• Tidak ada hasil yang ditemukan

TEKSTIL MELAYU: MOTIF BUNGA-BUNGAAN DALAM TENUNAN SONGKET DAN KAIN TELEPUK Oleh Arba’iyah bt Ab. Aziz

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "TEKSTIL MELAYU: MOTIF BUNGA-BUNGAAN DALAM TENUNAN SONGKET DAN KAIN TELEPUK Oleh Arba’iyah bt Ab. Aziz"

Copied!
12
0
0

Teks penuh

(1)

TEKSTIL MELAYU: MOTIF BUNGA-BUNGAAN DALAM TENUNAN SONGKET DAN KAIN TELEPUK

Oleh Arba’iyah bt Ab. Aziz1, Mohd Jamil bin Muhamad Amin2, Mohamad Kamal bin Abd Aziz 3

1. Pengenalan

Orang Melayu sememangnya terkenal dengan penghasilan seni tekstilnya yang baik lagi menarik. Fungsi asasnya ialah sebagai busana untuk menutupi tubuh badan daripada terdedah dengan cuaca panas, sejuk, dan daripada serangan serangga atau ancaman lain (Azah Aziz, 2006). Tekstil Melayu begitu halus dari segi buatannya, di samping memiliki kecantikan rupa bentuk, keutuhan struktur, imbangan, komposisi serta olahan warna dan tema yang mantap (Zakaria Ali, 1987). Oleh yang demikian, hasil seni tekstil adalah merupakan seni yang menampilkan kreativiti sekali gus memperlihatkan hubungan manusia dengan rupa bentuk yang menyenangkan (Sidi Gazalba, 1977).

Seni tekstil merujuk kepada penghasilan kain yang menggunakan pelbagai bahan, peralatan dan teknik buatan tangan dengan terhasilnya pelbagai seni Melayu yang unggul. Antaranya seperti kain batik, kain gerus, kain perada, kain tenun pua, kain Panjang, kain bujang, kain kampuh, kain pelekat, kain cindai, kain songket dan pelbagai jenis lagi (Othman Mohd Yatim Zainal Abidin Borhan Mohammad Nazzri Ahmad Mohamad Anis Abdul Samad, 2006). Seni tekstil Melayu terbahagi kepada dua kategori iaitu Tradisi Agung dan Tradisi Rakyat. Songket, kain tenun bercorak benang emas, kain limar, kain telepok (perada emas), kelingkan, tekat dan semua berbenang emas adalah dalam lingkungan seni Tradisi Agung. Sementara itu bagi kain batik, kain Pelangi, kain ikat celup, kain tenun kosong adalah dikategorikan sebagai Tradisi Rakyat (Siti Zainon, Ismail,1986).

Seni Tradisi Agung dinaungi golongan Diraja serta golongan bangsawan yang memaparkan ciri-ciri keunikan dan keistimewaanya. Istana dan segala tumpuan pada ketika itu merupakan pusat bagi segala bentuk bidang keilmuan, kesenian dan kebudayaan Melayu. Seni Tradisi Rakyat pula adalah seni rupa tekstil Melayu yang dikhususkan untuk golongan rakyat atau bagi orang kebanyakan sahaja.

‘Pakaian Tradisi Agung’ lazimnya melibatkan hasil tenunan yang berasaskan kepada bahan-bahan mewah dan berharga seperti penggunaan ragam hias benang emas atau perak. Tenunan jenis ini direka cipta khusus untuk pakaian istana dan untuk kegunaan raja dan golongan bangsawan (Haziyah Hussin,2006). Dari sudut pensejarahan, konsep Tradisi Agung telah mula digunakan sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Melaka (1424-1444) iaitu melalui penggunaan warna kuning dan buatan bahan-bahan emas seperti yang terdapat dalam tenunan songket dan tekat (Siti Zainon Ismail,1995). Kedudukan golongan tersebut dapat membezakan jenis-jenis tekstil yang dipakai serta sistem pemakaiannya yang bersandarkan kepada lambang hiraki dan status dalam masyarakatnya. Di samping itu, wujud juga penaungan tertentu yang menghadkan pemakaiannya yakni hanya dilanggani pemerintah-pemerintah tertentu dan tidak pula kepada orang-orang kebiasaan (Grace I. Selvanayagam, 1990).

