• Tidak ada hasil yang ditemukan

PUISI MODEN

Dalam dokumen Nota Komsas BM Tingkatan 1 (Halaman 51-60)

52 Aku (Rosli K.Matari) Maksud Sajak

Rangkap 1

Penyajak mendapati dirinya keseorangan tanpa ada manusia lain di pantai ini.

Rangkap 2

Penyajak menyusuri sepanjang pesisir pantai sambil membayangkan dirinya ialah Nabi Adam.

Rangkap 3

Penyajak menggambarkan hari tersebut seolah-olah merupakan hari Nabi Adam iaitu manusia pertama yang dicipta oleh Tuhan. Pada hari itu, baginda dapat melihat keindahan alam ciptaan Tuhan buat kali pertama.

Rangkap 4

Sebelum baginda dicipta oleh Tuhan, baginda tidak pernah mendengar deruan ombak.

Rangkap 5

Baginda juga tidak pernah merasai tiupan angin.

Rangkap 6

Baginda juga tidak pernah mengetahui kewujudan hidupan laut dan tumbuh-tumbuhan di situ.

Rangkap 7

Baginda percaya akan kekuasaan Tuhan yang Maha pencipta kerana baginda baru sahaja dicipta.

53 Tema

Tema sajak ‘Aku’ karya Rosli K. Matari ialah percaya akan kewujudan Tuhan.

Penyajak menyatakan kewujudan Tuhan dengan membuktikannya melalui manusia dan alam yang dicipta oleh-Nya.

Persoalan

Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam puisi ini, antaranya: i. Persoalan kesyukuran terhadap kurniaan Tuhan

Contoh : Penyajak menyatakan bahawa manusia harus bersyukur kepada Tuhan yang mencipta hidupan dan alam ini.

ii. Persoalan ketaatan kepada Tuhan

Contoh : Penyajak menyatakan bahawa manusia sebagai ciptaan Tuhan harus taat kepada Tuhan.

iii. Persoalan kedamaian alam semula jadi

Contoh : Penyajak menggambarkan keindahan alam semula jadi melalui angin yang bertiup di mana-mana dan bunyi ombak.

54

Kita Umpama Sehelai Daun (SMahadzir)

Maksud Sajak Rangkap 1

Kehidupan manusia di muka bumi ini ibarat sehelai daun. Manusia dilahirkan, membesar dan menjadi dewasa. Manusia harus mampu menyumbangkan jasa kepada insan lain agar dapat menerangi kehidupan mereka seterusnya keluar daripada belenggu penderitaan.

Rangkap 2

Sekiranya kita gagal untuk menjadi manusia yang berbuat jasa, tiada ruang dan peluang untuk sesiapa yang hidup dalam kepayahan untuk bergantung harap.

Rangkap 3

Kehidupan manusia ibarat sehelai daun yang bakal menjadi tua lalu mati. Oleh itu, kita tidak seharusnya bersikap sombong dengan kelebihan yang kita miliki sehingga melupakan kesusahan hidup orang lain yang bergantung harap kepada kita.

Rangkap 4

Jadikanlah hidup kita seperti sehelai daun yang menyumbangkan jasa semasa hidup malahan setelah mati, jasa dan bakti kita masih dapat dimanfaatkan oleh orang lain.

Tema

Tema sajak, “Kita Umpama Sehelai Daun” tulisan SMahadzir ialah manusia seharusnya berbuat jasa dalam kehidupan.

55 Persoalan

Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam puisi ini, antaranya: i. Persoalan berbuat jasa kepada orang lain

Contoh : Penyajak menyarankan pembaca agar hidup berjasa kepada orang lain seperti daun yang mampu menjadi teduhan unggas daripada panas matahari.

ii. Persoalan sikap rendah hati

Contoh : Penyajak menyarankan pembaca agar mengamalkan sikap rendah hati iaitu tidak sombong akan kebolehan diri.

iii. Persoalan keprihatinan terhadap orang lain

Contoh : Penyajak menyarankan pembaca supaya prihatin akan kesusahan hidup orang lain.

56

Kuingin Berterima Kasih (Ihsan Noorzali) Maksud Sajak

Rangkap 1

Penyajak berterima kasih kepada hujan yang turun membasahi bumi. Kehadiran hujan menyejukkan suasana dan jiwa manusia. Kedinginan yang dibawa mampu meredakan api kemarahan.

