KAJIAN PERPUSTAKAAN
2.3 Pengklasifikasian dan Taksonomi Strategi Komunikasi
2.3.1 Strategi Pencapaian
2.3.1.1 Strategi Jenis Linguistik
Strategi linguistik melibatkan penggunaan bahasa. Bahasa-bahasa yang terlibat dengan strategi ini biasanya ialah bahasa sasaran (bahasa kedua) yang digunakan ataupun bahasa –bahasa lain termasuk bahasa ibunda penutur berkenaan. Untuk kajian ini empat jenis strategi komunikasi jenis lingustik digunakan. Antaranya strategi penghampiran, strategi mencipta perkataan baru, strategi pengulangan, dan strategi deskripsi. Selain daripada strategi – strategi ini terdapat juga dua jenis strategi yang berdasarkan bahasa ibunda iaitu strategi pertukaran kod bahasa dan strategi terjemahan terus.
2.3.1.1.1 Strategi Penghampiran
Menurut Tarone (1983), sesorang penutur yang menggunakan strategi penghampiran biasanya berada dalam keadaan sedar. Penutur yang menggunakan strategi ini sedar bahawa perkataan diguna sebagai pengganti itu kurang tepat. Namun penutur tetap mengguna perkataan tersebut disebabkan mempunyai ciri- ciri semantik yang hampir sama dengan istilah bahasa kedua. Ada kalanya, penutur menggunakan istilah-istilah berbentuk superordinat sebagai pengganti kepada istilah dalam bahasa sasaran. Contohnya bunga ‘ros’ dirujuk sebagai ‘bunga’, ‘kot’ dirujuk sebagai ‘baju’. Kadangkala, penutur menggunakan istilah yang membawa makna yang sama seperti riang untuk merujuk kepada gembira; comel untuk merujuk kepada cantik.
Pada amnya penutur sedar bahawa penggunaan istilah tersebut tidak tepat pada konteks semantik ataupun tatabahasa. Penggunaan strategi ini telah membawa kesan secara tidak langsung kepada pendengar. Penggunaan strategi ini telah menggalakan pendengar supaya mereka meneka istilah sasaran yang ingin disampaikan.
2.3.1.1.2 Strategi Pengulangan
Strategi Pengulangan adalah satu strategi yang senang untuk dikesan. Semasa menggunakan strategi ini sesuatu perkataan akan diulang beberapa kali. Pengulangan perkataan dilakukan dalam struktur ayat tidak berubah banyak. Penggunaan strategi pengulangan ini memberi sedikit sebanyak masa kepada penutur untuk mengingat kembali istilah atau perkataan yang ingin disampaikan. Penutur juga menggunakan strategi ini untuk menyusun semula struktur ayat supaya menjadi ayat yang betul.
Selain itu, penutur juga berharap pendengar dapat meneka maksud yang ingin disampaikan. Di samping itu, kelajuan penyampaian mesej juga diperlahankan. Pihak pendengar dan penutur cuba berusaha untuk menyampai dan menerima maklumat.
2.3.1.1.3 Strategi Mencipta Perkataan Baru
Strategi mencipta perkataan baru merupakan strategi mencipta perkataan baru oleh penutur sendiri. Strategi ini langsung tidak wujud dalam leksikal bahasa sasaran. Strategi ini dicipta hasil daya kreativiti penutur itu sendiri. Strategi ini menjadi pilihan pengguna bahasa apabila wujud keadaan di mana sesuatu perkataan atau istilah tidak diketahui semasa komunikasi. ‘Money box’ diguna sebagai ganti kepada ‘Coin box’ untuk tabung menyimpan duit syiling.
Penutur yang memilih strategi ini biasanya mengeksplotasikan pengetahuan dalam bahasa kedua untuk mengatasi masalah komunikasi. Semasa menggunakan strategi ini penutur akan menggabungan ciri-ciri ( Conceptual features ) yang dimiliki sesuatu objek dalam sistem bahasa kedua berkenaan dengan strategi ini.