2. Tekstil dalam dunia Melayu.

(2)

acara adat (Siti Zainon, 1990). Ia terhasil daripada proses tenunan dengan pengaplikasian bahan-bahan seperti benang dan warna dengan kaedah yang betul.

Benang yang digunakan adalah diperbuat daripada kapas, linen, sutera dan bulu binatang manakala bagi proses pengeluaran tekstil adalah berkembang daripada teknologi sederhana kepada penciptaan pelbagai aneka seni kraftangan yang berwarna-warni (Arba’iyah Mohd Noor, Norazilawati Abd Wahab, 2019).

Pada awalnya, songket dan telepuk adalah seni yang dikhaskan penggunaannya dalam konteks Tradisi Agung namun lama kelamaan, ia dirakyatkan penggunaannya apabila istana tidak lagi menjadi penaung seni tersebut. Akhirnya, rakyat biasa dibenarkan memakai songket pada majlis-majlis adat seperti perkahwinan di mana fungsi simboliknya masih kekal (Othman Mohd Yatim Zainal Abidin Borhan Mohammad Nazzri Ahmad Mohamad Anis Abdul Samad, 2006). Jelasnya, songket dan telepuk adalah seni Melayu yang kaya dengan nilai estetika dan ini dapat dilihat daripada proses awal pembuatan sehinggalah apabila ia siap diperaga dan dipakai.

Bagi orang Melayu, tenunan songket, adalah dianggap sebagai kemuncak penghasilan seni tenunan orang Melayu. Kegiatan menenun songket sudahpun bermula seawal abad ke-16 hingga abad ke-17 Masehi khususnya di negeri-negeri Pantai Timur, Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya Terengganu dan Kelantan. Perkataan Kit (ertinya kata kerja mengangkat) dikatakan berasal dari Siam, begitu juga kek besar berbangku atau disebut kek Siam adalah alat yang digunakan untuk menenun songket (Azah Aziz, 2006).

Istilah songket pula adalah berasal daripada perkataan Melayu, ‘menyungkit’

iaitu dengan menggunakan helaian-helaian benang gimpal (emas dan perak). Ia bukanlah satu kaedah membuat kain secara bersulam tetapi bagi setiap penghasilan motif adalah dibuat sebagai reka corak hiasan pada kain semasa proses menenun. Proses penghasilan kain songket adalah melibatkan proses menyungkit benang gimpal pada benang loseng.

Ini bermakna benang pakan emas diselitkan pada benang biasa (kapas dan sutera) bagi menghasilkan motif pada songket (Haziyah Hussin, 2006).

Sejarah memperlihalkan bahawa kain songket pada awalnya adalah ditenun untuk kegunaan Diraja serta golongan bangsawan dengan menggunakan benang sutera dari China dan benang emas dari India. Walau bagaimanapun, keadaan masa berubah dan budaya turut mengalami perubahan, di mana kain songket mula dipakai oleh pengantin yang digelar ‘raja sehari’ dan kemudiannya ia bebas digunakan oleh rakyat biasa (Azah Aziz, 2006).

Bagi Telepuk pula, ia menjelaskan reka corak bunga-bungaan kecil yang diperbuat daripada kertas emas, daun emas ataupun air emas. Ia juga boleh disama ertikan dengan bunga telepok, bunga Seroja dan bunga Teratai. Istilah telepuk merujuk kepada teknik dan seni menghias kain tenun. Contohnya, seperti kain tenun Melayu Bugis dengan memperagakan motif dan reka corak daripada bunga-bungaan yang kecil (Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1999).

Telepuk juga merujuk kepada proses menekap kain tenun Melayu dengan menggunakan gam Arab dan dihiasi dengan kertas emas atau perada emas. Teknik telepuk ini biasanya dilakukan pada permukaan kain tenun yang telah digerus (Mohd Taib Osman, 2000). Kewujudan seni menggerus dan menelepuk adalah berasal dari Bugis, Sulawesi. Kegiatan seni ini turut diusahakan di Semenanjung Tanah Melayu yang mempunyai pertalian rapat dengan orang Bugis sejak kurun ke-17 hingga ke-18 Masehi

(3)

lagi iaitu Selangor, Johor, Pahang, Perak, Terengganu, Kedah dan Kelantan (Azah Aziz, 2006).

