• Tidak ada hasil yang ditemukan

SIAPAKAH YANG MENYAHUT RINTIHAN DERITA INSAN?

Dalam dokumen MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERUL (Halaman 24-35)

Insan itu insan. Terdedah kepada kesusahan dan kesakitan. Terdedah kepada dukacita dan sengsara. Sehebat mana pun dia. Sebesar mana pun pangkatnya. Insan bukan tuhan untuk kebal dari panahan sengsara dan duka. Jika tidak menimpa pada hartanya, menimpa pada tubuhnya. Jika tidak pada tubuhnya, menimpa pada maruahnya. Jika tidak pada

maruahnya, pada perasaannya yang derita disebabkan pelbagai punca. Mungkin kehilangan orang yang dicinta, atau dikhianati oleh orang disayangi. Segala mungkin. Itulah hakikat kehidupan insan dan itulah hakikat kehidupan setiap makhluk.

Apabila insan ditimpa derita, dikepung oleh sengsara, dihambat oleh duka, dia akan berusaha mencari tempat bergantung. Mencari dahan berpaut. Mencari teduhan untuk berlindung. Jiwa dan fikirannya melayang dan meraba; kepada siapakah hendak aku mengadu? Siapakah yang boleh menolong daku? Siapakah yang mampu untuk mengeluarkan aku dari kemudaratan ini?

Jiwa Hambar

Bagi jiwa insani yang renggang dari Tuhan, jiwa insan yang hambar dari kemanisan iman dan hubungan ruhi dengan ilahi, dia akan terus

terbayang penolong itu temannya atau orang besar, atau orang berharta, atau orang berkebolehan yang dirasa dapat membantunya. Jika dia sakit, pertama yang terbayang dalam fikirannya wajah para pengubatnya. Jika dia kesesakan harta, dia terbayang sumber-sumber yang boleh dia

dapatkan wang. Jika ditindas, dia terbayang wajah mereka yang berkuasa yang dia rasa dapat membantunya. Demikian seterusnya.

Jiwa, jantung hatinya sentiasa tersangkut dalam alam makhluk.

Tergantung dengan yang lemah sepertinya. Berpaut pada yang rapuh kerana disangkakan kukuh. Lalu Allah pun membiarkannya bersama

dunianya yang goyah dan harapan sentiasa terdedah kepada kehancuran. Dia terlupa bahawa betapa ramai pesakit yang gagal diubati. Dia terlupa bahawa betapa ramai yang dikhianati oleh orang yang dipercayai. Dia alpa bahawa betapa ramai yang berkuasa gagal menyelamatkan diri sendiri. Bahkan dia lupa betapa ramai yang berharta, berkuasa dan ternama, Allah kepung hidup mereka dengan pelbagai sengsara. Pergantungan yang

sangat lemah. Allah mengingatkan manusia tentang hal ini dengan firmanNya: (maksudnya)

“Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahlah yang meminta (untuk ditunai hajatnya), dan lemahlah yang diminta (untuk menunaikan hajat)”. (Surah al-Hajj: ayat 73).

Demikian perumpamaan yang Allah berikan, gambaran kepada mereka yang bergantung dan menyeru selain Allah dalam mengharapkan

pertolongan. Jiwa Mukmin

Adapun jiwa yang bergantung dengan Allah, setiap kali dia ditimpa kesusahan perkara yang pertama dan pantas menerpa ke jantung

sanubarinya ialah pertolongan Allah; harapan dan pergantungan kepada Allah, doa, sujud, solat, rintihan di kesunyian malam, istighfar dan

seumpamanya yang membolehkan Allah mendengar rintihannya. Teringatlah dia akan firman Allah yang menggambarkan keagungan kekuasaanNya: (maksudnya)

“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”. (Surah al-Naml: ayat 62).

Demi sesungguhnya, tiada siapa yang dapat menyahutnya melainkan Allah S.W.T. Keyakinan dan keimanan yang mendalam inilah yang

menjadikan doa insan yang bergantung dengan Allah itu pantas diterima. Allah mengeluarkan insan dari kesusahan dengan pelbagai cara dan rupa yang dikehendakiNya. Jarak antara bumi dan langit amat jauh. Masih tidak dapat dihitung oleh manusia. Namun, jaraknya menjadi begitu dekat

disebabkan doa yang mustajab dari hamba yang kesusahan. Dengan seruan ‘Ya Allah! Tolonglah daku!’ maka pantas ia sampai ke langit dan pertolongan Allah pun datang dengan cara dan kehendakNya.

