsung ini akan meningkatkan lagi kepintaran interpersonal pelajar yang terlibat. Manakala, kemahiran menggunakan ruang dan masa pula sebenarnya mampu dikuasai oleh pelajar dengan mudah kerana kemahiran ini hanya menekankan kepada kebolehan pelajar untuk mengaitkan sesuatu parameter dengan masa contohnya lokasi, saiz, arah, isi padu, dan jisim seterusnya membolehkan sesuatu keputusan itu dibuat. Kemahiran ini juga dapat membantu pelajar menyusun sesuatu peristiwa mengikut kronologi. Kegagalan pelajar untuk menentukan perhubungan dengan masa akan menyebabkan kemahiran ini sukar dikuasai dengan berkesan.
Dalam kajian ini, min peratus keseluruhan bagi kemahiran mentafsir data ialah 75.6% dan tahap penguasaan responden adalah baik. Dapatan ini disokong oleh kajian daripada Abu Hassan Kassim (2003) yang menyatakan bahawa tahap penguasaan pelajar dalam kemahiran mentafsir data adalah baik [12]. Kemahiran mentafsir data membolehkan pelajar melihat perhubungan antara pembolehubah yang terlibat dan seterusnya membuat rumusan. Pelajar yang gagal mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada jadual, graf dan gambar rajah berkemungkinan akan gagal dalam memberi penerangan rasional tentang peristiwa atau pola daripada data tersebut [10]. Di samping itu, bagi membolehkan seseorang pelajar itu untuk mentafsir data, pemboleh ubah dalam sesebuah eksperimen adalah sangat penting untuk dikenalpasti terlebih dahulu. Rata-rata pelajar berjaya dalam menjawab soalan bagi kemahiran ini dengan min peratus keseluruhan ialah 84.9%. Hasil analisis ini turut disokong oleh kajian lepas yang menyatakan bahawa tahap penguasaan pelajar aliran sains dan bukan sains dalam kemahiran mengawal pembolehubah adalah cemerlang [13]. Kemahiran mengawal pembolehubah membantu pelajar mengenal pasti dan mengendali semua faktor yang boleh memberi kesan kepada hasil eksperimen. Jika pelajar masih gagal untuk mengenal pasti pembolehubah yang terlibat maka pelajar tersebut dianggarkan tidak berupaya untuk menjalankan eksperimen bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul. Oleh itu, penting bagi seorang pelajar untuk menguasai kemahiran ini.
Kegagalan pelajar untuk memberi penerangan tentang sesuatu konsep berkemungkinan akan menjejaskan pemahaman pelajar itu seterusnya cenderung ke arah berlakunya miskonsepsi.
Konsep yang berjaya dihuraikan oleh pelajar dalam bentuk yang boleh dikendalikan akan
dicerminkan bagi kemahiran yang lebih rumit iaitu kemahiran mendefinisi secara operasi dan merangka hipotesis dalam sesebuah penyiasatan saintifik. Hanya ~73-77.8% dicatatkan bagi dua kategori ini yakni keputusan analisis yang lebih baik dari kajian terdahulu [10]. Menurut Wong (2010), proses membina hipotesis adalah satu usaha untuk menerangkan hasil pemerhatian atau perhubungannya dalam bentuk idea [13]. Oleh yang demikian, penting bagi para guru untuk memastikan setiap pelajar dapat menguasai kemahiran membuat hipotesis kerana secara tidak langsung dapat menjana idea pelajar untuk berfikir secara berkesan.
Akhir sekali adalah kemahiran mengeksperimen. Kemahiran ini merupakan kemahiran yang paling tinggi di dalam kemahiran proses sains. Para pelajar diberi penekanan terhadap pemikiran aras tinggi bagi menguasai kemahiran mengeksperimen ini. Kemahiran proses sains asas dan bersepadu akan digabungkan sehingga dapat menguji kemahiran ini. Kebolehan seseorang pelajar untuk mengaitkan kesemua komponen dalam kemahiran proses sains akan membawa kepada penghasilan satu produk baru [14]. Peratusan yang tinggi (85.6%) telah dianalisis bagi kategori ini adalah bertepatan dengan setiap peratusan bagi kemahiran proses sains asas dan bersepadu yang telah dikaji sebelumnya. Tambahan pula, penilaian secara amali mahupun secara bertulis adalah aspek penting untuk menguji tahap penguasaan pelajar.
Malahan penerapan aspek-aspek KPS perlu dititikberatkan supaya pelajar-pelajar dapat diberi pendedahan awal dan sebaiknya telah diterapkan pada peringkat pengajian prasekolah. Ini kerana pergerakan kurikulum di Malaysia kini sedang bergerak maju seiring dengan revolusi pendidikan 4.0 yang mewajibkan para pelajar menguasai pelbagai aras kemahiran bagi memperbaiki kualiti hidup di era moden ini.
