Pemilikan Komputer
PEBINCANGAN, RUMUSAN DAN CADANGAN
Pendahuluan
Dalam menuju era Wawasan 2020, masyarakat di negara ini khususnya masyarakat Melayu perlu meningkatkan taraf hidup mereka serta memajukan kemampuan mereka dari segala aspek sama ada dari segi teknologi, ekonomi ataupun sosial setaraf dengan bangsa-bangsa lain agar dipandang tinggi di mata dunia. Oleh yang demikian, semua aspek tersebut akan hanya tercapai jika masyarakat kita mempunyai
ilmu yang secukupnya dan memiliki kemajuan dalam aspek pendidikan. Kemajuan dalam bidang pendidikan masa kini selari dengan perkembangan pantas sistem teknologi dan maklumat yang mana mula bertapak di negara dan mula bertumbuh dengan hebat bak ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ada saja perkembangan dalam bidang tersebut yang diperkenalkan kepada masyarakat, bermula dengan pengenalan sistem internet hinggalah teknologi canggih telefon bimbit yang sudah mula diguna pakai oleh semua peringkat umur bermula golongan kecil hingga dewasa mahupun golongan kebanyakan hinggalah golongan berada. Semua lapisan masyarakat mula menerima kemajuan teknologi tersebut dalam kehidupan mereka dan masing-masing tidak mahu ketinggalan serta saling berlumba-lumba memiliki teknologi yang terbaru. Maka, selayaknya dalam bidang pendidikan juga diberi penerapan terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi agar dapat meningkatkan taraf ilmiah masyarakat kita.
Dalam membincangkan aspek teknologi maklumat dan komunikasi tersebut, seharusnya jangan dibelakangkan soal pecahan teknologi tersebut dan cara bagaimana mengaplikasikannya dalam bidang pendidikan serta impak yang akan dihadapi selaras dengan penggunaannya. Jika dilihat secara realitinya, perkembangan sistem pendidikan di negara ini bermula dari Institut Pengajian Rendah sehingga Institut Pengajian Tinggi, semuanya mula menampakkan penerampilan dalam mengubah suasana pembelajaran pelajarnya agar tampil sebagai pelajar berwawasan dan berinovatif dalam bidang pendidikan.
Selain itu aspek pengajaran dalam bidang pendidikan juga tidak harus lari dari perkembangan teknologi tersebut. Ini kerana, pengajaran yang efektif mengikut arus zaman akan memberi impak yang baik terhadap pembelajaran pelajar. Jika kaedah
pengajaran masih lagi di peringkat tradisional dan tidak berkembang, maka hancurlahlah harapan untuk melihat pembelajaran yang mengikut arus masa dan seterusnya, pelajar yang menjadi pelapis masyarakat akan ketinggalan dan hanyut berbanding dengan bangsa di negara-negara luar. Ini akan menyekat kemajuan pantas yang harus ditempuhi oleh negara kita supaya setanding atau melebihi negara-negara yang memiliki kemajuan yang besar di mata dunia.
Berdasarkan situasi di atas satu kajian telah dijalankan bagi mengetahui dan mengenal pasti tahap kemajuan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terdapat pada pelajar yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi. Untuk itu, pelajar-pelajar semester (6) yang mengikuti kursus Diploma Bahasa Arab Dengan Pendidikan telah dijadikan responden bagi menjawab semua persoalan yang berkaitan. Selain itu responden yang dipilih juga adalah begitu ideal dan bertepatan dalam aspek pembelajaran dan pengajaran memandangkan mereka adalah bakal guru yang akan mendidik anak bangsa suatu hari nanti.
