TINJAUAN LITERATUR
2.1 Sejarah Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia
Kemunculan bahasa Arab di alam Melayu telah dibawa oleh pedagang Arab semasa proses perdagangan. Perjalanan perdagangan ini telah menyebabkan mereka tiba ke alam Melayu dalam pelayaran ke negara Cina. Dalam perjalanan itu mereka singgah untuk mengambil bekal dan menunggu perubahan angin monsun untuk terus belayar. Semasa berada di tanah Melayu, mereka berkomunikasi dengan masyarakat tempatan menggunakan bahasa Arab dan beransur-ansur mempelajari bahasa masyarakat tempatan. Pada peringkat permulaan, bahasa Arab berkembang dalam hubungan
34 antara pedagang Arab dengan masyarakat tempatan sebagai bahasa perhubungan atau komunikasi (Rosni Samah, 2009).
Selepas kedatangan Islam, bahasa Arab berkembang dengan lebih aktif sebagai bahasa agama dan kaedah untuk memahami Islam serta menunaikan ibadah (Abdul Halim Mat Diah, 2005; Ahmad Jelani Halimi, 1996; Arif Karkhi, 1996; Asmah Omar, 1992; Hassan, 2000; Ishak Mohd Rejab, 1992; Mat Taib Pa, 2003; Mohammad Seman, 2003; Nordin Halias, 2007; Zawawi Ismail, 2001; Ahmad Jelani Halimi, 1996; Rosni Samah, 2009). Bahasa ini juga terus berkembang di pusat pengajian ilmu Islam seperti pondok dan madrasah.
Dalam arus perkembangan kehidupan moden hari ini, bahasa Arab terus berkembang sebagai bahasa komunikasi di Malaysia. Bahasa ini juga telah diperkenalkan di peringkat yang lebih tinggi seperti di kolej dan universiti sebagai bahasa pilihan dan juga sebagai bidang pengajian utama (Hassan Basri, 2005; Zawawi, 2001).
Sejarah awal pengajaran bahasa Arab di Malaysia boleh dirujuk kepada sejarah kedatangan Islam ke Malaysia, iaitu pada kurun awal hijrah atau ketujuh masihi (Ahmad Jelani Halimi, 1996). Pada zaman perkembangan Islam di alam Melayu sekitar kurun ke-14 dan seterusnya, pengajaran bahasa Arab berkembang mengikut perkembangan pendidikan Islam di istana. Pengajaran bahasa Arab secara rasmi jelas dapat dilihat dalam masyarakat melayu khususnya semasa kemunculan pusat-pusat pengajian Islam yang berbentuk pondok pada abad ke 18 M.
35 Di peringkat awal pengajaran bahasa Arab, penekanan yang diberikan adalah sebagai prasyarat bagi mempelajari ilmu Islam. Perkara ini dapat dilihat dalam pengajaran al-Quran sama ada dalam memahami isi al-Quran atau mempelajari cara sebutan huruf, perkataan, ayat dan tajwid. Pengajaran bahasa Arab mendapat tempat dalam masyarakat dengan tujuan untuk memahami ilmu-ilmu Islam khususnya bagi memahami kitab-kitab Islam muktabar yang ditulis dalam bahasa Arab (Abdul Halim Mat Diah, 2005; Ahmad Jelani Halimi, 1996; Arif Karkhi, 1996; Asmah Omar, 1992; Hassan, 2000; Ishak Mohd Rejab, 1992; Mat Taib Pa, 2003; Mohammad Seman, 2003; Nordin Halias, 2007; Zawawi Ismail, 2001; Ahmad Jelani Halimi, 1996; Rosni Samah, 2009).