4. Kesimpulan
Kesimpulannya, kajian lepas kurang dijalankan terhadap keseluruhan KPS namun, dapatan kajian lepas jelas menunjukkan bahawa penguasaan pelajar terhadap KPS semakin meningkat dari masa ke semasa. Keadaan ini menggambarkan para guru dan pelajar mula sedar akan kepentingan penguasaan KPS dalam pencapaian akademik. Pada keseluruhannya tahap penguasaan pelajar terhadap kemahiran proses sains berada pada tahap baik (74.7%) dan masih boleh diperbaiki bagi melahirkan generasi pemangkin sains. Pelajar seharusnya lebih kreatif dan kritis dalam mengaplikasikan kemahiran proses sains ini dalam kehidupan seharian ataupun semasa pembelajaran. Walaupun corak pengajaran di sekolah bandar dan luar bandar mempunyai perbezaan contohnya dari segi persekitaran dan sebagainya, namun standard kurikulum yang digunapakai telah menyebabkan tiada perbezaan ketara bagi pelajar bandar dan luar bandar di daerah tersebut.
Rujukan
[1] Bakar, M.R.A.B.U., Halim, L. (2022). Pembinaan Model Literasi Saintifik Pelajar Berdasarkan Faktor Persekitaran Pembelajaran Konstruktivisme, Pengetahuan Sains, Sikap Terhadap Sains, Efikasi Kendiri dan Motivasi. Malaysian Journal of Education (0126-6020), 47 (1), 1-18.
[2] Razali, N.A., & Mohd Sanusi, M.N.S. (2020). Analysis of Mastery of Science Process Skills and 21st Century Skills Among Secondary School Students. Jurnal Pendidikan Sains Dan Matematik Malaysia, 10(1), 16-20.
[3] Yahya, M.S.S., Masdar, N.F., & Samat, N. (2022). Tahap Persepsi, Penilaian dan Kompetensi Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Enam di Daerah Pontian.
[4] Farhatonnor, A.R. (2005). Tahap Penguasaan Dan Penggunaan Kemahiran Proses Sains Di Kalangan Pelajar Tingkatan Empat SMK Sri Nipah di Bachok, Kelantan. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
[5] Mat Ail, A. (2015). Analisis Penguasaan Kemahiran Penaakulan Saintifik, Kemahiran Proses Sains Dan Kemahiran Abad Ke-21 Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Di Jajahan Bachok, Kelantan. Disertasi: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
[6] Mohd Zamri, M. Z. (2005). Tahap Pencapaian Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah Dalam Tiga Kemahiran Proses Sains Dalam Membuat Pengukuran, Membuat Ramalan Dan Komunikasi Serta Membandingkan Pencapaian Di Antara Pelajar Lelaki Dan Pelajar Perempuan. Tanjong Malim. Disertasi: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
[7] Yahya, Y., & Ahmad Zanzali, N. A. (2004). Tahap Penguasaan Kemahiran Proses Sains Asas di Kalangan Pelajar Tingkatan Empat: Penerbit: Universiti Teknologi Malaysia.
[8] Ruzanna, M. Y. (2005). Meninjau Tahap Kemahiran Proses Sains Asas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah. Tanjong Malim. Disertasi: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
[9] Padilla, M. J Okey, J.R and Dillishow, F.G. (1980). The Relationship Between Science Skills And Formal Operational Thinking Abilities. Journal of research in science teaching 20 (3): 239-246.
[10] Seth, S., & Ezan, H. A. (2007). Tahap Pencapaian Kemahiran Proses Sains Dalam Mata Pelajaran Fizik Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Daerah Kluang. Skudai:
Penerbit Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
[11] Abd Rauf, R. A., Rasul, M. S., Mans, A. N., Othman, Z., & Lynd, N. (2013). Inculcation of science process skills in a science classroom. Asian Social Science, 9(8), 1911-2017.
[12] Abu Hassan, K., & Rohana, H. (2003). Tahap Penguasaan Kemahiran Proses Sains Dan Hubungannya Dengan Pencapaian Kimia Di Kalangan Pelajar Tingkatan Empat Daerah Johor Bahru. Dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
[13] Wong, K. T. and Abu, B. (2010) Perbandingan Tahap Penguasaan Kemahiran Proses Sains Bersepadu Dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Empat Aliran Sains dan Aliran Bukan Sains. Disertasi: Universiti Teknologi Malaysia.
[14] Abdul Rahman, N., Mohd Yusop, N. A., Md Yassin, S., & Mohamed Isa, Z. (2018).
Kemahiran Proses Sains Dalam kalangan Kanak-Kanak Prasekolah Menerusi Pendekatan Projek. Sains Humanika, 11(1).