Perlu diperjelaskan bahawa, para pedagang tekstil dari India telah membawa masuk tekstil yang dihiasi kertas emas. Tekstil jenis ini juga dikenali dengan nama kain Serasah oleh orang-orang Melayu Melaka. Penghasilan dan teknik buatan kain serasah ini secara terus menerus dipelajari seniman tekstil tradisi Melayu dan menghasilkan kain telepuk. R.0 Winsted (1950) turut menjelaskan bahawa kain telepok adalah kain tenun Melayu yang mengalami proses menggerus serta dihiasi dengan kertas emas.

Diperlihatkan dari segi kaedah pembuatan kain telepok didapati masih sama dengan teknik serta kaedah pembuatan kain di daerah Punjab, India.

Sebenarnya, kain telepok telah lama dipakai dari kalangan kerabat Diraja dan bangsawan Selangor sejak abad ke- 18 Masehi lagi (Winstedt, 1950). Ia turut dijadikan sebagai hadiah atau pemberian di kalangan para pembesar dan pemerintah Melayu di sekitar Selat Melaka dan Semenanjung Melayu. Selain itu, kain telepuk dianggap istemewa kerana dijadikan hantaran perkahwinan Diraja di Tanah Melayu sehingga awal abad ke 20.

3. Motif dalam kraftangan Melayu

Perkataan motif membawa maksud sesuatu subjek yang menjadi dasar atau corak utama dalam sesebuah seni rupa atau olahan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005).

Menurut Ismail Ibrahim (2009), penghasilan sesuatu motif biasanya dicipta berdasarkan daripada sesuatu imej yang dilihat. Motif yang tercipta memberi gambaran rupa bentuk yang mudah dan ringkas hasil daripada proses transformasi idea dan visualisasi visual yang menarik. Rupa bentuk yang rencam digayakan menjadi lebih ringkas dan menarik.

Ada juga motif kaya dengan paparan simbol dan dianggap ikonik dengan kekuatan makna.

Simbol pula berperanan sebagai sesuatu yang bermakna dan mempunyai signifikan tertentu. Ia dihasilkan melalui proses kreativiti si pencipta. Penilaian simbol terlihat pada rupa bentuk, rupa corak, tanda, imej yang membentuk sesuatu motif. Setiap motif yang terhasil mempunyai kaitan dari segi adat, ugama, nilai dan norma-norma kehidupan, keindahan, keharmonian dan nilai-nilai tradisional yang lain (Muhammad Afendi Yahya, 1995).

Jika dianalisis dari segi motif seni tradisional Melayu, sifat-sifatnya boleh dirujuk dari perspektif sejarah orang-orang Melayu. Ia merangkumi era-era sebelum dan selepas pengaruh Hindu, kedatangan Islam dan pasca era penjajahan orang-orang Eropah.

Menurut Ahmad Suhaimi Mohd Noor (2007), menjelaskan bahawa masyarakat Melayu menekankan konsep visual yang diasaskan kepada konsep mimesis atau pemerhatian di atas hubungan rapat dengan alam semulajadi. Pemindahan motif-motif semulajadi kepada aspek visualisasi ke atas permukaan kayu, tanah liat, besi, tembaga, kain dan lain-lain adalah suatu paparan artistik yang dilaksanakan dengan tekun, penuh teliti dan gaya kemahiran oleh tukang-tukang Melayu yang serba arif.

Menurut Ku Zam Zam (1984 & 1989), alam sekitar adalah sumber rujukan yang penting dalam penghasilan motif orang Melayu. Kebanyakan corak yang dihasilkan oleh mereka sebenarnya menjelaskan akan hubungan harmoni kehidupan mereka dengan alam sekeliling. Setiap penghasilan motif, adalah bertitik tolak dari rasa kesedaran terhadap keperluan sama ada dari segi pragmatik dan estetiknya. Jelasnya, sebelum seni istana berkembang, golongan luar istana iaitu seniman dari rakyat biasa dibawa ke

(4)

istana untuk mengubah seni yang lebih bermakna dari sudut artistik dan estetik bagi keperluan golongan istana dan juga bangsawan. Mereka diberi dorongan dan keutamaan sehingga terhasilnya motif dan corak tekstil yang unik dan luar biasa oleh pandai tenun atau perajin yang terdiri daripada gadis dan wanita desa.

