DAPATAN DAN PERBINCANGAN FAKTOR INDIVIDU (FASA 2)
Tema 5 Segmentasi kerja dan rumah
6.4 Strategi Menangani KKF dan KFK
Dari sudut praktikalnya, walaupun mereka mengalami KKF mahupun KFK, namun responden-responden dalam kajian ini telah mengadaptasikan beberapa pendekatan ataupun langkah dalam membantu mengurangkan tekanan yang dialami. Melalui temu bual yang telah dijalankan, terdapat dua faktor utama yang telah dikenal pasti membantu wanita-wanita ini mengurangkan KKF dan KFK iaitu segmentasi kerja-rumah, sokongan famili dan komitmen.
Tema 5 : Segmentasi kerja dan rumah
Apabila menyentuh mengenai segmentasi kerja dan rumah, maka border theory dan
boundary theory sangat sesuai untuk menerangkan perlunya membangun dan mengawal
sempadan antara kerja dan rumah (Matthews et al., 2010) sama ada kerja dan rumah melalui proses segmentasi atau integrasi. Border theory yang dipelopori oleh Clark (2000) menegaskan bahawa kerja dan rumah merupakan dua domain yang berbeza dan kedua-duanya boleh digabungkan atau diasingkan. Sempadan kerja dan rumah berbeza dari aspek
kebolehtelapan (permeability), fleksibiliti, dan kekuatan (strength) antara individu dan pekerjaan.
Sempadan yang fleksibel didefinisikan sebagai tahap keupayaan seseorang individu untuk memperluas atau mengecilkan domain sempadannya sama ada secara fizikal atau sementara bagi memenuhi tuntutan pada kehendak domain yang lain (Hall & Richter, 1988; Clark, 2000).
Mengikut Matthews dan Barnes-Farrel (2010) secara spesifiknya sempadan yang bercirikan
flexibility-ability ini merujuk kepada tanggapan terhadap halangan-halangan dalam usaha
pergerakan domain daripada satu domain kepada domain yang lain. Misalnya tanggapan seseorang individu terhadap pengurusnya yang tidak membenarkan fleksibiliti kerja bagi memenuhi kehendak famili (Rothbard et al., 2005). Permeability pula merujuk kepada tahap penglibatan seseorang individu dalam sesebuah domain secara psikologikal atau tingkah laku. Misalnya bercakap melalui telefon dengan anak tetapi secara fizikal berada di pejabat (Ashforth et al., 2000).
Boundary Theory pula yang diasaskan oleh Ashforth et al., (2000) menitiberatkan aspek
perubahan peranan yakni apabila tamatnya sesuatu peranan, maka bermulanya peranan yang satu lagi yang lebih khususnya merujuk kepada aktiviti silang sempadan (boundary
crossing activity) (Ashfort et al., 2000; Shein, 1971). Pendekatan boundary theory
mengetengahkan dua kontinum utama iaitu segmentasi dan integrasi. Segmentasi merujuk kepada tahap atau sejauh mana seseorang individu cuba tidak mencampur adukkan urusan kerja dan famili dari aspek pemikiran, fizikal, tingkah laku dan kebimbangan. Berbeza pula
dengan integrasi yang merujuk kepada gabungan pelbagai aspek kerja dan famili (Ashforth et al., 2000; Kreiner, 2006; Kreiner et al., 2009).
Kedua-dua pendekatan teori ini telah diaplikasikan oleh para responden iaitu seramai 75 peratus responden tidak akan mencampur adukkan urusan kerja dan rumah iaitu mengamalkan segmentasi kerja. Kerja pejabat akan disiapkan sewaktu berada di pejabat dan apabila di rumah segala penumpuan dan pemikiran adalah difokuskan kepada famili. Dapatan ini menyamai dapatan yang dijalankan oleh Abdul Rahman dan Roshan (2010) yang turut mendapati penetapan sempadan mendahului senarai teratas dalam penyelesaian masalah konflik. Kajian oleh Woodward (2007) turut menyokong bahawa segmentasi adalah perlu untuk mengelak pertembungan dengan aktiviti famili. Contohnya pernyataan-pernyataan oleh responden adalah seperti berikut :
Pernyataan daripada responden yang mempunyai anak bongsu dibawah umur 6 tahun. R1 : Saya seboleh-bolehnya tidak akan membawa kerja pejabat balit ke rumah, kerana
apabila di rumah, saya mahu menumpukan sepenuh masa dan perhatian dengan anak. Bagi memastikan kerja tidak dibawa balik ke rumah, maka setelah menghantar anak ke sekolah, saya terus masuk kerja awal, dan kadang-kala saya membuat kerja pejabat waktu lunch-break, agar semuanya dapat diselesaikan waktu pejabat.
