• Tidak ada hasil yang ditemukan

Proses perkembangan manusia mencakupi aspek-aspek fizikal, kognitif dan psikososial individu pada setiap peringkat perkembangan (Woolfolk, 2007). Model biopsikososial melihat perkembangan manusia sebagai hasil daripada interaksi faktor-faktor biologi, psikologi dan sosial. Elemen biologi merangkumi aspek baka dan hal-hal kesihatan, elemen psikologi pula melibatkan aspek kognitif dan perkembangan personaliti, manakala elemen sosial terdiri daripada keluarga, sekolah dan rakan sebaya (Docey & Travers, 1996). Apabila kesemua elemen di atas digabungkan, akan terbentuklah perkembangan psikososial. Woolfolk (2007) menegaskan bahawa perkembangan psikososial merupakan salah satu proses yang akan dilalui oleh setiap individu dalam proses perkembangan.

44

Sokongan psikososial berkait rapat dengan sokongan sosial. Terdapat beberapa huraian daripada penyelidik terdahulu tentang definisi sokongan sosial. Adakalanya berlaku percanggahan memandangkan konsep sokongan sosial itu sendiri yang luas dan sukar untuk diberikan maksud yang tepat (Cohen & McKay, 1984; Peters & Skirton, 2013). Namun sebilangan penyelidik bersetuju dengan beberapa definisi yang boleh menggambarkan mengenai sokongan sosial tersebut. Secara umumnya, ia merupakan suatu perspektif bersepadu yang menunjukkan satu proses penyampaian yang melibatkan sumber rangkaian, tingkah laku dan penilaian (Vaux, 1988). Ia juga boleh difahami sebagai suatu bentuk pertolongan atau bantuan yang merujuk kepada perhubungan dalam kalangan keluarga, jiran atau kawan (Vaux, 1988). Thoits (1986) mendefinisikan sokongan sosial sebagai suatu kaedah bantuan emosi yang diberikan kepada seseorang yang menghadapi masalah. Sokongan sosial itu boleh dilihat melalui ciri-ciri tingkah laku seperti mendengar secara aktif, menyuarakan kebimbangan atau membantu dalam penyelesaian masalah (Cutrona, 1986).

Dalam penulisan yang lain, Leahy‐Warren, McCarthy dan Corcoran (2012) menghuraikan sokongan sosial sebagai terma yang sering digunakan dalam konteks kesejahteraan hidup dan hasil yang positif. Menurut Sarason, Levine, Basham dan Sarason (1983), sokongan sosial dapat didefinisikan sebagai kewujudan atau keupayaan bagi seseorang yang kita boleh bergantung, seseorang yang mengambil berat, menghargai dan menyayangi kita. Nor Ba’yah dan Asmawati (2004) pula merujuk sokongan sosial sebagai pelbagai sokongan material dan emosi yang diterima berdasarkan struktur atau fungsi hubungan sosial atau rangkaian sosial yang melihat

45 bilangan orang yang berhubungan dengan individu.

Sokongan sosial juga boleh dianggap sebagai salah satu kaedah yang memberi sumbangan utama dalam menangani tekanan. Ia merupakan suatu komitmen, sikap mengambil berat, pemberian nasihat dan bantuan yang diberi atau diterima sebagai sumbangan peribadi seseorang kepada individu yang memerlukan (Uchino, Uno & Holt-Lunstad, 1999). Seterusnya, sumbangan peribadi seumpama ini menggambarkan perasaan untuk disayangi dan dihargai, penghargaan diri serta sebahagian daripada jaringan komunikasi dan tanggungjawab.

Pada dasarnya terdapat dua jenis sokongan iaitu sokongan formal dan sokongan tidak formal. Sokongan formal boleh ditafsirkan sebagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi perkhidmatan sosial manakala sokongan tidak formal melibatkan ahli keluarga, kawan, jiran dan pembantu (Noriah, 2008). Menurut Biegel dan Naparstek (1982), sistem sokongan sosial formal berada di bawah organisasi kebajikan yang perkhidmatannya diberikan oleh golongan profesional seperti perkhidmatan kebajikan kanak-kanak dan keluarga. Ia termasuk juga perkhidmatan kaunseling. Manakala sokongan sosial tidak formal pula diberikan oleh individu-individu, keluarga, rakan-rakan, saudara ataupun kumpulan-kumpulan individu tertentu. Tahap keberkesanan sokongan sosial adalah bergantung kepada saiz rangkaian sosial seseorang individu dan bagaimana ia diberikan pada masa yang diperlukan (Peters & Skirton, 2013). Menurut Noriah (2008), sokongan sosial lebih baik sekiranya ia diberikan melalui suatu sistem yang tidak formal seperti keluarga, rakan-rakan dan pembantu walaupun sesetengah orang lebih memerlukan sistem yang formal seperti pekerja sosial dan doktor bergantung