Tidak Menolak Ikhtiar

Bukanlah bererti insan yang bergantung kepada Allah itu menolak

pertolongan makhluk dan tidak berikhtiar dalam menyelesaikan masalah. Namun, segala ikhtiar dan usaha itu dilakukan dalam naungan jiwa dan

ruh yang sentiasa bergantung dan menyeru Allah. Pertolongan makhluk hanya ‘sebab’ yang berlaku atas kehidupan duniawi, hakikatnya daripada Allah S.W.T. Al-Hafiz Ibnu Kathir (meninggal 774H) dalam tafsirnya,

menyebut riwayat dari Wahab bin Munabbih (tabi’i, seorang yahudi yang telah menganut Islam) pernah berkata:

“Aku pernah membaca dalam kitab terdahulu, bahawa Allah berfirman: “Demi kemuliaanKU, seandainya segala langit dan sesiapa yang ada padanya, bumi dan sesiapa yang ada padanya melakukan rencana jahat terhadap orang yang berpegang denganKU, sesungguhnya AKU akan jadikan untuknya di celahan itu jalan keluar. Sesiapa yang tidak berpegang denganKu, maka sesungguhnya AKU boleh tenggelamkannya ke dalam bumi di bawah kedua kakinya, AKU jadikan dia di awangan (tiada

pergantungan) dan AKU biarkan dia kepada dirinya”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/422. Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).

Maksudnya, dalam pelbagai cara Allah boleh menolong hamba yang merintih kepadaNya, dan juga dalam pelbagai cara Allah boleh menjatuhkan hamba yang berpaling dari memanggil kebesaranNya. Doa Yang Ikhlas

Jiwa yang mengharapkan Allah bukanlah sekadar digambarkan dengan pakaian seseorang, atau gelarannya, atau penampilannya. Sebab itu, jangan tertanya-tanya mengapa Allah membiarkan si fulan sedangkan dia nampak kuat agama? Pertamanya, Allah mungkin menolongnya,

sedangkan kita tidak menyedarinya. Atau, mungkin kita tidak tahu apa yang tersimpan dalam dadanya. Allah Yang Maha Mengetahui siapakah dia, jauh atau dekat dia dengan Allah.

Betapa ramai yang lidahnya menyebut “Ya Allah, tolonglah daku”, tapi sanubarinya masih terikat dan bergantung kepada makhluk. Bunyi nada suaranya mungkin kedengaran sebak, tetapi tauhid tidak bulat dan penuh ikhlas, maka doanya tidak disahut.

Demikian apabila kita lihat seorang yang mungkin kelihatan ‘biasa’ sahaja, tetapi setiap kali dia menyebut “Ya Allah, tolonglah daku”, pertolongan pantas sampai kepadanya. Ini disebabkan ruhnya yang penuh

pergantungan kepada Allah, tanpa sebarang syirik atau harapan kepada selainNya. Ini yang disebut oleh Nabi s.a.w:

“Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu (tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama Allah nescaya Allah tunaikan”. (Riwayat Muslim).

Jika insan ikhlas dan membulatkan pergantungan kepada Allah, Allah menerima harapannya, sekalipun dahulunya dia pernah melakukan dosa syirik dan kejahatan pun, Allah tetap akan mendengar rayuan. Dengan syarat dia hendaklah penuh ikhlas kepada Allah ketika doanya. Al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsir ketika menghuraikan firman Allah tadi: (maksudnya)

“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”, dia berkata: “Allah menjamin menyahut orang yang kemudaratan apabila dia berdoa kepadaNya. DIA memberitahu mengenai diriNya. DIA menerima doa orang yang dalam kemudaratan sebabnya keadaan doa ketika dururat

(kesusahan yang amat) itu terbit dari keikhlasan, terputus hubungan hati sanubari dengan selain Allah. Bagi keikhlasan itu suatu kedudukan dan jaminan di sisi Allah. Ini boleh ada pada orang mukmin dan kafir, yang taat dan yang jahat.

Persis seperti firman Allah: (maksudnya) “Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut; sehingga apabila kamu berada dalam dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya, dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bergembira dengannya; tiba-tiba datanglah angin ribut yang kencang, dan datang pula kepada mereka ombak dari segala penjuru, dan mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami akan menjadi orang-orang Yang bersyukur” (Surah Yunus, ayat 22).

Firman Allah juga: (maksudnya) “Maka apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan mereka mengikhlaskan kepadaNya agama, kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka melakukan syirik kepadaNya” (Surah al-Ankabut, ayat 65).

(kata al-Qurtubi lagi) “DIA menyahut doa mereka ketika darurat dan

berlakunya keikhlasan mereka, sedangkan DIA tahu bahawa mereka akan kembali kepada kesyirikan dan kekufuran mereka” (al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/223. Beirut: Dar al-Fikr)

Fitrah insani akan memanggil Allah dengan penuh ikhlas apabila dia dalam kesusahan. Sehingga ada yang pernah kufur dan sesat akan kembali ikhlas memanggil Allah dengan penuh keikhlasan apabila dia terdesak –seperti al-Quran gambarkan di atas-. Bagaimanakah seorang muslim gagal untuk

mengikhlaskan jiwa memanggil Allah dengan penuh keikhlasan pabila dia dalam kemudaratan?!