4. Pengaruh Alam dan budaya Melayu

Bagi masyarakat Melayu tumbuh-tumbuhan boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu tumbuhan untuk perubatan, tumbuhan untuk makanan, tumbuhan untuk perhiasan dan tumbuhan untuk upacara dan tumbuhan untuk alatan (A.Aziz Bidin dan Aishah Hj. Muhammad, 1998). Justeru, para seniman atau pandai tukang Melayu telah menggunakan sebaik mungkin pelbagai kaedah dalam penghasilan kerja seni mereka.

Malahan daripada tumbuh-tumbuhan inilah dimajukan sebagai sumber keilmuan motif kraftangan Melayu seperti yang terdapat pada motif songket, telepuk, batik, tembikar, anyaman atau seni logam halus.

Pemilihan motif-motif dalam tekstil Melayu begitu tipikal untuk dikaji bagi melihat perkaitannya dengan budaya dan falsafah orang Melayu. Bersandarkan kepada pendekatan mimesis atau observasi terhadap alam, para pereka Melayu berupaya menghasilkan beberapa kategori motif yang mempunyai keunikan dan keistemewaan yang tersendiri. Aspek keunikan, familiariti, estetik, kegunaan atau khasiat dan keharuman bau-bauan pada bunga-bungaan, adalah menjadi sandaran utama pemilihan motif-motif. Bunga melor, bunga kemuning, bunga cempaka, bunga anggerik, bunga kenanga, bunga kesidang, dan bunga tanjung adalah antara motif yang sering diketengahkan. Bagi masyarakat Melayu tradisional, mereka menjadikan bunga-bungaan sebagai sumber perhiasan yang penting dalam kehidupan. Dalam hal ini, orang Melayu banyak bersandarkan cita rasa dan pengalaman dari persekitaran mereka sehingga melahirkan nilaian estetika yang tinggi dalam konteks budayanya yang tersendiri (Arba’iyah Ab. Aziz, 2018).

Daya imaginasi, kreativiti dan kemahiran merupakan perkara utama yang penting untuk menghasilkan reka bentuk motif atau corak tekstil yang unik dan istimewa. Dalam seni Melayu, ia dihasilkan dengan berlandaskan ciri-ciri yang tidak bercanggah dengan fahaman agama Islam. Justeru, dalam pemilihan motif, ia terikat kepada lunas-lunas etika yang benar, baik dan bagus. Oleh yang demikian pemilihan motif flora khususnya bunga- bungaan lebih mendominasi berbanding motif fauna kerana ia bersesuaian dengan nilai Islam (Othman Mohd. Yatim, 1989 dan Abdullah Mohamed, 1990).

Flora boleh ditakrifkan sebagai tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sesuatu daerah atau pada sesuatu masa (Haziyah Hussin, 2006). Bunga-bungaan merupakan sumber tumbuhan yang sangat penting dalam reka motif tekstil kerana ia sering dikaitkan dengan simbol kecantikan yang dijadikan perhiasan. Menariknya, muncul nama-nama bagi wanita seperti Melati, Melur, Putih, Cempaka, Tanjung, Kenanga, dan sebagainya sering digunakan untuk nama atau panggilan (Wan Abdullah bin Hj. Wan Mahmood, 1997). Ia berupa nama asal orang-orang Melayu yang biasanya terdapat dalam hikayat atau cerita-cerita Melayu klasik sehinggalah kedatangan Islam.

5. Motif Bunga dalam tenunan songket dan telepok

Bunga-bungaan yang menjadi motif tenunan songket dan telepok adalah manifestasi kehidupan dan pandangan hidup orang Melayu. Inspirasi pemilihan motif-

(5)

motif bunga tertentu ini adalah berdasarkan kepada proses saringan, penelitian, penganalisisan melalui pengalaman secara fizikal dan sifat-sifat semulajadi tumbuhan itu sendiri. Motif yang diilhamkan daripada sumber bunga-bungaan merupakan penyumbang kepada motif tekstil berdasarkan keunikan dan mudah didapati (Haziyah Hussin, 2006).

Dalam konteks kehidupan masyarakat Melayu tradisional, bunga kerap dijadikan sebagai perhiasan sanggul bagi kaum wanita. Antara bunga yang dijadikan hiasan sanggul adalah seperti bunga cempaka, melor, kenanga, anggerik dan bunga raya. Bagi sesetengah orang Melayu, mereka turut berpendapat tanpa pokok-pokok bunga disekeliling adalah bagaikan rumah tanpa seri. Bagi keluarga yang mempunyai anak perempuan remaja, didapati kebanyakan rumah mereka adalah ditanami pokok bunga.

