• Tidak ada hasil yang ditemukan

2.4 Pemboleh ubah Peramal

2.4.3 Personaliti Usahawan Islam

Individu yang berusaha dalam pelbagai aspek untuk membangunkan perniagaan, memasuki pasaran dengan produk baharu yang berinovatif, dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat dikenali sebagai usahawan (Siti Haryani, Syadiyah, Mohd Dali, & Nuradli, 2014). Usahawan perlu mempunyai ciri-ciri seperti proaktif, tabah menghadapi risiko, dan berupaya untuk memaksimumkan kreativiti untuk menguruskan perniagaan (Zaidatol & Habibah, 1997; Isma & Mohamad Zahir, 2011; Siti Ainul Marziah, Hairunnizam, & Sanep, 2013; Chokesikarin, 2014). Untuk menentukan kelangsungan perniagaan, usahawan sentiasa tekal mencari pembaharuan, memberikan respon kepada pembaharuan tersebut, dan mengeksploitasikan pembaharuan sebagai satu bentuk peluang untuk menjana keuntungan (Mohd Faizal, Muhammad Ridhwan, & Kalsom, 2013a).

Keusahawanan ialah aktiviti ekonomi yang berorientasikan kesejahteraan hidup manusia dengan usahawan berusaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat. Keusahawanan juga melibatkan proses mencari peluang perniagaan,

Ciri-ciri Produk (Product Attributes) Kepuasan (Satisfaction) Kesetiaan Pelanggan (Customer Loyalty) Komitmen (Commitment) Sikap (Attitude) Kepercayaan (Trust)

66

mengambil risiko perniagaan, dan menterjemahkan idea kepada realiti (Siti Ainul Marziah, Hairunnizam, & Sanep, 2013). Keusahawanan wujud dalam dua konteks, iaitu keusahawanan konvensional dan keusahawanan Islam (Syahida & Said Adekunle, 2013). Keusahawanan konvensional lebih berteraskan material atau keuntungan dunia semata-mata tanpa mengambil kira elemen kebajikan dan kemanusiaan. Manakala, keusahawanan Islam ialah aktiviti perniagaan yang berlandaskan al-Quran dan Hadith serta merupakan satu bentuk ibadat untuk mendapatkan keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.

Islam menyarankan pelaksanaan aktiviti perniagaan kerana perniagaan membolehkan usahawan meraih keuntungan selain meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui peluang pekerjaan, hubungan sosial serta memenuhi keperluan penggunaan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Allah menghalalkan jual beli iaitu perniagaan (Bai) dan mengharamkan riba” Surah al-Baqarah (2:275).

“Kemudian setelah selesai sembahyang (pada hari Jumaat), maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”

Surah al-Jumuah (62:10)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Usaha yang paling afdhal ialah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang diredhai oleh Tuhannya”

(Riwayat Rifa’ah bin Rafi).

“Mencari yang halal adalah fardhu atas setiap Muslim”

67

Hal ini menjelaskan bahawa perlu wujud keseimbangan antara aktiviti menjana keuntungan dengan aktiviti memenuhi tuntutan agama seperti melaksanakan rukun Islam, menjual produk dan perkhidmatan yang halal, menjual produk yang berkualiti, menjalankan urusan perniagaan yang bebas daripada riba dan rasuah, menjaga hak dan kebajikan pelanggan, dan peniaga tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama (Buerah & Hussin, 2011; Ilhaamie & Mohamed Dahlan, 2013; Mohd Faizal, Muhammad Ridhwan, & Kalsom, 2013a; Siti Haryani et al., 2014). Peniaga perlu menerapkan etika semasa menjalankan perniagaan dengan berpandukan syariat Islam. Etika merupakan prinsip asas usahawan yang menggariskan bahawa usahawan perlu mengambil tindakan yang tidak bertentangan dengan nilai agama dan norma sosial masyarakat (Tuan, 2015). Pengamalan etika secara tekal oleh usahawan bukan sahaja dapat membentuk personaliti usahawan dalam menguruskan perniagaan malah, membentuk persepsi pelanggan terhadap prestasi keseluruhan perniagaan.

Personaliti usahawan ialah cerminan kepada ciri-ciri peribadi, jati diri, sahsiah, dan akhlak usahawan yang membezakan usahawan dengan usahawan yang lain. Personaliti boleh dicirikan kepada budi pekerti, gaya hidup, nilai, persepsi, pemikiran, motif, kepercayaan, sikap, tabiat, dan watak usahawan (Buerah & Hussin, 2011; Yazilmiwati & Ilhaamie, 2012; Mohammad & Nor ‘Azzah, 2015). Antara personaliti usahawan Islam yang dituntut dalam Islam adalah usahawan yang jujur, telus, amanah, rajin berusaha, mencari yang halal, mengambil kira kebajikan orang lain, gigih untuk memajukan diri, cekal, dan sebagainya (Mohammad Noorizzuddin & Wan Rasyidah, 2009; Siti Ainul Marziah, Hairunnizam, & Sanep, 2013; Syahida & Said Adekunle, 2013; Siti Haryani et al., 2014).

