KATA-KATA ALUAN REKTOR
Bismillah Hirrahman Nirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdullillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kita bertemu lagi untuk memenuhi agenda yang telah direncanakan sepanjang bulan sambutan Kemerdekaan yang ke-49. Saya amat berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan Program senamrobik dan Poco-poco sempena bulan Kemerdekaan Peringkat KUKUM 2006 ini bersama warga KUKUM yang sudi hadir pada malam ini.
Syabas saya ucapkan kepada penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan program ini begitu juga penglibatan mahasiswa-mahasiswi yang menyokong segala agenda KUKUM. Saya juga ingin menyatakan rasa bangga dan lega melihatkan komitmen yang diberikan.
Saudara-saudari sekalian.
Seperti mana yang diketahui, Program Senamrobik dan Poco-poco yang diadakan ini adalah salah satu program yang telah dirancang bersama-sama 14 program yang lain. Jika kita sedari, hampir kesemua program yang dianjurkan oleh KUKUM pada tahun ini melibatkan mahasiswa dan mahasiswi selain diwajibkan ke atas staf KUKUM. Selain memenuhi agenda sambutan bulan Kemerdekaan, adalah diharapkan program seumpama ini dapat menyatukan kita semua, menyuntik semangat kemerdekaan dan bersama-sama meraikan kemerdekaan yang kita kecapi kini.
Namun, disebalik keseronokan yang kita lalui dalam menjayakan program sambutan bulan Kemerdekaan. Pernahkah kita terfikir apakah motif di sebaliknya? Program Berjalan Kaki 10km pada 18 Ogos yang lalu umpamanya, mampu memberikan kita peluang untuk merasai dan menjiwai situasi pejuang-pejuang Kemerdekaan. Mereka mengharungi keperitan dan kesengsaraan selama 4 tahun 7 bulan untuk mendapatkan hak yang sepatutnya dimiliki. Walaupun kita di pihak KUKUM yang berjuang berhabis-habisan dan tidak putus asa selama 2 jam untuk sampai ke destinasi, namun kita boleh diumpamakan seperti mereka. Disini juga, yang saya ingin tekankan adalah semangat, kerjasama dan cintanya kita pada KUKUM sebagaimana pejuang-
pejuang terdahulu yang mempunyai semangat, kerjasama dan cinta pada negara yang menyebabkan mereka akhirnya mencapai kemerdekaan
Disamping itu, saya juga ingin menekankan konsep JERIS iaitu J=Jasmani, E=emosi, R=rohani, I=intelektual dan S=sosial. Senamrobik dan poco-poco yang diadakan setiap minggu dapat menyihatkan tubuh badan. Sekiranya badan sihat, otak menjadi cergas dan seterusnya dapat menjaga emosi. Program-program yang diadakan dapat memberikan kehidupan bersosial walaubagaimanapun masih perlu menjaga batas-batas pergaulan dan nilai-nilai murni.
Adalah diharapkan Program Senamrobik dan Poco-Poco serta program-program lain dapat meningkatkan kualiti kehidupan kita dan dapat menyuntik semangat patriotik di kalangan staf dan mahasiswa-mahasiswi serta memupuk semangat kerjasama di kalangan ahli kumpulan. Maka, saya dengan ini melafazkan Bismillah Hirrahman Nirrahim, merasmikan Program Senamrobik dan Poco-poco Sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat KUKUM 2006.
Terima kasih.