• Tidak ada hasil yang ditemukan

Usaha untuk mentransformasi kurikulum PI yang digubal dalam bentuk standard kandungan dan standard pembelajaran adalah merupakan satu bentuk inovasi agar ia sealiran dengan arus perdana. Standard kandungan adalah pernyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard pembelajaran pula merupakan satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Tanpa mempunyai pengetahuan yang jelas tentang kurikulum berasaskan standard-standard kandungan dan pembelajaran, mungkin sukar untuk menentukan ‘road-map’ atau program pengajaran dan pembelajaran ke arah pencapaian matlamat dan objektif sesuatu mata pelajaran.

Selain itu, gaya atau kaedah penyampaian guru, sistem penilaian tentang pembelajaran murid, persediaan buku teks dan bahan bantu mengajar, dan pemilihan serta pendidikan guru perlu juga ditransformasikan. Proses PdP sekarang bukan lagi berpusatkan kepada guru semata-mata, tetapi fokus utama adalah berpusatkan murid baik secara individu atau kumpulan. Kenyataan ini disokong oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan menegaskan bahawa kebanyakan murid belajar dengan berkesan melalui pengalaman penglibatan peribadi, aktiviti ’hands-on’ dan peluang untuk penemuan kendiri (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001)

Walau apapun, di sini fokus perbincangan ditumpukan kepada PI di sekolah.

Realitinya, terdapat inovasi dalam bidang ini sekiranya kita melihat PI daripada pelbagai sudut pandangan. Pertama, persekitaran pembelajaran PI yang menekankan kandungan hendaklah sekarang menegaskan juga konteks sejarah dan budaya, iaitu berkaitan dengan kehidupan sebenar agar aktiviti pembelajaran adalah berfungsian, iaitu praktikal dan berguna dalam menangani keperluan masyarakat dan membantu murid menyelesaikan masalah hidup sebenar di era globalisasi. Kedua, selain mengetengahkan

Islam sebagai suatu sistem divine yang ideal, patut ditegaskan penyelesaian yang boleh dicadangkan dalam menangani masalah yang dikenal pasti; bagaimanapun, janganlah dalam menyelesaikan masalah secara Islami, murid diajar agar jangan retorik dan menyatakan sesuatu dengan keras tetapi hendaklah menerangkan berdasarkan fakta dan mampu berhujah. Ketiga, selain mendidik murid tentang aturan hubungan antara manusia dan Allah SWT, PI juga hendaklah mendidik murid bahawa Islam memberi makna kepada kehidupan manusia, iaitu Islam adalah panduan dalam merealisasikan nilai kemanusiaan, membantu manusia hidup dengan penuh kemanusiaan menerusi kod asas yang diperlukan oleh manusia dalam mereka memahami antara satu sama lain.

Keempat, perkenalkan sudut pandangan saintifik tentang peranan Islam dalam masyarakat dan sejarah dan tentang penyelesaian masalah seharian. Murid perlu didedahkan lebih awal tentang keistimewaan kitab al-Quran dan kandungannya. Al-Quran sebagai kitab yang penuh dengan hikmah dan ilmu yang tiada penghujungnya perlu dikaji daripada pelbagai sudut dan bidang. Oleh itu, adalah amat sesuai dan merupakan usaha yang produktif sekiranya dalam semua bidang (seperti geografi, sains, matematik, sejarah dan bahasa) murid didedahkan tentang kebesaran ayat-ayat Allah SWT. Kelima, selain melihat yang Islamic dalam PI, patut dilihat juga the Muslims agar PI lebih bermakna, iaitu masukkan agensi manusia, individu Muslim itu sendiri, dan tentang tafsiran serta amalan mereka berkaitan Islam.

Dengan cara ini akan nampaklah interaksi antara Islam sebagai suatu cara hidup yang ideal dan realiti maujud dalam kalangan diri Muslim itu sendiri. Keenam, mereka yang terlibat dalam meningkatkan PI janganlah eksklusif dalam kefahaman tentang keadaan pendidikan kini, misalnya terhadap metodologi pengajaran moden; jika tidak, kreativiti dan inovasi tidak boleh diaplikasikan bagi menangani kekurangan atau kelemahan dalam pedagogi PI. Akhirnya, tetapi tidak kurang pentingnya, selain memberi keutamaan kepada pengetahuan akademik dan kemahiran teknikal atau hard skills, kini penekanan kepada soft skills atau kemahiran insaniah juga amat perlu. Dalam dunia global yang amat mencabar, murid perlu dipupuk dan diterapkan kemahiran insaniah agar pencapaian mereka lebih terserlah semasa menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Kita tidak mahu melahirkan generasi Muslim yang tidak atau kurang dilengkapi dengan kemahiran insaniah tetapi hanya berjaya kerana atas usaha menghafal pelajaran akibat daripada sistem pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan.