Bagaimana mungkin insan mencari ‘kabel’ atau saluran pertolongan, merayu dan merintih, mengharap dan meminta kepada selain Allah apabila dia ditimpa kesusahan? Jika dia menyeru Allah dalam kesusahan, mengapakah pula dia gagal mengikhlaskan tauhid dan pergantungan kepadaNYa?

Sedangkan Allah menjamin untuk menerima doa penuh ikhlas tanpa syirik daripada hamba-hambaNya yang dalam kemudaratan. Siapakah lagi yang dapat mendengar rintihan kesusahan ini? hanyalah ALLAH, tiada sekutu bagiNya.

*************************************************************************** ******

Penat Menanti Detik Kemustajaban Doa

1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri,

kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah

memerintahkan: (maksudnya)

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

2. Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:

(maksudnya): “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu

mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu

(dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya juga: (maksudnya)

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).

Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:

“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

4. Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa

beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :

« Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan

silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun

dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).

5. Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.

Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi, kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga

yang bahagia. Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Maka insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi s.a.w : « “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan

memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la dengan sanad yang sahih).

6. Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi s.a.w :

“Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).

7. Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah

menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.

Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah

mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus menghukum bahawa doa kita belum

dimustajabkan.

8. Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah.

Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa

merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.

9. Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin

kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepadaNya.

*************************************************************************** *****

Jangan Lebih Lajak Daripada Laju

Setiap insan ada kelemahan yang tersendiri. Sedikit ataupun banyak. Dosa ada berbagai jenis, kecil dan besar. Seorang insan biasanya tidak dapat lari dari jatuh ke dalam daerah-daerah dosa. Sama ada yang besar atau yang kecil. Jika tidak dosa itu pada tindakan atau perbuatan anggota badan, ia kadang-kala pada jantung hati dan perasaan seperti takabur, riyak, buruk sangka dan berbagai lagi.

Tiada anak Adam yang suci tanpa disentuh oleh dosa. Bak kata Nabi s.a.w: “Setiap anak Adam membuat salah. Sebaik-baik yang membuat salah ialah yang bertaubat”. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Cumanya, atas rahmat Allah, Dia menutup kelemahan kebanyakan insan. Maka tampillah insan itu tampak bersih dan suci pada sangkaan manusia, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengenai hakikat diri

seseorang.

Sebab itu, insan bukan sahaja disuruh selalu beristighfar dan bertaubat untuk kesalahan dirinya, tetapi juga jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain secara putus. Kita mungkin boleh

menyatakan ini perbuatan dosa, ini pula perbuatan pahala. Orang ini berakhlak baik, orang itu berakhlak buruk. Orang ini menzahirkan maksiat, orang itu menzahirkan ibadah. Sekadar itulah penilaian. Namun, untuk menyatakan si fulan itu pasti ahli neraka, atau si fulan itu pasti ahli syurga, maka untuk bukan urusan kita.

Dosa Pahala

Hanya Allah dan rasulNya yang berhak. Kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan Islam yang secukupnya, atau mati

dalam maksiat yang jelas. Maka nas al-Quran dan Sunnah menyatakan dia ahli nereka. Itupun hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia

bersyahadah sendirian sebelum menemui Allah, kita tidak tahu.

Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka. Namun, kita tidak tahu, mungkin

seseorang itu di samping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya di sisi Allah. Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu. Hanya Allah yang menentukan kedudukannya. Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa.

Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka. Fanatik dan

permusuhan yang melampaui batas, kadang-kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain.

Inilah yang berlaku di kalangan golongan Khawarij yang me’neraka’ seseorang hanya kerana satu dosa. Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me‘neraka’kan orang lain hanya kerana satu dosa yang dicanangkan. Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan tentang kedudukannya di sisi Allah.

Jangan melampau dalam menghukum orang lain. Dalam hadis Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini.

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w.

menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari)

Bagaimana mungkin orang yang meminum arak boleh mencintai Allah dan RasulNya?. Tidakkah Rasulullah s.a.w sendiri bersabda:

“Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya,

membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasulNya. Maksiat adalah dosa dan kelemahan

dirinya. Namun tidak semestinya, pelaku maksiat membenci Islam. Maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya.

Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan rasulNya, sayangkan Islam dan marah jika Islam dan kaum muslimin dihina dan dianiayai. Ya, Rasulullah s.a.w melaknat

peminum arak dan yang terlibat dengannya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan secara individu maka penilaian khusus

hendaklah teliti. Setiap insan mempunyai latar dan situasi yang berbeza. Maka kita jangan ‘terlebih lajak daripada laju’.

Di sebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Di mana kesemua itu faktor yang mengheret seeorang ke neraka. Mungkin juga ada dosa atau

Dalam dokumen MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERUL (Halaman 24-35)

Dokumen terkait