R2 : Saya jarang membawa balik kerja pejabat ke rumah kecuali terpaksa atau terlalu penting. Sekiranya perlu, maka saya akan membuatnya pada sebelah pagi (bangun awal). Sebab itu untuk mengelakkan membawa balik kerja pejabat ke rumah, saya akan memastikan saya menghabiskannya di pejabat atau balik lewat sedikit.
R 3 : Saya sedaya upaya cuba untuk menghabiskan kerja pejabat sewaktu masa pejabat dan setakat ini saya tidak pernah membawa balik kerja pejabat ke rumah. Bagi saya rumah adalah untuk aktiviti rumah dan famili sahaja.
R4 : Kita mesti ada sasaran, Waktu pejabat pukul 8 hingga 5 akan digunakan
sepenuhnya untuk bekerja kerana saya akan memastikan sekiranya saya balik ke rumah, saya tidak akan memikirkan soal kerja, rumah untuk aktiviti rumah dan famili sahaja. Jarang sekali saya membawa balik kerja pejabat untuk disiapkan di rumah.
R7 : Saya tidak akan membawa pulang kerja pejabat untuk disiapkan di rumah. Seboleh- bolehnya saya menghabiskannya di pejabat, balik lewat dan membuat kerja sewaktu ‘lunch hour’ kerana saya tidak mengambil anak pulang dari sekolah. Tambahan prinsip saya adalah tidak mahu mencampur aduk urusan pejabat dengan rumah kerana masa rumah untuk famili sahaja.
R 8 : Saya seboleh-bolehnya tidak mahu membawa balik kerja pejabat ke rumah. Namun jika terpaksa atau ‘urgent’, saya akan membawa balik kerja pejabat ke rumah. Setelah selesai mengemas rumah dan memastikan anak-anak tidur, kemudian saya akan membuat kerja pejabat jika perlu iaitu sekitar pukul 10 atau lebih.
R 9 : Kerja di pejabat akan cuba disiapkan waktu pejabat. Saya tidak membawa balik kerja pejabat ke rumah kecuali terpaksa atau ‘ad-hoc case’. Namun ada juga kes terpaksa datang bekerja pada hujung minggu sekiranya ada operasi sewaktu perayaan atau kes-kes tertentu. Sekiranya saya perlu membawa balik kerja pejabat ke rumah, maka saya akan menyiapkannya setelah kerja rumah selesai, kerja sekolah anak selesai dan anak-anak sudah masuk tidur, namun jarang berlaku.
R 10 : Saya jarang membawa kerja pejabat balik ke rumah kecuali terpaksa. Sekiranya terpaksa juga, maka suami saya akan mengambil alih membuat kerja rumah serta menjaga anak sementara saya menghabiskan kerja pejabat.
Pernyataan daripada responden yang mempunyai anak bongsu di sekolah menengah.
R 11 : Saya cuba elakkan membawa balik kerja pejabat ke rumah. Sekiranya kritikal barulah saya membawanya balik dan saya akan membuatnya selepas selesai kerja rumah. Pada pendapat saya, rumah sepatutnya untuk aktiviti rumah bersama famili terutamanya memantau anak membuat kerja sekolah.
R 12 : Bagi saya, cuba elakkan membawa balik kerja pejabat ke rumah. Apabila perlu, barulah saya membawa balik kerja pejabat ke rumah dan saya akan membuatnya selepas selesai kerja rumah. Bagi saya rumah sepatutnya untuk aktiviti rumah bersama famili terutamanya memantau anak membuat kerja sekolah.
R 14 : Namun perkara yang mengembirakan saya adalah saya tidak pernah membawa kerja pejabat balik ke rumah. Ini adalah kerana ciri kerja ini hanya dapat dilakukan sewaktu masa di pejabat sahaja. Oleh itu, saya akan fokus dengan kerja pejabat pada masa pejabat, iaitu kerja adalah kerja dan rumah adalah rumah.
R 15 : Dahulu, saya sering membawa kerja pejabat balik ke rumah, namun berlainan dengan sekarang, hanya yang terlalu penting sahaja dibawa, yang selebihnya saya akan memastikan kerja pejabat dapat dihabiskan pada waktu pejabat sahaja. Ini disebabkan oleh emak saudara saya tidak tinggal bersama dengan saya lagi. Tambahan, penat seharian setelah bekerja dan komitmen untuk membuat kerja rumah, maka saya tidak membuat kerja pejabat di rumah.