46 kepada keperluan masing-masing.

Hooyman (1983) pula berpendapat bahawa sokongan psikososial tidak hanya merujuk kepada perbuatan semata-mata tetapi turut melibatkan perasaan selamat akibat daripada kepercayaan terhadap seseorang yang disayangi. Pada pendapat beliau, sokongan sosial meliputi perhubungan yang lebih luas yang melibatkan individu dan kumpulan mahupun komuniti yang lebih besar. Oleh yang demikian, kewujudannya ke atas kanak-kanak mampu untuk melahirkan kepercayaan, persahabatan dan perasaan kekitaan di kalangan mereka.

Sokongan sangat penting apabila seseorang mengalami tekanan (Vaux, 1988). Seseorang yang terlibat dengan keadaan yang tertekan di dalam tempoh yang panjang akan lebih berisiko untuk mendapat kesakitan kecuali sesuatu sistem sokongan yang terancang diberikan kepadanya (Noriah, 2008).

Ahli teori mempunyai pandangan berbeza mengenai fungsi tertentu daripada sokongan psikososial, tetapi kebanyakan mereka bersetuju bahawa ia merangkumi fungsi dalam kawalan emosi, pembangunan harga diri, penyediaan maklumat atau maklum balas dan suatu bentuk bantuan yang nyata (Cassel, 1976; Cobb, 1976; Cohen & McKay, 1984).

Beberapa penyelidik terdahulu memberikan definisi berbeza tentang kategori sokongan psikososial. Barrera (1986) misalnya berpendapat bahawa sokongan sosial boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu sokongan berunsur fizikal dan material seperti menyediakan keperluan makanan, pakaian dan kediaman ketika seseorang itu berada di

47

dalam keadaan kesusahan. Manakala yang kedua adalah sokongan berbentuk emosi dan bukan material iaitu kebanyakannya berupa kata-kata semangat, dorongan dan nasihat. Beliau percaya bahawa kedua-dua kategori ini merupakan gabungan bentuk pertolongan yang diberikan terhadap mereka yang memerlukan.

Bagi Barrera dan Ainlay (1983) pula, mereka mengkategorikan sokongan psikososial kepada enam iaitu iaitu bantuan material atau fizikal, perkongsian masalah, kesediaan menjadi rakan, memberikan bimbingan, memberikan maklum balas dan interaksi sosial yang positif. Mereka percaya kesemua fungsi ini adalah saling bergantungan antara satu sama lain bagi mencapai kesejahteraan. Gottlieb (1985) pula berpendapat bahawa sokongan psikososial boleh dikategorikan sebagai suatu pengekalan tingkah laku, tingkah laku penyelesai masalah, pengaruh peribadi secara tidak langsung dan tindakan yang dilakukan mengikut persekitaran. Kebanyakan tindakan yang dilakukan seperti memberi reaksi kepada masalah seseorang dilihat berupaya mempengaruhi mereka yang sedang berhadapan dengan masalah tersebut. Ia termasuk juga reaksi mendengar dan memberi maklum balas terhadap seseorang.

Dalam penulisan yang lain, Weiss (1974) berpendapat bahawa sokongan emosi merangkumi lima fungsi iaitu hubungan dan keintiman, integrasi sosial, pengasuhan, ketenteraman dan bimbingan. Beliau percaya bahawa setiap orang mampu untuk meningkatkan taraf kehidupan melalui perhubungan sosial yang baik sekiranya mereka berada di dalam komuniti yang positif.

48

segi kategori sokongan psikososial, secara umumnya ia difahami sebagai suatu bentuk bantuan yang berfungsi mengikut keperluan individu itu sendiri.