Hasil daripada pembelajaran bahasa Arab di pusat-pusat pengajian Islam berbentuk pondok inilah, maka lahir ramai tokoh Islam yang mampu memahami kitab-kitab Islam dengan baik dan mereka menyambung pengajian mereka di negara-negara Arab khususnya di Mekah dan Madinah (Rosni Samah, 2009). Hasil daripada pencapaian pengajaran tersebut, lahirlah tokoh-tokoh tuan guru yang hebat dan mampu mengasaskan institusi pengajian Islam mereka sendiri. Perkembangan ini telah membantu kemunculan pusat-pusat pengajian Islam yang berbentuk pondok dengan pesat. Natijahnya, hampir kesemua negeri-negeri di Semenanjung Malaysia mempunyai struktur pengajian berbentuk pondok. Antara negeri-negeri yang terbanyak memiliki pusat pengajian tersebut ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak Utara. Pusat pengajian pondok ini telah banyak memberi sumbangan dalam perkembangan pengajaran bahasa Arab di samping berperanan sebagai pusat pengajian Islam di kalangan masyarakat setempat.
36 Pada awal kurun ke 20 pula, muncul pusat-pusat pengajian Islam yang bercorak madrasah. Sistem persekolahan ini berkembang pesat dengan peralihan daripada sistem pondok kepada sistem sekolah bagi menyahut cabaran dan keperluan semasa. Perkembangan ini terhasil daripada tempias reformasi yang dibawa oleh tokoh reformasi seperti Syeikh Muhammad Abduh. Antara tokoh awal yang memperkenalkan sistem madrasah ini ialah Tuan Haji Salleh Masri yang telah mengasaskan Madrasah Al-Masriyyah, Seberang Perai. Madrasah al-Iqbal pula diasaskan oleh Syed Syeikh Al-Hadi pada tahun 1907 di Singapura (Talib Samad, 1992) dan Haji Wan Sulaiman Wan Sidek pula mengasaskan Madrasah Hamidiah, Alor Star.
Pertumbuhan madrasah ini banyak membantu perkembangan bahasa Arab terutamanya selepas era kemerdekaan. Ini berikutan dengan sukatan yang digunakan boleh memenuhi tuntutan semasa. Menjelang akhir abad ke-20 boleh dikatakan kesemua pusat pengajian pondok menerima perubahan kepada sistem madrasah. Pada masa ini, sekolah agama diwajibkan mendaftar di bawah Majlis Agama negeri masing-masing. Badan tersebut turut memberi sumbangan dan juga sokongan yang perlu bagi mempertingkatkan mutu pengajaran.
Sekolah pula menerima pakai sukatan yang ditetapkan oleh pihak majlis dan sukatan yang diguna pakai oleh kementerian pelajaran di samping menerima bantuan kewangan daripada kerajaan yang disalurkan melalui badan tersebut. Dari sudut sukatan pula, kesemua sekolah Arab pada masa itu mengguna pakai sukatan pendidikan sekolah menengah Universiti al-Azhar dan juga menggunakan buku teks yang dibawa masuk dari negara Mesir (Kamarulzaman & Nik Mohd. Rahimi, 2004).
37 Perkembangan ini telah menyerlahkan lagi perkembangan pengajaran bahasa Arab dan telah membawa sinar yang cemerlang kepada perkembangan bahasa Arab di dalam sistem pendidikan negara.
Perkembangan pengajaran bahasa Arab mengorak langkah lagi dengan perhatian yang diberikan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Perhatian ini terpapar dengan penubuhan dan perkembangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang bermula pada tahun 1977. Perkembangan demi perkembangan yang positif telah berlaku dengan pesat dalam proses pengajaran bahasa Arab di Malaysia yang menggambarkan betapa bahasa ini telah mendapat tempat di dalam masyarakat.
Kesinambungan pengajaran bahasa Arab telah dilanjutkan di peringkat sekolah kebangsaan pada tahun 1997 dengan bermulanya projek rintis pengajaran bahasa Arab di 98 buah sekolah kebangsaan seluruh negara. Pelaksanaan bahasa Arab di sekolah kebangsaan secara rasminya dilaksanakan pada tahun 1998. Ia dilaksanakan berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil 2/96 bertarikh 7 November 1996. Pengajaran bahasa Arab terus bersinar di dalam sistem pendidikan negara apabila program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005.