Perbincangan
Kajian ini dijalankan bertujuan mengkaji tahap kesedaran penggunaan ICT di kalangan pelajar Diploma Bahasa Arab Dengan Pendidikan Semester 6 di KUSZA di samping aspek pengetahuan, tujuan dan kesannya dalam pembelajaran. Hasil dari kajian yang telah dijalankan akan dibincangkan satu persatu berdasarkan objektif kajian sebagaimana yang telah dicatat dalam bab 1 terdahulu. Perkara-perkara yang akan dibincangkan adalah seperti berikut
:-i. Pengetahuan responden tentang ICT dan aplikasinya dalam proses pembelajaran. ‘Ilmu tanpa amal adalah ibarat pohon tidak berbuah’. Perumpamaan tersebut adalah berkaitan tentang apa jua yang kita lakukan mestilah berbekalkan ilmu dan jikalau ilmu penuh di dada tapi tidak diguna akan menjadi sia-sia. Dalam konteks pembelajaran, kita seharusnya mempelbagaikan cara serta kaedah bagi memajukannya. Sebagai salah satu alternatif, ICT mampu dimanfaat sepenuhnya untuk kebaikan dalam mempelbagai skill dalam pembelajaran. Oleh itu, salah satu objektif yang ditekankan oleh penyelidik terhadap resonden adalah mengetahui sejauh manakah pengetahuan responden dalam bidang ICT serta bagaimanakah mereka dapat mengaplikasikan ICT dalam proses pembelajaran.
Berdasarkan maklumat yang diterima oleh penyelidik, pengetahuan responden masih lagi di peringkat asas dalam berkenaan ICT pada awalnya. Namun begitu, responden kebanyakannya telah didedahkan dengan ilmu yang berkaitan dengan ICT sebelum memasuki KUSZA dan ketika mengikuti program Diploma Bahasa Arab Dengan Pendidikan di KUSZA. Ini sedikit sebanyak menambah pengetahuan responden dalam bidang tersebut.
Dalam penggunaan ICT bagi, dari aspek penggunaan komputer atau Internet keseluruhannya, responden dilihat banyak tertumpu bagi tujuan pembelajaran iaitu, sebagai tempat untuk mencari rujukan, dan bagi menyiapkan tugasan. Namun begitu, bagi penggunaan e-mail pula, responden tidak menggunakan sepenuhnya perkhidmatan tersebut sebagai pemangkin dalam menyebarkan sumber pembelajaran atau tempat berkongsi ilmu pengetahuan. Namun begitu lain pula situasinya bagi kekerapan responden yang menunjukkan keseluruhannya bahawa mereka hanya kadang-kadang
melayari laman web berkaitan dengan pendidikan. Walaupun mereka bertumpu dengan tujuan bagi hal yang berkaitan dengan pembelajaran tetapi, ia terbatas dengan penggunaan minima yang ditunjukkan.
Dapat dinyatakan di sini bahawa responden masih lagi dalam tahap minima dalam mengaplikasikan kemudahan ICT dalam memajukan aspek pembelajaran mereka. Keadaan sebegini tercetus berkemungkinan kebanyakan responden masih lagi kaku dalam penerokaan terhadap ICT. Kekurangan terhadap pengetahuan dalam bidang ICT boleh menjejaskan masa depan responden yang mana perubahan teknologi akan mengikuti masa. Sebagai bakal pendidik, responden perlu menguasai bidang ICT secukupnya sebagai pelengkap diri ke arah era globalisasi untuk mendidik anak bangsa.
ii. Tahap kepenggunaan ICT responden tidak bersesuaian dengan tahap pendidikan mereka.
Tahap penerimaan dan kepenggunaan terhadap sesuatu perkara akan berubah dan berlainan bergantung kepada faktor usia dan perkembangan minda penggunanya. Begitu jua dalam kepenggunaan terhadap ICT di mana bagi penggunanya yang sudah di peringkat dewasa sepatutnya berjaya mengaplikasikannya dengan lebih hebat berbanding penggunanya yang lebih muda berbanding mereka.
Dalam kajian yang telah dijalankan, penyelidik mendapati bahawa tahap kepenggunaan ICT responden amat lemah serta tidak bersesesuaian dengan taraf
pendidikan mereka sebagai pelajar diploma. Tambahan lagi, mereka bakal bergelar guru dan akan menamatkan pengajian mereka dalam kursus perguruan. Setelah itu, mereka akan diletakkan segunung harapan bagi mendidik anak bangsa dalam mengharungi dunia pendidikan dengan kaedah pengajaran yang terkini. Namun begitu, sikap tidak mengambil cakna dalam kepenggunaan ICT akan melemahkan tahap pengajaran mereka dan bersalahan dengan saranan yang menekankan penggunaan ICT dalam sistem pendidikan.
