• Tidak ada hasil yang ditemukan

DAPATAN KAJIAN

5.3 Perbincangan Hasil Kajian

Perbincangan dapatan kajian adalah berdasarkan kepada persoalan-persoalan kajian dan hipotesis-hipotesis nul yang telah dibentuk. Berdasarkan kepada hasil dapatan yang telah diperolehi, pengkaji akan membincangkan hasil dapatan tersebut secara deskriptif dan inferensi. Penjelasan ini turut disertakan bersama andaian-andaian dan kajian daripada pengkaji-pengkaji lepas yang telah menjalankan penyelidikan yang sama atau hampir sama. Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini dapat dirumuskan sebagaimana berikut.

5.3.1 Corak gaya keibubapaan yang paling kerap dalam kalangan pelajar sekolah

Perbincangan tentang gaya keibubapaan dalam kalangan pelajar sekolah merujuk kepada Jadual 4.3 di dalam bab empat. Gaya keibubapaan yang paling kerap dalam kalangan pelajar sekolah ialah permisif. Gaya keibubapaan ini adalah paling tinggi kekerapannya mewakili sebanyak 79 orang dengan peratusan 73.2 peratus diikuti oleh autoritatif, 21.3 peratus sebanyak 23 orang serta autoritarian seramai 6 orang dengan 5.5 peratus. Hal ini

menunjukkan corak gaya keibubapaan yang paling tinggi ialah gaya keibubapaan permisif.

Perbincangan tentang gaya keibubapaan yang dipraktikkan oleh ibu bapa dalam kalangan pelajar sekolah merupakan satu isu yang amat penting dan perlu diberi perhatian. Ibu bapa merupakan model utama dalam mendisiplinkan anak-anak. Sehubungan dengan itu, bentuk gaya keibubapaan memainkan peranan yang sangat penting sama ada secara langsung atau tidak terutama dalam menentukan perhubungan yang terjalin di antara ibu bapa dengan anak.

Berdasarkan hasil persoalan kajian yang dikemukakan mendapati corak gaya keibubapaan permisif paling tinggi kekerapannya. Pengkaji berpendapat jika remaja menafsir kurangnya kawalan ibu bapa itu sebagai tidak berminat atau penolakan, mereka akan menyalahkan ibu bapa kerana tidak membimbing mereka dan sebaliknya, jika remaja menafsir gaya permisif ibu bapa mereka adalah menaruh kepercayaan yang tinggi dan yakin terhadap kebolehan atau keupayaan mereka serta bertujuan melatih mereka menjadi lebih berdikari dan berdedikasi, maka mereka akan bertingkah laku dan berfikiran positif terhadap ibu bapa mereka. Hal ini bermakna persepsi remaja terhadap penggunaan gaya keibubapaan adalah penting dalam membentuk penghargaan kendiri mereka sendiri.

Berdasarkan teori gaya keibubapaan Diana Baumrind menyatakan gaya keibubapaan permisif tinggi dalam dimensi „responsiveness‟ dan rendah dalam „demandingness‟ di mana ia jarang menguatkuasakan peraturan untuk diikuti oleh anak-anak. Dapatan kajian yang terhasil ini juga dapat dihuraikan berdasarkan gaya

keibubapaan permisif yang mengandungi dua kategori iaitu permisif-indulgen dan

permisif-negligen. Permisif-indulgen dicirikan dengan corak komunikasi yang terbuka

dan ibu bapa kurang menekankan tentang tingkah laku anak. Ibu bapa juga bersifat tidak mengawal tetapi tinggi dalam responsif. Permisif-negligen dicirikan dengan tiada langsung corak komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak. Ibu bapa mengambil langkah tidak terlibat atau mengabaikan terus anak-anak. Dengan kata lain, ibu bapa disifatkan tidak mengawal dan tidak memberi respon terhadap anak-anak mereka.

Kajian ini turut disokong oleh kajian Norhusna (2009) untuk melihat gaya asuhan ibu bapa dengan tahap kemurungan dalam kalangan pelajar berisiko tinggi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa gaya asuhan yang paling dominan yang dipersepsikan oleh pelajar berisiko adalah gaya asuhan permisif diikuti dengan gaya asuhan autoritatif.

Hasil ini juga disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Azizi, Yusof dan Kamaliah (2010) membuktikan bahawa gaya keibubapaan yang paling dominan atau yang sering diamalkan para ibu bapa dalam kajian mereka ialah gaya keibubapaan autoritatif. Gaya keibubapaan autoritatif berkemungkinan banyak diamalkan ini juga menyumbang kepada tahap motivasi yang baik dalam kalangan responden.