Seperti satu kelaziman, bunga acapkali digunakan sebagai perhiasan atau gubahan hantaran untuk majlis perkahwinan, hiasan pelamin, katil pengantin dan hiasan dalam rumah. Antara bunga-bungaan yang mendapat tempat ialah seperti bunga mawar, bunga kekwa dan bunga orkid. Manakala bahagian daun pula adalah daripada jenis paku-pakis. Bunga dan daun ini digubah bersama-sama dengan bahan hantaran supaya kelihatan cantik. Selain itu sirih juga dijadikan bahan hantaran atau dipanggil sirih junjung (Robiah Sidin & Juriah Long, 1998).

Daun daripada jenis paku-pakis turut diolah bagi membangkitkan nilai keindahan dalam sesuatu perhiasan. Kesemua pokok bunga ini mengandungi makna tersirat yang ada perkitannya dengan nilai falsafah orang Melayu.

Motif flora dalam tenunan songket dan telepuk adalah didominasi motif bunga- bungaan. Walau bagaimanapun terdapat motif daripada buah-buahan, dedaunan, pokok mahupun cendawan. Tumpuan motif flora, selain rupa-bentuk bunga, terdapat juga daun, pucuk, biji, tampuk, kelopak atau keseluruhan bahagian tanamannya. Dari segi adat budaya, bunga-bungaan dan buah-buahan sering dijadikan bahan untuk sesuatu tujuan tertentu seperti perhiasan, pengubatan, terapi, dan lain-lain. Antara motif-motif flora yang lazim terdapat dalam seni tenunan songket dan telepok ialah motif pucuk rebung, tampuk manggis, bunga cengkih, bunga melor, bunga cempaka, bunga tanjung, bunga matahari, bunga cina dan lain-lain.

Bunga-bungaan dipilih dalam pelbagai rupa bentuk, warna, aroma bau dan spesies. Antara yang menjadi daya tarikan dan perhatian ialah terletak pada kuntuman, kelopak di samping kekuatan hubungan dari segi psikologi seperti rasa tenang dan harmoni. Banyak rahsia dan ilmu tentangnya diterokai diterokai oleh orang Melayu misalnya madu yang terdapat pada bunga-bungaan di mana khasiatnya boleh dijadikan ubat atau penawar.

Selain keunikannya dari segi estetik, sesetengah bunga-bungaan berpotensi menghasilkan aroma atau bau-bauan yang memberi kesan kebaikan dari segi spiritual, minda atau kerohaniah manusia. Menurut Wan Su Othman, bunga-bungaan mampu mengeluarkan bauan semerbak yang berupaya memikat perasaan dan hati manusia (Othman Yatim, 2000). Di samping itu, ia boleh dijadikan bahan untuk menambah atau menaikkan seri kepada seseorang atau bagi meningkatkan semangat atau aura pada personaliti seseorang. Bagi masyarakat tradisi, wangian bunga juga dijadikan ilmu penarik untuk kelihatan menarik apabila dipandang. Ini adalah kerana bunga adalah merupakan simbol keindahan bentuk, warna dan simbol kewanitaan, ia menjadi hiasan

(6)

pada tekstil (Haziyah Hussin, Salmah Abu Mansor, Rahilah Omar, Hapsah Ismail, Aminuddin Hassan, 2009).

Dalam konteks ini, orang Melayu mempunyai kearifan tertentu dari segi penganalisisan dalam mengolah motif-motif tersebut dari apa yang terdapat di sekeliling mereka. Justeru, akal dalam minda orang Melayu begitu sebati dengan nilai budi dalam kehidupan mereka (Arba’iyah Aziz, 2018).

Berikut adalah paparan motif bunga-bungaan yang terdapat dalam tenunan songket Melayu Terengganu.