Selain itu, akibat dari kelemahan pelajar terhadap kepenggunaan ICT akan menjejaskan nama baik institut yang akan dianggap melahirkan bakal guru yang lemah serta mundur dalam teknik pengajaran terkini. Apa yang harus ditekankan di sini adalah apakah faktor-faktor yang menyebabkan para responden gagal dalam mengaplikasikan ICT agar dapat digunakan bagi membantu pembelajaran selanjutnya membantu meningkatkan ‘skill’ pengajaran yang dipelajari mereka sepanjang menjalani kursus di KUSZA.
iii. Penggunaan ICT boleh meningkatkan prestasi pembelajaran responden
Dalam konteks pembelajaran, pelajar seharusnya bijak dalam mempelbagaikan ‘skill’ dan teknik dalam meningkatkan mutu pelajaran. ICT merupakan salah satu cabang teknik dalam memajukan pembelajaran seseorang. Oleh itu dalam bab ini, seharusnya tidak dipinggirkan tentang kesan disebalik penggunaan ICT dalam pembelajaran.
Sepertimana maklumat yang diperolehi berdasarkan fakta yang diberi oleh responden, penyelidik mendapati keseluruhan responden menyatakan bahawa
penggunaan ICT dapat meningkatkan ‘skill’ serta memberikan manfaat dalam pembelajaran mereka. Ini menunjukkan penggunaan ICT masa kini amat penting dalam memberikan kemudahan bagi pelajar untuk memajukan pembelajaran mereka selain menjadikan sistem dan teknik pembelajaran bertambah efektif dan kreatif.
Rumusan
Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah berkembang di negara kita sejak sekian lama. Malah kewujudannya dalam semua aspek dan sektor dalam membangunkan negara ini memang tidak diragui lagi. Kepentingannya mula dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Adapun, terdapat segelintir di kalangan masyarakat kita telah menyalahgunakan kemudahan yang ada dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah, dan ada pula yang hanya menggunakan ICT dengan satu tujuan sahaja tanpa mengetahui pengaplikasiannya yang boleh didapati dalam aspek lain. Malah lebih menyedihkan, terdapat segelintir golongan yang langsung tidak menyedari kepentingan ICT tambahan lagi tiada inisiatif yang diambil untuk mengetahui tentang bidang ICT.
Berdasarkan penyelidikan yang telah dibuat, penyelidik dapat membuat rumusan berkenaan tahap kesedaran terhadap kepenggunaan ICT dalam pembelajaran di kalangan pelajar Diploma Bahasa Arab Dengan Pendidikan Semester 6 di KUSZA. Tahap kesedaran terhadap kepenggunaan ICT di kalangan kebanyakan responden masih lagi di peringkat rendah dan mereka masih lagi di peringkat amatur dalam mengaplikasikan kemudahan terhadap penggunaan ICT bagi membantu mereka dalam pembelajaran.
Cadangan
Susulan isu yang timbul berdasarkan keseluruhan kajian yang telah dibuat berkenaan tentang tahap kesedaran responden terhadap kepenggunaan ICT dalam pembelajaran mereka, penyelidik telah menggariskan beberapa langkah serta cadangan bagi memantap serta memperkukuh lagi tahap penggunaan ICT bagi pihak responden agar mereka menyedari kepentingannya dalam pembelajaran mereka. Antara cadangan-cadangannya ialah:-
Cadangan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) i. Memupuk tabiat penerokaan dalam dunia ICT
Sebagai seorang penuntut di pusat pengajian tinggi, seseorang pelajar haruslah mempunyai tahap pengetahuan ICT yang setaraf dengan tahap pendidikan mereka. Tambahan lagi mereka adalah hasil pengeluaran daripada sebuah pusat pengajian yang terkenal dalam Malaysia, tidak wajarlah jika mereka ini tidak tahu sesuatu pun mengenai ICT kerana ia boleh dianggap ketinggalan dalam mengejar dunia berteknologi.