68

Model ikutan terbaik kepada usahawan untuk membentuk personaliti yang baik ialah Nabi Muhammad SAW yang merupakan usahawan yang jujur, amanah, sabar, gigih, dan dedikasi dalam perniagaan (Nor Adila & Salmiah, 2008; Siti Haryani et al., 2014). Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai budi pekerti yang luhur” Surah al-Qalam (68:4).

Kejayaan Baginda sebagai ahli perniagaan telah dikenali bukan sahaja di Mekah dan di Semenanjung Tanah Arab malah sehingga peringkat antarabangsa seperti di Syria, di Yaman dan di Bahrain (Buerah & Hussin, 2011). Lantaran kebaikan sifat Baginda dalam menjalankan perniagaan, Baginda telah digelar sebagai al-amin, iaitu orang yang jujur dan boleh dipercayai. Para sarjana berpandangan bahawa kejayaan usahawan Islam pada hari ini didasari oleh amalan budaya niaga yang diaspirasikan daripada sifat Nabi Muhammad SAW, iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh, dan Fatonah (Bharudin, Siti Arni, Raja Hisyamudin, & Mohd Zaidi, 2008; Mohammad Noorizzuddin & Wan Rasyidah, 2009; Buerah, Hussin, & Baharin, 2013; Ilhaamie & Mohamed Dahlan, 2013; Mohd Adib, Muhammad Fakhirin, & Shuhairimi, 2014).

Sifat Siddiq bermaksud benar dalam tutur kata dan perbuatan (Mohammad Noorizzuddin & Wan Rashidah, 2009; Mohd Adib, Muhammad Fakhirin, & Shuhairimi, 2014). Dalam konteks keusahawanan, benar bermaksud telus, menyampaikan maklumat dengan tepat, tidak menyembunyikan maklumat, tidak berdusta dalam setiap urus niaga, dan tidak menyampaikan maklumat yang berlebihan sehingga mendorong kepada pembohongan (Nor Adila & Salmiah, 2008; Wan Jemizan & Ahmad Termizi, 2012). Usahawan yang mengamalkan sifat benar dapat

69

meningkatkan tahap kepercayaan pelanggan kepada premis perniagaan (Buerah & Hussin, 2011).

Sifat Amanah bermaksud jujur dalam semua perkara, termasuklah hubungan sesama manusia dan Tuhan (Buerah & Hussin, 2011). Amanah juga merujuk sifat bertanggungjawab, berintegriti, cekal hati, dan tidak melakukan penyelewengan demi keuntungan serta tidak menzalimi diri sendiri, orang lain, dan alam sekitar (Nor Adila & Salmiah, 2008; Wan Jemizan & Ahmad Termizi, 2012; Mohd Adib, Muhammad Fakhirin, & Shuhairimi, 2014). Usahawan yang mengamalkan sifat Amanah akan bersikap jujur dalam transaksi niaga, memenuhi janji yang telah dipersetujui, tidak melengahkan bayaran kepada pembekal produk, tidak membohongi dan mengkhianati pelanggan, tidak melakukan kerosakan pada alam sekitar, dan menginfakkan harta ke jalan Allah (Buerah & Hussin, 2011; Buerah, Hussin, & Baharin, 2013; Syahida & Said Adekunle, 2013).

Sifat Tabligh bermaksud menyampaikan. Dalam konteks keusahawanan, Tabligh bererti usahawan menyampaikan maklumat tentang produk dan perniagaan dengan tepat dan benar kepada pelanggan (Nor Adila & Salmiah, 2008; Mohammad Noorizzuddin & Wan Rashidah, 2009; Wan Jemizan & Ahmad Termizi, 2012; Mohd Adib, Muhammad Fakhirin, & Shuhairimi, 2014). Sifat Tabligh juga boleh dicirikan kepada komunikasi sosial, penyampaian kebenaran, tidak berdebat dengan pelanggan, bertoleransi, dan fasih dalam tutur kata (Buerah, Hussin, & Baharin, 2013; Ilhaamie & Mohamed Dahlan, 2013; Yang & Wu, 2014; Farahwahida et al., 2015). Usahawan yang mengamalkan sifat Tabligh akan menggunakan kaedah yang tertib untuk

70

berkomunikasi dengan pelanggan dan hanya menyampaikan maklumat yang bermanfaat kepada pelanggan.