5.3.2 Tahap penghargaan kendiri dalam kalangan pelajar sekolah.

Perbincangan tentang tahap penghargaan kendiri dalam kalangan pelajar sekolah adalah merujuk kepada Jadual 4.4 sebagaimana di dalam bab 4. Tahap penghargaan kendiri responden telah dibahagikan kepada dua tahap iaitu tinggi dan rendah. Bagi skor 30 hingga 58 adalah skor yang diletakkan pada tahap tinggi dan bagi skor 0 hingga 29

adalah skor tahap rendah. Keputusan analisis deskriptif menunjukkan terdapat 92 orang responden yang mempunyai tahap penghargaan kendiri tinggi iaitu 85.2 peratus. Tahap penghargaan kendiri rendah adalah 16 orang responden dengan peratusan sebanyak 14.8 peratus.

Apabila seseorang individu tersebut memiliki penghargaan kendiri yang rendah, kemungkinan individu tersebut akan memliki ciri-ciri seperti rendah diri, tidak yakin, kemurungan emosi yang serius, kurang kecekapan sosial dan perkembangan kognitif yang kurang. Penghargaan kendiri biasanya terbentuk sejak kanak-kanak lagi dan sentiasa berubah-ubah mengikut pengalaman yang dilalui bersama ibu bapa. Pembentukan penghargaan kendiri remaja banyak dipengaruhi beberapa faktor penting seperti sikap ibu bapa, baka, rakan sebaya, disiplin di rumah dan sekolah, pengaruh sosio budaya atau masyarakat sekeliling, pengamatan diri sendiri dan orang lain, serta sikap atau kepercayaan semulajadi (Mohd Salleh, 1999)

Berdasarkan dapatan kajian yang dijalankan oleh Md Zahir (2009) menunjukkan penghargaan kendiri dalam kalangan pelajar berdasarkan jantina secara statistiknya adalah tidak signifikan (t = 1.68). Berdasarkan dapatan yang diperolehi juga, dapat disimpulkan bahawa tahap perhubungan ibu bapa dan anak serta tahap penghargaan kendiri dalam kalangan sampel adalah berada pada tahap yang terbaik.

5.3.3 Tidak terdapat perbezaan signifikan tahap penghargaan kendiri pelajar sekolah berdasarkan jantina

Dapatan kajian yang dijalankan ke atas sampel seramai 108 orang di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, Kota Bharu, Kelantan ini menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap penghargaan kendiri dalam kalangan pelajar sekolah berdasarkan jantina.

Keputusan kajian ini disokong oleh kajian yang telah dijalankan oleh Norhusna (2009) untuk melihat gaya asuhan ibu bapa dengan tahap kemurungan dalam kalangan pelajar berisiko tinggi. Kajian ini juga turut melihat perbezaan gaya asuhan ibu bapa dengan tahap kemurungan dalam kalangan pelajar berisiko tinggi berdasarkan jantina. Hasilnya kajian ini juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap kemurungan dalam kalangan pelajar berisiko berdasarkan jantina.

5.3.4 Tidak terdapat hubungan signifikan antara gaya keibubapaan autoritarian dengan penghargaan kendiri dalam kalangan pelajar sekolah.

Berdasarkan dapatan kajian, didapati nilai r bersamaan dengan -0.092 dengan nilai p, 0.346 > 0.05 pada aras keyakinan 0.05. Hal ini jelas menunjukkan tidak terdapat hubungan negatif yang signifikan di antara gaya keibubapaan autoritarian dengan penghargaan kendiri pelajar. Maka hipotesis yang menyatakan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara gaya keibubapaan dimensi autoritarian dengan penghargaan kendiri pelajar diterima.

Kajian ini selari dengan kajian yang telah dijalankan oleh Wan Mohd Agil (2009), mengkaji hubungan di antara gaya keibubapaan dengan penghargaan kendiri dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). Secara keseluruhan dapatan kajian menunjukkan bahawa gaya keibubapaan mempunyai hubungan dengan penghargaan kendiri pelajar. Berdasarkan tiga dimensi gaya keibubapaan, didapati dimensi autoritatif dan permisif mempunyai hubungan yang positif dengan penghargaan kendiri pelajar, manakala dimensi autoritarian mempunyai hubungan yang negatif dengan penghargaan kendiri pelajar.

5.3.5 Tidak terdapat hubungan signifikan antara gaya keibubapaan permisif dengan penghargaan kendiri dalam kalangan pelajar sekolah.

Berdasarkan kajian di dalam dapatan kajian, didapati nilai r = 0.370** dengan nilai p, 0.000 < 0.01. Hal ini jelas menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara gaya keibubapaan dimensi permisif dengan penghargaan kendiri pelajar. Maka hipotesis yang menyatakan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara gaya keibubapaan dimensi permisif dengan penghargaan kendiri pelajar ditolak.