Oleh itu, cara yang terbaik untuk membuka fikiran dan pengetahuan mereka adalah dengan memupuk tabiat penerokaan mengenai dunia ICT. Seperti mana yang kita ketahui bahawa ruang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sangat luas dan dianggap ruang perhubungan tanpa sempadan. Oleh kerana ruang yang tersedia wujud ini sangat luas, maka ia perlu diterokai untuk mengetahui perkembangan terbaru yang muncul dalam dunia ICT.
Dengan penerokaan ini, para pelajar dapat menambah dan mengaplikasikan pengetahuan ICT yang semakin berkembang tanpa batasan. Penerokaan ini akan
membantu pelajar untuk memperkembangkan pemikiran yang telus dan mengaplikasikannya dalam kehidupan selepas tamat pengajian masing-masing.
Pelajar yang mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang teknologi atau ICT ini akan memudahkan mereka untuk mensesuaikan diri dengan dunia luar apabila mereka mempuyai bidang kerjaya masing-masing. Oleh itu, dengan pengetahuan yang mencukupi para pelajar ini tidak mempunyai sebarang masalah dan halangan dalam penggunaan kemudahan ICT dalam dunia kerjayanya.
Oleh yang demikian itu, cara penerokaan adalah terserah kepada para pelajar sendiri sama ada melalui pembacaan, penggunaan kemudahan ICT seperti internet, e-mail, penggunaan alat komunikasi yang terkini dan lain-lain. Justeru itu, pelajar haruslah mengambil cakna terhadap sesuatu maklumat terbaru dalam dunia ICT agar membolehkan pengetahuan dalam bidang ini sentiasa berkembang mengikuti arus perdana.
ii. Menggunakan kemudahan ICT setiap masa dan tempat
Kemudahan adalah pembuka ruang kepada pengaplikasian ICT yang telah disediakan untuk kemudahan pelajar disamping pelajar sendiri yang menyediakan kemudahan tersebut untuk penggunaan peribadi atau lain-lain. Apa yang dicadangkan disini adalah supaya para pelajar sentiasa menggunakan kemudahan ini tidak mengira waktu dan tempat.
Kemudahan ICT sangat banyak dan kepenggunaanya boleh merangkumi setiap aspek dalam pembelajaran seperti mencari bahan rujukan, meyiapkan tugasan, berinteraksi dengan rakan-rakan atau pensyarah dan lain-lain. Penggunaan ICT adalah untuk memudahkan pelajar dalam pengurusan diri, masa, belajar dan lain-lain.
Oleh itu, pelajar yang kurang menggunakan ICT boleh dikatakan kurang bijak dalam pengurusan masa dan pembelajaran. Sebagai contoh, dalam mencari sesuatu bahan rujukan, pelajar yang menggunakan internet lebih cepat mendapat bahan rujukan berbanding pelajar yang mencari rujukan dengan memilih sebuah demi sebuah buku di perpustakaan.
Justeru itu, dengan menggunakan kemudahan ini pelajar boleh menjimatkan masa serta mendapat lebih banyak maklumat yang ada dalam dunia ICT tanpa wujud sebarang batasan. Tambahan lagi, kemudahan yang ini semakin berkembang kewujudannya dan boleh didapati di merata-rata tempat.
Berikutan daripada itu, pelajar harus membuka mata dan fikiran seluas-luasnya dalam pengaplikasian ICT agar sentiasa memenuhi ruang pegetahuan ICT yang ada serta menjadikan pelajar mahir dalam penggunaan ICT dalam semua aspek kehidupan. Ia bertujuan supaya pelajar dapat membina konsep kendiri dalam menguasai bidang ICT untuk pembelajaran. Kepenggunaan kemudahan ICT ini haruslah diaplikasikan oleh pelajar tanpa ada sifat takut dan malu agar perkembangan selari dengan tahap pembelajaran pelajar.
iii. Peka terhadap kewujudan dan perkembangan maklumat dalam dunia ICT
Penyebaran maklumat di seluruh dunia sentiasa berubah-ubah mengikuti arus teknologi. Pelajar haruslah peka terhadap dengan penyebaran dan perkembangan
maklumat ini untuk menjatikan diri dengan pengetahuan yang baru. Perkara ini dapat menambahkan pengetahuan dan mendekatkan diri pelajar dengan dunia ICT.