Sifat Fatonah pula bermaksud bijaksana. Umumnya, kebijaksanaan seseorang boleh dijeniskan kepada kepandaian kognitif, iaitu kepandaian yang terbina daripada pendidikan, pembacaan, dan pemerhatian, serta kepandaian yang terbina daripada pengalaman diri sendiri dan pengalaman orang lain (Mohammad Noorizzuddin & Wan Rasyidah, 2009; Farahwahida et al., 2015). Seseorang usahawan perlu bijak untuk menyeimbangkan antara aktiviti duniawi (perniagaan) dengan urusan akhirat (tuntutan agama) (Nor Adila & Salmiah, 2008) serta bijak menyesuaikan prinsip-prinsip Islam dalam amalan keusahawanan moden pada hari ini (Mohd Adib, Muhammad Fakhirin, & Shuhairimi, 2014). Selain itu, sifat Fatonah juga memerlukan usahawan untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan yang luas tentang industri perniagaan seperti aspek sumber manusia, aspek kewangan, aspek teknologi, aspek keperluan pelanggan, dan aspek persekitaran perniagaan (Buerah & Hussin, 2011; Syahida & Said Adekunle, 2013; Yang & Wu, 2014). Sebaik-baiknya, usahawan perlu mahir dalam setiap ilmu yang diteroka dan ilmu-ilmu baharu yang ada di persekitarannya.

Sorotan kajian mendapati al-Quran, Hadith, dan sifat Nabi Muhammad SAW konsisten dikaji sebagai panduan asas kepada kejayaan usahawan Islam. Antara kajian yang telah mengkaji aspek keusahawanan dari perspektif Islam, termasuklah kajian Yazilmiwati dan Ilhaamie (2012), kajian Mohd Faizal, Muhammad Ridhwan, kajian Kalsom (2013b) serta kajian Syahida dan Said Adekunle (2013). Walau bagaimanapun, perdebatan dalam kajian lampau tentang keusahawanan dari perspektif Islam hanya dilakukan secara konseptual. Pengamalan etika Islam oleh golongan usahawan tidak

71

dinilai dari perspektif pelanggan secara empirikal untuk melihat sejauh mana pengamalan tersebut memberikan dampak kepada perubahan sikap dan gelagat belian pelanggan yang akhirnya menjana kesetiaan pelanggan kepada premis perniagaan.

Satu kajian yang telah memerihalkan sifat Nabi Muhammad SAW ialah kajian yang dikendalikan oleh Mohd Adib, Muhammad Fakhirin, dan Shuhairimi (2014). Kajian tersebut telah membangunkan model keusahawanan sosial Islam yang memperlihatkan sifat Nabi Muhammad SAW sebagai teras kepada kejayaan usahawan Islam. Model keusahawanan sosial Islam dilihat sebagai model yang kompleks dan mantap kerana model ini turut mengambil kira konsep Al-Falah dan Maqasid Syariah. Walau bagaimanapun, model ini tidak diuji secara empirikal untuk membuktikan implikasi sebenar setiap hubungan pemboleh ubah yang dibentuk sebagai acuan kepada kejayaan usahawan Islam dan kelangsungan perniagaan.

Selain itu, kajian Siti Ainul Marziah, Hairunnizam, dan Sanep (2013) pula telah mengemukakan model pembangunan usahawan Islam berteraskan paradigma akhlak. Akhlak telah dirincikan sebagai teras yang membentuk sifat insaniah, wasatiah, istiqamah, dan muhasabah dalam diri usahawan. Wujud kelompangan dalam model ini, iaitu jati diri usahawan Islam yang terbina daripada akhlak tersebut tidak diterjemahkan dari sudut pengamalan oleh usahawan yang boleh dinilai dari perspektif pelanggan. Hasil selidikan yang dilakukan terhadap kajian-kajian lain mendapati sifat Siddiq, Amanah, Tabligh, dan Fatonah hanya dihujahkan secara konseptual. Antara kajian lalu yang menghujahkan sifat-sifat Nabi Muhammad SAW sebagai asas kepada kejayaan usahawan, termasuklah kajian Mohammad Noorizzuddin dan Wan Rasyidah (2009),

72

Wan Jemizan dan Ahmad Termizi (2012), Syahida dan Said Adekunle (2013), dan Siti Haryani et al. (2014).

Oleh hal yang demikian, kajian ini meneliti empat sifat Nabi Muhammad SAW, iaitu Siddiq, Amanah, Tabligh, dan Fatonah sebagai teras penting kepada pembentukan personaliti usahawan Islam yang akan mempengaruhi sikap dan gelagat pelanggan terhadap premis perniagaan. Untuk memperlihatkan kesan personaliti usahawan Islam terhadap kelangsungan perniagaan, penerokaan terhadap pemboleh ubah ini dipaparkan dari perspektif pelanggan. Hal ini disebabkan penerokaan dari perspektif pelanggan akan memberikan kesan penilaian yang lebih tepat (Delcourt, Gremler, van Riel, & van Birgelen, 2013).