Hasil kajian ini disokong dan dibuktikan oleh kajian luar negara yang telah dijalankan oleh Driscoll, Russell dan Crocket (2008) telah menjalankan kajian tentang gaya keibubapaan dan kehidupan remaja dalam pelbagai generasi golongan imigran. Kajian ini mengkaji tentang gaya keibubapaan yang diamalkan oleh pelbagai generasi, hubungan antara gaya keibubapaan dan kehidupan remaja dalam kalangan pendatang awal Mexico dan peranan gaya keibubapaan yang diwarisi bagi menerangkan corak

umum tingkah laku remaja (delinkuensi dan masalah penyalahgunaan alkohol) dan aspek psikologi (kemurungan dan keyakinan diri). Didapati bahawa penggunaan gaya keibubapaan permisif semakin meluas dari generasi ke generasi. Tahap masalah tingkah laku dan keyakinan diri turut meningkat berbanding generasi terdahulu. Selain itu, ia turut disokong oleh kajian Hawkins (2005) mengemukakan hubungan antara gaya keibubapaan dengan perkembangan penilaian moral dalam kalangan pelajar kolej tahun keempat di salah sebuah kolej swasta di Central Virginia. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti sejauh mana gaya keibubapaan menjadi satu penghalang dalam perkembangan penilaian moral dalam kalangan remaja. Pengkaji membuat hipotesis di mana tahap penilaian moral yang ditemui dalam kalangan pelajar kolej menyedari mereka diasuh oleh ibu bapa dengan gaya keibubapaan autoritatif adalah nyata sekali lebih tinggi berbanding tahap yang ditemui dalam kalangan pelajar yang diasuh secara autoritarian atau permisif. Analisis statistik dilakukan dengan menggunakan analisis regresi dan hipotesis ditolak kerana gaya keibubapaan permisif didapati mempunyai kesan yang kuat ke atas perkembangan moral, walaupun gaya keibubapaan autoritatif yang penting.

5.3.6 Tidak terdapat hubungan signifikan antara gaya keibubapaan autoritatif dalam kalangan pelajar sekolah

Berdasarkan dapatan kajian, didapati nilai r = 0.366** dengan nilai p, 0.000 < 0.01. Hal ini jelas menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara gaya keibubapaan dimensi autoritatif dengan penghargaan kendiri pelajar. Maka hipotesis yang menyatakan

bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan di antara gaya keibubapaan dimensi autoritatif dengan penghargaan kendiri pelajar ditolak.

Kajian ini selari dengan kajian yang telah dijalankan oleh Che Hasniza (2011) menjalankan kajian mengenai hubungan empati dan penghargaan kendiri ibu bapa dengan gaya keibubapaan. Justeru, satu kajian telah dijalankan terhadap 300 ibu dan 277 bapa di Terengganu untuk melihat ciri ibu bapa iaitu empati dan juga penghargaan kendiri. Sementara itu, kajian ini juga melibatkan anak responden yang berada di tingkatan empat bagi tujuan mendapatkan maklumat berkaitan gaya keibubapaan. Dapatan kajian menunjukkan majoriti responden di kalangan ibu bapa mempunyai tahap empati dan penghargaan kendiri yang tinggi, serta mengamalkan gaya keibubapaan autoritatif dalam mendidik anak-anak.

5.4 Cadangan

Tanggungjawab remaja di dalam hidup ialah mencapai nilai untuk membentuk kehidupan mereka. Remaja perlu mencapai kejayaan dalam erti kata dunia yang lebih mantap. Ibu bapa merupakan individu yang signifikan dalam kehidupan anak-anak. Dalam usaha untuk mendidik anak-anak maka seharusnya ibu bapa rapat dengan mereka agar elemen didikan dapat diterapkan. Dalam hal ini, penerimaan anak terhadap ibu bapa harus berada pada tahap yang terbaik. Hubungan yang berkualiti terutama yang melibatkan ibu bapa akan mewujudkan hubungan keluarga yang baik dan harmonis.

Gaya keibubapaan yang tidak praktikal akan mewujudkan konflik di dalam diri terutama apabila melalui waktu transisi di antara alam kanak-kanak dan remaja. Malahan

persekitaran keluarga yang tidak kondusif dan harmoni akan menyebabkan tingkah laku bermasalah. Sebagai contoh ibu bapa yang mengamalkan gaya keibubapaan autoritarian lebih cenderung memberi tekanan dalam mendapatkan sesuatu kepastian , terutamanya dalam memenuhi permintaan ibu bapa tersebut. Ibu bapa seperti ini biasanya akan berjaya dalam arahannya kerana menggunakan kekerasan dan disiplin. Namun demikian, anak-anak yang dihasilkan melalui gaya keibubapaan ini menunjukkan bahawa mereka mengalami masalah perkembangan kualiti diri, tidak berminat di dalam pelajaran serta menarik diri daripada hubungan sosial.

Justeru itu, dalam menerapkan gaya keibubapaan terhadap anak-anak mereka, ibu bapa harus memilih pendekatan gaya keibubapaan yang bersesuaian dan tepat. Ibu bapa perlu banyak terlibat dalam aktiviti anak seperti meluangkan masa dan bertingkah laku menyayangi. Ini akan menyebabkan anak merasa lebih persaingan, dapat mengawal diri dan lebih berorientasikan motivasi dan autonomi.

Dokumen terkait