Responden 1, 2, 3, 4, 7, 8, 9 dan Responden 10 mempunyai anak bongsu di bawah 6 tahun, manakala Responden 11, 12, 14 dan Responden 15 mempunyai anak bongsu berada di sekolah menengah. Menurut kajian oleh Keiner (2006) di kalangan professional, segmentasi lebih banyak berlaku dalam kalangan professional muda berbanding yang lebih berumur. Namun kajian ini telah membuktikan bahawa segmentasi berlaku tanpa mengira faktor umur dan faktor umur anak bongsu dalam usaha untuk mengimbangi tanggungjawab kerja dan rumah.
Kajian juga menunjukkan bahawa pertukaran domain banyak berlaku daripada domain kerja kepada famili berbanding dengan domain famili kepada kerja. Ini disebabkan peningkatan bilangan famili dwi-kerjaya yang kadang kala mengkehendaki mereka memenuhi kehendak famili pada masa bekerja. Situasi bekerja lima hari seminggu memberi peluang kepada mereka untuk mengurus hal famili (Matthews et al., 2010). Kajian ini juga menyokong bahawa pertukaran kebanyakannya berlaku daripada domain kerja kepada famili dalam kalangan semua responden, seperti pada kenyataan berikut:
R 1 : Bagi memastikan, kerja tidak akan dibawa balik ke rumah, maka setelah
membuat kerja pejabat waktu lunch break, agar semuanya dapat diselesaikan waktu pejabat.
R 4 : Saya datang awal ke pejabat seawal pukul 7 pagi dan balik sekitar pukul 5.30 agar dapat memampas masa yang digunakan untuk mengambil anak pulang dari sekolah pada waktu tengah hari.
Kajian lepas telah membuktikan bahawa seseorang individu akan mengalami tahap segmentasi dan integrasi yang berbeza dalam aspek kerja dan rumah (Ashforth et al., 2000; Edwards & Rothbard, 1999). Walau bagaimanapun, kesan sama ada memilih untuk segmentasi atau integrasi tidak jelas dalam kalangan pasangan yang bekerja (Kreiner, 2006). Kajian ini mendapati segelintir iaitu 25 peratus daripada responden mengintegrasi kerja dan rumah. Misalnya,
R 5 : Saya selalu membawa kerja pejabat balik ke rumah. Selepas makan malam sambil berehat bersama famili, maka pada waktu itu saya membuat kerja pejabat. Saya membuatnya bersama anak-anak dan mereka membuat kerja mereka masing-masing dan yang penting saya membuat kerja bersama-sama mereka dan mereka pun sangat memahami.
R 12 : Kadang-kadang, saya terpaksa membawa balik kerja pejabat ke rumah. Ada kala saya terpaksa pergi bekerja pada hujung minggu atau travelling. Namun, anak-anak saya sudah biasa dengan keadaan begini kerana mereka tahu kerja saya adalah membantu mereka yang memerlukan dan sekali lagi saya bersyukur kerana suami sangat memahami kerjaya saya. Oleh sebab itu, jika ada masa pada hujung minggu, saya akan meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak, misalnya pergi menonton wayang, makan keluar, bersiar di taman bersama-sama mereka.
R 13 : Kerja bergantung kepada jabatan dan jenis kerja juga. Sebagai pentadbir, kerja sememangnya ada setiap hari, kerja masuk dan keluar, ada yang perlu segera dan kadang kala perlu dibawa pulang. Bagi saya tiada masalah membawa kerja pejabat balik ke rumah. Saya akan memastikan kerja rumah selesai, kemudian saya mula membuat kerja pejabat jika ada yang perlu kerana anak-anak tidak menganggu saya. Namun, sewaktu anak saya masih kecil, saya tidak akan membawa kerja pejabat balik ke rumah kecuali terpaksa. Itu pun kalau perlu, saya akan pastikan kerja rumah selesai dan anak sudah masuk tidur, barulah saya mulakan kerja pejabat, maka masa tidur akan dikorbankan. Setakat ini saya berasa gembira kerana perkara yang dirancang, kebanyakan sudah dapat dicapai.
R 17 : Saya kadang-kadang membawa balik kerja pejabat ke rumah. Hal ini bergantung kepada keadaan, kadang-kadang saya akan membuatnya selepas mereka semua masuk tidur dan kadang-kala saya membuat kerja pejabat bersama mereka kerana masa itu juga digunakan untuk memantau mereka membuat kerja sekolah.
Oleh yang demikian, integrasi kerja-rumah didapati berkesan bagi sesetengah individu untuk berkongsi ilmu, maklumat, cerita dan mewujudkan semangat bekerja dan belajar bersama-sama dengan ahli famili. Maka, dapatan ini turut menyokong Ashforth et al., (2000) iaitu tahap segmentasi dan integrasi bergantung kepada kesesuaian dan penerimaan seseorang individu dalam mengimbangi kerja dan famili.