Selain inovasi idea yang telah diketengahkan di atas, beberapa aktiviti untuk PI yang dijalankan boleh juga dianggap sebagai suatu inovasi. Persekitaran sekolah dianggap menyokong pendidikan adab dan akhlak murid (suatu komponen penting dalam PI) jika terdapat di dalam sekolah peraturan yang jelas tentang tingkah laku.

Peraturan serta norma itu pula secara kolektif digubal dan menjadi kepunyaan bersama sekolah dan murid. Murid dikatakan memperolehi kepuasan hasil daripada mematuhi peraturan dan norma persekitaran itu, dan natijahnya, persekitaran itu boleh membentuk adab dan akhlak yang diingini. Persekitaran itu biasanya dikaitkan dengan komuniti adil. Dalam persekitaran sebegini, murid berhadapan dengan masalah yang sebenar atau nyata tentang organisasi sosial yang terdapat di dalam sekolah. Dalam konteks Islam sebagai suatu cara hidup, murid membincangkan masalah kumpulan dan membentuk norma yang mengatur kehidupan kumpulan itu. Menerusi proses perbincangan kolektif, murid dan guru mencadangkan dan bersetuju tentang norma bagi tingkah laku.

Seterusnya, kumpulan itu menguatkuasakan kepatuhan dan akhirnya akan berkuranganlah tingkah laku yang batil dan dilarang. Sesungguhnya, banyak kajian telah menunjukkan bahawa pendidikan nilai yang ada impak atas akhlak murid adalah yang menegaskan murid dihormati, menggalakkan penglibatan murid dalam kehidupan sekolah, dan mengharapkan murid bertanggungjawab dengan memberi mereka peluang untuk bertingkah laku sedemikian. Disiplin tidak sentiasa dikenakan, tetapi dalam rangka norma kumpulan yang dikongsi, murid menerima disiplin sebagai sah serta berpatutan dan akan mengubah tingkah lakunya seperti yang dikehendaki.

Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa persekitaran sekolah hendaklah mengambil kira juga keadaan sebenar di luar sekolah. Senario di luar sekolah menggambarkan masyarakat sedang menghadapi krisis akhlak dan trend budaya remaja agak membimbangkan. Jelasnya, kemerosotan akhlak bukan kes terpencil, bahkan merupakan isu besar yang diakui oleh semua lapisan masyarakat termasuk pimpinan tertinggi negara (Ungku Aziz, 2005). Ringkasnya, boleh dikatakan generasi muda di Malaysia terlibat dengan kepelbagaian salah laku. Salah satu punca penyelewengan akhlak ini ialah keibubapaan yang lemah, dan tradisi keluarga sebagai

‘guru’ akhlak yang pertama bagi kanak-kanak semakin hilang. Kanak-kanak tidak dapat lagi mempelajari nilai akhlak di rumah.

Persekitaran di luar rumah juga adalah tidak mesra terhadap perkembangan akhlak murid di sekolah. Oleh itu, menurut banyak penyelidik, sekolah hendaklah mewujudkan persekitaran yang berasaskan komuniti penyayang dalam menangani keadaan masyarakat di luar sekolah yang ‘bermusuhan’ dengan perkembangan dan pendidikan akhlak kanak-kanak dan remaja. Sekarang, persoalannya ialah: Adakah guru PI pengasuh yang pengasih? Adakah guru PI peka dengan latar belakang muridnya, keadaan di rumah dan komuniti sekeliling murid itu? Adakah semua guru PI jelas tentang konsep komuniti penyayang dan tahu cara bagaimana mewujudkannya dalam persekitaran sekolah? Adakah kewujudan komuniti penyayang suatu keutamaan di sekolah kita? Banyak literatur tentang komuniti penyayang di sekolah; dan berikut adalah sedikit keterangan tentang komuniti penyayang itu.

Guru seharusnya memainkan peranan sebagai Murabbi, Muaddib dan Mu’allim.

Ia memerlukan kekuatan dalam diri individu sendiri dengan dibantu dan disokong pula oleh masyarakat sekeliling (Asmawati Suhid, 2016). Sesungguhnya, guru PI mengajar adab dan akhlak di dalam kelas, tetapi untuk mewujudkan komuniti penyayang, guru PI hendaklah memberi kasih sayang dan hormat kepada murid, tunjukkan contoh baik, menyokong tingkah laku sosial murid yang positif dan membetulkan tindakan murid yang memudaratkan menerusi bimbingan dan perbincangan. Selain itu, guru perlu mewujudkan komuniti beradab dan berakhlak di dalam kelas dengan membantu murid mengenali antara satu sama lain sebagai insan, hormat dan ambil peduli sesama mereka, dan mereka berasa dihargai dan bertanggungjawab terhadap kumpulan. Ini bertepatan dengan falsafah dan konsep pendidikan menurut perspektif Islam di mana guru seharusnya bertindak sebagai murabbi, muaddib dan mu’allim. Seperti ditegaskan,

‘kecemerlangan guru bergantung kepada keupayaan menghubung dan mempamerkan diri dalam mengamal adab di setiap ketika’.