Rangkap 2

Penyajak juga ingin berterima kasih dan berbakti kepada tanah yang subur. Tanah yang subur telah memberikan rezeki dan pendapatan kepada para petani.

Rangkap 3

Penyajak juga ingin berterima kasih kepada ikan-ikan di laut kerana memberikan rezeki kepada nelayan.

Rangkap 4

Penyajak juga berasa amat kagum atas pengorbanan para perajurit yang telah banyak berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh. Pengorbanan mereka itu mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seorang rakyat terhadap tanah air.

Rangkap 5

Kadangkala penyajak teringin untuk menjadi sukarelawan yang dapat mengubati kedukaan dan penderitaan mangsa peperangan. Penyajak juga berharap dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat dunia betapa peperangan hanya akan menimbulkan lebih banyak kehancuran dan penderitaan.

57 Rangkap 6

Penyajak berpendapat bahawa dunia akan lebih aman dan damai jika semua pihak dapat berfikir secara waras dan bersama-sama berganding bahu menuju kejayaan dan keamanan sejagat.

Tema

Manusia yang bersyukur atas nikmat yang diterima menjadi tema kepada sajak “Kuingin Berterima Kasih” karya Ihsan Norzali. Jika semua manusia mengamalkan nilai kesyukuran, dunia akan menjadi sebuah tempat yang aman untuk didiami oleh manusia.

Persoalan

Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam puisi ini, antaranya: i. Persoalan kepentingan hujan kepada hidupan

Contoh : Penyajak menyatakan bahawa hujan yang turun mampu menyejukkan suasana dan jiwa manusia.

ii. Persoalan kepentingan berbakti kepada tanah

Contoh : Penyajak menyatakan bahawa petani yang rajin bercucuk tanam akan memperoleh hasil yang lumayan.

iii. Persoalan penghargaan kepada perwira negara

Contoh : Penyajak menyatakan bahawa dia berasa kagum akan semangat patriotisme yang dimiliki oleh perwira negara dalam mempertahankan kedaulatan negara.

iv. Persoalan kesedaran untuk mengekalkan keamanan dunia

Contoh : Penyajak menyatakan bahawa dunia akan menjadi tempat yang indah apabila semua orang menyedari kepentingan hidup bersama-sama dengan aman.

58

Kunci Bahasa (Abdul Hadi Yusof) Maksud Sajak

Rangkap 1

Penyajak menegaskan bahawa bahasa yang bermaruah digambarkan oleh penutur yang berbicara dan bertutur dengan bahasa yang betul dan penuh kesantunan.

Rangkap 2

Penyajak menyatakan bahasa yang maju sentiasa mengalami perubahan yang dinamik dan bersistematik walaupun berlaku perubahan zaman.

Rangkap 3

Sejak dahulu lagi, susunan bahasa dibuat begitu sistematik sehingga tidak timbul sebarang kekeliruan.

Rangkap 4

Penggunaan bahasa yang bersusila menjadi pengikat hubungan sesama insan.

Rangkap 5

Bahasa juga digunakan untuk berkomunikasi.

Rangkap 6

Bahasa didapati begitu indah melalui ungkapan-ungkapan dan susunan kata serta bahasa yang puitis.

59 Tema

Tema yang ingin disampaikan oleh Abdul Hadi Yusof dalam sajaknya “ Kunci Bahasa” ialah kepentingan bahasa kepada setiap masyarakat di dunia amnya dan Malaysia khasnya. Bahasa memiliki pelbagai kepentingan dalam kehidupan masyarakat misalnya bahasa itu digunakan dalam komunikasi sesama manusia. Tanpa bahasa kehidupan masyarakat akan terbatas.

Persoalan

Terdapat beberapa persoalan dipaparkan dalam puisi ini, antaranya: i. Persoalan penggunaan bahasa yang bersusila

Contoh: Penyajak menyatakan bahawa bahasa yang digunakan secara bersusila menggambarkan keperibadian penuturnya serta mengelakkan hati orang lain tergores .

ii. Persoalan silaturahim yang terjalin melalui bahasa

Contoh: Penyajak menyatakan bahawa hubungan sesama manusia terjalin melalui bahasa yang difahami oleh kedua-dua pihak.

iii. Persoalan perkembangan bahasa

Contoh: Penyajak menyatakan bahawa bahasa seharusnya menerima perkataan-perkataan baharu untuk membolehkan bahasa itu berkembang.

60

Dalam dokumen Nota Komsas BM Tingkatan 1 (Halaman 51-60)

Dokumen terkait