MOTIF BUNGA DALAM TENUNAN SONGKET Bil. Motif

Bunga dalam Songket

Motif Grafik dalam

Songket Bil. Motif Bunga dalam Songket

Motif Grafik dalam Songket

1. Bunga Anggerik

15 Bunga matahari

2. Bunga Ati-

ati 16 Bunga

mawar

3. Bunga

bebaling 17 Bunga

Melor

4. Bunga

cempaka 18 Bunga

patah- patah

(7)

5. Bunga cina 19

Bunga pecah empat

6. Bunga

flora 20 Bunga

pecah lapan

7. Bunga

kangkung 21 Bunga

pucuk

8 Bunga

kekwa 22

Bunga raya

9 Bunga

kemuncup 23 Bunga

renek

10 Bunga kemunting cina

24 Bunga Senduduk

11. Bunga

Kenanga 25 Bunga

sepit udang

(8)

12 Bunga ketola/

petola

26 Bunga tanjung

13 Bunga

Kunyit 27

Bunga teratai

14 Bunga

Kesidang 28 Bunga

telepuk

Gambar 1: Motif Grafik Tenunan songket Sumber gambar: Arba’iyah bt Ab. Aziz

Di bawah adalah paparan motif bunga-bungaan yang terdapat dalam telepok dari Selangor.

Motif Bunga dalam Telepuk Bil

.

Motif Bunga dalam Telepuk

Motif Grafik dalam

Telepuk Bil. Motif Bunga dalam Telepu k

Motif Grafik Dalam Telepuk

1. Bunga

Mawar 7. Bunga

Bakung

2. Bunga

Kekwa 8. Bunga

Keemb ong

(9)

3. Bunga Cempak a

9. Bunga Pecah Empat

4. Bunga

Kenanga 10. Bunga

Pecah Lima

5. Bunga

Tanjung 11. Bunga

Pecah Enam

6. Bunga

Melur 12. Bunga

Pecah Lapan

Gambar 2: Motif Grafik Telepuk Sumber gambar: Mohd Jamil bin Muhamad Amin

6. Persamaan motif bungaan dalam tenunan songket dan kain telepuk

Jika dilihat dari gambar 1, terdapat dua puluh lapan (28) motif tenunan songket diperolehi daripada pelbagai jenis bunga-bungaan manakala bagi motif telepuk pula terdapat dua belas (12) motif. Daripada kedua-dua motif songket dan telepuk, terdapat lapan (8) motif yang mempunyai persamaan dari segi nama. Walau bagaimanapun dari segi reka bentuk dan coraknya adalah agak berbeza.

Motif-motif yang mempunyai persamaan dari segi nama ialah bunga mawar, bunga kekwa, bunga cempaka, bunga kenanga, bunga tanjung, bunga melur, bunga pecah empat dan bunga pecah lapan. Para pereka menumpukan kepada beberapa faktor tertentu seperti dari segi keunikan, kegunaan khasiat, familiariti dan simbolisme sebagai kriteria utama dalam pemilihan motif.

(10)

Sementara itu, motif bunga-bungaan yang menjadi pilihan seniman Melayu untuk songket dan telepuk adalah terdiri daripada bunga-bungaan yang mempunyai aroma dan keharuman bau di samping khasiatnya yang tersendiri. Warna yang terang serta haruman bau adalah elemen yang menjadi keutamaan. Orang Melayu begitu menghargai wangi-wangian semula jadi yang datangnya daripada haruman bunga- bunga tropika. Antaranya ialah seperti bunga mawar, bunga cempaka, bunga kenanga, bunga tanjung dan bunga melur.

Bunga ros atau bunga mawar yang mula diperkenalkan oleh orang Inggeris, menjadi motif penting dalam penghasilan tekstil. Kedatangan Inggeris ke Alam Melayu, khususnya di Tanah Melayu telah membawa masuk tumbuh-tumbuhan daripada luar negara. Bunga mawar adalah mewah dengan aroma wangian di samping khasiatnya tersendiri.

Bunga cempaka pula merupakan sejenis pokok berkayu yang mempunyai tiga jenis warna iaitu putih, kuning dan merah. Ia sering ditempatkan di bilik-bilik tidur disebabkan kewangiannya yang menyegarkan persekitaran. Menariknya, bunga ini turut digunakan oleh penari-penari Mak Yong di samping dijadikan perhiasan untuk lelangit pentas. Dalam permainan Puteri, bunga ini turut digunakan bagi tujuan pengubatan seperti memulihkan semangat. Tertarik dengan wangi-wangian, wanita Melayu tradisional sering menyelitkannya pada bahagian sanggul. Bunga kenanga pula merupakan sejenis tanaman yang sesuai untuk dijadikan pokok hiasan terutama di kawasan taman bagi penduduk tempatan. Ia juga mempunyai bauan yang kuat dan sesuai dijadikan bunga rampai khusus untuk majlis perkahwinan. Bagi bunga tanjung, ia merupakan sejenis pokok hiasan yang rajin berbunga dan amat sesuai sebagai pokok teduhan atau hiasan. Ia juga mempunyai haruman bau yang menyegarkan di samping penting dari segi perubatan tradisional. Bunga melur juga selain mempunyai bauan yang wangi ia juga digunakan sebagai perhiasan rambut terutama di kalangan kaum wanita pada zaman dahulu.

