• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 1 : PENGENALAN

1.3 Pernyataan Masalah

Dalam konteks Pendidikan Seni Visual di Malaysia kandungannya merangkumi Bidang Seni Halus merangkumi lukisan, catan, arca, seni cetak, manakala Bidang Seni Rekaan, termasuklah seni grafik, fotografi, reka bentuk industri sementara Seni Tradisional pula adalah kraf.

Dalam Pendidikan Seni Visual sekolah menengah penekanan telah diberi kepada penggunaan Bahan Bantu Mengajar dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual dapat di jalankan dengan lebih berkesan. Perkara ini di tegaskan dalam pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia KPM/STPPP/A25087/01/(108) bertarikh 3 Januari 2005 yang mewajibkan penggunaan CDRI sebagai Bahan Bantu Mengajar untuk semua mata pelajaran. Dalam memastikan keberkesanan penggunaan CDRI satu pemantauan telah dijalankan oleh pihak Jabatan

Pendidikan Negeri bagi memastikan guru-guru menggunakan CDRI tersebut dengan berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini dibuktikan dalam surat pekeliling yang diedarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Selangor JPNS STPPP/A25087/01/(108) yang bertarikh 3 Oktober 2005.

Dalam satu tinjauan terhadap 262 orang guru di Negeri Sembilan tentang penggunaan Bahan Bantu Mengajar, Fatimah (1980) telah mengenal pasti beberapa halangan yang dihadapi guru dalam penggunaan BBM. Antara halangan utama ialah peruntukan kewangan bagi penyediaan kemudahan dan penggunaan BBM adalah terhad. Ini menyebabkan tiadanya kemudahan bilik yang boleh menempatkan alat serta penggunaan bahan sumber; kurangnya alat yang diperlukan. Di samping itu, guru mempunyai beban pengajaran yang terlalu berat menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup bagi merancang penyediaan bahan pengajaran yang diperlukan. Tambahan pula, kebanyakan guru tidak mempunyai maklumat yang cukup tentang bahan sumber.

Masalah kekurangan penggunaan BBM oleh guru juga telah dikaji oleh Sim (1986), beliau mendapati bahawa punca utama masalah tersebut berkait dengan kekurangan kemudahan alat yang disediakan oleh pihak sekolah. Guru juga tidak begitu mampu membuat perancangan yang baik tentang penggunaan bahan disebabkan kekurangan latihan penggunaan bahan. Inilah yang menjadi faktor penghalang kepada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual yang berkesan.

Dalam satu laporan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan (1987), dikemukakan juga isu dan halangan kepada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual. Laporan tersebut menyenaraikan punca halangan yang terdiri daripada isu-isu seperti: kurang peranan yang dimainkan oleh pusat sumber bagi membantu pengajaran PSV; kekurangan bahan sumber bagi mata pelajaran PSV; kekurangan guru terlatih dalam bidang PSV; sikap yang kurang positif guru-guru PSV terhadap

penggunaan bahan sumber; kurang bimbingan dan galakan oleh guru besar kepada guru PSV dalam penggunaan bahan sumber. Keadaan ini semuanya menyebabkan pengajaran dan pembelajaran PSV dalam bilik darjah menjadi kurang berkesan.

Oleh itu, adalah jelas bahawa penggunaan media pengajaran merupakan elemen penting dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan. Mengikut Briggs (1970), media pengajaran merupakan alat fizikal yang membantu menyediakan maklumat bagi merangsang minat pelajar dalam pembelajaran. Hal keperluan media pengajaran dalam pembelajaran memang disentuh oleh banyak pengkaji, termasuklah Brown (1969), Kemp (1957), Tan (1978), dan Moldstad (1979). Abdul Rahim (1987), juga menegaskan hal yang sama bagi menunjukkan bahawa BBM mempunyai peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran.

Keperluan BBM sebagai alat yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran memaksa kepada penggunaan media pengajaran yang lebih canggih oleh guru. Memandangkan penyediaan bahan menjadi masalah besar kepada ramai guru PSV, maka adalah perlu satu usaha untuk membangun BBM khusus untuk mata pelajaran PSV dibuat bagi membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tersebut.

Antara sebab lain BBM perlu dibangunkan adalah sebagai satu langkah untuk guru membina paradigma daripada berpusatkan guru kepada berpusatkan pelajar. BBM mampu menjadi medium bagi membantu proses pemerolehan idea dan pengetahuan seseorang individu. Aspek lain yang juga penting ialah untuk membantu lima puluh peratus guru yang tidak mempunyai pendidikan formal mengajar PSV dan BBM merupakan salah satu usaha untuk membantu guru-guru dalam proses pengajaran.

Antara alasan yang dikemukakan oleh pelajar dalam laporan Iberahim (2000) melalui satu tinjauan tentang kurangnya minat mereka terhadap PSV ialah anggapan bahawa mata pelajaran tersebut adalah membosankan. Pelajar menganggap bahawa

mereka hanya belajar perkara yang sama sepanjang berada di bangku sekolah mungkin disebabkan pendekatan pengajaran yang digunakan oleh guru adalah agak sekata. Oleh itu satu bentuk inovasi pengajaran perlu diwujudkan bagi membantu memperbetulkan sikap pelajar terhadap mata pelajaran ini. Dalam hal ini, pembinaan BBM adalah wajar dan relevan.

1.3.1 Pengajaran PSV untuk Pelajar Tingkatan Empat

Menurut Piaget (1970), pembelajaran meningkatkan kematangan mental dan fizikal, dan menambahkan pengalaman. Peningkatan ini biasanya disesuaikan dengan peringkat perkembangan. Lowenfeld (1975) mengadaptasi model perkembangan Piaget dalam aspek penggunaan konsep peringkat dalam proses pembelajaran. Huraian Lowenfeld tentang tahap perkembangan kanak-kanak pada peringkat umur 14 hingga 16 tahun disebut sebagai Peringkat Membuat Keputusan. Pada peringkat ini kanak-kanak mula memasuki alam awal remaja. Dalam konteks PSV, mereka adalah pelajar yang berada pada kedudukan membuat keputusan sendiri sama ada untuk meneruskan penglibatan dalam PSV atau tidak. Mereka menjadi sangat kritikal dengan kebolehan mereka sendiri dan menganggap aktiviti seni sebagai satu kemahiran. Kumpulan yang merasa diri mereka tidak mempunyai kemahiran tersebut akan cenderung meninggalkan bidang ini. Sebaliknya, kumpulan yang percaya bahawa mereka mempunyai kemahiran akan berusaha meningkatkan keupayaan untuk terus berkecimpung. Walau apa pun, pengkaji meyakini Lowenfeld dalam hujah beliau bahawa setiap pelajar perlu digalakkan untuk terus terlibat dalam aktiviti seni, tanpa mengira tahap kemahiran masing-masing. Ini adalah kerana kemahiran boleh dipupuk melalui latihan. Hujahan begini tentunya mengukuhkan alasan peri mustahaknya pengajaran seni yang berkesan dilakukan dengan berfokus kepada pelajar tingkatan empat di sekolah. Pendekatan yang

bermodelkan prinsip pengantaraan Vygotsky (1978) tentunya berfaedah dalam usaha membawa kesan pembelajaran seni yang baik.

Dokumen terkait