Jika perkara tersebut dapat dipupuk, konsep kendiri pelajar akan terbina dalam diri mereka tanpa ada bantuan hanya sekadar sokongan. Begitu juga dengan pemikiran, ia membantu pemikiran pelajar menjadi sensitif dan kreatif terhadap penyebaran maklumat yang baru sekaligus membentuk sikap kecaknaan dalam pembelajaran.
Pelajar yang mempunyai kepekaan yang tinggi dalam sebaran maklumat berteknologi juga mampu membina minda yang informatis dan kritis serta mencapai matlamat sebuah negara yang berubah ke arah kemajuan berteknologi. Pencaknaan dalam ruang komunikasi juga membantu pelajar merapatkan jurang perhubungan dengan dunia luar tanpa ada halangan.
Justeru itu, pelajar haruslah mencaknakan diri dalam sebaran maklumat dan komunikasi digital setiap masa agar sentiasa berkembang dari segi minda dan pemikiran yang intelek dan informen untuk mencapai objektif sebagai seorang insan yang kamil. Mengikuti arus perkembangan maklumat sangat penting untuk membantu pelajar dalam pengurusan pembelajaran agar menjadi pelajar yang berjaya dan berkebolehan dalam semua aspek kehidupan untuk mencapai Wawasan 2020.
Cadangan kepada pihak pensyarah
Bagi membantu pelajar supaya lebih banyak menggunakan khidmat ICT dalam pembelajaran mereka, para pensyarah juga memainkan peranan yang penting. Antara langkah yang boleh disarankan kepada pihak pensyarah adalah seperti
:-i. Memberikan tugasan yang menggunakan kemudahan ICT
Para pensyarah seharusnya lebih banyak memberikan tugasan yang menjurus kepada penggunaan ICT seperti memerlukan pencarian bahan dalam Internet, penghantaran kerja khusus melalui E-mail dan sebagainya.
ii. Menekankan teknik pengajaran yang berdasarkan kemudahan ICT
Selain memberikan tugasan yang berkaitan dengan kemudahan ICT, pensyarah juga perlu meningkat mutu pengajaran mereka terhadap pelajar, seperti menggunakan kemudahan ‘Microsoft Power Point’ atau perisian yang berlatarkan ICT dalam kuliah mereka.
Cadangan kepada pihak pentadbir KUSZA
Untuk pihak pentadbir kolej pula, penyelidik menyarankan agar memberikan perkhidmatan yang lebih efektif dan berpatutan kepada pelajar dalam bidang ICT. Khidmat yang disediakan dalam makmal komputer dilihat masih belum mencukupi kepada pelajar. Ini kerana penggunaan komputer dan Internet di makmal tersebut telah dimonopoli oleh golongan pelajar yang mengambil program IT. Manakala pelajar-pelajar lain pula terus terhimpit dan terpaksa menunggu sehingga mendapat masa yang sesuai. Di tempat kediaman pelajar pula, pihak pentadbir harus menyediakan perkhidmatan ICT dengan selengkapnya seperti menyediakan kemudahan teknologi jalur lebar dan sebagainya.
Secara keseluruhannya, pengetahuan dan penggunaan ICT di kalangan pelajar masih lagi ditahap yang rendah dan boleh dikatakan pelajar langsung tidak sedar kewujudan ICT yang boleh membantu pembelajaran mereka. Kurangnya penggunaan ICT dalam pembelajaran boleh menyebabkan pelajar ketinggalan dalam dunia ICT dan berupaya menjejaskan profil diri sebagai seorang bakal pendidik.
Tahap kemampuan dan pengaplikasian ICT juga masih ditahap yang rendah. Kurangnya penggunaan kemudahan ICT dalam pembelajaran boleh membataskan pelajar kepada persediaan kognitif pelajar untuk menerima perubahan yang drastik dalam dunia ICT. Cabaran pada masa sekarang ini sangat kuat sehinggakan manusia berlumba-lumba dalam memperkembangkan dan menambah pengetahuan ICT dengan mengaplikasikannya sama ada dalam bentuk penggunaan atau penerokaan maklumat yang baru.