Apabila orang Melayu mula menelaah terhadap alam sekitar yang melingkari kehidupan mereka, pengamatan mereka sebenarnya terarah untuk membuat pelbagai telaah dan tafsiran tentang unsur-unsur alam tersebut untuk dijadikan lambang kiasan, kegunaan atau adat dalam kehidupan.

Penganalisisan khusus terhadap kewujudan makna, peranan dan falsafah dalam motif bunga-bungaan rekaan songket dan telepuk Melayu, kadangkala turut mempunyai fungsi berganda yang dijadikan sebagai hiasan, penyebarluasan pendidikan atau membawa unsur didaktik dan dokrin bagi kepercayaan tertentu. Kewujudan tersebut terhasil daripada interaksi antara manusia dengan alam khususnya dalam kegiatan seharian orang Melayu. Demikian, mereka mempergunakan segala kebolehan dan kearifan untuk melakukan sesuatu penganalisisan serta kajian dalam konteks penghidupan mereka. Menariknya. akal dalam minda orang Melayu dilihat begitu bersebati dan diadun mesra secara pragmatik di samping sarat dengan nilai falsafah dan adat budaya mereka.

Kesimpulan

Tumbuh-tumbuhan sebenarnya mempunyai peranan yang penting dalam budaya orang Melayu. Ia disebabkan wujud hubungan keakraban orang Melayu dengan alam semulajadi sesekian lama. Suasana kehidupan yang di kelilingi alam tumbuhan seperti bunga-bungaan yang berwarna-warni seakan menjadi fenomena dan nilai tambah

(11)

dalam penghidupan orang Melayu. Setiap kewujdan tersebut diamati dan diteliti melibatkan imbangan dari aspek fizikal yakni luaran dan dalaman. Keindahan, keselesaan dan kesesuaian konsep tersebut diadun rapi sama ada dari segi kesenian, adat, falsafah, kepercayaan dan terpenting ialah pegangan agama.

Setiap ciptaan Tuhan adalah laksana gedung atau khazanah ilmu yang banyak menyimpan kerahsiaan alam yang sentiasa terbuka dan tersedia untuk diterokai. Namun, penerokaan terhadapnya juga bergantung kepada komitmen serta usaha seseorang karyawan terhadapnya. Jelasnya, mereka sangat peka dan teliti terhadap sumber alam.

Hasil observasi terhadap alam dan keupayaan untuk mencari lalu membongkar apa yang ada tersimpan atau miliki seakan menjadi sebahagian daripada aktiviti kehidupan mereka. Kebolehan mereka untuk meneliti, mengkaji, menyaring dan menganalisis sesuatu tumbuh-tumbuhan adalah sesuatu yang amat mengagumkan. Tidak dinafikan, para karyawan atau seniman Melayu mempunyai kebolehan luar biasa dalam usaha memperhalusi di samping sentiasa mengetengahkan konsep rasional, saintifik dan intelektual.

Jelasnya, seni tenunan songket dan telepuk tidak sekadar terserlah keindahannya dari aspek “rupa” atau sudut luaran tetapi terungkap dari sudut “jiwa” atau nilai dalamannya.

Dalam hal ini, sama ada songket mahupun telepuk bukan sekadar pakaian tetapi turut berperanan sebagai alat menjunjung adat, mengangkat darjat serta mengungguli martabat bangsa. Sesuai dengan fungsi tersebut, busana tersebut bukan hanya bersifat pragmatik, tetapi juga mendukung warisan adat dan budaya bangsa, nilai keagamaan serta ketinggian dari sudut etika dan estetiknya. Oleh yang demikian, setiap aspek keindahan yang terpapar pada corak dan motif seni tersebut menyebabkan kedudukan dan peranan pakaiannya menjadi lebih penting dalam adat dan budaya masyarakat Melayu khususnya dalam masyarakat Melayu pada hari ini.