Komuniti penyayang di dalam kelas dapat juga direalisasikan dengan menggunakan pembelajaran cooperative untuk murid menghargai serta dapat melihat perspektif murid lain, dan supaya murid berkebolehan bekerja dengan murid lain untuk mencapai matlamat sepunya. Dalam pembelajaran secara ini, murid yang ditempatkan

dalam kumpulan kecil bertanggungjawab bukan sahaja terhadap pembelajarannya sendiri tetapi juga pembelajaran murid lain dalam kumpulan itu. Ada kajian yang mendapati jenis pembelajaran ini telah menghasilkan akhlak yang positif, murid belajar berkerjasama dengan murid lain dan mereka menunjukkan keprihatinan sesama mereka.

Dalam persekitaran hari ini, mengajar akhlak kepada kanak-kanak adalah sukar walaupun dengan sokongan penjaga; dan kesukaran ini pasti bertambah tanpa sokongan penjaga, lebih-lebih lagi jika peneguhan akhlak yang diajarkan di sekolah tidak berlaku di rumah. Oleh itu, kedua-dua institusi sosial ini, iaitu sekolah dan keluarga mesti bekerjasama dalam usaha sepunya membina akhlak kanak-kanak. Kata orang,

“Terendam sama basah, terampai sama kering”.

Ada beberapa cara menjadikan penjaga sebagai rakan kongsi dalam pendidikan anak-anaka. Satu daripadanya ialah, guru PI perlu memastikan konsep pendidikan Islam didedahkan dan difahami oleh pihak penjaga, tetapi ia hendaklah dalam bentuk tingkah laku konkrit. Untuk itu, guru menghantar surat kepada penjaga menerangkan peraturan serta dasar disiplin dan perkara-perkara yang sekolah memerlukan bantuan penjaga.

Selain itu, guru hendaklah bantu membentuk kumpulan penyokong dalam kalangan penjaga yang akan kerap bertemu di sekolah atau di rumah dari semasa ke semasa untuk memantau tingkah laku kanak-kanak dengan cara penjaga dapat bantuan penjaga lain.

(Sesungguhnya, ada sesetengah penjaga yang tidak pasti apakah peraturan yang sesuai untuk anak-anak mereka.)

Dengan cara ini akan wujud semula komuniti beradab dan berakhlak di sekeliling sekolah. Melibatkan penjaga dalam pelbagai program pendidikan di sekolah adalah satu lagi bentuk pakatan antara guru dengan pihak penjaga. Antara program berkaitan ialah, meminta penjaga berkongsi kepimpinan tentang bagaimana hendak melaksanakan projek; penjaga mengambil bahagian dalam bengkel anjuran sekolah tentang teknik keibubapaan; dan projek menghantar maklumat ke rumah untuk melaporkan aktiviti kelas tentang akhlak anak-anak dan memajukan aktiviti serupa yang boleh dilakukan di rumah.

Pakatan antara guru dengan masyarakat luar tidak terhad kepada pakatan dengan penjaga, tetapi diluaskan kepada media massa, komuniti bisnes, polis dan kumpulan sivik, ras, etnik dan agama untuk mewujudkan suatu konteks budaya yang menyokong usaha sekolah mengembangkan warganegara yang beradab dan berakhlak.

Realitinya membentuk pakatan dengan masyarakat luar bukan peranan dan tugas guru PI sahaja. Ia melibatkan semua jentera di pihak sekolah hingga ke Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain usaha mewujudkan ‘komuniti adil-penyayang’ sebagai pendekatan menangani masalah sosial murid, pengajaran dan pembelajaran PI hendaklah mampu menyediakan murid yang dapat menepis penyelewangan akhlak dan mampu mengharungi nilai-nilai luar serta tahan uji terhadap apa jua perkembangan persekitaran. Satu pendekatan yang kreatif hendaklah difikirkan bagi melahirkan murid yang mempunyai jati diri Muslim sejati yang kuat dan mantap mental dan fizikalnya agar tidak mudah terpengaruh dalam apa jua situasi, apalagi persekitaran yang tidak Islamic.

Namun, kekuatan itu pula tidak akan kukuh seandainya hanya bergantung kepada kekuatan fizikal, malah kekuatan rohani perlu dijadikan asas atau teras kepada pembangunan jati diri murid. Selain itu, usaha mempertingkatkan aktiviti pengajaran

dan pembelajaran berbentuk amalan dan penghayatan dalam kalangan murid dari sudut akhlak dan ibadah mereka perlu dipertingkatkan. Mekanisma yang sedia ada bagi menilai hal ini hendaklah sentiasa dipertingkatkan dan sesuai dengan persekitaran.

Murid bukan sahaja dinilai kecemerlangan mereka dari sudut kognitif tetapi juga dari sudut amalan dan penghayatan. Aktiviti seperti ini hendaklah diwajibkan ke atas semua murid di semua sekolah.

Dokumen terkait