• Tidak ada hasil yang ditemukan

Dapatan kajian ini telah memberikan beberapa implikasi pada peringkat pelaksanaan program di sekolah. Berdasarkan implikasi ini, beberapa cadangan disarankan untuk penambahbaikan pelaksanaan MPV-LN di peringkat sekolah mengikut dimensi konteks, dimensi input, dimensi proses dan dimensi produk seperti berikut:

(i) Penyertaan murid MPV-LN yang sudah gagal dalam Kemahiran Hidup dalam program MPV-LN memberikan implikasi bahawa syarat atau peraturan yang ditetapkan dalam buku panduan pelaksanaan MPV-LN iaitu perolehan gred sekurang-kurangnya gred D dalam Kemahiran Hidup untuk mengikuti program MPV-LN tidak dipatuhi oleh pihak sekolah. Oleh itu, pihak PPD dan JPN perlu memantau pihak sekolah supaya syarat atau peraturan yang ditetapkan dalam buku panduan pelaksanaan MPV-LN diikuti dengan sepenuhnya.

(ii) Dalam penilaian konteks, ketidakpastian guru MPV-LN tentang beberapa kursus seperti kursus perancangan perniagaan LN, pengurusan bengkel MPV-LN, pengendalian peralatan dan mesin MPV-LN, penyenggaraan peralatan dan mesin MPV-LN, serta pengurusan perniagaan berkaitan dengan MPV-LN sama ada kursus-kursus tersebut memenuhi keperluannya untuk melaksanakan program MPV-LN di sekolah memberikan implikasi bahawa guru MPV-LN mungkin memerlukan tunjuk ajar serta penjelasan yang lebih mendalam lagi. Oleh itu, dicadangkan lebih banyak lagi kursus seperti itu diadakan. Di samping itu, pengendalian dan kandungan kursus tersebut dikaji semula oleh pihak penganjur kursus supaya kursus tersebut dapat memenuhi keperluan guru MPV-LN dengan sepenuhnya dan membolehkan guru MPV-LN melaksanakan program MPV-LN di sekolah dengan lancar.

(iii)Dalam penilaian input, aktiviti penyenggaraan, pembaikan, penggantian peralatan serta kemudahan bengkel MPV-LN yang tidak dilaksanakan dengan lancar memberikan implikasi bahawa pihak kontraktor swasta yang dilantik untuk menguruskan aktiviti tersebut di atas tidak menjalankan kerjanya seperti yang

dikehendaki. Selain itu, guru MPV-LN serta pembantu bengkel terlalu bergantung kepada pihak kontraktor swasta untuk menjalankan aktiviti penyenggaraan,

pembaikan, penggantian peralatan serta kemudahan bengkel MPV-LN. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab iaitu pengetua sekolah serta Jabatan Pelajaran Negeri harus memastikan pihak agensi yang dilantik untuk membekalkan peralatan dan kemudahan bengkel MPV-LN serta memberikan perkhidmatan penyenggaraan di sekolah memenuhi tanggungjawab mereka mengikut kontrak yang ditetapkan. Dicadangkan juga pihak Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri mengadakan kursus atau latihan kepada pembantu bengkel supaya mereka

mempunyai kemahiran untuk menjalankan aktiviti penyenggaraan dan pembaikan peralatan serta kemudahan bengkel MPV-LN yang rosak pada setiap masa. Dengan cara ini, semua peralatan tangan dan mesin berada dalam keadaan berfungsi pada setiap masa dan pelaksanaan program MPV-LN di sekolah lebih berkesan. Di samping itu, ketidakcukupan kemudahan perabot memberikan implikasi bahawa hasil murid MPV-LN yang perlu disimpan sebagai bahan bukti pentaksiran untuk satu jangka masa tertentu tidak dapat disimpan dengan selamat. Dengan itu, dicadangkan bengkel MPV-LN yang mempunyai kekurangan kemudahan bengkel tersebut tadi dinaiktarafkan oleh pihak Kementerian Pelajaran.