Rujukan

A. Aziz Bidin dan Aishah Haji Muhammad (1998). Kegunaan Tumbuh Tumbuhan Dalam Nilai Budaya Masyarakat Desa, Kajian Etnografi di Wang Kelian Perlis).

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, (hlm 162-198).

A. Aziz Deraman (Disember 1985). Falsafah Kebudayaan Kebangsaan. Dewan Budaya, hlm.

39-43.

Ahmad Suhaimi Mohd Noor (2007). Sejarah Kesedaran Visual di Malaya, Tanjung Malim:

Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Arba’iyah bt Ab. Aziz (2018). Simbolisme Dalam Motif Songket Melayu Terengganu Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arba’iyah Mohd Noor, Norazilawati Abd Wahab (2019). Pengaruh Indonesia Terhadap Tekstil Di Terengganu Pada Abad ke-19. JOMAS, Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 30.

Azah Aziz (2006). Rupa & Gaya. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1999). Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haziyah Hussin (2006). Motif Alam dalam Batik dan Songket Melayu: Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haziyah Hussin, Salmah Abu Mansor, Rahilah Omar, Hapsah Ismail, Aminuddin Hassan,

(12)

2009). Seni, Seni Hias, Seni Reka, Reka Bentuk Dan Estetika daripada Persepsi Umum Dan Orang Melayu. JOMAS, Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 20.

Kamus Dewan, edisi keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ku Zam Zam Ku Idris (Jun 1984). Nilai Keindahan Dalam Seni Kraftangan Melayu.

Dewan Budaya, him. 40-43.

Robiah Sidin & Juriah Long (1998). Nilai Budaya Masyarakat Desa, Kajian Etnografi di Kampung Tekek Pulau Tioman, Pahang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sidi Gazalba (1977). Pandangan Islam Tentang Kesenian. Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka

Antara.

Siti Zainon Ismail (1990). ‘Tekstil Melayu: Sejarah fungsi, symbol dan keindahan”, Malaysia

Dari Segi Sejarah. Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia, Bilangan 18.

Siti Zainon Ismail (1986). Reka Kraftangan Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka.

Syed Ahmad Jamal (1992). Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Ibrahim, (2009). Warisan Motif dan Corak Etnik Sabah. Kota Kinabalu: Sabah.

Universiti Malaysia Sabah.

Manja Mohd Ludin & Ahmad Suhaimi Hj Mohd Nor, (1995). Aspek-Aspek Kesenian Islam.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Afendi Yahya, (1995). Simbolisma Dalam Seni Bina Rumah Melayu Kelantan.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Mohd. Yatim (1989). Warisan Kesenian Dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Mohd. Yatim (2000). Mengukir Kegemilangan Lalu, Biografi Wan Su Othman, Penerima Anugerah Seni Negara, 1997. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan.

Othman Mohd Yatim Zainal Abidin Borhan Mohammad Nazzri Ahmad Mohamad Anis Abdul Samad (2006). Estetika Dan Keindahan Songket Melayu. JOMAS, Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 20.

Ong Hean Chooi (2006). Tumbuhan Liar Khasiat Ubatan & Kegunaan Lain. Kuala Lumpur:

Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.

Ong Hean Chooi (2006).Tanaman Hiasan Khasiat Makanan & Ubatan. Kuala Lumpur:

Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Saemah Binti Yusof dan Muliyadi Mahamood (2015) Seni Sulaman Tekat Tradisional Dalam Tekstil Melayu Melayu’: ICOMHAC 2015eproceedings, 16- 17 Disember 2015, Century Helang Hotel, Langkawi.

Selvanayagam, Grace Impan (1991). Songket: Malaysia’s Woven Treasure. Singapore:

Oxford University Press Pte. Ltd.

Wan Abdullah Wan Mahmood dan Dra Wista Ahmad. Tamadun Islam Dan Tamadun Alam Melayu Serta Sumbangannya Kepada Dunia (1997).Kuala Lumpur: Unit Tamadun Islam, Pusat Pendidikan Islam, ITM, Shah Alam.

Winstedt R.O. (1958). The Malays, A Cultural History. London: Routledge & Kegan Paul Ltd.

Zakaria Ali (1987) Estetika Melayu Ditinjau dari Objek-objek Seni. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Pertemuan Dunia Melayu 1982. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Referensi

Dokumen terkait