• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN LITERATUR

2.5 Pensampelan Tanah Baki

2.5.1 Sampel Tak Terganggu

Sampel diambil bagi mengenali jenis tanah atau semasa penyiasatan tanah di tapak. Ianya diperlukan bagi ujian di makmal bagi mendapatkan ciri-ciri dan

kelakuan tanah tersebut. Sampel dianggap terganggu apabila struktur asal tanah telah musnah semasa pensampelan. Sampel yang sempurna diperoleh di dalam tiub

melalui pengorekan berputar, pemotongan dengan tangan dari lubang ujian serta pengorekan.

Pada hakikatnya tiada sampel yang benar-benar tak terganggu kerana perubahan tegasan dan gangguan mekanikal semasa penyediaan sampel tidak dapat dielakkan. Gangguan tersebut akan mempengaruhi ciri-ciri kejuruteraan yang diperoleh daripada sampel.

Tujuan sebenar pensampelan haruslah difahami dengan jelas apabila kerja-kerja lapangan dijalankan. Perhatian harus diberikan bagi mengelakkan sampel daripada terganggu seboleh mungkin. Sampel tak terganggu yang tidak baik tidak banyak bezanya dengan sampel tanah yang terganggu sepenuhnya. Sampel tak terganggu digunakan bagi menentukan ciri-ciri kebolehmampatan, kebolehtelapan dan kekuatan ricih tanah.

Spesifikasi tiub pensampelan adalah bergantung kepada amalan antarabangsa yang telah dibangunkan melalui pengalaman bagi mendapatkan sampel yang

berkualiti tinggi. Pensampelan tanah baki adalah lebih sukar berbanding

pensampelan bagi tanah liat lembut. Masalah yang berkaitan dengan pensampelan tanah baki adalah ianya agak keras untuk menggunakan pensampel berdinding nipis dan mudah terhakis apabila menggunakan teknik pengorekan berputar (Nicholas, 1990).

Penggunaan buih semasa penggerudian menggantikan air memastikan sampel yang diperoleh berkeadaan semulajadi tanpa meningkatkan kandungan lembapan pada permukaan sampel. Kaedah ini amat berkesan bagi sampel untuk ujikaji di

makmal. Terdapat satu lagi kaedah iaitu menggunakan bentonit yang dicampurkan dengan air dan digunakan sebagai cecair semasa penggerudian. Biasanya penampal dinding akan ditambah bagi mendapatkan cecair penggerudian yang tebal dan berat.

2.5.2 Kaedah Pensampelan Tanah Baki

Di antara jenis tanah yang sukar bagi pensampelan adalah tanah baki dan koluvium. Walaupun kaedah pensampelan banyak dibincangkan tetapi kaedah pensampelan bagi tanah baki mula ditekankan pada 1979 dan dibentangkan semasa simposium di Singapura (ISSMFE, 1979). Pada tahun 1985, kesatuan antarabangsa bagi kejuruteraan mekanik tanah dan asas telah membuat ulasan mengenai amalan antarabangsa dalam kaedah pensampelan dan pengujian tanah baki.

Tanah baki biasanya sangat heterogen, tak homogen dan tak isotropi dan pensampelan menjadi sukar (Brand, 1985). Sampel yang besar dapat memastikan penggredan, struktur dan fabrik kekal dan dapat mewakili keadaan sebenar di tapak. Butiran kasar bagi sesetengah tanah baki mengakibatkan sampel yang kecil sukar untuk diperoleh bagi ujian makmal.

Tanah baki juga biasanya mempunyai ikatan yang lemah dan bersifat sebagai tanah jelekit semasa pensampelan, jadi kaedah pensampelan seperti tanah liat adalah lebih sesuai. Walaupun begitu terdapat perbezaan yang penting di antara

pensampelan bagi tanah liat tepu dan tanah baki (Fookes, 1997).

Menurut Todo & Pauzi (1989), kaedah pensampelan yang biasanya

diamalkan di Malaysia bagi tanah baki adalah tiub pensampel pemacu terbuka atau berdinding nipis. Penggunaan pensampel Denison atau Mazier adalah terhad

disebabkan oleh kos yang tinggi serta proses kerja yang rumit. Mengikut Todo, et al. (1990), penggunaan pensampel pemacu terbuka hanya dihadkan kepada nilai N yang lebih kecil dari 20 dalam ujian penusukan piawai (SPT).

Menurut Nicholas (1990) dan Fookes (1997), pada kedalaman yang cetek kaedah biasa iaitu penggunaan tiub pensampel berdinding nipis dan pengorekan berputar boleh digunakan dan sampel tak terganggu boleh dipercayai dan digunakan bagi ujikaji makmal. Rajah 2.5 menunjukkan jenis pensampel berdinding nipis dengan dimensa yang ditunjukkan secara terperinci. Kedah ini adalah lebih ekonomi dan sampel tanah senang diperoleh terutamanya pada kedalaman yang cetek.

Bagi menggunakan peralatan ini, beberapa langkah disenaraikan di bawah dengan turutan yang disyorkan oleh Blight dan Simmons (1997):

(i) Tiub hendaklah berada dalam keadaan yang bersih.

(ii) Pemotong di bahagian hujung hendaklah berada dalam keadaan baik, dan

nisbah kawasan diukur dan dicatat.

(iii) Sampel diserap ke dalam tiub dengan menusuk secara hidraulik.

Penusukan secara mengetuk tidak dibenarkan.

(iv) Julat kedalaman sampel sebenar dan sampel yang selamat, direkodkan.

(v) Tiub pensampelan kemudiannya diikat, dililin dan ditutup dengan tiub

getah dengan ketat dengan segera.

(vi) Kemudian, sampel disimpan dengan keadaan paksi mendatar dengan suhu

persekitaran yang lembap.

(vii) Dibawa dengan pengangkutan secara perlahan, dibungkus dalam bahan

serap-hentak seperti hamparan gabus dan dijaga seperti barang yang mudah pecah.

(viii) Setiap tiub dilabelkan bagi menunjukkan nombor lubang jara dan tarikh

sampel diambil, kedalaman setiap sampel, panjang sampel dan lokasi sampel diambil.

Sebagai bahan yang semakin keras dengan kedalaman akibat kurang

terluluhawa, penggunaan tiub pensampelan berdinding nipis adalah tidak praktis bagi tanah baki. Tiub pensampelan berdinding nipis tidak dapat menanggung tegasan semasa penusukan. Bagi perolehan sampel tak terganggu pada kedalaman yang tinggi dan tanah baki yang keras, kaedah pensampelan Mazier sesuai digunakan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2.6. Tiub pemotong yang disambungkan

dengan tiub pensampel akan memotong tanah terlebih dahulu sebelum pemotong berputar memotong tanah disekitar tiub pemotong. Ini secara langsung dapat mengelakkan bahan pancuran (air) memasuki sampel yang mengakibatkan

pertambahan kandungan lembapan di dalam sampel tanah. Namun begitu, menurut Chin (1990), daya tujah yang tinggi menjadikan pemotongan tanah lebih berkesan kerana masa dedahan sampel tanah dengan bahan pancuran dapat dikurang bagi mengelakkan sampel tanah daripada terhakis. Kadar aliran bahan pancuran juga dilaraskan supaya tidak terlalu tinggi bagi mengelakkan hakisan tanah. Ianya dilaraskan supaya air mengalir keluar dengan perlahan dari lubang jara. Namun begitu, aliran air yang sangat perlahan pula menyebabkan baki tanah yang dikorek sukar untuk dikeluarkan.