Selain itu, ketidakwujudan kesedaran terhadap penggunaan ICT dalam pembelajaran juga boleh membantutkan perhubungan dan kestabilan dalam pembelajaran. Pelajar yang masih lagi tidak faham mengenai konsep ICT yang sebenarnya. Perkara ini boleh menyebabkan pelajar ketinggalan dalam dunia siber ini. Tambahan lagi ia boleh menjejaskan profesyen sebagai pendidik yang mana kita perlu sedari bahawa untuk mendidik anak bangsa haruslah mepunyai pengetahuan yang secukupnya dalam pelbagai aspek termasuklah aspek teknologi maklumat.
RUJUKAN
Ahmad Basri Hasyim (1999), Pendidikan Dalam Internet, Utusan Publications & Distributors Snd Bhd, Kuala Lumpur.
Blurton, C., New Directions Of ICT-Use In Education, (Online) (Cited On 6 July 2004), Available From : <http://www.unesco.org/education/educprog/lwf/dl/edict.pdf>.
Ding Chong Ming (1997), Kerajaan Elektronik Dalam Persekitaran Internet, Dewan Budaya, Mei 1997, Kuala Lumpur.
Fatimah Mohd Arshad (1997), Pendidikan On-Line Melalui Komunikasi Berantarakan Komputer (KBK), Dewan Masyarakat, Mei 1997.
Hizammnudin Awang (1997), Kaedah Pembelajaran Aktif Dengan Teknologi Maklumat, Dewan Kosmik, Ogos 1997, Mimos Berhad.
Hj Hasan Hj Hamzah (1997), Kamus Ensklopedia Jilid1&2, Anzgain Snd Bhd, Shah Alam, Selangor.
Mahathir Mohammad (2003), Bajet 2004: Penggalak Pertumbuhan ICT Dan Teknologi Tinggi, http://www.bajet 2004 . blogspot . com/2003_09_01_bajet2004_archive . html
Micheal Yoon Poh (2004), ICT Dan Peranannya Dalam Sistem Pendidikan Di Malaysia, http:www . malaysia . net/people/rkho/kertas_sem . htm
Mohd Khalit Othman, Siti Asiah Ishak (2003), Pendekatan Konsep Multimedia Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran: Sorotan Kajian Ke Atas Pendidikan Tulisan Jawi Prasekolah, Jurnal Yadim, April 2003, Bil.4, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur.
Mohamad bin Ibrahim (2004), ICT Dalam Pengajaran dan Pembelajaran: Halatuju dan Cabaran, http:www . malaysia . net/people/rkho/kertas_sem . htm.
Munir, Halimah Badioze Zaman (2000), Aplikasi Multimedia Dalam Pendidikan, Jurnal Pemikir, Januari-Mac 2000, Bil.19, Utusan Melayu Berhad, Kuala Lumpur.
Paul H. J. Hendriks (2001), Many Rivers To Cross: From Ict To Knowledge Management System. Journal Of Information Technology.
Sallehudin Salim (1997), Pendidikan Dalam Teknologi Maklumat, Dewan Masyarakat, April1997.
Sarah Aziz, Abdul Ghani Aziz (2002), The Communications And Multimedia Act 1998; Of Challenges And Possible Remedies. Kertas Kerja Seminar Technology In
Development. Universiti Kebangsaan Malaysia.
http://www.smpke.jpm.my/NewsMPKE/mainSMPKE.htm
Unit Komputer Dalam Pendidikan Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (2004), Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran. (Jaringan Pendidikan: http://www . kdp . ppk . kpm . my 2004)
Yusup Hashim (1998), Teknologi Pengajaran. Siri Pendidikan Fajar Bakti Snd Bhd, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Zoraini Wati Abas (1993), Komputer Dalam Pendidikan, Penerbit Fajar Bakti Snd Bhd, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Zoraini Wati Abas (1996), Pilih Perisian Berpendidikan, Utusan Malaysia 12 Ogos 1996.