2.3.1.1.4 Strategi Deskripsi
Strategi Deskripsi dikatakan sebagai strategi penggambaran. Sifat-sifat sesuatu objek atau situasi dihuraikan sebagai pengganti kepada istilah yang ingin disampaikan. Ciri- ciri fizikal seperti warna, bentuk, kedudukan objek, unsur sejarah, dan sebagainya digunakan dalam menyampaikan mesej kepada pendengar. Selain itu, penggunaan
strategi ini juga membuktikan bahawa penutur adalah seorang yang bersikap berdikari. Kegagalan menyebut sesuatu istilah atau perkataan semasa komunikasi boleh mengganggu perjalanan atau kelancaran komunikasi. Penggunaan strategi ini akan mengatasi masalah komunikasi tersebut. Namun penggunaan strategi ini tidak seratus peratus mengatasi masalah komunikasi kerana pertuturan menjadi tidak kemas dan tidak padat.
Mengikut Tarone (1983) seorang penutur yang gagal mencari struktur bahasa yang betul akan menerangkan panjang lebar ciri-ciri sesuatu benda atau perbuatan dengan harapan pendengar boleh meneka maksud yang ingin disampaikan. Blum-Kulka dan Levenston (1983) pula menyatakan dalam domain strategi komunikasi penerangan kesemua sifat-sifat semantik yang berkaitan dengan objek yang ingin disampaikan akan menyenangkan pendengar dalam memahami maksud yang ingin disampaikan. Sifat-sifat fizikal seperti warna, saiz, bentuk dan sebagainya diterangkan dengan panjang dan lebar untuk menggantikan istilah yang dilupa oleh penutur (Paribakth 1985). Menurut Paribakth (1985) pemilihan strategi ini hanya satu gangguan kepada komunikasi yang sedang berjalan.
Walauapun penggunaan strategi tidak tepat, padat dan kemas namun pemilihan strategi ini oleh penutur menandakan penutur sebagai seorang yang berdikari kerana berusaha mengatasi masalah komunikasi dengan pengetahuan bahasa kedua yang ada padanya. Contoh strategi ini ialah ‘long leg of candle’ sebagai pengganti kepada ‘stand of
2.3.1.1.5 Strategi Terjemahan Terus
Strategi Terjemahan terus bermaksud penutur menterjemah secara bulat-bulat istilah atau ungkapan yang diperlukan satu persatu dari bahasa pertamanya. Penggunaan strategi ini adalah dalam keadaan sedar dan melibatkan terjemahan literal perkataan ataupun frasa.
Contoh: beat the bell (mani adi) sepatutnya press the bell.
Kesan penggunaan strategi ini ialah penuturan dalam bahasa kedua kedengaran tidak normal. Ini disebabkan bahasa kedua ini mempunyai sifat tatabahasa yang berlainan dengan bahasa pertama. Hampir kebanyakan perkataan atau frasa yang ditutur melalui strategi ini kurang difahami oleh pendengar. Namun ada ujaran yang difahami oleh pendengar walaupun kurang jelas maksudnya.
2.3.1.1.6 Strategi Pertukaran Kod Bahasa
Menurut Corder (1983) strategi pertukaran kod bahasa adalah satu strategi yang berisiko tinggi dalam menjayakan komunikasi. Strategi pertukaran kod bahasa adalah satu cara peminjaman berbentuk ekstrem. Strategi ini dikatakan satu cara pinjaman berbentuk ekstrem kerana penggunaan sesuatu perkataan dari segi bahasa pertama atau bahasa lain tanpa menukar langsung perkataan tersebut. Pada tahun 1981, Tarone telah menukarkan nama strategi ini sebagai strategi peminjaman. Seseorang penutur akan
cuba berkomunikasi dengan menggunakan istilah atau frasa bahasa pertama tanpa mengubahsuaikan istilah iaitu dari segi morfologi atau fonologi.
Contoh : Next we will make lubang on the cover
Apabila strategi ini digunakan dalam komunikasi ia tidak membawa sebarang masalah pemahaman kepada pendengar perbuatan tersebut ditunjukkan dengan gerak-gerik. Selepas penggunaan strategi ini penutur akan mengurang penuturan daripada rancangan komunikasi asal. Ada juga keadaan di mana penutur akan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan topik itu lagi.