(iv) Dalam penilaian proses, pengajaran dan pembelajaran MPV-LN yang menekankan aspek amali serta kaedah pengajaran demonstrasi dan tunjuk ajar memberikan implikasi bahawa pengajaran dan pembelajaran MPV-LN dilaksanakan oleh guru MPV-LN seperti yang dirancang oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan perlu diteruskan. Begitu juga pengetahuan murid tentang hak dan

tanggungjawabnya dalam pentaksiran kompetensi MPV-LN; pentaksiran kompetensi MPV-LN; serta, interaksi antara guru dengan murid dilaksanakan

seperti yang dikehendaki dan harus diteruskan. Namun begitu, pembaziran masa secara purata lebih kurang 24 minit daripada 120 minit (3 waktu) untuk urusan-urusan bukan pengajaran dan pembelajaran MPV-LN iaitu pengurusan-urusan kelas (seperti merekod kehadiran murid), persediaan murid (seperti membersihkan diri, menyalin pakaian) dan urusan persendirian guru (seperti masih berehat atau minum di kantin dan lewat masuk kelas) boleh dikurangkan sekiranya guru tidak lewat masuk kelas dan bengkel MPV-LN mempunyai tandas murid dan bilik penyalinan yang

mencukupi dan berfungsi. Di samping itu, pengabaian amalan keselamatan seperti pemakaian but semasa mencangkul, pemakaian sarung tangan dan penutup mulut semasa menyembur baja kimia memberikan implikasi bahawa kemalangan serius yang mengancam nyawa manusia boleh berlaku. Oleh itu, dicadangkan, pengetua serta pegawai Pejabat Pelajaran Daerah melawat bengkel MPV-LN kerapkali dan memastikan kesemua langkah keselamatan diikuti oleh guru dan murid MPV-LN. Seterusnya, faktor murid MPV-LN yang menjadi faktor halangan utama kepada guru MPV-LN kerana murid MPV-LN mempunyai masalah kemahiran asas 3M iaitu kesukaran mengira, membaca dan menulis boleh menjejaskan pelaksanaan program MPV-LN di sekolah. Justeru, pihak sekolah harus mengenal pasti murid-murid yang lemah dalam kemahiran asas 3M tersebut dan mengadakan program pemulihan semasa mereka berada di tingkatan satu lagi.

(v) Kemudahan perabot di bengkel MPV-LN adalah tidak mencukupi. Implikasinya, hasil murid MPV-LN yang perlu disimpan sebagai bahan bukti pentaksiran untuk satu jangka masa tertentu tidak dapat disimpan dengan selamat kerana kekurangan perabot. Tandas di bengkel, menurut murid, hanya boleh digunakan oleh guru menyebabkan murid terpaksa menggunakan tandas lain yang terletak jauh dari bengkel. Akibatnya, banyak masa terbuang. Ruang bengkel yang sempit

menyebabkan murid-murid MPV-LN terpaksa duduk berdekatan semasa

menjalankan aktiviti amali mereka. Keadaan ini sungguh berbahaya kerana murid-murid MPV-LN biasanya menggunakan benda-benda tajam seperti pisau, dawai dan besi. Dengan itu, dicadangkan bengkel MPV-LN yang mempunyai kekurangan kemudahan bengkel tersebut tadi dinaiktarafkan oleh pihak Kementerian Pelajaran.

(vi) Dalam penilaian produk, pengetahuan dan kemahiran yang di peroleh dalam program MPV-LN dapat digunakan oleh murid lepasan program MPV-LN dalam kehidupan seharian mereka memberikan implikasi bahawa program MPV-LN boleh membantu murid lepasan program MPV-LN (produk program MPV-LN)

menjalankan kegiatan seperti menanam sayur-sayuran dan membuat katering. Namun demikian, ketiadaan keyakinan murid lepasan program MPV-LN untuk menjalankan perniagaan dalam bidang LN boleh menjejaskan pencapaian salah satu matlamat program MPV-LN iaitu membolehkan murid memulakan perniagaan. Oleh itu, dicadangkan pihak Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah mengadakan satu kerjasama dengan agensi luar (seperti nurseri swasta) dan

menempatkan murid-murid MPV-LN dalam suasana perniagaan sebenar yang berkaitan dengan LN pada masa cuti sekolah untuk membolehkan mereka mendapat maklumat dan kemahiran tambahan serta belajar bagaimana perniagaan dijalankan di nurseri. Di samping itu, pihak sekolah diwajibkan membawa murid-murid MPV-LN ke tempat-tempat yang ada landskap dan nurseri berkonsep baharu supaya murid dan guru MPV-LN terdedah dengan konsep-konsep baharu dalam landskap dan nurseri.

Dokumen terkait